MAT 1:1 Inilah salasilah Isa al-Masih, keturunan Daud, keturunan Ibrahim.
MAT 1:2 Ibrahim beroleh anak yang dinamai Ishak, Ishak beroleh Yakub, dan Yakub beroleh Yudah serta saudara-saudaranya.
MAT 1:3 Yudah beroleh Peres dan Zerah daripada isterinya Tamar, Peres beroleh Hezron, dan Hezron beroleh Ram.
MAT 1:4 Ram beroleh Aminadab, Aminadab beroleh Nahason, dan Nahason beroleh Salmon.
MAT 1:5 Salmon beroleh Boas daripada isterinya Rahab, Boas beroleh Obed daripada isterinya Rut, dan Obed beroleh Isai,
MAT 1:6 dan Isai beroleh Raja Daud. Raja Daud beroleh Sulaiman daripada isteri Uria.
MAT 1:7 Sulaiman beroleh Rehabeam, Rehabeam beroleh Abia, dan Abia beroleh Asa.
MAT 1:8 Asa beroleh Yosafat, Yosafat beroleh Yoram, dan Yoram beroleh Uzia.
MAT 1:9 Uzia beroleh Yotam, Yotam beroleh Ahaz, dan Ahaz beroleh Hizkia.
MAT 1:10 Hizkia beroleh Manasye, Manasye beroleh Amon, dan Amon beroleh Yosia.
MAT 1:11 Yosia beroleh Yoyakhin dan saudara-saudaranya sekitar masa mereka dibawa sebagai tawanan di Babel.
MAT 1:12 Seterusnya, Yoyakhin beroleh Sealtiel, dan Sealtiel beroleh Zerubabel.
MAT 1:13 Zerubabel beroleh Abihud, Abihud beroleh Elyakim, dan Elyakim beroleh Azur.
MAT 1:14 Azur beroleh Zadok, Zadok beroleh Akhim, dan Akhim beroleh Eliud.
MAT 1:15 Eliud beroleh Eleazar, Eleazar beroleh Matan, dan Matan beroleh Yakub.
MAT 1:16 Maka Yakub beroleh Yusuf, suami Maryam, Maryamlah yang melahirkan Isa yang dipanggil al-Masih.
MAT 1:17 Dengan demikian, ada empat belas keturunan dari Ibrahim hingga ke Daud; empat belas keturunan dari Daud hingga ke masa pembuangan di Babel; dan empat belas keturunan dari masa itu hingga kelahiran al-Masih.
MAT 1:18 Inilah kisah kelahiran Isa al-Masih: Ibu-Nya, Maryam bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, Maryam mengandung melalui kuasa Roh Suci.
MAT 1:19 Yusuf, seorang yang takwa dan berakhlak, tidak mahu memalukan Maryam di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.
MAT 1:20 Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, ‘Hai Yusuf keturunan Daud! Janganlah takut mengambil Maryam sebagai isterimu. Dia mengandung melalui kuasa Roh Suci.
MAT 1:21 Maryam akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Isa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.’
MAT 1:22 Segala ini terjadi supaya berlakulah firman Tuhan melalui nabi-Nya:
MAT 1:23 ‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, maka Anak itu akan dipanggil Immanuel’ bererti, ‘Allah menyertai kita’ dalam bahasa Ibrani.
MAT 1:24 Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maryam.
MAT 1:25 Tetapi Yusuf tidak menyentuh Maryam sebagai isterinya hinggalah Maryam melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Isa.
MAT 2:1 Isa dilahirkan di Baitlahim, Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Baitulmaqdis.
MAT 2:2 Mereka bertanya, ‘Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.’
MAT 2:3 Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Baitulmaqdis.
MAT 2:4 Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan guru Taurat berhimpun lalu bertanya, ‘Raja yang dijanjikan oleh Allah itu, di manakah tempat lahirnya?’
MAT 2:5 Mereka menjawab, ‘Di Baitlahim, Yudea. Seorang nabi telah bernubuat tentangnya:
MAT 2:6 ‘Hai Baitlahim di Yudea, Kau bukanlah yang terkecil antara kota utama Yudea, kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’
MAT 2:7 Setelah itu Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit.
MAT 2:8 Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Baitlahim dengan perintah demikian: ‘Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.’
MAT 2:9 Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu.
MAT 2:10 Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu.
MAT 2:11 Mereka masuk ke situ dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maryam. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu mempersembahkan emas, dupa dan mur kepada-Nya.
MAT 2:12 Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.
MAT 2:13 Selepas itu malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, ‘Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.’
MAT 2:14 Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir.
MAT 2:15 Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka berlakulah firman Tuhan menerusi nabi-Nya: ‘Aku memanggil Putera-Ku keluar dari Mesir.’
MAT 2:16 Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Baitlahim dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul.
MAT 2:17 Oleh yang demikian berlakulah apa yang dinubuatkan oleh Yeremia:
MAT 2:18 ‘Satu suara terdengar di Ramah, rintih ratap dan perkabungan. Rahel meratapi anak-anaknya, tidak mungkin dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.’
MAT 2:19 Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir.
MAT 2:20 Kata malaikat itu, ‘Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.’
MAT 2:21 Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke tanah Israel.
MAT 2:22 Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah naik takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea.
MAT 2:23 Dia menetap di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh para nabi: ‘Dia akan dipanggil Orang Nasaret.’
MAT 3:1 Pada masa itu Yahya Pengimad menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.
MAT 3:2 Dia berseru, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’
MAT 3:3 Yahyalah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘Suara seorang berseru di gurun: “Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskan jalan untuk-Nya.” ’
MAT 3:4 Pakaian Yahya diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.
MAT 3:5 Orang dari Baitulmaqdis, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yahya.
MAT 3:6 Mereka mengaku dosa lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.
MAT 3:7 Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk diimadkan. Apabila melihat mereka, Yahya berkata, ‘Hai orang durjana! Siapakah yang memberitahumu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah kelak?
MAT 3:8 Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat.
MAT 3:9 Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, “Ibrahim moyang kami.” Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Ibrahim!
MAT 3:10 Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akar umbinya. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api.
MAT 3:11 ‘Aku mengimadkanmu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan mengimadkanmu dengan Roh Suci dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak.
MAT 3:12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang dan membakar sekam di dalam api yang tidak mungkin padam.’
MAT 3:13 Ketika itu Isa meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia berjumpa dengan Yahya dan meminta diimadkan olehnya.
MAT 3:14 Yahya cuba menolak dengan berkata, ‘Sepatutnya Engkau yang mengimadkanku. Ini Engkau pula datang kepadaku!’
MAT 3:15 Tetapi Isa menjawab, ‘Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala kebenaran.’ Yahya pun patuh.
MAT 3:16 Setelah diimadkan, Isa keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya.
MAT 3:17 Kemudian kedengaran suara Allah berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’
MAT 4:1 Setelah itu Isa dibawa oleh Roh ke gurun untuk digoda Iblis.
MAT 4:2 Isa berpuasa empat puluh hari empat puluh malam. Dia menanggung kelaparan.
MAT 4:3 Iblis datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Jika Engkau Putera Allah, perintahkanlah batu-batu ini menjadi roti.’
MAT 4:4 Isa menjawab, ‘Telah tersurat: “Manusia hidup bukan dengan roti saja tetapi dengan setiap firman Allah.” ’
MAT 4:5 Selepas itu Iblis membawa Isa ke kota suci Baitulmaqdis dan meletakkan-Nya di puncak rumah ibadat.
MAT 4:6 Iblis berkata kepada Isa, ‘Jika Engkau Putera Allah, terjunlah, kerana telah tersurat: “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.” ’
MAT 4:7 Isa menjawab, ‘Tetapi telah tersurat: “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’
MAT 4:8 Iblis membawa pula Isa ke atas gunung yang amat tinggi lalu menunjukkan semua kerajaan di dunia dan kekayaannya.
MAT 4:9 Kata Iblis kepada Isa, ‘Semua ini akan kuberikan kepada-Mu jika Engkau sujud menyembahku.’
MAT 4:10 Jawab Isa, ‘Nyah engkau, Iblis. Telah tersurat: “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya saja engkau beribadat.” ’
MAT 4:11 Iblis pun meninggalkan Isa dan para malaikat datang melayani-Nya.
MAT 4:12 Apabila mendengar bahawa Yahya telah dipenjarakan, Isa pun pergi ke Galilea.
MAT 4:13 Dia tidak tinggal di Nasaret tetapi di Kapernaum, sebuah kota di pinggir laut Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali.
MAT 4:14 Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya:
MAT 4:15 ‘Tanah Zebulon, tanah Naftali, di pinggir laut, seberang Sungai Yordan, Galilea, tanah bangsa-bangsa asing.
MAT 4:16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan telah melihat cahaya gemilang. Bagi mereka yang di bawah bayangan maut, Cahaya telah bersinar!’
MAT 4:17 Isa pun mula menyampaikan perkhabaran-Nya, ‘Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!’
MAT 4:18 Sedang Isa berjalan di pinggir laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan adiknya Andreas, sedang menjala ikan.
MAT 4:19 Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan mengajarmu menjala manusia menjadi pengikut-Ku.’
MAT 4:20 Dengan serta-merta mereka dua beradik meninggalkan jala mereka lalu mengikut Isa.
MAT 4:21 Isa meneruskan perjalanan. Dia ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yahya bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Isa memanggil dua beradik itu.
MAT 4:22 Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Isa.
MAT 4:23 Isa menjelajahi seluruh wilayah Galilea. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik bahawa kerajaan Allah hampir tiba. Dia menyembuhkan semua jenis penyakit dan kesakitan di antara mereka.
MAT 4:24 Berita tentang Isa tersebar di seluruh Siria. Maka, ramailah orang yang menanggung pelbagai penyakit dan penderitaan, orang yang dirasuk roh iblis, yang mengidap penyakit gila babi, dan yang lumpuh, dibawa kepada-Nya dan disembuhkan oleh-Nya.
MAT 4:25 Ramai sekali orang mengikut-Nya: dari Dekapolis (bermaksud Sepuluh Kota), dari Baitulmaqdis, dari Yudea, dan dari kawasan di seberang Yordan.
MAT 5:1 Ketika Isa melihat orang ramai itu, Dia pun mendaki ke atas sebuah bukit lalu duduk. Kemudian datanglah para pengikut-Nya kepada-Nya.
MAT 5:2 Dia pun mula mengajar mereka:
MAT 5:3 ‘Diberkatilah mereka yang terasa kelemahan rohani, kerana kerajaan syurga untuk mereka.
MAT 5:4 Diberkatilah mereka yang bersedih, kerana mereka akan terhibur.
MAT 5:5 Diberkatilah mereka yang lemah lembut, kerana mereka akan mewarisi bumi ini.
MAT 5:6 Diberkatilah mereka yang dahagakan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan.
MAT 5:7 Diberkatilah mereka yang berpengasihan, kerana mereka akan dikasihani juga.
MAT 5:8 Diberkatilah mereka yang suci hati, kerana mereka akan melihat Allah.
MAT 5:9 Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah.’
MAT 5:10 Diberkatilah mereka yang dianiaya kerana menegakkan kebenaran, kerana kerajaan syurga untuk mereka.
MAT 5:11 ‘Diberkatilah kamu apabila orang menghina, menganiaya dan memfitnahmu kerana mengikut-Ku.
MAT 5:12 Bersukacita dan bergembiralah, kerana ganjaran besar telah disediakan untukmu di syurga. Begitu jugalah para nabi zaman dahulu dianiaya.
MAT 5:13 ‘Kamu ialah garam bumi ini. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.
MAT 5:14 ‘Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi.
MAT 5:15 Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah bekas; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah.
MAT 5:16 Biarlah cahayamu juga bersinar di hadapan orang ramai, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik lalu memuji Bapamu yang di syurga.
MAT 5:17 ‘Jangan sangka Aku datang untuk menghapuskan Taurat dan ajaran nabi-nabi. Aku datang bukan untuk menghapuskan tetapi untuk menunaikan segala-galanya.
MAT 5:18 Ingatlah: Selagi ada langit dan bumi, satu titik atau huruf yang terkecil pun tidak akan hapus daripada Taurat sebelum semuanya ternyata berlaku.
MAT 5:19 Dengan demikian, jika seseorang melanggar hukum yang terkecil pun dan mengajar orang lain melanggarnya, dia akan tergolong antara mereka yang paling rendah dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, jika seseorang mematuhi Taurat dan mengajar orang lain turut patuh, dia akan menjadi orang yang mulia dalam kerajaan syurga.
MAT 5:20 Oleh itu ingatlah: Untuk memasuki kerajaan syurga, kamu mestilah melaksanakan kehendak Allah lebih daripada guru Taurat dan orang Farisi.
MAT 5:21 ‘Kamu telah mendengar ajaran daripada nenek moyang kita: “Jangan membunuh. Sesiapa yang membunuh orang akan dihakimi.”
MAT 5:22 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan dihakimi. Sesiapa yang mencaci saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama. Dan sesiapa yang memanggil saudaranya “bodoh” akan dihumbankan ke dalam api neraka.
MAT 5:23 ‘Oleh itu, jika kamu sedang meletakkan persembahan kepada Allah di atas mazbah lalu teringat bahawa saudaramu bersanggit hati denganmu,
MAT 5:24 tinggalkanlah persembahanmu, berdamai dahulu dengan saudaramu, kemudian barulah buat persembahanmu.
MAT 5:25 ‘Berdamailah dengan orang yang hendak mendakwamu di mahkamah sewaktu kamu masih dalam perjalanan ke situ. Jika tidak, dia akan menyerahkanmu kepada hakim, kemudian hakim menyerahkanmu kepada pegawai berkenaan, yang akan memenjarakanmu.
MAT 5:26 Sudah pasti kamu akan meringkuk di dalam penjara hingga kamu menjelaskan semua bayaran.
MAT 5:27 ‘Kamu telah mendengar ajaran ini: “Jangan berzina.”
MAT 5:28 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa yang memandang seorang wanita dengan berahi, telah berzina dengannya dalam hati.
MAT 5:29 Jika mata kananmu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buangkan mata itu. Lebih baik kamu kehilangan satu bahagian tubuhmu daripada seluruh tubuhmu terhumban ke dalam neraka.
MAT 5:30 Jika tangan kananmu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buangkan tangan itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tanganmu daripada seluruh tubuhmu masuk ke dalam neraka.
MAT 5:31 ‘Ada ajaran demikian: “Sesiapa menceraikan isterinya hendaklah memberinya surat cerai.”
MAT 5:32 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana zina, orang itu menyebabkan wanita tersebut berzina jika berkahwin lagi; dan sesiapa yang berkahwin dengan wanita yang diceraikan itu berzina juga.
MAT 5:33 ‘Kamu telah mendengar ajaran kepada nenek moyang kita: “Jangan melanggar sumpah. Tunaikan sumpahmu kepada Tuhan.”
MAT 5:34 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah.
MAT 5:35 Jangan bersumpah demi bumi, kerana bumi ini alas kaki-Nya. Atau demi Baitulmaqdis, kerana itu kota Raja Agung iaitu Allah.
MAT 5:36 Demi kepalamu pun jangan, kerana kamu tidak berkuasa memutihkan atau menghitamkan rambutmu walau sehelai.
MAT 5:37 Katakan saja “Ya” atau “Tidak” dan kotakan kata itu. Yang lebih daripada itu datang daripada si durjana.
MAT 5:38 ‘Kamu telah mendengar ajaran begini: “Mata diganti dengan mata, gigi diganti dengan gigi.”
MAT 5:39 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Janganlah membalas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepadamu. Malah jika seseorang menampar pipi kananmu, palinglah pipi kirimu juga terhadapnya.
MAT 5:40 Jika seseorang hendak mendakwamu untuk mendapatkan bajumu, berikanlah jubahmu juga.
MAT 5:41 Jika sesiapa memaksamu berjalan sebatu dengannya, pergilah dua batu bersamanya.
MAT 5:42 Jika seseorang meminta sesuatu daripadamu, berikanlah. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripadamu, usahlah berpaling daripadanya.
MAT 5:43 ‘Kamu telah mendengar ajaran berikut: “Kasihilah sahabatmu dan bencilah musuhmu.”
MAT 5:44 Tetapi sekarang Aku berkata kepadamu: Kasihilah musuhmu dan doakan orang yang menganiayamu.
MAT 5:45 Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapamu yang di syurga; kerana Allah menerbitkan matahari yang dicipta-Nya untuk orang yang benar dan orang yang mungkar. Dia menurunkan hujan untuk orang yang taat mahupun yang ingkar akan kehendak-Nya.
MAT 5:46 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihimu, layakkah kamu mendapat ganjaran daripada Allah? Bukankah pemungut cukai pun berbuat demikian?
MAT 5:47 Jika kamu hanya beramah mesra dengan saudara-saudara selingkungan, apakah kelebihanmu daripada orang lain? Orang yang tidak mengenal Allah pun melakukannya.
MAT 5:48 Hendaklah engkau sempurna seperti Bapamu di syurga.
MAT 6:1 ‘Ingatlah: Jangan buat kerja amal di muka umum supaya dilihat orang; kamu tidak akan mendapat ganjaran daripada Bapamu yang di syurga.
MAT 6:2 ‘Oleh itu, ketika kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan seperti orang munafik di saumaah dan di jalan raya, supaya dipuji orang. Orang begitu sudahpun mendapat ganjaran mereka.
MAT 6:3 Apabila kamu bersedekah kepada orang miskin, jangan sampai tangan kirimu tahu apa yang dilakukan oleh tangan kananmu.
MAT 6:4 Jangan siapapun mengetahuinya. Bapamu yang melihat amalmu yang tersembunyi itu akan memberikan ganjaran kepadamu.
MAT 6:5 ‘Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Mereka itu sudahpun mendapatkan ganjaran mereka.
MAT 6:6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
MAT 6:7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang.
MAT 6:8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
MAT 6:9 ‘Berdoalah demikian: “Ya Bapa kami yang di syurga, Sucilah Nama-Mu.
MAT 6:10 Datanglah kerajaan-Mu. Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.
MAT 6:11 Berilah makanan kami untuk hari ini.
MAT 6:12 Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
MAT 6:13 Janganlah biarkan kami tergoda, Selamatkanlah kami daripada si durjana. Engkaulah yang memiliki kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.”
MAT 6:14 ‘Jika kamu mengampuni orang yang bersalah kepadamu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga.
MAT 6:15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.
MAT 6:16 ‘Apabila kamu berpuasa, jangan tunjukkan muka lesu seperti orang munafik. Mereka memperlihatkan wajah menderita supaya semua orang tahu mereka berpuasa. Mereka ini sudahpun mendapat ganjaran mereka.
MAT 6:17 Ketika berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambutmu
MAT 6:18 supaya orang tidak tahu kamu berpuasa. Biarlah puasamu hanya diketahui oleh Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan memberikan ganjaran kepadamu.
MAT 6:19 ‘Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya.
MAT 6:20 Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.
MAT 6:21 Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
MAT 6:22 ‘Mata ialah pelita tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu dipenuhi cahaya.
MAT 6:23 Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu gelap. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, maka gelap-gelitalah keadaannya!
MAT 6:24 ‘Seorang hamba tidak mungkin mengabdi diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain; atau akan setia kepada yang seorang dan mencela yang lain. Demikianlah, kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan.
MAT 6:25 ‘Oleh itu, janganlah runsing tentang hidupmu, tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang tubuhmu, dan tentang apa yang akan kamu pakai untuk menutupnya. Bukankah hidup lebih daripada makanan, dan tubuh lebih daripada pakaian?
MAT 6:26 Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai, menuai atau menyimpan hasil di jelapang; namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?
MAT 6:27 Siapakah di kalanganmu yang dapat melanjutkan usianya sedikit pun dengan bersikap runsing?
MAT 6:28 ‘Jadi, mengapakah kamu runsing tentang pakaian? Lihatlah bunga bakung di padang, yang tidak bekerja atau bertenun.
MAT 6:29 Tetapi Raja Sulaiman dengan segala kehebatannya pun tidak berpakaian seindah bunga itu.
MAT 6:30 Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang wujud hari ini dan esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberimu pakaian? Sungguh tipis kepercayaanmu kepada-Nya!
MAT 6:31 Jangan runsing tentang makanan, minuman atau pakaianmu.
MAT 6:32 Kerunsingan ini dialami oleh orang yang tidak mengenal Allah. Bapamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
MAT 6:33 Utamakanlah kerajaan Allah dan laksanakan kebenaran-Nya; Allah akan memberikan semua itu kepadamu.
MAT 6:34 Oleh itu, jangan runsing tentang hari esok, kerana hari esok akan runsing tentang hal-halnya sendiri. Setiap hari sudah cukup dengan kesusahan sehari.
MAT 7:1 ‘Jangan hakimi orang lain, supaya kamu tidak dihakimi.
MAT 7:2 Kerana sebagaimana kamu menghakimi orang, demikian jugalah kamu akan dihakimi. Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan Allah untuk menghakimi kamu.
MAT 7:3 ‘Mengapakah kamu perhatikan selumbar di mata saudaramu, sedangkan kayu balak di matamu sendiri tidak kamu sedari?
MAT 7:4 Bagaimanakah kamu dapat berkata kepada saudaramu, ‘Biarlah aku keluarkan selumbar dari mata saudara,’ sedangkan kayu balak terpampang di matamu sendiri?
MAT 7:5 Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari matamu, barulah penglihatanmu terang untuk mengeluarkan selumbar dari mata saudaramu.
MAT 7:6 ‘Jangan berikan sesuatu yang suci kepada anjing, atau mutiara kepada babi, nanti dipijak-pijaknya lalu berpaling menyerangmu.
MAT 7:7 ‘Mintalah, dan kamu akan menerimanya; carilah, dan kamu akan mendapatnya; ketuklah pintu, dan pintu akan dibuka untukmu.
MAT 7:8 Setiap orang yang meminta akan menerima, setiap orang yang mencari akan mendapat; dan setiap orang yang mengetuk, pintu akan dibuka untuknya.
MAT 7:9 ‘Bapa manakah akan memberikan batu kepada anaknya yang meminta roti?
MAT 7:10 Bapa manakah akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan?
MAT 7:11 Kamu yang berdosa pun tahu memberikan sesuatu yang baik kepada anakmu. Lebih-lebih lagi Bapamu yang di syurga: Dia akan memberikan sesuatu yang baik kepada mereka yang meminta daripada-Nya.
MAT 7:12 Apa yang kamu mahu orang lakukan kepadamu, lakukan kepada mereka, kerana inilah ajaran Taurat dan nabi-nabi.
MAT 7:13 ‘Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu gerbang dan jalan ke neraka itu lebar dan luas, maka ramai orang yang memilihnya.
MAT 7:14 Sebaliknya pintu dan jalan ke hidup kekal itu sempit dan sukar. Hanya segelintir orang yang menjumpainya.
MAT 7:15 ‘Berjaga-jagalah tentang nabi palsu yang datang kepadamu dengan pakaian domba tetapi sebenarnya serigala ganas.
MAT 7:16 Kamu akan mengenal mereka daripada hasil perbuatan mereka. Pernahkah orang memetik buah anggur dari rimbunan berduri? Atau pernahkah buah ara dipetik dari semak berduri?
MAT 7:17 Pokok yang subur menghasilkan buah yang baik manakala pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang tidak baik.
MAT 7:18 Pokok yang subur tidak mungkin menghasilkan buah yang tidak baik dan pokok yang tidak subur tidak mungkin menghasilkan buah yang baik.
MAT 7:19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibakar.
MAT 7:20 Demikianlah kamu akan mengenal orang daripada hasil perbuatan mereka.
MAT 7:21 ‘Tidak semua orang yang memanggil-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami,” akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.
MAT 7:22 Pada hari itu ramai orang akan berkata kepada-Ku, “Junjungan kami, Junjungan kami, bukankah kami telah menyampaikan perkhabaran Allah dengan nama-Mu? Bukankah kami telah menghalau roh-roh iblis serta banyak melakukan mukjizat dengan nama-Mu?”
MAT 7:23 Tetapi aku akan menjawab, “Aku tidak mengenalmu. Pergilah dari sini, hai kamu yang mungkar.”
MAT 7:24 ‘Sesiapa yang mendengar dan menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bijak yang membina rumah di atas batu.
MAT 7:25 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, tetapi rumah itu tidak runtuh kerana berasaskan batu.
MAT 7:26 Sesiapa yang mendengar tetapi tidak menurut kata-kata-Ku ini ibarat orang bodoh yang membina rumah di atas pasir.
MAT 7:27 Hujan mencurah, banjir melimpah dan angin kencang melanda, lalu runtuhlah rumah itu, punah ranap!’
MAT 7:28 Setelah selesai Isa menyampaikan kata-kata itu, orang ramai itu kagum akan cara Dia mengajar.
MAT 7:29 Isa mengajar secara berwibawa, tidak seperti guru Taurat mereka.
MAT 8:1 Isa turun dari bukit itu dan ramai orang mengikut-Nya.
MAT 8:2 Seorang yang mengidap penyakit kusta datang bersujud di hadapan-Nya sambil berkata, ‘Tuan, sekiranya Tuan mahu, Tuan dapat menyembuhkanku.’
MAT 8:3 Isa menghulurkan tangan-Nya dan menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku rela. Sembuhlah!’ Pada saat itu juga penyakitnya hilang.
MAT 8:4 Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Dengarlah, jangan beritahu sesiapa tentang perkara ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada seorang imam. Selepas itu persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka.’
MAT 8:5 Ketika Isa sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera Rom menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya:
MAT 8:6 ‘Junjungan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.’
MAT 8:7 Isa menjawab, ‘Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.’
MAT 8:8 Tetapi ketua tentera itu berkata, ‘Usahlah Junjungan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Junjungan sebagai tamu. Perintahkanlah sahaja, tentu dia akan sembuh.
MAT 8:9 Aku juga di bawah perintah pegawai atasan tentera, dan ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, “Pergi!” dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, “Mari!” dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, “Buat ini!” dia melakukannya.’
MAT 8:10 Isa terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, ‘Belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun.
MAT 8:11 Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk menikmati jamuan bersama Ibrahim, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga.
MAT 8:12 Sebaliknya anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’
MAT 8:13 Lalu Isa berkata kepada ketua tentera itu, ‘Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.’ Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu.
MAT 8:14 Isa pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam.
MAT 8:15 Apabila Isa menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Isa.
MAT 8:16 Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawakan kepada Isa. Isa menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua yang sakit.
MAT 8:17 Isa melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yasyaya: ‘Dialah yang membawa kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.’
MAT 8:18 Apabila Isa melihat orang ramai di sekeliling-Nya, dia pun menyuruh para pengikut-Nya pergi ke seberang laut itu.
MAT 8:19 Seorang guru Taurat mendapatkan Isa lalu berkata, ‘Tuan Guru, aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana saja.’
MAT 8:20 Isa menjawab, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya, tetapi Putera Insan tidak ada tempat untuk berehat.’
MAT 8:21 Seorang pengikut lain berkata, ‘Junjungan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.’
MAT 8:22 Tetapi Isa menjawab, ‘Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka.’
MAT 8:23 Isa menaiki sebuah perahu, dan diikut oleh pengikut-pengikut-Nya.
MAT 8:24 Tiba-tiba badai melanda dan ombak mengganas sehingga perahu dipenuhi air. Ketika itu Isa sedang tidur.
MAT 8:25 Para pengikut Isa datang membangunkan-Nya. Mereka berkata, ‘Ya Junjungan, selamatkan nyawa kami semua daripada maut!’
MAT 8:26 Isa menjawab, ‘Mengapakah kamu takut? Begitu tipis kepercayaanmu kepada-Ku!’ Dia pun bangun memarahi angin dan ombak itu. Serta-merta semuanya tenang sekali.
MAT 8:27 Para pengikut Isa tercengang lalu berkata, ‘Angin dan ombak pun mengikut perintah-Nya. Siapakah sebenarnya Dia ini?’
MAT 8:28 Setelah tiba di seberang, di daerah Gadara, Isa didekati oleh dua orang yang dirasuk roh iblis. Mereka keluar dari gua kubur. Kedua-duanya begitu ganas sehingga orang tidak berani lalu di situ.
MAT 8:29 Apabila mereka melihat Isa, mereka berseru, ‘Apakah yang akan Kaulakukan kepada kami, hai Putera Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum sampai masanya?’
MAT 8:30 Ada sekawan babi sedang makan agak jauh dari situ.
MAT 8:31 Roh-roh iblis itu merayu kepada Isa, ‘Jika Engkau hendak menyuruh kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam tubuh babi sekawan itu.’
MAT 8:32 Dan Isa memerintah roh-roh itu, ‘Pergilah’. Maka roh-roh itu pun keluar lalu memasuki babi-babi itu. Seluruh kawanan babi itu pun lari ke pinggir jurang laut lalu terjun dan mati lemas.
MAT 8:33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan hal itu serta apa yang telah terjadi kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh iblis itu.
MAT 8:34 Seluruh penduduk bandar itu pun datang berjumpa dengan Isa dan memohon-Nya pergi dari situ.
MAT 9:1 Isa menaiki sebuah perahu lalu ke seberang, dan sampai di bandar tempat Dia tinggal.
MAT 9:2 Beberapa orang membawa kepada-Nya seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Isa menyedari betapa teguhnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Tegapkan hatimu, anak-Ku! Dosamu telah diampunkan.’
MAT 9:3 Sebilangan guru Taurat di situ berfikir dalam hati, ‘Orang ini mengkufuri Allah!’
MAT 9:4 Isa tahu apa yang difikirkan oleh mereka itu lalu Dia berkata, ‘Mengapa kamu fikirkan perkara sejahat itu?
MAT 9:5 Manakah yang lebih mudah dikatakan, “Dosamu telah diampunkan,” atau “Bangun dan berjalan?”
MAT 9:6 Aku akan membuktikan kepadamu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa.’ Kemudian Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Bangun, angkat tikarmu dan pulanglah.’
MAT 9:7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumahnya.
MAT 9:8 Melihat kejadian itu, orang di situ ketakutan dan memuji Allah yang memberikan kuasa yang sedemikian besarnya kepada manusia.
MAT 9:9 Isa meninggalkan tempat itu. Dalam perjalanan Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Matius sedang duduk di tempat memungut cukai. Isa berkata, ‘Ikutlah Aku’. Lalu Matius berdiri dan mengikut-Nya.
MAT 9:10 Ketika Isa sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Isa dan para pengikut-Nya.
MAT 9:11 Beberapa orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para pengikut Isa, ‘Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang yang berdosa?’
MAT 9:12 Isa terdengar pertanyaan mereka lalu menjawab, ‘Orang sihat tidak memerlukan tabib; hanya orang sakit yang memerlukannya.
MAT 9:13 Kajilah erti ayat ini: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan binatang korban.” Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.’
MAT 9:14 Selepas itu para pengikut Yahya Pengimad mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Mengapakah kami dan orang Farisi sering berpuasa tetapi para pengikut-Mu tidak berpuasa?’
MAT 9:15 Isa menjawab, ‘Pada hematmu, patutkah tetamu di jamuan perkahwinan bersedih semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Tentu tidak. Namun akan tiba masanya pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Ketika itulah mereka akan berpuasa.
MAT 9:16 ‘Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut dan menyebabkan koyak yang lebih besar.
MAT 9:17 Begitu juga, tiada siapa akan menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama, kerana bekas itu akan pecah dan air anggur itu akan terbuang. Air anggur yang baru patut dituangkan ke dalam bekas kulit yang baru juga supaya kedua-duanya selamat.’
MAT 9:18 Sedang Isa berkata-kata dengan para pengikut Yahya Pengimad, seorang ketua saumaah bersujud di hadapan-Nya lalu berkata, ‘Anak perempuanku baru meninggal dunia. Datanglah, letakkan tangan-Mu di atasnya supaya dia hidup kembali.’
MAT 9:19 Isa pun bangun lalu pergi bersamanya, diiringi oleh para pengikut-Nya.
MAT 9:20 Ketika itu, ada seorang wanita yang telah mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya.
MAT 9:21 Fikir wanita itu dalam hatinya, ‘Apabila kusentuh jubah-Nya, pasti aku akan sembuh.’
MAT 9:22 Isa menoleh dan melihatnya lalu berkata kepadanya, ‘Tetapkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana imanmu kamu sembuh.’ Serta-merta wanita itu sembuh.
MAT 9:23 Apabila Isa sampai di rumah ketua itu, Dia nampak para pemain seruling dan semua orang di situ kelam-kabut.
MAT 9:24 Dia berkata, ‘Keluarlah kamu semua! Anak ini bukan mati, cuma tidur.’ Mereka mula mentertawakan-Nya.
MAT 9:25 Tetapi setelah mereka keluar, Isa masuk ke bilik anak perempuan itu dan memegang tangannya lalu anak itu bangun.
MAT 9:26 Khabar ini tersebar ke seluruh daerah itu.
MAT 9:27 Ketika Isa meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, ‘Hai Anak Daud, kasihanilah kami!’
MAT 9:28 Ketika Isa masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Isa bertanya, ‘Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?’ ‘Percaya, Junjungan!’ jawab mereka.
MAT 9:29 Isa pun menyentuh mata mereka sambil berkata, ‘Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!’
MAT 9:30 Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Isa berpesan kepada mereka bersungguh-sungguh, ‘Jangan ceritakan hal ini kepada siapapun.’
MAT 9:31 Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Isa ke seluruh daerah itu.
MAT 9:32 Selepas itu, seorang yang bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.
MAT 9:33 Isa menghalau roh iblis itu dan serta-merta orang itu mula berkata-kata. Semua yang melihatnya tercengang lalu berkata, ‘Belum pernah kami lihat hal begini di Israel!’
MAT 9:34 Tetapi orang Farisi berkata, ‘Ketua roh iblis telah memberi Isa kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.’
MAT 9:35 Demikianlah Isa berjalan, dari bandar ke bandar, dari pekan ke pekan. Dia mengajar di saumaah dan menyampaikan berita baik tentang kerajaan Allah. Dia menyembuhkan orang daripada pelbagai penyakit.
MAT 9:36 Apabila melihat orang yang ramai itu, Isa berasa kasihan kerana mereka bimbang dan tidak berdaya, ibarat sekawan domba tanpa gembala.
MAT 9:37 Kata Isa kepada para pengikut-Nya, ‘Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir.
MAT 9:38 Berdoalah kepada Tuan punya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.’
MAT 10:1 Isa memanggil dua belas orang pengikut-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh durjana dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan.
MAT 10:2 Dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yahya, iaitu anak-anak Zebedeus;
MAT 10:3 Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadius;
MAT 10:4 Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Isa.
MAT 10:5 Isa mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk demikian: ‘Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria.
MAT 10:6 Pergilah kepada domba-domba sesat antara bani Israel.
MAT 10:7 Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat.
MAT 10:8 Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian.
MAT 10:9 Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga.
MAT 10:10 Jangan bawa bekas untuk menerima sedekah, atau ganti pakaian, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya.
MAT 10:11 ‘Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu.
MAT 10:12 Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam.
MAT 10:13 Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu.
MAT 10:14 Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debunya daripada tapak kakimu.
MAT 10:15 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.
MAT 10:16 Dengarlah: Aku mengutusmu seperti domba ke tengah-tengah sekawan serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati.
MAT 10:17 ‘Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka.
MAT 10:18 Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan penguasa dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah.
MAT 10:19 Ketika dihakimi, janganlah runsing tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila sampai saatnya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan.
MAT 10:20 Bukanlah kata-katamu sendiri yang akan kamu ucapkan, tetapi kata-kata Roh Bapamu yang dituturkan melaluimu.
MAT 10:21 ‘Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap bapa, lalu menyerahkannya untuk dibunuh.
MAT 10:22 Setiap orang akan membencimu kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga akhir akan diselamatkan.
MAT 10:23 Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah, Putera Insan akan datang semula sebelum kamu sempat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di tanah Israel.
MAT 10:24 ‘Tiada murid yang melebihi gurunya; tiada hamba yang melebihi tuannya.
MAT 10:25 Murid haruslah berpuas hati menjadi seperti gurunya; hamba haruslah berpuas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga dipanggil Beelzebul, betapa lagi ahli-ahli keluarganya!
MAT 10:26 ‘Jangan takut akan manusia. Segala yang tersembunyi akan dinyatakan; setiap rahsia akan didedahkan.
MAT 10:27 Apa yang Kukatakan kepadamu secara sulit, sampaikanlah kepada orang ramai. Apa yang dibisikkan di telingamu, umumkanlah merata-rata.
MAT 10:28 Jangan takut akan mereka yang hanya dapat membunuh jasad tetapi tidak berkuasa memusnahkan jiwa. Takutilah Allah yang berkuasa memusnahkan jasad dan jiwa di dalam neraka.
MAT 10:29 Bukankah dua ekor burung pipit dibeli dengan harga satu sen? Namun tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa izin Bapamu.
MAT 10:30 Setiap helai rambut di kepalamu pun dihitung.
MAT 10:31 Oleh itu, usahlah takut. Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada burung pipit!
MAT 10:32 ‘Sesiapa mengakui-Ku di hadapan orang ramai, akan Kuakui di hadirat Bapa-Ku di syurga.
MAT 10:33 Sebaliknya, sesiapa yang menyangkal-Ku di hadapan orang ramai, akan Kusangkal di hadirat Bapa-Ku di syurga.
MAT 10:34 ‘Jangan sangka Aku datang untuk membawa damai ke dunia. Aku datang bukan untuk membawa damai ke dunia melainkan pedang.
MAT 10:35 Dengan kedatangan-Ku, “anak lelaki melawan bapanya, anak perempuan melawan ibunya, dan menantu perempuan melawan ibu mertuanya.
MAT 10:36 Ahli keluarganya sendiri akan menjadi musuhnya.”
MAT 10:37 ‘Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Begitu juga, sesiapa yang lebih mengasihi anaknya daripada-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.
MAT 10:38 Sesiapa yang enggan memikul salibnya dan mengikut-Ku, tidak layak menjadi pengikut-Ku.
MAT 10:39 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangannya, dan sesiapa yang kehilangan hidupnya kerana menjadi pengikut-Ku akan mendapat hidup kekal.
MAT 10:40 ‘Sesiapa yang menyambutmu, menyambut-Ku juga, dan sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku.
MAT 10:41 Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima ganjaran seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang yang benar kerana dia seorang yang benar, akan menerima ganjaran seorang yang benar.
MAT 10:42 Ingatlah: Sesiapa yang memberi minum walau hanya air sejuk kepada seorang pengikut-Ku yang paling rendah pun kerana dia pengikut-Ku, akan menerima ganjaran.’
MAT 11:1 Setelah Isa memberi petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya itu, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar berhampiran.
MAT 11:2 Yahya Pengimad yang meringkuk di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh al-Masih. Yahya pun menyuruh beberapa orang pengikutnya untuk pergi berjumpa Isa.
MAT 11:3 Mereka bertanya, ‘Adakah Tuan ini orang yang dijanjikan Allah akan datang, atau perlukah kami menunggu orang lain?’
MAT 11:4 Isa menjawab, ‘Pulanglah, beritahu Yahya segala yang kamu dengar dan lihat:
MAT 11:5 Orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kusta sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dihidupkan semula, dan berita baik daripada Allah disampaikan kepada orang miskin.
MAT 11:6 Berbahagialah orang yang tidak meragui-Ku!’
MAT 11:7 Ketika pengikut-pengikut Yahya beredar dari situ, Isa berkata kepada orang ramai tentang Yahya: ‘Apabila kamu mendapatkan Yahya di gurun, apakah yang ingin kamu lihat? Sehelai rumput mensiang yang ditiup angin?
MAT 11:8 Kamu ke sana hendak melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana.
MAT 11:9 Katakanlah, kamu ke situ untuk melihat apa? Seorang nabi? Benar, malah lebih daripada nabi.
MAT 11:10 Tentang orang itulah telah tersurat dalam ayat Kitab Suci: “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”
MAT 11:11 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu bahawa di antara mereka yang dilahirkan oleh perempuan, belum pernah muncul seorang pun yang lebih besar daripada Yahya. Ketahuilah: Yahya Pengimad lebih utama daripada semua orang yang pernah hidup di dunia. Namun begitu, orang yang paling rendah antara yang menikmati kerajaan syurga lebih utama daripadanya.
MAT 11:12 Sejak kedatangan Yahya Pengimad hinggalah ke hari ini, kerajaan syurga telah diserang oleh orang yang ingin menguasainya melalui kekerasan dan keganasan, dan orang yang ganas berusaha menguasainya dengan kekerasan.
MAT 11:13 Kerana semua nabi termasuk Musa dengan Taurat bernubuat hingga datangnya Yahya.
MAT 11:14 Sekiranya kamu mahu percaya akan perkhabaran mereka, Yahya itulah Ilyas yang telah dinubuatkan kedatangannya.
MAT 11:15 Jika kamu ada telinga, dengarlah!
MAT 11:16 ‘Dengan apakah dapat Kubandingkan manusia zaman ini? Mereka ibarat anak-anak yang duduk di pasar, satu kumpulan berseru kepada yang lain:
MAT 11:17 “Kami memainkan seruling lagu perkahwinan untukmu, tetapi kamu enggan menari; kami menyanyi lagu ratap, tetapi kamu enggan menangis.”
MAT 11:18 ‘Ketika Yahya datang, dia berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu semua orang berkata, “Dia dirasuk roh iblis!”
MAT 11:19 Ketika Putera Insan datang, Dia makan dan minum, lalu semua orang berkata, “Lihatlah dia ini: gelojoh, pemabuk, kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa!” Namun demikian, kebijaksanaan terbukti benar dengan perbuatannya.’
MAT 11:20 Isa mengecam bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduknya enggan bertaubat.
MAT 11:21 ‘Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Baitsaida! Sekiranya mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat, dengan memakai kain guni dan membubuh abu di kepala.
MAT 11:22 Ketahuilah: Pada hari penghakiman itu kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu!
MAT 11:23 Kamu juga, hai Kapernaum! Ingin kamu tinggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dihumbankan ke neraka! Kalaulah mukjizat-mukjizat yang Kulakukan di kalanganmu itu Kulakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada hingga kini!
MAT 11:24 Aku berkata kepadamu: Ketahuilah, pada hari itu kelak, hukuman ke atas Sodom lebih ringan daripada hukuman yang akan kamu terima!’
MAT 11:25 Selepas itu Isa mengucap syukur, ‘Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil, orang yang tidak terpelajar.
MAT 11:26 Ya Bapa, memang inilah kehendak-Mu.’
MAT 11:27 ‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Putera kecuali Bapa, dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Putera dan orang yang diberitahu oleh Putera tentang Bapa.
MAT 11:28 ‘Marilah ke sisi-Ku, wahai kamu yang lelah memikul beban berat; Aku akan membebaskanmu daripada bebanmu.
MAT 11:29 Ikutlah perintah-Ku dan terima ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan sejahtera.
MAT 11:30 Perintah yang Kuberi kepadamu mudah diturut, dan beban yang Kuberi mudah dipikul.’
MAT 12:1 Pada suatu hari Sabat, Isa berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya lapar lalu memetik dan memakan gandum.
MAT 12:2 Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, pengikut-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!’
MAT 12:3 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan anak buahnya lapar?
MAT 12:4 Daud masuk ke dalam khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang iaitu hanya imam dibenarkan makan roti itu.
MAT 12:5 Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di rumah ibadat melanggar hukum hari Sabat? Namun, mereka tidak disalahkan.
MAT 12:6 Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada rumah ibadat.
MAT 12:7 Ada tersurat: “Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.” Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah;
MAT 12:8 kerana Putera Insan adalah Junjungan atas hari Sabat.
MAT 12:9 Isa beredar dari situ lalu pergi ke sebuah saumaah.
MAT 12:10 Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang di sana cuba mencari salah Isa supaya dapat mendakwa-Nya. Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?’
MAT 12:11 Isa menjawab, ‘Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentulah kamu berusaha menyelamatkannya.
MAT 12:12 Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.’
MAT 12:13 Setelah itu, Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu pulih sama seperti tangan yang sebelahnya.
MAT 12:14 Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Isa.
MAT 12:15 Apabila Isa mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit.
MAT 12:16 Dia berpesan kepada mereka supaya jangan memberitahu sesiapa tentang-Nya.
MAT 12:17 Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yasyaya:
MAT 12:18 ‘Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih, Yang Kukasihi dan Kuredai Roh-Ku akan Kuanugerahkan kepada-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.
MAT 12:19 Dia tidak akan bertengkar atau membentak, ataupun bersuara lantang di jalan raya.
MAT 12:20 Buluh yang halus terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, Pelita yang malap tidak akan dipadamkan-Nya, Dia akan berjuang sehingga tercapai keadilan,
MAT 12:21 Bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.’
MAT 12:22 Setelah itu seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa lalu disembuhkan-Nya.
MAT 12:23 Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, ‘Mungkinkah dia ini Anak Daud?’
MAT 12:24 Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, ‘Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.’
MAT 12:25 Isa mengetahui isi hati orang Farisi itu lalu berkata kepada mereka, ‘Negeri yang berpecah kepada beberapa bahagian yang bermusuhan tidak akan wujud lama. Bandar atau keluarga yang berpecah dan berlawan sesama sendiri akan hancur lebur.
MAT 12:26 Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan?
MAT 12:27 Kamu berkata Aku menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul. Kalau begitu, siapa yang memberikan kuasa menghalau roh-roh iblis kepada pengikut-pengikutmu? Oleh itu merekalah yang akan menjadi hakimmu.
MAT 12:28 Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah mula bertapak di kalanganmu.
MAT 12:29 ‘Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya sekiranya orang yang gagah itu tidak diikat terlebih dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.
MAT 12:30 ‘Jika seseorang tidak berpihak kepada-Ku, ini bererti dia menentang-Ku. Jika seseorang tidak mengumpulkan bersama-Ku, ini bererti dia mencerai-beraikan.
MAT 12:31 Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa atau mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.
MAT 12:32 Orang yang menentang Putera Insan dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Suci tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.
MAT 12:33 ‘Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya.
MAT 12:34 Hai kamu yang seperti ular berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung dalam hatinya.
MAT 12:35 Seorang yang baik menuturkan hal-hal baik kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat menuturkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan.
MAT 12:36 Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan.
MAT 12:37 Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak.’
MAT 12:38 Selepas itu beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami ingin melihat suatu alamat mukjizat daripada-Mu.’
MAT 12:39 Tetapi Isa menjawab, ‘Manusia zaman durjana dan tidak setia ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali alamat Nabi Yunus.
MAT 12:40 Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Putera Insan akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi.
MAT 12:41 Pada hari akhir, penduduk Niniwe akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Mereka akan menuduhmu, kerana apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus, mereka telah bertaubat; sedangkan kamu tidak, pada hal di hadapanmu sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus.
MAT 12:42 Pada hari akhir, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama kamu, orang zaman ini. Ratu itu akan menuduhmu, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Sulaiman yang bijaksana; sedangkan kamu tidak mendengar ajaran daripada yang ada di hadapanmu sekarang dan yang lebih besar daripada Raja Sulaiman.
MAT 12:43 ‘Apabila roh durjana keluar daripada tubuh seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat tinggal. Sekiranya tempat tinggal tidak ditemuinya,
MAT 12:44 roh itu akan berkata, “Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.” Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas.
MAT 12:45 Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.’
MAT 12:46 Sedang Isa berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Isa.
MAT 12:47 Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Isa, ‘Ibu dan saudara-saudara lelaki-Mu hendak bercakap dengan-Mu.’
MAT 12:48 Tetapi Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara lelaki-Ku?’
MAT 12:49 Dia menunjuk kepada para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku.
MAT 12:50 Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.’
MAT 13:1 Pada hari itu juga, Isa keluar dari rumah lalu duduk di tepi laut.
MAT 13:2 Sungguh ramai orang datang berhimpun mendapatkan-Nya. Isa pun masuk ke dalam sebuah perahu dan duduk di situ manakala orang ramai itu berdiri di pantai.
MAT 13:3 Isa berbicara kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang penyemai benih telah pergi menabur.
MAT 13:4 Sebahagian benih yang ditaburnya jatuh di tepi jalan lalu dimakan burung.
MAT 13:5 Sesetengahnya jatuh di tempat-tempat berbatu yang tidak banyak tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam.
MAT 13:6 Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu kering kepanasan, lantas layu kerana tidak berakar.
MAT 13:7 Ada pula yang jatuh di semak duri, lalu tewas ditindas tumbuhan duri.
MAT 13:8 Namun, ada yang jatuh di tanah yang subur dan memberikan hasil: seratus kali ganda, enam puluh kali ganda, atau tiga puluh kali ganda.
MAT 13:9 Sesiapa yang ada telinga, dengarlah!’
MAT 13:10 Para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa Junjungan bercakap kepada mereka melalui ibarat?’
MAT 13:11 Isa menjawab, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan syurga, tetapi mereka tidak.
MAT 13:12 Sesiapa yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, sehingga melimpah-limpah. Sebaliknya, sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, sedikit yang ada padanya pun akan diambil.
MAT 13:13 Aku bercakap kepada mereka melalui ibarat: ‘ “Kerana mereka melihat tetapi tidak nampak, mereka mendengar tetapi tidak mengerti.”
MAT 13:14 ‘Keadaan mereka ini tepat seperti terdapat dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘ “Kamu terus mendengar tetapi tidak mengerti; kamu akan terus melihat tetapi tidak mengetahui.
MAT 13:15 Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”
MAT 13:16 ‘Tetapi berbahagialah matamu kerana melihat, dan telingamu kerana mendengar.
MAT 13:17 Sesungguhnya, Kukatakan kepadamu, ramai nabi dan orang yang benar berhasrat melihat apa yang kamu lihat dan mendengar apa yang kamu dengar, tetapi hasrat mereka tidak tercapai.
MAT 13:18 ‘Oleh itu dengarlah maksud ibarat penyemai benih:
MAT 13:19 Apabila seseorang mendengar perkhabaran kerajaan Allah dan tidak memahaminya, akan datanglah si durjana menyambar apa yang telah ditabur dalam hatinya. Orang inilah yang menerima benih di tepi jalan.
MAT 13:20 Orang yang menerima benih di tempat-tempat berbatu pula bermaksud orang yang mendengar perkhabaran itu dan terus menerimanya dengan sukacita.
MAT 13:21 Tetapi perkhabaran itu tidak berakar dalam dirinya, maka hanya tahan seketika. Sebaik-baik dia menghadapi kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, imannya pun luntur.
MAT 13:22 Orang yang menerima benih di semak duri ialah orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kerunsingan tentang hal-hal duniawi dan godaan harta kekayaan mengasyikkannya lalu dia tidak dapat menghasilkan apa-apa.
MAT 13:23 Tetapi orang yang menerima benih di tanah subur ialah orang yang mendengar perkhabaran itu dan memahaminya lalu menghasilkan seratus kali, enam puluh kali atau tiga puluh kali ganda.’
MAT 13:24 Isa menceritakan satu ibarat lagi: ‘Kerajaan syurga ibarat orang menabur benih yang baik di ladangnya.
MAT 13:25 Pada waktu malam apabila semua orang sedang tidur, musuhnya datang menanam lalang di antara gandum itu.
MAT 13:26 Setelah gandum itu membesar, lalang pun tumbuh juga.
MAT 13:27 ‘Hamba peladang berkata, “Tuan menabur benih yang baik, dari mana pula datangnya lalang itu?”
MAT 13:28 ‘Jawab peladang itu, “Ini perbuatan musuh.” ‘Hamba itu bertanya, “Adakah tuan hendak kami mencabut lalang itu?”
MAT 13:29 ‘ “Tidak,” jawab peladang itu, “takut tercabut gandum juga.
MAT 13:30 Biarkanlah lalang tumbuh di antara gandum hingga sampai musim menuai. Ketika itu aku akan menyuruh orang yang menuai nanti mencabut lalang dahulu, mengikat dan membakarnya. Selepas itu barulah gandum dituai dan disimpan di dalam jelapang.” ’
MAT 13:31 Seterusnya Isa mengisahkan ibarat demikian: ‘Kerajaan syurga seperti sebutir biji sesawi yang dibawa oleh seseorang untuk ditanam di ladangnya.
MAT 13:32 Biji sesawi itu paling kecil di antara semua benih, tetapi apabila tumbuh, menjadi tumbuhan yang lebih besar daripada semua tumbuhan lain sehingga menjadi sebatang pokok tempat burung membuat sarang.’
MAT 13:33 Kemudian Isa menceritakan suatu ibarat lagi, ‘Kerajaan syurga seperti ini: Seorang wanita mencampurkan sedikit ragi dengan tiga sukat tepung sehingga adunan itu naik.’
MAT 13:34 Demikianlah Isa mengajar orang ramai melalui ibarat. Tidak ada satu ajaran yang disampaikan-Nya kepada mereka tanpa ibarat.
MAT 13:35 Maka terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi: ‘Aku akan bertutur kepada mereka melalui ibarat, Aku akan menyampaikan kepada mereka hal-hal yang dirahsiakan sejak dunia dicipta.’
MAT 13:36 Selepas itu Isa meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Terangkanlah kepada kami maksud ibarat lalang di antara gandum itu.’
MAT 13:37 Isa berkata, ‘Orang yang menabur benih baik itu Putera Insan.
MAT 13:38 Ladang itu dunia; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah manakala lalang ialah orang yang menyebelahi si durjana.
MAT 13:39 Musuh yang menanam lalang itu Iblis. Masa menuai ialah hari akhir dan para penuai itu malaikat.
MAT 13:40 ‘Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar, demikianlah halnya akan terjadi pada hari akhir.
MAT 13:41 Putera Insan akan memerintahkan malaikat-Nya mengumpulkan semua di kalangan umat-Nya yang melakukan kejahatan dan yang menyebabkan orang berdosa.
MAT 13:42 Mereka akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
MAT 13:43 Orang yang benar akan bersinar laksana matahari dalam kerajaan Allah, Bapa mereka. Jika kamu mempunyai telinga, dengarlah!’
MAT 13:44 ‘Kerajaan syurga ibarat harta yang tersembunyi di dalam sebidang tanah. Seseorang telah menjumpainya lalu menyembunyikannya semula. Setelah itu dengan penuh sukacita dia menjual segala yang dimilikinya lalu membeli tanah itu.
MAT 13:45 ‘Kerajaan syurga juga umpama seorang saudagar yang mencari mutiara yang paling tinggi nilainya.
MAT 13:46 Apabila dia menjumpai mutiara yang paling bernilai, dia pun menjual semua yang dimilikinya lalu membeli mutiara itu.
MAT 13:47 ‘Kerajaan syurga juga seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam laut lalu mendapat aneka jenis ikan.
MAT 13:48 Setelah sarat dan ditarik ke darat, para nelayan memeriksanya, lalu menyimpan yang baik dan membuang yang tidak baik.
MAT 13:49 Demikianlah yang akan terjadi pada akhir zaman. Malaikat akan datang mengasingkan orang durjana daripada orang yang benar.
MAT 13:50 Orang durjana itu akan dihumbankan ke dalam relau yang berapi-api, tempat ratapan dan kertakan gigi.
MAT 13:51 ‘Fahamkah kamu hal-hal ini?’ Isa bertanya kepada para pengikut-Nya. ‘Kami faham,’ jawab mereka.
MAT 13:52 Isa berkata, ‘Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang kerajaan syurga adalah seperti ketua rumah yang mengeluarkan barang baru dan barang lama simpanannya.’
MAT 13:53 Setelah itu, Isa pun beredar dari situ.
MAT 13:54 Lalu dia pulang ke kampung halamannya. Di situ Dia mengajar di saumaah. Orang yang mendengar-Nya hairan lalu bertanya, ‘Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan begini? Dari manakah dia mendapat kuasa melakukan mukjizat?
MAT 13:55 Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maryam itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon serta Yudas itu saudaranya?
MAT 13:56 Bukankah saudara-saudara perempuannya ada bersama kita? Dari manakah dia mendapat semua ini?’
MAT 13:57 Dengan demikian mereka marah dengan-Nya. Isa berkata kepada mereka, ‘Seorang Nabi dihormati kecuali di kampung halamannya dan di kalangan kaum keluarganya sendiri.’
MAT 13:58 Isa tidak banyak melakukan mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya.
MAT 14:1 Pada masa itu Herodes, raja wilayah, mendengar tentang Isa.
MAT 14:2 Herodes berkata kepada orang di bawahnya, ‘Ini tentu Yahya Pengimad. Dia telah bangkit daripada kematian! Sebab itulah dia ada kuasa melakukan mukjizat.’
MAT 14:3 Sebelum itu Herodes telah memerintahkan supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan, disebabkan Herodias, isteri saudaranya Filipus.
MAT 14:4 Yahya telah memberitahu Herodes, ‘Tuan bersalah mengahwini Herodias’
MAT 14:5 Herodes hendak membunuh Yahya tetapi takut kerana rakyat menganggapnya seorang nabi.
MAT 14:6 Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan majlis.
MAT 14:7 Oleh sebab terlalu menikmati tarian itu, Herodes bersumpah akan memberikan apa saja yang diminta oleh gadis itu.
MAT 14:8 Disuruh oleh ibunya, gadis itu memohon kepala Yahya Pengimad di atas talam pada waktu itu juga.
MAT 14:9 Walaupun dengan berat hati, Herodes terpaksa menunaikan permintaan itu kerana telah bersumpah di hadapan majlisnya.
MAT 14:10 Herodes pun memerintahkan orang pergi memancung kepala Yahya di penjara.
MAT 14:11 Kepala Yahya diletakkan di atas talam dan diberikan kepada gadis itu. Gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
MAT 14:12 Selepas itu pengikut Yahya datang mengambil jenazahnya dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi memberitahu Isa tentangnya.
MAT 14:13 Sebaik-baik mendengar tentang Yahya, Isa menaiki perahu dan pergi seorang diri ke suatu tempat sunyi. Namun, orang ramai mendapat tahu lalu mengikut Isa melalui jalan darat dari kota.
MAT 14:14 Setelah Isa turun dari perahu dan melihat mereka, hati-Nya berasa kasihan lalu Dia menyembuhkan orang yang sakit di kalangan mereka.
MAT 14:15 Apabila menjelang petang, para pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan kawasan ini terpencil. Suruhlah orang yang ramai ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.’
MAT 14:16 Tetapi Isa menjawab, ‘Mereka tidak usah pergi. Berilah mereka makan.’
MAT 14:17 Kata para pengikut Isa, ‘Kita hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan.’
MAT 14:18 Isa berkata, ‘Bawalah makanan itu kepada-Ku.’
MAT 14:19 Dia menyuruh orang ramai itu duduk di atas rumput. Dia mengambil makanan itu dan menengadah ke langit mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu.
MAT 14:20 Setiap orang makan sehingga kenyang dan lebihan yang dikumpulkan oleh para pengikut Isa sebanyak dua belas bakul.
MAT 14:21 Jumlah yang makan kira-kira lima ribu orang lelaki, belum dihitung wanita dan kanak-kanak.
MAT 14:22 Setelah itu Isa menyuruh para pengikut-Nya menaiki perahu dan pergi ke seberang dahulu sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
MAT 14:23 Setelah menyuruh mereka pulang, Isa naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Apabila hari sudah lewat petang, Isa berada di situ seorang diri.
MAT 14:24 Ketika itu perahu yang dinaiki oleh para pengikut-Nya sudah jauh ke tengah, terumbang-ambing kerana angin berhembus dari arah bertentangan.
MAT 14:25 Antara dinihari dan pagi, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka.
MAT 14:26 Apabila mereka melihat-Nya berjalan di atas air, mereka ketakutan lalu menjerit, ‘Hantu!’
MAT 14:27 Isa segera berkata kepada mereka, ‘Tenanglah. Aku Isa. Jangan takut.’
MAT 14:28 Petrus berkata, ‘Junjungan, jika benar Engkau, suruhlah aku berjalan di atas air mendapatkan-Mu.’
MAT 14:29 ‘Marilah,’ sahut Isa. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air ke arah Isa.
MAT 14:30 Tetapi apabila menyedari betapa kencangnya angin, Petrus berasa takut lalu mula tenggelam. ‘Junjungan! Selamatkan aku!’ serunya.
MAT 14:31 Isa segera menghulurkan tangan memegangnya lalu berkata, ‘Engkau yang kurang percaya, mengapa engkau ragu?’
MAT 14:32 Kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun tiada.
MAT 14:33 Selepas itu para pengikut Isa yang di dalam perahu menyembah-Nya sambil berkata, ‘Sesungguhnya Engkaulah Putera Allah!’
MAT 14:34 Mereka menyeberang ke Genesaret.
MAT 14:35 Orang di situ mengenal Isa lalu menyebarkan berita kedatangan-Nya ke serata daerah itu. Ramailah dibawa orang sakit kepada-Nya.
MAT 14:36 Mereka merayu Isa supaya mengizinkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Dengan sentuhan itu sahaja pun mereka sembuh.
MAT 15:1 Setelah itu beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Baitulmaqdis datang mendapatkan Isa lalu bertanya,
MAT 15:2 ‘Mengapa pengikut-Mu melanggar adat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!’
MAT 15:3 Isa menjawab, ‘Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?
MAT 15:4 Allah berfirman, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapanya mesti dihukum mati.”
MAT 15:5 Sebaliknya kamu mengajar, “Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,’
MAT 15:6 maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.”
MAT 15:7 Kamu munafik! Benarlah nubuat Nabi Yasyaya tentangmu:
MAT 15:8 “Allah berfirman: Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
MAT 15:9 Sia-sialah mereka menyembah-Ku, sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.” ’
MAT 15:10 Kemudian Isa memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, ‘Dengar dan fahamlah!
MAT 15:11 Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.’
MAT 15:12 Selepas itu para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan berkata, ‘Junjungan, tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?’
MAT 15:13 Isa menjawab, ‘Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.
MAT 15:14 Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.’
MAT 15:15 Petrus berkata, ‘Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.’
MAT 15:16 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kamu masih tidak faham.
MAT 15:17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula.
MAT 15:18 Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan.
MAT 15:19 Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah.
MAT 15:20 Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan mengikut adat.’
MAT 15:21 Isa beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon.
MAT 15:22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Isa sambil berseru, ‘Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!’
MAT 15:23 Isa diam tidak menjawab. Para pengikut-Nya memohon kepada-Nya, ‘Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.’
MAT 15:24 Isa berkata kepada wanita itu, ‘Aku diutus khusus kepada orang Israel yang seperti domba sesat.’
MAT 15:25 Wanita itu mendekati Isa dan menyembah-Nya sambil berkata, ‘Tuan, tolonglah aku.’
MAT 15:26 Isa menjawab, ‘Tidaklah wajar mengambil makanan anak-anak dan mencampakkannya kepada anak-anak anjing.’
MAT 15:27 ‘Benar, Tuan,’ balas wanita itu, ‘tetapi anak-anak anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.’
MAT 15:28 Oleh yang demikian Isa berkata kepadanya, ‘Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.’ Serta-merta anak wanita itu pulih.
MAT 15:29 Isa beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ.
MAT 15:30 Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang mengidap pelbagai penyakit. Isa menyembuhkan mereka.
MAT 15:31 Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Tuhan orang Israel.
MAT 15:32 Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata, ‘Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.’
MAT 15:33 Para pengikut-Nya berkata, ‘Di manakah dapat kami cari makanan yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?’
MAT 15:34 Isa bertanya, ‘Berapa banyak roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ sahut mereka, ‘dan beberapa ekor ikan kecil.’
MAT 15:35 Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah.
MAT 15:36 Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu membahagikan makanan itu dan menghulurkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
MAT 15:37 Setiap orang makan sehingga kenyang, malah lebihan makanan yang dikumpulkan oleh para pengikut-Nya tujuh bakul.
MAT 15:38 Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak.
MAT 15:39 Setelah itu Isa menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia berperahu ke daerah Magadan.
MAT 16:1 Beberapa orang Farisi dan Saduki datang kepada Isa. Untuk menduga Isa, mereka meminta-Nya melakukan mukjizat sebagai bukti Dia datang daripada Allah.
MAT 16:2 Isa menjawab, ‘Ketika matahari masuk, kamu berkata, “Cuaca baik, kerana langit merah.”
MAT 16:3 Pada waktu pagi, kamu berkata, “Cuaca buruk nanti, kerana langit merah mengancam.” Munafik! Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat alamat-alamat di langit, tetapi kamu tidak dapat memahami alamat-alamat zaman ini.
MAT 16:4 Manusia zaman yang durjana dan derhaka ini ingin melihat alamat mukjizat. Tetapi satu alamat pun tidak akan ditunjukkannya kecuali alamat Nabi Yunus.’ Setelah berkata demikian, Isa pun pergi dari situ.
MAT 16:5 Ketika para pengikut Isa berperahu ke seberang, mereka terlupa membawa roti.
MAT 16:6 Isa berkata kepada mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’
MAT 16:7 Mereka mula berkata-kata sesama sendiri, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’
MAT 16:8 Isa tahu apa yang dikatakan oleh mereka. Dia berkata, ‘Mengapa kamu persoalkan hal tidak membawa roti? Tipis benar kepercayaanmu!
MAT 16:9 Belum fahamkah kamu? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima buku roti antara lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
MAT 16:10 Bagaimana pula dengan tujuh buku roti yang Kubahagikan antara empat ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?
MAT 16:11 Mengapa kamu tidak mengerti bahawa Aku tidak bercakap tentang roti. Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.’
MAT 16:12 Barulah mereka faham bahawa maksud Isa bukannya ragi penaik roti tetapi ajaran orang Farisi dan Saduki.
MAT 16:13 Isa pergi ke daerah berhampiran kota Kaisarea Filipi. Dia bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Menurut kata orang, siapakah Putera Insan ini?’
MAT 16:14 Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata Yahya Pengimad; ada yang berkata Ilyas; ada pula yang berkata Yeremia atau nabi lain.’
MAT 16:15 Isa bertanya, ‘Menurut kamu, siapakah Aku ini?’
MAT 16:16 Simon Petrus menjawab, ‘Junjungan, Engkau ialah al-Masih, Putera Allah Yang Hidup.’
MAT 16:17 Isa berkata, ‘Berbahagialah engkau, Simon anak Yunus! Yang memberitahumu bukannya manusia tetapi Bapa-Ku di syurga.
MAT 16:18 Oleh itu ketahuilah engkau Petrus, batu yang kukuh, dengan asas batu inilah akan Kubina jemaah-Ku. Maut pun tidak dapat merobohkannya.
MAT 16:19 Aku akan memberikan kunci kerajaan syurga kepadamu. Apa yang kauikat di dunia akan diikat juga di syurga. Apa yang kauuraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.’
MAT 16:20 Selepas itu Isa berpesan kepada para pengikut-Nya supaya jangan memberitahu sesiapa bahawa Dia al-Masih.
MAT 16:21 Sejak itu, Isa mula berkata terus-terang kepada para pengikut-Nya bahawa Dia harus pergi ke Baitulmaqdis dan menanggung banyak penderitaan yang disebabkan oleh pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.
MAT 16:22 Petrus menarik Isa ke tepi lalu menegur-Nya, ‘Junjungan, semoga Allah jauhi semua itu daripada-Mu! Semua itu tidak boleh berlaku kepada-Mu, Junjungan!’
MAT 16:23 Isa berpaling sambil berkata kepada Petrus, ‘Pergilah dari sini, Iblis! Engkau menyakitkan hati-Ku kerana fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!’
MAT 16:24 Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Jika sesiapa ingin mengikut-Ku, lupakan kepentingan diri, pikul salib dan ikut Aku.
MAT 16:25 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup.
MAT 16:26 Apalah gunanya jika seseorang memperolehi seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya? Apakah yang dapat diberinya sebagai ganti untuk hidup itu?
MAT 16:27 Sudah hampir waktunya Putera Insan datang bersama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan memberi balasan kepada setiap orang menurut perbuatannya.
MAT 16:28 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, beberapa orang di sini tidak akan menemui maut sebelum melihat Putera Insan datang sebagai Raja.’
MAT 17:1 Enam hari selepas itu, Isa membawa Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus, pergi bersunyi di atas sebuah gunung yang tinggi.
MAT 17:2 Apabila mereka memandang Isa, mereka mendapati-Nya berubah: Wajah-Nya bersinar seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan.
MAT 17:3 Mereka melihat pula Ilyas dan Musa berkata-kata dengan Isa.
MAT 17:4 Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, sungguh baik bagi kita berada di sini. Kalau Junjungan mahu, biar kudirikan tiga buah khemah suci; satu untuk Junjungan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Ilyas.’
MAT 17:5 Sedang Petrus berkata-kata, segumpal awan yang bersinar-sinar meliputi mereka. Dari awan itu kedengaran suara berkata, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan. Dengarlah kata-Nya!’
MAT 17:6 Mendengar suara itu, para pengikut Isa ketakutan lalu meniarap di tanah.
MAT 17:7 Isa datang menyentuh mereka sambil berkata, ‘Bangunlah. Jangan takut.’
MAT 17:8 Apabila mereka memandang keliling, tiada siapapun kelihatan kecuali Isa.
MAT 17:9 Mereka turun dari atas gunung itu. Isa mengeluarkan perintah, ‘Jangan beritahu sesiapapun apa yang telah kamu lihat, selagi Putera Insan belum dibangkitkan daripada kematian.’
MAT 17:10 Para pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Mengapakah guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’
MAT 17:11 Isa menjawab, ‘Memang benar Ilyas mesti datang dulu untuk menyediakan semuanya.
MAT 17:12 Tetapi sesungguhnya Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang tetapi orang tidak mengenalnya. Mereka berbuat sesuka hati kepadanya. Begitulah mereka akan lakukan kepada Putera Insan.’
MAT 17:13 Ketika itu barulah para pengikut Isa faham bahawa yang dimaksudkan-Nya ialah Yahya Pengimad.
MAT 17:14 Setelah Isa dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya itu kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang berlutut di hadapan-Nya.
MAT 17:15 Lelaki itu berkata, ‘Tuan, kasihanilah anakku! Dia mengidap sakit gila babi dan penyakitnya sungguh teruk. Seringkali dia terjatuh ke dalam air atau api.
MAT 17:16 Aku sudahpun membawanya kepada pengikut-pengikut-Mu, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.’
MAT 17:17 Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini. Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu? Berapa lama lagikah Aku mesti bersabar denganmu? Bawa anak itu ke sini!’
MAT 17:18 Isa mengherdik roh iblis itu. Roh iblis itu pun keluar dari anak itu lalu dia sembuh serta-merta.
MAT 17:19 Para pengikut Isa mendapatkan-Nya dan bertanya ketika tiada orang lain di situ, ‘Mengapakah kami tidak dapat menghalau roh iblis itu?’
MAT 17:20 Isa menjawab, ‘Kerana kamu tidak beriman. Sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit, “Beralihlah ke situ!” maka bukit itu akan beralih. Kamu dapat melakukan apa saja.
MAT 17:21 Jenis ini hanya dapat dihalau dengan berdoa dan berpuasa.’
MAT 17:22 Ketika semua pengikut Isa berhimpun di Galilea, Isa berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan kepada manusia.
MAT 17:23 Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.’ Mendengar kata-kata itu, para pengikut Isa berdukacita.
MAT 17:24 Apabila Isa dan para pengikut-Nya sampai di Kapernaum, pemungut-pemungut cukai rumah ibadat datang kepada Petrus lalu bertanya, ‘Adakah gurumu membayar cukai rumah ibadat?’
MAT 17:25 Petrus menjawab, ‘Tentu sekali.’ Sebaik-baik Petrus masuk ke rumah, sebelum dia dapat berkata apa-apa, Isa bertanya, ‘Simon, bagaimana pandanganmu, daripada siapakah raja-raja dunia ini memungut cukai, daripada anak-anak mereka atau orang lain?’
MAT 17:26 ‘Orang lain,’ jawab Petrus. ‘Kalau begitu,’ kata Isa, ‘anak-anak tidak perlu membayar.
MAT 17:27 Tetapi usahlah kita singgung perasaan orang. Pergilah memancing di laut. Ambillah ikan pertama yang kautangkap, dan bukalah mulutnya. Engkau akan mendapati sekeping duit syiling sebesar empat dirham. Ambillah duit itu dan berikan kepada mereka, untuk-Ku dan untukmu.’
MAT 18:1 Pada ketika itu para pengikut Isa datang bertanya kepada-Nya, ‘Siapakah yang dianggap terbesar antara orang di dalam kerajaan syurga nanti?’
MAT 18:2 Isa memanggil seorang kanak-kanak, disuruh-Nya berdiri di hadapan mereka semua.
MAT 18:3 Isa pun berkata: ‘Ketahuilah! Kecuali kamu bersikap seperti kanak-kanak, kamu tidak akan memasuki kerajaan syurga.
MAT 18:4 Oleh itu, orang yang dianggap terbesar dalam kerajaan syurga ialah yang merendah diri dan bersikap seperti kanak-kanak.
MAT 18:5 ‘Sesiapa yang meraikan kanak-kanak begini kerana Aku, ertinya dia meraikan Aku.
MAT 18:6 Sesiapa yang menyebabkan seorang pengikut-Ku yang kecil ini melakukan dosa, lebih baiklah jika batu kisaran diikatkan ke lehernya dan dia ditenggelamkan dalam laut yang dalam.
MAT 18:7 ‘Malanglah dunia yang penuh dengan perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa! Memang dosa tetap berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya!
MAT 18:8 Sekiranya tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potong dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan atau kaki tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu mempunyai dua tangan dan dua kaki tetapi dihumbankan ke dalam api neraka.
MAT 18:9 Sekiranya matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkil dan buanglah mata itu. Lebih baik kamu kehilangan sebelah mata tetapi menikmati hidup kekal, daripada kamu memiliki dua mata tetapi dilontarkan ke dalam api neraka.
MAT 18:10 ‘Hati-hatilah, jangan hinakan seorang daripada pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa berada di hadirat Bapa-Ku di syurga.
MAT 18:11 Putera Insan datang untuk menyelamatkan orang yang sesat.
MAT 18:12 ‘Bagaimana pandanganmu? Jika seseorang mempunyai seratus ekor domba dan seekor daripadanya sesat, apa yang akan dilakukannya? Tentulah dia meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang merumput di bukit dan pergi mencari domba yang sesat itu.
MAT 18:13 Sesungguhnya, apabila dia menjumpainya, domba yang seekor itu lebih menggembirakannya daripada sembilan puluh sembilan ekor yang lain itu.
MAT 18:14 Demikianlah juga Bapamu yang di syurga, tidak mahu seorang pun pengikut-Ku yang kecil ini sesat.
MAT 18:15 ‘Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah mendapatkannya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan diam-diam, antara kamu berdua sahaja. Sekiranya dia mahu mendengar katamu, ertinya kamu berjaya mendapat kembali saudaramu.
MAT 18:16 Jika tidak, bawalah seorang dua bersamamu; kerana telah tersurat, “Setiap tuduhan harus disokong dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi.”
MAT 18:17 Sekiranya dia enggan menerima nasihat mereka, maklumkan hal itu kepada jemaah. Jika nasihat jemaah pun tidak diterimanya, anggaplah dia seperti orang yang tidak mengenal Allah atau pemungut cukai.
MAT 18:18 ‘Sesungguhnya, apa yang kamu ikat di dunia akan diikat di syurga, dan apa yang kamu uraikan di dunia akan diuraikan juga di syurga.
MAT 18:19 ‘Ketahuilah juga, setiap kali dua orang daripadamu di dunia ini bersetuju untuk memohon sesuatu daripada-Ku, permohonan itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga;
MAT 18:20 kerana apabila dua atau tiga orang berhimpun kerana-Ku, Aku ada di situ bersama mereka.’
MAT 18:21 Petrus datang mendapatkan Isa lalu bertanya, ‘Junjungan, jika saudaraku berdosa terhadapku, berapa kalikah harus kuampuni dia? Sehingga tujuh kali?’
MAT 18:22 Isa menjawab, ‘Bukan tujuh kali. Tujuh puluh kali tujuh kali.’
MAT 18:23 ‘Kerana kerajaan syurga seperti berikut: Seorang raja hendak menyelesaikan kira-kira dengan para hambanya.
MAT 18:24 Salah seorang hambanya yang berhutang sebanyak lima puluh juta keping wang perak dibawa mengadapnya.
MAT 18:25 Hamba itu tidak dapat menjelaskan hutangnya. Oleh itu, raja memerintahkan supaya hamba itu dijual bersama anak isteri dan harta bendanya untuk membayar hutang itu.
MAT 18:26 ‘Hamba itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutang itu.”
MAT 18:27 Raja itu berasa kasihan kepadanya lalu menghapuskan segala hutangnya dan membebaskannya.
MAT 18:28 ‘Tetapi ketika hamba itu keluar, dia menemui seorang hamba lain yang berhutang seratus keping wang perak kepadanya. Dia menangkap dan hendak mencekik rakannya itu sambil berkata, “Bayar semua hutangmu.”
MAT 18:29 ‘Rakannya itu menyembah dan merayu, “Bersabarlah denganku. Aku akan menjelaskan hutangku.”
MAT 18:30 ‘Tetapi hamba itu tidak mempedulikan rayuan rakannya. Malah dia memerintahkan supaya rakannya dipenjarakan sehingga menjelaskan hutangnya.
MAT 18:31 Hamba-hamba lain dukacita melihatnya lalu mengadukan hal itu kepada raja.
MAT 18:32 ‘Raja pun memanggil hamba yang tidak berhati perut itu lalu berkata, “Sungguh kejam perbuatanmu! Aku telah menghapuskan segala hutangmu kerana kamu merayu supaya aku mengampunimu.
MAT 18:33 Bukankah sepatutnya kamu mengasihani rakanmu sebagaimana aku mengasihanimu?”
MAT 18:34 Dengan murkanya raja menitahkan supaya hamba yang tidak berperikemanusiaan itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dibayar.
MAT 18:35 ‘Begitulah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripadamu yang tidak mengampuni saudaranya dengan ikhlas.’
MAT 19:1 Selepas Isa selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan.
MAT 19:2 Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
MAT 19:3 Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Isa. Mereka bertanya, ‘Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?’
MAT 19:4 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan?
MAT 19:5 Setelah itu Allah berfirman, “Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.”
MAT 19:6 Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.’
MAT 19:7 Kata orang Farisi itu, ‘Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?’
MAT 19:8 Isa menjawab, ‘Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu.
MAT 19:9 Sesungguhnya jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana isterinya melakukan pencabulan, dan lelaki itu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.’
MAT 19:10 Para pengikut Isa berkata, ‘Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.’
MAT 19:11 Isa menjawab, ‘Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya.
MAT 19:12 Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.’
MAT 19:13 Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Isa dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para pengikut Isa memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu.
MAT 19:14 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang masuk ke dalam kerajaan syurga.’
MAT 19:15 Isa meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.
MAT 19:16 Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Isa lalu bertanya, ‘Tuan Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?’
MAT 19:17 Isa menjawab, ‘Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.’
MAT 19:18 Pemuda itu bertanya, ‘Hukum yang mana?’ Isa menjawab, ‘ “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu;
MAT 19:19 hormati ibu bapamu; kasihi sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi diri sendiri.” ’
MAT 19:20 ‘Semua hukum ini telah kupatuhi,’ kata pemuda itu. ‘Adakah lagi yang harus kulakukan?’
MAT 19:21 Isa menjawab, ‘Jika kamu ingin menjadi sempurna, jualkanlah segala harta bendamu dan sedekahkan wang itu kepada orang miskin. Kamu akan mendapat harta di syurga. Setelah itu, ikutlah Aku.’
MAT 19:22 Apabila mendengar jawapan Isa, pemuda itu beredar dari situ dengan dukacita, kerana dia seorang yang kaya-raya.
MAT 19:23 Isa pun berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Sesungguhnya, sukar sekali bagi orang kaya memasuki kerajaan syurga.
MAT 19:24 Aku berkata kepadamu, lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’
MAT 19:25 Para pengikut Isa hairan mendengar kata-kata itu lalu bertanya, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’
MAT 19:26 Sambil memandang mereka Isa menjawab, ‘Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil.’
MAT 19:27 Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu. Apakah yang akan kami terima?’
MAT 19:28 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, ketika Putera Insan duduk di atas takhta-Nya yang mulia dalam kerajaan Allah, kamu pengikut-Ku juga akan bertakhta menghakimi dua belas suku Israel.
MAT 19:29 Setiap orang yang telah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya dan akan memperoleh hidup kekal.
MAT 19:30 Tetapi ramai orang yang sekarang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang sekarang terakhir akan menjadi yang terdahulu.
MAT 20:1 ‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang tuan punya ladang anggur keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladangnya.
MAT 20:2 Dia bersetuju membayar upah yang biasa dibayar untuk bekerja sehari iaitu sekeping wang perak. Dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.
MAT 20:3 ‘Pada pukul sembilan pagi, tuan punya ladang itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar.
MAT 20:4 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.” ’
MAT 20:5 Mereka pun pergi. ‘Pada pukul dua belas tengah hari dan pada pukul tiga petang, begitu jugalah yang terjadi.
MAT 20:6 Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, “Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?”
MAT 20:7 ‘Mereka menjawab, “Tiada siapa mengupah kami bekerja.” ‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata tuan punya ladang itu.
MAT 20:8 ‘Setelah hari petang, tuan punya ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, “Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.”
MAT 20:9 ‘Mereka yang bekerja dari pukul lima petang menerima sekeping wang perak seorang.
MAT 20:10 Oleh itu mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang perak seorang.
MAT 20:11 Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan punya ladang itu.
MAT 20:12 Mereka berkata, “Pekerja-pekerja yang bermula pada pukul lima itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama saja!”
MAT 20:13 ‘Tuan punya ladang itu menjawab kepada seorang daripada mereka, “Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari?
MAT 20:14 Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama.
MAT 20:15 Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?” ’
MAT 20:16 Isa berkata lagi, ‘Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’
MAT 20:17 Ketika Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Dia mengajak kedua belas orang pengikut-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka:
MAT 20:18 ‘Dengarlah, kita sekarang ke Baitulmaqdis. Di sana Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
MAT 20:19 Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.’
MAT 20:20 Setelah itu, isteri Zebedeus datang mendapatkan Isa dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Isa dan memohon sesuatu.
MAT 20:21 ‘Apakah permintaanmu?’ tanya Isa. Ibu itu menjawab, ‘Junjungan berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk di kiri kanan-Mu.’
MAT 20:22 Isa berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Kuminum?’ ‘Sanggup,’ jawab mereka.
MAT 20:23 Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum dari cawan-Ku dan diimadkan secara Aku diimadkan. Tetapi Aku tidak berhak menentukan siapa yang akan duduk di kiri kanan-Ku kerana tempat itu milik mereka yang telah ditentukan oleh Bapa-Ku.’
MAT 20:24 Apabila sepuluh pengikut Isa yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua saudara itu.
MAT 20:25 Oleh yang demikian, Isa memanggil mereka semua lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan bangsa yang tidak mengenal Allah, orang yang berkuasa menindas rakyat, dan pegawai besar mereka mempunyai kuasa terhadap mereka.
MAT 20:26 Tetapi di kalanganmu bukan begitu. Sebaliknya, jika seorang daripadamu ingin menjadi orang besar, dia mestilah melayan yang lain.
MAT 20:27 Sekiranya seorang daripadamu hendak menjadi orang yang pertama, dia haruslah menjadi hamba kepada orang lain.
MAT 20:28 Demikianlah Putera Insan: Dia datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, serta menyerahkan nyawa-Nya untuk menjadi tebusan bagi umat manusia.’
MAT 20:29 Isa meninggalkan Yerikho bersama para pengikut-Nya. Ramai orang mengikut mereka.
MAT 20:30 Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Isa lalu di situ lalu berseru, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’
MAT 20:31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka berseru lebih lantang lagi, ‘Wahai Junjungan, Anak Daud, kasihanilah kami!’
MAT 20:32 Isa berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, ‘Apakah yang kamu mahu Kulakukan untukmu?’
MAT 20:33 Mereka menjawab, ‘Junjungan, kami ingin melihat!’
MAT 20:34 Isa mengasihani mereka. Dia menyentuh mereka, dan dengan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.
MAT 21:1 Ketika hampir mendekati Baitulmaqdis, Isa dan para pengikut-Nya sampai di Baitfagi, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Kemudian Isa menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi ke situ terlebih dahulu.
MAT 21:2 Dia berkata, ‘Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu memasukinya, kamu akan melihat seekor keldai tertambat, serta anaknya. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku.
MAT 21:3 Sekiranya ada orang berkata apa-apa, katakan kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” Dia akan terus membenarkan kedua-dua keldai itu dibawa pergi.’
MAT 21:4 Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi:
MAT 21:5 ‘Katakanlah kepada puteri Sion, “Rajamu datang kepadamu dengan rendah hati, menunggang seekor keldai, seekor anak keldai yang muda.” ’
MAT 21:6 Kedua-dua orang pengikut Isa itu pun pergi menjalankan segala yang disuruh-Nya.
MAT 21:7 Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu. Setelah mengalas belakang keldai itu dengan jubah mereka, mereka mendudukkan Isa ke atasnya.
MAT 21:8 Ramai orang membentangkan jubah di atas jalan manakala yang lain memotong ranting-ranting pokok dan menyelerakkannya di jalan.
MAT 21:9 Orang ramai yang berjalan di hadapan dan di belakang Isa berseru-seru, ‘Hosana bagi Anak Daud!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’ ‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’
MAT 21:10 Apabila Dia masuk ke Baitulmaqdis, seisi kota itu kagum lalu bertanya, ‘Siapakah ini?’
MAT 21:11 Orang ramai itu berkata, ‘Inilah Isa, nabi dari Nasaret di Galilea.’
MAT 21:12 Setelah itu Isa masuk ke rumah ibadat dan mengusir semua orang yang berjual-beli di situ. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk orang yang menjual merpati.
MAT 21:13 Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.” ’
MAT 21:14 Selepas itu orang yang buta dan yang tempang datang mendapatkan Isa di rumah ibadat, lalu Dia menyembuhkan mereka.
MAT 21:15 Tetapi apabila ketua imam dan guru Taurat melihat segala mukjizat yang dilakukan-Nya, dan kanak-kanak berseru di dalam rumah ibadat, ‘Hosana bagi Anak Daud!’ mereka berasa marah.
MAT 21:16 Mereka berkata kepada Isa, ‘Kamu dengarkah apa yang mereka katakan?’ Isa menjawab, ‘Ya, belum pernahkah kamu baca, “Dari mulut kanak-kanak dan bayi yang sedang menyusu, Engkau telah menyediakan puji-pujian.” ’
MAT 21:17 Kemudian Dia meninggalkan mereka dan keluar dari kota itu lalu pergi ke Baitani. Dia menginap di situ.
MAT 21:18 Pada pagi esoknya, ketika Dia pergi semula ke kota Baitulmaqdis, Dia berasa lapar.
MAT 21:19 Dia melihat sebatang pokok ara di tepi jalan. Apabila Dia mendekatinya dan mendapati pokok itu hanya berdaun tidak berbuah, Dia berkata kepadanya, ‘Janganlah berbuah lagi selama-lamanya.’ Serta-merta pokok itu layu dan mati.
MAT 21:20 Apabila dilihat oleh para pengikut-Nya, mereka hairan dan bertanya, ‘Bagaimana pokok ara itu boleh layu dan mati serta-merta?’
MAT 21:21 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, jika kamu beriman tanpa ragu, kamu dapat melakukan begitu juga kepada pokok ara itu, malah kamu boleh berkata kepada gunung ini, “Beralihlah dan terhumbanlah ke dalam laut,” lalu hal itu akan terjadi.
MAT 21:22 Apa sahaja yang kamu minta dalam doa dengan iman, akan kamu terima.’
MAT 21:23 Apabila Isa masuk ke rumah ibadat, ketua imam dan tua-tua datang kepada-Nya ketika Dia sedang mengajar, ‘Dengan kuasa apakah kamu melakukan semua ini? Dan siapakah yang memberimu kuasa itu?’
MAT 21:24 Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya sesuatu kepadamu. Jika kamu memberitahu-Ku, Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan segala ini:
MAT 21:25 Pengimadan Yahya dari manakah asalnya? Daripada Allah atau daripada manusia?’ Mereka pun berbincang sama sendiri, ‘Kalau kita kata, “Daripada Allah,” dia akan berkata, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak mempercayainya?”
MAT 21:26 Tetapi kalau kita kata, “Daripada manusia,” takut orang ramai marah, kerana mereka menganggap Yahya seorang nabi.’
MAT 21:27 Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku lakukan semua ini.
MAT 21:28 ‘Tetapi bagaimana pandanganmu? Seorang ada dua orang anak lelaki. Dia mendapatkan yang sulung dan berkata, “Anakku, pergilah bekerja hari ini di ladang anggurku.”
MAT 21:29 ‘Anak itu menjawab, “Aku tidak mahu,” tetapi kemudian dia menyesal lalu pergi bekerja di ladang bapanya.
MAT 21:30 ‘Ayah itu pergi pula mendapatkan anaknya yang kedua dengan kata-kata yang sama. Anak itu menjawab, “Baiklah, aku pergi, ayah,” tetapi dia tidak pergi.
MAT 21:31 ‘Antara dua itu, yang mana melakukan kehendak bapanya?’ Mereka menjawab, ‘Yang sulung.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, pemungut cukai dan pelacur akan memasuki kerajaan Allah terlebih dahulu daripadamu.
MAT 21:32 Yahya datang kepadamu untuk menunjukkan jalan yang benar tetapi kamu tidak percaya kepadanya; manakala pemungut cukai dan pelacur percaya kepadanya. Setelah kamu melihat hal ini pun, hatimu tidak menjadi lembut dan percaya kepadanya.
MAT 21:33 ‘Dengarlah satu ibarat lagi: Seorang tuan punya tanah memiliki ladang anggur. Dia memagar ladang itu, menggali lubang tempat memeras anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu pergi ke luar negeri.
MAT 21:34 Apabila sampai masanya untuk mengumpulkan buah anggur, tuan punya ladang itu menghantar hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa tersebut meminta bahagiannya daripada hasil ladang itu.
MAT 21:35 ‘Tetapi para penyewa menangkap hamba-hamba itu. Ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada yang direjam.
MAT 21:36 Tuan punya ladang itu menghantar hamba-hamba yang lain pula, lebih banyak lagi bilangannya. Tetapi hamba-hamba itu pun diperlakukan begitu juga.
MAT 21:37 Akhirnya tuan punya ladang itu menghantar puteranya sambil berfikir, “Tentu mereka akan menghormati puteraku.”
MAT 21:38 ‘Tetapi apabila mereka melihat putera tuan punya ladang itu, mereka berkata sama sendiri, “Marilah kita bunuh waris tuan punya ladang ini, supaya dapat kita rampas harta pusakanya.”
MAT 21:39 Mereka pun menangkapnya, menghumbankannya ke luar ladang dan membunuhnya.’
MAT 21:40 Selepas itu Isa bertanya, ‘Apabila tuan punya ladang itu pulang, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa itu?’
MAT 21:41 Mereka menjawab, ‘Tentu dia akan membunuh semua orang yang jahat itu dan menyewakan ladang anggurnya kepada orang lain yang sanggup memberikan bahagiannya daripada hasil ladang itu pada musim memetik anggur.’
MAT 21:42 Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah kamu baca apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru. Demikianlah perbuatan Tuhan; Sungguh hebat di mata kami!”?
MAT 21:43 ‘Sesungguhnya, hak untuk memasuki kerajaan Allah akan diambil daripadamu dan diberikan kepada bangsa yang memberikan hasil yang dikehendaki Allah.
MAT 21:44 Sesiapa yang jatuh ke atas batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan digilis menjadi debu.’
MAT 21:45 Apabila ketua imam dan orang Farisi mendengar ibarat-ibarat Isa, fahamlah mereka bahawa Dia bercakap tentang mereka.
MAT 21:46 Oleh itu mereka cuba menangkap Isa. Tetapi mereka takut akan orang ramai yang menganggap Isa sebagai seorang nabi.
MAT 22:1 Isa bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat.
MAT 22:2 Dia berkata, ‘Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anak lelakinya.
MAT 22:3 Raja menitahkan hamba-hambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir.
MAT 22:4 ‘Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, “Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.”
MAT 22:5 ‘Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai.
MAT 22:6 Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka.
MAT 22:7 Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka.
MAT 22:8 ‘Setelah itu raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, “Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya.
MAT 22:9 Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.”
MAT 22:10 Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik atau pun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.
MAT 22:11 ‘Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan.
MAT 22:12 Raja berkata kepadanya, “Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?” Orang itu terdiam.
MAT 22:13 ‘Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, “Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”
MAT 22:14 ‘Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.’
MAT 22:15 Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Isa dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya.
MAT 22:16 Mereka menghantar para pengikut mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Isa dan berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu Engkau ikhlas, dan terus-terang mengajarkan kehendak Allah berdasarkan yang benar kepada manusia. Engkau tidak takut kepada sesiapapun kerana Engkau tidak pilih kasih.
MAT 22:17 Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Haruskah kita membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?’
MAT 22:18 Isa mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, ‘Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku?
MAT 22:19 Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.’ Mereka memberikan mata wang itu kepada Isa.
MAT 22:20 Isa bertanya kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’
MAT 22:21 ‘Kaisar,’ jawab mereka. Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.’
MAT 22:22 Mereka tercengang mendengar kata-kata Isa, lalu pergi dari situ.
MAT 22:23 Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang mendapatkan Isa. Menurut kepercayaan golongan ini, orang mati tidak akan bangkit semula.
MAT 22:24 Mereka berkata, ‘Tuan Guru, ajaran Musa begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk mendapatkan zuriat.
MAT 22:25 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya.
MAT 22:26 Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh.
MAT 22:27 Akhirnya wanita itu meninggal dunia.
MAT 22:28 Pada hari kebangkitkan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuh saudara itu telah berkahwin dengannya.’
MAT 22:29 Isa menjawab, ‘Tanggapanmu salah sama sekali. Kamu tidak memahami Kitab Suci dan kuasa Allah.
MAT 22:30 Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga. Mereka tidak berkahwin.
MAT 22:31 Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah:
MAT 22:32 “Akulah Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Oleh itu, Dia Allah Tuhan orang hidup, bukan Allah Tuhan orang mati.’
MAT 22:33 Orang ramai kagum mendengar ajaran Isa.
MAT 22:34 Apabila orang Farisi mendengar betapa Isa menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul.
MAT 22:35 Seorang guru Taurat antara mereka cuba memerangkap Isa dengan suatu soalan:
MAT 22:36 ‘Tuan Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?’
MAT 22:37 Isa menjawab, ‘ “Kasihilah Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hati, dengan sepenuh jiwa dan dengan sepenuh fikiranmu.”
MAT 22:38 Inilah perintah yang terutama dan terpenting.
MAT 22:39 Perintah kedua sama pentingnya: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”
MAT 22:40 Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.’
MAT 22:41 Isa bertanya kepada orang Farisi yang berkumpul itu:
MAT 22:42 ‘Apa pendapatmu tentang al-Masih? Anak siapakah Dia?’ ‘Anak Daud,’ jawab mereka.
MAT 22:43 ‘Kalau begitu, mengapakah Daud, ketika diilhami Roh Suci, menyebut-Nya “Junjungan”? Daud berkata,
MAT 22:44 “Tuhan telah berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’”
MAT 22:45 ‘Jika Daud menyebut Dia yang diutus oleh Allah itu “Junjungan,” bagaimana mungkin Dia itu anak Daud?’
MAT 22:46 Tidak seorang pun terjawab soalan Isa. Sejak hari itu, tiada siapa berani menanya Isa apa-apa.
MAT 23:1 Isa berkata kepada orang ramai dan para pengikut-Nya:
MAT 23:2 ‘Guru Taurat dan orang Farisi menduduki kerusi Musa.
MAT 23:3 Oleh itu, patuhilah dan turutilah perintah yang diajarkan oleh mereka. Tetapi jangan contohi perbuatan mereka, kerana tidak selaras dengan ajaran mereka.
MAT 23:4 Mereka meletakkan beban yang berat dan sukar dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka langsung tidak mahu menolong orang memikul beban itu.
MAT 23:5 ‘Mereka melakukan sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Kitab Suci yang diikatkan pada dahi dan lengan mereka, serta betapa panjangnya rumbai jubah mereka.
MAT 23:6 Mereka suka duduk di tempat terbaik di majlis jamuan dan kerusi khas di saumaah.
MAT 23:7 Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil “Tuan Guru.”
MAT 23:8 ‘Janganlah suruh orang memanggilmu “Tuan Guru,” kerana kamu semua bersaudara dan Gurumu hanya satu.
MAT 23:9 Janganlah panggil sesiapapun di dunia ini “Bapa,” kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga.
MAT 23:10 Janganlah suruh orang memanggilmu “Pemimpin,” kerana pemimpinmu hanya satu, iaitu al-Masih.
MAT 23:11 Orang yang terbesar antaramu haruslah menjadi pelayanmu.
MAT 23:12 Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, dan orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.
MAT 23:13 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang memasuki kerajaan syurga. Kamu bukan sahaja enggan memasuki kerajaan syurga; kamu halang pula orang lain yang berusaha untuk memasukinya.
MAT 23:14 Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menipu balu dan merampas rumahnya, kemudian pura-pura berdoa panjang. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang lebih berat.
MAT 23:15 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu merentas lautan dan daratan untuk menarik seseorang menganut agamamu. Namun, setelah berjaya, kamu menjadikannya isi neraka yang dua kali lebih buruk daripadamu.
MAT 23:16 ‘Malanglah kamu, pemimpin yang buta! Kamu mengajar orang demikian, “Jika seorang bersumpah demi rumah ibadat, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam rumah ibadat, dia terikat pada sumpahnya.”
MAT 23:17 Hai orang bodoh dan buta! Yang mana lebih penting, emas atau rumah ibadat Allah yang menjadikan emas itu suci?
MAT 23:18 Kamu juga mengajar orang begini, “Jika seseorang bersumpah demi mazbah, dia tidak terikat pada sumpahnya; tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah, dia terikat pada sumpahnya.”
MAT 23:19 Hai orang yang buta hati! Yang manakah lebih penting, persembahan atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci?
MAT 23:20 Ketahuilah apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah dan demi segala persembahan di atasnya.
MAT 23:21 Apabila seseorang bersumpah demi rumah ibadat, dia bersumpah demi rumah ibadat itu dan demi Dia yang tinggal di situ.
MAT 23:22 Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Dia yang duduk di atas takhta itu.
MAT 23:23 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada pelbagai jenis rempah seperti selasih, adas manis dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mematuhi ajaran Taurat yang benar-benar penting seperti keadilan, belas kasihan dan kesetiaan. Kamu harus mengerjakan semua ini tanpa melalaikan ajaran yang lain.
MAT 23:24 Hai pemimpin yang buta! Agas kamu tapis, tetapi unta kamu telan.
MAT 23:25 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, sedangkan bahagian dalamnya penuh dengan hasil kekerasan dan kerakusanmu.
MAT 23:26 Hai orang Farisi yang buta hati! Bersihkan bahagian dalam cawan itu, bahagian luarnya akan bersih juga.
MAT 23:27 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih: cantik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk.
MAT 23:28 Begitulah kamu! Pada lahirnya kamu orang yang benar, tetapi sebenarnya kamu durjana dan munafik.
MAT 23:29 ‘Malanglah kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina makam yang indah untuk nabi-nabi dan menghiasi kubur orang yang benar.
MAT 23:30 Kamu berkata, “Kalaulah kami hidup pada zaman nenek moyang kami dulu, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang menumpahkan darah para nabi.”
MAT 23:31 Jadi, kamu sendiri memberikan kesaksian bahawa kamu keturunan pembunuh nabi!
MAT 23:32 Kalau begitu, teruskan dan sempurnakanlah apa yang dimulakan oleh nenek moyangmu!
MAT 23:33 ‘Hai kamu seperti ular, bahkan kamu seperti ular berbisa! Bagaimana kamu dapat melepaskan diri daripada azab neraka?
MAT 23:34 Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi, orang bijaksana dan guru kepadamu. Kamu akan membunuh dan menyalib mereka. Yang lain pula kamu sebat di dalam saumaah, dan buru dari kota ke kota.
MAT 23:35 Dengan demikian darah semua orang benar yang tertumpah di bumi akan ditanggungkan kepadamu: mulai daripada darah Habil yang tidak bersalah itu hingga kepada darah Zekaria anak Berekia, yang kamu bunuh di antara rumah ibadat dan mazbah.
MAT 23:36 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, semuanya itu akan ditanggungkan kepada keturunan zaman ini.
MAT 23:37 ‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah berapa kali aku ingin mendakap semua pendudukmu seperti ibu ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi kamu tidak mahu.
MAT 23:38 Rumahmu akan ditinggalkan dan terbiar.
MAT 23:39 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mulai sekarang engkau tidak akan melihat-Ku lagi sehingga engkau berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.” ’
MAT 24:1 Apabila Isa melangkah keluar dari rumah ibadat, para pengikut-Nya datang mendapatkannya lalu menunjukkan bangunan-bangunan rumah ibadat itu.
MAT 24:2 Isa berkata kepada mereka, ‘Lihatlah semuanya ini! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, satu batu pun tidak akan tinggal di tempatnya; semuanya akan dirobohkan.’
MAT 24:3 Ketika Isa duduk di atas Bukit Zaitun, para pengikut-Nya datang mendapatkan-Nya. Pada masa itu tiada orang lain di situ. Mereka bertanya, ‘Junjungan, beritahulah kami bila semuanya akan terjadi? Apakah tanda-tanda kedatangan-Mu dan akhir zaman?’
MAT 24:4 Isa menjawab, ‘Waspadalah, jangan terpedaya.
MAT 24:5 Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah al-Masih!” Mereka akan menipu orang ramai.
MAT 24:6 Kamu akan mendengar tentang peperangan dan desas-desus peperangan, tetapi jangan gentar. Itu semua mesti terjadi, tetapi bukanlah bererti akhir zaman sudah tiba.
MAT 24:7 Bangsa akan bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Kebuluran dan gempa bumi akan berlaku di merata-rata.
MAT 24:8 Segala ini cuma permulaan, ibarat sakit sebelum bersalin.
MAT 24:9 ‘Setelah itu kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membencimu kerana kamu pengikut-Ku.
MAT 24:10 Pada masa itu ramai pengikut-Ku yang tidak lagi beriman kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan membenci.
MAT 24:11 Ramai nabi palsu akan tampil memperdaya orang ramai.
MAT 24:12 Kejahatan semakin merebak sehingga kasih sayang hampir luput dari hati manusia.
MAT 24:13 Namun, sesiapa yang bertahan ke saat akhir akan diselamatkan.
MAT 24:14 Injil tentang kerajaan Allah akan disebarkan ke seluruh pelosok bumi sebagai suatu kesaksian kepada semua bangsa. Selepas itu barulah tiba akhir zaman.
MAT 24:15 ‘Oleh itu, apabila kamu melihat “Kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebut oleh Nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikanya),
MAT 24:16 ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.
MAT 24:17 Orang yang di atas bumbung ketika itu usahlah masuk ke rumah mengambil apa-apa.
MAT 24:18 Orang yang di ladang janganlah pulang mengambil jubah.
MAT 24:19 Sungguh dahsyat bagi ibu yang mengandung dan menyusui anak.
MAT 24:20 Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat.
MAT 24:21 Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi.
MAT 24:22 Kalaulah Allah tidak menyingkatkan masa itu, tiada seorang pun akan selamat. Namun, untuk umat pilihan-Nya, Allah menyingkatkan masa itu.
MAT 24:23 Pada masa itu, jika orang berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih ada di sini!” atau “Dia ada di situ!” janganlah percaya.
MAT 24:24 Kerana beberapa al-masih palsu dan nabi palsu akan datang dengan pelbagai mukjizat serta keajaiban untuk menipu orang. Sebilangan umat pilihan Allah pun mungkin turut terpedaya.
MAT 24:25 Dengarlah! Aku memberitahumu semua ini sebelum terjadi.
MAT 24:26 ‘Jika orang berkata kepadamu, “Lihat! Dia ada di gurun!” janganlah kamu ke sana. Dan jika mereka berkata, “Dia ada di dalam bilik!” usahlah kamu percaya.
MAT 24:27 Sesungguhnya, Putera Insan akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur hingga ke barat.
MAT 24:28 Di mana ada mayat, di situlah berkerumunnya burung pemakan bangkai.
MAT 24:29 ‘Tidak lama selepas kesengsaraan masa itu, “matahari akan gelap dan bulan tidak bersinar lagi; Bintang-bintang akan berguguran dari langit, dan kuasa-kuasa angkasa akan digoncang.”
MAT 24:30 ‘Tanda Putera Insan akan kelihatan di langit. Semua suku bangsa di bumi akan menangis melihat Putera Insan di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang agung.
MAT 24:31 Sangkakala akan dibunyikan dengan kuatnya, dan Putera Insan akan menghantar malaikat-malaikat-Nya ke seluruh pelosok bumi untuk menghimpunkan umat pilihan Allah.
MAT 24:32 ‘Ambillah iktibar daripada pokok ara. Apabila dahannya hijau, lembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba.
MAT 24:33 Demikianlah apabila kamu melihat perkara-perkara ini, tahulah kamu bahawa waktunya sudah dekat, sudah di ambang pintu.
MAT 24:34 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala ini akan terjadi sebelum orang yang hidup hari ini mati semuanya.
MAT 24:35 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.
MAT 24:36 ‘Namun demikian, tiada siapa yang mengetahui hari atau waktunya, baik para malaikat di syurga mahupun Putera. Hanya Bapa yang tahu.
MAT 24:37 Apabila Putera Insan datang, samalah nanti seperti zaman Nuh.
MAT 24:38 Sebelum banjir melanda, orang makan minum dan berkahwin, hinggalah waktu Nuh masuk ke bahtera.
MAT 24:39 Mereka tidak sedar apa yang berlaku hingga banjir memusnahkan mereka. Demikianlah kelak apabila Putera Insan datang.
MAT 24:40 Pada masa itu, antara dua orang yang sedang bekerja di ladang, seorang dibawa pergi dan seorang ditinggalkan.
MAT 24:41 Antara dua orang wanita yang sedang menggiling gandum, seorang akan dibawa manakala yang seorang lagi ditinggalkan.
MAT 24:42 ‘Berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya Junjunganmu akan datang.
MAT 24:43 Ingatlah: Sekiranya tuan rumah mengetahui bila masanya pencuri akan datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke rumahnya.
MAT 24:44 Kamu juga hendaklah sentiasa bersedia. Putera Insan akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.
MAT 24:45 ‘Siapakah hamba yang setia dan bijaksana? Dialah yang diamanahkan oleh tuannya menjadi pengurus rumahnya dan memberi makan kepada hamba yang lain pada waktu tertentu.
MAT 24:46 Bahagialah hamba itu jika dia didapati menjalankan tugas pada waktu tuannya kembali.
MAT 24:47 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, tuan itu akan mengamanahkan segala harta bendanya kepada hamba itu.
MAT 24:48 Tetapi jika hamba itu durjana, dia akan berkata dalam hatinya, “Masih lama lagi masanya tuanku akan pulang.”
MAT 24:49 Dia pun memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan kaki botol.
MAT 24:50 Tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya, dan pada waktu yang tidak diketahuinya.
MAT 24:51 Dia akan membunuh hamba itu dan membuangnya ke tempat orang munafik. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.
MAT 25:1 ‘Kerajaan syurga ibarat sepuluh orang anak dara yang membawa lampu dan berjalan keluar untuk menyambut pengantin lelaki.
MAT 25:2 Lima orang daripada mereka itu bijak manakala yang lima lagi kurang berakal.
MAT 25:3 Yang kurang berakal membawa lampu sahaja tanpa bekalan minyak.
MAT 25:4 Yang bijak membawa bekalan minyak bersama lampu.
MAT 25:5 Apabila pengantin lelaki lewat tiba, mereka semuanya mengantuk lalu tertidur.
MAT 25:6 ‘Pada waktu tengah malam terdengar seruan, “Pengantin lelaki sudah dekat; pergilah menyambutnya!”
MAT 25:7 ‘Kesemua anak dara itu pun membetul-betulkan lampu mereka.
MAT 25:8 Yang kurang berakal berkata kepada yang bijak, “Berilah kami minyakmu itu sedikit, kerana lampu kami hampir padam.”
MAT 25:9 ‘Tetapi yang bijak menjawab, “Kami tidak dapat memberimu, nanti tidak cukup minyak ini; pergilah beli minyak daripada penjual.”
MAT 25:10 ‘Sementara yang kurang berakal pergi membeli minyak, pengantin lelaki pun sampai. Semua mereka yang sudah sedia terus mengiringinya ke majlis perkahwinan, maka pintu pun ditutup.
MAT 25:11 ‘Kemudian barulah anak dara yang berlima lagi itu tiba lalu berseru, “Tuan, tuan, bukalah pintu untuk kami!”
MAT 25:12 ‘Tetapi pengantin lelaki berkata, “Sesungguhnya aku tidak mengenalmu.”
MAT 25:13 ‘Oleh itu berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu hari dan waktunya Putera Insan datang.
MAT 25:14 ‘Kerajaan syurga boleh juga diibaratkan demikian: Seorang lelaki hendak pergi ke tanah asing yang jauh, lalu memanggil hamba-hambanya untuk berpesan menjaga hartanya.
MAT 25:15 Kepada yang seorang dia memberi lima keping wang emas, kepada seorang lagi dua keping, kepada yang seorang lagi sekeping, masing-masing menurut kebolehannya. Setelah itu dia pun bertolak.
MAT 25:16 Hamba yang menerima lima keping emas itu memperniagakannya, lalu mendapat untung lima keping emas lagi.
MAT 25:17 Demikian juga yang menerima dua keping emas, dia mendapat laba dua keping lagi.
MAT 25:18 Tetapi yang menerima sekeping itu menggali lubang dan menyembunyikan wang tuannya di situ.
MAT 25:19 ‘Selepas beberapa lama, tuan kepada hamba-hamba itu pulang lalu menyelesaikan kira-kira dengan mereka.
MAT 25:20 Hamba yang menerima lima keping wang emas dahulu membawakan lima keping lagi sambil berkata, “Tuan, tuan telah memberiku lima keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan lima keping lagi dengannya.”
MAT 25:21 ‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit, maka aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”
MAT 25:22 ‘Yang telah menerima dua keping wang emas pula datang lalu berkata, “Tuan, tuan telah memberiku dua keping wang emas. Lihatlah, aku telah mendapatkan dua keping lagi dengannya.”
MAT 25:23 ‘Tuannya berkata kepadanya, “Syabas, wahai hamba yang baik dan setia. Kamu setia mengurus yang sedikit. Aku akan memberimu kuasa mengendalikan yang banyak. Nikmatilah kebahagiaan kurnia tuanmu.”
MAT 25:24 ‘Kemudian hamba yang menerima sekeping wang emas itu datang lalu berkata, “Tuan, aku tahu tuan berhati batu. Tuan menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
MAT 25:25 Jadi aku takut, lalu kusorokkan wang emas tuan itu di dalam tanah. Lihat, itulah hak milik tuan.”
MAT 25:26 ‘Tetapi tuannya menjawab, “Hai hamba yang jahat dan pemalas, kamu tahu aku menuai tanpa menyemai, memungut hasil tanpa menabur benih.
MAT 25:27 Oleh itu sepatutnya kamu simpan wang itu di dalam bank, supaya ketika aku pulang, aku menerima wang itu dengan faedahnya.
MAT 25:28 ‘ “Sekarang, wang sekeping itu kusuruh ambil daripadamu dan berikan kepada yang mempunyai sepuluh keping wang emas.
MAT 25:29 Demikianlah, kepada setiap orang yang ada, akan diberi lebih lagi, menjadikan dia penuh dengan kelimpahan; sebaliknya orang yang tidak ada, apa yang ada padanya pun akan diambil.
MAT 25:30 Buangkan hamba yang tidak berguna ini ke dalam kegelapan di luar. Di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.”
MAT 25:31 ‘Apabila Putera Insan datang dengan segala kemuliaan-Nya, diiringi sekalian malaikat suci, Dia akan duduk di atas takhta kemuliaan-Nya.
MAT 25:32 Semua bangsa akan berhimpun di hadapan-Nya, dan Dia akan mengasing-asingkan mereka, sebagaimana gembala mengasing-asingkan domba daripada kambing.
MAT 25:33 Dia akan meletakkan domba di sebelah kanan-Nya dan kambing di sebelah kiri-Nya.
MAT 25:34 ‘Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, “Marilah, kamu yang diberkati oleh Bapa-Ku! Warisilah kerajaan yang telah disediakan untukmu sejak dunia dicipta.
MAT 25:35 Kerana Aku lapar dan kamu memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu memberi-Ku minuman; Aku orang asing dan kamu menerima-Ku masuk ke rumahmu;
MAT 25:36 Aku tidak berpakaian dan kamu memberi-Ku pakaian; Aku sakit dan kamu melawat-Ku; Aku di dalam penjara dan kamu datang kepada-Ku.”
MAT 25:37 ‘Orang yang benar itu pun bertanya, “Junjungan, bilakah kami melihat-Mu lapar dan memberi-Mu makanan, melihat-Mu dahaga dan memberi-Mu minuman?
MAT 25:38 Bilakah kami melihat-Mu orang asing dan menerima-Mu masuk ke rumah, melihat-Mu tidak berpakaian dan memberi-Mu pakaian?
MAT 25:39 Bila pula kami melihat-Mu sakit, atau di dalam penjara, dan datang kepada-Mu?”
MAT 25:40 ‘Raja akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku.”
MAT 25:41 ‘Selepas itu Dia akan berkata kepada mereka yang di sebelah kiri-Nya, “Nyahlah dari sisiku, kamu yang terlaknat, ke dalam api abadi yang telah disediakan untuk Iblis dan para penyokongnya;
MAT 25:42 kerana Aku lapar dan kamu tidak memberi-Ku makanan; Aku dahaga dan kamu tidak memberi-Ku minuman.
MAT 25:43 Aku orang asing dan kamu tidak menerima-Ku masuk ke rumahmu; Aku tidak berpakaian dan kamu tidak memberi-Ku pakaian; Aku sakit, Aku di dalam penjara, dan kamu tidak melawat-Ku.”
MAT 25:44 ‘Mereka akan berkata, “Junjungan kami, bilakah kami melihat-Mu lapar, atau dahaga, orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau di dalam penjara, dan tidak mengambil berat tentang-Mu?”
MAT 25:45 ‘Dia akan menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu tidak melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-saudara-Ku ini, ertinya kamu tidak melakukannya kepada-Ku.”
MAT 25:46 ‘Mereka itu akan menanggung azab hukuman selama-lamanya, manakala mereka yang benar akan menikmati hidup kekal.’
MAT 26:1 Setelah selesai Isa menyampaikan semua ini, Dia pun berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
MAT 26:2 ‘Kamu tahu bahawa dua hari lagi perayaan Paska menjelang, dan Putera Insan akan diserahkan untuk disalib.’
MAT 26:3 Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua berhimpun di rumah Imam Besar yang bernama Kayafas.
MAT 26:4 Mereka berpakat untuk memperdaya Isa dan membunuh-Nya.
MAT 26:5 Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah dilakukan pada masa perayaan, takut orang ramai merusuh.’
MAT 26:6 Apabila Isa berada di Betani di rumah Simon, yang menghidap penyakit kusta,
MAT 26:7 seorang wanita mendekati-Nya dengan sebuah bekas alabaster berisi minyak wangi yang amat mahal, lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala-Nya ketika Dia sedang bertelekan di meja.
MAT 26:8 Apabila pengikut-pengikut-Nya melihat perbuatan wanita itu, mereka marah lalu berkata, ‘Mengapa membazir begini?
MAT 26:9 Minyak wangi ini boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin.’
MAT 26:10 Tetapi apabila Isa mengetahui kemarahan mereka, Dia berkata, ‘Mengapakah kamu menyusahkan wanita ini? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
MAT 26:11 Orang miskin akan sentiasa ada di sekelilingmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.
MAT 26:12 Dengan menuangkan minyak wangi ini ke atas tubuh-Ku, dia melakukannya untuk pengebumian-Ku.
MAT 26:13 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disampaikan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.’
MAT 26:14 Selepas itu, seorang daripada dua belas orang pengikut Isa, bernama Yudas Iskariot, pergi berjumpa dengan ketua-ketua imam.
MAT 26:15 Dia berkata kepada mereka, ‘Apakah yang sanggup kamu berikan kepadaku kalau kuserahkan Dia kepadamu?’ Mereka memberinya tiga puluh keping wang perak.
MAT 26:16 Sejak itu dia pun mencari peluang untuk mengkhianati Isa.
MAT 26:17 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Isa mendapatkan-Nya lalu berkata, ‘Di manakah Junjungan mahu kami sediakan jamuan Paska untuk-Mu?’
MAT 26:18 Isa menyuruh mereka ke bandar, mencari seorang tertentu dan mengatakan kepadanya, ‘Guru berkata, “Masa-Ku sudah hampir; Aku akan menyambut perayaan Paska di rumahmu bersama para pengikut-Ku.” ’
MAT 26:19 Pengikut-pengikut Isa menjalankan arahan-Nya lalu menyediakan jamuan perayaan Paska.
MAT 26:20 Menjelang malam, Dia pun bertelekan di meja bersama pengikutnya yang dua belas itu.
MAT 26:21 Sambil makan itu Dia berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
MAT 26:22 Mereka sungguh berdukacita, dan setiap orang daripada mereka berkata kepada-Nya, ‘Junjungan, tentunya aku bukan orang itu?’
MAT 26:23 Isa menjawab, ‘Orang yang mencecahkan tangannya bersama-Ku ke dalam bekas akan mengkhianati-Ku.
MAT 26:24 Putera Insan memanglah harus pergi sebagaimana telah tersurat, tetapi malanglah orang yang mengkhianati-Nya! Lebih baik lagi bagi orang itu jika tidak dilahirkan.’
MAT 26:25 Ketika itu Yudas yang akan mengkhianati-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, akukah orangnya?’ Isa berkata kepadanya, ‘Kamu telah mengatakannya.’
MAT 26:26 Ketika mereka sedang makan, Isa mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan membahagikannya kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, ‘Ambil dan makanlah, ini tubuh-Ku.’
MAT 26:27 Kemudian Dia mengambil cawan air anggur dan mengucap syukur kepada Allah lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Minumlah darinya, kamu semua.
MAT 26:28 Kerana ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk umat manusia supaya hapus dosa mereka.
MAT 26:29 Tetapi, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur dari saat ini hinggalah hari Aku minum air anggur bersamamu dalam kerajaan Bapa-Ku.’
MAT 26:30 Setelah menyanyikan sebuah lagu suci mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.
MAT 26:31 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu semua akan goyah kerana-Ku malam ini, sebagaimana telah tersurat: “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”
MAT 26:32 ‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.’
MAT 26:33 Petrus menjawab, ‘Kalaupun semua yang lain goyah kerana-Mu, Junjungan, aku tidak akan goyah.’
MAT 26:34 Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini juga, sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’
MAT 26:35 Petrus berkata kepada Isa, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu, Junjungan!’ Demikian jugalah kata pengikut-pengikut-Nya yang sebelas orang lagi.
MAT 26:36 Selepas itu Isa pergi bersama mereka ke sebuah tempat bernama Getsemani, lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa di sana.’
MAT 26:37 Isa membawa bersama-Nya Petrus dan kedua-dua anak Zebedeus. Dia mula berdukacita dan amat berpilu hati.
MAT 26:38 Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini berjaga bersama-Ku.’
MAT 26:39 Isa pergi jauh sedikit dari situ lalu sujud menyembamkan muka ke tanah dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, kalaulah dapat, edarkanlah cawan ini daripada-Ku; namun, biarlah kehendak-Mu berlaku, bukan kehendak-Ku.’
MAT 26:40 Kemudian Dia pergi kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka telah tertidur; lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Apa? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga bersama-Ku?’
MAT 26:41 Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’
MAT 26:42 Bagi kali kedua, Dia pergi dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika cawan ini tidak mungkin beredar daripada-Ku melainkan Kuminum, biarlah kehendak-Mu berlaku.’
MAT 26:43 Selepas itu Dia mendapati mereka tidur lagi, kerana mata mereka sungguh mengantuk.
MAT 26:44 Dia pun meninggalkan mereka dan pergi berdoa lagi, bagi kali ketiga. Dia mengucapkan kata-kata yang sama.
MAT 26:45 Setelah itu Dia mendapatkan pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Lihatlah, masanya telah menjelang, dan Putera Insan sedang dikhianati untuk diserahkan ke tangan orang berdosa.
MAT 26:46 Bangunlah, ayuh kita pergi. Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba.’
MAT 26:47 Ketika Dia sedang berkata-kata itu, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas, Yudas, datang diiringi orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam dan tua-tua.
MAT 26:48 Pengkhianat Isa telah menyatakan isyarat kepada mereka, ‘Yang kucium nanti, itulah orangnya; tangkaplah Dia.’
MAT 26:49 Dengan segera dia menghampiri Isa sambil berkata, ‘Selamat sejahtera, Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.
MAT 26:50 Isa berkata kepadanya, ‘Kawan, mengapakah kamu datang?’ Orang ramai itu pun menangkap Isa.
MAT 26:51 Tiba-tiba seorang pengikut Isa menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga telinganya putus.
MAT 26:52 Tetapi Isa berkata kepada pengikut-Nya itu, ‘Simpan semula pedangmu di tempatnya yang wajar, kerana semua yang menggunakan pedang akan musnah dimakan pedang.
MAT 26:53 Adakah kamu sangka Aku tidak boleh berdoa supaya Bapa-Ku menghantar lebih daripada dua belas tentera malaikat untuk menolong-Ku?
MAT 26:54 Bukankah kejadian ini mesti berlaku supaya yang tersurat di dalam Kitab Suci ternyata benar?’
MAT 26:55 Kemudian Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Patutkah kamu datang, bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi? Hari demi hari Aku duduk bersamamu, mengajar di rumah ibadat, dan kamu tidak menangkap-Ku.
MAT 26:56 Tetapi segala ini dilakukan untuk menunaikan apa yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi.’ Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya, masing-masing melarikan diri.
MAT 26:57 Orang yang menangkap Isa membawa-Nya kepada Kayafas, Imam Besar. Di situ guru-guru Taurat dan tua-tua telah berhimpun.
MAT 26:58 Petrus mengikut dari jauh ke bahagian laman dalam rumah Imam Besar, lalu masuk dan duduk di kalangan hamba-hamba di situ untuk melihat kesudahan perkara itu.
MAT 26:59 Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama telah mencari kesaksian palsu terhadap Isa supaya dapat membunuh-Nya.
MAT 26:60 Tetapi mereka tidak berjaya. Sungguhpun ramai saksi palsu yang tampil, tidak didapati kesaksian yang dikehendaki itu. Akhirnya dua orang saksi tampil
MAT 26:61 dengan kesaksian: ‘Orang ini telah berkata, “Aku dapat memusnahkan rumah Allah dan membinanya semula dalam tiga hari.”’
MAT 26:62 Imam Besar berdiri lalu berkata kepada Isa, ‘Tidakkah kamu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh dua orang ini terhadap-Mu?’
MAT 26:63 Tetapi Isa berdiam diri. Imam Besar berkata kepada-Nya, ‘Demi Allah yang hidup, katakan kepada kami, adakah kamu ini al-Masih, Putera Allah?’
MAT 26:64 Isa berkata kepadanya, ‘Benarlah seperti katamu. Namun, Aku berkata kepadamu, kemudian hari kelak kamu akan melihat Putera Insan duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di atas langit.’
MAT 26:65 Kemudian Imam Besar mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Dia telah melafazkan kata-kata kufur! Apa perlunya saksi lagi? Sekarang kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya!
MAT 26:66 Bagaimana pendapatmu?’ Mereka menjawab, ‘Dia patut dibunuh.’
MAT 26:67 Setelah itu mereka meludah muka-Nya dan memukul-Nya. Ada yang menampar-Nya.
MAT 26:68 Mereka berkata, ‘Bernubuatlah pada kami, hai al-Masih! Siapa yang memukul-Mu?’
MAT 26:69 Sedang Petrus duduk di laman dalam rumah itu, seorang hamba perempuan datang dan berkata kepadanya, ‘Kamu pun bersama Isa dari Galilea.’
MAT 26:70 Tetapi Petrus menyangkal di hadapan mereka semua, ‘Aku tak tahu apa yang kaukatakan itu.’
MAT 26:71 Setelah Petrus pergi ke luar ke pintu gerbang, seorang perempuan lagi melihatnya dan berkata kepada orang di situ, ‘Orang ini pun bersama Isa orang Nasaret.’
MAT 26:72 Petrus menyangkal lagi sambil bersumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’
MAT 26:73 Tidak lama kemudian orang yang berdiri-diri di situ menghampiri Petrus dan berkata kepadanya, ‘Sudah tentu kamu juga seorang daripada mereka; ini jelas daripada loghatmu.’
MAT 26:74 Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tak kenal orang itu!’ Serta-merta ayam berkokok.
MAT 26:75 Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya, ‘Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Petrus pun keluar dari situ lalu menangis dengan amat kesalnya.
MAT 27:1 Setelah siang, semua ketua imam dan tua-tua berpakat untuk membunuh Isa.
MAT 27:2 Mereka menyuruh orang mengikat-Nya. Kemudian mereka membawa-Nya lalu menyerahkan-Nya kepada gabenor, Pontius Pilatus.
MAT 27:3 Apabila Yudas yang mengkhianati-Nya melihat bahawa Isa telah dijatuhi hukum mati, dia menyesali perbuatannya lalu mengembalikan tiga puluh keping wang perak ke hadapan ketua-ketua imam dan tua-tua.
MAT 27:4 Yudas berkata, ‘Aku berdosa menyebabkan tumpahnya darah orang yang tidak bersalah.’ Kata mereka, ‘Apa kami peduli? Tanganilah sendiri!’
MAT 27:5 Yudas pun mencampakkan keping-keping wang perak itu ke dalam rumah ibadat lalu pergi menggantung dirinya.
MAT 27:6 Ketua-ketua imam memungut wang perak itu lalu berkata, ‘Menurut hukum, kita tidak boleh memasukkan wang ini ke dalam perbendaharaan rumah ibadat, kerana wang ini harga darah.’
MAT 27:7 Mereka bermesyuarat lalu menggunakan wang itu untuk membeli ladang tukang tembikar bagi dijadikan tempat perkuburan orang asing.
MAT 27:8 Oleh itu padang tersebut dipanggil Padang Darah hingga hari ini.
MAT 27:9 Dengan demikian berlakulah kata-kata Nabi Yeremia: ‘Maka mereka pun mengambil tiga puluh keping wang perak itu, harga Dia yang telah dinilai oleh anak-anak Israel,
MAT 27:10 lalu membeli padang untuk pengebumian orang asing, demikian firman Tuhan kepadaku.’
MAT 27:11 Gabenor bertanya kepada Isa yang berdiri di hadapannya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa berkata, ‘Begitulah seperti katamu.’
MAT 27:12 Ketika Dia dituduh oleh ketua-ketua imam dan tua-tua, Dia tidak berkata suatu apa.
MAT 27:13 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Tidakkah kamu dengar betapa banyaknya tuduhan terhadapmu dalam kesaksian mereka?’
MAT 27:14 Tetapi Isa tidak berkata sepatah pun, sehingga amat hairan gabenor melihat-Nya.
MAT 27:15 Pada perayaan Paska, lazimnya gabenor membebaskan dari penjara seorang yang dikehendaki oleh orang ramai.
MAT 27:16 Pada masa itu ada seorang banduan yang terkenal jahatnya, bernama Barabas.
MAT 27:17 Setelah mereka berhimpun, Pilatus bertanya, ‘Yang mana kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu, Barabas atau Isa yang dipanggil al-Masih?’
MAT 27:18 Gabenor mengetahui bahawa mereka telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.
MAT 27:19 Sedang gabenor duduk di atas kerusi penghakiman, isterinya berkirim pesan kepadanya, ‘Jangan apa-apakan orang yang tidak bersalah; hari ini aku banyak menanggung azab dalam mimpi kerana-Nya.’
MAT 27:20 Tetapi ketua-ketua hakim dan tua-tua dapat meyakinkan orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan dan Isa dibunuh.
MAT 27:21 Gabenor berkata kepada mereka, ‘Yang mana antara dua orang ini kamu mahu aku bebaskan dan serahkan ke tanganmu?’ Mereka menjawab, ‘Barabas!’
MAT 27:22 Pilatus bertanya kepada mereka, ‘Jadi, apa yang harus kubuat dengan Isa yang dipanggil al-Masih?’ Kesemua mereka berkata kepadanya, ‘Salibkan Dia!’
MAT 27:23 Gabenor berkata, ‘Mengapa, apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka berseru semakin lantang, ‘Salibkan Dia!’
MAT 27:24 Apabila Pilatus melihat bahawa dia tidak dapat mempengaruhi mereka malah mereka mula hendak merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai itu sambil berkata, ‘Aku bebas daripada kesalahan menumpahkan darah orang yang baik ini. Kamu tanganilah sendiri.’
MAT 27:25 Kesemua mereka menjawab, ‘Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.”
MAT 27:26 Pilatus pun membebaskan Barabas kepada mereka; dan setelah menyesah Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
MAT 27:27 Kemudian askar-askar gabenor membawa Isa ke balai istananya dan menghimpunkan seluruh pasukan tentera di situ.
MAT 27:28 Mereka melucutkan pakaian-Nya dan menyarungkan jubah ungu ke tubuh-Nya.
MAT 27:29 Mereka membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala Isa dan menggenggamkan mensiang di tangan kanan-Nya. Kemudian mereka berlutut kepada-Nya sambil mengejek-Nya, ‘Hai Raja orang Yahudi!’
MAT 27:30 Selepas itu mereka meludahi-Nya dan memukul kepala-Nya dengan mensiang itu.
MAT 27:31 Setelah selesai mereka mempermainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya lalu membawa-Nya untuk disalib.
MAT 27:32 Dalam perjalanan, mereka bertemu dengan seorang lelaki dari Kirene bernama Simon. Mereka memaksanya mengangkat kayu salib Isa.
MAT 27:33 Mereka pun sampai di suatu tempat dipanggil Golgota, bermakna Tempat Tengkorak.
MAT 27:34 Di situ mereka memberi-Nya air anggur masam bercampur hempedu dan menyuruh-Nya minum. Tetapi setelah merasanya, Dia enggan minum.
MAT 27:35 Selepas itu mereka menyalib-Nya, dan membahagikan pakaiannya dengan membuang undi, maka berlakulah seperti yang di nubuatkan: ‘Mereka bahagikan pakaian-Ku antara mereka, untuk mendapat pakaian-Ku mereka membuang undi.’
MAT 27:36 Kemudian mereka duduk berjaga di situ.
MAT 27:37 Di atas kayu salib Isa mereka memaparkan tuduhan terhadap-Nya: INILAH ISA RAJA ORANG YAHUDI.
MAT 27:38 Dua orang perompak disalib bersama-Nya, seorang di kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
MAT 27:39 Orang yang lalu di situ melemparkan kata-kata kufur kepada-Nya. Sambil menggeleng-gelengkan kepala
MAT 27:40 mereka berkata, ‘Engkau dapat memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari; selamatkanlah diri-Mu! Kalau Engkau Putera Allah, turunlah dari kayu salib itu.’
MAT 27:41 Begitu jugalah ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua, turut mengejek Isa:
MAT 27:42 ‘Dia telah menyelamatkan orang lain; diri-Nya sendiri tidak dapat diselamatkan-Nya. Kalau benar dia Raja Israel, turunlah dari kayu salib itu sekarang, baru kami percaya kepada-Nya.
MAT 27:43 Dia percayakan Allah. Biar Allah menyelamatkan-Nya sekarang, kalau Allah mahu mengakui-Nya; kerana Dia berkata, “Aku Putera Allah.”’
MAT 27:44 Perompak yang disalib bersama Isa pun menghina-Nya dengan kata-kata demikian.
MAT 27:45 Dari tengah hari hingga tiga petang, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
MAT 27:46 Kira-kira pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara yang lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ maksudnya ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’
MAT 27:47 Sesetengah orang yang berdiri di situ berkata, apabila mendengar seruan-Nya itu, ‘Orang ini memanggil Ilyas.’
MAT 27:48 Serta-merta seorang daripada mereka mengambil span, memenuhinya dengan air anggur masam dan meletakkannya pada mensiang lalu menawarkannya kepada Isa sebagai minuman.
MAT 27:49 Yang lain berkata, ‘Jangan hiraukan Dia; mari kita lihat kalau Ilyas datang menyelamatkan-Nya.’
MAT 27:50 Isa berseru lantang sekali lagi, lalu menyerahkan roh-Nya dengan nafas terakhir.
MAT 27:51 Sejurus itu tirai rumah ibadat koyak dari atas ke bawah, bumi digegar gempa dan batu-batu pejal terbelah;
MAT 27:52 kubur-kubur terbuka; dan banyak jenazah orang yang taat akan Allah dibangkitkan semula;
MAT 27:53 mereka keluar dari kubur dan selepas Isa dibangkitkan semula, mereka masuk ke kota suci itu dan menampakkan diri kepada sebilangan besar orang di situ.
MAT 27:54 Apabila ketua tentera dan orangnya yang mengawal Isa melihat gempa bumi serta kejadian-kejadian lain, mereka pun ketakutan lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’
MAT 27:55 Ramai wanita yang telah mengikut Isa dari Galilea dan melayani-Nya ada di situ, melihat dari jauh.
MAT 27:56 Antara mereka ialah Maryam Magdalena dan Maryam ibu kepada Yakobus dan Yusuf serta ibu kepada anak-anak Zebedeus.
MAT 27:57 Apabila malam menjelang, datang seorang hartawan dari Arimatea, bernama Yusuf, yang telah menjadi pengikut Isa.
MAT 27:58 Dia pergi menghadap Pilatus dan memohon jenazah Isa. Pilatus pun memerintahkan orang menyerahkan jenazah itu kepadanya.
MAT 27:59 Yusuf mengambil jenazah itu dan mengkafankannya dengan kain linen yang bersih.
MAT 27:60 Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam miliknya yang baru digalinya daripada batu pejal. Kemudian dia menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu, lalu pergi dari situ.
MAT 27:61 Ketika itu Maryam Magdalena ada di situ, begitu juga Maryam yang seorang lagi. Mereka sedang duduk berhadapan makam itu.
MAT 27:62 Pada keesokannya, iaitu sehari selepas Hari Persediaan, ketua-ketua imam dan orang Farisi datang beramai-ramai menghadap Pilatus.
MAT 27:63 Mereka berkata, ‘Tuan, kami teringat, sewaktu Dia masih hidup si penipu itu ada berkata, “Selepas tiga hari Aku akan bangkit.”
MAT 27:64 Oleh itu, silalah tuan perintahkan supaya dipastikan makam-Nya tidak dapat dibuka hingga tamat hari ketiga. Kami takut kalau-kalau para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya dibawa pergi, lalu berkata kepada orang ramai, “Dia telah bangkit daripada kematian.” Penipuan ini pasti lebih dahsyat daripada penipuan pertama.’
MAT 27:65 Pilatus berkata kepada mereka, ‘Bawalah beberapa pengawal. Pergilah sendiri, buat apa yang kamu fikirkan perlu untuk menjaga makam itu.’
MAT 27:66 Mereka pun pergi melakukannya. Mereka memperkukuh makam itu supaya tidak dapat dibuka langsung, dan mereka menugaskan pengawal berjaga di situ.
MAT 28:1 Selepas hari Sabat, ketika fajar menyingsing pada hari pertama minggu itu, Maryam Magdalena dan Maryam yang seorang lagi pergi melihat makam Isa.
MAT 28:2 Tiba-tiba terjadi gempa bumi yang hebat, kerana seorang malaikat Tuhan turun dari syurga lalu menggulingkan batu yang menutup makam itu dan duduk di atasnya.
MAT 28:3 Wajahnya laksana kilat dan pakaiannya seputih salji.
MAT 28:4 Para pengawal menggeletar ketakutan apabila melihatnya, lalu menjadi seperti orang mati.
MAT 28:5 Tetapi malaikat itu berkata kepada perempuan-perempuan itu, ‘Jangan takut, aku tahu kamu mencari Isa yang telah disalib.
MAT 28:6 Dia tidak ada di sini, kerana Dia telah bangkit semula, seperti yang dikatakan-Nya. Marilah lihat tempat Dia dibaringkan dulu.
MAT 28:7 Kemudian, segeralah pergi dan katakan kepada para pengikut-Nya bahawa Dia telah bangkit daripada kematian, dan Dia mendahului kamu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya. Lihatlah, aku telah memberitahumu.’
MAT 28:8 Mereka pun keluar dari makam itu dengan takut dan amat gembira, lalu berlari untuk membawa berita itu kepada para pengikut Isa.
MAT 28:9 Dalam perjalanan, tiba-tiba Isa menemui mereka sambil berkata, ‘Salam sejahtera!’ Lalu mereka pun mendekati Isa dan memegang kaki-Nya serta menyembah-Nya.
MAT 28:10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut. Pergilah dan suruh saudara-saudara-Ku ke Galilea. Di sana mereka akan melihat-Ku.’
MAT 28:11 Sementara perempuan itu sedang dalam perjalanan, beberapa orang pengawal tersebut masuk ke kota dan melaporkan kepada ketua-ketua imam apa yang telah terjadi.
MAT 28:12 Setelah bermesyuarat dengan tua-tua, mereka memberikan sejumlah wang yang besar kepada askar-askar yang berkawal itu
MAT 28:13 serta berpesan, ‘Beritahu orang, “Para pengikut-Nya datang pada waktu malam dan mencuri mayat-Nya lalu dibawa pergi sewaktu kami sedang tidur.”
MAT 28:14 Kalau hal ini sampai ke telinga gabenor, kami akan melembutkan hatinya dan kamu tidak akan diapa-apakan.’
MAT 28:15 Mereka menerima wang itu dan melakukan apa yang diarahkan. Cerita ini biasa disebarkan di kalangan orang Yahudi hingga sekarang.
MAT 28:16 Kemudian, pengikut Isa yang sebelas itu pergi ke Galilea, ke gunung yang telah ditetapkan oleh-Nya.
MAT 28:17 Di sana mereka melihat-Nya lalu menyembah-Nya. Namun demikian, ada antara mereka yang ragu.
MAT 28:18 Isa berkata kepada mereka, ‘Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi.
MAT 28:19 Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa pengikut-Ku. Imadkan mereka dengan nama Bapa, Putera dan Roh Suci.
MAT 28:20 Ajar mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.’
MAR 1:1 Inilah permulaan Injil tentang Isa al-Masih, Putera Allah,
MAR 1:2 Seperti yang tersurat dalam nubuat Nabi Yasyaya: ‘Lihatlah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu’
MAR 1:3 ‘satu suara berseru di gurun, “Sediakanlah jalan bagi Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya.” ’
MAR 1:4 Demikianlah Yahya muncul di gurun, mengimadkan orang dan mengkhabarkan firman – bertaubatlah dan datanglah untuk diimadkan, supaya Allah mengampunkan dosamu.
MAR 1:5 Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Baitulmaqdis untuk mendengar kata-kata Yahya. Mereka mengakui dosa mereka lalu Yahya mengimadkan mereka di Sungai Yordan.
MAR 1:6 Yahya berpakaian yang dibuat daripada bulu unta dengan tali pinggang daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun.
MAR 1:7 Inilah beritanya: ‘Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai.
MAR 1:8 Aku mengimadkanmu dengan air, tetapi Dia akan mengimadkanmu dengan Roh Suci.’
MAR 1:9 Kemudian Isa datang dari Nasaret di Galilea, lalu diimadkan oleh Yahya di Sungai Yordan.
MAR 1:10 Ketika Isa keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Suci seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya.
MAR 1:11 Lalu kedengaran suara dari syurga: ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’
MAR 1:12 Lantas, Roh Suci memimpin Isa ke gurun.
MAR 1:13 Isa di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
MAR 1:14 Setelah Yahya dipenjarakan, Isa pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah.
MAR 1:15 Isa berkata, ‘Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!’
MAR 1:16 Ketika Isa sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia terpandang dua orang nelayan, Simon dan saudaranya Andreas, sedang menjala ikan.
MAR 1:17 Isa berkata kepada mereka, ‘Ikutlah Aku. Aku akan menjadikan kamu penjala insan.’
MAR 1:18 Mereka terus meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
MAR 1:19 Sejurus berjalan, Isa melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yahya, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu.
MAR 1:20 Isa terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Isa.
MAR 1:21 Isa dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Isa masuk ke saumaah lalu mengajar.
MAR 1:22 Semua yang mendengar-Nya kagum kerana Dia mengajar dengan penuh kewibawaan, berbeza dari guru-guru Taurat.
MAR 1:23 Ketika itu seorang yang dirasuk roh durjana berada di saumaah. Dia berseru:
MAR 1:24 ‘Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Isa orang Nasaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau. Engkau Yang Suci daripada Allah!’
MAR 1:25 Isa membentak roh itu, ‘Diam! Keluar daripada orang ini!’
MAR 1:26 Roh durjana itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.
MAR 1:27 Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, ‘Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh durjana dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.’
MAR 1:28 Dengan demikian, khabar tentang Isa segera tersebar ke seluruh Galilea.
MAR 1:29 Isa dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yahya, keluar dari saumaah itu lalu ke tempat kediaman Simon dan Andreas.
MAR 1:30 Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Isa di situ, Dia diberitahu tentang hal itu.
MAR 1:31 Isa menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayani mereka.
MAR 1:32 Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Isa.
MAR 1:33 Semua penduduk kota berhimpun di hadapan rumah itu.
MAR 1:34 Isa menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
MAR 1:35 Keesokannya, pada waktu subuh, Isa bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.
MAR 1:36 Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Isa.
MAR 1:37 Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: ‘Semua orang sedang mencari-Mu!’
MAR 1:38 Isa berkata, ‘Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Kerana tujuan inilah, maka Aku datang.’
MAR 1:39 Lalu Isa menjelajah ke serata Galilea, mengajar di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
MAR 1:40 Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Isa lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, ‘Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.’
MAR 1:41 Isa berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah!’
MAR 1:42 Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.
MAR 1:43 Isa menyuruhnya pergi dengan memberi suatu peringatan keras:
MAR 1:44 ‘Dengar baik-baik. Jangan beritahu sesiapapun hal ini. Tetapi pergi kepada imam, kemudian persembahkan korban sebagaimana diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada mereka bahawa kamu benar-benar sudah ditahirkan.’
MAR 1:45 Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Isa tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Isa tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.
MAR 2:1 Beberapa hari kemudian, Isa pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu.
MAR 2:2 Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Isa pun menyampaikan firman kepada mereka.
MAR 2:3 Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh.
MAR 2:4 Oleh sebab kesasakan itu, mereka tidak dapat membawanya kepada Isa. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Isa berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.
MAR 2:5 Melihat iman mereka yang begitu teguh, Isa berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.’
MAR 2:6 Guru-guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati,
MAR 2:7 ‘Lancangnya dia mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!’
MAR 2:8 Tetapi Isa segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, ‘Mengapa kamu berfikir begitu?
MAR 2:9 Manakah yang lebih mudah dikatakan: “Dosamu telah diampunkan,” atau, “Bangun, angkat tikarmu dan berjalanlah”?
MAR 2:10 Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Putera Insan berkuasa mengampunkan dosa...’ Berkatalah Dia kepada orang lumpuh itu,
MAR 2:11 ‘Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.’
MAR 2:12 Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ kehairanan lalu memuji Allah. Mereka berkata, ‘Belum pernah kami lihat kejadian begini!’
MAR 2:13 Isa pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka.
MAR 2:14 Ketika Isa berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat kerjanya. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku,’ lalu Lewi bangun mengikut-Nya.
MAR 2:15 Selepas itu Isa makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan ‘orang berdosa’ mengikut Isa dan ramai antara mereka turut makan bersama Isa serta para pengikut-Nya.
MAR 2:16 Apabila hal ini dilihat oleh sebilangan guru Taurat daripada golongan Farisi, mereka bertanya kepada para pengikut Isa: ‘Mengapa dia makan bersama pemungut cukai dan “orang berdosa”?’
MAR 2:17 Isa mendengar pertanyaan itu lalu menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang yang benar, tetapi orang berdosa.’
MAR 2:18 Pada suatu masa ketika para pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Isa lalu bertanya, ‘Pengikut Yahya Pengimad dan pengikut orang Farisi sedang berpuasa, mengapa pengikut-Mu tidak?’
MAR 2:19 Isa menjawab, ‘Adakah tetamu di majlis jamuan kahwin berpuasa? Tentu tidak, selagi pengantin lelaki masih bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa.
MAR 2:20 Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki dibawa pergi meninggalkan mereka. Ketika itulah mereka berpuasa.
MAR 2:21 ‘Tiada siapa menggunakan kain baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama.
MAR 2:22 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam bekas kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan bekas lama, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam bekas yang baru.’
MAR 2:23 Pada suatu hari Sabat, Isa dan para pengikut-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para pengikut-Nya mula memetik beberapa tangkai bijirin gandum.
MAR 2:24 Sebilangan orang Farisi berkata kepada Isa, ‘Lihatlah, para pengikutmu melanggar hukum Taurat pada hari Sabat!’
MAR 2:25 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan anak buahnya kekurangan dan kelaparan?
MAR 2:26 Dia masuk ke khemah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai Imam Besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.’
MAR 2:27 Isa menambah, ‘Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat.
MAR 2:28 Jadi Putera Insan juga Junjungan atas hari Sabat.’
MAR 3:1 Kemudian Isa kembali ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya.
MAR 3:2 Ada beberapa orang yang ingin mencari alasan untuk membuat tuduhan terhadap Isa. Mereka memerhatikan dengan teliti sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat.
MAR 3:3 Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Berdiri, marilah ke depan.’
MAR 3:4 Kemudian Dia menyoal orang di situ, ‘Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau jahat? Menyelamatkan atau membinasakan orang?’ Tetapi semuanya berdiam diri.
MAR 3:5 Isa memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras kepala. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkan tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, tangan itu terus sembuh.
MAR 3:6 Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Isa.
MAR 3:7 Isa beredar ke laut bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea,
MAR 3:8 Baitulmaqdis, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya.
MAR 3:9 Begitu ramainya orang sehingga Isa menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit.
MAR 3:10 Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya.
MAR 3:11 Apabila orang yang dirasuk roh-roh durjana melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, ‘Engkau Putera Allah.’
MAR 3:12 Isa melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
MAR 3:13 Kemudian Isa naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya.
MAR 3:14 Isa memilih dua belas orang antara pengikut-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil
MAR 3:15 serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis.
MAR 3:16 Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga dipanggil-Nya Petrus);
MAR 3:17 Yakobus dan saudaranya Yahya iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini digelar-Nya Boanerges, yang bermakna Anak Petir);
MAR 3:18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot
MAR 3:19 dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.
MAR 3:20 Selepas itu Isa masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan.
MAR 3:21 Apabila keluarga Isa mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, ‘Dia tidak siuman.’
MAR 3:22 Sebilangan guru Taurat dari Baitulmaqdis berkata, ‘Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa penghulu roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.’
MAR 3:23 Oleh itu Isa memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: ‘Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis?
MAR 3:24 Kalau satu kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan.
MAR 3:25 Dan jika keluarga berpecah belah, keluarga itu akan hancur.
MAR 3:26 Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya.
MAR 3:27 Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas hartanya, kecuali orang gagah itu dapat diikatnya dahulu.
MAR 3:28 Ingatlah: Segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan.
MAR 3:29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampunkan; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.’
MAR 3:30 Isa berkata demikian kerana ada orang berkata, ‘Dia dirasuk roh durjana.’
MAR 3:31 Apabila ibu dan saudara-saudara Isa tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya.
MAR 3:32 Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Isa berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka memanggil Engkau.’
MAR 3:33 Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?’
MAR 3:34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku!
MAR 3:35 Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.’
MAR 4:1 Isa mula mengajar lagi di pinggir laut. Begitu ramainya orang datang berasak-asak di sekeliling-Nya sehingga Dia terpaksa duduk di dalam sebuah perahu di laut itu manakala orang ramai berdiri di pantai.
MAR 4:2 Isa mengajar mereka banyak perkara melalui ibarat. Dalam ajaran-Nya itu, Dia berkata:
MAR 4:3 ‘Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih.
MAR 4:4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu habis dimakan burung.
MAR 4:5 Ada yang jatuh di tempat yang berbatu dan kurang tanahnya. Benih itu cepat tumbuh kerana tanahnya tidak dalam.
MAR 4:6 Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak mempunyai akar.
MAR 4:7 Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah.
MAR 4:8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’
MAR 4:9 Lalu kata-Nya, ‘Jika kamu bertelinga, dengarlah.’
MAR 4:10 Ketika Isa bersendirian, dua belas pengikut-Nya dan beberapa orang yang ada bersama-Nya menanya Dia erti ibarat itu.
MAR 4:11 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu telah diberi anugerah untuk mengetahui rahsia kerajaan Allah. Tetapi orang luar akan mendengarnya melalui ibarat,
MAR 4:12 supaya ‘ “Mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak faham; kerana sekiranya mereka mengerti, mereka akan bertaubat dan diampuni!” ’
MAR 4:13 Kemudian Isa bertanya kepada mereka, ‘Jika kamu tidak memahami ibarat itu, bagaimanakah kamu dapat mengerti ibarat yang lain?
MAR 4:14 Peladang itu menabur firman.
MAR 4:15 Ada orang seperti benih di jalan, tempat firman itu ditabur. Sebaik-baik mereka mendengar firman, datanglah Iblis untuk mengambil firman yang sudah ditabur di dalam hati mereka.
MAR 4:16 Ada orang lain seperti benih yang ditabur di tempat berbatu. Mereka mendengar firman itu dan segera menerimanya dengan sukacita,
MAR 4:17 tetapi akarnya tidak dalam di hati, maka tidak tahan lama. Apabila orang itu menanggung kesusahan atau penganiayaan kerana firman itu, mereka segera berpaling.
MAR 4:18 Ada yang lain seperti benih yang ditabur di tengah semak berduri. Mereka mendengar firman itu,
MAR 4:19 tetapi kerunsingan tentang hidup, tarikan palsu harta benda dan aneka kemahuan lain membantutkan firman itu sehingga tidak berbuah.
MAR 4:20 Dan yang lain seperti benih yang ditabur di tanah subur. Mereka mendengar dan menyambut firman itu lalu mendatangkan hasil: tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.’
MAR 4:21 Isa berkata pula, ‘Pernahkah orang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu atau katil? Tentu diletakkannya di atas kaki pelita.
MAR 4:22 Yang tersembunyi akan dinyatakan, yang dirahsiakan akan didedahkan.
MAR 4:23 Jika kamu bertelinga, dengarlah.’
MAR 4:24 Selepas itu Isa berkata, ‘Perhatikan apa yang kamu dengar. Ukuran yang kamu gunakan untuk mengukur akan digunakan terhadapmu, malah lebih berat lagi.
MAR 4:25 Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang ada padanya pun akan diambil daripadanya.’
MAR 4:26 Isa berkata seterusnya, ‘Kerajaan Allah ibarat seorang yang menabur benih di ladangnya.
MAR 4:27 Malam dia tidur, siang dia bekerja. Benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Dia tidak faham bagaimana hal itu terjadi.
MAR 4:28 Tanahlah yang menumbuhkan tanaman hingga berbuah – mula-mula pucuk, kemudian bulir, akhirnya buah.
MAR 4:29 Setelah masak, buahnya dituai oleh orang itu kerana musim menuai telah tiba.’
MAR 4:30 ‘Bagaimanakah kerajaan Allah?’ kata Isa lagi. ‘Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya?
MAR 4:31 Keadaannya seperti biji sesawi yang ditabur di tanah, iaitu benih terkecil di dunia.
MAR 4:32 Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung membuat sarang di bawah keteduhannya.’
MAR 4:33 Dengan banyak ibarat yang semacam itu Isa mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham.
MAR 4:34 Dia tidak berkata-kata kepada mereka tanpa ibarat. Tetapi apabila Dia sendirian dengan para pengikut-Nya, Dia menerangkan segala-galanya.
MAR 4:35 Pada petang itu juga, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pergi ke seberang sana.’
MAR 4:36 Ketika itu Isa di dalam perahu. Para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai itu di pantai lalu belayar bersama-Nya. Ada beberapa perahu lain yang belayar bersama-sama.
MAR 4:37 Lalu angin bertiup kencang dan ombak melanda perahu sehingga hampir dipenuhi air.
MAR 4:38 Ketika itu Isa sedang tidur di bahagian belakang perahu, kepala-Nya beralaskan bantal. Para pengikut-Nya mengejutkan Dia lalu berkata, ‘Tuan Guru, tidakkah Engkau peduli? Kita hampir karam!’
MAR 4:39 Isa bangun lalu memarahi angin dan berkata kepada ombak, ‘Diam! Tenanglah!’ Angin pun reda dan laut menjadi tenang.
MAR 4:40 Kemudian Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Mengapa kamu begitu takut? Mengapa kamu masih tidak percaya?’
MAR 4:41 Mereka berasa gerun lalu berkata sesama sendiri, ‘Siapakah Dia ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!’
MAR 5:1 Lalu sampailah mereka di seberang laut, di daerah Gerasa.
MAR 5:2 Sebaik-baik Isa turun dari perahu, seorang lelaki yang kerasukan roh durjana keluar dari perkuburan lalu menemui-Nya.
MAR 5:3 Orang itu tinggal di kawasan perkuburan. Tiada siapa terdaya mengikatnya lagi, meskipun dengan rantai.
MAR 5:4 Berkali-kali dia dirantai dan dibelenggu, tetapi dapat diputuskannya rantai itu dan dipatahkannya belenggu itu. Tiada seorang pun dapat menguasainya.
MAR 5:5 Siang malam dia merayau di perkuburan dan di bukit, sambil menjerit-jerit dan mencederakan badannya dengan batu.
MAR 5:6 Dari jauh dia melihat Isa lalu lari mendekati-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
MAR 5:7 Orang itu berseru dengan suara keras, ‘Hai Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi, apa urusan-Mu dengan aku? Demi Allah, jangan seksa aku!’
MAR 5:8 Kerana sebelumnya Isa berkata kepadanya, ‘Roh durjana, keluarlah kamu daripada orang ini!’
MAR 5:9 Kemudian Isa bertanya kepadanya, ‘Siapa namamu?’ Orang itu menjawab, ‘Legion, kerana kami ini ramai sekali.’
MAR 5:10 Dia memohon sungguh-sungguh kepada Isa supaya tidak menghalau mereka keluar dari kawasan itu.
MAR 5:11 Berdekatan tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit.
MAR 5:12 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa, ‘Suruhlah kami pindah ke babi itu, biarlah kami masuk ke dalam tubuh babi itu.’
MAR 5:13 Isa bersetuju, lalu roh-roh durjana itu keluar dan masuk ke dalam tubuh kawanan babi itu. Kesemua babi itu, kira-kira dua ribu ekor, terjun dari tepi cenuram ke dalam laut lalu mati lemas.
MAR 5:14 Penjaga-penjaga babi itu lari lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di desa. Para penduduk pun keluar hendak melihat apa yang telah terjadi.
MAR 5:15 Mereka menghampiri Isa lalu melihat orang yang tadinya dirasuk roh iblis yang banyak itu, kini duduk diam, sudah berpakaian dan ternyata siuman. Mereka semua pun ketakutan.
MAR 5:16 Semua yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan segala-galanya tentang orang yang kerasukan roh iblis dan kawanan babi itu.
MAR 5:17 Oleh itu mereka meminta Isa meninggalkan daerah itu.
MAR 5:18 Ketika Isa menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh iblis itu memohon kepada-Nya, supaya dia dibenarkan menyertai-Nya.
MAR 5:19 Tetapi Isa tidak membenarkan, sebaliknya berkata, ‘Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu. Beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan bagimu dan bagaimana Dia telah berbelas kasihan pada kamu.’
MAR 5:20 Orang itu pun mula menjelajahi daerah sepuluh kota dan menceritakan segala yang telah dilakukan oleh Isa untuknya. Mereka semua kehairanan.
MAR 5:21 Setelah itu, Isa kembali menyeberang laut dengan perahu. Setiba-Nya di pantai sebelah sana, Dia dikerumuni orang yang ramai sekali.
MAR 5:22 Datanglah Yairus, seorang ketua saumaah di situ. Ketika dia melihat Isa, dia sujud di hadapan-Nya
MAR 5:23 dan merayu, ‘Anak perempuanku sakit tenat, hampir mati. Tolonglah datang, letakkan tangan-Mu padanya, supaya dia sembuh dan dapat terus hidup.’
MAR 5:24 Isa pun pergi bersama Yairus. Begitu ramainya orang yang mengikut Isa sehingga Dia diasak dari semua pihak.
MAR 5:25 Di situ ada seorang wanita yang sudah dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan.
MAR 5:26 Dia telah menghabiskan segala hartanya untuk dirawat oleh ramai tabib tetapi tidak sembuh, semakin parah keadaannya.
MAR 5:27 Wanita itu telah banyak mendengar tentang Isa. Oleh itu, dia masuk ke tengah-tengah orang ramai itu dan mendekati Isa dari belakang lalu menyentuh jubah-Nya.
MAR 5:28 ‘Kiranya dapat kusentuh jubah-Nya,’ kata wanita itu, ‘tentu aku akan sembuh.’
MAR 5:29 Dengan serta-merta pendarahannya berhenti. Dia merasakan dirinya sudah sembuh.
MAR 5:30 Pada saat itu Isa sedar ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya lalu Dia bertanya, ‘Siapa yang menyentuh jubah-Ku?’
MAR 5:31 Para pengikut-Nya berkata, ‘Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Engkau. Bagaimana Engkau boleh bertanya siapa yang menyentuh-Mu?’
MAR 5:32 Tetapi Isa memandang sekeliling-Nya, mencari orang yang telah menyentuh-Nya itu.
MAR 5:33 Wanita itu mengetahui apa yang telah terjadi kepada dirinya. Dia gementar ketakutan, lalu tampil dan sujud kepada Isa serta menceritakan segala-galanya.
MAR 5:34 Isa berkata kepadanya, ‘Hai anak-Ku, imanmu telah menyembuhkan kamu. Pergilah dengan sejahtera dan sembuhlah daripada penyakitmu.’
MAR 5:35 Sedang Isa berkata-kata itu, beberapa orang pesuruh datang daripada keluarga ketua saumaah dan memberitahu Yairus, ‘Anak perempuan tuan sudah meninggal. Usahlah tuan susahkan Tuan Guru lagi.’
MAR 5:36 Isa tidak menghiraukan kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus, ‘Jangan takut, percaya saja.’
MAR 5:37 Lalu Isa tidak membenarkan siapapun mengikut-Nya kecuali Petrus, Yakobus dan Yahya, saudara Yakobus.
MAR 5:38 Apabila tiba di rumah Yairus, Isa melihat keadaan yang kelam-kabut dan mendengar ratap tangis yang kuat.
MAR 5:39 Isa masuk lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapa kelam-kabut dan menangis? Anak itu tidak mati, cuma tidur.’
MAR 5:40 Tetapi mereka mentertawakan Isa. Setelah menyuruh mereka semua keluar, Isa mengajak ibu bapa anak itu dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke bilik tempat anak itu terbaring.
MAR 5:41 Isa memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, ‘Talitha kum!’ (maksudnya, ‘Anak perempuan, Aku berkata kepadamu, bangunlah!’).
MAR 5:42 Anak perempuan yang berusia dua belas tahun itu segera bangkit lalu berjalan. Mereka semua sungguh kagum.
MAR 5:43 Tetapi dengan tegas Isa melarang mereka memberitahu sesiapa tentang perkara itu, lalu menyuruh mereka memberi anak itu makan.
MAR 6:1 Isa beredar dari situ lalu pulang bersama para pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya.
MAR 6:2 Pada hari Sabat Dia mula mengajar di saumaah. Jemaah di situ hairan mendengar ajaran Isa. ‘Dari manakah Dia memperoleh semua ini?’ tanya mereka. ‘Apakah kebijaksanaan yang ada pada-Nya? Bagaimanakah Dia dapat melakukan mukjizat?
MAR 6:3 Bukankah Dia ini tukang kayu, anak kepada Maryam, saudara kepada Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuan-Nya tinggal di sini?’ Oleh itu mereka enggan menerima-Nya.
MAR 6:4 Isa berkata kepada mereka, ‘Seorang nabi dihormati di mana-mana kecuali di kampung halamannya, di antara sanak-saudaranya dan di dalam keluarganya sendiri.’
MAR 6:5 Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka.
MAR 6:6 Dia sungguh hairan bahawa mereka tidak percaya. Selepas itu, Isa pergi ke kampung-kampung di sekitar itu dan mengajar.
MAR 6:7 Dia memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh durjana.
MAR 6:8 Perintah-Nya kepada mereka demikian: ‘Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat – roti pun jangan, beg pun jangan, wang dalam ikat pinggang pun jangan.
MAR 6:9 Pakailah capal, tetapi sehelai baju sahaja.’
MAR 6:10 Isa berkata lagi, ‘Apabila kamu disambut di sesebuah rumah, tinggallah di situ hingga kamu beredar dari kota itu.
MAR 6:11 Sebaliknya, jika penduduk sesuatu kota enggan menerimamu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskan debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
MAR 6:12 Pengikut Isa yang dua belas itu pun pergi menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat.
MAR 6:13 Mereka menghalau banyak roh iblis, dan menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka.
MAR 6:14 Raja Herodes mendengar tentang kejadian itu, kerana nama Isa sudah terkenal di mana-mana. Ada orang berkata, ‘Yahya Pengimad sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia ini berkuasa melakukan mukjizat.’
MAR 6:15 Yang lain berkata, ‘Dia ini Ilyas.’ Ada pula yang berkata, ‘Dia ini nabi, seperti nabi zaman dahulu.’
MAR 6:16 Ketika mendengar hal demikian, Herodes berkata, ‘Dia itu Yahya yang kepalanya telah kupancung, tetapi dia hidup semula!’
MAR 6:17 Ini kerana memang Herodes telah memberikan perintah supaya Yahya ditangkap, diikat dan dipenjarakan. Herodes berbuat demikian kerana Herodias, isteri kepada saudaranya Filipus, yang telah dikahwininya.
MAR 6:18 Yahya pernah menegur perbuatan Herodes itu, ‘Tuanku bersalah mengahwini isteri saudara sendiri.’
MAR 6:19 Akibatnya Herodias menaruh dendam terhadap Yahya dan ingin membunuhnya, tetapi hasratnya terhalang,
MAR 6:20 sebab Herodes takut akan Yahya. Herodes tahu Yahya seorang yang benar dan suci, oleh itu dia melindungi Yahya. Herodes juga suka mendengar kata-kata Yahya, meskipun kata-kata itu membuatnya sangat gelisah.
MAR 6:21 Akhirnya Herodias mendapat peluang apabila Raja Herodes mengadakan jamuan hari jadinya untuk semua pegawai tinggi kerajaan, panglima dan tokoh masyarakat Galilea.
MAR 6:22 Anak gadis Herodias menari dan menghiburkan Herodes serta tetamunya. Oleh itu raja berkata kepada gadis itu, ‘Mintalah daripadaku apa saja yang kamu ingini dan akan kuberikan kepadamu.’
MAR 6:23 Dia menyambung dengan sumpah, ‘Apa sahaja yang kamu minta akan kuberi kepadamu, walau separuh kerajaanku sekalipun.’
MAR 6:24 Gadis itu pergi bertanya kepada ibunya, ‘Apakah yang patut kuminta?’ Jawabnya, ‘Kepala Yahya Pengimad.’
MAR 6:25 Gadis itu segera kembali kepada raja dan berkata, ‘Aku mahu kamu beri kepadaku kepala Yahya Pengimad di atas talam sekarang juga.’
MAR 6:26 Lalu raja amat berdukacita, tetapi apakan daya, dia telah bersumpah di hadapan semua tetamunya.
MAR 6:27 Dia pun memberikan perintah kepada askar supaya membawakan kepala Yahya. Askar itu pergi ke penjara lalu memancung kepala Yahya.
MAR 6:28 Dia membawa kepala itu di atas talam dan menyerahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yahya kepada ibunya.
MAR 6:29 Apabila para pengikut Yahya mendengar perkara itu, mereka datang dan mengambil jenazah Yahya lalu mengebumikannya.
MAR 6:30 Kemudian rasul-rasul kembali berkumpul dengan Isa dan melaporkan segala yang telah mereka lakukan serta ajarkan.
MAR 6:31 Orang yang datang dan pergi di situ begitu ramainya sehingga Isa dan para pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah ke tempat yang sunyi supaya kita dapat bersendirian, dan berehat sebentar.’
MAR 6:32 Mereka pun bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi.
MAR 6:33 Tetapi pada waktu mereka bertolak ramai orang melihat dan mengenal mereka. Orang dari semua kota berlari ikut jalan darat supaya sampai di tempat yang dituju itu sebelum Isa dan para pengikut-Nya.
MAR 6:34 Apabila Isa turun dari perahu dan melihat orang ramai di situ, hati-Nya penuh belas kasih kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka.
MAR 6:35 Ketika hari sudah petang, para pengikut Isa datang kepada-Nya dan berkata, ‘Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil.
MAR 6:36 Suruhlah semua orang ini pergi supaya mereka ke pekan atau ke kampung yang berdekatan untuk membeli makanan.’
MAR 6:37 Tetapi Isa menjawab, ‘Kamu berilah mereka makan.’ Para pengikut-Nya bertanya, ‘Haruskah kami pergi membeli roti berharga dua ratus dinar untuk memberi mereka makan?’
MAR 6:38 Isa bertanya, ‘Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.’ Setelah mereka memeriksanya, mereka berkata, ‘Lima buku roti dan dua ekor ikan.’
MAR 6:39 Isa mengarahkan mereka supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di atas rumput.
MAR 6:40 Mereka pun duduk dalam kelompok; ada yang seratus orang sekelompok dan ada yang lima puluh orang.
MAR 6:41 Setelah Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur. Lalu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai itu. Dia membahagikan juga dua ekor ikan itu kepada mereka semua.
MAR 6:42 Setiap orang makan sehingga kenyang.
MAR 6:43 Selepas itu para pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan roti dan ikan sebanyak dua belas bakul.
MAR 6:44 Jumlah orang lelaki yang makan itu kira-kira lima ribu orang.
MAR 6:45 Isa segera mengarahkan para pengikut-Nya pergi dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang laut sementara Dia menyuruh orang ramai itu pulang.
MAR 6:46 Setelah mereka pergi, Isa naik ke bukit untuk berdoa.
MAR 6:47 Apabila hari sudah malam, perahu para pengikut Isa sudah sampai ke tengah laut sedangkan Isa seorang diri di darat.
MAR 6:48 Isa melihat para pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah bertentangan. Kira-kira menjelang subuh, Isa berjalan di atas air menghampiri mereka. Dia hendak mendahului mereka.
MAR 6:49 Tetapi ketika mereka terpandang Dia berjalan di atas air, mereka menyangka-Nya hantu lalu mereka berteriak-teriak.
MAR 6:50 Mereka ketakutan melihat Isa. Tetapi Dia segera berkata kepada mereka, ‘Tabahkan hatimu! Aku Isa. Jangan takut.’
MAR 6:51 Dia naik ke perahu mereka, lalu angin pun teduh. Para pengikut-Nya hairan tercengang.
MAR 6:52 Mereka masih belum mengerti apa sebenar yang berlaku dengan roti itu, kerana hati mereka masih keras.
MAR 6:53 Mereka menyeberang hingga tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu.
MAR 6:54 Sebaik-baik mereka turun dari perahu, orang mengenal Isa
MAR 6:55 lalu berlari ke serata kawasan dan membawakan orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya di mana-mana sahaja Dia berada.
MAR 6:56 Di setiap tempat yang dikunjungi-Nya – baik di kota, di pekan atau di kampung – penduduk di situ membawa orang yang sakit ke pasar-pasar. Mereka memohon agar sekurang-kurangnya Isa membenarkan orang sakit itu menyentuh jubah-Nya. Semua yang menyentuhnya terus sembuh.
MAR 7:1 Orang Farisi dan beberapa guru Taurat yang datang dari Baitulmaqdis berkumpul di keliling Isa.
MAR 7:2 Mereka melihat beberapa pengikut Isa makan dengan tangan yang ‘tidak suci’, iaitu tangan yang tidak dibasuh.
MAR 7:3 (Orang Farisi malah semua orang Yahudi taat mengikut adat istiadat nenek moyang mereka. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditentukan.
MAR 7:4 Apabila pulang dari pasar, mereka juga tidak akan makan sebelum membersihkan diri. Banyak lagi peraturan yang diamalkan oleh mereka, seperti hal membasuh cawan, kendi, dan bekas tembaga.)
MAR 7:5 Oleh itu, orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Isa, ‘Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang “tidak suci”?’
MAR 7:6 Isa menjawab, ‘Tepat sekali kata-kata Nabi Yasyaya dalam nubuatnya tentangmu, hai orang munafik; seperti yang tersurat: ‘ “Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata, tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
MAR 7:7 Sia-sialah mereka menyembah-Ku; sedangkan ajaran yang mereka ajarkan ialah peraturan manusia.”
MAR 7:8 ‘Kamu mengetepikan perintah Allah untuk menurut adat istiadat manusia.’
MAR 7:9 Isa berkata lagi: ‘Kamu sungguh pandai menyingkirkan perintah Allah untuk menegakkan adat istiadatmu sendiri!
MAR 7:10 Musa menyampaikan perintah ini, “Hormatilah ibu bapamu” dan “Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.”
MAR 7:11 Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Segala apa yang harus kugunakan untuk membantu ayah dan emak, sudah kujadikan korban” (iaitu telah dipersembahkan kepada Allah),
MAR 7:12 maka orang itu tidak perlu menolong ibu bapa.
MAR 7:13 Jadi, adat istiadat yang kamu sampaikan membatalkan firman Allah. Banyak lagi perkara sedemikian yang kamu lakukan.’
MAR 7:14 Isa memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, ‘Kamu semua, dengarlah supaya kamu faham.
MAR 7:15 Apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya. Apa yang keluar daripada seseorang itulah yang menajiskannya.
MAR 7:16 Jika kamu bertelinga, dengarlah!’
MAR 7:17 Setelah Isa meninggalkan orang ramai itu dan masuk ke rumah, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang maksud ibarat itu.
MAR 7:18 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu faham bahawa apa yang masuk dari luar ke dalam seseorang tidak dapat menajiskannya?
MAR 7:19 Kerana sesuatu itu tidak masuk ke hatinya tetapi ke dalam perutnya, kemudian keluar semula.’ (Dengan demikian Dia menyatakan semua makanan halal.)
MAR 7:20 Kata-Nya lagi: ‘Apa yang keluar daripada seseorang itu menajiskannya
MAR 7:21 kerana dari dalam, dari hati manusialah timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang berfikiran durjana, berbuat cabul, mencuri, membunuh,
MAR 7:22 berzina, tamak, berdendam, menipu, mengeluarkan kata-kata lucah, bermata jahat, dengki, mengkufuri Allah, berlagak sombong, dan bersikap bodoh.
MAR 7:23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam hati dan itulah yang menajiskan seseorang.’
MAR 7:24 Kemudian Isa pergi dari situ ke kawasan berdekatan kota Tirus, lalu masuk ke sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu Dia ada di situ tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.
MAR 7:25 Ibu kepada seorang anak perempuan yang dirasuk roh durjana telah mendengar tentang Isa lalu segera datang kepada-Nya dan sujud di hadapan-Nya.
MAR 7:26 Wanita itu seorang Yunani, dia berasal dari daerah Fenisia di Siria. Dia memohon Isa menghalau roh iblis yang merasuk anaknya.
MAR 7:27 Isa menjawab, ‘Anak-anak harus diberi makan dahulu. Tidak patut makanannya diambil untuk dilemparkan kepada anjing.’
MAR 7:28 ‘Benar, Tuan,’ jawab wanita itu, ‘tetapi anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak.’
MAR 7:29 Maka Isa berkata kepadanya, ‘Kerana jawapanmu itu, pulanglah. Roh iblis sudah keluar daripada tubuh anakmu.’
MAR 7:30 Apabila ibu itu pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sedang berbaring di katil dan tidak lagi dirasuk roh iblis.
MAR 7:31 Selepas itu Isa meninggalkan daerah Tirus, meneruskan perjalanan ke Laut Galilea melalui Sidon, ke tengah-tengah daerah Sepuluh Kota.
MAR 7:32 Di sana seorang bisu tuli dibawa kepada-Nya dengan permohonan agar Isa meletakkan tangan padanya.
MAR 7:33 Isa membawanya ke samping, jauh daripada orang ramai itu, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Kemudian Dia meludah dan menyentuh lidah orang itu.
MAR 7:34 Selepas itu Dia menengadah ke langit lalu menarik nafas panjang dan berkata kepada orang itu, ‘Effata!’ (ertinya ‘Terbukalah!’).
MAR 7:35 Serta-merta telinga orang itu terbuka dan lidahnya pulih, lalu dia bertutur dengan baik.
MAR 7:36 Isa melarang semua yang hadir menceritakan hal itu kepada sesiapapun. Tetapi semakin Isa melarang, semakin mereka menceritakannya.
MAR 7:37 Mereka sungguh hairan dan berkata, ‘Dia melakukan segala-galanya dengan baik sekali. Dia membolehkan orang tuli mendengar dan orang bisu berkata-kata.’
MAR 8:1 Pada suatu hari, ketika orang tersangat ramai berhimpun dan kehabisan makanan, Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata,
MAR 8:2 ‘Aku kasihan kepada orang ramai ini, sudah tiga hari mereka bersama-Ku, dan sekarang mereka kehabisan makanan.
MAR 8:3 Kalau Kusuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan kerana ada yang datang dari jauh.’
MAR 8:4 Para pengikut Isa menjawab, ‘Di tempat terpencil ini, di mana hendak dicari makanan yang cukup untuk semua orang ini?’
MAR 8:5 Isa bertanya kepada mereka, ‘Berapa banyakkah roti yang ada padamu?’ ‘Tujuh buku,’ jawab mereka.
MAR 8:6 Isa menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah. Dia mengambil tujuh buku roti itu dan mengucap syukur. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu dan menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk dihidangkan, dan mereka pun memberikannya kepada orang yang banyak itu.
MAR 8:7 Mereka juga ada beberapa ekor ikan kecil. Setelah mengucap syukur atasnya, Isa menyuruh supaya ikan itu dibahagi-bahagikan juga.
MAR 8:8 Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
MAR 8:9 Bilangan mereka itu kira-kira empat ribu orang. Isa pun menyuruh mereka pulang.
MAR 8:10 Selepas itu Isa terus menaiki perahu bersama para pengikut-Nya pergi ke daerah Dalmanuta.
MAR 8:11 Beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan mula bersoal jawab dengan-Nya untuk memerangkap-Nya. Untuk menduga-Nya, mereka meminta daripada-Nya suatu tanda ajaib dari syurga.
MAR 8:12 Isa mengeluh lalu menjawab, ‘Mengapakah orang zaman ini mencari suatu tanda ajaib? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tidak akan diberikan tanda apapun kepada orang zaman ini.’
MAR 8:13 Isa meninggalkan mereka dan kembali ke perahu lalu ke seberang.
MAR 8:14 Para pengikut Isa terlupa membawa roti yang mencukupi. Di dalam perahu itu cuma ada sebuku roti.
MAR 8:15 Isa mengingatkan mereka, ‘Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.’
MAR 8:16 Kemudian mereka membincangkannya satu sama lain dan berkata, ‘Dia berkata begitu kerana kita tidak membawa roti.’
MAR 8:17 Isa mengetahui apa yang mereka bincangkan lalu Dia bertanya, ‘Mengapa kamu memperbincangkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham lagi? Begitu tumpulkah fikiranmu?
MAR 8:18 Kamu ada mata, tidakkah kamu melihat? Kamu ada telinga, tidakkah kamu mendengar? Tidakkah kamu ingat
MAR 8:19 bagaimana Aku memecah-mecahkan lima buku roti untuk lima ribu orang? Berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Dua belas,’ jawab mereka.
MAR 8:20 ‘Dan apabila Aku memecah-mecahkan tujuh buku roti untuk empat ribu orang, berapa bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?’ ‘Tujuh,’ jawab mereka.
MAR 8:21 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu masih belum faham lagi?’
MAR 8:22 Isa dan para pengikut-Nya tiba di Betsaida. Beberapa orang membawa seorang buta kepada Isa dan memohon agar Dia menyentuhnya.
MAR 8:23 Isa memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya ke luar dari pekan itu. Isa meludahi mata orang buta itu. Kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada orang itu lalu bertanya, ‘Adakah kamu melihat apa-apa?’
MAR 8:24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, ‘Aku nampak orang, rupa mereka seperti pokok berjalan.’
MAR 8:25 Sekali lagi Isa meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Setelah orang itu berusaha untuk melihat, kali ini penglihatannya cukup terang dan matanya telah sembuh.
MAR 8:26 Isa pun menyuruhnya pulang sambil berkata, ‘Jangan masuk lagi ke pekan itu.’
MAR 8:27 Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Isa bertanya kepada mereka, ‘Menurut orang, Aku ini siapa?’
MAR 8:28 Mereka menjawab, ‘Ada yang berkata, Yahya Pengimad; yang lain berkata, Ilyas; ada pula yang berkata, seorang daripada nabi.’
MAR 8:29 ‘Tetapi menurut kamu, Aku ini siapa?’ tanya Isa. Petrus menjawab, ‘Engkau ialah al-Masih.’
MAR 8:30 Lalu Isa mengingatkan mereka supaya jangan memberitahu sesiapapun tentang diri-Nya.
MAR 8:31 Kemudian Isa mula mengajar mereka bahawa Putera Insan harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan bangkit semula.
MAR 8:32 Isa mengatakan perkara ini dengan terus-terang. Oleh itu, Petrus menarik Isa ke tepi dan menegur Dia.
MAR 8:33 Isa berpaling memandang para pengikut-Nya lalu menegur Petrus, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Kamu tidak berfikir secara Allah, tetapi secara manusia.’
MAR 8:34 Setelah itu Isa memanggil para pengikut-Nya dan orang ramai di situ lalu berkata kepada mereka, ‘Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus melupakan kepentingan dirinya, memikul salib, dan mengikut-Ku.
MAR 8:35 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya, akan kehilangan hidupnya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku dan untuk Injil, akan menyelamatkan hidupnya itu.
MAR 8:36 Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan hidupnya?
MAR 8:37 Dapatkah hidup itu ditukar dengan apapun?
MAR 8:38 Jika seseorang malu mengakui Aku dan perkataan-Ku di kalangan angkatan yang cabul dan berdosa ini, Putera Insan juga akan malu mengakuinya ketika Dia datang dalam kemuliaan Bapa-Nya diiringi para malaikat suci.’
MAR 9:1 Isa berkata lagi, ‘Sesungguhnya, ada beberapa orang di sini yang tidak akan mati sebelum melihat kerajaan Allah datang dengan kuasa.’
MAR 9:2 Enam hari kemudian, Isa membawa Petrus, Yakobus, dan Yahya, pergi ke sebuah gunung yang tinggi di mana mereka bersendirian. Di situ Isa berubah rupa di depan mata mereka.
MAR 9:3 Pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan laksana salji, tiada siapa di bumi ini dapat memutihkan kain sehingga seputih itu.
MAR 9:4 Ilyas dan Musa muncul di hadapan mereka lalu berkata-kata dengan Isa.
MAR 9:5 Lalu Petrus berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah – satu untuk-Mu, satu untuk Musa, dan satu untuk Ilyas.’
MAR 9:6 (Sebenarnya Petrus tidak tahu apa yang hendak dikatakannya, kerana ketiga-tiganya ketakutan.)
MAR 9:7 Segumpal awan datang menaungi mereka. Suatu suara terdengar dari dalam awan itu, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi. Dengarlah kata-kata-Nya!’
MAR 9:8 Tiba-tiba, ketika mereka memandang sekeliling, mereka tidak lagi melihat sesiapa di situ bersama mereka, selain Isa.
MAR 9:9 Sewaktu berjalan turun dari gunung itu, Isa memperingatkan mereka supaya tidak memberitahu sesiapa segala yang telah mereka lihat, sehingga Putera Insan bangkit daripada kematian.
MAR 9:10 Mereka mentaati pesan itu, sambil tertanya-tanya apa maksud ‘bangkit daripada kematian.’
MAR 9:11 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Mengapa guru-guru Taurat berkata Ilyas mesti datang dulu?’
MAR 9:12 Isa menjawab, ‘Benar, Ilyas akan datang dulu dan memulihkan segala-galanya. Tetapi bagaimana dengan apa yang tersurat tentang Putera Insan, bahawa Dia akan banyak menanggung penderitaan dan penghinaan?
MAR 9:13 Aku berkata kepadamu, Ilyas sudahpun datang dan orang memperlakukannya sesuka hati, tepat seperti yang tersurat tentang dirinya.’
MAR 9:14 Apabila mereka pulang mendapatkan para pengikut yang lain, mereka melihat ramai orang di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan para pengikut Isa.
MAR 9:15 Sebaik-baik orang ramai itu melihat Isa, mereka amat kagum lalu berlari menyambut-Nya.
MAR 9:16 Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Tentang apa kamu bersoal jawab dengan mereka?’
MAR 9:17 Seorang daripada orang ramai itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku membawa anakku kepada pengikut-pengikut-Mu. Anakku dirasuk oleh roh yang membuatnya bisu.
MAR 9:18 Apabila roh itu menyerangnya, dia menghempas-hempas tubuhnya ke tanah, mulutnya berbuih, giginya mengertak dan badannya menjadi kaku. Aku memohon pengikut-pengikut-Mu menghalau roh itu tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
MAR 9:19 Isa berkata kepada mereka, ‘Hai angkatan yang tidak percaya! Berapa lamakah aku mesti tinggal bersamamu? Berapa lamakah aku harus bersabar denganmu? Bawa anak itu ke mari.’
MAR 9:20 Mereka pun membawa anak itu kepada Isa. Sebaik-baik roh itu melihat Isa, ia pun membuat anak itu sawan, lalu jatuh berguling-guling ke tanah, mulutnya berbuih.
MAR 9:21 Isa bertanya kepada bapa anak itu, ‘Sejak bila dia begini?’ Bapa anak itu menjawab, ‘Sejak dia kecil lagi.
MAR 9:22 Sudah berkali-kali roh itu cuba membunuhnya dengan membuangnya ke dalam api atau air. Kasihanlah kami dan tolonglah kami, kalau Engkau dapat menolong.’
MAR 9:23 Isa berkata kepadanya, ‘Apa katamu? Kalau Engkau dapat? Segala sesuatu mungkin bagi orang yang percaya.’
MAR 9:24 Bapa itu segera berseru, ‘Aku percaya; tolonglah agar aku lebih percaya lagi!’
MAR 9:25 Ketika Isa melihat orang ramai datang berkerumun, Dia memerintah roh durjana itu, ‘Hai roh bisu tuli, Aku perintahkan kamu keluar daripada anak ini dan jangan memasukinya lagi.’
MAR 9:26 Roh itu menjerit dan membuat tubuh anak itu terkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat lalu semua orang berkata, ‘Dia sudah mati.’
MAR 9:27 Tetapi Isa memegang tangannya dan menolongnya bangun. Anak itu pun berdiri.
MAR 9:28 Selepas itu Isa masuk ke rumah. Ketika tiada lagi orang lain di situ, para pengikut-Nya bertanya kepada-Nya, ‘Mengapa kami tidak dapat menghalau roh itu?’
MAR 9:29 Isa menjawab, ‘Jenis ini tidak dapat dihalau dengan cara apapun, kecuali dengan doa.’
MAR 9:30 Setelah itu Isa dan para pengikut-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana
MAR 9:31 kerana Dia sedang mengajar para pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, ‘Putera Insan akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.’
MAR 9:32 Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Isa.
MAR 9:33 Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Isa bertanya kepada para pengikut-Nya, ‘Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?’
MAR 9:34 Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar.
MAR 9:35 Isa duduk lalu memanggil pengikut-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, ‘Kalau sesiapa ingin menjadi yang pertama, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.’
MAR 9:36 Selepas itu Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,
MAR 9:37 ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak seperti ini kerana-Ku, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Allah yang mengutus-Ku.’
MAR 9:38 Yahya berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami melihat seorang lelaki menghalau roh-roh iblis dengan nama-Mu, lalu kami larang dia, kerana dia bukan dalam kumpulan kita.’
MAR 9:39 Tetapi Isa berkata, ‘Jangan larang dia, kerana seseorang yang melakukan mukjizat dengan nama-Ku tidak mungkin mencela-Ku sejurus selepas itu.
MAR 9:40 Orang yang tidak menentang kita, memihak kepada kita.
MAR 9:41 Sesiapa yang memberimu secawan air dalam nama-Ku, kerana kamu pengikut al-Masih, sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, dia pasti akan mendapat ganjarannya.
MAR 9:42 ‘Tetapi sesiapa yang menyebabkan seorang daripada kanak-kanak yang percaya kepada-Ku ini berdosa, maka lebih baiklah baginya jika batu kisar diikatkan ke lehernya dan dia dicampakkan ke dalam laut.
MAR 9:43 Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan kudung sebelah tangan, daripada mempunyai dua tangan tetapi terhumban ke neraka, ke dalam api yang tidak terpadam.
MAR 9:44 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
MAR 9:45 Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu. Lebih baik kamu memasuki hidup dalam keadaan pincang, daripada memiliki dua kaki tetapi terhumban ke neraka.
MAR 9:46 Di sana cacingnya tidak akan mati dan apinya tidak akan padam.
MAR 9:47 ‘Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu keluar. Lebih baik kamu memasuki kerajaan Allah dengan sebelah mata sahaja, daripada memiliki dua mata tetapi terhumban ke neraka.
MAR 9:48 Di sana ‘ “cacingnya tidak akan mati, dan apinya tidak akan padam.” ’
MAR 9:49 ‘Setiap orang akan disaluti api.
MAR 9:50 ‘Garam itu baik, tetapi jika hilang rasanya, bagaimana kamu dapat mengembalikan rasanya? Adakanlah garam pengukuh dalam dirimu, dan hiduplah rukun damai sesamamu.’
MAR 10:1 Setelah itu Isa beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya maka, seperti biasa, Dia pun mengajar mereka.
MAR 10:2 Orang Farisi datang kepada-Nya untuk menduga-Nya. Mereka bertanya, ‘Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?’
MAR 10:3 Dia menjawab, ‘Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?’
MAR 10:4 Mereka berkata, ‘Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyingkirkan isterinya.’
MAR 10:5 Isa berkata, ‘Disebabkan hati batu kamu, Musa menuliskan peraturan itu.
MAR 10:6 Tetapi sejak alam dicipta, Allah “telah menjadikan lelaki dan perempuan.”
MAR 10:7 “Oleh itu seseorang lelaki harus meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya,
MAR 10:8 dan mereka berdua akan menjadi satu,” bukan lagi dua, tetapi satu.
MAR 10:9 Maka, apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia memisahkan.’
MAR 10:10 Di dalam rumah, para pengikut-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini.
MAR 10:11 Dia menjawab, ‘Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, melakukan zina.
MAR 10:12 Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia melakukan zina.’
MAR 10:13 Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi para pengikut-Nya memarahi mereka.
MAR 10:14 Tetapi apabila Isa melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, ‘Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku, jangan larang mereka, kerana daripada yang seperti merekalah terdirinya kerajaan Allah.
MAR 10:15 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, pasti tidak akan memasukinya.’
MAR 10:16 Isa mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya pada mereka, dan memberkati mereka.
MAR 10:17 Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, ‘Wahai Guru yang baik, apakah yang harus kulakukan untuk mewarisi hidup kekal?’
MAR 10:18 Isa berkata kepadanya, ‘Mengapa kamu memanggil-Ku baik? Tiada siapa yang baik kecuali satu, iaitu Allah.
MAR 10:19 Kamu tahu perintah-perintah Allah: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan menipu, hormati ibu bapamu.” ’
MAR 10:20 Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, semua ini telah aku taati dari usia muda lagi.’
MAR 10:21 Isa memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, ‘Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu, berikan hasil penjualannya kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.’
MAR 10:22 Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta.
MAR 10:23 Kemudian Isa memandang sekeliling dan berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Betapa susahnya bagi orang kaya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah!’
MAR 10:24 Para pengikut-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Isa berkata lagi, ‘Anak-anakku, betapa susahnya untuk masuk ke dalam kerajaan Allah!
MAR 10:25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.’
MAR 10:26 Para pengikut-Nya merasa sungguh hairan, lalu berkata sama sendiri, ‘Kalau begitu, siapa yang dapat diselamatkan?’
MAR 10:27 Tetapi Isa memandang mereka lalu berkata, ‘Bagi manusia hal itu mustahil, tetapi tidak bagi Allah, kerana bagi Allah segala-galanya dapat dilakukan.’
MAR 10:28 Kemudian Petrus berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah, kami telah meninggalkan segala-galanya dan mengikut-Mu!’
MAR 10:29 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, setiap orang yang telah meninggalkan rumah, adik-beradik, ibu bapa, anak isteri, atau tanah untuk-Ku dan untuk Injil
MAR 10:30 pasti akan menerima seratus kali ganda dalam dunia ini (rumah, adik beradik, ibu, anak-anak dan tanah – serta penganiayaan) dan pada kemudian hari, hidup kekal.
MAR 10:31 Tetapi ramai yang pertama akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang pertama.’
MAR 10:32 Ketika mereka di perjalanan, menuju ke Baitulmaqdis, dan Isa mendahului mereka, maka mereka sungguh takjub. Sambil mengikut-Nya, mereka berasa takut. Kemudian Dia membawa pengikut-Nya yang dua belas itu ke samping lalu memberitahu mereka apa yang akan terjadi kepada-Nya.
MAR 10:33 Kata-Nya, ‘Kita sekarang pergi ke Baitulmaqdis. Putera Insan akan dikhianati dan diserahkan ke tangan ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya dan menyerahkan-Nya kepada orang bukan bani Israel.
MAR 10:34 Mereka akan mengejek-Nya, menyebat-Nya, meludahi-Nya, dan membunuh-Nya. Pada hari ketiga Dia akan bangkit semula.’
MAR 10:35 Kemudian Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, datang kepada-Nya lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami mahu Engkau membuat apa-apa yang kami minta untuk diri kami.’
MAR 10:36 Isa bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu mahu Aku buat untukmu?’
MAR 10:37 Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kurniailah kami duduk di kiri dan kanan-Mu dalam kemuliaan-Mu.’
MAR 10:38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum daripada cawan yang Kuminum, dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima?’
MAR 10:39 Mereka menjawab, ‘Sanggup.’ Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Memang kamu akan minum daripada cawan yang Kuminum dan diimadkan dengan pengimadan yang Kuterima.
MAR 10:40 Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku bukanlah Aku memberikannya, tetapi bagi mereka yang tempat itu disediakan untuknya.’
MAR 10:41 Apabila pengikut yang sepuluh orang lagi itu mendengar hal itu, mereka marah akan Yakobus dan Yahya.
MAR 10:42 Tetapi Isa memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, ‘Kamu tahu bahawa di kalangan orang bukan bani Israel, orang yang dianggap pemerintah memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka.
MAR 10:43 Ini tidak harus berlaku di kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar di antaramu hendaklah melayani yang lain.
MAR 10:44 Sesiapa yang ingin menduduki tempat pertama hendaklah menjadi hamba kepada semua,
MAR 10:45 kerana Putera Insan juga datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.’
MAR 10:46 Setelah itu mereka tiba di Yerikho. Kemudian, ketika Dia keluar dari situ dengan para pengikut-Nya dan orang ramai itu, seorang buta bernama Bartimeus (anak Timeus), sedang duduk mengemis di tepi jalan.
MAR 10:47 Ketika dia mendengar bahawa yang lalu itu Isa orang Nasaret, dia berteriak, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’
MAR 10:48 Ramai orang menyuruhnya diam, tetapi dia semakin berteriak, ‘Anak Daud, kasihanilah aku!’
MAR 10:49 Oleh itu Isa berhenti dan memberi perintah supaya dia dipanggil. Mereka pun memanggil orang buta itu sambil berkata, ‘Bergembiralah! Dan bangkitlah! Dia memanggilmu.’
MAR 10:50 Orang buta itu mencampakkan jubahnya ke tepi lalu bangkit dan pergi kepada Isa.
MAR 10:51 Isa berkata kepadanya, ‘Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?’ Orang itu menjawab, ‘Tuan Guru, aku ingin melihat.’
MAR 10:52 Isa menjawab, ‘Pergilah, imanmu telah menyembuhkanmu.’ Serta-merta orang itu dapat melihat, lalu mengikut Isa dalam perjalanan-Nya.
MAR 11:1 Apabila mereka sudah berhampiran Baitulmaqdis, di Baitfagi dan Baitani, di Bukit Zaitun, Isa mengutus dua orang pengikut-Nya,
MAR 11:2 kata-Nya, ‘Pergilah ke kampung yang setentang denganmu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari.
MAR 11:3 Jika sesiapa bertanya kepadamu, “Mengapa kau berbuat demikian?” katakan, “Junjungan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.” ’
MAR 11:4 Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya.
MAR 11:5 Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, ‘Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?’
MAR 11:6 Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Isa, lalu mereka dibenarkan pergi.
MAR 11:7 Mereka membawa anak keldai itu kepada Isa dan meletakkan jubah mereka di atas belakangnya. Isa pun duduk di atas belakang anak keldai itu.
MAR 11:8 Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan-dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan.
MAR 11:9 Setelah itu mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru, ‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!’
MAR 11:10 ‘Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud! Yang datang dengan nama Allah!’ ‘Hosana di tempat yang maha tinggi!’
MAR 11:11 Isa masuk ke Baitulmaqdis dan terus masuk ke dalam rumah ibadat. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Baitani dengan pengikut-Nya yang dua belas itu.
MAR 11:12 Esoknya, setelah mereka keluar dari Baitani, Isa berasa lapar.
MAR 11:13 Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara.
MAR 11:14 Oleh itu Isa berkata kepada pokok itu, ‘Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.’ Para pengikut-Nya mendengar kata-kata itu.
MAR 11:15 Apabila sampai di Baitulmaqdis, Isa masuk ke rumah ibadat. Dia menghalau keluar orang yang berjual beli di dalam rumah ibadat, dan menterbalikkan meja para pengurup wang serta tempat duduk penjual burung merpati.
MAR 11:16 Dia tidak membenarkan siapapun mengangkat barangan melalui rumah ibadat.
MAR 11:17 Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, ‘Tidakkah tersurat: ‘ “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa.”? ‘Tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’
MAR 11:18 Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Isa, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.
MAR 11:19 Setelah lewat petang, Isa keluar dari kota itu.
MAR 11:20 Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya.
MAR 11:21 Petrus teringat lalu berseru, ‘Tuan Guru, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.’
MAR 11:22 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Berimanlah kepada Allah.
MAR 11:23 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, “Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,” tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu.
MAR 11:24 Oleh itu Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta ketika berdoa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.
MAR 11:25 Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu.
MAR 11:26 Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.’
MAR 11:27 Selepas itu mereka masuk semula ke Baitulmaqdis. Sedang Dia berjalan di dalam rumah ibadat, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya.
MAR 11:28 Mereka berkata kepada-Nya, ‘Dengan kekuasaan apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapa yang memberi-Mu kekuasaan untuk melakukannya?’
MAR 11:29 Tetapi Isa menjawab, ‘Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.
MAR 11:30 Pengimadan Yahya – adakah daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!’
MAR 11:31 Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Kalau kita berkata, “Daripada syurga”, nanti kata-Nya, “Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?”
MAR 11:32 Tetapi, kalau kita berkata, “Daripada manusia”...’ (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yahya seorang nabi.)
MAR 11:33 Oleh itu mereka menjawab, ‘Kami tidak tahu.’ Lalu Isa berkata, ‘Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kekuasaan apa Aku melakukan perkara-perkara ini.’
MAR 12:1 Setelah itu Dia mula berkata-kata kepada mereka melalui ibarat: ‘Seorang peladang menanam anggur, memasang pagar sekeliling ladangnya, menggali lubang untuk tempat memeras anggur, dan membina menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggurnya kepada beberapa orang lalu pergi ke sebuah negeri yang jauh.
MAR 12:2 Apabila tiba musim mengumpulkan hasil tanaman anggur, tuan punya ladang itu menghantar seorang hambanya untuk meminta bahagiannya daripada hasil itu.
MAR 12:3 Para penyewa ladang menangkap dan memukul hamba itu lalu menyuruhnya pergi dengan tangan kosong.
MAR 12:4 Tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya. Mereka memukulnya, menyebabkannya luka di kepala dan menyuruhnya pergi setelah diperlakukan sebegitu kejinya.
MAR 12:5 Selepas itu tuan punya ladang menghantar seorang lagi hambanya, dan mereka membunuh hamba itu. Ramai lagi dihantar, ada yang dibunuh dan ada yang dipukul.
MAR 12:6 ‘Oleh yang demikian, kerana dia masih ada seorang putera yang amat dikasihinya, dia menghantarnya sebagai utusan terakhir, sambil berkata dalam hatinya, “Mereka akan menghormati puteraku.”
MAR 12:7 ‘Tetapi para penyewa ladang berkata sesama sendiri, “Ini warisnya. Mari kita bunuh dia, supaya harta warisannya menjadi milik kita.”
MAR 12:8 Mereka pun menangkap dan membunuhnya lalu mencampakkannya ke luar ladang itu.
MAR 12:9 ‘Jadi, apa yang akan dilakukan oleh tuan punya ladang anggur itu? Dia akan datang dan membinasakan para penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada orang lain.
MAR 12:10 Belum pernahkah kamu baca di dalam Kitab Suci: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru;
MAR 12:11 Inilah perbuatan Allah, sungguh hebat di mata kami.” ’
MAR 12:12 Mereka ingin menangkap Isa tetapi takut akan orang ramai. Mereka tahu ibarat itu menyindir mereka. Mereka meninggalkan-Nya dan pergi dari situ.
MAR 12:13 Kemudian mereka menghantar kepada-Nya beberapa orang Farisi dan golongan Herodes, untuk memerangkap-Nya melalui kata-kata-Nya.
MAR 12:14 Orang yang dihantar itu berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau jujur, tidak peduli akan pendapat orang. Engkau tidak pilih kasih, hanya mengajar jalan Allah dengan mengatakan apa yang benar. Wajarkah kita membayar cukai kepada Kaisar Rom, atau tidak?
MAR 12:15 Patutkah kami bayar, ataupun tidak?’ Tetapi Isa tahu bahawa mereka itu munafik lalu berkata, ‘Mengapa kamu menduga-Ku? Bawakan sekeping wang perak untuk Kulihat.’
MAR 12:16 Mereka pun membawakannya kepada Isa. Dia berkata kepada mereka, ‘Gambar dan nama siapakah ini?’ Mereka berkata kepada-Nya, ‘Kaisar.’
MAR 12:17 Isa memberikan jawapan, ‘Berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’ Mereka kagum mendengar kata-kata-Nya.
MAR 12:18 Selepas itu beberapa orang Saduki, suatu golongan yang tidak mempercayai kebangkitan manusia daripada kematian, datang kepada Isa lalu bertanya,
MAR 12:19 ‘Tuan Guru, Musa menulis untuk kami bahawa jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah mengahwini balunya dan memanjangkan zuriatnya.
MAR 12:20 Kesemuanya ada tujuh lelaki adik-beradik. Yang sulung beristeri, kemudian meninggal dunia tanpa anak.
MAR 12:21 Yang kedua berkahwin dengan balu saudaranya, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Begitu juga yang ketiga.
MAR 12:22 Ketujuh-tujuhnya mengahwini wanita itu dan meninggal dunia tanpa mendapat anak. Akhirnya wanita itu juga meninggal dunia.
MAR 12:23 Jadi, pada masa manusia bangkit daripada kematian, isteri siapakah wanita itu? Ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.’
MAR 12:24 Isa menjawab, ‘Tidakkah kamu tersilap, kerana kamu tidak memahami Kitab Suci mahupun kuasa Allah?
MAR 12:25 Apabila manusia bangkit daripada kematian, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga.
MAR 12:26 Tetapi tentang kebangkitan orang mati, tidakkah kamu baca dalam kitab Musa, bahagian tentang belukar yang bernyala, betapa Allah berfirman kepadanya, “Akulah Allah Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.”
MAR 12:27 Dia bukanlah Allah Tuhan orang mati. Dia Allah Tuhan orang hidup. Oleh itu kamu tersilap sama sekali!’
MAR 12:28 Seorang guru Taurat datang mendengar mereka bersoal jawab. Dia sedar bahawa Isa telah menjawab dengan baik. Dia pun bertanya kepada-Nya, ‘Perintah manakah yang terutama?’
MAR 12:29 Isa menjawab, ‘Yang terutama antara semua perintah ialah: “Dengarlah, wahai umat Israel, Allah Tuhan kita, Tuhan kita adalah Esa.
MAR 12:30 Kamu hendaklah mengasihi Allah Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh fikiranmu, dan dengan sepenuh kekuatanmu.” Inilah perintah yang terutama.
MAR 12:31 Perintah yang kedua ialah: “Kamu hendaklah mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tiada perintah lain yang lebih utama daripada dua perintah ini.’
MAR 12:32 Guru Taurat itu berkata kepada Isa, ‘Sungguh baik jawapan Tuan Guru. Kata-kata Engkau itu benar, kerana Allah itu Esa, tiada yang lain daripada-Nya.
MAR 12:33 Mengasihi-Nya dengan sepenuh hati, dengan sepenuh fikiran, dengan sepenuh jiwa, dan dengan sepenuh kekuatan, serta mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, adalah lebih utama daripada segala persembahan dan korban.’
MAR 12:34 Isa sedar bahawa jawapan itu bijaksana, lalu berkata kepada guru Taurat itu, ‘Kamu tidak jauh daripada kerajaan Allah.’ Selepas itu tiada siapa yang berani menyoal-Nya.
MAR 12:35 Kemudian, ketika mengajar di rumah ibadat, Isa berkata, ‘Bagaimanakah guru-guru Taurat dapat mengatakan bahawa al-Masih itu anak Daud?
MAR 12:36 Kerana Daud sendiri berkata dengan panduan Roh Suci: ‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di kanan-Ku sehingga Kujadikan segala musuh-Mu alas kaki-Mu.’”
MAR 12:37 ‘Jadi, Daud sendiri memanggil-Nya “Junjungan.” Bagaimana Dia boleh dianggap anak Daud?’ Orang ramai mendengar kata-kata Isa dengan sukacita.
MAR 12:38 Dia mengajar mereka lagi, ‘Awas guru-guru Taurat, yang suka ke sana sini berjubah labuh, gembira diberi salam hormat di pasar-pasar,
MAR 12:39 tempat duduk terbaik di saumaah dan di majlis jamuan.
MAR 12:40 Mereka merampas rumah balu, kemudian pura-pura berdoa berjela-jela. Mereka ini akan menerima hukuman yang amat berat.’
MAR 12:41 Isa duduk berhadapan dengan peti wang persembahan dan melihat betapa orang memasukkan wang ke dalamnya. Ramai orang kaya memasukkan sumbangan yang besar.
MAR 12:42 Kemudian seorang balu yang miskin memasukkan dua keping wang tembaga, yang sangat kecil nilainya.
MAR 12:43 Isa memanggil para pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, balu yang miskin itu telah memberi lebih daripada semua orang yang telah memasukkan wang ke dalam peti persembahan;
MAR 12:44 kerana mereka memberi daripada kekayaan mereka yang melimpah, tetapi dia daripada kemiskinannya dan telah memasukkan semua yang ada padanya, seluruh rezekinya.’
MAR 13:1 Ketika Isa sedang melangkah keluar dari rumah ibadat, seorang pengikut-Nya berkata, ‘Tuan Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!’
MAR 13:2 Isa menjawab, ‘Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada sekeping pun batunya akan tinggal tersusun, semuanya akan diruntuhkan.’
MAR 13:3 Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan rumah ibadat, pengikut-Nya Petrus, Yakobus, Yahya dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi,
MAR 13:4 ‘Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan berlaku? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?’
MAR 13:5 Isa menjawab, ‘Awas, jangan tertipu oleh sesiapapun.
MAR 13:6 Ramai yang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah Dia”, maka ramai yang akan terpedaya.
MAR 13:7 Apabila kamu mendengar berita atau khabar angin tentang peperangan, janganlah bimbang; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya dunia berakhir.
MAR 13:8 Bangsa akan bangkit melawan bangsa, kerajaan melawan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di sana sini, dan juga kebuluran. Ini permulaan kesengsaraan.
MAR 13:9 ‘Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam rumah ibadat. Kamu akan dibawa kepada para pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka.
MAR 13:10 Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa.
MAR 13:11 Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah runsing atau fikirkan apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diilhamkan kepadamu pada waktunya tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Suci, bukannya kamu.
MAR 13:12 ‘Saudara akan mengkhianati saudara untuk dibunuh, demikian juga bapa akan anaknya. Anak-anak akan bangkit menentang ibu bapa dan menyebabkan mereka dihukum mati.
MAR 13:13 Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.
MAR 13:14 ‘Apabila kamu melihat “kekejian yang membawa kebinasaan” yang disebutkan oleh Nabi Daniel berdiri di tempat terlarang baginya – hendaklah para pembaca memperhatikan ertinya – semua yang ada di Yudea larilah ke pergunungan.
MAR 13:15 Yang di atas bumbung ketika itu janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil apa-apa.
MAR 13:16 Yang di ladang usahlah pulang mengambil pakaian.
MAR 13:17 Malanglah ibu yang mengandung dan yang menyusui anak pada masa itu!
MAR 13:18 Berdoalah semoga hal-hal itu tidak terjadi pada musim dingin.
MAR 13:19 Pada masa itu akan berlaku pancaroba yang belum pernah wujud sejak dunia dicipta Allah hingga waktu itu dan tidak akan muncul lagi.
MAR 13:20 Kalaulah Tuhan tidak menyingkatkan masa itu, tiada satu makhluk pun yang dapat diselamatkan. Namun, demi kesejahteraan mereka yang telah dipilih-Nya, masa itu disingkatkan-Nya.
MAR 13:21 Ketika itu jika sesiapa berkata kepadamu, “Lihat, al-Masih di sini!” atau “Lihat, Dia di sana!” janganlah kamu percaya;
MAR 13:22 kerana beberapa almasih palsu dan nabi palsu akan bangkit dan menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk mereka yang telah dipilih Allah.
MAR 13:23 Berhati-hatilah. Lihat, Aku telah memberitahu semuanya kepadamu terlebih dahulu.
MAR 13:24 ‘Pada masa itu, selepas pancaroba, ‘ “Matahari akan dikelamkan, dan bulan tidak akan bersinar;
MAR 13:25 bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa angkasa akan digoncang.”
MAR 13:26 ‘Kemudian mereka akan melihat Putera Insan datang dalam awan penuh dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.
MAR 13:27 Setelah itu Dia akan menghantar para malaikat-Nya dan menghimpunkan orang pilihan-Nya dari empat mata angin, dari hujung bumi yang paling jauh ke hujung syurga yang paling jauh.
MAR 13:28 ‘Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah lembut dan mengeluarkan daun, itulah tanda musim panas sudah dekat.
MAR 13:29 Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat kejadian-kejadian ini, ketahuilah bahawa waktunya sudah dekat – sudah di ambang pintu!
MAR 13:30 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan ini tidak akan luput sebelum semua kejadian itu berlaku.
MAR 13:31 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.
MAR 13:32 ‘Tetapi tentang hari dan waktunya tiada siapa yang tahu. Malaikat di syurga tidak tahu, malah Putera juga tidak tahu, hanya Bapa yang mengetahui.
MAR 13:33 Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya.
MAR 13:34 Umpama seorang yang pergi ke negeri yang jauh: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap seorang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga.
MAR 13:35 ‘Oleh itu berjagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang – pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi –
MAR 13:36 takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur.
MAR 13:37 Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: “Berjagalah!” ’
MAR 14:1 Dua hari lagi akan tibalah perayaan Paska dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat mencari jalan untuk memerangkap Isa secara tipu daya dan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
MAR 14:2 Tetapi mereka berkata, ‘Janganlah pada waktu perayaan, takut orang akan merusuh.’
MAR 14:3 Ketika itu Isa berada di Baitani di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Isa duduk di meja, seorang wanita datang membawa bejana pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Isa.
MAR 14:4 Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, ‘Mengapa dibazirkan minyak wangi ini?
MAR 14:5 Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang perak dan wangnya diberikan kepada orang miskin.’ Mereka mengecam wanita itu dengan kata-kata yang tajam.
MAR 14:6 Tetapi Isa berkata, ‘Biarkan dia. Mengapa kamu memarahinya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
MAR 14:7 Orang miskin akan sentiasa ada di kalanganmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidak akan sentiasa ada bersamamu.
MAR 14:8 Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia telah datang terlebih dahulu untuk menyediakan tubuhku bagi pengebumian.
MAR 14:9 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana sahaja Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan diceritakan juga sebagai kenangan kepadanya.’
MAR 14:10 Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka.
MAR 14:11 Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari jalan yang terbaik untuk mengkhianati Isa.
MAR 14:12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paska, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paska untuk-Mu?’
MAR 14:13 Dia menghantar dua orang pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.
MAR 14:14 Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, “Tuan Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paska dengan para pengikut-Ku?”
MAR 14:15 Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.’
MAR 14:16 Kedua-dua pengikut-Nya itu keluar, pergi ke dalam kota, dan mendapati segala-galanya tepat seperti yang telah dikatakan-Nya kepada mereka. Mereka pun menyediakan jamuan Paska.
MAR 14:17 Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama para pengikut-Nya yang dua belas itu.
MAR 14:18 Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.’
MAR 14:19 Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, ‘Akukah orang itu?’
MAR 14:20 Isa menjawab, ‘Dia seorang daripada yang dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.
MAR 14:21 Putera Insan memang mesti pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Putera Insan! Lebih baiklah baginya jika dia tidak dilahirkan ke dunia ini.’
MAR 14:22 Sedang mereka makan, Isa mengambil roti lalu memberkatinya dan kemudian membahagikannya kepada mereka dan berkata, ‘Ambil, makanlah, ini tubuh-Ku.’
MAR 14:23 Kemudian dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum darinya.
MAR 14:24 Dia berkata kepada mereka, ‘Ini darah-Ku bagi perjanjian baru, ditumpahkan untuk beberapa ramai manusia.
MAR 14:25 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hingga Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.’
MAR 14:26 Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka keluar ke Bukit Zaitun.
MAR 14:27 Isa berkata kepada mereka, ‘Malam ini, iman kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang tersurat: ‘ “Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.”
MAR 14:28 ‘Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahuluimu pergi ke Galilea.’
MAR 14:29 Petrus berkata kepadanya, ‘Kalaupun semua yang lain goyah imannya, aku tidak akan goyah.’
MAR 14:30 Isa berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’
MAR 14:31 Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, ‘Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.’ Semua yang lain pun berkata demikian.
MAR 14:32 Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Duduklah di sini sementara Aku berdoa.’
MAR 14:33 Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yahya bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan amat terseksa.
MAR 14:34 Dia berkata kepada mereka, ‘Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.’
MAR 14:35 Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu sujud di tanah, dan berdoa kiranya dapat semoga saat itu diedarkan daripada-Nya.
MAR 14:36 Kata-Nya, ‘Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun, berlakulah kehendak-Mu, bukan kehendak-Ku.’
MAR 14:37 Kemudian dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, ‘Simon, kamu tidur? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga?
MAR 14:38 Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.’
MAR 14:39 Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama.
MAR 14:40 Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.
MAR 14:41 Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, ‘Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Putera Insan sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa.
MAR 14:42 Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!’
MAR 14:43 Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada pengikut-Nya yang dua belas itu iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan tua-tua.
MAR 14:44 Pengkhianat Isa telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: ‘Sesiapa yang kucium, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.’
MAR 14:45 Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Isa sambil berkata, ‘Tuan Guru!’ lalu mencium-Nya.
MAR 14:46 Mereka pun menangkap-Nya dan membawa-Nya pergi.
MAR 14:47 Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba Imam Besar, sehingga terputus telinganya.
MAR 14:48 Isa berkata kepada mereka, ‘Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi?
MAR 14:49 Setiap hari Aku di kalanganmu, mengajar di rumah ibadat, tidak kamu tangkap. Tetapi yang tersurat di dalam Kitab Suci mesti berlaku.’
MAR 14:50 Setelah itu semua pengikut Isa meninggalkan-Nya dan melarikan diri masing-masing.
MAR 14:51 Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya,
MAR 14:52 lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.
MAR 14:53 Isa dibawa kepada Imam Besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan guru-guru Taurat.
MAR 14:54 Petrus mengikut Isa dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah Imam Besar, dan duduk di kalangan hamba-hamba, berdiang di situ.
MAR 14:55 Ketua-ketua imam dan semua ahli Majlis Agama berusaha mencari kesaksian untuk mendakwa Isa, tetapi tidak berjaya.
MAR 14:56 Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.
MAR 14:57 Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,
MAR 14:58 ‘Kami telah mendengar Dia berkata, “Aku akan membinasakan rumah ibadat yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina rumah ibadat yang diperbuat tanpa tangan.” ’
MAR 14:59 Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.
MAR 14:60 Imam Besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Isa, ‘Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang disaksikan oleh mereka ini terhadap-Mu?’
MAR 14:61 Tetapi Isa berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam Besar itu bertanya lagi kepada-Nya, ‘Adakah Kamu al-Masih, Putera Allah Maha Suci?’
MAR 14:62 Isa menjawab, ‘Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Putera Insan duduk di kanan Allah Maha Kuasa, dan datang dengan awan syurga.’
MAR 14:63 Imam Besar lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, ‘Adakah kita perlukan saksi lagi?
MAR 14:64 Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?’ Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh.
MAR 14:65 Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, ‘Bernubuatlah!’ Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.
MAR 14:66 Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan Imam Besar datang ke situ.
MAR 14:67 Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, ‘Kamu juga bersama Isa orang Nasaret.’
MAR 14:68 Petrus menyangkal, katanya, ‘Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.’ Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.
MAR 14:69 Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, ‘Ini seorang daripada mereka.’
MAR 14:70 Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, ‘Tentu sekali kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea. Ini nyata daripada cara percakapanmu.’
MAR 14:71 Petrus mengucapkan kutuk dan sumpah, ‘Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!’
MAR 14:72 Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Isa kepadanya: ‘Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.’ Memikirkan perkara itu, Petrus menangis.
MAR 15:1 Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, guru Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Isa, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus.
MAR 15:2 Pilatus bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kamu Raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’
MAR 15:3 Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya.
MAR 15:4 Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, ‘Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?’
MAR 15:5 Tetapi Isa masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.
MAR 15:6 Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan seorang banduan dari penjara, iaitu sesiapa yang diminta oleh mereka.
MAR 15:7 Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu.
MAR 15:8 Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang daripada penjara seperti yang biasa dilakukannya.
MAR 15:9 Pilatus bertanya, ‘Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?’
MAR 15:10 kerana dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Isa kepadanya kerana iri hati.
MAR 15:11 Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.
MAR 15:12 Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?’
MAR 15:13 Mereka berseru lagi dengan kuatnya, ‘Salibkan Dia!’
MAR 15:14 Kata Pilatus kepada mereka, ‘Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?’ Tetapi mereka semakin kuat berseru, ‘Salibkan Dia!’
MAR 15:15 Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Isa, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
MAR 15:16 Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ.
MAR 15:17 Mereka mengenakan pakaian berwarna ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya.
MAR 15:18 Kemudian mereka menyindir-Nya, ‘Daulat Tuanku, Raja orang Yahudi!’
MAR 15:19 Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya.
MAR 15:20 Setelah mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan pakaian ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib.
MAR 15:21 Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Iskandar dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Isa.
MAR 15:22 Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak).
MAR 15:23 Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mur tetapi Dia enggan meminumnya.
MAR 15:24 Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.
MAR 15:25 Mereka menyalib-Nya pada pukul sembilan pagi.
MAR 15:26 Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: RAJA ORANG YAHUDI.
MAR 15:27 Mereka menyalib dua orang perompak bersama Isa, seorang di kanan dan seorang lagi di kiri-Nya.
MAR 15:28 Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Dan Dia digolongkan dengan penjahat.’
MAR 15:29 Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Isa. Mereka berkata, ‘Kamu mahu memusnahkan rumah ibadat dan membinanya semula dalam tiga hari!
MAR 15:30 Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!’
MAR 15:31 Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat juga mempermainkan Isa. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri!
MAR 15:32 Kiranya Dia Raja orang Yahudi dan al-Masih, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!’ Orang yang disalib bersama Isa pun mencela-Nya.
MAR 15:33 Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu gelap-gelita.
MAR 15:34 Pada pukul tiga petang, Isa berseru dengan suara lantang, ‘Eloi, Eloi, lama sabakhtani?’ Ertinya, ‘Ya Allah, Ya Tuhan-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’
MAR 15:35 Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, ‘Dengarlah, Dia memanggil Ilyas.’
MAR 15:36 Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur murah. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Isa untuk minum, sambil berkata, ‘Kita menunggu, kalau-kalau Ilyas datang menurunkan-Nya dari salib.’
MAR 15:37 Isa berteriak dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.
MAR 15:38 Sejurus kemudian, tirai di dalam rumah ibadat terbelah dua, dari atas hingga ke bawah.
MAR 15:39 Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, ‘Benarlah Dia Putera Allah!’
MAR 15:40 Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maryam Magdalena, serta Maryam ibu Yakobus Muda dan Yoses.
MAR 15:41 Mereka wanita-wanita yang mengikut dan menolong Isa ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Isa ke Baitulmaqdis.
MAR 15:42 Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat.
MAR 15:43 Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Isa.
MAR 15:44 Pilatus hairan mendengar Isa sudahpun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Isa sudah meninggal.
MAR 15:45 Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Isa kepada Yusuf.
MAR 15:46 Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Isa dan mengkafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu.
MAR 15:47 Maryam Magdalena dan Maryam ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.
MAR 16:1 Setelah tamat hari Sabat, Maryam Magdalena, Maryam ibu Yakobus, dan Salome membeli ramuan rempah untuk melumuri jenazah Isa.
MAR 16:2 Pada awal pagi hari pertama minggu itu, mereka sampai di makam itu ketika matahari terbit.
MAR 16:3 Mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Siapa yang akan menggulingkan batu daripada pintu makam untuk kita?’
MAR 16:4 Apabila mereka memandang makam itu, mereka mendapati batu yang sangat besar itu telahpun digulingkan.
MAR 16:5 Mereka masuk ke dalam makam itu dan melihat seorang pemuda berjubah putih sedang duduk di sebelah kanan; mereka sungguh terkejut dan ketakutan.
MAR 16:6 Tetapi dia berkata kepada mereka, ‘Jangan takut. Kamu mencari Isa orang Nasaret, yang telah disalib. Dia telah bangkit semula! Dia tidak ada di sini. Lihatlah tempat mereka baringkan jenazah-Nya.
MAR 16:7 Tetapi, pergilah, beritahu para pengikut-Nya, termasuk Petrus, bahawa Dia mendahuluimu ke Galilea. Di sana kamu akan melihat-Nya, seperti yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’
MAR 16:8 Mereka pun segera keluar dan berlari meninggalkan makam itu, kerana mereka gementar dan kehairanan. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa, kerana mereka takut.
MAR 16:9 Setelah Isa bangkit semula pada awal pagi hari pertama minggu itu, pertama sekali Dia menampakkan diri-Nya kepada Maryam Magdalena yang telah disembuhkan-Nya daripada dirasuk tujuh roh iblis dahulu.
MAR 16:10 Maryam pun pergi memberitahu para pengikut-Nya yang sedang berkabung dan menangis.
MAR 16:11 Ketika mendengar bahawa Isa hidup dan telah dilihat oleh Maryam, mereka tidak percaya.
MAR 16:12 Selepas itu, Dia menampakkan diri dengan cara lain kepada dua orang daripada mereka ketika mereka sedang berjalan ke desa.
MAR 16:13 Kedua-dua orang pengikut Isa itu segera pergi memberitahu yang lain, tetapi mereka juga tidak percaya.
MAR 16:14 Kemudian Dia menampakkan diri kepada kesemua pengikut-Nya yang sebelas itu ketika mereka sedang makan. Dia menegur sikap mereka yang tidak percaya dan keras hati, kerana mereka tidak mempercayai orang yang telah melihat-Nya setelah Dia bangkit semula.
MAR 16:15 Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah ke serata dunia dan sebarkan Injil kepada setiap insan.
MAR 16:16 Sesiapa yang percaya dan diimadkan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum.
MAR 16:17 Tanda-tanda ini akan menyertai mereka yang percaya: Dengan nama-Ku mereka akan menghalau roh-roh iblis, dan mereka akan bertutur dengan bahasa-bahasa baru.
MAR 16:18 Mereka akan memegang ular tanpa mudarat. Kiranya mereka terminum racun, mereka tetap selamat. Mereka akan meletakkan tangan pada orang sakit dan orang itu akan sembuh.’
MAR 16:19 Setelah Junjungan Isa berkata-kata dengan mereka, Dia disambut naik ke syurga lalu duduk di kanan Allah.
MAR 16:20 Para pengikut-Nya pergi mengajar di serata dunia. Tuhan bekerja bersama mereka, mengesahkan firman dengan iringan tanda-tanda ajaib.
LUK 1:1 Kepada yang dihormati Teofilus, Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku di kalangan kita
LUK 1:2 sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama peristiwa ini yang juga merupakan pemberita Firman.
LUK 1:3 Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus.
LUK 1:4 Aku berbuat demikian supaya tuan akan mengetahui kebenaran yang sepenuhnya tentang perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan.
LUK 1:5 Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam yang bernama Zakaria. Dia terdiri daripada golongan Abia. Isterinya, Ashba, juga daripada keturunan Harun.
LUK 1:6 Kedua-duanya orang yang lurus di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta hukum Tuhan dengan sepenuhnya.
LUK 1:7 Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Ashba mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.
LUK 1:8 Pada suatu hari Zakaria melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut gilirannya bertugas.
LUK 1:9 Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan untuk membakar kemenyan.
LUK 1:10 Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.
LUK 1:11 Kelihatanlah kepada Zakaria, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan tempat pembakar kemenyan itu.
LUK 1:12 Hati Zakaria berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut.
LUK 1:13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Zakaria, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Ashba akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yahya.
LUK 1:14 Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain
LUK 1:15 kerana dia akan menjadi mulia di sisi Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Suci sejak dari rahim ibunya.
LUK 1:16 Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Allah, Tuhan mereka,
LUK 1:17 dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Ilyas untuk mendamaikan bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar ke jalan orang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.’
LUK 1:18 Zakaria berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.’
LUK 1:19 Malaikat itu menjawab lagi, ‘Akulah Jibrail yang berdiri di hadirat Allah. Aku telah diutuskan untuk menyampaikan perkhabaran yang baik ini kepadamu.
LUK 1:20 Ingatlah: oleh sebab engkau tidak mempercayai kata-kataku ini yang akan berlaku pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.’
LUK 1:21 Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakaria; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam rumah ibadat.
LUK 1:22 Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Lalu mereka menyedari Zakaria telah nampak sesuatu di dalam rumah ibadat. Oleh sebab dia tidak dapat bertutur, dia menggunakan isyarat dengan tangannya.
LUK 1:23 Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakaria kembali ke rumahnya.
LUK 1:24 Kemudian, Ashba, isterinya pun hamil lalu dia tidak meninggalkan rumahnya selama lima bulan. Dia berkata,
LUK 1:25 ‘Akhirnya, Tuhan telah menolongku. Dia menghapuskan aibku di kalangan masyarakat.’
LUK 1:26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Jibrail diutus Allah ke Nasaret, sebuah kota di jajahan Galilea,
LUK 1:27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maryam.
LUK 1:28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, ‘Salam kepadamu yang amat diredai Allah! Tuhan bersamamu!’
LUK 1:29 Hati Maryam runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
LUK 1:30 Seterusnya, malaikat itu berkata kepadanya, ‘Janganlah takut, hai Maryam, kerana engkau telah diredai Allah.
LUK 1:31 Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Isa.
LUK 1:32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Putera Allah Yang Maha Tinggi. Allah, Tuhan kita akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
LUK 1:33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaannya berkekalan.’
LUK 1:34 Lalu Maryam berkata kepada malaikat itu, ‘Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?’
LUK 1:35 Malaikat itu menjawab, “Roh Suci akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Putera Allah.
LUK 1:36 Tambahan pula, saudaramu Ashba yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
LUK 1:37 Sebab bagi Allah tidak ada yang mustahil.
LUK 1:38 Maryam berkata, ‘Aku ini hamba Tuhan. Jadilah kepada aku mengikut kata-katamu itu.’ Lalu malaikat pun meninggalkannya.
LUK 1:39 Setelah itu, Maryam bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yudea.
LUK 1:40 Dia masuk ke dalam rumah Zakaria dan memberi salam kepada Ashba.
LUK 1:41 Apabila Ashba mendengar salam Maryam, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Ashba dipenuhi Roh Suci.
LUK 1:42 Dia berseru, ‘Diberkati engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.
LUK 1:43 Siapakah aku ini sehingga ibu Junjunganku datang kepadaku?
LUK 1:44 Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.
LUK 1:45 Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!’
LUK 1:46 Maryam berkata, ‘Jiwaku meninggikan Tuhan;
LUK 1:47 rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
LUK 1:48 kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina ini. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,
LUK 1:49 kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.
LUK 1:50 Dia memberkati mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
LUK 1:51 Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak.
LUK 1:52 Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;
LUK 1:53 Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
LUK 1:54 Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
LUK 1:55 yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Ibrahim dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.’
LUK 1:56 Maryam tinggal bersama Ashba selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
LUK 1:57 Tibalah masanya untuk Ashba bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.
LUK 1:58 Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan berkat kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.
LUK 1:59 Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakaria seperti nama bapanya.
LUK 1:60 Tetapi ibunya berkata, ‘Tidak! Namanya ialah Yahya.’
LUK 1:61 Mereka berkata kepada Ashba, ‘Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.’
LUK 1:62 Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.
LUK 1:63 Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, ‘Namanya Yahya.’ Semuanya kehairanan.
LUK 1:64 Pada seketika itu, mulut Zakaria terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah.
LUK 1:65 Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea.
LUK 1:66 Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, ‘Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?’ Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpinnya.
LUK 1:67 Bapanya, Zakaria, dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata,
LUK 1:68 ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan bangsa Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;
LUK 1:69 Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.
LUK 1:70 Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulu kala,
LUK 1:71 Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;
LUK 1:72 Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,
LUK 1:73 Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Ibrahim,
LUK 1:74 untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya
LUK 1:75 dalam kesucian dan kebenaran sepanjang hidup kita.
LUK 1:76 Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,
LUK 1:77 dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan.
LUK 1:78 Oleh sebab Allah, Tuhan kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit
LUK 1:79 untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut, serta memimpin kita ke jalan damai.’
LUK 1:80 Anak itu membesar dan bertambah kuat dari segi kerohaniannya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.
LUK 2:1 Pada masa itu Kaisar Augustus menitahkan penduduk di seluruh kerajaan Rom dibanci.
LUK 2:2 Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria.
LUK 2:3 Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
LUK 2:4 Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nasaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Baitlahim di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud.
LUK 2:5 Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maryam, tunangnya yang sedang hamil.
LUK 2:6 Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin.
LUK 2:7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
LUK 2:8 Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka.
LUK 2:9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.
LUK 2:10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.
LUK 2:11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu al-Masih, Junjungan itu.
LUK 2:12 Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.’
LUK 2:13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan besar dari syurga yang memuji-muji Allah:
LUK 2:14 ‘Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.’
LUK 2:15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita pergi ke Baitlahim untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.’
LUK 2:16 Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maryam dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.
LUK 2:17 Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.
LUK 2:18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;
LUK 2:19 tetapi Maryam mengingati segala perkara ini dan merenunginya.
LUK 2:20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
LUK 2:21 Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberikan nama Isa, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maryam.
LUK 2:22 Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Isa ke Baitulmaqdis untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.
LUK 2:23 Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.
LUK 2:24 Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
LUK 2:25 Pada masa itu ada seorang di Baitulmaqdis yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan bertakwa kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia diasertai Roh Suci.
LUK 2:26 Roh Suci telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat al-Masih yang dijanjikan oleh Tuhan.
LUK 2:27 Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam rumah ibadat. Ketika Isa, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,
LUK 2:28 Simeon mendukung Dia dan bersyukur kepada Allah lalu berkata:
LUK 2:29 ‘Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu:
LUK 2:30 kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
LUK 2:31 yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
LUK 2:32 satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.’
LUK 2:33 Ibu bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.
LUK 2:34 Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maryam, ibu anak itu, ‘Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang Israel kelak; Dia menjadi tanda daripada Allah yang akan dibantahi orang
LUK 2:35 supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.’
LUK 2:36 Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana binti Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Dia berkahwin selama tujuh tahun
LUK 2:37 dan menjadi balu selama lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan rumah ibadat, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.
LUK 2:38 Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Baitulmaqdis.
LUK 2:39 Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nasaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.
LUK 2:40 Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Tuhan ada pada-Nya.
LUK 2:41 Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Baitulmaqdis untuk menyambut perayaan Paska.
LUK 2:42 Ketika Isa berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa.
LUK 2:43 Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Isa, anak mereka itu tertinggal di Baitulmaqdis dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu.
LUK 2:44 Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Isa di kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka.
LUK 2:45 Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Baitulmaqdis untuk mencari-Nya.
LUK 2:46 Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Isa di dalam rumah ibadat. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan.
LUK 2:47 Semua orang yang mendengar Isa kagum akan pengertian dan jawapan-Nya.
LUK 2:48 Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, ‘Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.’
LUK 2:49 Lalu Isa menjawab, ‘Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?’
LUK 2:50 Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.
LUK 2:51 Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nasaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya.
LUK 2:52 Isa semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai oleh Allah dan manusia.
LUK 3:1 Pada tahun yang kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus menjadi gabenor negeri Yudea, Herodes menjadi raja negeri Galilea dan saudaranya Filipus menjadi raja di wilayah Iturea dan Trakhonitis, Lisanias menjadi raja Abilene
LUK 3:2 dan Hanas serta Kayafas menjadi imam agung. Pada masa ini, firman Allah disampaikan kepada Yahya anak Zakaria di gurun.
LUK 3:3 Lalu Yahya pergi ke seluruh daerah Sungai Yordan mengkhabarkan suatu pengimadan sebagai tanda pertaubatan yang membawa pengampunan dosa,
LUK 3:4 seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yasyaya: ‘Suara seorang yang berseru di gurun, “Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.
LUK 3:5 Setiap lembah akan ditambak dan setiap gunung serta bukit akan diratakan. Tempat bengkang-bengkok akan diluruskan dan jalan lekak-lekuk akan dilicinkan.
LUK 3:6 Semua manusia akan melihat penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah.” ’
LUK 3:7 Yahya berkata kepada orang ramai yang berkerumun untuk diimadkannya, ‘Hai, kamu seperti ular berbisa, siapakah yang telah memberimu amaran supaya melarikan diri daripada kemurkaan Allah yang akan datang?
LUK 3:8 Kamu hendaklah membuktikan pertaubatanmu dengan perbuatan yang baik, dan jangan mula berkata sesama sendiri, ‘Ibrahim bapa kita’, kerana aku berkata kepadamu bahawa Allah berkuasa menjadikan anak-anak bagi Ibrahim daripada batu-batu ini.
LUK 3:9 Kapak telah sedia terletak pada akar pokok kayu. Jadi, setiap pokok kayu yang tidak mengeluarkan buah yang baik akan ditebang dan dibuangkan ke dalam api.’
LUK 3:10 Orang ramai itu bertanya kepada Yahya, ‘Jadi, apa yang harus kami buat?’
LUK 3:11 Dia menjawab, ‘Sesiapa yang mempunyai dua helai baju hendaklah memberi kepada orang yang tidak mempunyai baju, dan sesiapa yang mempunyai makanan hendaklah berkongsi dengan orang yang memerlukannya.’
LUK 3:12 Ada pemungut cukai datang untuk diimadkan lalu bertanya kepada Yahya, ‘Tuan Guru, apa yang harus kami buat?’
LUK 3:13 Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan suruh orang membayar lebih daripada apa yang ditetapkan.’
LUK 3:14 Ada askar bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah dengan kami? Apa yang harus kami buat?’ Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan aniayai orang dan jangan rampas harta benda atau ajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gajimu.’
LUK 3:15 Orang ramai menanti-nanti dengan penuh harapan dan mereka tertanya-tanya dalam hati tentang Yahya kalau-kalau dialah al-Masih itu.
LUK 3:16 Yahya berkata kepada mereka, ‘Aku ini mengimadkan kamu dengan air tetapi seorang yang lebih berkuasa daripadaku akan datang. Aku ini tidak layak walaupun untuk mengurai tali kasut-Nya. Dialah yang akan mengimadkan kamu dengan Roh Suci dan api.
LUK 3:17 Nyiru ada di dalam tangan-Nya untuk menampi bijirin dan mengumpulkannya di dalam rengkiang tetapi sekam akan dibakar-Nya dalam api yang tidak dapat dipadamkan.’
LUK 3:18 Yahya menasihati orang dengan pelbagai cara serta memberitakan Injil kepada mereka.
LUK 3:19 Dia telah menegur Raja Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang segala kejahatan yang dilakukannya.
LUK 3:20 Kemudian, Raja Herodes melakukan dosa yang lebih dahsyat dengan memenjarakan Yahya.
LUK 3:21 Ketika semua orang diimadkan, Isa pula diimadkan. Ketika Dia berdoa, langit terbuka,
LUK 3:22 Roh Suci bagai burung merpati turun ke atas-Nya. Kedengaran satu suara dari langit yang berkata, ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’
LUK 3:23 Isa berusia lebih kurang tiga puluh tahun pada masa Dia memulakan pelayanan-Nya. Pada sangkaan orang, Dia anak kepada Yusuf, anak Eli,
LUK 3:24 anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf,
LUK 3:25 anak Matica, anak Amush, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai,
LUK 3:26 anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda,
LUK 3:27 anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri,
LUK 3:28 anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er,
LUK 3:29 anak Yesua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi,
LUK 3:30 anak Simeon, anak Yuda, anak Yusuf, anak Yonam, anak Elyakim,
LUK 3:31 anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud,
LUK 3:32 anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason,
LUK 3:33 anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yuda,
LUK 3:34 anak Yakub, anak Ishak, anak Ibrahim, anak Terah, anak Nahor,
LUK 3:35 anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah,
LUK 3:36 anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lemekh,
LUK 3:37 anak Metuselah, anak Henokh (juga disebut Idris), anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan,
LUK 3:38 anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.
LUK 4:1 Isa penuh dengan Roh Suci, kembali dari daerah Yordan dan dipimpin oleh Roh ke padang gurun.
LUK 4:2 Selama empat puluh hari, Dia digoda oleh Iblis. Sepanjang masa itu, Dia tidak makan apa-apa. Akhirnya, Dia berasa lapar.
LUK 4:3 Lalu Iblis berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.’
LUK 4:4 Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Manusia hidup bukan hanya dengan roti sahaja.” ’
LUK 4:5 Iblis membawa Isa ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis memperlihatkan kepada Isa segala kerajaan di dunia.
LUK 4:6 Iblis berkata, ‘Aku akan memberikan segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka.
LUK 4:7 Jadi, jikalau Engkau menyembah aku, keseluruhannya akan menjadi kepunyaan-Mu.’
LUK 4:8 Tetapi Isa menjawab, ‘Dalam Kitab Suci tersurat, “Hendaklah engkau menyembah Allah, Tuhanmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.” ’
LUK 4:9 Kemudian, Iblis membawa Isa ke Baitulmaqdis lalu menempatkan-Nya di atas mercu rumah ibadat dan berkata kepada-Nya, ‘Jikalau Engkau Putera Allah, terjunlah ke bawah,
LUK 4:10 kerana dalam Kitab Suci ada tersurat, ‘ “Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk melindungi-Mu
LUK 4:11 dan mereka akan menatang-Mu dengan tangan mereka supaya kaki-Mu tidak terantuk pada batu.” ’
LUK 4:12 Tetapi Isa menjawab, ‘Kitab Suci juga mengatakan, “Janganlah engkau menduga Allah, Tuhanmu.” ’
LUK 4:13 Setelah Iblis selesai menggoda Isa, dia meninggalkan-Nya untuk sementara waktu.
LUK 4:14 Isa kembali ke Galilea dan kuasa Roh menyertai-Nya. Perkhabaran tentang-Nya tersebar ke seluruh daerah itu.
LUK 4:15 Dia mengajar di saumaah-saumaah mereka dan semua orang memuji-muji-Nya.
LUK 4:16 Kemudian, Isa kembali ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat Dia pergi ke saumaah seperti kebiasaan-Nya. Lalu Dia berdiri untuk membaca Kitab Suci.
LUK 4:17 Kitab Nabi Yasyaya diberikan kepada Isa dan Dia membuka kitab itu untuk membaca ayat yang tersurat:
LUK 4:18 ‘Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah memilih Aku untuk memberitakan perkhabaran yang baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumumkan pelepasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, pembebasan orang yang tertindas,
LUK 4:19 dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!’
LUK 4:20 Isa menutup kitab itu dan memulangkannya kepada petugas lalu duduk. Mata semua orang di dalam saumaah itu tertumpu kepada-Nya.
LUK 4:21 Isa mula berucap kepada mereka, ‘Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah ditepati ketika kamu mendengarnya.’
LUK 4:22 Semua orang memperkatakan-Nya dan kagum akan kata-kata indah yang diucapkan-Nya. Mereka berkata, ‘Bukankah Dia anak Yusuf?’
LUK 4:23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah tentunya kamu akan menyebut bidalan ini kepada-Ku, “Tuan tabib, ubati dirimu! Buatlah di kota-Mu sendiri apa yang kami dengar Kaubuat di Kapernaum.” ’
LUK 4:24 Isa menambah, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang nabi pun yang diterima di kotanya sendiri.
LUK 4:25 Dengarlah, sesungguhnya terdapat ramai balu di negeri Israel pada zaman Nabi Ilyas tatkala langit tertutup tidak menurunkan hujan selama tiga tahun enam bulan, menyebabkan bencana kebuluran di seluruh negeri itu.
LUK 4:26 Tetapi Nabi Ilyas tidak diutus kepada seorang jua pun kecuali seorang balu di bandar Sarafat di Sidon.
LUK 4:27 Demikian juga, ada ramai orang yang berpenyakit kusta di Israel pada zaman Nabi Ilyasa tetapi tiada seorang pun antara mereka yang disembuhkan melainkan Naaman, orang Siria.’
LUK 4:28 Semua orang di dalam saumaah yang mendengar kata-kata ini naik berang.
LUK 4:29 Mereka bangun lalu mengusir Isa dari kota itu. Dia dibawa ke puncak gunung tempat kota itu dibina kerana mereka mahu menghumbankan-Nya ke bawah.
LUK 4:30 Tetapi Isa berjalan di tengah-tengah mereka dan beredar dari situ.
LUK 4:31 Kemudian Isa pergi ke kota Kapernaum di jajahan Galilea dan di situlah Dia mengajar orang pada hari Sabat.
LUK 4:32 Mereka kagum mendengar ajaran-Nya kerana kata-kata-Nya berwibawa.
LUK 4:33 Di dalam saumaah itu ada seorang yang dirasuk oleh roh iblis yang durjana. Dia menjerit dengan nyaring,
LUK 4:34 ‘Ah, mengapakah Engkau mengganggu kami, Isa, orang Nasaret? Engkau datang untuk membinasakan kamikah? Aku mengetahui siapa Engkau ini – Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’
LUK 4:35 Isa memarahi roh iblis itu, ‘Diam! Keluar daripada dia!’ Roh iblis itu menghempaskan orang itu di hadapan mereka lalu keluar daripadanya tanpa mencederakannya.
LUK 4:36 Mereka semua kehairanan dan berkata sesama sendiri, ‘Betapa hebat kata-kata-Nya! Dengan penuh kewibawaan dan kuasa Dia memerintah roh-roh durjana itu, mereka terus keluar.’
LUK 4:37 Maka perkhabaran tentang Isa tersebar ke seluruh daerah itu.
LUK 4:38 Isa keluar dari saumaah itu lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mertua Simon sedang demam panas dan mereka memberitahu Isa tentangnya.
LUK 4:39 Isa pergi berdiri di tepi katilnya dan mengusir demam itu. Ibu mertua Simon pulih dengan serta-merta lalu bangun dan melayani mereka.
LUK 4:40 Pada waktu senja semua orang yang mengidap berbagai-bagai penyakit dibawa kepada Isa. Dia meletakkan tangan-Nya pada setiap orang dan menyembuhkan mereka.
LUK 4:41 Roh-roh iblis juga keluar daripada ramai orang dan berteriak, ‘Engkaulah Putera Allah.’ Isa memarahi roh-roh iblis itu dan tidak mengizinkan mereka bercakap kerana mereka mengetahui Dialah al-Masih.
LUK 4:42 Ketika fajar menyingsing, Isa meninggalkan kota itu dan pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia, dan apabila mereka menemui-Nya, mereka cuba menahan-Nya daripada meninggalkan mereka.
LUK 4:43 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku harus memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah di kota-kota lain juga. Itulah sebabnya Aku diutuskan.’
LUK 4:44 Jadi, Dia mengkhabarkan Injil di saumaah-saumaah di Yudea.
LUK 5:1 Pada suatu hari semasa Isa berdiri di tepi pantai tasik Genesaret, ramai orang berasak-asak mengerumuni-Nya untuk mendengar firman Allah.
LUK 5:2 Dia melihat dua buah perahu di situ. Para nelayan yang menangkap ikan telah turun dari perahu itu untuk membasuh jala mereka.
LUK 5:3 Isa naik ke dalam salah sebuah perahu, iaitu perahu Simon dan memintanya menolak perahu itu jauh sedikit dari pantai. Isa duduk dan mengajar orang ramai dari perahu itu.
LUK 5:4 Setelah Dia habis mengajar, Dia berkata kepada Simon, ‘Tolaklah perahu ke air yang dalam dan tebarkan jalamu untuk menangkap ikan.’
LUK 5:5 Simon menjawab, ‘Tuan, semalaman kami cuba sedaya upaya tetapi tidak dapat menangkap apa-apapun. Tetapi, kerana Engkau menyuruh, aku akan menebarkan jala.’
LUK 5:6 Setelah menebarkan jala, mereka menangkap begitu banyak ikan sehingga jala hampir terkoyak.
LUK 5:7 Mereka memanggil rakan-rakan dari perahu lain supaya datang menolong. Mereka datang lalu memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu-perahu itu hampir tenggelam.
LUK 5:8 Apabila Simon Petrus melihat apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Isa dan berkata, ‘Tinggalkan hamba, Ya Junjungan kerana hamba seorang yang berdosa!’
LUK 5:9 Simon dan semua orang yang bersamanya takjub melihat begitu banyak ikan yang dapat ditangkap mereka.
LUK 5:10 Begitu juga Yakobus dan Yahya, anak-anak Zebedeus, rakan-rakan Simon. Isa berkata kepada Simon, ‘Jangan takut! Mulai sekarang, engkau akan menjala manusia!’
LUK 5:11 Setelah mereka menyadaikan perahu-perahu itu, mereka meninggalkan semuanya lalu mengikut Isa.
LUK 5:12 Pada suatu hari Isa berada di sebuah bandar. Terdapat seorang yang berpenyakit kusta. Apabila dia melihat Isa, dia meniarap lalu memohon kepada-Nya, ‘Tuan, jikalau Tuan mahu, Tuan berkuasa untuk mentahirkan aku.’
LUK 5:13 Lalu Isa pun menghulurkan tangan dan menyentuhnya sambil berkata, ‘Aku mahu. Tahirlah engkau!’ Seketika itu juga, penyakit kustanya hilang.
LUK 5:14 Isa berpesan kepadanya, ‘Jangan beritahu hal ini kepada sesiapapun tetapi pergi tunjukkan dirimu kepada imam dan persembahkan suatu korban kerana pentahiranmu, seperti yang ditetapkan oleh Musa untuk membuktikan kepada semua orang bahawa engkau kini sudah tahir.’
LUK 5:15 Akan tetapi, berita tentang Isa tersebar lebih meluas dan ramai orang datang untuk mendengar ajaran-Nya serta memohon-Nya menyembuhkan penyakit mereka.
LUK 5:16 Tetapi Isa kerapkali mengasingkan diri ke tempat yang sunyi untuk berdoa.
LUK 5:17 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang, ada beberapa orang Farisi dan ahli Taurat duduk di situ. Mereka telah datang dari setiap bandar di Galilea dan Yudea dan juga dari Baitulmaqdis. Kuasa Allah ada pada Isa untuk menyembuhkan orang.
LUK 5:18 Beberapa orang mengusung seorang yang lumpuh dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah untuk meletakkannya di hadapan Isa.
LUK 5:19 Oleh sebab mereka tidak dapat membawanya masuk kerana orang bersesak-sesak, mereka naik ke atas bumbung rumah lalu membuka genting supaya dapat menurunkan orang itu dengan tikarnya di tengah-tengah orang ramai di hadapan Isa.
LUK 5:20 Apabila Isa melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Saudara, dosa-dosamu diampunkan.’
LUK 5:21 Guru-guru Taurat dan orang Farisi mula berkata sesama diri, ‘Siapakah orang ini yang mengkufuri Allah? Siapakah yang dapat mengampunkan dosa kecuali Allah sahaja?’
LUK 5:22 Tetapi Isa mengetahui fikiran mereka, lalu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu memikirkan perkara sedemikian?
LUK 5:23 Yang manakah lebih mudah: mengatakan, “Dosa-dosamu diampunkan,” atau “Bangunlah dan berjalan”?
LUK 5:24 Tetapi, supaya kamu ketahui bahawa Putera Insan berkuasa di bumi ini untuk mengampunkan dosa...’ Lalu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkat tikarmu dan berjalan pulang ke rumah!’
LUK 5:25 Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.
LUK 5:26 Semua orang tercengang-cengang dan memuji Allah. Mereka dipenuhi dengan perasaan takjub sambil berkata, ‘Pada hari ini kami telah menyaksikan hal yang ajaib!’
LUK 5:27 Kemudian Isa keluar dan nampak seorang pemungut cukai yang bernama Lewi sedang duduk di tempat kutipan cukai. Isa berkata kepadanya, ‘Ikutlah Aku!’
LUK 5:28 Lewi bangun, meninggalkan semuanya dan mengikut Isa.
LUK 5:29 Lewi menyediakan satu jamuan besar untuk Isa di rumahnya. Ada ramai pemungut cukai dan orang lain yang turut duduk bersama mereka.
LUK 5:30 Orang Farisi dan guru-guru Taurat yang semazhab bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Isa, ‘Mengapakah kamu makan dan minum bersama pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa?’
LUK 5:31 Isa menjawab, ‘Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat.
LUK 5:32 Aku datang bukannya untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa, supaya mereka bertaubat.’
LUK 5:33 Mereka berkata kepada Isa, ‘Pengikut-pengikut Yahya kerapkali berpuasa dan berdoa. Demikian juga pengikut-pengikut orang Farisi. Tetapi pengikut-pengikut-Mu ini makan dan minum sahaja.’
LUK 5:34 Isa menjawab, ‘Dapatkah tetamu-tetamu pengantin lelaki diminta berpuasa selagi pengantin lelaki itu ada bersama-sama?
LUK 5:35 Tetapi selepas pengantin lelaki itu diambil daripada mereka, barulah mereka akan berpuasa.’
LUK 5:36 Isa memberitahu juga suatu ibarat kepada mereka: ‘Tiada sesiapapun yang mengoyak secarik kain daripada pakaian yang baru untuk menampalkannya ke atas pakaian lama. Jika demikian, pakaian yang baru itu koyak dan secarik kain yang baru itu tidak sepadan dengan yang lama.
LUK 5:37 Tiada sesiapa juga yang akan menuang air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jikalau demikian, air anggur yang baru itu akan mengoyakkan kirbat kulit itu, lalu air anggur di dalamnya akan tumpah dan kirbat kulit itu pun rosak.
LUK 5:38 Tetapi air anggur yang baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru.
LUK 5:39 Dan tiada sesiapapun gemar minum air anggur yang baru selepas dia minum air anggur yang lama kerana katanya, “Yang lama itu lebih baik.” ’
LUK 6:1 Pada hari Sabat Isa berjalan melalui ladang-ladang gandum dan pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum, menggosoknya dengan tangan lalu memakannya.
LUK 6:2 Beberapa orang Farisi berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu membuat sesuatu yang dilarang pada hari Sabat?’
LUK 6:3 Isa menjawab, ‘Belumkah kamu membaca tentang apa yang dilakukan oleh Daud tatkala dia dan pasukannya berasa lapar?
LUK 6:4 Dia masuk ke dalam rumah ibadat Tuhan lalu mengambil dan memakan Roti Persembahan lalu memberikannya kepada mereka yang ada bersamanya. Roti Persembahan itu dilarang dimakan kecuali oleh imam-imam sahaja.’
LUK 6:5 Isa menambah, ‘Putera Insan berkuasa atas hari Sabat.’ Orang yang tangannya lumpuh sebelah
LUK 6:6 Pada suatu hari Sabat yang lain, Isa masuk ke dalam saumaah lalu mengajar orang. Terdapat di situ seorang yang lumpuh tangan kanannya.
LUK 6:7 Guru-guru Taurat dan orang Farisi mengawasi Isa untuk melihat sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat kerana mereka hendak mencari alasan untuk menuduh-Nya.
LUK 6:8 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada orang yang lumpuh tangan kanannya, ‘Bangunlah dan berdiri di sini.’ Orang itu pun bangun dan berdiri di situ.
LUK 6:9 Isa berkata kepada mereka, ‘Aku bertanya kepadamu apa yang dibenarkan oleh hukum kita untuk dilakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat, menyelamatkan nyawa orang atau membinasakannya?’
LUK 6:10 Isa memandang sekeliling mereka lalu berkata kepada orang itu, ‘Hulurkanlah tanganmu.’ Orang itu berbuat demikian dan tangannya pun sembuh.
LUK 6:11 Tetapi mereka naik berang lalu berbincang sesama diri tentang apa yang harus dibuat terhadap Isa.
LUK 6:12 Pada masa itu Isa naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Semalam-malaman Dia berdoa kepada Allah.
LUK 6:13 Setelah hari siang, Isa memanggil pengikut-pengikut-Nya dan daripada mereka itu, Dia memilih dua belas orang yang digelar-Nya rasul:
LUK 6:14 Simon yang dinamakan-Nya Petrus, dan Andreas adiknya, Yakobus dan Yahya, Filipus dan Bartolomeus,
LUK 6:15 Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus, Simon yang disebut orang Patriot,
LUK 6:16 Yudas anak Yakobus, dan Yudas Iskariot yang menjadi pembelot.
LUK 6:17 Isa turun bersama mereka lalu berdiri di suatu tempat yang rata dengan ramai pengikut-Nya. Ramai orang dari seluruh jajahan Yudea, dari Baitulmaqdis dan dari wilayah-wilayah Tirus serta Sidon
LUK 6:18 telah datang untuk mendengar Isa dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh-roh durjana turut datang dan mereka juga disembuhkan.
LUK 6:19 Semua orang cuba menyentuh Isa kerana kuasa sedang keluar daripada-Nya untuk menyembuhkan mereka semua.
LUK 6:20 Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata: ‘Diberkatilah kamu yang miskin, kerana kamulah yang empunya kerajaan Allah.
LUK 6:21 Diberkatilah kamu yang lapar sekarang, kerana kamu akan dikenyangkan. Diberkatilah kamu yang menangis sekarang, kerana kamu akan bersuka ria.
LUK 6:22 Diberkatilah kamu apabila orang membenci kamu, menyingkiri kamu, menghina kamu dan mengutuk kamu kerana Putera Insan.
LUK 6:23 ‘Bersuka rialah apabila perkara itu berlaku dan melonjak keriangan, kerana besar ganjaranmu di syurga kelak. Demikian juga perbuatan nenek moyang mereka terhadap nabi-nabi.
LUK 6:24 ‘Tetapi malangnya kamu yang kaya, kerana kamu telah beroleh hidup yang senang-lenang.
LUK 6:25 Malangnya kamu yang sekarang kenyang, kerana kamu akan lapar kelak. Malangnya kamu yang sekarang tertawa, kerana kamu akan menangis dan meratap kelak.
LUK 6:26 Malangnya kamu apabila kamu dipuji semua orang, kerana demikian juga perbuatan nenek moyang mereka kepada nabi-nabi palsu.
LUK 6:27 ‘Tetapi kepada kamu yang mendengar, Aku berkata demikian: Kasihilah seterumu, berbuat baik kepada orang yang membenci kamu;
LUK 6:28 berkatilah orang yang mengutuk kamu dan doakan orang yang menganiayai kamu.
LUK 6:29 Jika orang menampar sebelah pipimu, biarlah dia menampar sebelah lagi; jika ada orang mengambil jubah kamu, biarkan dia ambil bajumu juga.
LUK 6:30 Berilah setiap orang yang meminta sesuatu daripadamu dan jika sesiapa mengambil barangmu, jangan tuntut balik barang itu.
LUK 6:31 Berbuatlah kepada orang lain seperti yang kamu ingin mereka berbuat kepadamu.
LUK 6:32 ‘Jikalau kamu mengasihi orang yang mengasihi kamu, apakah kelebihanmu? Malah, orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka.
LUK 6:33 Dan jikalau kamu membalas baik kepada orang yang berbuat baik kepadamu, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun berbuat begitu.
LUK 6:34 Jikalau kamu meminjami orang yang kamu harap akan memulangkannya, apakah kelebihanmu? Orang berdosa pun meminjami orang berdosa untuk mendapatkan kembali sama banyaknya.
LUK 6:35 Tetapi kamu hendaklah mengasihi seterumu; kamu hendaklah berbuat baik kepadanya dan kamu hendaklah meminjami orang dengan tidak mengharapkan apa-apa. Besarlah ganjaranmu kelak dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi kerana Dia berbuat baik kepada orang yang tidak mengenang jasa dan kepada orang yang zalim.
LUK 6:36 Kamu hendaklah berbelas kasihan seperti Bapamu yang berbelas kasihan.
LUK 6:37 ‘Janganlah kamu hakimi orang supaya kamu tidak akan dihakimi. Janganlah kamu hukum orang supaya kamu tidak dihukum. Ampunilah orang dan kamu akan diampuni.
LUK 6:38 Berilah kepada orang dan kamu akan diberi. Suatu takaran yang baik, dipadatkan dan digoncang sehingga melimpah keluar akan dicurahkan ke atas pangkuanmu. Sukatan yang kamu gunakan itu akan digunakan terhadap kamu.’
LUK 6:39 Kemudian Isa memberitahu suatu ibarat lagi. ‘Bolehkah orang buta memimpin orang buta? Tidakkah kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang?
LUK 6:40 Seorang murid tidak melebihi gurunya; tetapi setiap murid yang terlatih dengan sempurna akan menyerupai gurunya.
LUK 6:41 ‘Mengapakah engkau memandang selumbar yang ada di dalam mata saudaramu, tetapi engkau tidak menyedari sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri?
LUK 6:42 Bagaimanakah engkau dapat berkata kepada saudaramu, “Saudara, biarlah aku keluarkan selumbar itu daripada matamu” sedangkan engkau tidak nampak sebatang kayu yang ada di dalam matamu sendiri? Munafik! Buangkan kayu itu daripada matamu sendiri dahulu, barulah engkau dapat melihat dengan terang untuk mengeluarkan selumbar yang ada di dalam mata saudaramu.
LUK 6:43 ‘Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik.
LUK 6:44 Tiap-tiap pokok dikenal daripada buahnya. Orang tidak memetik buah ara daripada pokok duri atau buah anggur daripada semak duri.
LUK 6:45 Orang yang baik mengeluarkan perkara yang baik daripada hati yang berlimpah-limpah dengan kebaikan; orang yang jahat mengeluarkan perkara yang jahat daripada hati yang penuh dengan kejahatan. Seseorang akan meluahkan apa yang terkandung di dalam hatinya.
LUK 6:46 ‘Mengapakah kamu memanggil Aku, “Ya Junjungan, ya Junjungan,” tetapi tidak mematuhi perintah-Ku?
LUK 6:47 Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta mentaati kata-kata-Ku.
LUK 6:48 Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh.
LUK 6:49 Akan tetapi, orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak mahu mematuhinya umpama seorang yang membina rumah di atas tanah tanpa asas. Apabila dilanda arus sungai, rumah itu akan roboh dan kerosakannya besar sekali.’
LUK 7:1 Setelah Isa habis mengatakan semua perkara ini kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum.
LUK 7:2 Terdapat seorang hamba ketua tentera yang amat disayangi oleh tuannya; hamba itu sedang sakit tenat dan hampir mati.
LUK 7:3 Apabila ketua tentera itu mendengar tentang Isa, dia menyuruh beberapa tua-tua Yahudi mendapatkan Isa untuk meminta-Nya datang menyembuhkan hambanya itu.
LUK 7:4 Ketika mendapatkan Isa, mereka memohon-Nya bersungguh-sungguh, ‘Tolonglah kabulkan permintaannya kerana dia patut ditolong.
LUK 7:5 Dia mengasihi bangsa kita dan dia telah mendirikan sebuah saumaah untuk kita.’
LUK 7:6 Lalu Isa pun pergi bersama mereka. Tatkala Dia tidak berapa jauh dari rumah, ketua tentera itu menyuruh beberapa orang sahabat memberitahu Isa, ‘Tuan, tak usah Tuan menyusahkan diri ke rumah aku kerana aku tidak layak.
LUK 7:7 Aku juga tidak layak datang untuk menemui Tuan. Memadailah Tuan memberikan perintah sahaja dan hambaku itu akan sembuh.
LUK 7:8 Aku juga di bawah perintah orang atasan dan aku ada askar di bawah perintahku. Aku memerintah seseorang, “Pergilah!” dan dia akan pergi; aku memerintah seorang lagi, “Mari!” dan dia akan datang. Aku memerintah seorang hamba, “Buat kerja ini!” dan dia akan melakukannya.’
LUK 7:9 Isa kagum mendengar ini lalu Dia berpaling kepada orang ramai yang mengikut-Nya sambil berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa antara bangsa Israel sekalipun belum pernah Aku jumpa orang yang beriman seteguh ini.’
LUK 7:10 Apabila mereka yang disuruh itu kembali ke rumah ketua tentera Rom itu, mereka mendapati hamba itu telah sembuh.
LUK 7:11 Tidak lama kemudian, Isa pergi ke sebuah bandar yang bernama Nain; pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi bersama-Nya.
LUK 7:12 Ketika Dia mendekati pintu gerbang bandar itu, mayat anak lelaki tunggal seorang balu sedang diusung keluar dan sekumpulan besar orang dari bandar itu bersama dengan wanita itu.
LUK 7:13 Apabila Isa melihat balu itu, Dia berasa kasihan terhadapnya lalu berkata kepadanya, ‘Janganlah menangis.’
LUK 7:14 Dia berjalan ke hadapan dan menyentuh keranda itu. Orang yang mengusung keranda itu pun berhenti. Lalu Isa berkata, ‘Hai pemuda, Aku berkata kepadamu – bangun!’
LUK 7:15 Orang yang sudah mati itu pun bangun dan mula bercakap; lalu Isa mengembalikannya kepada ibunya.
LUK 7:16 Setiap orang ketakutan lalu memuji Allah: ‘Seorang nabi yang agung telah muncul di kalangan kita!’ dan ‘Allah telah mendatangi umat-Nya.’
LUK 7:17 Khabar tentang Isa ini tersebar ke seluruh jajahan Yudea dan daerah di sekelilingnya.
LUK 7:18 Pengikut-pengikut Yahya memaklumkan segala perkara ini kepada Yahya.
LUK 7:19 Yahya memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka pergi kepada Junjungan untuk bertanya, ‘Adakah Tuan yang dikatakan akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?’
LUK 7:20 Apabila mereka datang kepada Isa, mereka berkata, ‘Yahya yang mengimadkan itu menyuruh kami datang kepada Tuan untuk bertanya, “Adakah Tuan yang akan datang itu, atau haruskah kami menantikan seorang yang lain?” ’
LUK 7:21 Pada masa itu, Isa sedang menyembuhkan ramai orang yang menderitai penyakit dan kerasukan roh iblis serta mencelikkan mata ramai orang buta.
LUK 7:22 Lalu Isa menjawab kepada mereka, ‘Pergilah dan maklumkan kepada Yahya apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta dapat melihat, orang tempang dapat berjalan, orang kusta disembuhkan, orang tuli dapat mendengar, orang mati dihidupkan kembali serta perkhabaran yang baik diberitakan kepada orang miskin.
LUK 7:23 Diberkatilah orang yang tidak berpaling daripada Aku.’
LUK 7:24 Setelah utusan-utusan Yahya pulang, Isa mula berkata kepada orang ramai itu tentang Yahya, ‘Semasa kamu pergi berjumpa dengan Yahya di gurun, apakah yang hendak kamu lihat? Sebatang buluh yang digoyang oleh angin?
LUK 7:25 Kamu pergi untuk melihat apa? Seorang yang mengenakan pakaian bergaya? Sebenarnya, orang yang mengenakan pakaian bergaya dan hidup dalam kemewahan didapati di istana-istana raja.
LUK 7:26 Oleh itu, kamu pergi untuk melihat apa? Seorang nabi? Ya, dan Aku berkata kepadamu, kamu melihat lebih daripada seorang nabi.
LUK 7:27 Dialah yang dikatakan dalam Kitab Suci: ‘ “Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu, dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu.”
LUK 7:28 Aku berkata kepadamu bahawa Yahya itu lebih besar daripada semua orang yang pernah dilahirkan. Akan tetapi, orang yang terkecil dalam kerajaan Allah lebih besar daripadanya.’
LUK 7:29 Orang ramai itu, termasuk pemungut-pemungut cukai, mendengar Isa. Mereka mengakui kebenaran Allah kerana mereka telah menerima pengimadan Yahya.
LUK 7:30 Tetapi orang Farisi dan guru-guru Taurat enggan menerima pengimadan Yahya, maka mereka menolak kehendak Allah untuk mereka.
LUK 7:31 ‘Dengan apakah dapat Aku umpamakan orang pada zaman ini? Bagaimanakah keadaan mereka?
LUK 7:32 Mereka umpama budak-budak yang duduk di pasar dan berseru-seru sesama sendiri: ‘ “Kami telah memainkan serunai untukmu, tetapi kamu tidak mahu menari; kami telah menyanyikan lagu-lagu sedih untukmu, tetapi kamu tidak mahu menangis.”
LUK 7:33 Kerana Yahya Pengimad telah datang dengan berpuasa dan tidak minum air anggur, lalu kamu berkata, “Dia dirasuk roh iblis”
LUK 7:34 Putera Insan datang dengan makan dan minum lalu kamu berkata, “Tengoklah, orang gelojoh dan peminum, sahabat kepada pemungut-pemungut cukai dan orang berdosa.”
LUK 7:35 Tetapi kebijaksanaan dibuktikan benar oleh semua orang yang menerimanya.’
LUK 7:36 Salah seorang Farisi menjemput Isa makan di rumahnya. Isa masuk ke rumah orang Farisi itu lalu bertelekan pada meja.
LUK 7:37 Di dalam kota itu ada seorang perempuan yang hidup dalam dosa. Setelah dia mendengar bahawa Isa sedang makan di rumah orang Farisi itu, dia membawa sebuah botol berisi minyak wangi.
LUK 7:38 Dia berdiri di belakang Isa dekat dengan kaki-Nya dan menangis lalu membasahi kaki Isa dengan air matanya. Dia mengeringkan kaki Isa dengan menggunakan rambutnya, mencium kaki-Nya lalu menuang minyak wangi itu pada kaki-Nya.
LUK 7:39 Apabila melihat perkara ini, orang Farisi yang menjemput Isa berkata-kata dalam hatinya, ‘Jika orang ini seorang nabi, tentulah dia mengetahui perempuan yang menyentuh-Nya seorang yang hidup berdosa.’
LUK 7:40 Isa menjawabnya, ‘Simon, ada sesuatu yang hendak Aku katakan kepadamu.’ Simon berkata, ‘Ya Guru, katakanlah.’
LUK 7:41 ‘Ada dua orang berhutang kepada seorang pemiutang wang. Seorang berhutang lima ratus dinar dan seorang lagi lima puluh dinar.
LUK 7:42 Oleh sebab mereka tidak dapat membayar hutang itu, dia pun menghapuskan hutang kedua-dua penghutang wang itu. Antara mereka, yang manakah akan lebih mengasihinya?’
LUK 7:43 Simon menjawab, ‘Aku rasa orang yang dihapuskan hutangnya yang lebih besar itu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu.’
LUK 7:44 Lalu Isa berpaling kepada perempuan itu dan berkata kepada Simon, ‘Engkau melihat perempuan ini? Aku masuk ke rumahmu dan engkau tidak memberikan air membasuh kaki-Ku tetapi perempuan ini telah membasahi kaki-Ku dengan air matanya lalu mengeringkannya dengan rambutnya.
LUK 7:45 Engkau tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi semenjak Aku masuk, perempuan ini tidak berhenti-henti mencium kaki-Ku.
LUK 7:46 Engkau tidak menuang minyak pada kepala-Ku, tetapi perempuan ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku.
LUK 7:47 Oleh sebab itu, Aku berkata kepadamu bahawa kerana kasihnya yang besar, dosanya yang banyak itu telah diampunkan, tetapi orang yang telah diampuni sedikit sahaja, mengasihi sedikit juga.’
LUK 7:48 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Dosa-dosamu telah diampunkan.’
LUK 7:49 Mereka yang makan bersama Isa berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini yang mengampunkan dosa pula?’
LUK 7:50 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Imanmu telah menyelamatkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’
LUK 8:1 Tidak lama kemudian, Isa pergi dari bandar ke bandar dan dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik tentang kerajaan Allah. Dua belas pengikut itu pergi bersama-Nya.
LUK 8:2 Begitu juga beberapa orang perempuan yang telah disembuhkan daripada kerasukan roh iblis dan daripada berbagai-bagai penyakit, iaitu Maryam (yang disebut orang Magdala) yang daripadanya telah diusir tujuh roh iblis;
LUK 8:3 Yoana, isteri Khuza, pegawai istana Raja Herodes; Susana dan ramai perempuan lain yang menggunakan harta benda mereka untuk membantu Isa serta pengikut-pengikut-Nya.
LUK 8:4 Ketika orang ramai sedang berkumpul, dan orang dari beberapa buah bandar terus-menerus datang kepada-Nya, Dia menceritakan suatu ibarat:
LUK 8:5 ‘Seorang penabur pergi menabur benihnya. Ketika dia menabur, ada yang jatuh di tepi jalan lalu dipijak orang dan dimakan burung.
LUK 8:6 Ada yang jatuh di tempat berbatu, dan setelah tumbuh, tanaman itu menjadi layu kerana tanah kekurangan air.
LUK 8:7 Ada pula jatuh di tengah-tengah semak duri lalu duri yang tumbuh bersama-sama membantutkan pertumbuhannya.
LUK 8:8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah yang baik lalu tumbuh dan mengeluarkan hasil seratus ganda banyaknya.’ Kemudian Isa berseru, ‘Orang yang bertelinga, baiklah dia mendengar.’
LUK 8:9 Pengikut-pengikut Isa bertanya kepada-Nya, ‘Apakah erti ibarat ini?’
LUK 8:10 Isa berkata, ‘Pengetahuan rahsia kerajaan Allah telah diberikan kepadamu, tetapi orang lain harus diberitahu dengan menggunakan ibarat supaya, ‘ “mereka terus melihat tetapi tidak nampak, mereka terus mendengar tetapi tidak mengerti.”
LUK 8:11 ‘Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah.
LUK 8:12 Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan.
LUK 8:13 Benih yang jatuh di tempat berbatu itu menggambarkan mereka yang mendengar dan menyambut firman itu dengan gembira tetapi firman itu tidak berakar dalam hati mereka. Mereka itu hanya percaya untuk sementara waktu dan apabila waktu dicubai mereka akan meninggalkan kepercayaan mereka.
LUK 8:14 Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu menggambarkan mereka yang telah mendengarnya, tetapi dalam hidup mereka sehari-hari mereka terhimpit oleh kekhuatiran dan kekayaan serta kesenangan hidup lalu mereka tidak mengeluarkan buah dengan sempurna.
LUK 8:15 Benih yang jatuh di tanah yang baik menggambarkan mereka yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan ketekunan mereka terus mengeluarkan buah.
LUK 8:16 ‘Tiada seorang pun memasang pelita lalu menudungnya dengan sebuah pasu atau meletakkannya di bawah katil. Tetapi dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya cahayanya kelihatan kepada orang yang masuk ke ruang itu.
LUK 8:17 Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak didedahkan kelak; tiada sesuatu rahsia pun yang tidak diketahui kelak.
LUK 8:18 Oleh sebab itu, berhati-hatilah bagaimana kamu mendengar. Sesiapa yang ada sesuatu akan diberi lebih banyak lagi; tetapi sesiapa yang tidak ada, sedikit yang disangka ada padanya pun akan diambil daripadanya.’
LUK 8:19 Ibu Isa dan adik-beradik-Nya datang kepada-Nya tetapi mereka tidak dapat bertemu dengan-Nya kerana kesesakan orang ramai.
LUK 8:20 Isa diberitahu, ‘Ibu dan adik-beradik-Mu berada di luar dan hendak bertemu dengan-Mu.’
LUK 8:21 Isa menjawab kepada mereka, ‘Ibu-Ku dan adik-beradik-Ku ialah mereka yang mendengar firman Allah dan melaksanakannya.’
LUK 8:22 Pada suatu hari Isa bersama pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah kita pergi ke seberang tasik.’ Lalu mereka bertolak.
LUK 8:23 Ketika mereka sedang belayar, Isa tertidur. Angin ribut bertiup ke tasik itu dan perahu itu pun dimasuki air sehingga mereka cemas.
LUK 8:24 Mereka pergi kepada Isa dan mengejutkan-Nya. Mereka berkata, ‘Tuan, Tuan, kita hampir tenggelam!’ Isa bangun lalu memarahi angin dan ombak yang bergelora itu. Ribut itu pun berhenti dan segalanya tenang.
LUK 8:25 Isa berkata kepada mereka, ‘Di manakah imanmu?’ Mereka pun takut dan hairan serta berkata sesama sendiri, ‘Siapakah orang ini sehingga angin dan ombak pun menurut perintah-Nya?’
LUK 8:26 Mereka belayar ke wilayah Gerasa yang di seberang Galilea.
LUK 8:27 Setelah Isa mendarat, seorang lelaki dari bandar itu datang menemui-Nya. Orang itu telah dirasuk roh-roh iblis dan sudah lama dia tidak berpakaian. Dia tidak tinggal di rumahnya lagi tetapi di gua kubur.
LUK 8:28 Ketika dia melihat Isa, dia berteriak lalu sujud di hadapan-Nya dan berkata dengan suara yang lantang, ‘Mengapakah Engkau mengganggu aku, ya Isa, Putera Allah Yang Maha Tinggi? Aku minta janganlah seksa aku.’
LUK 8:29 Dia berkata demikian kerana Isa telah memerintah roh durjana itu keluar daripadanya. Dia seringkali dikuasai oleh roh durjana itu. Oleh sebab itu, dia dikawal ketat dan tangan serta kakinya dirantai orang. Tetapi dia dapat memutuskan rantai itu dan dibawa oleh roh durjana ke padang gurun.
LUK 8:30 Isa bertanya kepadanya, ‘Siapakah namamu?’ Dia menjawab, ‘Legion’ kerana dia telah dirasuk oleh ramai roh iblis.
LUK 8:31 Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya tidak menghalau mereka ke neraka.
LUK 8:32 Kebetulannya, di bukit itu ada sekawan babi sedang makan. Roh-roh iblis itu memohon kepada Isa supaya Dia membenarkan mereka masuk ke dalam babi-babi itu dan Isa membenarkannya.
LUK 8:33 Roh-roh iblis itu keluar daripada orang tadi dan masuk ke dalam babi. Kemudian kawanan babi itu menyerbu ke tempat curam dan terjun ke dalam tasik lalu mati lemas.
LUK 8:34 Setelah penjaga-penjaga babi itu menyaksikan apa yang telah terjadi, mereka berlari untuk menyebarkan hal itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya.
LUK 8:35 Orang ramai pun keluar untuk melihat apa yang telah terjadi. Mereka datang kepada Isa dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu duduk di kaki Isa. Orang itu berpakaian dan sudah siuman. Oleh itu, mereka pun ketakutan.
LUK 8:36 Orang yang telah menyaksikan kejadian itu menceritakan kepada mereka bagaimana orang yang kerasukan roh iblis itu telah disembuhkan.
LUK 8:37 Lalu semua penduduk wilayah Gerasa meminta Isa supaya meninggalkan mereka kerana mereka ketakutan. Isa pun menaiki perahu untuk pulang.
LUK 8:38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh-roh iblis itu meminta Isa membenarkan dia mengikut bersama-Nya tetapi Isa menyuruh dia pulang
LUK 8:39 dan berkata, ‘Pulanglah ke rumahmu dan khabarkanlah segala yang dilakukan Allah untukmu.’ Orang itu pergi menyebarkan segala yang dilakukan Isa untuknya di seluruh bandar itu.
LUK 8:40 Sekembalinya Isa ke seberang tasik, orang ramai pun menyambut-Nya kerana mereka menanti-nantikan-Nya.
LUK 8:41 Seorang lelaki yang bernama Yairus, iaitu ketua saumaah datang kepada-Nya. Dia sujud pada kaki Isa dan memohon kepada-Nya supaya datang ke rumahnya
LUK 8:42 kerana anak perempuan tunggalnya yang berumur dua belas tahun hampir mati. Semasa Isa berjalan, orang ramai itu mengasak-Nya dari semua sudut.
LUK 8:43 Terdapat seorang perempuan yang mengidap penyakit pendarahan selama dua belas tahun dan walaupun dia telah menghabiskan segala harta bendanya untuk mendapatkan rawatan daripada beberapa orang tabib, dia tidak dapat disembuhkan oleh sesiapapun.
LUK 8:44 Perempuan itu datang dari belakang Isa dan menyentuh kaki jubah-Nya. Seketika itu juga, penyakit pendarahannya sembuh.
LUK 8:45 Isa berkata, ‘Siapakah yang menyentuh Aku?’ Apabila semua orang menafikannya, Petrus berkata, ‘Tuan, orang ramai ini menghimpit dan mengasak Tuan.’
LUK 8:46 Tetapi Isa berkata, ‘Ada orang menyentuh Aku kerana Aku tahu bahawa kuasa telah keluar daripada-Ku.’
LUK 8:47 Apabila perempuan itu mengetahui perbuatannya tidak dapat disembunyikan, dia datang dengan gementar lalu sujud di hadapan Isa dan menceritakan kepada-Nya di hadapan orang ramai itu sebabnya dia menyentuh Isa serta bagaimana dia sembuh seketika itu juga.
LUK 8:48 Isa berkata kepadanya, ‘Anak-Ku, imanmu telah menyembuhkanmu. Pergilah dengan sejahtera.’
LUK 8:49 Sementara Isa masih berkata-kata, seorang utusan datang dari rumah ketua saumaah dan berkata kepada ketua itu, ‘Anak perempuan tuan telah mati. Tidak usah menyusahkan Guru lagi.’
LUK 8:50 Isa mendengar ini dan berkata kepada ketua itu, ‘Janganlah takut, percaya sahaja dan anakmu akan dipulihkan.’
LUK 8:51 Apabila sampai ke rumah itu, Isa tidak membenarkan sesiapapun masuk bersama-sama selain Petrus, Yahya dan Yakobus serta ibu bapa budak itu.
LUK 8:52 Semua orang menangis dan meratapi kematian budak itu. Isa berkata, ‘Janganlah menangis. Dia bukan mati, dia cuma tidur.’
LUK 8:53 Mereka mengetawakan Isa kerana mereka mengetahui anak itu telah mati.
LUK 8:54 Tetapi Isa memegang tangan budak itu dan berseru, ‘Anak-Ku, bangunlah!’
LUK 8:55 Nyawa budak itu kembali dan dia bangun seketika itu juga. Lalu Isa menyuruh mereka memberi budak itu makanan.
LUK 8:56 Ibu bapanya kagum tetapi Isa melarang mereka mengatakan apa-apa tentang kejadian itu kepada sesiapapun.
LUK 9:1 Isa memanggil dua belas pengikut-Nya itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit.
LUK 9:2 Dia menyuruh mereka pergi mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit.
LUK 9:3 Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg sedekah, baik makanan, baik wang atau lebih daripada sehelai pakaian.
LUK 9:4 Di rumah mana-mana pun kamu disambut, tinggallah di situ sehingga kamu meninggalkan bandar tersebut.
LUK 9:5 Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.’
LUK 9:6 Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk memberitakan perkhabaran yang baik dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
LUK 9:7 Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yahya telah hidup semula,
LUK 9:8 ada yang berkata bahawa Ilyas telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.
LUK 9:9 Herodes berkata, ‘Yahya itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.’ Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Isa.
LUK 9:10 Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Isa segala perkara yang telah dilakukan mereka. Isa membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.
LUK 9:11 Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Isa menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.
LUK 9:12 Menjelang senja, dua belas pengikut itu datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.’
LUK 9:13 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah memberi mereka makanan.’ Pengikut-pengikut itu berkata lagi, ‘Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.’
LUK 9:14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.’
LUK 9:15 Pengikut-pengikut itu melakukan suruhan Isa dan semua orang pun duduk.
LUK 9:16 Isa mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu. Lalu Dia menengadah ke langit sambil mengucap syukur atas makanan itu dan membahagi-bahagikannya. Dia memberikan makanan itu kepada pengikut-pengikut-Nya untuk dihidangkan kepada orang ramai.
LUK 9:17 Semua orang makan hingga kenyang dan dua belas bakul lebihan makanan dipungut oleh pengikut-pengikut-Nya.
LUK 9:18 Pada suatu hari semasa Isa berdoa bersendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Isa bertanya kepada mereka, ‘Mengikut orang ramai, siapakah Aku?’
LUK 9:19 Mereka menjawab, ‘Ada yang mengatakan Yahya Pengimad; ada yang mengatakan Ilyas; dan ada pula yang berkata bahawa salah seorang daripada nabi telah hidup semula.’
LUK 9:20 Isa berkata kepada mereka, ‘Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?’ Petrus menjawab, ‘Al-Masih daripada Allah.’
LUK 9:21 Dengan tegasnya Isa melarang mereka memaklumkan hal ini kepada sesiapapun;
LUK 9:22 dan menambah, ‘Putera Insan mesti menderita banyak sengsara dan ditentang oleh tua-tua, ketua-ketua imam serta guru-guru Taurat. Dia akan dibunuh, dan bangkit semula pada hari yang ketiga.’
LUK 9:23 Isa berkata kepada semua, ‘Jikalau seseorang mahu mengikut-Ku, dia hendaklah melupakan kepentingan diri, memikul salibnya setiap hari dan mengikut-Ku.
LUK 9:24 Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
LUK 9:25 Apakah untungnya kepada seseorang jikalau dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?
LUK 9:26 Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Putera Insan juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.
LUK 9:27 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa ada beberapa orang yang berdiri di sini yang tidak akan mengalami maut sebelum mereka melihat kerajaan Allah.’
LUK 9:28 Kira-kira lapan hari setelah Isa mengatakan perkara-perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yahya dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.
LUK 9:29 Semasa Isa berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.
LUK 9:30 Tiba-tiba dua orang muncul dan bercakap dengan-Nya.
LUK 9:31 Mereka ialah Musa dan Ilyas yang kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Isa tentang kewafatan-Nya yang akan ditunaikan di Baitulmaqdis.
LUK 9:32 Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Isa serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.
LUK 9:33 Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Isa, Petrus berkata kepada-Nya, ‘Tuan, betapa bahagianya kami berada di sini. Biarlah kami membuat tiga buah khemah: sebuah untuk Tuan, sebuah untuk Musa dan sebuah lagi untuk Ilyas.’ Sebenarnya, dia tidak mengetahui apa yang dikatakannya itu.
LUK 9:34 Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.
LUK 9:35 Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, ‘Inilah Putera-Ku yang Aku pilih. Dengarlah kata-kata-Nya!’
LUK 9:36 Setelah suara itu berhenti, Isa kelihatan seorang sahaja. Pengikut-pengikut itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
LUK 9:37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Isa.
LUK 9:38 Seorang antaranya berseru, ‘Tuan Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.
LUK 9:39 Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
LUK 9:40 Aku telah memohon pengikut-pengikut Tuan supaya mengusir roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.’
LUK 9:41 Isa menjawab, ‘Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lamakah harus Aku bersama kamu dan bersabar terhadap kamu? Bawalah anakmu itu ke mari.’
LUK 9:42 Semasa dia datang, roh durjana itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Isa memarahi roh durjana itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.
LUK 9:43 Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Isa, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
LUK 9:44 ‘Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Putera Insan akan diserahkan ke tangan orang.’
LUK 9:45 Mereka tidak mengetahui maksudnya kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Isa tentang perkara itu.
LUK 9:46 Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.
LUK 9:47 Isa mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.
LUK 9:48 Isa berkata, ‘Sesiapa yang menerima kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menerima Aku; dan sesiapa yang menerima Aku menerima Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang rendah sekali hatinya antara kamu semua – dialah yang terbesar!’
LUK 9:49 Yahya berkata, ‘Tuan, kami telah melihat seorang yang mengusir roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.’
LUK 9:50 Isa berkata kepadanya, ‘Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.’
LUK 9:51 Tatkala waktunya sudah dekat untuk Isa diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Baitulmaqdis.
LUK 9:52 Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Isa.
LUK 9:53 Tetapi orang Samaria tidak menerima Isa kerana Dia sedang menuju ke Baitulmaqdis.
LUK 9:54 Ketika Yakobus dan Yahya, pengikut-pengikut Isa melihat perkara ini, mereka berkata, ‘Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?’
LUK 9:55 Isa berpaling dan memarahi mereka.
LUK 9:56 Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
LUK 9:57 Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Isa, ‘Aku hendak mengikut Engkau ke mana sahaja Engkau pergi.’
LUK 9:58 Isa berkata kepadanya, ‘Musang ada lubangnya dan burung ada sarangnya tetapi Putera Insan tiada tempat untuk meletakkan kepalanya.’
LUK 9:59 Isa berkata kepada seorang yang lain, ‘Ikutlah Aku.’ Tetapi dia menjawab, ‘Biarlah aku pergi mengebumikan jenazah bapaku dahulu.’
LUK 9:60 Isa berkata kepadanya, ‘Biarlah orang mati mengebumikan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah menyampaikan perkhabaran tentang kerajaan Allah.’
LUK 9:61 Seorang lain pula berkata, ‘Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.’
LUK 9:62 Isa berkata kepadanya, ‘Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.’
LUK 10:1 Setelah itu Junjungan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
LUK 10:2 Dia berkata kepada mereka, ‘Hasil tuaian sungguh banyak tetapi penuai sedikit sahaja. Oleh itu, mintalah Tuan punya tuaian menyuruh lebih ramai penuai ke tempat tuaiannya.
LUK 10:3 Pergilah kamu! Aku mengutus kamu pergi seperti anak domba ke tengah-tengah serigala.
LUK 10:4 Janganlah bawa dompet atau beg sedekah atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapapun.
LUK 10:5 ‘Apabila kamu memasuki sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan “Sejahteralah seisi rumah ini.”
LUK 10:6 Jikalau orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, sejahteramu akan tetap padanya. Jika tidak, sejahteramu itu akan kembali kepadamu.
LUK 10:7 Tinggallah di rumah yang sama, dan makan serta minum apa sahaja yang dihidangkan kerana orang yang bekerja itu layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah.
LUK 10:8 ‘Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan.
LUK 10:9 Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, “Kerajaan Allah telah mendekati kamu.”
LUK 10:10 Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata,
LUK 10:11 “Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah telah mendekati kamu.”
LUK 10:12 Aku berkata kepadamu bahawa pada hari pengadilan nanti, penduduk Sodom akan kurang sengsaranya daripada penduduk bandar itu.
LUK 10:13 ‘Malangnya kamu, penduduk Korazin! Malangnya kamu, penduduk Baitsaida! Jikalau mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu dilakukan di Tirus dan Sidon, sudah lama penduduk di situ bertaubat daripada dosa mereka dengan memakai baju kabung dan menaruh abu pada kepala.
LUK 10:14 Penduduk Tirus dan Sidon akan kurang sengsaranya daripada kamu pada hari pengadilan nanti.
LUK 10:15 Hai penduduk Kapernaum, adakah kamu akan ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dicampakkan ke dalam neraka!’
LUK 10:16 ‘Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata Aku; sesiapa yang menentangmu menentang Aku; dan sesiapa yang menentang Aku juga menentang Dia yang mengutus Aku.’
LUK 10:17 Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, ‘Ya Junjungan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.’
LUK 10:18 Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat.
LUK 10:19 Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu.
LUK 10:20 Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.’
LUK 10:21 Pada ketika itu, Isa bersukacita kerana dipenuhi dengan Roh Suci lalu berkata, ‘Ya Bapa yang memerintah langit dan bumi, Aku bersyukur kerana Engkau telah menunjukkan kepada orang yang seperti kanak-kanak apa yang Engkau sembunyikan daripada orang yang terpelajar dan pandai. Ya Bapa, ini dilakukan kerana sedemikianlah yang Engkau berkenan.
LUK 10:22 ‘Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tiada sesiapa mengenal siapa Putera kecuali Bapa; dan tiada sesiapa mengenal Bapa kecuali Putera serta mereka yang dipilih oleh Putera untuk menyatakan Bapa.’
LUK 10:23 Isa berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya lalu berkata secara sulit, ‘Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat.
LUK 10:24 Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak dapat melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak dapat mendengarnya.’
LUK 10:25 Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Isa. Dia bertanya, ‘Tuan Guru, apakah yang patut aku buat supaya memperoleh hidup yang kekal?’
LUK 10:26 Isa berkata, ‘Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?’
LUK 10:27 Ahli Taurat itu menjawab, ‘ “Engkau hendaklah mengasihi Allah, Tuhanmu dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta engkau hendaklah mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.” ’
LUK 10:28 Isa berkata kepadanya, ‘Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.’
LUK 10:29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Isa, ‘Siapakah sesama manusia itu?’
LUK 10:30 Isa menjawab, ‘Ada seorang dalam perjalanan dari Baitulmaqdis ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati.
LUK 10:31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
LUK 10:32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
LUK 10:33 Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan.
LUK 10:34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ.
LUK 10:35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, “Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.”’
LUK 10:36 Isa berkata, ‘Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?’
LUK 10:37 Ahli Taurat itu menjawab, ‘Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.’ Isa berkata, ‘Pergi dan berbuatlah sedemikian.’
LUK 10:38 Isa dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya.
LUK 10:39 Maryam, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Junjungan
LUK 10:40 tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Isa dan berkata, ‘Junjungan, tidakkah Junjungan peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.’
LUK 10:41 Junjungan menjawab, ‘Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara.
LUK 10:42 Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maryam telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.’
LUK 11:1 Isa berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, salah seorang daripada pengikut-Nya berkata, ‘Junjungan, ajarlah kami berdoa seperti Yahya mengajar pengikut-pengikutnya.’
LUK 11:2 Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu berdoa, katakanlah: ‘ “Ya Bapa, sucilah Namu-Mu; Datanglah kerajaan-Mu;
LUK 11:3 Berilah kami makanan yang secukupnya setiap hari;
LUK 11:4 Ampunkanlah dosa-dosa kami, sebagaimana kami mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami; janganlah biarkan kami tergoda.” ’
LUK 11:5 Isa meneruskan kata-Nya, ‘Siapakah antara kamu yang akan pergi kepada sahabatnya pada lewat malam lalu berkata kepadanya, “Hai sahabat, pinjamilah aku tiga buku roti
LUK 11:6 kerana seorang sahabatku telah singgah di rumahku dalam perjalanannya dan aku tiada makanan apa-apa untuk dihidangkan.”
LUK 11:7 ‘Sahabat itu menjawab dari dalam rumahnya, “Janganlah ganggu aku kerana pintu sudah dikunci dan kami semua telah pun masuk tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa.” ’
LUK 11:8 Isa berkata, ‘Aku berkata kepadamu bahawa sungguhpun, dia tidak mahu bangun memberikan pinjaman itu kepadamu kerana kamu sahabatnya, tetapi dia akan bangun juga dan memberikan pinjaman seberapa banyak yang kamu perlukan kalau kamu tidak segan untuk terus meminta daripadanya.
LUK 11:9 ‘Oleh itu, Aku berkata kepadamu: Mintalah supaya kamu akan diberi; carilah supaya kamu akan mendapat; ketuklah pintu supaya pintu akan dibuka untukmu.
LUK 11:10 Kerana setiap orang yang meminta akan menerima; yang mencari akan mendapat; dan pintu akan dibuka kepada orang yang mengetuknya.
LUK 11:11 ‘Bapa yang manakah di antara kamu akan memberikan ular kepada anaknya yang meminta ikan,
LUK 11:12 atau memberikan kala jengking kalau dipintanya telur?
LUK 11:13 Jika kamu yang jahat tahu memberikan barang yang baik kepada anak-anakmu, apatah lagi Bapamu yang di syurga akan memberikan Roh Suci kepada orang yang meminta-Nya!’
LUK 11:14 Isa mengusir roh iblis daripada seorang yang bisu. Setelah roh itu keluar, orang bisu itu pun mula bercakap. Orang ramai pun hairan.
LUK 11:15 Tetapi ada orang yang berkata, ‘Dia mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, ketua semua roh iblis.’
LUK 11:16 Orang lain cuba memerangkap Isa dengan meminta-Nya melakukan suatu mukjizat untuk menunjukkan Allah berkenan dengan-Nya.
LUK 11:17 Isa mengetahui fikiran mereka lalu berkata kepada mereka, ‘Setiap negara yang berbelah bahagi dan bermusuhan sesama rakyatnya tidak akan tahan lama dan setiap keluarga yang bersengketa sesama sendiri akan hancur.
LUK 11:18 Jikalau kerajaan Iblis berlawan-lawanan sesama sendiri, bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul.
LUK 11:19 Tetapi jikalau Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu mengusir roh-roh iblis? Maka pengikut-pengikutmu sendiri akan menghakimi kamu!
LUK 11:20 Tetapi jika Aku mengusir roh-roh iblis dengan kuasa Allah, maka ini menunjukkan bahawa kerajaan Allah telah datang kepada kamu.
LUK 11:21 ‘Apabila seorang yang gagah dan bersenjata lengkap mengawal rumahnya, harta bendanya selamat;
LUK 11:22 tetapi apabila seorang yang lebih gagah menyerang dan mengalahkannya, yang lebih gagah itu akan merampas segala senjata yang diperlukan oleh tuan rumah itu lalu membahagikan harta yang dirampasnya.
LUK 11:23 ‘Orang yang tidak berpihak kepada Aku menentang Aku; dan orang yang tidak bersama Aku bercerai-berai.
LUK 11:24 ‘Apabila roh durjana keluar daripada seseorang, roh itu mengembara di tempat yang kering untuk mencari tempat berehat. Jika tempat itu tidak dapat dicari, roh itu berkata, “Aku akan pulang ke tempat kediamanku yang lama.”
LUK 11:25 Roh itu kembali dan mendapati tempat kediamannya itu bersih dan kemas.
LUK 11:26 Kemudian dia pergi membawa tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya lalu mereka tinggal di situ. Keadaan orang itu pada akhirnya lebih teruk daripada dahulu.’
LUK 11:27 Setelah Isa berkata demikian, seorang perempuan antara orang ramai itu berkata, ‘Diberkatilah perempuan yang melahirkan dan menyusui Engkau.’
LUK 11:28 Tetapi Isa berkata, ‘Bahkan lebih diberkati lagi orang yang mendengar firman Allah dan mematuhinya.’
LUK 11:29 Semasa orang ramai mengerumuni Isa, Dia berkata, ‘Betapa durjananya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat dilakukan sebagai alamat daripada Allah tetapi alamat tidak akan diberi kecuali alamat Nabi Yunus
LUK 11:30 kerana seperti Yunus telah menjadi alamat kepada orang Niniwe, demikian juga Putera Insan menjadi alamat kepada orang zaman ini.
LUK 11:31 Pada hari pengadilan ratu negeri Selatan akan bangkit dan mencela mereka kerana ratu itu telah datang dari hujung bumi untuk mendengar pengajaran Sulaiman yang bijak, dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Sulaiman.
LUK 11:32 Orang Niniwe akan bangkit pada hari pengadilan dan mencela orang zaman ini kerana orang Niniwe itu telah bertaubat daripada dosa mereka apabila mendengar khutbah Yunus; dan di sini ada seorang yang lebih besar daripada Yunus.
LUK 11:33 ‘Tiada seorang pun yang memasang pelita lalu meletakkannya di tempat yang tersembunyi atau di bawah pasu. Sebaliknya, dia meletakkannya di atas kaki pelita supaya orang yang masuk dapat melihat cahayanya.
LUK 11:34 Matamu ialah pelita bagi tubuhmu. Jikalau matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu pun menjadi gelap.
LUK 11:35 Oleh itu, berjaga-jagalah supaya cahaya dalammu itu tidak menjadi gelap.
LUK 11:36 Jikalau seluruh tubuhmu itu terang tanpa sebarang bahagian yang gelap, seluruh tubuhmu akan terang-benderang seperti sebuah pelita menerangi kamu dengan cahayanya.’
LUK 11:37 Setelah Isa habis bercakap, seorang Farisi menjemput Dia makan di rumahnya. Isa pun pergi lalu bertelekan di meja.
LUK 11:38 Orang Farisi itu kehairanan apabila melihat Isa tidak membasuh tangan-Nya sebelum makan.
LUK 11:39 Oleh itu Junjungan berkata kepadanya, ‘Kamu orang Farisi mencuci bahagian luar pinggan mangkuk, tetapi kamu penuh dengan ketamakan dan kezaliman dalam hatimu.
LUK 11:40 Hai orang yang bodoh! Bukankah Dia yang menjadikan bahagian luar juga menjadikan bahagian dalam?
LUK 11:41 Berikanlah makanan yang ada di dalam pinggan mangkuk itu kepada orang miskin dan segala-galanya akan menjadi bersih bagimu.
LUK 11:42 ‘Malangnya kamu, orang Farisi! Kamu membayar sepersepuluh daripada selasih, inggu dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan dan kasih kepada Allah. Kamu haruslah membayar sepersepuluh itu tanpa mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting.
LUK 11:43 ‘Malangnya kamu orang Farisi! Kamu suka duduk di kerusi khas di saumaah-saumaah dan diberi salam dengan hormatnya di pasar-pasar.
LUK 11:44 ‘Malangnya kamu! Kamu umpama kubur-kubur yang tidak bernisan, yang dipijak-pijak tanpa disedari oleh orang yang berjalan di atasnya.’
LUK 11:45 Seorang daripada guru Taurat berkata kepada Isa, ‘Guru menghina kami juga apabila Guru berkata sedemikian.’
LUK 11:46 Isa berkata, ‘Malangnya kamu guru-guru Taurat, kerana kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.
LUK 11:47 ‘Malangnya kamu! Kamu membina makam untuk nabi-nabi yang telah dibunuh oleh nenek moyangmu.
LUK 11:48 Oleh itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyangmu itu; kerana mereka telah membunuh nabi-nabi itu tetapi kamu membina makam mereka pula.
LUK 11:49 Dengan itu, kebijaksanaan Allah telah mengatakan, “Aku mengutus nabi-nabi dan rasul-rasul kepada mereka, yang sesetengahnya akan dibunuh atau dianiayai oleh mereka.”
LUK 11:50 Jadi, orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi sejak dunia dicipta,
LUK 11:51 iaitu, dari pembunuhan Habil hingga pembunuhan Zekaria di antara tempat persembahan korban dengan rumah ibadat. Ya, Aku berkata kepadamu bahawa orang zaman ini akan dihukum atas pembunuhan semua nabi itu.
LUK 11:52 ‘Malangnya kamu, ahli-ahli Taurat! Kunci ilmu telah kamu ambil; kamu sendiri tidak mahu masuk tetapi kamu menghalang orang yang cuba hendak masuk.’
LUK 11:53 Setelah Isa keluar dari rumah itu, guru-guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Dia. Mereka menanya-Nya tentang banyak perkara,
LUK 11:54 dan cuba memerangkap Dia dengan mencari kesalahan dalam sesuatu yang dikatakan-Nya.
LUK 12:1 Oleh sebab tidak terkira ramainya orang berkerumun, mereka pijak-memijak sesama sendiri. Isa pun berkata, terutamanya kepada pengikut-pengikut-Nya, ‘Jagalah dirimu daripada ragi orang Farisi, iaitu sifat munafik.
LUK 12:2 Tiada sesuatu pun yang tersembunyi yang tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan.
LUK 12:3 Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa sahaja yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan.
LUK 12:4 ‘Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, janganlah kamu takut akan orang yang dapat membunuh tubuh sahaja dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.
LUK 12:5 Aku menyatakan siapa yang harus kamu takuti: Takutlah akan Dia yang setelah mengambil nyawamu, berkuasa pula membuangmu ke dalam neraka. Aku berkata kepadamu supaya takut akan Dia!
LUK 12:6 Bukankah lima ekor burung pipit dijual orang dengan harga dua syiling sahaja? Namun tiada seekor pun dilupakan oleh Allah.
LUK 12:7 Malahan segala rambut di kepalamu telah dihitung. Janganlah kamu takut; kamu lebih bernilai daripada banyak burung pipit itu.
LUK 12:8 ‘Aku berkata kepadamu bahawa tiap-tiap orang yang mengakui Aku di hadapan manusia akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
LUK 12:9 Sesiapa yang tidak mengakui Aku di hadapan manusia tidak akan diakui oleh Putera Insan di hadapan malaikat-malaikat Allah.
LUK 12:10 Sesiapa yang mengeluarkan kata-kata menentang Putera Insan akan diampuni. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampuni.
LUK 12:11 ‘Apabila orang membawa kamu untuk didakwa di majlis saumaah atau di hadapan gabenor atau pihak berkuasa, janganlah kamu khuatir bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan,
LUK 12:12 kerana pada waktu itu Roh Suci akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan.’
LUK 12:13 Seorang daripada orang ramai itu berkata, ‘Tuan Guru, suruh abang aku membahagikan warisan denganku.’
LUK 12:14 Isa menjawab, ‘Saudara, siapakah yang menjadikan Aku hakim atau pembahagi warisan kepada kamu?’
LUK 12:15 Isa terus menambah, ‘Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki.’
LUK 12:16 Lalu Dia pun menceritakan kepada mereka satu ibarat: ‘Seorang kaya mempunyai tanah yang mengeluarkan hasil yang banyak.
LUK 12:17 Dia berfikir dalam hatinya, “Apakah harus aku buat? Tiada lagi tempat untuk menyimpan hasil tanahku.”
LUK 12:18 ‘Dia berkata, “Baiklah aku berbuat begini. Aku akan meruntuhkan gudang-gudangku dan membina yang lebih besar. Di situlah aku akan menyimpan segala hasil dan harta bendaku.
LUK 12:19 Aku akan berkata kepada diriku, engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah.”
LUK 12:20 ‘Tetapi Allah berfirman kepadanya, “Engkau bodoh! Pada malam ini juga, nyawamu akan dituntut kembali daripadamu. Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?”
LUK 12:21 ‘Demikianlah halnya orang yang menyimpan harta benda untuk dirinya tetapi tidak kaya pada pandangan Allah.’
LUK 12:22 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Sebab itulah Aku berkata kepadamu supaya jangan khuatir tentang makanan untuk hidupmu dan pakaian untuk tubuhmu.
LUK 12:23 Hidupmu tidak hanya bergantung pada makanan, dan tubuhmu tidak hanya bergantung pada pakaian.
LUK 12:24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menabur atau menuai, tidak mempunyai gudang atau rengkiang, tetapi Allah memberikan makanan kepadanya. Kamu lebih bernilai daripada burung-burung itu!
LUK 12:25 Dapatkah sesiapa antaramu memanjangkan umur sedikit pun dengan menaruh khuatir?
LUK 12:26 Jikalau kamu tidak dapat membuat perkara yang sekecil ini, mengapakah kamu khuatir tentang hal-hal yang lain?
LUK 12:27 ‘Perhatikanlah bunga bakung. Bunga ini tidak menenun. Tetapi Aku berkata kepadamu bahawa Sulaiman dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga ini.
LUK 12:28 Jikalau Allah menghiasi sedemikian rumput yang hari ini ada di padang tetapi esoknya dibakar, bukankah Dia apatah lagi akan memberikan pakaian kepada kamu! Alangkah lemahnya imanmu!
LUK 12:29 Jadi, janganlah kamu utamakan makanan dan minuman serta janganlah bimbang hati.
LUK 12:30 Orang yang tidak mengenal Allah mengutamakan perkara-perkara ini, tetapi Bapamu mengetahui kamu memerlukan semua ini.
LUK 12:31 Sebaliknya, utamakanlah kerajaan Allah dan segala perkara ini akan diberikan-Nya kepadamu.
LUK 12:32 ‘Janganlah takut, hai golongan kecil sahabat Aku, kerana Bapamu berkenan hendak memberikan kerajaan-Nya kepadamu.
LUK 12:33 Juallah hartamu dan berikanlah wang itu kepada orang miskin. Sediakanlah bagi dirimu dompet yang tidak akan usang dan simpanlah kekayaanmu di syurga yang tidak dapat dimasuki oleh pencuri atau dirosakkan oleh gegat.
LUK 12:34 Kerana di mana hartamu terkumpul, di situlah hatimu tertumpu.
LUK 12:35 ‘Kamu hendaklah bersiap sedia dengan pelitamu terpasang.
LUK 12:36 Kamu hendaklah seperti orang yang menantikan kepulangan tuan mereka dari jamuan perkahwinan. Apabila tuan mereka pulang dan mengetuk pintu, mereka akan membuka pintu itu dengan serta-merta.
LUK 12:37 Diberkatilah hamba-hamba yang didapati berjaga-jaga oleh tuan mereka ketika dia pulang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan menyuruh mereka bertelekan di meja dan dia sendiri akan melayani mereka.
LUK 12:38 Diberkatilah hamba-hamba itu jikalau tuan itu pulang baik pada tengah malam ataupun sebelum fajar menyingsing dan mendapati mereka bersiap sedia.
LUK 12:39 Tetapi ketahuilah kamu bahawa sekiranya tuan rumah mengetahui masa pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan rumahnya dipecah masuk.
LUK 12:40 Oleh itu, kamu hendaklah bersedia kerana Putera Insan akan datang pada suatu masa yang tidak kamu sangka.’
LUK 12:41 Petrus bertanya, ‘Junjungan, adakah Engkau beritahu ibarat ini kepada kami atau kepada semua orang?’
LUK 12:42 Junjungan menjawab, ‘Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah yang dipertanggungjawabkan oleh tuannya untuk mengurus rumahtangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktunya.
LUK 12:43 Diberkatilah hamba yang didapati oleh tuannya sedang berbuat demikian apabila tuannya pulang.
LUK 12:44 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa tuan itu akan mempertanggungjawabkan hamba tersebut sebagai pengurus segala hartanya.
LUK 12:45 Tetapi jikalau hamba itu berfikir dalam hatinya, “Tuan aku pulang lewat,” lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain baik lelaki ataupun perempuan dan makan minum sehingga mabuk,
LUK 12:46 maka tuannya akan pulang pada hari yang tidak disangka-sangkanya serta pada waktu yang tidak diketahuinya. Tuan itu akan membuangnya dan menempatkannya bersama orang yang tidak percaya.
LUK 12:47 ‘Seorang hamba yang mengetahui kehendak tuannya tetapi tidak bersedia serta tidak melakukannya, akan disebat dengan teruk.
LUK 12:48 Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, sekalipun melakukan perkara yang patut dihukum sebat, akan dihukum dengan ringan sahaja. Kerana sesiapa yang diberikan banyak, banyak pula akan dituntut daripadanya. Semakin banyak yang diamanahkan kepada seseorang, semakin banyak pula yang akan dituntut daripadanya.
LUK 12:49 ‘Aku datang untuk melontarkan api ke bumi dan betapa inginnya Aku api itu telah menyala!
LUK 12:50 Aku harus mengalami suatu pengimadan dan betapa resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum selesai.
LUK 12:51 Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa kedamaian di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan kedamaian melainkan perpecahan!
LUK 12:52 Mulai sekarang, lima orang dalam sebuah keluarga akan berpecah, tiga melawan dua dan dua melawan tiga.
LUK 12:53 Bapa melawan anak lelakinya dan anak lelaki melawan bapanya, ibu melawan anak perempuannya dan anak perempuan melawan ibunya, ibu mertua melawan menantu perempuannya serta menantu perempuan melawan ibu mertuanya.’
LUK 12:54 Isa berkata kepada orang ramai itu, ‘Apabila kamu melihat awan naik dari barat, kamu akan berkata, “Hari mahu hujan,” dan begitulah berlakunya.
LUK 12:55 Apabila kamu melihat adanya angin selatan bertiup, kamu berkata, “Hari akan panas terik,” dan begitulah berlakunya.
LUK 12:56 Hai munafik! Kamu tahu mentafsir cuaca dengan melihat alamat di langit dan bumi, tetapi mengapakah kamu tidak memahami alamat-alamat zaman ini?
LUK 12:57 ‘Mengapakah kamu sendiri tidak dapat menentukan apa yang benar?
LUK 12:58 Apabila engkau berjalan menuju ke mahkamah bersama orang yang mendakwamu, berusahalah untuk menyelesaikan perkara itu dalam perjalanan agar dia tidak mengheretmu ke hadapan hakim dan hakim akan menyerahkanmu kepada pegawai polis yang akan memasukkanmu ke dalam penjara.
LUK 12:59 Aku berkata kepadamu bahawa engkau tidak dapat keluar dari situ sehingga engkau membayar seluruh dendamu.’
LUK 13:1 Pada masa itu beberapa orang datang memberitahu Isa tentang orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus semasa mereka sedang mempersembahkan korban kepada Allah.
LUK 13:2 Isa berkata, ‘Adakah kamu menganggap orang Galilea itu lebih berdosa daripada semua penduduk Galilea yang lain kerana mereka menderita sengsara yang sedemikian?
LUK 13:3 Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat daripada dosamu, kamu akan binasa sedemikian juga.
LUK 13:4 Bagaimanakah pula dengan lapan belas orang yang mati ditimpa oleh menara di Siloam? Adakah mereka lebih bersalah daripada semua penduduk lain di kota Baitulmaqdis?
LUK 13:5 Aku berkata kepadamu bukan begitu; tetapi jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga.’
LUK 13:6 Isa menceritakan suatu ibarat. ‘Seorang telah menanam pokok ara di kebun buah-buahannya. Dia datang mencari buahnya, tetapi tidak dijumpai.
LUK 13:7 Dia berkata kepada tukang kebun, “Tengoklah, sudah tiga tahun aku datang mencari buah daripada pokok ara ini, tetapi tidak juga didapati. Tebangkanlah pokok ini! Apa gunanya terus menghabiskan kesuburan tanah?”
LUK 13:8 ‘Tukang kebun menjawab, “Tuan, biarkan pokok ini tumbuh setahun lagi. Aku akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan membubuh baja.
LUK 13:9 Kalau pokok ini berbuah, baiklah! Kalau tidak, tuan boleh menebangnya.”’
LUK 13:10 Pada hari Sabat Isa mengajar di salah sebuah saumaah.
LUK 13:11 Di situ ada seorang perempuan yang dirasuk oleh sesuatu roh yang melemahkannya selama lapan belas tahun. Belakangnya bongkok lipat dua dan dia tidak dapat berdiri tegak.
LUK 13:12 Apabila Isa nampak perempuan itu, Dia memanggilnya dan berkata, ‘Sembuhlah daripada penyakitmu.’
LUK 13:13 Lalu Isa meletakkan tangan-Nya pada perempuan itu. Seketika itu juga, dia berdiri tegak dan memuji Allah.
LUK 13:14 Tetapi ketua saumaah itu marah kerana Isa telah menyembuhkan orang pada hari Sabat. Lalu dia berkata kepada orang ramai, ‘Dalam seminggu ada enam hari yang dibenarkan untuk bekerja. Jadi, datanglah untuk disembuhkan pada salah satu hari itu dan bukannya pada hari Sabat.’
LUK 13:15 Junjungan menjawab, ‘Kamu munafik! Bukankah kamu masing-masing melepaskan lembu atau keldaimu dari kandang untuk dibawa pergi minum pada hari Sabat?
LUK 13:16 Sekarang perempuan daripada keturunan Ibrahim ini telah dibelenggu oleh Iblis selama lapan belas tahun, tidak haruskah dia dibebaskan daripada belenggunya pada hari Sabat?’
LUK 13:17 Jawapan Isa memalukan semua musuh-Nya tetapi orang ramai bersukacita kerana segala perkara menakjubkan yang dilakukan oleh Isa.
LUK 13:18 Isa berkata, ‘Bagaimanakah keadaan kerajaan Allah dan dengan apakah dapat Aku bandingkannya?
LUK 13:19 Keadaannya umpama biji sesawi yang ditanam orang di dalam kebunnya. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok lalu burung di udara membuat sarang pada cabang-cabangnya.’
LUK 13:20 Isa berkata lagi, ‘Dengan apakah dapat Aku bandingkan kerajaan Allah?
LUK 13:21 Keadaannya umpama ragi dicampur oleh seorang perempuan dengan tiga gantang tepung sampai seluruh adunannya naik.’
LUK 13:22 Dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, Isa melalui beberapa buah kota dan kampung sambil mengajar.
LUK 13:23 Seorang bertanya kepada-Nya, ‘Tuan, adakah segelintir sahaja yang akan diselamatkan?’ Isa menjawab,
LUK 13:24 ‘Berusahalah untuk memasuki pintu yang sempit. Aku berkata kepadamu bahawa ramai orang akan mencari jalan masuk, tetapi mereka tidak mendapatinya.
LUK 13:25 Tuan rumah akan bangun dan menguncikan pintu ketika kamu berdiri di luar mengetuk pintu sambil berkata, “Tuan, tuan, bukalah pintu.” ‘Tetapi dia akan menjawab, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang.”
LUK 13:26 ‘Kemudian kamu akan berkata, “Kami telah makan dan minum bersama tuan, dan tuan mengajar di kota kami.”
LUK 13:27 ‘Tetapi tuan itu akan berkata, “Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Nyahlah, kamu semua yang melakukan kejahatan!”
LUK 13:28 ‘Di tempat itu akan terdapat ratapan dan kertakan gigi apabila kamu melihat Ibrahim, Ishak dan Yakub bersama semua nabi di dalam kerajaan Allah, tetapi kamu diusir keluar.
LUK 13:29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara serta selatan untuk menikmati jamuan di dalam kerajaan Allah.
LUK 13:30 Sesungguhnya, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.’
LUK 13:31 Pada masa itu beberapa orang Farisi datang kepada Isa dan berkata, ‘Pergilah dari sini ke tempat yang lain. Herodes hendak membunuh-Mu.’
LUK 13:32 Isa menjawab, ‘Pergilah beritahu si musang, “Pada hari ini dan esok Aku mengusir roh-roh iblis serta menyembuhkan orang tetapi pada hari ketiga Aku akan menyelesaikan tugas-Ku.”
LUK 13:33 Namun, Aku harus meneruskan perjalanan pada hari ini, esok dan lusa. Seorang nabi tidak dibunuh di tempat lain kecuali di Baitulmaqdis.
LUK 13:34 ‘Baitulmaqdis, Baitulmaqdis! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam utusan-utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin menaungi semua pendudukmu seperti seekor ibu ayam melindungi anak-anaknya di bawah kepaknya, tetapi engkau tidak mahu.
LUK 13:35 Sekarang rumahmu akan ditinggalkan sama sekali. Aku berkata kepadamu bahawa kamu tidak akan melihat Aku sehingga tiba masanya kamu berkata, “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!” ’
LUK 14:1 Pada hari Sabat Isa pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkemuka. Orang terus memerhatikan Isa dengan teliti.
LUK 14:2 Dan di situ seorang lelaki yang sakit busung berada di hadapan Isa
LUK 14:3 Kemudian Isa bertanya kepada ahli-ahli Taurat dan orang Farisi, ‘Adakah Taurat membenarkan orang disembuhkan pada hari Sabat atau tidak?’
LUK 14:4 Tetapi mereka diam sahaja. Lalu Isa memanggil orang itu dan menyembuhkannya serta menyuruhnya pulang.
LUK 14:5 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau lembu atau keldaimu jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, siapakah antara kamu yang tidak menariknya keluar dengan serta-merta pada hari Sabat itu juga?’
LUK 14:6 Mereka tidak dapat memberikan jawapan tentang perkara itu.
LUK 14:7 Ketika Isa melihat bagaimana tetamu memilih tempat duduk yang terbaik di jamuan itu, Dia mengatakan suatu ibarat kepada mereka:
LUK 14:8 ‘Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput,
LUK 14:9 dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, “Berikanlah tempatmu kepada orang ini.” Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang paling belakang.
LUK 14:10 Oleh itu, apabila kamu dijemput orang, pergilah duduk di tempat yang paling belakang supaya tuan rumah datang dan berkata kepadamu, “Saudara, silakanlah ke tempat yang lebih baik.” Dengan itu, kamu mendapat penghormatan di hadapan semua orang jemputan itu.
LUK 14:11 Sesiapa yang memuliakan dirinya akan direndahkan dan yang merendahkan dirinya akan dimuliakan.’
LUK 14:12 Kemudian Isa berkata kepada tuan rumah, ‘Apabila mengadakan suatu majlis makan tengah hari atau malam, janganlah jemput sahabat-sahabatmu atau adik-beradikmu atau sanak-saudaramu atau jiran tetanggamu yang kaya kerana mereka akan menjemputmu pula dan itulah sahaja balasan atas perbuatanmu.
LUK 14:13 Apabila mengadakan suatu jamuan, jemputlah orang miskin, orang kudung, orang tempang dan orang buta.
LUK 14:14 Diberkatilah kamu kelak kerana mereka tidak dapat membalas jemputanmu, tetapi kamu akan dianugerahi Allah pada hari kebangkitan orang yang benar daripada kematian.’
LUK 14:15 Salah seorang jemputan itu mendengar kata-kata Isa lalu berkata, ‘Diberkatilah orang yang akan dijamu di dalam kerajaan Allah.’
LUK 14:16 Isa berkata kepadanya: ‘Ada seorang yang mengadakan jamuan besar dan dia menjemput ramai orang.
LUK 14:17 Apabila tiba masanya, dia menyuruh hambanya pergi memberitahu para jemputannya, “Silakanlah, kerana semuanya siap sedia.”
LUK 14:18 ‘Tetapi masing-masing mula berdalih. Yang pertama berkata, “Aku telah membeli sebuah ladang dan aku harus pergi ke sana. Aku minta maaf.”
LUK 14:19 ‘Seorang yang lain berkata, “Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.”
LUK 14:20 ‘Seorang yang lain lagi berkata, “Aku baru berkahwin. Oleh itu, aku tidak dapat datang.”
LUK 14:21 ‘Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya hal ini. Tuan rumah itu sangat marah dan menyuruh hambanya, “Pergilah dengan segera ke jalan-jalan dan lorong-lorong kota dan bawalah orang miskin, orang kudung, orang buta dan orang tempang ke mari.”
LUK 14:22 ‘Hamba itu berkata, “Tuan, apa yang tuan suruh telah dilakukan tetapi masih ada tempat lagi.”
LUK 14:23 ‘Tuan rumah berkata kepada hambanya, “Pergilah ke jalan-jalan raya dan lorong-lorong di luar kota serta suruh orang datang supaya rumahku penuh.
LUK 14:24 Aku berkata kepadamu bahawa tiada seorang pun antara mereka yang telah dijemput itu, akan menikmati jamuanku ini.” ’
LUK 14:25 Orang ramai sedang mengiringi Isa apabila Dia berpaling dan berkata kepada mereka:
LUK 14:26 ‘Jikalau seseorang datang kepada-Ku dan dia lebih mengasihi ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya, adik-beradiknya dan dirinya, dia tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
LUK 14:27 Sesiapa yang tidak memikul salibnya dan mengikut-Ku tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
LUK 14:28 ‘Jikalau seseorang antara kamu ingin membina sebuah menara, dia akan terlebih dahulu duduk dan menganggarkan perbelanjaannya untuk memastikan sama ada dia mempunyai wang yang cukup untuk menyiapkan pembinaan itu.
LUK 14:29 Jikalau dia sudah meletakkan asas menara itu, tetapi tidak dapat menyiapkan pembinaannya, semua orang yang melihat hal itu akan mengejeknya.
LUK 14:30 “Orang ini telah memulakan pembinaan itu, tetapi tidak dapat pula menyiapkannya.”
LUK 14:31 ‘Jikalau seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak keluar berperang dengan raja lain yang membawa dua puluh ribu orang askar untuk menyerangnya, dia akan mempertimbangkan dahulu sama ada dia cukup kuat untuk menentang raja tersebut.
LUK 14:32 Kalau dia tidak dapat berbuat demikian, dia akan memerintah utusan-utusannya untuk bertanyakan syarat-syarat perdamaian semasa musuhnya masih jauh lagi.
LUK 14:33 Begitu juga sesiapa antara kamu yang tidak meninggalkan segala miliknya, tidak boleh menjadi pengikut-Ku.
LUK 14:34 ‘Garam itu baik tetapi jikalau menjadi tawar, bagaimanakah garam itu dapat dimasinkan semula?
LUK 14:35 Garam itu tidak berguna untuk menyuburkan tanah atau dijadikan baja kecuali dibuang sahaja. Orang yang bertelinga, dengarlah.’
LUK 15:1 Pada suatu hari semua pemungut cukai dan orang yang berdosa datang mendengar Isa.
LUK 15:2 Orang Farisi dan guru-guru Taurat bersungut-sungut, ‘Orang ini menyambut orang berdosa dan makan bersama mereka.’
LUK 15:3 Isa pun mengatakan ibarat ini kepada mereka.
LUK 15:4 ‘Jikalau seorang antara kamu mempunyai seratus ekor domba lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya.
LUK 15:5 Setelah dia menemukannya, dia memikul domba itu di atas bahunya.
LUK 15:6 Setibanya di rumah, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya lalu berkata, “Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan domba aku yang hilang itu.”
LUK 15:7 Aku berkata kepadamu bahawa begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat.
LUK 15:8 ‘Atau seandainya seorang perempuan yang mempunyai sepuluh keping wang perak kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita lalu menyapu rumah dan mencari dengan cermat sehingga dia menemukannya kembali.
LUK 15:9 Setelah itu, dia memanggil sahabat-sahabat dan jiran tetangganya dan berkata, “Bergembiralah dengan aku kerana aku telah menemukan sekeping wang yang hilang itu.”
LUK 15:10 Aku berkata kepadamu bahawa malaikat-malaikat Allah bergembira kerana seorang yang berdosa bertaubat.’
LUK 15:11 Isa berkata seterusnya: ‘Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki.
LUK 15:12 Anak bongsu berkata kepada bapanya, “Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.” Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.
LUK 15:13 ‘Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.
LUK 15:14 Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan.
LUK 15:15 Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya.
LUK 15:16 Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.
LUK 15:17 ‘Akhirnya, dia sedar dan berkata, “Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan!
LUK 15:18 Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah.
LUK 15:19 Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.”
LUK 15:20 Dia pun kembali kepada bapanya. ‘Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.
LUK 15:21 ‘Anak itu berkata kepada bapanya, “Ayah, aku telah berbuat dosa kepada Allah dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.”
LUK 15:22 ‘Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, “Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin di jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya.
LUK 15:23 Pilihlah dan sembelilah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria;
LUK 15:24 kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemui kembali.” Lalu mereka mula bersuka ria.
LUK 15:25 ‘Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari.
LUK 15:26 Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, “Apakah yang sedang berlaku ini?”
LUK 15:27 Hamba itu menjawab, “Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.”
LUK 15:28 ‘Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia.
LUK 15:29 Anak sulung itu berkata, “Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku.
LUK 15:30 Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!”
LUK 15:31 ‘Bapa itu berkata kepadanya, “Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu.
LUK 15:32 Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemui kembali.” ’
LUK 16:1 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Seorang kaya mempunyai seorang pengurus untuk harta bendanya. Dia diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang tuannya.
LUK 16:2 Tuan itu memanggil pengurus itu lalu berkata, “Apakah yang telah kudengar tentangmu? Serahkanlah kira-kira yang lengkap bagi semua hartaku kerana kamu tidak boleh menjadi pengurus lagi.”
LUK 16:3 ‘Pengurus itu berkata kepada dirinya, “Apakah harus aku buat? Aku tidak kuat untuk mencangkul dan aku malu meminta sedekah.
LUK 16:4 Aku tahu apa yang harus aku buat supaya apabila aku dipecat nanti daripada jawatan pengurus itu, aku ada ramai sahabat yang akan menerimaku ke rumah mereka.”
LUK 16:5 ‘Dia pun memanggil semua orang yang berhutang kepada tuannya. Dia berkata kepada orang yang pertama, “Berapakah hutangmu kepada tuan aku?”
LUK 16:6 ‘Orang itu menjawab, “Seratus tong minyak zaitun.” Pengurus itu berkata, “Inilah kira-kiramu. Duduk dan tulislah lima puluh.”
LUK 16:7 ‘Dia berkata kepada seorang yang lain, “Berapakah hutangmu pula?” ‘Orang itu menjawab, “Seratus pikul gandum.” ‘Pengurus itu berkata, “Inilah kira-kiramu. Tulislah lapan puluh.”
LUK 16:8 ‘Tuan itu memuji pengurus yang tidak jujur itu kerana perbuatannya yang cerdik. Orang duniawi lebih cerdik menguruskan pekerjaan mereka daripada orang yang hidup dalam nur.
LUK 16:9 Aku berkata kepadamu supaya menggunakan kekayaan dunia untuk mendapat sahabat bagi dirimu. Apabila kekayaanmu lenyap, kamu akan disambut ke tempat kediaman yang kekal.
LUK 16:10 ‘Orang yang setia dalam perkara yang kecil akan setia juga dalam perkara yang besar; dan orang yang tidak setia dalam perkara yang kecil tidak akan setia dalam perkara yang besar.
LUK 16:11 Oleh itu, jikalau kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu?
LUK 16:12 Dan jikalau kamu tidak setia dengan milik orang lain, siapakah pula yang akan memberimu apa yang menjadi milik kamu sendiri?
LUK 16:13 ‘Tiada seorang hamba yang dapat menghambakan diri kepada dua orang tuan. Dia akan membenci seorang dan mengasihi seorang lagi ataupun dia akan taat kepada seorang dan menghina seorang lagi. Kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan.’
LUK 16:14 Orang Farisi yang mendengar kata-kata Isa mengejek-Nya kerana mereka loba akan wang.
LUK 16:15 Isa berkata kepada mereka, ‘Kamulah orang yang berpura-pura bertakwa di hadapan khalayak ramai, tetapi Allah mengetahui isi hatimu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia tidak ada nilainya di sisi Allah.
LUK 16:16 ‘Sebenarnya, hukum Taurat dan kitab segala nabi berkuatkuasa sehingga zaman Yahya. Semenjak itu, perkhabaran baik tentang kerajaan Allah diberitakan, dan orang berasak-asak hendak memasukinya.
LUK 16:17 Tetapi lebih mudah lenyapnya langit dan bumi daripada hilangnya sepatah kata pun hukum Taurat.
LUK 16:18 ‘Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga dengan lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya.
LUK 16:19 ‘Ada seorang kaya yang berpakaian mahal-mahal dan hidup dalam kemewahan setiap hari.
LUK 16:20 Ada pula seorang peminta sedekah bernama Lazarus yang penuh dengan pekung. Dia selalu dibawa ke muka pintu rumah orang kaya itu.
LUK 16:21 Dia ingin mendapat sisa-sisa makanan yang dibuang dari meja orang kaya itu. Anjing pula datang menjilat pekung-pekungnya.
LUK 16:22 ‘Peminta sedekah itu mati dan malaikat-malaikat membawanya ke sisi Ibrahim di syurga. Orang kaya itu pun mati lalu dikebumikan.
LUK 16:23 Dia menderita di alam maut. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Ibrahim jauh di sana dan Lazarus di sisinya.
LUK 16:24 Dia berseru, “Bapa Ibrahim, kasihanilah aku dan suruh Lazarus datang mencelupkan jarinya di dalam air untuk menyejukkan lidahku kerana aku sengsara di dalam nyala api ini.”
LUK 16:25 ‘Tetapi Ibrahim berkata, “Anakku, ingatlah bahawa engkau telah menikmati kesenangan pada masa hidupmu, tetapi Lazarus mengalami kesengsaraan. Sekarang Lazarus senang di sini tetapi engkau menderita.
LUK 16:26 Selain itu, terdapat satu jurang yang dalam di antara kami dengan kamu supaya orang yang hendak menyeberang dari sini kepada kamu tidak dapat berbuat demikian, dan orang dari sana tidak dapat menyeberang kepada kami.”
LUK 16:27 ‘Orang kaya itu berkata, “Jikalau begitu, aku memohon, ya bapa, suruh Lazarus ke rumah ayahku
LUK 16:28 kerana aku mempunyai lima adik-beradik lelaki. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka supaya mereka tidak datang ke tempat sengsara ini.”
LUK 16:29 ‘Ibrahim berkata, “Mereka ada kitab Musa dan nabi-nabi. Biarlah mereka mendengar pengajaran itu.”
LUK 16:30 ‘Orang kaya itu berkata, “Itu tidak cukup, Bapa Ibrahim. Jikalau seorang antara orang mati pergi kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa-dosa mereka.”
LUK 16:31 ‘Tetapi Ibrahim berkata, “Jikalau mereka tidak mahu mendengar pengajaran kitab Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya sekalipun seorang bangkit daripada kematian.” ’
LUK 17:1 Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Hal yang membuat orang melakukan dosa memang ada, tetapi malangnya bagi orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku.
LUK 17:2 Lebih baik bagi dia jikalau sebuah batu kisar diikat pada lehernya dan dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah melakukan dosa.
LUK 17:3 Berwaspadalah! ‘Jikalau saudaramu telah berbuat salah terhadapmu, tegurlah dia dan jikalau dia bertaubat, ampunilah dia.
LUK 17:4 Jikalau dia bersalah sebanyak tujuh kali terhadapmu dalam sehari dan setiap kali dia datang kepadamu serta berkata, “Aku bertaubat,” kamu hendaklah mengampuninya.’
LUK 17:5 Rasul-rasul itu berkata kepada Junjungan, ‘Kuatkanlah iman kami.’
LUK 17:6 Junjungan menjawab, ‘Jikalau kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu akan dapat berkata kepada pokok ara ini, “Tercabutlah akar-akarmu dan tertanamlah kamu di laut,” dan pokok ara akan menurut perintahmu.
LUK 17:7 ‘Jikalau salah seorang kamu mempunyai hamba yang membajak atau menggembalakan domba, siapakah antara kamu akan berkata kepadanya sewaktu dia pulang dari ladang, “Mari, lekas duduk makan?”
LUK 17:8 Bukankah kamu akan berkata kepadanya, “Hidangkan makanan dan bersedia untuk melayaniku semasa aku makan. Selepas itu, barulah kamu makan”?
LUK 17:9 Adakah kamu mengucapkan terima kasih kepada hamba itu kerana dia menurut perintah?
LUK 17:10 Begitu juga dengan kamu. Apabila kamu telah berbuat segala yang diperintahkan kepadamu, kamu hendaklah berkata, “Kami ini hamba yang tidak layak menerima apa-apa; kami cuma menjalankan kewajipan kami.” ’
LUK 17:11 Dalam perjalanan Isa ke Baitulmaqdis, Dia melalui sempadan Samaria dan Galilea.
LUK 17:12 Apabila Dia memasuki sebuah kampung, sepuluh orang berpenyakit kusta datang bertemu dengan-Nya. Mereka berdiri jauh sedikit daripada Isa
LUK 17:13 dan berseru kepada-Nya, ‘Ya Isa, ya Junjungan, kasihanilah kami!’
LUK 17:14 Apabila Isa melihat mereka, Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam-imam.’ Dalam perjalanan, mereka pun sembuh.
LUK 17:15 Salah seorang daripada mereka ketika melihat dirinya sembuh, kembali dan memuji Allah dengan suara yang kuat.
LUK 17:16 Dia sujud pada kaki Isa dan mengucapkan terima kasih. Dia seorang Samaria.
LUK 17:17 Isa bertanya, ‘Sepuluh orang disembuhkan. Di manakah sembilan orang lagi?
LUK 17:18 Tiadakah seorang pun didapati kembali untuk bersyukur kepada Allah kecuali orang bangsa asing ini?’
LUK 17:19 Isa pun berkata kepadanya, ‘Bangunlah dan pergi. Imanmu telah menyembuhkan kamu.’
LUK 17:20 Terdapat beberapa orang Farisi bertanya kepada Isa bila kerajaan Allah akan datang dan Isa menjawab, ‘Kerajaan Allah tidak datang dengan alamat-alamat yang dapat dilihat.
LUK 17:21 Tiada orang akan berkata, “Lihatlah di sini!” atau “Lihatlah di sana!” kerana kerajaan Allah sebenarnya ada di dalam kamu.’
LUK 17:22 Kemudian Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya: ‘Masanya akan datang apabila kamu ingin melihat salah satu hari Putera Insan, tetapi kamu tidak dapat melihatnya.
LUK 17:23 Orang akan berkata kepadamu, “Lihat di situ!” atau “Lihat di sini!” Tetapi janganlah kamu pergi atau mengikutnya.
LUK 17:24 Seperti kilat memancar dari sebelah kaki langit ke sebelah yang lain, demikianlah juga halnya Putera Insan pada hari-Nya kelak.
LUK 17:25 Tetapi terlebih dahulu Dia akan mengalami banyak penderitaan dan Dia tidak akan diterima oleh orang zaman ini.
LUK 17:26 ‘Sebagaimana yang berlaku pada zaman Nuh, demikian juga akan berlaku pada zaman Putera Insan.
LUK 17:27 Mereka makan dan minum. Lelaki dan perempuan berkahwin sampai ke hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah melanda dan membinasakan mereka semua.
LUK 17:28 ‘Demikian juga yang berlaku pada zaman Lut. Mereka makan dan minum, berjual beli, bercucuk tanam dan mendirikan rumah.
LUK 17:29 Pada hari Lut keluar dari Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua.
LUK 17:30 ‘Begitulah keadaannya kelak pada hari Putera Insan menunjukkan diri-Nya.
LUK 17:31 Pada hari itu jikalau seseorang ada di atas bumbung rumah, janganlah dia turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Demikian juga janganlah orang yang ada di ladang kembali ke rumahnya.
LUK 17:32 Ingatlah akan isteri Lut!
LUK 17:33 Sesiapa yang cuba memelihara nyawanya akan kehilangannya, tetapi sesiapa yang sanggup mengorbankan nyawanya akan menyelamatkannya.
LUK 17:34 Aku berkata kepadamu bahawa pada malam itu dua orang berbaring di atas sebuah katil. Seorang akan dibawa dan seorang lagi akan ditinggalkan.
LUK 17:35 Dua orang perempuan bersama-sama mengisar gandum. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.
LUK 17:36 Dua orang lelaki bekerja di ladang. Seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.’
LUK 17:37 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah, ya Junjungan?’ Isa menjawab, ‘Di mana ada bangkai, di situ juga ada burung nasar.’
LUK 18:1 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa.
LUK 18:2 Isa berkata, ‘Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa.
LUK 18:3 Di kota itu juga ada seorang balu yang kerapkali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya.
LUK 18:4 ‘Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapapun,
LUK 18:5 tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’
LUK 18:6 Junjungan menambah, ‘Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu.
LUK 18:7 Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka?
LUK 18:8 Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Putera Insan datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?’
LUK 18:9 Isa juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain:
LUK 18:10 ‘Dua orang masuk ke dalam rumah ibadat untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai.
LUK 18:11 Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: “Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau tidak bermoral seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.
LUK 18:12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.”
LUK 18:13 ‘Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, “Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.”
LUK 18:14 ‘Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan dirinya akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan dirinya akan ditinggikan.’
LUK 18:15 Orang membawa anak mereka kepada Isa supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila pengikut-pengikut Isa melihat hal ini, mereka menegur orang itu.
LUK 18:16 Namun Isa memanggil anak-anak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, ‘Biarlah anak-anak ini datang kepada-Ku. Janganlah melarang mereka kerana kerajaan Allah menjadi milik orang yang sedemikian.
LUK 18:17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa yang tidak menyambut kerajaan Allah seperti seorang anak menerimanya, tidak dapat masuk ke dalam kerajaan itu.’
LUK 18:18 Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Isa, ‘Ya Guru yang baik, apakah harus aku buat untuk beroleh hidup yang kekal?’
LUK 18:19 Isa menjawab, ‘Mengapakah engkau mengatakan Aku ini baik? Tiada sesiapapun yang baik kecuali Allah.
LUK 18:20 Engkau mengetahui hukum-hukum Allah, iaitu: “Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan berdusta, hormati bapa dan ibumu.” ’
LUK 18:21 Pemimpin itu berkata, ‘Semua ini telah kuturuti sejak kecil.’
LUK 18:22 Apabila Isa mendengar ini, Dia berkata kepadanya, ‘Satu perkara sahaja yang perlu kaulakukan. Juallah segala hartamu dan dermakan wangnya kepada orang miskin. Engkau akan beroleh harta di syurga. Kemudian, ikutlah Aku.’
LUK 18:23 Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.
LUK 18:24 Isa nampak kesedihannya lalu berkata, ‘Alangkah sukar bagi orang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah!
LUK 18:25 Lebih mudah seekor unta masuk ke lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam kerajaan Allah.’
LUK 18:26 Orang yang mendengar-Nya berkata, ‘Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?’
LUK 18:27 Isa menjawab, ‘Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.’
LUK 18:28 Petrus berkata, ‘Kami telah meninggalkan rumah untuk mengikut-Mu.’
LUK 18:29 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sesiapa sahaja yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau adik-beradik, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah
LUK 18:30 akan menerima ganjaran berkali-kali gandanya pada masa ini dan hidup yang kekal di akhirat.’
LUK 18:31 Isa membawa dua belas pengikut-Nya ke suatu tempat dan berkata kepada mereka, ‘Kita akan pergi ke Baitulmaqdis dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Putera Insan akan berlaku di sana.
LUK 18:32 Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan dicela dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya.
LUK 18:33 Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.’
LUK 18:34 Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak mengerti sepatah kata pun. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Isa.
LUK 18:35 Ketika Isa menghampiri kota Yerikho, ada seorang buta yang duduk di tepi jalan meminta sedekah.
LUK 18:36 Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku?’
LUK 18:37 Orang memberitahu dia bahawa Isa, orang Nasaret, sedang lalu.
LUK 18:38 Dia pun berseru, ‘Isa, Anak Daud, kasihanilah aku!’
LUK 18:39 Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruh dia diam, tetapi dia berseru dengan lebih kuat, ‘Ya Anak Daud, kasihanilah aku!’
LUK 18:40 Isa berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Apabila dia mendekati Isa, Isa bertanya,
LUK 18:41 ‘Apakah yang engkau hendak Aku buat bagimu?’ Dia berkata, ‘Junjungan, aku mahu melihat kembali.’
LUK 18:42 Isa berkata kepadanya, ‘Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu.’
LUK 18:43 Seketika itu juga, dia dapat melihat lalu dia mengikut Isa sambil memuji Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.
LUK 19:1 Isa meneruskan perjalanan ke Yerikho dan melalui kota itu.
LUK 19:2 Di situ ada seorang yang bernama Zakheus. Dia ketua pemungut cukai dan sangat kaya.
LUK 19:3 Dia cuba hendak melihat siapa Isa itu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana orang terlalu ramai dan dia pendek orangnya.
LUK 19:4 Dia pun berlari mendahului mereka lalu memanjat pokok ara untuk melihat Isa yang akan melalui jalan itu.
LUK 19:5 Apabila Isa sampai ke tempat itu, Dia mendongak ke atas lalu berkata kepadanya, ‘Zakheus, turunlah dengan segera kerana pada hari ini Aku harus menumpang di rumahmu.’
LUK 19:6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Isa dengan sukacitanya.
LUK 19:7 Semua orang yang melihat hal ini bersungut-sungut, ‘Dia hendak menumpang di rumah orang yang berdosa pula!’
LUK 19:8 Tetapi Zakheus berdiri dan berkata kepada Junjungan, ‘Tuan, sekarang ini juga aku hendak memberikan separuh hartaku kepada orang miskin, dan jikalau aku telah menipu sesiapa, aku akan membayarnya kembali empat kali ganda.’
LUK 19:9 Isa berkata kepadanya, ‘Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada seluruh keluarga kamu kerana kamu juga seorang keturunan Ibrahim.
LUK 19:10 Putera Insan datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.’
LUK 19:11 Isa menceritakan sebuah ibarat kepada mereka yang mendengar-Nya. Dia kini telah hampir tiba ke Baitulmaqdis dan mereka menyangka bahawa kerajaan Allah akan menjadi nyata tidak lama lagi.
LUK 19:12 Jadi, Isa berkata: ‘Seorang bangsawan telah berangkat ke negeri jauh untuk dilantik menjadi raja dan akan kembali.
LUK 19:13 Terlebih dahulu dia memanggil sepuluh orang hambanya, lalu memberi masing-masing sekeping wang emas dan berkata kepada mereka, “Uruskanlah wang ini sehingga aku pulang.”
LUK 19:14 ‘Tetapi rakyat negeri itu membencinya dan menyuruh utusan-utusan untuk memberitahunya, “Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.”
LUK 19:15 ‘Setelah dia menjadi raja, dia kembali dan memerintah hamba-hamba yang telah diberi wang emas datang menghadapnya dengan segera. Dia ingin mengetahui jumlah keuntungan dalam perniagaan masing-masing.
LUK 19:16 ‘Yang pertama menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi sepuluh kali lebih banyak.”
LUK 19:17 ‘Tuan itu berkata kepadanya, “Bagus sekali, hamba yang baik. Oleh sebab engkau telah setia dalam perkara kecil ini, aku akan menjadikan engkau penguasa sepuluh buah kota.”
LUK 19:18 ‘Yang kedua menghadap dan berkata, “Tuan, sekeping wang emas tuan itu telah menjadi lima kali lebih banyak.”
LUK 19:19 ‘Tuan itu berkata kepadanya, “Engkau akan menjadi penguasa lima buah kota.”
LUK 19:20 ‘Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, “Tuan inilah wang emas tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain.
LUK 19:21 Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati. Tuan mengambil apa yang bukan milik tuan, dan menuai apa yang tidak tuan taburkan.”
LUK 19:22 ‘Tuan itu berkata, “Hamba yang tidak berguna! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan.
LUK 19:23 Jadi, mengapakah engkau tidak memasukkan wang itu ke dalam tabung? Kemudian, setelah aku kembali, dapatlah aku ambil wang itu dengan faedahnya.”
LUK 19:24 ‘Lalu tuan itu berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ambillah keping wang itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang ada sepuluh keping wang emas itu.”
LUK 19:25 ‘Mereka pun berkata kepadanya, “Tuan, dia sudah ada sepuluh keping.”
LUK 19:26 ‘Tuan itu berkata, “Orang yang sedia ada akan diberi lebih banyak, dan orang yang tidak mempunyai sesuatu akan diambil barang yang ada padanya.
LUK 19:27 Sekarang, bawalah ke mari seteru-seteruku yang tidak mahu aku menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka di hadapanku.” ’
LUK 19:28 Setelah Isa berkata demikian, Dia pun berjalan mendahului mereka menuju ke Baitulmaqdis.
LUK 19:29 Apabila Dia mendekati Baitfagi dan Baitani di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya dengan berkata kepada mereka,
LUK 19:30 ‘Pergilah ke kampung di hadapan itu. Apabila kamu masuk ke kampung itu, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Anak keldai itu belum pernah ditunggangi orang. Lepaskan keldai itu dan bawa ke mari.
LUK 19:31 Jikalau ada orang bertanya kepadamu, “Mengapakah kamu melepaskan keldai?” kamu hendaklah berkata kepadanya, “Junjungan memerlukannya.” ’
LUK 19:32 Kedua-dua pengikut itu pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Isa kepada mereka.
LUK 19:33 Ketika mereka melepaskan anak keldai itu, tuan anak keldai itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu melepaskan anak keldai ini?’
LUK 19:34 Pengikut-pengikut itu menjawab, ‘Junjungan memerlukannya.’
LUK 19:35 Lalu mereka membawanya kepada Isa. Kemudian, mereka menghamparkan jubah mereka di atas anak keldai itu dan menolong Isa naik ke atasnya.
LUK 19:36 Ketika Isa menunggang keldai itu, orang ramai pun membentangkan jubah mereka di jalan.
LUK 19:37 Apabila Dia menghampiri jalan yang turun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersukacita dan memuji Allah dengan suara yang kuat kerana semua mukjizat yang telah disaksikan oleh mereka:
LUK 19:38 ‘Diberkatilah Raja yang datang dengan nama Tuhan!’ ‘Kesejahteraan di syurga dan kemuliaan di tempat yang maha tinggi!’
LUK 19:39 Antara orang ramai itu ada beberapa orang Farisi yang berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, suruh pengikut-pengikut-Mu diam.’
LUK 19:40 Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu bahawa jikalau mereka diam, batu-batu pula akan bersorak.’
LUK 19:41 Ketika Isa menghampiri Baitulmaqdis dan melihat kota itu, Dia pun menangisinya,
LUK 19:42 lalu berkata, ‘Kalaulah kiranya pada hari ini engkau mengetahui perkara-perkara yang dapat membawa sejahtera kepadamu! Tetapi sekarang semuanya dirahsiakan daripadamu.
LUK 19:43 Masanya akan datang apabila musuh-musuhmu akan mengelilingimu dengan sekatan, mengepung dan mengasakmu dari semua arah.
LUK 19:44 Mereka akan membinasakanmu dan semua pendudukmu. Mereka tidak akan meninggalkan seketul batu pun di tempatnya kerana kamu tidak mengetahui masanya Allah datang kepadamu.’
LUK 19:45 Isa masuk ke dalam rumah ibadat lalu mengusir semua pedagang di situ.
LUK 19:46 Dia berkata kepada mereka, ‘Telah tersurat, “Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa”; tetapi kamu telah menjadikannya “sarang pencuri.” ’
LUK 19:47 Setiap hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para pemimpin mereka mencari jalan untuk membunuh-Nya
LUK 19:48 tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian kerana orang ramai terus-menerus datang mendengar Isa dan mereka tidak mahu terlepas sepatah kata Isa pun.
LUK 20:1 Pada suatu hari ketika Isa mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat dan memberitakan perkhabaran yang baik, ketua-ketua imam, guru-guru Taurat dan para tua-tua datang kepada Isa.
LUK 20:2 Mereka berkata kepada-Nya, ‘Katakanlah kepada kami atas kuasa siapakah Engkau laksanakan segala perkara ini. Siapakah yang memberikan kuasa ini kepada-Mu?’
LUK 20:3 Isa menjawab, ‘Aku juga hendak bertanya kepadamu suatu perkara. Katakanlah kepada-Ku
LUK 20:4 pengimadan Yahya itu datang daripada siapa, syurga atau manusia?’
LUK 20:5 Mereka berbincang sesama sendiri, ‘Jikalau kita katakan, “Daripada syurga,” Dia akan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?”
LUK 20:6 Sebaliknya, jikalau kita katakan, “Daripada manusia,” orang ramai sudah tentu akan merejam kita kerana mereka yakin bahawa Yahya itu seorang nabi.’
LUK 20:7 Mereka pun menjawab kepada Isa bahawa mereka tidak mengetahui dari mana asalnya pengimadan Yahya itu.
LUK 20:8 Oleh itu, Isa pun berkata kepada mereka, ‘Aku juga tidak akan memberitahu kamu atas kuasa siapa Aku melakukan segala perkara ini.’
LUK 20:9 Kemudian Isa menceritakan ibarat ini kepada orang ramai: ‘Seorang menanami ladang anggur. Dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang petani lalu berangkat ke negeri lain dan tinggal beberapa lama di situ.
LUK 20:10 Pada musim buah-buahan dia menyuruh seorang hamba pergi kepada petani-petani itu untuk menerima hasil buah-buahan bahagiannya daripada mereka tetapi petani-petani itu memukul hamba tersebut lalu mengusirnya balik dengan tangan kosong.
LUK 20:11 Pemilik ladang itu menyuruh seorang hamba yang lain pula. Tetapi petani-petani itu memukulnya, mencercanya dan mengusirnya dengan tangan kosong juga.
LUK 20:12 Pemilik ladang itu menyuruh hamba yang ketiga. Tetapi petani-petani itu mencederakannya lalu mengusirnya.
LUK 20:13 ‘Pemilik ladang itu berkata, “Apakah yang hendak kubuat? Baik kusuruh puteraku yang kukasihi. Tentu petani-petani itu akan menghormatinya.”
LUK 20:14 ‘Tetapi apabila petani-petani itu melihatnya, mereka berbincang sesama sendiri, “Inilah warisnya. Marilah kita bunuh dia supaya ladang ini menjadi hak kita.”
LUK 20:15 Mereka pun mengusirnya keluar dari ladang lalu membunuhnya.’ Isa bertanya, ‘Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang terhadap petani-petani tersebut?
LUK 20:16 Sudah tentu dia akan datang dan membunuh petani-petani itu lalu menyewakan ladang anggur itu kepada orang lain pula.’ Setelah orang ramai itu mendengar ibarat ini, mereka berkata, ‘Semoga tidak begitu!’
LUK 20:17 Tetapi Isa memandang mereka dan bertanya, ‘Kalau begitu, apakah maksud ayat yang tersurat ini: ‘ “Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru?”
LUK 20:18 ‘Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur luluh, dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan remuk-redam.’
LUK 20:19 Guru-guru Taurat dan ketua-ketua imam mencari jalan hendak menangkap Isa ketika itu juga kerana mereka mengetahui Isa telah menujukan ibarat itu terhadap mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.
LUK 20:20 Mereka menunggu peluang. Lalu mereka mengutus beberapa orang supaya berpura-pura ikhlas untuk memerangkap Isa dengan mengemukakan pertanyaan tertentu supaya mereka dapat menyerahkan Isa ke dalam kawalan dan bidang penghakiman gabenor.
LUK 20:21 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, kami mengetahui apa yang Tuan Guru katakan dan ajarkan itu betul. Kami juga mengetahui Tuan Guru tidak pilih kasih kepada seseorang tetapi dengan ikhlas mengajarkan jalan Allah.
LUK 20:22 Beritahulah kami, mengikut Taurat patutkah kami membayar cukai kepada Kaisar?’
LUK 20:23 Isa mengetahui niat muslihat mereka lalu berkata,
LUK 20:24 ‘Tunjukkanlah Aku sekeping mata wang. Gambar dan nama siapakah ini?’
LUK 20:25 Mereka menjawab, ‘Gambar dan nama Kaisar.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan milik Allah kepada Allah.’
LUK 20:26 Oleh yang demikian, mereka tidak dapat memerangkap Isa di hadapan orang ramai itu. Mereka diam sahaja kerana kagum akan jawapan-Nya.
LUK 20:27 Beberapa orang Saduki, iaitu orang yang menafikan hal kebangkitan orang mati, datang bertanya kepada Isa,
LUK 20:28 ‘Tuan Guru, Musa telah memberi kita hukum berikut. Jikalau seseorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, adik lelakinya harus beristerikan balu itu untuk mendapatkan anak bagi si abang yang telah meninggal itu.
LUK 20:29 Ada tujuh orang adik-beradik lelaki. Yang pertama mati tanpa mempunyai anak.
LUK 20:30 Yang kedua beristerikan balunya,
LUK 20:31 kemudian yang ketiga dan seterusnya kepada semua yang lain – mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak.
LUK 20:32 Akhirnya, perempuan itu pun meninggal.
LUK 20:33 Pada hari kebangkitan orang mati kelak, perempuan itu menjadi isteri siapa kerana ketujuh-tujuh adik-beradik itu telah beristerikannya.’
LUK 20:34 Isa menjawab, ‘Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin
LUK 20:35 tetapi mereka yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin.
LUK 20:36 Mereka itu seperti malaikat dan tidak boleh mati lagi. Mereka menjadi anak Allah kerana mereka telah dibangkitkan daripada kematian.
LUK 20:37 Musa telah menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Dalam kisah belukar yang bernyala, Allah disebut sebagai Tuhan yang disembah oleh Ibrahim, Ishak dan Yakub.
LUK 20:38 Allah bukannya Tuhan bagi orang mati tetapi bagi orang yang hidup. Mereka itu semua hidup pada Allah.’
LUK 20:39 Beberapa orang ahli Taurat berkata, ‘Tuan Guru, betul jawapan-Mu.’
LUK 20:40 Mereka tidak berani bertanya kepada Isa apa-apa lagi.
LUK 20:41 Isa berkata kepada mereka, ‘Bagaimana dikatakan bahawa al-Masih itu anak Daud
LUK 20:42 sedangkan Daud sendiri berkata dalam kitab Zabur: ‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku
LUK 20:43 sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’”
LUK 20:44 ‘Jikalau Daud menyebut Dia “Junjungan,” bagaimanakah pula Dia anak Daud?’
LUK 20:45 Di hadapan orang ramai itu Isa berkata kepada pengikut-pengikut-Nya,
LUK 20:46 ‘Berhati-hatilah dengan guru-guru Taurat yang suka berjalan-jalan berjubah labuh, suka dihormati di tempat orang ramai, suka mendapatkan tempat terbaik di saumaah dan terhormat di majlis makan.
LUK 20:47 Mereka memperdaya balu dan merampas harta mereka tetapi kemudian berpura-pura berdoa dengan panjangnya! Mereka akan menerima hukuman yang paling berat.’
LUK 21:1 Isa memandang di sekeliling lalu nampak orang kaya memasukkan wang persembahan mereka ke dalam peti persembahan di rumah ibadat.
LUK 21:2 Dia nampak juga seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping wang tembaga.
LUK 21:3 Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa balu yang miskin ini telah memasukkan lebih banyak daripada semua yang lain,
LUK 21:4 kerana yang lain memasukkan persembahan daripada kemewahan masing-masing tetapi perempuan ini walaupun sangat miskin, telah memasukkan seluruh nafkahnya.’
LUK 21:5 Beberapa orang berkata-kata tentang rumah ibadat yang dihiasi dengan batu-batu permata yang indah serta barang-barang yang dipersembahkan kepada Allah.
LUK 21:6 Isa pun berkata, ‘Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan dan tiada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya.’
LUK 21:7 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Tuan Guru, bilakah semua perkara ini akan terjadi? Apakah alamat-alamatnya bahawa masanya sudah tiba?’
LUK 21:8 Isa berkata, ‘Berjaga-jagalah supaya kamu tidak terpedaya oleh orang. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, “Akulah dia,” dan “Masanya sudah tiba.” Janganlah kamu ikut mereka.
LUK 21:9 Apabila kamu mendengar tentang peperangan dan pemberontakan, janganlah kamu ketakutan. Peristiwa-peristiwa ini akan berlaku terlebih dahulu tetapi ini tidaklah bererti bahawa akhir zaman telah sampai.’
LUK 21:10 Kemudian Isa berkata kepada mereka, ‘Bangsa akan berperang dengan bangsa dan kerajaan dengan kerajaan;
LUK 21:11 gempa bumi dan kebuluran serta wabak yang dahsyat akan terjadi di beberapa tempat. Perkara-perkara dahsyat dan alamat-alamat yang hebat akan kelihatan di langit.
LUK 21:12 ‘Tetapi sebelum segala perkara yang disebut ini berlaku, kamu akan ditawan dan dianiayai. Kamu akan didakwa di majlis saumaah-saumaah dan dipenjarakan. Kamu akan didakwa di hadapan raja-raja dan gabenor-gabenor kerana nama-Ku.
LUK 21:13 Inilah peluang bagimu untuk memberitakan perkhabaran baik.
LUK 21:14 Jadi, teguhkanlah hatimu supaya tidak bimbang bagaimana hendak membela diri
LUK 21:15 kerana Aku akan memberimu kata-kata dan kebijaksanaan yang tidak dapat dinafikan oleh seorang pun daripada musuh-musuhmu.
LUK 21:16 Kamu akan dikhianati oleh ibu bapamu, adik-beradikmu, sanak saudaramu dan sahabat handaimu. Mereka akan membunuh beberapa orang di antara kamu
LUK 21:17 dan kamu akan dibenci oleh semua kerana-Ku.
LUK 21:18 Tetapi sehelai rambutmu pun tidak akan hilang.
LUK 21:19 Bertahanlah, keteguhan hatimu akan menyelamatkan kamu.
LUK 21:20 ‘Apabila kamu melihat kota Baitulmaqdis terkepung oleh tentera-tentera, ketahuilah kamu bahawa kebinasaannya telah hampir.
LUK 21:21 Pada masa itu mereka yang berada di jajahan Yudea hendaklah melarikan diri ke gunung; mereka yang ada di dalam kota hendaklah meninggalkannya dan mereka yang ada di luar kota janganlah masuk ke kota itu.
LUK 21:22 Inilah hari-hari hukuman apabila segala perkara yang tersurat dalam Kitab Suci akan terjadi.
LUK 21:23 Malangnya bagi perempuan yang mengandung atau ibu yang menyusui anak pada masa itu! Kesengsaraan yang teruk akan melanda bumi dan kemurkaan akan menimpa bangsa ini.
LUK 21:24 Mereka akan dibunuh dengan pedang dan ada pula yang akan dibawa ke negeri lain sebagai orang tawanan. Kota Baitulmaqdis akan diinjak-injak oleh bangsa-bangsa asing sehingga tamat tempoh yang ditetapkan untuk mereka.
LUK 21:25 ‘Alamat akan kelihatan pada matahari, bulan dan bintang-bintang. Di muka bumi ini semua bangsa kelak sengsara dan bingung akan deru serta gelora lautan.
LUK 21:26 Sementara menantikan apa yang akan datang ke muka bumi, manusia akan jatuh pengsan kerana takut dan bimbang terhadap apa yang akan terjadi di dunia. Cakerawala di angkasa lepas akan terpesong daripada peredarannya.
LUK 21:27 Lalu mereka akan melihat Putera Insan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar.
LUK 21:28 Apabila segala perkara ini mula terjadi, teguhkanlah hatimu dan angkat kepalamu kerana masa penyelamatanmu telah hampir tiba.’
LUK 21:29 Isa menceritakan suatu ibarat kepada mereka: ‘Tengoklah pokok ara dan segala pokok kayu yang lain!
LUK 21:30 Apabila pokok itu penuh menguntum, kamu tahu bahawa musim panas hampir tiba.
LUK 21:31 Demikian juga apabila kamu melihat segala perkara ini terjadi, ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.
LUK 21:32 ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa sebelum orang zaman ini mati, segala perkara itu akan terjadi.
LUK 21:33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku berkekalan.
LUK 21:34 ‘Berjaga-jagalah! Janganlah leka dengan kesia-siaan dan kemabukan serta kekhuatiran terhadap kehidupan duniawi sehingga kamu tidak bersedia menghadapi hari itu yang datang dengan tidak disangka-sangka.
LUK 21:35 Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua manusia di seluruh muka bumi ini.
LUK 21:36 Kamu hendaklah sentiasa berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu diteguhkan untuk menghadapi segala perkara yang akan terjadi itu lalu dapat berdiri di hadirat Putera Insan.’
LUK 21:37 Pada siang hari Isa mengajar di dalam rumah ibadat. Pada waktu malam Dia keluar dari kota itu dan bermalam di udara lapang di Bukit Zaitun.
LUK 21:38 Pada pagi-pagi lagi orang ramai pergi ke rumah ibadat untuk mendengar Dia.
LUK 22:1 Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu perayaan Paska telah menjelang.
LUK 22:2 Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Isa secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.
LUK 22:3 Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, salah seorang daripada dua belas pengikut Isa.
LUK 22:4 Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal rumah ibadat untuk membincangkan bagaimana dia dapat menyerahkan Isa kepada mereka.
LUK 22:5 Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.
LUK 22:6 Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang yang baik untuk menyerahkan Isa kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
LUK 22:7 Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba korban harus disembelih untuk jamuan Paska.
LUK 22:8 Isa menyuruh Petrus dan Yahya, ‘Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.’
LUK 22:9 Mereka bertanya kepada Isa, ‘Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?’
LUK 22:10 Isa menjawab, ‘Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang menjunjung sebuah buyung air akan bertemu dengan kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
LUK 22:11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, “Guru menyuruh kami bertanya: Di manakah bilik tempat Aku hendak makan jamuan Paska bersama pengikut-pengikut-Ku?”
LUK 22:12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah bilik besar yang lengkap dengan perabot di tingkat atas. Di situlah kamu sediakan jamuan Paska.’
LUK 22:13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan oleh Isa, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.
LUK 22:14 Apabila tiba masanya, Isa pun duduk bersama pengikut-pengikut yang dua belas itu.
LUK 22:15 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum Aku menderita.
LUK 22:16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paska dinyatakan di dalam kerajaan Allah.’
LUK 22:17 Setelah itu, Isa mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, ‘Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
LUK 22:18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air buah anggur lagi sehingga kerajaan Allah datang.’
LUK 22:19 Lalu Isa mengambil roti kemudian mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia memecah-mecahkan roti itu lalu memberikannya kepada pengikut-pengikut-Nya, sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku yang diberikan untukmu. Berbuatlah sedemikian demi mengingati-Ku.’
LUK 22:20 Begitu juga setelah makan, Dia mengambil cawan minuman dan berkata, ‘Cawan ini ialah perjanjian baru yang dimateraikan dengan darah-Ku yang dicurahkan untukmu.
LUK 22:21 Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.
LUK 22:22 Putera Insan akan mati seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!’
LUK 22:23 Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah di antara mereka yang akan berbuat demikian.
LUK 22:24 Satu perselisihan timbul di kalangan pengikut itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.
LUK 22:25 Isa berkata kepada mereka, ‘Di dunia raja-raja berkuasa atas rakyat mereka, dan golongan pemerintah digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.
LUK 22:26 Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar antara kamu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan ketua harus menjadi seperti hamba.
LUK 22:27 Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.
LUK 22:28 Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.
LUK 22:29 Aku memberikan hak kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.
LUK 22:30 Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.
LUK 22:31 ‘Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah meminta izin untuk menguji kamu semua seperti petani memisahkan gandum daripada sekam.
LUK 22:32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.’
LUK 22:33 Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.’
LUK 22:34 Isa menjawab, ‘Aku berkata kepadamu, Petrus, ayam tidak akan berkokok pada hari ini sehingga kamu berkata bahawa kamu tidak mengenal-Ku sebanyak tiga kali.’
LUK 22:35 Isa berkata kepada mereka, ‘Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’ Mereka menjawab, ‘Satu pun tidak.’
LUK 22:36 Isa berkata lagi, ‘Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
LUK 22:37 Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: “Dia tergolong bersama dengan penjahat.” Ini kerana apa yang tersurat tentang Aku akan berlaku.’
LUK 22:38 Pengikut-pengikut itu berkata, ‘Tengoklah Junjungan, di sini ada dua bilah pedang!’ Isa berkata, ‘Cukuplah!’
LUK 22:39 Isa meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Pengikut-pengikut-Nya pergi bersama Dia.
LUK 22:40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, ‘Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.’
LUK 22:41 Isa pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
LUK 22:42 ‘Ya Bapa, jikalau berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.’
LUK 22:43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
LUK 22:44 Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
LUK 22:45 Isa bangun daripada berdoa, dan balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Didapati-Nya mereka tertidur kerana sangat sedih.
LUK 22:46 Dia berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.’
LUK 22:47 Ketika Isa masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang daripada dua belas pengikut-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Isa untuk mencium-Nya.
LUK 22:48 Isa berkata kepadanya, ‘Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Putera Insan?’
LUK 22:49 Apabila pengikut-pengikut Isa melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?’
LUK 22:50 Salah seorang daripada mereka menyerang hamba imam agung dan memutuskan telinga kanannya.
LUK 22:51 Tetapi Isa berkata, ‘Biarkanlah mereka.’ Lalu Isa menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
LUK 22:52 Kemudian Isa berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal rumah ibadat dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, ‘Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
LUK 22:53 Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam rumah ibadat, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.’
LUK 22:54 Setelah menangkap Isa, mereka membawa Dia ke rumah imam agung. Petrus pun mengikut dari jauh.
LUK 22:55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
LUK 22:56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, ‘Orang ini juga bersama Dia.’
LUK 22:57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, ‘Perempuan, aku tidak mengenal Dia!’
LUK 22:58 Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, ‘Ya, engkau salah seorang daripada mereka itu.’ Tetapi Petrus menjawab, ‘Bukan, aku bukan!’
LUK 22:59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, ‘Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.’
LUK 22:60 Tetapi Petrus berkata, ‘Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.’ Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
LUK 22:61 Junjungan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Junjungan kepadanya bahawa, ‘Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.’
LUK 22:62 Petrus pun keluar lalu menangis dengan sangat kesalnya.
LUK 22:63 Orang yang mengawal Isa mengejek-ngejek dan memukul Dia.
LUK 22:64 Mereka menutupi mata Isa dan bertanya, ‘Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!’
LUK 22:65 Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
LUK 22:66 Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat bermesyuarat, dan Isa dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,
LUK 22:67 ‘Jikalau Engkau al-Masih, katakanlah kepada kami.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Jikalau Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.
LUK 22:68 Dan jikalau Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.
LUK 22:69 Tetapi mulai sekarang, Putera Insan akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.’
LUK 22:70 Mereka semua bertanya, ‘Kalau begitu, Engkaulah Putera Allah?’ Isa berkata kepada mereka, ‘Benarlah katamu.’
LUK 22:71 Mereka berkata, ‘Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!’
LUK 23:1 Semua anggota Majlis Agama bangun lalu membawa Isa menghadap Pilatus.
LUK 23:2 Mereka mula menuduh Dia, ‘Kami telah mendapati orang ini menyesatkan bangsa kami, menghasut orang supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan mengaku diri-Nya al-Masih, seorang raja!’
LUK 23:3 Pilatus bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah raja orang Yahudi?’ Isa menjawab, ‘Begitulah seperti katamu.’
LUK 23:4 Pilatus berkata kepada ketua-ketua imam dan orang ramai itu, ‘Aku tidak mendapati-Nya bersalah.’
LUK 23:5 Tetapi mereka semakin mendesak, ‘Dia menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak dengan ajaran-Nya. Dia memulakannya di Galilea dan sekarang telah sampai ke tempat ini.’
LUK 23:6 Setelah Pilatus mendengar hal ini, dia bertanya sama ada Isa seorang Galilea.
LUK 23:7 Ketika Pilatus mengetahui Isa berasal dari jajahan pemerintahan Herodes, dia menyuruh supaya Isa dibawa kepada Herodes kerana pada masa itu Herodes ada di kota Baitulmaqdis.
LUK 23:8 Apabila Isa dibawa kepada Herodes, dia sangat sukacita. Sudah lama dia hendak bertemu dengan Isa kerana dia telah mendengar banyak hal tentang Isa. Lagi pun, dia berharap dapat menyaksikan Isa melakukan mukjizat.
LUK 23:9 Jadi, Herodes mengemukakan banyak soalan kepada Isa tetapi Isa tidak menjawab sepatah kata pun.
LUK 23:10 Ketua-ketua imam dan guru-guru Taurat tampil ke hadapan dan melemparkan tuduhan terhadap Isa.
LUK 23:11 Herodes dan askar-askarnya menghina Isa dan sebagai ejekan mengenakan pakaian indah pada-Nya lalu menghantar-Nya kembali kepada Pilatus.
LUK 23:12 Semenjak hari itu, Herodes dan Pilatus bersahabat; mereka bermusuhan sebelum itu.
LUK 23:13 Pilatus memanggil ketua-ketua imam, para pemimpin masyarakat dan orang ramai
LUK 23:14 lalu berkata kepada mereka, ‘Kamu telah membawa orang ini kepadaku dan mengatakan Dia menyesatkan rakyat. Aku telah menyoal-Nya di hadapanmu dan aku tidak mendapati Dia bersalah atas satu pun tuduhanmu.
LUK 23:15 Herodes pun tidak mendapati Dia bersalah, kerana Dia dihantar kembali kepada kami. Tiada apa-apa yang dilakukan-Nya sehingga Dia patut dijatuhi hukuman mati.
LUK 23:16 Oleh itu, aku akan menyebat-Nya, kemudian membebaskan-Nya.’
LUK 23:17 Pada setiap perayaan Paska Pilatus akan membebaskan salah seorang tahanan bagi mereka.
LUK 23:18 Tetapi semua orang berteriak, ‘Bunuh Dia! Bebaskan Barabas bagi kami.’
LUK 23:19 (Barabas telah dipenjarakan kerana terlibat dalam satu rusuhan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)
LUK 23:20 Pilatus hendak membebaskan Isa. Oleh itu, dia berseru kepada orang ramai sekali lagi.
LUK 23:21 Tetapi orang ramai itu berteriak-teriak lagi, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’
LUK 23:22 Pada kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka: ‘Apakah kesalahan-Nya? Aku tidak mendapati Dia bersalah sehingga patut dikenakan hukuman mati. Oleh sebab itu, aku akan menyebat-Nya dan kemudian membebaskan-Nya.’
LUK 23:23 Tetapi orang ramai itu terus-menerus berteriak dengan kuat supaya Isa disalib. Akhirnya, mereka berjaya.
LUK 23:24 Pilatus memutuskan supaya tuntutan orang ramai itu dilaksanakan.
LUK 23:25 Dia membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terlibat dalam rusuhan dan pembunuhan, tetapi Isa diserahkannya untuk diperlakukan menurut kehendak mereka.
LUK 23:26 Ketika askar-askar membawa Isa ke tempat orang disalib, mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang bernama Simon. Dia berasal dari Kirene dan sedang dalam perjalanan ke kota. Askar-askar menangkapnya, memaksanya memikul salib Isa dan berjalan di belakang-Nya.
LUK 23:27 Ramai orang mengikut Isa; antara mereka beberapa orang perempuan yang menangisi dan meratapi-Nya.
LUK 23:28 Isa berpaling kepada mereka lalu berkata, ‘Kaum perempuan Baitulmaqdis, janganlah tangisi Aku melainkan tangisilah dirimu dan anak-anakmu sendiri.
LUK 23:29 Masanya akan datang kelak apabila orang akan berkata, “Diberkatilah perempuan yang tidak pernah mengandung, melahirkan dan menyusui anak!”
LUK 23:30 Pada masa itulah ’ “mereka akan berkata kepada gunung-gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit-bukit, ‘Timbusi kami!’”
LUK 23:31 ‘Jikalau perbuatan begini dilakukan mereka terhadap pokok kayu yang masih hijau, apatah lagi terhadap pokok yang kering?’
LUK 23:32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Isa.
LUK 23:33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, ‘Tengkorak,’ mereka pun menyalib Isa dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya.
LUK 23:34 Isa berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan.’ Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi.
LUK 23:35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-ngejek-Nya, ‘Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jikalau Dia sesungguhnya al-Masih yang dipilih oleh Allah.’
LUK 23:36 Askar-askar juga mengejek-ngejek Isa. Mereka mendekati-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya
LUK 23:37 lalu berkata, ‘Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah Diri-Mu.’
LUK 23:38 Pada sebelah atas kayu salib Isa tertulis kata-kata: ‘INILAH RAJA ORANG YAHUDI.’
LUK 23:39 Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula menghina Isa. Dia berkata, ‘Bukankah Engkau al-Masih? Selamatkanlah Diri-Mu dan kami!’
LUK 23:40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, ‘Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati.
LUK 23:41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.’
LUK 23:42 Dia berkata kepada Isa, ‘Ya Isa, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.’
LUK 23:43 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu bahawa pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.’
LUK 23:44 Ketika itu kira-kira pukul dua belas tengah hari, kegelapan menyelubungi seluruh negeri itu sehingga pukul tiga petang kerana matahari gerhana.
LUK 23:45 Tirai yang tergantung di dalam rumah ibadat pun koyak terbelah dua.
LUK 23:46 Isa berseru dengan suara yang kuat, ‘Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!’ Setelah Isa berkata demikian, Dia pun wafat.
LUK 23:47 Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, ‘Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.’
LUK 23:48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka.
LUK 23:49 Semua sahabat Isa, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.
LUK 23:50 Terdapat seorang yang bernama Yusuf. Dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan berakhlak tinggi. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah.
LUK 23:51 Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu.
LUK 23:52 Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Isa.
LUK 23:53 Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengkafankannya lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan.
LUK 23:54 Hari itu ialah hari Jumaat, dan hari Sabat hampir bermula.
LUK 23:55 Perempuan-perempuan yang telah mengikut Isa dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Isa diletakkan di dalamnya.
LUK 23:56 Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Isa. Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.
LUK 24:1 Awal-awal lagi pada hari Ahad, perempuan-perempuan itu pun pergi ke makam dengan membawa rempah-rempah harum yang telah disediakan mereka.
LUK 24:2 Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam.
LUK 24:3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Isa tiada lagi.
LUK 24:4 Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.
LUK 24:5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu sujud. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, ‘Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati?
LUK 24:6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:
LUK 24:7 “Putera Insan harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.” ’
LUK 24:8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Isa.
LUK 24:9 Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.
LUK 24:10 Mereka, iaitu Maryam orang Magdala, Yohanah, Maryam, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu.
LUK 24:11 Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak mempercayai mereka.
LUK 24:12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.
LUK 24:13 Pada hari itu juga dua orang antara pengikut Isa sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Baitulmaqdis.
LUK 24:14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.
LUK 24:15 Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Isa sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
LUK 24:16 Mereka nampak Isa tetapi mereka tidak mengenali Dia.
LUK 24:17 Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?’ Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung.
LUK 24:18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Isa, ‘Engkaukah satu-satunya orang di Baitulmaqdis yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?’
LUK 24:19 Isa berkata, ‘Apakah yang telah berlaku?’ Mereka menjawab, ‘Segala perkara yang berlaku kepada Isa, orang Nasaret. Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya.
LUK 24:20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya.
LUK 24:21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku.
LUK 24:22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi.
LUK 24:23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup.
LUK 24:24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.’
LUK 24:25 Kemudian, Isa berkata kepada mereka, ‘Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya kamu percaya akan segala kata nabi-nabi!
LUK 24:26 Bukankah al-Masih harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?’
LUK 24:27 Lalu Isa menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam semua kitab mulai dari kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
LUK 24:28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Isa kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan.
LUK 24:29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, ‘Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.’ Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka.
LUK 24:30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka.
LUK 24:31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka.
LUK 24:32 Mereka berkata satu sama lain, ‘Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?’
LUK 24:33 Mereka terus bangun dan kembali ke Baitulmaqdis. Mereka mendapati sebelas pengikut itu berkumpul dengan pengikut yang lain.
LUK 24:34 Mereka berkata, ‘Sesungguhnya, Junjungan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!’
LUK 24:35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Isa semasa Dia membahagikan roti.
LUK 24:36 Semasa mereka berkata-kata tentang segala perkara ini, Isa sendiri berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata kepada mereka, ‘Sejahteralah kamu!’
LUK 24:37 Mereka terkejut dan berasa sangat takut kerana menyangka mereka melihat hantu.
LUK 24:38 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Apakah sebabnya kamu takut? Mengapakah hatimu ragu-ragu?
LUK 24:39 Tengoklah tangan dan kaki-Ku. Inilah Aku. Sentuhlah Aku dan tengok. Hantu tidak berdaging dan bertulang sebagaimana yang kamu lihat ada pada-Ku.’
LUK 24:40 Setelah Dia berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.
LUK 24:41 Mereka masih tidak dapat percaya kerana terlalu gembira dan takjub. Isa pun bertanya kepada mereka, ‘Adakah kamu mempunyai makanan di sini?’
LUK 24:42 Mereka memberi Dia sepotong ikan yang telah dimasak,
LUK 24:43 lalu Dia mengambilnya dan makan di hadapan mereka semua.
LUK 24:44 Kemudian, Dia berkata kepada mereka, ‘Inilah perkara-perkara yang telah Aku katakan kepadamu semasa Aku masih bersamamu dahulu: Segala perkara yang tersurat tentang Aku dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Kitab Zabur pasti akan berlaku.’
LUK 24:45 Lalu Dia membuka pintu pemahaman mereka supaya mereka mengerti maksud Kitab Suci.
LUK 24:46 Dia berkata lagi, ‘Demikianlah yang tersurat: Bahawa al-Masih harus menderita lalu bangkit semula daripada maut pada hari yang ketiga,
LUK 24:47 dan perkhabaran tentang pertaubatan dan pengampunan dosa akan diisytiharkan demi nama-Nya kepada semua bangsa, mulai di Baitulmaqdis.
LUK 24:48 Kamulah saksi segala perkara ini.
LUK 24:49 Dan Aku akan mengurniakan pemberian yang dijanjikan oleh Bapa-Ku kepadamu. Tetapi, tunggulah di kota ini sehingga kamu diperlengkapi dengan kuasa daripada Allah.’
LUK 24:50 Kemudian Isa membawa pengikut-pengikut-Nya ke luar kota sehingga Baitani. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka.
LUK 24:51 Ketika Dia memberkati mereka, Dia diangkat ke syurga lalu meninggalkan mereka.
LUK 24:52 Pengikut-pengikut-Nya menyembah-Nya dan kembali ke Baitulmaqdis dengan penuh kegembiraan.
LUK 24:53 Mereka menumpukan masa di rumah ibadat untuk memuji Allah.
JOH 1:1 Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu adalah Allah.
JOH 1:2 Dia bersama Allah pada permulaan.
JOH 1:3 Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Dari segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.
JOH 1:4 Hidup ada di dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia.
JOH 1:5 Dan Cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.
JOH 1:6 Allah mengutus seorang bernama Yahya.
JOH 1:7 Dia datang untuk memberi kesaksian tentang Cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia.
JOH 1:8 Dia sendiri bukanlah Cahaya itu, dia datang untuk memberi kesaksian tentang-Nya.
JOH 1:9 Itulah Cahaya yang benar, Cahaya yang menerangi setiap manusia di dunia.
JOH 1:10 Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya.
JOH 1:11 Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya.
JOH 1:12 Namun demikian, Dia memberi hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya.
JOH 1:13 Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak tabii manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah.
JOH 1:14 Firman itu menjadi manusia dan hidup di kalangan kita. Kita melihat kemuliaan-Nya sebagai Putera tunggal yang datang daripada Allah Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.
JOH 1:15 Yahya memberi kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, ‘Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.’
JOH 1:16 Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia dan berkat.
JOH 1:17 Ini kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Isa al-Masih.
JOH 1:18 Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Yang Esa dan Ilahi yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.
JOH 1:19 Inilah kesaksian Yahya, apabila orang Yahudi di Baitulmaqdis mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, ‘Siapakah kamu?’
JOH 1:20 Yahya mengaku, ‘Aku bukanlah al-Masih’.
JOH 1:21 Mereka bertanya, ‘Jadi, kamu ini siapa? Ilyas?’ ‘Bukan,’ jawabnya. ‘Adakah kamu nabi?’ Dia menjawab, ‘Bukan.’
JOH 1:22 Kemudian mereka berkata, ‘Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?’
JOH 1:23 Yahya menjawab, ‘Aku ini satu suara yang berseru di gurun, “Luruskanlah jalan untuk Tuhan,” sebagaimana kata Nabi Yasyaya.’
JOH 1:24 Di antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi.
JOH 1:25 Mereka terus menyoal, ‘Mengapakah kamu mengimadkan orang, kiranya kamu bukan al-Masih, bukan Ilyas dan bukan pula nabi?’
JOH 1:26 Yahya menjawab, ‘Aku mengimadkan dengan air, tetapi di kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali,
JOH 1:27 iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.’
JOH 1:28 Semua ini terjadi di Baitani, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yahya mengimadkan orang.
JOH 1:29 Pada keesokan harinya, Yahya melihat Isa berjalan ke arahnya lalu berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!
JOH 1:30 Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku.
JOH 1:31 Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan mengimadkan orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.’
JOH 1:32 Yahya memberi kesaksian: ‘Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya.
JOH 1:33 Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk mengimadkan orang dengan air telah berfirman kepadaku, “Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan mengimadkan orang dengan Roh Suci.”
JOH 1:34 Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Putera Allah.’
JOH 1:35 Pada hari yang berikut, Yahya berada di situ lagi bersama dua orang pengikutnya.
JOH 1:36 Dia melihat lagi Isa lalu di tempat itu dan dia berseru, ‘Lihatlah Anak Domba Allah!’
JOH 1:37 Apabila dua orang pengikut Yahya itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Isa.
JOH 1:38 Isa menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, ‘Apa hajatmu?’ Mereka menjawab, ‘Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?’
JOH 1:39 ‘Marilah lihat,’ kata Isa. Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira pukul empat. Mereka pun tinggal bersama Isa pada hari itu.
JOH 1:40 Seorang daripada mereka ialah Andreas, saudara Simon Petrus.
JOH 1:41 Andreas segera mencari Simon dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan al-Masih!’
JOH 1:42 Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Isa. Isa memandang Simon lalu berkata, ‘Kamu Simon anak Yahya, tetapi kamu akan digelar Kefas.’ (Kefas sama ertinya dengan Petrus, yakni batu pejal.)
JOH 1:43 Pada keesokan harinya, Isa membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, ‘Ikutlah Aku.’
JOH 1:44 Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Baitsaida.
JOH 1:45 Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, ‘Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Isa anak Yusuf dari Nasaret.’
JOH 1:46 Tetapi Natanael berkata, ‘Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?’ ‘Marilah lihat,’ balas Filipus.
JOH 1:47 Ketika Isa melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, ‘Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.’
JOH 1:48 Natanael bertanya, ‘Bagaimana Engkau mengenal aku?’ Isa menjawab, ‘Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.’
JOH 1:49 Natanael berseru, ‘Tuan Guru, Engkau Putera Allah! Engkau Raja bangsa Israel!’
JOH 1:50 Isa berkata, ‘Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!’
JOH 1:51 Isa berkata kepada mereka semua, ‘Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Putera Insan.’
JOH 2:1 Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Isa turut hadir.
JOH 2:2 Isa dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis itu.
JOH 2:3 Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Isa berkata kepada-Nya, ‘Mereka kehabisan air anggur.’
JOH 2:4 Isa menjawab, ‘Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.’
JOH 2:5 Namun, ibu Isa berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, ‘Buatlah apa saja yang disuruh-Nya.’
JOH 2:6 Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air.
JOH 2:7 Isa berkata kepada pelayan-pelayan, ‘Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.’ Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu.
JOH 2:8 Setelah itu Isa berkata pula, ‘Sekarang ambillah sedikit air itu, bawakan kepada ketua majlis.’ Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis.
JOH 2:9 Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya.
JOH 2:10 Dia berkata kepada pengantin lelaki, ‘Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa saja. Tetapi kamu menyimpan dulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!’
JOH 2:11 Itulah mukjizat Isa yang pertama, dilakukan di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka para pengikut-Nya percaya kepada-Nya.
JOH 2:12 Setelah itu Isa bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari.
JOH 2:13 Ketika perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba, Isa pergi ke Baitulmaqdis.
JOH 2:14 Di dalam rumah ibadat Dia mendapati orang berjual-beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ.
JOH 2:15 Isa membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari rumah ibadat. Dia juga menghamburkan wang para pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka.
JOH 2:16 Dia berkata kepada penjual burung merpati, ‘Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!’
JOH 2:17 Para pengikut-Nya teringat bahawa telah tersurat: ‘Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!’
JOH 2:18 Orang Yahudi menyoal Isa, ‘Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?’
JOH 2:19 Isa menjawab, ‘Robohkanlah rumah ibadat ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.’
JOH 2:20 ‘Pembinaannya mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?’ tanya mereka.
JOH 2:21 Sebenarnya, rumah ibadat yang dimaksudkan oleh Isa itu ialah tubuh-Nya sendiri.
JOH 2:22 Apabila Isa bangkit daripada kematian, para pengikut-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Isa.
JOH 2:23 Sewaktu Isa di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska, ramai orang yang percaya kepada-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya.
JOH 2:24 Namun demikian, Isa tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.
JOH 2:25 Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.
JOH 3:1 Pada masa itu ada seorang pemimpin Yahudi dari golongan Farisi bernama Nikodemus.
JOH 3:2 Dia mengunjungi Isa pada suatu malam lalu berkata, ‘Tuan Guru, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Allah. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Allah menyertai-Nya.’
JOH 3:3 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Allah.’
JOH 3:4 Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!’
JOH 3:5 Isa menjawab, ‘Apa yang Kukatakan ini benar. Tidak mungkin seseorang masuk ke dalam kerajaan Allah kecuali dia dilahirkan daripada air dan Roh Suci.
JOH 3:6 Yang dilahirkan manusia adalah manusia, dan yang dilahirkan Roh adalah roh.
JOH 3:7 Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula.
JOH 3:8 Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Suci.’
JOH 3:9 Nikodemus bertanya, ‘Bagaimana hal itu boleh berlaku?’
JOH 3:10 Isa menjawab, ‘Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini?
JOH 3:11 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa yang kami ketahui, itulah yang kami katakan, dan apa yang telah kami lihat, itulah yang kami saksikan, tetapi kamu tidak mahu menerimanya.
JOH 3:12 Jika kamu tidak percaya ketika Aku bercakap tentang hal-hal dunia, bagaimana mungkin kamu percaya sekiranya Aku bercakap tentang hal-hal syurga?
JOH 3:13 Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Putera Insan yang turun dari syurga.
JOH 3:14 Sebagaimana ular diangkat oleh Musa di gurun, begitulah Putera Insan akan diangkat
JOH 3:15 supaya semua yang percaya kepada-Nya mendapat hidup yang kekal.
JOH 3:16 ‘Allah begitu mengasihi umat manusia sehingga menganugerahkan Putera-Nya yang tunggal supaya orang yang percaya kepada Putera itu tidak binasa tetapi mendapat hidup kekal.
JOH 3:17 Allah mengutus Putera-Nya ke dunia bukan untuk menghakimi dunia tetapi supaya melalui Dia, dunia ini diselamatkan.
JOH 3:18 Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak dijatuhi hukuman. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya sudahpun dijatuhi hukuman, kerana dia tidak percaya dalam nama Putera Allah yang tunggal.
JOH 3:19 Penghakiman berdasarkan hal ini: Cahaya sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih suka akan kegelapan kerana mereka berbuat jahat.
JOH 3:20 Orang yang berbuat jahat benci akan cahaya dan tidak mahu mendekatinya kerana takut perbuatan jahatnya terdedah.
JOH 3:21 Tetapi orang yang berbuat benar merapati cahaya, supaya jelas bahawa perbuatannya dilakukan melalui Allah.’
JOH 3:22 Selepas itu, Isa dan para pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Isa tinggal bersama mereka di sana dan mengimadkan orang.
JOH 3:23 Yahya pula mengimadkan di Ainon, tidak berapa jauh dari Salim, kerana di situ ada banyak air. Orang datang kepadanya dan dia mengimadkan mereka.
JOH 3:24 Pada masa itu, Yahya belum lagi dimasukkan ke dalam penjara.
JOH 3:25 Pada suatu hari tercetus pertengkaran antara sebilangan pengikut Yahya dan seorang Yahudi tentang istiadat penyucian.
JOH 3:26 Mereka pergi kepada Yahya dan berkata, ‘Tuan Guru, seorang yang bersama Tuan Guru di seberang Sungai Yordan dulu, orang yang Tuan Guru tunjukkan kepada kami, Dia mengimadkan orang dan semua orang pergi kepada-Nya.’
JOH 3:27 Yahya menjawab, ‘Seseorang tidak mungkin menerima sesuatu kecuali diberi kepadanya dari syurga.
JOH 3:28 Kamu semua menjadi saksiku bahawa aku telah berkata, “Aku bukanlah al-Masih, tetapi aku diutus sebelum-Nya.”
JOH 3:29 Yang mendapatkan pengantin perempuan adalah pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki yang cuma menanti dan mendengarkan ketibaan pengantin lelaki, berasa bahagia ketika mendengar suara pengantin lelaki. Demikian juga aku. Sekarang sempurnalah kebahagiaanku.
JOH 3:30 Memang sewajarnya Dia semakin utama dan aku semakin kecil.
JOH 3:31 ‘Dia yang datang dari atas adalah di atas segala-galanya. Orang yang berasal dari dunia datang dari dunia dan bercakap tentang hal-hal dunia. Tetapi Dia yang datang dari syurga adalah di atas segala-galanya,
JOH 3:32 Dia menyampaikan apa yang dilihat dan didengar-Nya, tetapi tidak ada seorang pun yang menerima kesaksian-Nya.
JOH 3:33 Namun begitu, mereka yang menerima kesaksian-Nya mengaku bahawa Allah itu benar.
JOH 3:34 Dia yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan-Nya Roh Suci sepenuhnya.
JOH 3:35 Bapa kasih akan Putera-Nya dan telah meletakkan segala-galanya di bawah kuasa Putera-Nya.
JOH 3:36 Sesiapa yang percaya kepada Putera itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan Allah kekal ke atasnya.’
JOH 4:1 Ketika Isa mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan mengimadkan lebih ramai pengikut berbanding Yahya,
JOH 4:2 (sebenarnya para pengikut Isa yang mengimadkan, bukan Isa),
JOH 4:3 Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula.
JOH 4:4 Dalam perjalanan-Nya itu, Isa semestinya melalui Samaria.
JOH 4:5 Di Samaria, Isa sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf.
JOH 4:6 Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Isa duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam yang keenam.
JOH 4:7 Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Isa berkata kepadanya, ‘Berilah Aku minum.’
JOH 4:8 Pengikut-pengikut Isa telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
JOH 4:9 Perempuan Samaria itu menjawab, ‘Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?’ (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)
JOH 4:10 Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, “Berilah Aku minum,” tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.’
JOH 4:11 Perempuan itu berkata, ‘Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu?
JOH 4:12 Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.’
JOH 4:13 Isa berkata, ‘Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula;
JOH 4:14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air di dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.’
JOH 4:15 Perempuan itu berkata, ‘Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.’
JOH 4:16 Isa menjawab, ‘Pergilah dulu, bawa suamimu ke mari.’
JOH 4:17 Perempuan itu berkata, ‘Aku tidak ada suami.’ Isa pun berkata, ‘Memang benar engkau tidak ada suami sekarang.
JOH 4:18 Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.’
JOH 4:19 Perempuan itu berkata, ‘Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi.
JOH 4:20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Baitulmaqdis.’
JOH 4:21 Isa berkata, ‘Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Baitulmaqdis.
JOH 4:22 Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.
JOH 4:23 Akan sampai saatnya, malah sudahpun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian.
JOH 4:24 Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.’
JOH 4:25 Perempuan itu berkata, ‘Aku tahu Mesias yang disebut al-Masih akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.’
JOH 4:26 Isa berkata kepada perempuan itu, ‘Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.’
JOH 4:27 Pada ketika itu para pengikut Isa pulang ke situ. Mereka hairan melihat Isa bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, ‘Apa hajatmu?’ atau kepada Isa, ‘Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?’
JOH 4:28 Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku.
JOH 4:29 Perempuan itu berkata, ‘Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu al-Masih?’
JOH 4:30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Isa.
JOH 4:31 Sementara itu, para pengikut Isa berkata kepada-Nya, ‘Tuan Guru, silalah makan.’
JOH 4:32 Isa menjawab, ‘Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.’
JOH 4:33 Lalu para pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?’
JOH 4:34 Isa berkata, ‘Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.
JOH 4:35 Bukankah kamu berkata, “Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?” Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai.
JOH 4:36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama.
JOH 4:37 Dalam hal ini benarlah pepatah, “Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.”
JOH 4:38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.’
JOH 4:39 Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Isa setelah mendengar perempuan itu berkata, ‘Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.’
JOH 4:40 Oleh yang demikian, ketika mereka datang menemui Isa, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Isa pun tinggal di situ selama dua hari.
JOH 4:41 Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Isa kerana kata-kata-Nya.
JOH 4:42 Mereka berkata kepada perempuan itu, ‘Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah al-Masih, Penyelamat umat manusia di dunia.’
JOH 4:43 Selepas tinggal dua hari di Samaria, Isa ke Galilea pula,
JOH 4:44 kerana Isa sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri.
JOH 4:45 Setiba-Nya di Galilea, orang di situ menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Baitulmaqdis pada masa perayaan Paska dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.
JOH 4:46 Selepas itu Isa pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum.
JOH 4:47 Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Isa ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa Isa. Dia meminta Isa datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.
JOH 4:48 Tetapi Isa berkata, ‘Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.’
JOH 4:49 Pegawai itu merayu, ‘Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.’
JOH 4:50 Isa pun berkata, ‘Pergilah, anakmu akan sembuh.’ Pegawai itu percaya akan kata-kata Isa lalu pergi.
JOH 4:51 Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh.
JOH 4:52 Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, ‘Kelmarin, pada jam yang ketujuh, dia tidak demam lagi.’
JOH 4:53 Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Isa telah berkata, ‘Anakmu akan sembuh.’ Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Isa.
JOH 4:54 Itulah mukjizat Isa yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.
JOH 5:1 Setelah itu Isa pergi ke Baitulmaqdis pada masa suatu perayaan Yahudi.
JOH 5:2 Di sana, berdekatan Pintu Domba, ada sebuah kolam yang dipanggil Baithasda dalam bahasa Ibrani. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi.
JOH 5:3 Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring – ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh – menunggu air kolam itu berkocak.
JOH 5:4 Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya.
JOH 5:5 Di kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun.
JOH 5:6 Isa melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya. Isa bertanya kepadanya, ‘Inginkah kamu sembuh?’
JOH 5:7 Orang sakit itu menjawab, ‘Tuan, tiada siapapun di sini yang dapat memasukkan aku ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak. Setiap kali aku cuba masuk, orang lain telah masuk dulu.’
JOH 5:8 Isa berkata kepadanya, ‘Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.’
JOH 5:9 Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan. Perkara itu terjadi pada hari Sabat.
JOH 5:10 Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang itu, ‘Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.’
JOH 5:11 Orang itu menjawab, ‘Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.’
JOH 5:12 Mereka pun bertanya, ‘Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?’
JOH 5:13 Akan tetapi orang yang baru disembuhkan itu tidak dapat menunjukkan yang mana orangnya, kerana Isa telah menghilang di antara orang ramai di situ.
JOH 5:14 Tidak lama selepas itu, Isa bertemu dengan orang itu di dalam rumah ibadat dan berkata kepadanya, ‘Sekarang kamu sudah sembuh. Jangan berbuat dosa lagi, supaya kamu tidak menerima padah yang lebih teruk.’
JOH 5:15 Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Isalah yang telah menyembuhkannya.
JOH 5:16 Dengan demikian, mereka mula memusuhi Isa kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat.
JOH 5:17 Namun, Isa berkata kepada mereka, ‘Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.’
JOH 5:18 Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Allah itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah.
JOH 5:19 Isa menjawab kata-kata mereka, ‘Sesungguhnya, aku berkata kepadamu, Putera tidak dapat melakukan sesuatu oleh diri-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, itulah yang dilakukan oleh Putera,
JOH 5:20 kerana Bapa kasih akan Putera dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada Putera-Nya. Bapa akan menyatakan hal-hal yang lebih besar lagi kepada Putera, sehingga kamu semua menjadi hairan.
JOH 5:21 Bapa membangkitkan manusia daripada kematian dan memberi hidup, maka demikian jugalah Putera-Nya memberi hidup kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
JOH 5:22 Bapa tidak menghakimi sesiapa. Dia telah menyerahkan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya.
JOH 5:23 Dengan demikian, semua orang menghormati Putera sebagaimana mereka menghormati Bapa. Jika sesiapa tidak menghormati Putera, ertinya dia tidak menghormati Bapa yang mengutus-Nya.
JOH 5:24 ‘Sesungguhnya aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.
JOH 5:25 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, akan tiba saatnya, malah sudahpun sampai, ketika orang mati mendengar suara Putera Allah, dan orang yang mendengar suara-Nya akan hidup.
JOH 5:26 Bapa sumber hidup, maka Dia menjadikan Putera-Nya juga sumber hidup.
JOH 5:27 Bapa telah memberikan kuasa menghakimi kepada Putera-Nya, kerana Dia itu Putera Insan.
JOH 5:28 ‘Janganlah hairan mendengar hal ini kerana akan sampai saatnya bagi semua orang mati mendengar suara-Nya.
JOH 5:29 Mereka akan terus bangkit dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit untuk mendapat hidup kekal dan orang yang berbuat jahat akan bangkit untuk dihukum.
JOH 5:30 Aku tidak dapat melakukan sesuatu pun atas usaha-Ku sendiri. Aku menghakimi manusia menurut perintah Allah. Penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
JOH 5:31 ‘Jika Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, itu tidaklah wajar diterima sebagai bukti yang sah.
JOH 5:32 Ada lain yang memberi kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian yang disampaikan-Nya tentang-Ku itu benar.
JOH 5:33 ‘Kamu telah mengutus orang untuk berjumpa dengan Yahya, dan dia telah memberikan kesaksian yang benar.
JOH 5:34 Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian manusia. Aku menyebutnya supaya kamu percaya dan dapat diselamatkan.
JOH 5:35 Yahya ibarat pelita yang menyala dan bercahaya. Bagi seketika lamanya, kamu memilih untuk menikmati cahayanya.
JOH 5:36 ‘Tetapi kesaksian-Ku lebih besar daripada kesaksian Yahya. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan hal ini membuktikan bahawa Bapa telah mengutus-Ku.
JOH 5:37 Bapa yang mengutus-Ku dan memberikan kesakian tentang diri-Ku ini belum pernah kamu dengar suara-Nya atau lihat wajah-Nya.
JOH 5:38 Firman Tuhan tidak menetap dalam dirimu kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus Bapa.
JOH 5:39 ‘Kamu mengkaji Kitab Suci dengan tekun kerana kamu percaya dalamnya kamu mendapat hidup kekal. Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku.
JOH 5:40 Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal.
JOH 5:41 ‘Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia.
JOH 5:42 Aku mengenalmu. Aku tahu kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah.
JOH 5:43 Aku datang atas nama Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut-Ku. Namun, ketika orang lain datang atas namanya sendiri, kamu menyambutnya.
JOH 5:44 Bagaimana kamu mungkin percaya kepada-Ku, sedangkan kamu mencari pujian sesama sendiri? Kamu tidak berusaha mendapatkan pujian daripada Allah Yang Esa.
JOH 5:45 ‘Jangan sangka Aku akan menuduhmu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itulah yang akan menuduhmu.
JOH 5:46 Sekiranya benar kamu percaya kepada Musa, tentulah kamu percaya kepada-Ku, kerana Musa telah menulis tentang diri-Ku.
JOH 5:47 Kamu tidak percaya akan apa yang ditulis oleh Musa, maka bagaimana kamu mungkin percaya akan apa yang Kukatakan?’
JOH 6:1 Setelah itu Isa pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Tiberias.
JOH 6:2 Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit.
JOH 6:3 Isa mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama para pengikut-Nya.
JOH 6:4 Pada masa itu perayaan Paska orang Yahudi hampir tiba.
JOH 6:5 Apabila Isa memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, ‘Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?’
JOH 6:6 (Sebenarnya Isa bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)
JOH 6:7 Filipus menjawab, ‘Roti yang berharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.’
JOH 6:8 Seorang lagi pengikut Isa bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya,
JOH 6:9 ‘Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!’
JOH 6:10 Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Ajaklah mereka duduk.’ (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya.
JOH 6:11 Isa mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu Dia memecah-mecahkan roti itu antara orang ramai itu. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula. Semuanya makan sepuas-puasnya.
JOH 6:12 Setelah kenyang semuanya, Isa berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.’
JOH 6:13 Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.
JOH 6:14 Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Isa itu, mereka pun berkata, ‘Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!’
JOH 6:15 Isa tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.
JOH 6:16 Setelah senja hari, para pengikut Isa turun ke tasik.
JOH 6:17 Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Isa belum pulang mendapatkan mereka.
JOH 6:18 Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang.
JOH 6:19 Setelah para pengikut Isa berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan.
JOH 6:20 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Jangan takut, Aku Isa!’
JOH 6:21 Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.
JOH 6:22 Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik sedar bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Isa tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para pengikut Isa telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya.
JOH 6:23 Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Junjungan mengucap syukur.
JOH 6:24 Apabila mereka tidak melihat Isa atau para pengikut-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Isa.
JOH 6:25 Ketika mereka bertemu dengan Isa di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Tuan Guru, bilakah Engkau sampai ke mari?’
JOH 6:26 Isa menjawab, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang.
JOH 6:27 Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepada-Mu oleh Putera Insan, kerana Allah Bapa telah melantik-Nya.’
JOH 6:28 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?’
JOH 6:29 Isa berkata, ‘Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.’
JOH 6:30 Mereka bertanya kepada-Nya, ‘Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan?
JOH 6:31 Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: “Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.” ’
JOH 6:32 Lalu Isa berkata, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga.
JOH 6:33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.’
JOH 6:34 Kemudian mereka berkata, ‘Junjungan, berilah kami roti itu selalu.’
JOH 6:35 Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Roti Hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
JOH 6:36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.
JOH 6:37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
JOH 6:38 Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
JOH 6:39 Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberi kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.
JOH 6:40 Demikianlah kehendak Bapa-Ku iaitu setiap orang yang melihat Putera-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.’
JOH 6:41 Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Isa kerana kata-katanya, ‘Akulah roti yang turun dari syurga.’
JOH 6:42 Mereka berkata, ‘Bukankah Dia Isa, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, “Aku turun dari syurga”?’
JOH 6:43 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Janganlah merungut sesama sendiri.
JOH 6:44 Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
JOH 6:45 Ada tersurat di dalam tulisan para nabi: “Semua manusia akan diajar oleh Allah.” Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.’
JOH 6:46 Tidak seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
JOH 6:47 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.
JOH 6:48 Akulah roti hidup.
JOH 6:49 Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.
JOH 6:50 Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.
JOH 6:51 Akulah Roti Hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini adalah tubuh-Ku.’
JOH 6:52 Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri ‘Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?’
JOH 6:53 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Putera Insan dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.
JOH 6:54 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
JOH 6:55 Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar.
JOH 6:56 Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya.
JOH 6:57 Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup.
JOH 6:58 Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.’
JOH 6:59 Demikianlah kata-kata Isa ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
JOH 6:60 Antara para pengikut yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, ‘Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?’
JOH 6:61 Isa tahu tanpa diberitahu akan rungutan para pengikut-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, ‘Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?’
JOH 6:62 Bagaimana nanti kalau kamu melihat Putera Insan naik semula ke tempat asal-Nya?
JOH 6:63 Hanya Roh Suci memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Suci dan memberi hidup.
JOH 6:64 Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.’ (Isa mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.)
JOH 6:65 Isa berkata lagi, ‘Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.’
JOH 6:66 Selepas itu, ramai pengikut Isa menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.
JOH 6:67 Oleh yang demikian, Isa bertanya kepada pengikut-Nya yang dua belas itu, ‘Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?’
JOH 6:68 Simon Petrus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal.
JOH 6:69 Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.’
JOH 6:70 Isa berkata, ‘Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu adalah iblis?’
JOH 6:71 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang pengikut Isa yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.
JOH 7:1 Selepas itu, Isa pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya.
JOH 7:2 Ketika itu Perayaan Tabernakel orang Yahudi hampir tiba.
JOH 7:3 Oleh itu, saudara-saudara Isa berkata kepada-Nya, ‘Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya pengikut-pengikut-Mu dapat melihat perbuatan-Mu.
JOH 7:4 Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia.’
JOH 7:5 (Saudara-saudara Isa sendiri tidak percaya kepada-Nya.)
JOH 7:6 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja.
JOH 7:7 Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana.
JOH 7:8 Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya.’
JOH 7:9 Setelah berkata demikian, Isa tetap tinggal di Galilea.
JOH 7:10 Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Isa pun pergi juga secara diam-diam.
JOH 7:11 Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Isa. Mereka bertanya, ‘Di manakah Dia?’
JOH 7:12 Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, ‘Dia seorang yang baik.’ Ada pula yang berkata, ‘Tidak! Dia membawa ajaran sesat!’
JOH 7:13 Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Isa, kerana takut akan orang Yahudi.
JOH 7:14 Pada pertengahan masa perayaan itu, Isa masuk ke rumah ibadat lalu mengajar.
JOH 7:15 Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, ‘Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?’
JOH 7:16 Lalu Isa menjawab, ‘Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku.
JOH 7:17 Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah.
JOH 7:18 Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan.
JOH 7:19 Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tidak seorang pun di antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?’
JOH 7:20 Orang ramai menjawab, ‘Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?’
JOH 7:21 Isa berkata kepada mereka, ‘Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub.
JOH 7:22 Musa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.)
JOH 7:23 Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?
JOH 7:24 Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil.’
JOH 7:25 Sebilangan penduduk Baitulmaqdis berkata, ‘Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?’
JOH 7:26 Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia al-Masih?
JOH 7:27 Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya.’ Tetapi, apabila al-Masih datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya.’
JOH 7:28 Ketika Isa mengajar di rumah ibadat, Dia berseru dengan suara lantang, ‘Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.
JOH 7:29 Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya.’
JOH 7:30 Selepas itu, mereka cuba menangkap Isa. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.
JOH 7:31 Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Isa. Mereka berkata, ‘Apabila al-Masih datang, adakah dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?’
JOH 7:32 Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal rumah ibadat menangkap Isa.
JOH 7:33 Namun, Isa berkata, ‘Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.
JOH 7:34 Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku, kerana kamu tidak boleh datang ke tempat Aku berada.’
JOH 7:35 Orang Yahudi berkata sesama sendiri, ‘Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan di kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?’
JOH 7:36 Apakah maksud kata-kata-Nya, “Kita akan mencari-Nya tetapi tidak dapat menemui-Nya kerana kita tidak boleh pergi ke tempat Dia berada”?’
JOH 7:37 Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Isa berdiri lalu berkata dengan suara lantang, ‘Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.’
JOH 7:38 Sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.”’
JOH 7:39 (Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Roh Suci yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Suci belum dikurniakan, kerana Isa belum dimuliakan.)
JOH 7:40 Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Isa berkata, ‘Sudah tentu orang inilah Nabi itu!’
JOH 7:41 Ada pula yang berkata, ‘Dialah al-Masih yang diutus oleh Allah.’ Sebaliknya, ada yang berkata, ‘Al-Masih yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea.
JOH 7:42 Menurut Kitab Suci, al-Masih yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Baitlahim, tempat asal Raja Daud.’
JOH 7:43 Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Isa.
JOH 7:44 Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapapun menyentuh-Nya.
JOH 7:45 Kemudian para pengawal rumah ibadat datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal rumah ibadat itu, ‘Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?’
JOH 7:46 Para pengawal itu menjawab, ‘Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!”
JOH 7:47 Orang Farisi berkata, ‘Adakah kamu disesatkan juga?
JOH 7:48 Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya?
JOH 7:49 Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!’
JOH 7:50 Nikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Isa, berkata,
JOH 7:51 ‘Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?’
JOH 7:52 Mereka berkata, ‘Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea.’
JOH 7:53 Selepas itu semua orang pulang ke rumah.
JOH 8:1 Akan tetapi Isa pergi ke Bukit Zaitun.
JOH 8:2 Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke rumah ibadat. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka.
JOH 8:3 Guru Taurat dan orang Farisi membawa kepada Isa seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ.
JOH 8:4 Mereka berkata kepada Isa, ‘Tuan Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.’
JOH 8:5 Di dalam hukum Taurat, Musa memberi perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?’
JOH 8:6 Mereka bertanya demikian untuk menduga Isa supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya. Tetapi Isa tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya.
JOH 8:7 Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, ‘Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.’
JOH 8:8 Kemudian Isa tunduk menulis semula di tanah.
JOH 8:9 Setelah mendengar kata-kata Isa, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Isa dan perempuan itu yang tinggal.
JOH 8:10 Isa meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, ‘Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?’
JOH 8:11 Perempuan itu menjawab, ‘Tidak ada, Junjungan.’ Isa berkata, ‘Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.’
JOH 8:12 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.’
JOH 8:13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Isa, ‘Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.’
JOH 8:14 Isa menjawab, ‘Walaupun Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
JOH 8:15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapapun.
JOH 8:16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adil, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
JOH 8:17 Ada tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
JOH 8:18 Aku memberi kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberi kesaksian tentang diri-Ku.’
JOH 8:19 Oleh itu mereka bertanya, ‘Di manakah Bapa-Mu itu?’ Isa menjawab, ‘Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.’
JOH 8:20 Isa mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di rumah ibadat. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
JOH 8:21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
JOH 8:22 Lalu orang Yahudi berkata, ‘Adakah Dia hendak membunuh diri?’ Kerana Dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’
JOH 8:23 Isa berkata, ‘Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
JOH 8:24 Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.’
JOH 8:25 ‘Siapa Kamu ini?’ tanya mereka. Isa menjawab, ‘Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.
JOH 8:26 Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.’
JOH 8:27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Isa bercakap tentang Bapa.
JOH 8:28 Lalu Isa berkata kepada mereka, ‘Apabila kamu meninggikan Putera Insan, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
JOH 8:29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.’
JOH 8:30 Setelah mendengar kata-kata Isa, ramai orang percaya kepada-Nya.
JOH 8:31 Isa berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, ‘Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu pengikut-Ku yang sejati.
JOH 8:32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.’
JOH 8:33 Mereka berkata, ‘Kami keturunan Ibrahim. Kami belum pernah diperhambakan. Apakah maksud kata-kata-Mu, “Kamu akan dibebaskan”?’
JOH 8:34 Isa berkata kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.
JOH 8:35 Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.
JOH 8:36 Dengan demikian, jika Putera membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.
JOH 8:37 Aku tahu kamu keturunan Ibrahim, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.
JOH 8:38 Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.’
JOH 8:39 Mereka menjawab, ‘Bapa kami Ibrahim.’ Tetapi Isa berkata, ‘Sekiranya kamu benar-benar anak Ibrahim, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim.
JOH 8:40 Aku hanya memberitahumu apa yang difirmankan Allah kepada-Ku, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Ibrahim!
JOH 8:41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.’ Mereka menjawab, ‘Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.’
JOH 8:42 Isa berkata kepada mereka, ‘Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.
JOH 8:43 Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.
JOH 8:44 Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.
JOH 8:45 Sebaliknya aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku.
JOH 8:46 ‘Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku?
JOH 8:47 Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.’
JOH 8:48 Orang Yahudi berkata, ‘Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?’
JOH 8:49 Isa menjawab, ‘Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku.
JOH 8:50 Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dia akan menghakimi.
JOH 8:51 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’
JOH 8:52 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, ‘Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Ibrahim sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, “Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”
JOH 8:53 Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Ibrahim yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?’
JOH 8:54 Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan Dia itu Tuhanmu.
JOH 8:55 Namun, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya.
JOH 8:56 Bapamu Ibrahim bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.’
JOH 8:57 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, ‘Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Ibrahim?’
JOH 8:58 Isa berkata kepada mereka, ‘Apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Ibrahim dilahirkan Aku sudah ada.’
JOH 8:59 Setelah itu mereka memungut batu untuk merejam Isa, tetapi Isa menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan rumah ibadat.
JOH 9:1 Ketika Isa sedang lalu di suatu tempat, Dia terpandang seorang lelaki yang buta sejak lahir.
JOH 9:2 Para pengikut-Nya bertanya, ‘Tuan Guru, siapakah yang berdosa, orang itu atau ibu bapanya, maka dia dilahirkan buta?’
JOH 9:3 Isa menjawab, ‘Bukan dia dan bukan juga ibu bapanya. Dia begitu supaya kuasa Allah dapat dinyatakan melaluinya.
JOH 9:4 Selagi siang, kita mesti melakukan tugas Dia yang telah mengutus-Ku. Malam akan tiba apabila seorang tidak dapat melakukan apa-apa lagi.
JOH 9:5 Selama Aku di dunia, Akulah cahaya dunia.’
JOH 9:6 Selepas itu, Isa berludah ke tanah untuk membuat tanah liat lalu menyapukannya pada mata orang itu.
JOH 9:7 Isa berkata kepadanya, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam’ (Siloam bererti ‘diutus’ dalam bahasa Ibrani). Orang itu pun pergi membasuh muka. Apabila dia kembali, dia sudah dapat melihat.
JOH 9:8 Jiran tetangga dan semua orang yang tahu dia buta bertanya, ‘Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?’
JOH 9:9 Ada yang berkata, ‘Ya, dialah.’ Ada pula yang berkata, ‘Bukan, hanya serupa dengannya.’ Tetapi orang itu sendiri mengaku, ‘Akulah orang itu.’
JOH 9:10 Mereka bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah sekarang kamu dapat melihat?’
JOH 9:11 Dia menjawab, ‘Orang yang bernama Isa telah membuat secebis tanah liat, disapukan-Nya ke mataku lalu berkata, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” Sebaik-baik sahaja aku membasuh muka di kolam itu, aku pun dapat melihat.’
JOH 9:12 Mereka bertanya, ‘Di manakah orang itu?’ Dia menjawab, ‘Aku tidak tahu.’
JOH 9:13 Orang yang dahulunya buta itu dibawa mereka kepada orang Farisi.
JOH 9:14 Isa telah membuat tanah liat dan menyembuhkan mata orang itu pada hari Sabat.
JOH 9:15 Orang Farisi menanya orang itu bagaimana dia dapat melihat. Jawabnya, ‘Dia menyapukan tanah liat pada mataku, lalu aku membasuh muka, dan kemudian aku dapat melihat.’
JOH 9:16 Sebilangan orang Farisi itu berkata, ‘Dia bukan daripada Allah, kerana Dia melanggar peraturan hari Sabat.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Kalau Dia orang berdosa, bagaimana Dia dapat melakukan mukjizat begini?’ Dengan demikian timbullah perselisihan pendapat di kalangan mereka.
JOH 9:17 Orang Farisi bertanya lagi kepada orang yang dahulunya buta itu, ‘Kamu berkata Dia menyembuhkan matamu. Bagaimana pendapatmu tentang Dia?’ Orang itu menjawab, ‘Dia seorang nabi.’
JOH 9:18 Orang Yahudi enggan percaya bahawa orang itu dahulu buta matanya. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya.
JOH 9:19 Mereka bertanya, ‘Benarkah dia anak kamu yang buta sejak lahir? Bagaimana pula dia boleh celik?’
JOH 9:20 Ibu bapa orang itu menjawab, ‘Ya, benar dia anak kami yang buta sejak lahir.
JOH 9:21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana dia dapat melihat sekarang dan siapa yang menyembuhkan matanya. Dia sudah dewasa, tanyalah dia. Dia dapat menjawab sendiri.’
JOH 9:22 Ibu bapa orang itu berkata demikian kerana takut akan orang Yahudi itu yang telah bersetuju bahawa sesiapa yang mengakui Isa itu al-Masih akan disingkirkan dari saumaah.
JOH 9:23 Maka itulah ibu bapanya berkata, ‘Dia sudah dewasa, tanyalah dia.’
JOH 9:24 Mereka pun memanggil orang itu lagi dan berkata, ‘Akuilah kemuliaan Allah! Kamu tahu Dia itu orang berdosa.’
JOH 9:25 Dia menjawab, ‘Sama ada Dia orang berdosa atau tidak, aku tidak tahu. Yang kutahu, dulu aku buta, sekarang aku dapat melihat.’
JOH 9:26 Mereka bertanya lagi, ‘Apa yang dibuat-Nya kepadamu? Bagaimana Dia mencelikkan matamu?’
JOH 9:27 Dia menjawab, ‘Aku telah pun memberitahumu, tetapi kamu tidak mendengar. Mengapakah kamu hendak mendengarnya lagi? Adakah kamu ingin menjadi pengikut-Nya juga?’
JOH 9:28 Mereka mencacinya dan berkata, ‘Kamulah pengikut-Nya. Kami pengikut Musa.
JOH 9:29 Kami tahu Allah berfirman kepada Musa. Orang itu, tiada siapa yang tahu dari mana Dia datang.’
JOH 9:30 ‘Hairan sekali,’ kata orang yang dahulunya buta itu. ‘Kamu tidak tahu dari mana Dia datang, tetapi Dia telah mencelikkan mataku!
JOH 9:31 Kita tahu bahawa Allah tidak mendengar permintaan orang berdosa. Tetapi jika seseorang takut akan Allah dan melakukan kehendak-Nya, Allah akan mendengar permintaan-Nya.
JOH 9:32 Sejak permulaan dunia, belum pernah kedengaran kisah orang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir.
JOH 9:33 Jika orang itu bukan daripada Allah, tidaklah dapat Dia melakukannya.’
JOH 9:34 Mereka berkata kepadanya, ‘Kamu orang berdosa sejak lahir. Kamu hendak cuba mengajar kami?’ Mereka pun menghalaunya keluar.
JOH 9:35 Isa mendengar bahawa mereka telah menghalaunya keluar, dan selepas menemuinya, Dia bertanya, ‘Adakah kamu percaya kepada Putera Insan?
JOH 9:36 Orang itu menjawab, ‘Siapakah Dia, Junjungan? Katakanlah kepadaku, supaya aku dapat percaya kepada-Nya.’
JOH 9:37 Isa berkata, ‘Kamu sudahpun melihat-Nya. Dialah yang sedang bercakap denganmu sekarang.’
JOH 9:38 Orang itu berkata, ‘Ya Junjungan, aku percaya.’ Dia pun sujud kepada Isa.
JOH 9:39 Isa berkata, ‘Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi manusia; supaya orang buta dapat melihat, manakala orang yang dapat melihat pula buta.’
JOH 9:40 Ketika orang Farisi di situ mendengar kata-kata Isa, mereka bertanya kepada-Nya, ‘Adakah Kaumaksudkan kami juga buta?’
JOH 9:41 Isa menjawab, ‘Kalaulah kamu buta, tidaklah kamu berdosa. Tetapi kamu berkata kamu dapat melihat, maka kamu tetap berdosa.’
JOH 10:1 ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.
JOH 10:2 Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.
JOH 10:3 Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.
JOH 10:4 Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.
JOH 10:5 Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’
JOH 10:6 Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.
JOH 10:7 Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.
JOH 10:8 Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.
JOH 10:9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.
JOH 10:10 Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.
JOH 10:11 ‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.
JOH 10:12 Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.
JOH 10:13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.
JOH 10:14 ‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,
JOH 10:15 sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.
JOH 10:16 Ada domba-domba lain diluar kawanan ini yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.
JOH 10:17 Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.
JOH 10:18 Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’
JOH 10:19 Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.
JOH 10:20 Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’
JOH 10:21 Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’
JOH 10:22 Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.
JOH 10:23 Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat.
JOH 10:24 Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’
JOH 10:25 Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku.
JOH 10:26 Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.
JOH 10:27 Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.
JOH 10:28 Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.
JOH 10:29 Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapapun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.
JOH 10:30 Bapa dan Aku adalah satu.’
JOH 10:31 Selepas itu orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Isa.
JOH 10:32 Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?’
JOH 10:33 Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!’
JOH 10:34 Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, “Kamu ilahi”?
JOH 10:35 Jika Allah menyebut orang sebagai “ilahi” kerana firman Allah ditujukan kepada mereka, (apa yang tersurat di dalam kitab itu tidak dapat dibatalkan)
JOH 10:36 bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, “Aku Putera Allah”?
JOH 10:37 Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
JOH 10:38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.’
JOH 10:39 Mereka mencuba lagi menangkap Isa, tetapi Isa dapat melepaskan diri dari tangan mereka.
JOH 10:40 Isa kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yahya mengimadkan orang dahulu.
JOH 10:41 Ramai orang datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Yahya tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.’
JOH 10:42 Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Isa.
JOH 11:1 Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Baitani bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maryam dan Marta.
JOH 11:2 Maryamlah, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Junjungan dan menyapunya dengan rambutnya.
JOH 11:3 Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Isa, ‘Junjungan, dia yang Kaukasihi itu sakit.’
JOH 11:4 Apabila menerima berita itu, Isa berkata, ‘Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Putera Allah akan dimuliakan.’
JOH 11:5 Isa mengasihi Marta, Maryam dan Lazarus.
JOH 11:6 Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
JOH 11:7 Kemudian Dia berkata kepada para pengikut-Nya, ‘Marilah kita pulang ke Yudea.’
JOH 11:8 Para pengikut-Nya menjawab, ‘Tuan Guru, bukankah orang Yahudi di situ baru saja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?’
JOH 11:9 Isa berkata, ‘Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.
JOH 11:10 Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.’
JOH 11:11 Kemudian Isa menambah, ‘Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.’
JOH 11:12 Para pengikut Isa berkata, ‘Junjungan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.’
JOH 11:13 Yang dimaksudkan oleh Isa ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi para pengikut-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
JOH 11:14 Oleh itu, Isa berkata kepada mereka dengan jelas, ‘Lazarus sudah meninggal.
JOH 11:15 Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.’
JOH 11:16 Tomas yang disebut Didimus berkata kepada pengikut Isa yang lain. ‘Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!’
JOH 11:17 Ketika Isa sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.
JOH 11:18 Baitani terletak kira-kira dua batu daripada Baitulmaqdis.
JOH 11:19 Oleh itu ramai orang Yahudi datang melawat Maryam dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.
JOH 11:20 Apabila Marta mendengar Isa datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maryam tinggal di rumah.
JOH 11:21 Marta berkata kepada Isa, ‘Ya Junjungan, kalaulah Junjungan ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
JOH 11:22 Aku tahu, sekarang pun apa saja permintaan Junjungan akan dikabulkan Allah.’
JOH 11:23 Isa berkata kepada Marta, ‘Saudaramu akan hidup kembali.’
JOH 11:24 Marta menjawab, ‘Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.’
JOH 11:25 Isa berkata kepada Marta, ‘Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
JOH 11:26 Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?’
JOH 11:27 Marta menjawab, ‘Ya Junjungan, aku percaya bahawa Junjungan adalah al-Masih, Putera Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.’
JOH 11:28 Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maryam dan berbisik kepadanya, ‘Guru ada di sini. Dia memanggilmu.’
JOH 11:29 Maryam pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa Isa.
JOH 11:30 (Pada waktu itu Isa belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.)
JOH 11:31 Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maryam untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
JOH 11:32 Setelah Maryam melihat Isa, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, ‘Junjungan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!’
JOH 11:33 Ketika melihat Maryam menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Isa sungguh hiba dan terharu.
JOH 11:34 Dia bertanya kepada mereka, ‘Di manakah kamu letakkan dia?’ Mereka menjawab, ‘Marilah lihat, Ya Junjungan.’
JOH 11:35 Isa menangis.
JOH 11:36 Semua orang Yahudi yang hadir berkata, ‘Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.’
JOH 11:37 Namun, ada yang berkata, ‘Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?’
JOH 11:38 Isa yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
JOH 11:39 Isa berkata, ‘Alihkan batu itu.’ Tetapi Marta berkata, ‘Junjungan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.’
JOH 11:40 Isa berkata kepada Marta, ‘Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?’
JOH 11:41 Mereka mengalihkan batu itu. Isa menengadah ke langit lalu berkata, ‘Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
JOH 11:42 Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.’
JOH 11:43 Selepas itu, Isa berseru lantang, ‘Lazarus, keluar!’
JOH 11:44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Isa berkata kepada orang ramai di situ, ‘Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.’
JOH 11:45 Sebilangan besar orang yang datang melawat Maryam dan melihat apa yang dilakukan oleh Isa terus percaya kepada-Nya.
JOH 11:46 Namun, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan hal itu.
JOH 11:47 Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, ‘Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!
JOH 11:48 Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Rom akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!’
JOH 11:49 Salah seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, ‘Kamu semua tidak tahu suatu apapun.
JOH 11:50 Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?’
JOH 11:51 Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Isa akan mati untuk bangsa Yahudi.
JOH 11:52 Sebenarnya Isa mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat.
JOH 11:53 Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Isa.
JOH 11:54 Isa tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama para pengikut-Nya.
JOH 11:55 Menjelang perayaan Paska, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Baitulmaqdis untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu.
JOH 11:56 Mereka mencari Isa. Ketika di rumah ibadat, mereka bertanya sesama sendiri, ‘Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?’
JOH 11:57 Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Isa berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.
JOH 12:1 Enam hari sebelum perayaan Paska, Isa pergi ke Baitani, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
JOH 12:2 Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain bertelekan di meja bersama Isa.
JOH 12:3 Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Isa, lalu menyapu kaki Isa dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
JOH 12:4 Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Isa yang mengkhianati-Nya kelak berkata,
JOH 12:5 ‘Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?’
JOH 12:6 Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
JOH 12:7 Isa berkata, ‘Jangan bantah perbuatan perempuan ini. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari penguburan-Ku.
JOH 12:8 Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.’
JOH 12:9 Apabila orang Yahudi mendengar Isa ada di Baitani, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
JOH 12:10 Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.
JOH 12:11 Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Isa.
JOH 12:12 Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut perayaan Paska mendengar bahawa Isa sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis.
JOH 12:13 Mereka mengambil dahan-dahan pohon palma lalu pergi mengalu-alukan Isa sambil berseru, ‘Hosana!’ ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!’
JOH 12:14 Isa mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya. Maka berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci,
JOH 12:15 ‘Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!’
JOH 12:16 Sewaktu itu para pengikut Isa tidak memahami erti segala ini. Setelah Isa dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka sedar bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat di dalam Kitab Suci.
JOH 12:17 Orang yang mendengar Isa memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberi kesaksian tentang kejadian itu.
JOH 12:18 Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa Isa kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.
JOH 12:19 Orang Farisi berkata sesama sendiri, ‘Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.’
JOH 12:20 Di antara orang ramai yang pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.
JOH 12:21 Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, ‘Tuan, kami ingin bertemu dengan Isa.’
JOH 12:22 Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Isa.
JOH 12:23 Isa berkata kepada mereka, ‘Sudah sampai masanya Putera Insan dimuliakan.
JOH 12:24 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu: Jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
JOH 12:25 Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
JOH 12:26 Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.
JOH 12:27 ‘Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, “Bapa, jauhkanlah aku daripada saat penderitaan ini?” Namun, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.
JOH 12:28 Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!’ Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, ‘Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.’
JOH 12:29 Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, ‘Guruh.’ Tetapi ada pula yang berkata, ‘Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.’
JOH 12:30 Isa berkata kepada mereka, ‘Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.
JOH 12:31 Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.
JOH 12:32 Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.’
JOH 12:33 Kata-kata Isa ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
JOH 12:34 Orang ramai berkata kepada Isa, ‘Di dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa al-Masih yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Putera Insan akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Putera Insan itu?’
JOH 12:35 Isa menjawab, ‘Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
JOH 12:36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.’ Setelah berkata-kata demikian, Isa meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
JOH 12:37 Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.
JOH 12:38 Dengan demikian berlakulah nubuat Nabi Yasyaya: ‘Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?’
JOH 12:39 Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yasyaya lagi:
JOH 12:40 ‘Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan hati mereka tidak dapat mengerti, lalu mereka tidak berpaling kepada-Ku untuk Kusembuhkan.’
JOH 12:41 Yasyaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
JOH 12:42 Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Isa. Namun, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah.
JOH 12:43 Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
JOH 12:44 Isa berseru, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.
JOH 12:45 Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.
JOH 12:46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
JOH 12:47 ‘Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.
JOH 12:48 Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.
JOH 12:49 Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.
JOH 12:50 Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.’
JOH 13:1 Sebelum perayaan Paska, Isa tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Isa mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
JOH 13:2 Semasa Isa dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam, Iblis sudahpun menimbulkan niat di hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Isa.
JOH 13:3 Isa tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
JOH 13:4 Dengan demikian, Isa berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
JOH 13:5 Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu membasuh kaki para pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
JOH 13:6 Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, ‘Junjungan, wajarkah Junjungan membasuh kakiku?’
JOH 13:7 Isa menjawab, ‘Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.’
JOH 13:8 Petrus berkata kepada Isa, ‘Tidak! Junjungan sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!’ Namun, Isa menjawab, ‘Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.’
JOH 13:9 Simon Petrus berkata, ‘Junjungan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!’
JOH 13:10 Isa berkata kepadanya, ‘Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.’
JOH 13:11 (Isa tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, ‘Bukan semua yang bersih.’)
JOH 13:12 Setelah membasuh kaki para pengikut-Nya, Isa memakai semula jubah-Nya lalu bertelekan di meja dan berkata kepada mereka, ‘Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
JOH 13:13 Kamu memanggil-Ku Guru dan Junjungan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Junjungan.
JOH 13:14 Jika Aku sebagai Junjungan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
JOH 13:15 Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
JOH 13:16 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak mungkin lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
JOH 13:17 Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
JOH 13:18 ‘Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat di dalam Kitab Suci pasti terjadi, “Orang yang makan bersama-Ku akan berpaling menentang-Ku.”
JOH 13:19 ‘Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
JOH 13:20 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menyambut orang yang Kuutus, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut-Ku, menyambut Dia yang mengutus-Ku.’
JOH 13:21 Setelah melafazkan kata-kata itu, Isa berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus-terang, ‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, salah seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.’
JOH 13:22 Para pengikut Isa berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Isa.
JOH 13:23 Salah seorang pengikut yang dikasihi oleh Isa bertelekan di sisi-Nya.
JOH 13:24 Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, ‘Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.’
JOH 13:25 Pengikut itu melayah dekat kepada Isa lalu bertanya, ‘Siapakah dia, ya Junjungan?’
JOH 13:26 Isa menjawab, ‘Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.’ Isa pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.
JOH 13:27 Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Isa pun berkata kepadanya, ‘Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.’
JOH 13:28 Tidak seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Isa berkata demikian kepada Yudas.
JOH 13:29 Beberapa orang pengikut Isa menyangka Isa menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk perayaan Paska, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.
JOH 13:30 Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Isa lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.
JOH 13:31 Setelah Yudas pergi, Isa berkata, ‘Sekarang Putera Insan dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya.
JOH 13:32 Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia di dalam diri-Nya segera.
JOH 13:33 ‘Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”
JOH 13:34 ‘Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
JOH 13:35 Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-Ku.’
JOH 13:36 Simon Petrus bertanya kepada Isa, ‘Ke mana Junjungan hendak pergi?’ Isa menjawab, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.’
JOH 13:37 Petrus bertanya lagi, ‘Junjungan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Junjungan!’
JOH 13:38 Isa menjawab, ‘Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.
JOH 14:1 ‘Janganlah kamu bimbang. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku.
JOH 14:2 Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu.
JOH 14:3 Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada.
JOH 14:4 Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.’
JOH 14:5 Tomas berkata kepada Isa, ‘Junjungan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?’
JOH 14:6 Isa menjawab, ‘Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tidak seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku.
JOH 14:7 Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudahpun melihat-Nya.’
JOH 14:8 Filipus berkata kepada Isa, ‘Junjungan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.’
JOH 14:9 Isa menjawab, ‘Sekian lama aku bersama kamu semua, belum lagi kau kenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, “Tunjukkanlah Bapa kepada kami?”
JOH 14:10 Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu.
JOH 14:11 Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan.
JOH 14:12 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa.
JOH 14:13 Apa sahaja yang kamu minta dengan nama-Ku, Aku akan melakukannya supaya kemuliaan Bapa ternyata melalui Putera-Nya.
JOH 14:14 Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku dengan nama-Ku akan Kulakukan.
JOH 14:15 ‘Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku.
JOH 14:16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya.
JOH 14:17 Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap dalammu dan akan ada dalam dirimu.
JOH 14:18 Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu.
JOH 14:19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab aku hidup, kamu juga akan hidup.
JOH 14:20 Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu.
JOH 14:21 Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.’
JOH 14:22 Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Isa, ‘Junjungan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?’
JOH 14:23 Isa menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya.
JOH 14:24 Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, pada hal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku.
JOH 14:25 ‘Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu.
JOH 14:26 Namun, Penolong, iaitu Roh Suci yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu.
JOH 14:27 Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Usah risau dan janganlah takut.
JOH 14:28 ‘Kamu telah mendengar Aku berkata, “Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.” Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku.
JOH 14:29 Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku.
JOH 14:30 Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa ke atas diri-Ku.
JOH 14:31 Namun, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. ‘Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.
JOH 15:1 ‘Aku ini pokok anggur yang benar, dan Bapa-Ku peladang anggur.
JOH 15:2 Dia mengerat setiap ranting-Ku yang tidak berbuah, dan mencantas setiap ranting-Ku yang berbuah supaya bersih dan berbuah lebih lebat lagi.
JOH 15:3 Kamu sudah dibersihkan dengan ajaran yang Kusampaikan kepadamu.
JOH 15:4 Tetaplah dalam-Ku seperti Aku dalammu. Ranting tidak dapat berbuah jika terpisah dari pokok. Demikian jugalah kamu: Kamu dapat berbuah hanya jika kamu tetap dalam-Ku.
JOH 15:5 ‘Aku pokok anggur dan kamu ranting-rantingnya. Jika kamu tetap dalam-Ku dan Aku dalam-Mu, kamu akan berbuah lebat. Tanpa-Ku, kamu tidak dapat menghasilkan apa-apa.
JOH 15:6 Sesiapa yang tidak tetap dalam-Ku adalah seperti ranting yang dikerat lalu dibiarkan kering, kemudian dikumpulkan, dan dibuang ke dalam api lalu dibakar.
JOH 15:7 Sekiranya kamu tetap dalam-Ku, dan kata-kata-Ku tetap dalammu, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki, permohonan itu akan dikabulkan.
JOH 15:8 Kemuliaan Bapa ternyata apabila kamu berbuah lebat. Itulah tanda kamu benar-benar pengikut-Ku.
JOH 15:9 ‘Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku.
JOH 15:10 Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.
JOH 15:11 Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu.
JOH 15:12 Inilah perintah-Ku: Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu.
JOH 15:13 Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.
JOH 15:14 Kamu sahabat-sahabat-Ku jika kamu melaksanakan perintah yang telah Kuberikan.
JOH 15:15 Aku tidak lagi memanggilmu hamba, kerana hamba tidak tahu apa yang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggilmu sahabat-sahabat-Ku, kerana segala perkara yang Kudengar daripada Bapa-Ku telah Kuberitahu kepadamu.
JOH 15:16 Bukan kamu yang memilih-Ku tetapi Aku yang memilihmu dan menyuruhmu berbuah lebat, dan buahmu itu haruslah kekal, maka Bapa akan mengabulkan apa sahaja permohonanmu dalam nama-Ku.
JOH 15:17 Inilah perintah-Ku kepadamu: Kasihilah sesama sendiri.
JOH 15:18 ‘Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu.
JOH 15:19 Andainya kamu milik dunia, dunia akan mengasihimu seperti anak-anaknya sendiri. Tetapi aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu.
JOH 15:20 Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, “Seorang hamba tidaklah lebih besar daripada tuannya.” Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga.
JOH 15:21 Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku.
JOH 15:22 Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka.
JOH 15:23 Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga.
JOH 15:24 Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku.
JOH 15:25 Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Taurat mereka: “Mereka membenci-Ku tanpa alasan.”
JOH 15:26 ‘Apabila Penolong, Roh Kebenaran daripada Bapa, yang Kuutus kepadamu datang, Dia akan bersaksi tentang-Ku.
JOH 15:27 Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi.
JOH 16:1 ‘Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat.
JOH 16:2 Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah. Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah.
JOH 16:3 Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal Bapa mahupun Aku.
JOH 16:4 Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudahpun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.
JOH 16:5 ‘Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tidak seorang pun antaramu bertanya, “Ke mana Aku hendak pergi?”
JOH 16:6 Sekarang kamu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu.
JOH 16:7 Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu.
JOH 16:8 Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, kebenaran, dan penghakiman;
JOH 16:9 tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku;
JOH 16:10 tentang kebenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi;
JOH 16:11 dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi.
JOH 16:12 ‘Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya.
JOH 16:13 Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran, datang Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi.
JOH 16:14 Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.
JOH 16:15 Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.’
JOH 16:16 Isa berkata, ‘Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.’
JOH 16:17 Sebilangan pengikut Isa tertanya-tanya sesama sendiri, ‘Apakah maksud kata-Nya, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku”? Dia juga berkata, “Aku akan pergi kepada Bapa.” ’
JOH 16:18 Mereka berkata, ‘Apakah maksud “tidak lama lagi”? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!’
JOH 16:19 Isa tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, ‘Tadi Aku berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.” Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu?
JOH 16:20 Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan.
JOH 16:21 Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia.
JOH 16:22 Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapapun.
JOH 16:23 Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu.
JOH 16:24 Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.
JOH 16:25 ‘Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus-terang kepadamu tentang Bapa.
JOH 16:26 Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu.
JOH 16:27 Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa.
JOH 16:28 Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.’
JOH 16:29 Para pengikut-Nya berkata, ‘Sekarang barulah Junjungan bercakap terus-terang, tanpa menggunakan kiasan.
JOH 16:30 Sekarang kami faham bahawa Junjungan mengetahui segala-galanya dan sesiapapun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu kami percaya bahawa Junjungan datang daripada Allah.’
JOH 16:31 Isa berkata kepada mereka, ‘Percayakah kamu sekarang?
JOH 16:32 Saatnya akan datang, malah sudahpun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.
JOH 16:33 ‘Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi pancaroba; tetapi tabahkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.’
JOH 17:1 Setelah itu, Isa menengadah ke langit lalu berkata, ‘Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Putera-Mu, supaya Putera-Mu dapat memuliakan Bapa.
JOH 17:2 Engkau telah memberi Putera-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya.
JOH 17:3 Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan Yang Benar, dan mengenal Isa al-Masih yang Kauutus.
JOH 17:4 Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku.
JOH 17:5 Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersamamu sebelum dunia ini diwujudkan.
JOH 17:6 ‘Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu.
JOH 17:7 Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu.
JOH 17:8 Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku.
JOH 17:9 Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu.
JOH 17:10 Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka.
JOH 17:11 Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu.
JOH 17:12 Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa, kecuali anak kebinasaan itu supaya berlaku apa yang tersurat di dalam Kitab Suci.
JOH 17:13 ‘Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya.
JOH 17:14 Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan daripada dunia ini.
JOH 17:15 Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada Si Durjana.
JOH 17:16 Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka.
JOH 17:17 Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran.
JOH 17:18 Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia.
JOH 17:19 Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran.
JOH 17:20 ‘Aku bukan berdoa untuk mereka saja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka.
JOH 17:21 Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.
JOH 17:22 Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu.
JOH 17:23 Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku.
JOH 17:24 ‘Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi.
JOH 17:25 ‘Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.
JOH 17:26 Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh di hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.’
JOH 18:1 Setelah berdoa demikian, Isa pergi diiringi para pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Isa dan para pengikut-Nya masuk ke taman itu.
JOH 18:2 Yudas, yang mengkhianati Isa, mengetahui tempat itu juga kerana Isa kerap ke situ dengan para pengikut-Nya.
JOH 18:3 Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh.
JOH 18:4 Isa mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, ‘Siapakah yang kamu cari?’
JOH 18:5 Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’ Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia.’ Yudas, yang mengkhianati Isa, berdiri bersama mereka di situ.
JOH 18:6 Apabila Isa berkata kepada mereka, ‘Akulah Dia,’ mereka semua undur lalu rebah ke tanah.
JOH 18:7 Isa bertanya lagi kepada mereka, ‘Siapakah yang kamu cari?’ Mereka menjawab, ‘Isa orang Nasaret.’
JOH 18:8 Isa berkata, ‘Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.’
JOH 18:9 (Dengan demikian berlakulah apa yang pernah dikatakan-Nya, ‘Tidak seorang pun yang Kauserahkan pada-Ku sesat.’)
JOH 18:10 Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar itu sehingga putus. Nama hamba itu Malkus.
JOH 18:11 Isa berkata kepada Petrus, ‘Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum dari cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?’
JOH 18:12 Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Isa.
JOH 18:13 Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, Imam Besar pada tahun itu.
JOH 18:14 Kayafaslah yang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.
JOH 18:15 Simon Petrus dan seorang pengikut lain ikut serta apabila Isa dibawa pergi. Oleh sebab pengikut lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Isa ke halaman rumah imam besar.
JOH 18:16 Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, pengikut lain itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk.
JOH 18:17 Kemudian hamba perempuan itu berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’ Petrus menjawab, ‘Bukan.’
JOH 18:18 Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri disitu dan berdiang bersama mereka.
JOH 18:19 Imam besar menyoal Isa tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya.
JOH 18:20 Isa menjawab, ‘Aku sentiasa bercakap terang-terangan di hadapan orang ramai. Aku sering mengajar di saumaah dan di rumah ibadat, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia.
JOH 18:21 Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.’
JOH 18:22 Seorang pegawai di situ menampar Isa sambil berkata, ‘Begitukah kamu bercakap kepada seorang imam besar?’
JOH 18:23 Isa berkata kepadanya, ‘Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?’
JOH 18:24 Selepas itu Hanas menyuruh orang membawa Isa yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.
JOH 18:25 Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, ‘Bukankah kamu seorang daripada pengikut orang itu?’ Petrus menjawab, ‘Bukan!’
JOH 18:26 Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, ‘Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?’
JOH 18:27 Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu ayam berkokok.
JOH 18:28 Kemudian mereka membawa Isa dari rumah Kayafas ke istana pemerintah Rom. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paska.
JOH 18:29 Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, ‘Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?’
JOH 18:30 Mereka menjawab, ‘Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.’
JOH 18:31 Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, ‘Ambillah Dia, adili mengikut undang-undangmu.’ Orang Yahudi menjawab, ‘Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.’
JOH 18:32 Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Isa tentang cara kematian-Nya.
JOH 18:33 Selepas itu Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Isa lalu bertanya, ‘Adakah kamu Raja orang Yahudi?’
JOH 18:34 Isa menjawab, ‘Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?’
JOH 18:35 Pilatus menjawab, ‘Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?’
JOH 18:36 Isa menjawab, ‘Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para pengikut-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.’
JOH 18:37 Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, ‘Jadi, adakah kamu seorang raja?’ Isa menjawab, ‘Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberi kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.’
JOH 18:38 Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Apakah itu kebenaran?’ Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, ‘Aku mendapatinya tidak bersalah sama sekali.
JOH 18:39 Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada perayaan Paska. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?’
JOH 18:40 Mereka semua berteriak lagi, ‘Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.’ Barabas itu seorang perompak.
JOH 19:1 Setelah itu, Pilatus pun membawa Isa dan mengarahkan supaya Isa disesah.
JOH 19:2 Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Isa. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya.
JOH 19:3 Mereka datang kepada-Nya dan berkata, ‘Daulat Raja orang Yahudi!’ lalu menampar-Nya.
JOH 19:4 Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, ‘Lihat, aku bawakan Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.’
JOH 19:5 Isa pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, ‘Lihatlah orang ini!’
JOH 19:6 Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kamu ambil dan saliblah Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.’
JOH 19:7 Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami ada undang-undang, dan menurut undang-undang itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah.’
JOH 19:8 Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut.
JOH 19:9 Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, ‘Dari manakah Kamu ini?’ Tetapi Isa tidak menjawab.
JOH 19:10 Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?’
JOH 19:11 Isa menjawab, ‘Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.’
JOH 19:12 Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’
JOH 19:13 Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha.
JOH 19:14 Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’
JOH 19:15 Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’ Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’
JOH 19:16 Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib.
JOH 19:17 Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
JOH 19:18 Di situ mereka menyalib-Nya, bersama dua orang lain di kiri kanan-Nya.
JOH 19:19 Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: ISA ORANG NASARET, RAJA ORANG YAHUDI.
JOH 19:20 Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.
JOH 19:21 Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, ‘Janganlah tulis: “Raja Orang Yahudi.” Tetapi, tulislah: “Dia berkata Dia raja orang Yahudi.” ’
JOH 19:22 Pilatus menjawab, ‘Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.’
JOH 19:23 Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.
JOH 19:24 Oleh itu mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.’ Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.’ Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.
JOH 19:25 Di tepi salib Isa berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maryam isteri Klopas, dan Maryam Magdalena.
JOH 19:26 Apabila Isa melihat ibu-Nya dan pengikut-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, ‘Lihat, itulah anakmu.’
JOH 19:27 Kepada pengikut-Nya Dia berkata, ‘Lihatlah ibumu.’ Sejak itu pengikut tersebut mengambil ibu Isa sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.
JOH 19:28 Selepas itu, Isa yang mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, lalu berkata, ‘Aku dahaga.’
JOH 19:29 Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah sepan dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas sebuah batang zufa dan mencecahkannya ke mulut Isa.
JOH 19:30 Setelah Isa menerima air anggur masam itu, Dia berkata, ‘Sudah selesai’. Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan nyawa-Nya.
JOH 19:31 Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.
JOH 19:32 Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Isa itu, seorang demi seorang.
JOH 19:33 Tetapi apabila mereka sampai kepada Isa dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya.
JOH 19:34 Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.
JOH 19:35 Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya.
JOH 19:36 Semua ini dilakukan supaya berlakulah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Tidak satu pun tulang-Nya akan dipatahkan’.
JOH 19:37 Juga tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.’
JOH 19:38 Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Isa. Yusuf ialah seorang pengikut Isa secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. Dengan izin Pilatus, maka dia datang dan mengambil jenazah Isa.
JOH 19:39 Nikodemus, yang pernah mendapatkan Isa pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira seratus paun.
JOH 19:40 Mereka mengambil jenazah Isa lalu mengkafankannya dengan kain kafan dan ramuan mengikut adat pengebumian orang Yahudi.
JOH 19:41 Di sebuah taman di tempat Isa disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan.
JOH 19:42 Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Isa ke dalamnya.
JOH 20:1 Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maryam Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu.
JOH 20:2 Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Isa lalu berkata, ‘Jenazah Junjungan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.’
JOH 20:3 Petrus dan pengikut lain itu pun pergi ke makam.
JOH 20:4 Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu.
JOH 20:5 Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu.
JOH 20:6 Apabila Simon Petrus yang menyusul pengikut lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ.
JOH 20:7 Dia juga melihat kain yang diikatkan pada kepala Isa, terlipat berasingan.
JOH 20:8 Kemudian, pengikut lain yang sampai dahulu itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya.
JOH 20:9 Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat di dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian.
JOH 20:10 Selepas itu, pengikut-pengikut Isa itu pun pulang ke rumah mereka.
JOH 20:11 Tetapi Maryam berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam.
JOH 20:12 Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Isa dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.
JOH 20:13 Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maryam, ‘Puan, mengapa menangis?’ Maryam menyahut, ‘Jenazah Junjunganku telah diambil, entah ke mana dialihkan!’
JOH 20:14 Kemudian Maryam menoleh lalu melihat Isa berdiri di situ, tetapi Maryam tidak mengenal-Nya.
JOH 20:15 Isa berkata kepada Maryam, ‘Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?’ Pada sangkaan Maryam, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maryam berkata, ‘Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Isa, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.’
JOH 20:16 Isa berkata kepadanya, ‘Maryam!’ Maryam berpaling kepada Isa lalu berseru dalam bahasa Ibrani, ‘Rabboni!’ (ertinya ‘Guru’).
JOH 20:17 Isa berkata kepadanya, ‘Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah Tuhan-Ku dan Allah Tuhanmu.’
JOH 20:18 Maryam pun pergi mendapatkan para pengikut Isa lalu memberitahu bahawa Dia telah melihat Junjungan dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.
JOH 20:19 Pada hari minggu itu, setelah petang, para pengikut Isa berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Sejahtera ke atas kamu!’
JOH 20:20 Selepas itu Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka mereka pun bersukacita melihat Junjungan.
JOH 20:21 Isa berkata lagi kepada mereka, ‘Salam sejahtera kepadamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.’
JOH 20:22 Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, ‘Terimalah Roh Suci.
JOH 20:23 Sesiapa yang kamu ampunkan dosanya, dosanya diampunkan. Sesiapa yang tidak kamu ampunkan dosanya, dosanya tidak akan diampunkan.’
JOH 20:24 Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada pengikut Isa yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Isa datang.
JOH 20:25 Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, ‘Kami telah melihat Junjungan!’ Tetapi Tomas berkata, ‘Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.’
JOH 20:26 Seminggu selepas itu, para pengikut Isa termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Isa muncul di kalangan mereka lalu berkata, ‘Salam sejahtera kepadamu!’
JOH 20:27 Setelah itu Dia berkata kepada Tomas, ‘Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.’
JOH 20:28 Tomas pun berkata kepada Isa, ‘Ya Junjunganku! Ya Tuhanku!’
JOH 20:29 Isa berkata kepadanya, ‘Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!’
JOH 20:30 Isa telah melakukan banyak lagi mukjizat di hadapan para pengikut-Nya, tetapi tidak dituliskan di dalam kitab ini.
JOH 20:31 Tetapi segala yang telah dituliskan di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Isa adalah al-Masih, Putera Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya.
JOH 21:1 Setelah itu, Isa menampakkan diri sekali lagi kepada para pengikut-Nya, di Tasik Tiberias. Demikianlah kejadian itu berlaku:
JOH 21:2 Simon Petrus, Tomas yang disebut Didimus, Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Isa yang lain, sedang berhimpun di situ.
JOH 21:3 Simon Petrus berkata kepada mereka, ‘Aku hendak pergi menangkap ikan.’ Mereka berkata kepadanya, ‘Kami hendak pergi bersama-sama.’ Mereka pun pergi menaiki perahu. Tetapi semalaman tiada seekor ikan pun dapat ditangkap oleh mereka.
JOH 21:4 Ketika matahari terbit, Isa berdiri di pantai, tetapi mereka tidak mengenal-Nya.
JOH 21:5 Isa bertanya kepada mereka, ‘Anak-anak, kamu ada ikan?’ ‘Tidak, kami tidak mendapat seekor ikan pun,’ jawab mereka.
JOH 21:6 Isa berkata kepada mereka ‘Tebarkanlah jalamu di sebelah kanan perahu, kamu akan mendapat ikan.’ Mereka pun berbuat demikian, maka begitu sarat jala mereka dengan ikan sehingga tidak terdaya mereka menariknya kembali.
JOH 21:7 Oleh itu pengikut yang dikasihi oleh Isa berkata kepada Petrus, ‘Itu Junjungan!’ Setelah mendengar bahawa Junjungan yang berdiri di situ, Petrus terus memakai baju luarnya (yang telah ditanggalkannya untuk bekerja) lalu terjun ke dalam air.
JOH 21:8 Para pengikut lain menuju ke pantai dengan perahu sambil menarik jala yang sarat dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, hanya kira-kira seratus meter (dua ratus ‘cubits’).
JOH 21:9 Setelah sampai di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api, dan roti pun ada.
JOH 21:10 Isa berkata kepada mereka, ‘Bawalah sedikit ikan yang baru kamu tangkap itu.’
JOH 21:11 Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Walaupun sarat dengan ikan yang besar-besar, 153 ekor semuanya, namun jala itu tidak koyak.
JOH 21:12 Isa berkata kepada mereka, ‘Marilah bersarapan.’ Tiada seorang pun yang berani bertanya, ‘Siapakah Tuan?’ kerana mereka tahu bahawa Dia ialah Junjungan.
JOH 21:13 Isa pun merapati mereka, mengambil roti lalu memberikannya kepada mereka. Begitu juga dilakukan-Nya dengan ikan.
JOH 21:14 Itulah kali ketiga Isa menampakkan diri kepada para pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.
JOH 21:15 Selepas sarapan bersama-sama, Isa bertanya kepada Simon Petrus, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku lebih daripada mereka ini?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah anak-anak domba-Ku makan.’
JOH 21:16 Bagi kali kedua Isa bertanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu benar-benar mengasihi-Ku?’ Petrus menjawab, ‘Ya Junjungan, Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu.’ Isa berkata kepadanya, ‘Peliharalah domba-domba-Ku.’
JOH 21:17 Bagi kali ketiga Isa bertanya kepadanya, ‘Simon anak Yahya, adakah kamu mengasihi-Ku?’ Petrus sedih kerana Isa bertanya kepadanya bagi kali ketiga, ‘Adakah kamu mengasihi-Ku?’ Lalu dia menjawab, ‘Junjungan, Engkau mengetahui segala-galanya. Engkau tahu bahawa aku mengasihi-Mu!’ Isa berkata kepadanya, ‘Berilah domba-domba-Ku makan.’
JOH 21:18 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.’
JOH 21:19 Kata-kata Isa ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Isa pun berkata kepada Petrus, ‘Ikutlah Aku!’
JOH 21:20 Petrus menoleh lalu melihat pengikut yang dikasihi oleh Isa sedang mengikut mereka. Pengikut itulah yang duduk dekat dengan Isa ketika makan malam dahulu dan bertanya kepada-Nya, ‘Junjungan, siapakah yang akan mengkhianati-Mu?’
JOH 21:21 Ketika melihatnya, Petrus bertanya kepada Isa, ‘Junjungan, bagaimana dengan orang ini?’
JOH 21:22 Isa menjawab, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu? Kamu ikutlah Aku.’
JOH 21:23 Oleh itu tersebarlah di kalangan pengikut Isa bahawa pengikut tersebut tidak akan mati. Tetapi Isa tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati. Isa berkata, ‘Sekiranya Aku mahu dia tetap ada hingga Aku datang kembali, apa kena-mengenanya denganmu?’
JOH 21:24 Pengikut itulah yang memberikan kesaksian tentang hal-hal ini. Dialah yang menuliskan semua ini dan kita tahu kesaksiannya itu benar.
JOH 21:25 Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Isa. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu.
ACT 1:1 Kepada Teofilus, dahulu di dalam kitabku yang pertama aku telah menceritakan segala yang dilakukan dan diajarkan oleh Isa,
ACT 1:2 dari awal pelayanan-Nya hingga ke hari Dia diangkat ke syurga. Sebelumnya, Dia telah memberikan perintah melalui Roh Suci kepada para rasul yang telah dipilih-Nya.
ACT 1:3 Dia telah menampakkan diri-Nya dalam keadaan hidup kepada mereka selepas kesengsaraan-Nya dengan banyak keterangan sahih. Mereka melihat-Nya selama empat puluh hari dan dalam berbagai-bagai cara dan Dia bercakap tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kerajaan Allah.
ACT 1:4 Pada suatu hari ketika Isa bersama mereka, Dia berpesan supaya mereka jangan meninggalkan Baitulmaqdis. Kata-Nya, ‘Haruslah kamu menantikan apa yang dijanjikan Bapa, dan yang telah kamu dengar daripada-Ku;
ACT 1:5 kerana Yahya telah mengimadkan orang dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci tidak berapa lama lagi.’
ACT 1:6 Oleh itu, ketika mereka berhimpun, mereka pun bertanya kepada Isa, ‘Ya Junjungan, pada masa inikah Junjungan mengembalikan kerajaan ini kepada bangsa Israel?’
ACT 1:7 Dia berkata kepada mereka, ‘Tidaklah diberi bagi kamu mengetahui waktu atau saat yang sudah ditetapkan oleh Bapa dalam kekuasaan-Nya sendiri.
ACT 1:8 Tetapi kamu akan menerima kuasa apabila Roh Suci datang ke atasmu; dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Baitulmaqdis, di seluruh Yudea dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi.’
ACT 1:9 Setelah Dia berkata demikian, di hadapan mata mereka Dia diangkat lalu disambut awan dan lenyap daripada pandangan mereka.
ACT 1:10 Sedang mereka merenung ke langit ketika Dia diangkat, tiba-tiba dua orang yang berpakaian putih berdiri dekat mereka.
ACT 1:11 Orang itu berkata, ‘Wahai orang Galilea, mengapa kamu berdiri memandang ke langit? Sebagaimana Isa telah diangkat ke syurga dari kalanganmu, begitu jugalah Dia datang kelak.’
ACT 1:12 Setelah itu para rasul pun kembali ke Baitulmaqdis dari bukit bernama Zaitun yang dekat dengan kota itu, jaraknya sehari Sabat perjalanan.
ACT 1:13 Setibanya mereka di Baitulmaqdis, mereka naik ke bilik atas tempat mereka menumpang. Mereka ialah Petrus, Yahya, Yakobus, Andreas; Filipus dan Tomas, Bartolomeus, Matius, Yakobus anak Alfeus, dan Simon, orang Patriot; serta Yudas anak Yakobus.
ACT 1:14 Mereka semuanya dengan sehati terus-menerus berdoa, bersama orang perempuan dan Maryam ibu Isa, serta saudara-saudara-Nya.
ACT 1:15 Pada masa itu Petrus berdiri di kalangan para pengikut Isa (kesemuanya yang berhimpun kira-kira seratus dua puluh orang) lalu berkata,
ACT 1:16 ‘Saudara-saudara, pastilah berlaku firman yang dahulu disampaikan oleh Roh Suci melalui lidah Daud tentang Yudas, yang menjadi pandu kepada orang yang menangkap Isa.
ACT 1:17 Dia telah dianggap sebahagian daripada kita dan diberi jawatan dalam pekerjaan kita ini.’
ACT 1:18 (Dia memperoleh sekeping tanah dengan upah durjananya; dia jatuh terjerumus, bahagian pertengahan tubuhnya pecah dan segala isi perutnya terburai.
ACT 1:19 Seluruh penduduk Baitulmaqdis mendapat tahu hal itu lalu menamakan tanah itu Hakal Dama dalam bahasa mereka, iaitu Tanah Darah.)
ACT 1:20 ‘Sudah tersurat dalam kitab Zabur, ‘ “Biarlah tempat kediamannya menjadi sepi; Dan jangan sesiapapun tinggal di situ,” dan, ‘ “Biarlah orang lain mengambil jawatannya.”
ACT 1:21 Oleh itu, di antara orang yang telah berserta dengan kita sepanjang masa Junjungan Isa, keluar masuk bersama kita,
ACT 1:22 dari masa Isa diimadkan oleh Yahya sampailah ke hari Dia diangkat naik dari kalangan kita, seorang daripada mereka haruslah menjadi saksi di samping kita tentang kebangkitan-Nya.’
ACT 1:23 Mereka mencadangkan dua orang: Yusuf yang juga dipanggil Barsabas (juga dikenali sebagai Yustus), dan Matias.
ACT 1:24 Mereka pun berdoa, ‘Ya Tuhan yang mengetahui hati sekalian manusia, tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini Engkau pilih
ACT 1:25 untuk memegang jawatan ini serta menjalankan kerja kerasulan bagi menggantikan Yudas. Ini kerana Yudas telah meninggalkan jawatan dan pekerjaan ini untuk pergi ke tempat yang wajar baginya.’
ACT 1:26 Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.
ACT 2:1 Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat.
ACT 2:2 Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk.
ACT 2:3 Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka.
ACT 2:4 Mereka semuanya dipenuhi Roh Suci lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberi oleh Roh itu.
ACT 2:5 Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di dunia tinggal di Baitulmaqdis.
ACT 2:6 Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya.
ACT 2:7 Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, ‘Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea?
ACT 2:8 Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri?
ACT 2:9 Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil.
ACT 2:10 Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Rom,
ACT 2:11 baik berbangsa Yahudi mahupun mualaf, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.’
ACT 2:12 Oleh itu mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, ‘Apakah ertinya semua ini?’
ACT 2:13 Ada pula yang mengejek, ‘Semua orang ini mabuk air anggur manis.’
ACT 2:14 Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, ‘Saudara-saudara orang Yahudi dan semua penduduk di Baitulmaqdis, ketahuilah hal ini serta dengarlah baik-baik kata-kataku.
ACT 2:15 Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru pukul sembilan pagi sekarang.
ACT 2:16 Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yoel:
ACT 2:17 ‘ “Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, Orang mudamu akan melihat penglihatan, Orang tuamu akan bermimpi.
ACT 2:18 Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat.
ACT 2:19 Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan alamat di bumi, darah dan api serta kepulan-kepulan asap.
ACT 2:20 Matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi seperti darah, sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan syahdu.
ACT 2:21 Dan berlakulah kelak, bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”
ACT 2:22 ‘Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Isa orang Nasaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan alamat yang dilakukan Allah melalui-Nya di kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu.
ACT 2:23 Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana.
ACT 2:24 Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya.
ACT 2:25 Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: ‘ “Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah.
ACT 2:26 Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; dan jasadku juga akan bersandar pada harapan.
ACT 2:27 Kerana Kau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, serta Kau tidak akan membiarkan jasad Orang Suci-Mu reput.
ACT 2:28 Kau telah memberitahuku jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.”
ACT 2:29 ‘Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia telah wafat dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini.
ACT 2:30 Oleh sebab dia seorang nabi dan sedar bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mengangkat daripada benih keturunan jasadnya dan mendudukkannya di atas takhta kerajaan-Nya.
ACT 2:31 Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan al-Masih, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput.
ACT 2:32 Allah telah membangkitkan Isa ini dan kami semua menyaksikannya.
ACT 2:33 Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa dia telah menerima Roh Suci yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang.
ACT 2:34 Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, ‘ “Tuhan berfirman kepada Junjunganku: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku,
ACT 2:35 sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.’”
ACT 2:36 ‘Oleh itu, hendaklah seluruh orang Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Isa, yang kamu salib itu, Junjungan dan al-Masih.’
ACT 2:37 Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, ‘Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?’
ACT 2:38 Petrus pun berkata kepada mereka, ‘Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu diimadkan atas nama Isa al-Masih supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Suci daripada Allah;
ACT 2:39 kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Allah Tuhan kita.’
ACT 2:40 Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, ‘Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.’
ACT 2:41 Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati diimadkan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang.
ACT 2:42 Mereka berpegang teguh kepada pengajaran para rasul, dan kepada perpaduan, pembahagian roti dan doa.
ACT 2:43 Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta alamat dilakukan melalui para rasul itu.
ACT 2:44 Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka,
ACT 2:45 serta menjual semua harta benda mereka lalu membahagikan antara mereka menurut keperluan seseorang.
ACT 2:46 Demikianlah setiap hari mereka di rumah ibadat dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati,
ACT 2:47 sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.
ACT 3:1 Petrus dan Yahya naik ke rumah ibadat bersama-sama pada waktu sembahyang, iaitu pukul tiga petang.
ACT 3:2 Ada seorang lumpuh sejak dari rahim ibunya. Setiap hari dia diangkat orang dan diletakkan di pintu rumah ibadat itu yang dinamakan Pintu Indah, untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke rumah ibadat itu.
ACT 3:3 Apabila dia melihat Petrus dan Yahya sedang hendak masuk ke rumah ibadat itu, dia pun meminta sedekah.
ACT 3:4 Petrus merenungnya, bersama Yahya, lalu berkata, ‘Pandanglah kami.’
ACT 3:5 Orang itu pun menatap mereka, dengan harapan mendapat sesuatu daripada mereka.
ACT 3:6 Kemudian Petrus berkata, ‘Emas perak tiada padaku, tetapi apa yang ada padaku kuberikan kepadamu: Dalam nama Isa al-Masih, orang Nasaret, bangkit dan berjalanlah.’
ACT 3:7 Petrus memegang tangan kanannya dan menolongnya berdiri, lalu serta-merta tulang kaki dan buku lalinya mendapat kekuatan.
ACT 3:8 Orang itu melompat bangun, berdiri lalu berjalan. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat itu mengikut Petrus dan Yahya sambil berjalan, melompat dan memuji Allah.
ACT 3:9 Semua orang melihatnya berjalan sambil memuji Allah.
ACT 3:10 Ketika itu mereka pun mengetahui dia itu orang yang duduk meminta sedekah di Pintu Indah rumah ibadat itu. Mereka pun dipenuhi rasa hairan dan ajaib akan apa yang telah berlaku kepadanya.
ACT 3:11 Sementara orang lumpuh yang telah disembuhkan itu berpegang kepada Petrus dan Yahya, semua orang yang tersangat hairan itu berlari mengerumuni mereka di serambi yang dinamakan Serambi Sulaiman.
ACT 3:12 Apabila Petrus melihat keadaan ini, dia terus berkata kepada orang yang berhimpun itu, ‘Saudara-saudara orang Israel, mengapa kamu takjub melihat kejadian ini? Mengapa pula kamu merenung kami, seolah-olah dengan kuasa atau kewarakan kami sendiri kami telah membolehkan orang ini berjalan?
ACT 3:13 Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub, Tuhan nenek moyang kita, telah memuliakan Hamba-Nya Isa yang telah kamu serahkan dan sangkal di hadapan Pilatus walaupun dia membuat keputusan hendak melepaskan-Nya.
ACT 3:14 Kamu menyangkal Yang Suci dan Benar itu, serta meminta seorang pembunuh diserahkan kepadamu,
ACT 3:15 lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya.
ACT 3:16 Iman pada nama Isa telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian.
ACT 3:17 ‘Namun, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu.
ACT 3:18 Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa al-Masih akan menderita, telah ditunaikan-Nya.
ACT 3:19 Oleh itu bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan.
ACT 3:20 Dan juga supaya Dia menghantar Isa al-Masih yang telah ditentukan-Nya menjadi al-Masih bagimu.
ACT 3:21 Al-Masih mesti tetap di syurga hingga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulu kala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci.
ACT 3:22 Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, “Allah Tuhanmu akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku dari kalangan saudara-saudaramu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal.
ACT 3:23 Setiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali dari kalangan kaumnya.”
ACT 3:24 ‘Ya, semua nabi, dari Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini.
ACT 3:25 Kamu adalah anak cucu nabi-nabi itu, dan waris perjanjian yang dibuat Allah dengan nenek moyang kita melalui firman-Nya kepada Ibrahim, “Melalui benihmu semua kaum di dunia akan diberkati.”
ACT 3:26 Pertama sekali kepada kamu, Allah telah membangkitkan Hamba-Nya Isa dan menghantar-Nya untuk memberkatimu dengan memalingkan kamu sekalian daripada kejahatanmu.’
ACT 4:1 Sementara Petrus dan Yahya itu bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal rumah ibadat serta orang Saduki datang kepada mereka.
ACT 4:2 Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Isa.
ACT 4:3 Mereka menangkap Petrus dan Yahya lalu memasukkan mereka ke dalam penjara sampai esok kerana hari sudah malam.
ACT 4:4 Namun demikian, ramai orang yang telah mendengar apa yang diajarkan itu percaya, dan jumlah laki-laki telah bertambah kira-kira lima ribu.
ACT 4:5 Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan guru-guru Taurat berhimpun di Baitulmaqdis,
ACT 4:6 dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yahya, Iskandar dan seluruh keluarga imam besar.
ACT 4:7 Mereka membawa Petrus dan Yahya untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, ‘Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?’
ACT 4:8 Petrus yang dipenuhi Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Para pemimpin masyarakat Israel!
ACT 4:9 Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan,
ACT 4:10 maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Isa al-Masih dari Nasaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna.
ACT 4:11 Inilah ‘ “batu yang dibuang oleh kamu sebagai pembina, kini telah menjadi batu penjuru.”
ACT 4:12 Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan di kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.’
ACT 4:13 Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yahya sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Isa.
ACT 4:14 Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi.
ACT 4:15 Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri,
ACT 4:16 ‘Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya sudah nyata kepada semua orang Baitulmaqdis bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya.
ACT 4:17 Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas di kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapapun dengan menggunakan nama itu.’
ACT 4:18 Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa.
ACT 4:19 Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, ‘Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah,
ACT 4:20 kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.’
ACT 4:21 Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu;
ACT 4:22 padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
ACT 4:23 Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakannya lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh imam-imam besar dan para pemimpin masyarakat itu kepada mereka.
ACT 4:24 Apabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya,
ACT 4:25 yang melalui lidah hamba-Mu Daud telah berfirman: ‘ “Mengapa bangsa-bangsa asing naik berang dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
ACT 4:26 Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian, dan para pemimpin bermuafakat untuk melawan Tuhan dan melawan Dia yang diurapi-Nya.”
ACT 4:27 Sesungguhnya Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun dalam negeri ini melawan Hamba Suci-Mu Isa yang telah Kauurapi,
ACT 4:28 untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu.
ACT 4:29 Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini, sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu.
ACT 4:30 Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan, dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Hamba Suci-Mu Isa.’
ACT 4:31 Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Suci dan mengucap firman Allah dengan berani.
ACT 4:32 Semua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya.
ACT 4:33 Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Junjungan Isa. Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian.
ACT 4:34 Tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan; kerana semua yang memiliki harta atau rumah telah menjualnya, membawa wang jualan itu
ACT 4:35 dan meletakkannya di kaki para rasul; lalu dibahagikanlah di antara mereka menurut keperluan masing-masing.
ACT 4:36 Yusuf yang digelar para rasul Barnabas (yang diterjemahkan sebagai Anak Pendorong), orang Lewi dari Kuprus,
ACT 4:37 ada mempunyai tanah. Dia menjualnya lalu membawa wang jualan itu, dan meletakkannya di kaki para rasul.
ACT 5:1 Seorang yang bernama Ananias, serta isterinya Safira, telah menjual sebidang tanah milik mereka.
ACT 5:2 Dia menyimpan sebahagian wang jualan itu dengan pengetahuan isterinya dan membawa sebahagian lagi untuk diletakkan di kaki para rasul.
ACT 5:3 Petrus berkata, ‘Ananias, mengapakah Iblis memenuhi hatimu sehingga kau berdusta kepada Roh Suci dengan menyimpan sebahagian wang jualan tanah itu untuk dirimu?
ACT 5:4 Ketika tanah itu masih ada, bukankah tanah itu milikmu? Setelah dijual, bukankah wangnya dalam kawalanmu juga? Mengapakah kamu membentuk niat ini dalam hatimu? Kamu bukan berdusta kepada manusia tetapi kepada Allah.’
ACT 5:5 Apabila Ananias mendengar kata-kata itu, dia pun rebah lalu meninggal dunia. Oleh yang demikian semua orang yang mendengar hal itu amat ketakutan.
ACT 5:6 Orang muda-muda bangun lalu mengkafankannya, mengangkatnya keluar dan menguburkannya.
ACT 5:7 Kira-kira tiga jam kemudian, isterinya masuk tanpa mengetahui apa yang telah terjadi.
ACT 5:8 Petrus berkata kepadanya, ‘Katakanlah kepadaku, adakah kamu menjual tanah itu dengan harga sekian?’ Perempuan itu menjawab, ‘Ya, dengan harga sekian.’
ACT 5:9 Petrus berkata kepadanya, ‘Bagaimana pula kamu berdua telah bermuafakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, kaki orang yang telah menguburkan suamimu ada di muka pintu, dan mereka akan mengangkatmu pula keluar.’
ACT 5:10 Perempuan itu serta-merta rebah di kakinya lalu meninggal dunia. Orang muda-muda itu masuk dan mendapati perempuan itu sudah mati lalu mengangkatnya keluar dan menguburkannya di sisi suaminya.
ACT 5:11 Oleh yang demikian, seluruh masyarakat yang beriman amat ketakutan, begitu juga semua yang mendengar hal itu.
ACT 5:12 Melalui rasul-rasul itu banyak alamat ajaib dan mukjizat dilakukan di kalangan masyarakat itu. Semuanya berhimpun dengan sehati di Serambi Sulaiman.
ACT 5:13 Walaupun orang lain tidak berani menyertai mereka, namun orang ramai sangat menghormati mereka.
ACT 5:14 Semakin lama semakinlah bertambah bilangan orang yang mempercayai Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan.
ACT 5:15 Orang membawa orang sakit keluar ke tengah jalan, membaringkan mereka di atas katil dan kaus, dengan harapan sekurang-kurangnya bayang-bayang Petrus akan menyentuh sesetengahnya apabila dia lalu kelak.
ACT 5:16 Ramai pula orang dari kota-kota sekeliling Baitulmaqdis datang berhimpun, membawa orang yang sakit dan yang dirasuk roh-roh durjana, lalu semuanya disembuhkan.
ACT 5:17 Imam besar dan semua yang bersamanya (iaitu dari mazhab orang Saduki) amat iri hati
ACT 5:18 lalu menangkap rasul-rasul itu dan memasukkan mereka ke penjara umum.
ACT 5:19 Tetapi pada malam itu malaikat Tuhan membuka pintu penjara lalu membawa rasul-rasul itu keluar sambil berkata,
ACT 5:20 ‘Pergilah berdiri di rumah ibadat dan nyatakan segalanya tentang hidup baru ini kepada orang ramai.’
ACT 5:21 Setelah mendengar kata-kata itu, ketika fajar menyingsing, mereka pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. Kemudian tibalah imam besar dan pengikut-pengikutnya. Mereka memanggil para tua-tua bani Israel berkumpul untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama, lalu memerintahkan rasul-rasul itu dibawa dari penjara untuk dihadapkan kepada mereka.
ACT 5:22 Apabila pegawai-pegawai itu sampai di penjara dan mendapati rasul-rasul itu tidak ada di situ, mereka pun pulang melaporkan hal itu,
ACT 5:23 ‘Kami dapati pintu penjara tetap berkunci dan pengawal-pengawal berjaga di situ, tetapi apabila kami membuka pintu, kami dapati tiada seorang pun di dalam penjara itu.’
ACT 5:24 Apabila ketua rumah ibadat dan ketua-ketua imam mendengar laporan itu, mereka kebingungan tentang apa yang mungkin terjadi kelak.
ACT 5:25 Kemudian seorang lelaki masuk dan berkata kepada mereka, ‘Orang yang tuan-tuan penjarakan itu sedang mengajar orang ramai di dalam rumah ibadat!’
ACT 5:26 Dengan demikian, ketua rumah ibadat pergi diiringi pegawai-pegawai lalu membawa rasul-rasul itu beredar dari situ tanpa menggunakan kekerasan, kerana takut direjam oleh orang ramai.
ACT 5:27 Mereka membawa para rasul ke hadapan Majlis Agama. Imam besar berkata,
ACT 5:28 ‘Bukankah kami telah melarang keras kamu mengajar atas nama itu? Tetapi lihatlah, kamu telah menyebarkan ajaran itu ke serata Baitulmaqdis dan berniat mempertanggungjawabkan kami atas kematian-Nya!’
ACT 5:29 Petrus dan rasul yang lain menjawab, ‘Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!
ACT 5:30 Allah Tuhan yang disembah oleh nenek moyang kita telah membangkitkan Isa yang telah kamu bunuh dengan menyalib-Nya.
ACT 5:31 Allah mengangkat Isa kepada kedudukan mulia di sebelah kanan-Nya, sebagai Anak Raja dan Penyelamat, supaya umat Israel dapat bertaubat dan dosa-dosa mereka diampuni.
ACT 5:32 Kami menjadi saksi dalam semua hal ini, begitu juga Roh Suci yang dikurniai Allah kepada semua yang taat akan perintah-Nya.’
ACT 5:33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka sangat marah sehingga berura-ura hendak membunuh para rasul.
ACT 5:34 Akan tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel, seorang guru Taurat yang sangat disegani. Dia bangkit lalu mengarahkan orang membawa para rasul keluar sejurus.
ACT 5:35 Kemudian dia berkata kepada Majlis Agama, ‘Saudara-saudara orang Israel! Timbangkan halus-halus apa yang hendak saudara semua lakukan terhadap orang itu.
ACT 5:36 Suatu masa dulu, Teudas telah bangkit dan mengaku dirinya pemimpin besar. Kira-kira empat ratus orang menjadi pengikutnya. Tetapi dia dibunuh, lalu semua pengikutnya kucar-kacir dan pergerakannya hilang begitu saja.
ACT 5:37 Selepas itu muncul pula Yudas, orang Galilea, pada masa pembancian. Dia mempengaruhi ramai orang untuk memberontak, namun dia juga dibunuh, lantas semua pengikutnya kucar-kacir.
ACT 5:38 Dengan demikian, dalam hal ini, aku cadangkan jangan ambil apa-apa tindakan terhadap orang itu. Bebaskan mereka. Kalau rancangan atau usaha ini daripada manusia, segalanya akan hilang begitu saja.
ACT 5:39 Sebaliknya, kalau segalanya itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak mungkin menumpaskannya, malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.’
ACT 5:40 Majlis Agama menerima nasihat Gamaliel. Para rasul dipanggil, dipukul, dilarang lagi bercakap dengan nama Isa, lalu dibebaskan.
ACT 5:41 Ketika beredar pergi dari Majlis Agama, para rasul bersukacita kerana dianggap layak menanggung aib atas nama Isa.
ACT 5:42 Setiap hari, di rumah ibadat dan di setiap rumah orang, mereka terus-menerus mengajarkan dan menyebarkan bahawa Isa itulah al-Masih, Penyelamat yang diutus Allah.
ACT 6:1 Tidak berapa lama selepas itu, ketika pengikut Isa kian meningkat bilangannya, timbullah aduan daripada orang Yahudi peranakan Yunani terhadap orang Yahudi Ibrani. Orang Yahudi peranakan Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka diabaikan dalam pengagihan bantuan harian.
ACT 6:2 Dengan demikian, dua belas rasul itu menghimpunkan semua pengikut Isa lalu berkata, ‘Kami ini tidaklah wajar mengetepikan kewajipan menyebarkan firman Allah untuk melayan di meja makan.
ACT 6:3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara-saudara yang mempunyai nama baik dan dipenuhi Roh Suci serta kebijaksanaan, supaya kami tugaskan mereka mengendalikan hal itu.
ACT 6:4 Kami akan memenuhi masa kami dengan berdoa dan menyampaikan firman Allah.’
ACT 6:5 Semua bersetuju dengan cadangan para rasul. Mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat teguh imannya serta dikuasai oleh Roh Suci. Di samping itu mereka memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia, seorang penganut agama Yahudi.
ACT 6:6 Tujuh orang itu dibawa ke hadapan para rasul. Para rasul pun berdoa dan meletakkan tangan ke atas mereka.
ACT 6:7 Dengan demikian firman Allah semakin tersebar dan bilangan pengikut Isa di Baitulmaqdis kian meningkat, dan ramai imam menjadi orang beriman.
ACT 6:8 Stefanus, yang dipenuhi iman dan kuasa rohani, banyak melakukan keajaiban dan alamat di kalangan orang ramai.
ACT 6:9 Tetapi ada beberapa orang yang bangkit menentangnya, iaitu anggota saumaah yang disebut Saumaah Orang Yang Dibebaskan (terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene, Iskandaria, Kilikia dan Asia). Mereka mulai berbahas dengan Stefanus.
ACT 6:10 Namun, mereka tidak dapat menewaskan kebijaksanaan dan Roh Suci yang mengilhamkan kata-katanya.
ACT 6:11 Setelah itu mereka senyap-senyap mendorong beberapa orang berkata, ‘Kami telah mendengar dia melafazkan kata-kata kufur terhadap Musa dan Allah.’
ACT 6:12 Mereka menghasut orang ramai, tua-tua dan guru-guru Taurat sehingga Stefanus ditangkap dan dihadapkan ke Majlis Agama.
ACT 6:13 Mereka membawa saksi-saksi palsu yang berkata tentang Stefanus, ‘Orang ini tidak putus-putus meluahkan kata-kata kufur tentang tempat suci ini dan hukum agama kita.
ACT 6:14 Kami mendengar dia berkata bahawa Isa orang Nasaret itu akan membinasakan tempat ini dan mengubah segala adat yang telah disampaikan kepada kita oleh Musa.’
ACT 6:15 Ketika itu semua orang yang duduk di Majlis Agama merenung Stefanus dan melihat mukanya seperti wajah malaikat.
ACT 7:1 Kemudian imam besar bertanya kepada Stefanus, ‘Benarkah segala tuduhan ini?’
ACT 7:2 Stefanus menjawab, ‘Bapa-bapa dan saudara-saudara! Dengarlah: Sebelum moyang kita Ibrahim berpindah ke Haran, Allah Yang Maha Tinggi telah menampakkan diri kepadanya di Mesopotamia.
ACT 7:3 Allah berfirman kepadanya, “Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Kutunjukkan kepadamu.”
ACT 7:4 ‘Ibrahim pun terus meninggalkan negeri Kasdim dan tinggal di Haran. Setelah bapa Ibrahim meninggal dunia, Allah memindahkan pula Ibrahim ke negeri tempat saudara-saudara dan bapa-bapa tinggal sekarang ini.
ACT 7:5 Ketika itu Allah tidak memberikan warisan apapun kepada Ibrahim sebagai miliknya, secebis tanah pun tidak. Namun begitu, Allah berjanji akan mengurniakan tanah ini kepada Ibrahim sebagai miliknya dan milik keturunannya, walaupun pada masa itu Ibrahim tidak mempunyai anak.
ACT 7:6 Namun Allah berfirman kepadanya bahawa keturunannya akan tinggal di negeri orang, dan akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun.
ACT 7:7 “Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka,” Allah berfirman. “Kemudian mereka akan keluar dari negeri itu dan menyembah-Ku di sini.”
ACT 7:8 Kemudian Allah membuat perjanjian sunat dengan Ibrahim; maka Ibrahim mendapat anak lelaki bernama Ishak dan menyunatkannya pada hari kelapan; Ishak mendapat Yakub dan Yakub mendapat dua belas orang anak lelaki yang menjadi nenek moyang bangsa kita.
ACT 7:9 ‘Nenek moyang bangsa kita itu menaruh hasad dengki terhadap Yusuf lalu menjualnya sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertainya
ACT 7:10 dan menyelamatkannya daripada segala kesusahannya. Apabila Yusuf mengadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniainya budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir melantiknya menjadi gabenor yang berkuasa ke atas seluruh negeri itu dan istananya.
ACT 7:11 ‘Kemudian seluruh Mesir dan Kanaan dilanda kebuluran, dan nenek moyang kita tidak dapat mencari makanan.
ACT 7:12 Apabila Yakub mendengar bahawa di Mesir ada gandum, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke situ bagi kali pertama.
ACT 7:13 Ketika mereka ke sana bagi kali kedua, Yusuf diperkenalkan kepada saudara-saudaranya itu dan keluarga Yusuf diketahui oleh Firaun.
ACT 7:14 Lalu Yusuf mengirim khabar dan meminta bapanya, Yakub, serta seluruh keluarganya berpindah ke Mesir; tujuh puluh lima orang semuanya.
ACT 7:15 Yakub sekeluarga pun berpindah ke Mesir. Di situlah dia dan nenek moyang kita meninggal dunia.
ACT 7:16 Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikebumikan di kuburan yang telah dibeli oleh Ibrahim dengan sejumlah wang daripada suku Hamor, bapa Sikhem.
ACT 7:17 ‘Apabila masa bagi Allah menunaikan janji-Nya kepada Ibrahim semakin hampir, bilangan bangsa kita di Mesir telah meningkat banyak sekali.
ACT 7:18 Kemudian seorang raja lain yang tidak kenal akan Yusuf naik takhta kerajaan Mesir.
ACT 7:19 Raja itu memperdaya bangsa kita dan menindas nenek moyang kita, dengan memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir dan membiarkannya mati.
ACT 7:20 ‘Pada masa itulah Musa dilahirkan, seorang bayi yang elok di mata Allah. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan.
ACT 7:21 Apabila dia terpaksa dibuang, puteri Raja Mesir mengambilnya dan memeliharanya sebagai anak sendiri.
ACT 7:22 Musa menjadi arif dalam segala ilmu pengetahuan serta kebijaksanaan orang Mesir dan menjadi seorang yang sangat handal, baik dari segi perkataan mahupun perbuatan.
ACT 7:23 ‘Sewaktu Musa berusia empat puluh tahun, hatinya tergerak hendak mengunjungi saudara-saudaranya bani Israel.
ACT 7:24 Dia terpandang salah seorang daripada mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia pun membela orang yang dianiaya itu dan membunuh orang Mesir itu;
ACT 7:25 kerana Musa menyangka saudara-saudara sebangsanya mengerti bahawa Allah akan membebaskan mereka melaluinya, tetapi mereka tidak mengerti.
ACT 7:26 Esoknya, dia terlihat pula dua orang Israel sedang bergaduh lalu cuba mendamaikan mereka, katanya, “Kamu bersaudara. Mengapa kamu saling menganiaya?”
ACT 7:27 ‘Tetapi orang yang menganiaya saudara sebangsanya itu menolak Musa ke tepi sambil bertanya, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?
ACT 7:28 Adakah kamu ingin membunuhku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?”
ACT 7:29 Ketika Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu menetap di negeri Midian. Di situ dia mendapat dua orang anak lelaki.
ACT 7:30 ‘Empat puluh tahun kemudian, malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam api belukar yang bernyala, di tanah gurun dekat Gunung Sinai.
ACT 7:31 Musa kehairanan melihatnya lalu menghampirinya. Dia mendengar suara Tuhan berfirman,
ACT 7:32 “Akulah Tuhan nenek moyangmu; Tuhan Ibrahim, Ishak dan Yakub.” Musa gementar ketakutan dan tidak berani memandang lagi.
ACT 7:33 ‘Tuhan berfirman seterusnya, “Tanggalkan kasutmu, kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.
ACT 7:34 Aku telah melihat penindasan umat-Ku di Mesir. Aku telah mendengar rintihan mereka, dan telah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutusmu ke Mesir.”
ACT 7:35 ‘Musa inilah yang telah ditolak oleh umat Israel dengan kata-kata, “Siapa yang menjadikan kamu pemerintah dan hakim kami?” Justeru dialah yang diutus Allah sebagai pemerintah dan pembebas, melalui malaikat yang menampakkan diri kepadanya di belukar itu.
ACT 7:36 Musa memimpin orang Israel keluar dari Mesir setelah melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah dan kemudian di tanah gurun selama empat puluh tahun.
ACT 7:37 ‘Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, “Allah akan mengutus seorang Nabi kepadamu, sebagaimana Dia telah mengutusku dari kalangan bangsamu.”
ACT 7:38 Musa inilah yang bersama bangsa Israel berhimpun di tanah gurun. Dia di sana berserta nenek moyang kita dan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Dialah yang menerima firman hidup, untuk disampaikan kepada kita.
ACT 7:39 ‘Tetapi nenek moyang kita enggan taat kepadanya. Mereka menolaknya dan dalam hati mereka berpaling semula ke Mesir.
ACT 7:40 Mereka berkata kepada Harun, “Buatkan kami patung pujaan yang dapat memimpin kami, kerana kami tidak tahu apa yang telah terjadi kepada Musa yang membawa kami keluar dari Mesir.”
ACT 7:41 Setelah itu mereka membuat berhala berbentuk anak lembu dan mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka bersuka ria meraikan buatan tangan mereka sendiri.
ACT 7:42 Oleh itu Allah berpaling daripada mereka dan membiarkan mereka menyembah segala yang di langit. Demikianlah yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi: ‘ “Adakah kamu mempersembahkan kepada-Ku binatang sembelihan dan korban selama empat puluh tahun di tanah gurun, hai orang Israel?
ACT 7:43 Malah kamu mengusung khemah Molokh dan bintang berhalamu Refan, patung-patung yang kamu buat untuk kamu sembah; maka Aku akan membuangmu jauh ke seberang Babel.”
ACT 7:44 ‘Nenek moyang kita mempunyai Khemah Kesaksian di tanah gurun. Khemah ini dibuat sebagaimana yang diperintahkan kepada Musa menurut contoh yang telah dilihatnya.
ACT 7:45 Nenek moyang kita, setelah menerimanya, bersama Yusak telah membawanya masuk ke negeri kita yang dikuasai oleh bangsa-bangsa asing. Allah telah mengusir bangsa-bangsa asing itu di hadapan mereka, dan khemah itu tetap di tanah tersebut hingga zaman Daud.
ACT 7:46 Daud mendapat keredaan Allah dan memohon izin-Nya untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan yang disembah oleh Yakub.
ACT 7:47 Tetapi Sulaiman yang membina rumah untuk-Nya.
ACT 7:48 ‘Namun, Tuhan Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan tangan manusia, seperti kata nabi:
ACT 7:49 ‘ “Syurga arasy-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang hendak kamu bina untuk-Ku, dan dimanakah tempat rehat-Ku?” firman Tuhan.
ACT 7:50 ‘ “Bukankah Aku sendiri yang telah mencipta semuanya?”
ACT 7:51 ‘Hai yang keras kepala dan tidak bersunat hati dan telingamu! Kamu sentiasa melawan Roh Suci sebagaimana yang dilakukan oleh nenek moyangmu.
ACT 7:52 Nabi manakah yang tidak dianiaya oleh nenek moyangmu? Mereka membunuh nabi-nabi yang telah menubuatkan kedatangan Yang Benar itu, yang kamu khianati dan bunuh.
ACT 7:53 Kamu telah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat, tetapi kamu tidak mematuhinya.’
ACT 7:54 Apabila mendengar kata-kata ini, mereka tersangat sakit hati dan berang terhadap Stefanus.
ACT 7:55 Akan tetapi dia dipenuhi Roh Suci lalu merenung ke langit dan melihat kemuliaan Allah serta Isa berdiri di sebelah kanan Allah.
ACT 7:56 Dia berkata, ‘Lihatlah! Aku nampak syurga terbuka dan Putera Insan berdiri di sebelah kanan Allah!’
ACT 7:57 Mereka pun bertempik sambil menutup telinga lalu menyerang Stefanus serentak.
ACT 7:58 Mereka menyeret dia ke luar kota lalu merejamnya. Orang yang menyaksikan segalanya itu meletakkan jubah mereka di kaki seorang muda bernama Saul.
ACT 7:59 Ketika mereka merejam Stefanus, dia berseru, ‘Junjungan Isa, terimalah rohku.’
ACT 7:60 Kemudian dia berlutut dan berteriak dengan suara yang kuat, ‘Junjungan, jangan tanggungkan dosa ini atas mereka.’ Setelah berkata demikian, dia pun meninggal dunia.
ACT 8:1 Saul menyetujui kematian Stefanus. Pada masa itu penganiayaan yang dahsyat dilakukan terhadap jemaah di Baitulmaqdis; dan mereka pun bercerai-berai di serata Yudea dan Samaria, kecuali para rasul.
ACT 8:2 Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya.
ACT 8:3 Saul berusaha untuk menghapuskan jemaah; dia memasuki setiap rumah dan menyeret keluar lelaki perempuan lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.
ACT 8:4 Mereka yang bercerai-berai pergi merata-rata mengajarkan firman Allah.
ACT 8:5 Kemudian Filipus pergi ke sebuah kota di Samaria dan memberitakan al-Masih kepada orang di situ.
ACT 8:6 Apabila orang ramai mendengar apa yang dikatakan Filipus dan melihat segala keajaiban yang dilakukannya, mereka semua memperhatikan dengan sepenuh hati apa yang dikatakannya;
ACT 8:7 kerana roh-roh durjana keluar sambil melolong daripada ramai orang yang kerasukan, manakala sebilangan besar yang lumpuh dan tempang telah disembuhkan.
ACT 8:8 Seluruh kota itu amat bersukacita.
ACT 8:9 Akan tetapi ada seorang lelaki bernama Simon, yang dahulunya mengamalkan sihir di situ dan mengagumkan orang Samaria serta mengaku dirinya seorang yang hebat.
ACT 8:10 Mereka semua, daripada yang paling rendah tarafnya hinggalah kepada yang tertinggi, mendengar katanya. Mereka berkata, ‘Orang ini dikenal sebagai Kuasa Besar Allah.’
ACT 8:11 Mereka mendengar katanya kerana dia telah lama mengagumkan mereka dengan sihirnya.
ACT 8:12 Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia bercakap tentang hal-hal berkaitan dengan kerajaan Allah dan nama Isa al-Masih, mereka pun diimadkan, baik lelaki mahupun perempuan.
ACT 8:13 Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah diimadkan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat keajaiban serta alamat yang dilakukan.
ACT 8:14 Apabila para rasul di Baitulmaqdis mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yahya ke sana.
ACT 8:15 Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Suci,
ACT 8:16 kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru diimadkan sahaja dengan nama Junjungan Isa.
ACT 8:17 Kemudian Petrus dan Yahya meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Suci.
ACT 8:18 Setelah Simon melihat betapa Roh Suci diberi ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka
ACT 8:19 sambil berkata, ‘Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Suci.’
ACT 8:20 Tetapi Petrus berkata kepadanya, ‘Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!
ACT 8:21 Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di sisi Allah.
ACT 8:22 Oleh itu bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat di hatimu itu;
ACT 8:23 kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa.’
ACT 8:24 Simon menjawab, ‘Berdoalah kepada Tuhan untukku, supaya apa yang kamu sebutkan tadi tidak menimpaku.’
ACT 8:25 Setelah mereka memberi kesaksian dan menyampaikan firman Tuhan, mereka pun pulang ke Baitulmaqdis, sambil menyebarkan perkhabaran baik tentang Isa di banyak kampung orang Samaria.
ACT 8:26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, ‘Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Baitulmaqdis dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang.’
ACT 8:27 Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Habsyi, seorang sida-sida yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Habsyah, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Baitulmaqdis untuk sembahyang.
ACT 8:28 Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam kereta kudanya, dia membaca kitab Nabi Yasyaya.
ACT 8:29 Roh Suci berkata kepada Filipus, ‘Pergi dekati kereta kuda itu.’
ACT 8:30 Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yasyaya. Filipus berkata, ‘Fahamkah apa yang kamu baca itu?’
ACT 8:31 Jawabnya, ‘Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?’ Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya.
ACT 8:32 Bahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah: ‘Dia dibawa seperti domba untuk disembelih seperti anak domba yang senyap ketika bulunya digunting. Demikianlah Dia tidak membuka mulut.
ACT 8:33 Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya, maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya? Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi.’
ACT 8:34 Sida-sida itu berkata, ‘Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?’
ACT 8:35 Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia mengajar berita baik tentang Isa kepada sida-sida itu.
ACT 8:36 Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Sida-sida itu berkata, ‘Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada diimadkan?’
ACT 8:37 Filipus berkata, ‘Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh diimadkan.’ Sida-sida itu menjawab, ‘Aku percaya bahawa Isa al-Masih itu Putera Allah.’
ACT 8:38 Lalu dia mengarahkan kereta kuda itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus mengimadkannya.
ACT 8:39 Setelah mereka keluar dari air, Roh Suci mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita.
ACT 8:40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.
ACT 9:1 Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh pengikut-pengikut Junjungan Isa, pergi mendapatkan imam besar
ACT 9:2 dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Isa, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Baitulmaqdis.
ACT 9:3 Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba cahaya dari langit bersinar sekelilingnya.
ACT 9:4 Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, ‘Saul, Saul, mengapa kauaniaya Aku?’
ACT 9:5 Saul bertanya, ‘Siapakah Engkau, Tuan?’ Suara itu menjawab, ‘Akulah Isa yang kauaniaya.
ACT 9:6 Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.’
ACT 9:7 Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapapun.
ACT 9:8 Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh demikian mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.
ACT 9:9 Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.
ACT 9:10 Ada seorang pengikut Isa yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Junjungan berkata, ‘Ananias!’ ‘Ya, Junjungan,’ sahut Ananias.
ACT 9:11 Junjungan berkata kepadanya, ‘Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,
ACT 9:12 dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.’
ACT 9:13 Ananias menjawab, ‘Ya Junjunganku, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Baitulmaqdis.
ACT 9:14 Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.’
ACT 9:15 Namun, Junjungan berkata, ‘Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.
ACT 9:16 Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana-Ku.’
ACT 9:17 Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, ‘Saudaraku Saul, Junjungan telah mengutusku. Isa yang menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Suci.’
ACT 9:18 Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu diimadkan.
ACT 9:19 Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para pengikut Isa.
ACT 9:20 Dia terus mengkhabarkan di saumaah-saumaah tentang Isa, bahawa Dia Putera Allah.
ACT 9:21 Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, ‘Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Baitulmaqdis? Malah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam.’
ACT 9:22 Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberi Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Isa itu al-Masih.
ACT 9:23 Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul
ACT 9:24 tetapi dia mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;
ACT 9:25 tetapi pengikut-pengikut Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.
ACT 9:26 Apabila Saul sampai di Baitulmaqdis, dia cuba menghubungi para pengikut Isa tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar pengikut Isa.
ACT 9:27 Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Junjungan ketika dalam perjalanan, kata-kata Junjungan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Isa di Damsyik.
ACT 9:28 Selepas itu Saul keluar masuk di Baitulmaqdis bersama para rasul
ACT 9:29 serta menyebarkan nama Junjungan dengan berani. Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.
ACT 9:30 Apabila para pengikut Isa yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.
ACT 9:31 Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh tanah Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup bertakwa kepada Allah. Dengan pertolongan Roh Suci bilangan mereka semakin besar.
ACT 9:32 Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.
ACT 9:33 Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.
ACT 9:34 Petrus berkata kepadanya, ‘Eneas, Isa al-Masih menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.’ Pada saat itu juga Eneas bangun.
ACT 9:35 Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan.
ACT 9:36 Di Yope ada seorang perempuan pengikut Isa bernama Tabita (dalam bahasa Yahudi disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah.
ACT 9:37 Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas.
ACT 9:38 Oleh sebab Lida berdekatan dengan Yope, para pengikut Isa di Yope mendapat tahu Petrus ada di Lida lalu menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.
ACT 9:39 Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.
ACT 9:40 Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, ‘Hai Tabita, bangunlah.’ Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk.
ACT 9:41 Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua pengikut Isa termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu.
ACT 9:42 Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan.
ACT 9:43 Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.
ACT 10:1 Di Kaisarea ada seorang bernama Kornelius, ketua tentera yang disebut pasukan Itali.
ACT 10:2 Dia seorang yang bertakwa dan takut akan Allah, begitu juga seisi rumahnya. Dia banyak bersedekah kepada orang yang miskin dan sentiasa berdoa kepada Allah.
ACT 10:3 Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan dia melihat dengan nyata malaikat Allah mendapatkannya dan berkata kepadanya, ‘Hai Kornelius!’
ACT 10:4 Dia merenung dengan ketakutan sambil bertanya, ‘Ya tuan, ada apa tuan?’ Malaikat itu berkata, ‘Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
ACT 10:5 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
ACT 10:6 Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.’
ACT 10:7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hambanya dan seorang askar yang takut akan Allah dari kalangan orang yang bertugas melayaninya.
ACT 10:8 Dia menceritakan segala yang berlaku itu kepada mereka dan menyuruh mereka pergi ke Yope.
ACT 10:9 Esoknya, ketika mereka dalam perjalanan dan hampir sampai ke Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah untuk berdoa, kira-kira pukul dua belas tengah hari.
ACT 10:10 Kemudian dia berasa lapar dan hendak makan, tetapi sementara makanan sedang disediakan, dia diliputi kuasa ilahi.
ACT 10:11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan ke arahnya lalu ke bumi.
ACT 10:12 Di dalamnya ada segala jenis binatang, yang berkaki empat dan yang melata, juga burung-burung.
ACT 10:13 Dia terdengar suara berkata, ‘Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.’
ACT 10:14 Petrus berkata, ‘Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.’
ACT 10:15 Suara itu berkata pula kepadanya, ‘Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kauharamkan.’
ACT 10:16 Ini berulang tiga kali, kemudian kain itu terangkat naik ke langit.
ACT 10:17 Sedang Petrus bertanya-tanya apa agaknya erti penglihatan itu, orang yang disuruhkan oleh Kornelius itu telah bertanyakan rumah Simon.
ACT 10:18 Mereka berdiri di muka pintu sambil berseru bertanya sama ada Simon bergelar Petrus ada menumpang di situ.
ACT 10:19 Petrus masih lagi memikirkan penglihatannya itu. Roh Suci berkata kepadanya, ‘Ada tiga orang mencarimu.
ACT 10:20 Bangunlah, turun dan pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.’
ACT 10:21 Petrus pun turun mendapatkan orang itu lalu berkata, ‘Aku inilah orang yang kamu cari itu; apa hajatmu datang ke mari?’
ACT 10:22 Mereka berkata, ‘Kornelius, seorang ketua tentera yang benar dan takut akan Allah serta disegani oleh seluruh bangsa Yahudi, telah menerima pesan Allah melalui malaikat yang suci bahawa dia hendaklah menjemput tuan datang ke rumahnya untuk mendengar apa yang akan tuan katakan.’
ACT 10:23 Petrus mengajak ketiga-tiga orang itu masuk dan menumpang bermalam di rumah itu. Esoknya dia bangun lalu pergi bersama mereka; beberapa orang saudara seiman di Yope turut serta.
ACT 10:24 Keesokan harinya mereka sampai di Kaisarea. Kornelius sedang menantikan kedatangan mereka, bersama semua kaum keluarga dan sahabat handai yang diajaknya berhimpun di situ.
ACT 10:25 Apabila Petrus masuk, Kornelius mendapatkannya lalu sujud menyembah di kakinya;
ACT 10:26 tetapi Petrus menariknya bangkit berdiri sambil berkata, ‘Bangkitlah; aku in pun seorang manusia juga.’
ACT 10:27 Sambil bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah itu dan melihat betapa ramainya orang yang berhimpun di situ.
ACT 10:28 Petrus berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara sedia maklum bahawa orang Yahudi dilarang berhubung dengan orang bangsa lain atau mengunjungi mereka; tetapi Allah telah menyatakan kepadaku supaya jangan memandang sesiapapun sebagai haram atau najis.
ACT 10:29 Oleh itu apabila aku dipanggil, aku terus datang tanpa teragak-agak. Sekarang aku bertanya kepadamu, apakah sebabnya aku dipanggil datang ke sini?’
ACT 10:30 Kornelius berkata, ‘Empat hari lalu, kira-kira pukul tiga petang, aku sedang berdoa di rumah; tiba-tiba seorang berdiri di hadapanku, pakaiannya bersinar-sinar.
ACT 10:31 Dia berkata, “Hai Kornelius! Segala doa dan sedekahmu telah diredai Allah.
ACT 10:32 Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus. Dia menumpang di rumah Simon penyamak kulit, di tepi laut.”
ACT 10:33 Aku terus menyuruhkan orang mendapatkanmu; kamu sungguh baik hati datang ke mari. Sekarang kami semua hadir di sini di hadapan Allah untuk mendengar segala perkara yang diperintahkan Tuhan kepadamu untuk disampaikan kepada kami.’
ACT 10:34 Petrus pun berkata, ‘Sesungguhnya aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih.
ACT 10:35 Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya.
ACT 10:36 Firman yang disampaikan Allah kepada bangsa Israel adalah firman yang mengkhabarkan kesejahteraan melalui Isa al-Masih, Junjungan semua manusia.
ACT 10:37 Saudara-saudara tahu akan apa yang berlaku di seluruh tanah Yudea mulai dari Galilea, selepas pengimadan yang dikhabarkan oleh Yahya.
ACT 10:38 Perkhabaran itu tentang Isa orang Nasaret, betapa Allah telah memilih-Nya sebagai al-Masih dan memberi-Nya Roh Suci serta kuasa. Dia telah pergi merata-rata membuat kebajikan dan menyembuhkan orang yang diseksa oleh Iblis, kerana Allah menyertai Isa.
ACT 10:39 ‘Kami ini menjadi saksi akan segala yang dilakukan-Nya di tanah orang Yahudi malah juga di Baitulmaqdis. Dia telah dibunuh dengan disalib;
ACT 10:40 tetapi Allah membangkitkan-Nya pada hari yang ketiga serta memperlihatkan Dia;
ACT 10:41 bukan kepada semua orang tetapi kepada kami yang telah dipilih oleh Allah sebagai saksi, kami yang semakan seminum dengan-Nya setelah Dia bangkit dari kalangan orang mati.
ACT 10:42 Dia memerintah kami mengkhabarkan kepada semua orang dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang dijadikan Allah hakim ke atas orang hidup dan orang mati.
ACT 10:43 Semua nabi bersaksi tentang-Nya bahawa setiap orang yang percaya kepada Isa akan diampunkan dosanya dengan nama-Nya.’
ACT 10:44 Ketika Petrus sedang bercakap, Roh Suci turun dan memenuhi semua yang mendengar perkhabaran itu.
ACT 10:45 Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan datang bersama Petrus dari Yope berasa hairan melihat Allah mencurahkan Roh Suci kepada orang bukan bani Israel juga.
ACT 10:46 Mereka mendengar orang itu bertutur dalam aneka bahasa memuji Allah. Kemudian Petrus berkata,
ACT 10:47 ‘Lihatlah, mereka telah menerima Roh Suci seperti kita. Dapatkah sesiapa menghalang mereka diimadkan dengan air?’
ACT 10:48 Petrus pun menyuruh mereka diimadkan dengan nama Isa al-Masih. Selepas itu mereka meminta Petrus tinggal dengan mereka beberapa hari.
ACT 11:1 Para rasul dan saudara-saudara di seluruh Yudea mendengar khabar bahawa orang bukan bani Israel juga telah menerima firman Allah.
ACT 11:2 Apabila Petrus pergi ke Baitulmaqdis, orang Yahudi yang percaya kepada Isa dan masih berpegang kepada upacara sunat, membantah perbuatannya.
ACT 11:3 Mereka berkata, ‘Kamu telah menumpang di rumah orang bangsa asing yang tidak bersunat; malah kamu telah makan bersama mereka!’
ACT 11:4 Oleh yang demikian, Petrus menerangkan segala yang telah berlaku, satu persatu:
ACT 11:5 ‘Ketika aku sedang berdoa di Yope, aku telah melihat satu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain yang amat lebar, terikat keempat-empat penjurunya, diturunkan dari langit lalu terletak dekat denganku.
ACT 11:6 Aku memerhatikannya lalu melihat binatang yang berkaki empat, yang liar dan yang melata, juga burung-burung.
ACT 11:7 Aku mendengar suara berkata, “Hai Petrus, bangunlah, sembelih dan makanlah.”
ACT 11:8 ‘Aku berkata, “Ya Tuhan, jangan demikian, aku belum pernah makan barang yang haram atau najis.”
ACT 11:9 ‘Suara itu berkata pula kepadaku, “Barang yang dihalalkan oleh Allah, jangan kau haramkan.”
ACT 11:10 Ini berulang tiga kali, kemudian semuanya terangkat naik semula ke langit.
ACT 11:11 ‘Pada ketika itu tiga orang yang diutus dari Kaisarea kepadaku berdiri di hadapan rumah yang kami tumpang.
ACT 11:12 Roh Suci menyuruh aku pergi bersama mereka tanpa ragu-ragu. Enam orang saudara seiman di Yope menyertaiku ke Kaisarea lalu kami masuk ke rumah Kornelius.
ACT 11:13 Kornelius bercerita kepada kami bahawa dia telah melihat malaikat berdiri di hadapannya di rumahnya dan berkata kepadanya, “Suruhlah orang pergi ke Yope memanggil seorang bernama Simon bergelar Petrus.
ACT 11:14 Dia akan menyampaikan perkhabaran yang menyelamatkan kamu sekeluarga.”
ACT 11:15 ‘Apabila aku mula bercakap, Roh Suci memenuhi mereka, seperti yang terjadi kepada kita dahulu.
ACT 11:16 Ketika itu aku teringat kata-kata Junjungan: “Yahya mengimadkan dengan air, tetapi kamu akan diimadkan dengan Roh Suci.”
ACT 11:17 Jelaslah bahawa Allah telah memberi orang asing itu kurnia yang sama seperti yang kita terima ketika kita beriman kepada Junjungan Isa al-Masih. Siapakah aku untuk cuba menghalang kuasa Allah?’
ACT 11:18 Setelah mendengar penjelasan Petrus, mereka tidak membantah perbuatannya lagi, lantas mereka memuji Allah dan berkata, ‘Kalau begitu, Allah memberikan peluang kepada orang bukan bani Israel juga untuk bertaubat dan mendapat hidup.’
ACT 11:19 Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Finisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi;
ACT 11:20 tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu menyampaikan berita baik tentang Junjungan Isa kepada orang bukan bani Israel.
ACT 11:21 Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya.
ACT 11:22 Jemaah di Baitulmaqdis mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia.
ACT 11:23 Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan.
ACT 11:24 Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Suci dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan.
ACT 11:25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul;
ACT 11:26 setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para pengikut mula-mula disebut Masihi.
ACT 11:27 Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Baitulmaqdis ke Antiokhia.
ACT 11:28 Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Suci bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius.
ACT 11:29 Para pengikut Isa membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea.
ACT 11:30 Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.
ACT 12:1 Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah.
ACT 12:2 Yakobus saudara Yahya dibunuhnya dengan pedang.
ACT 12:3 Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi.
ACT 12:4 Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas perayaan Paska.
ACT 12:5 Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya.
ACT 12:6 Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu.
ACT 12:7 Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, ‘Cepat bangun.’ Dalam sekelip mata gugurlah rantai dari tangan Petrus.
ACT 12:8 Malaikat itu berkata lagi, ‘Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.’ Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, ‘Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.’
ACT 12:9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan.
ACT 12:10 Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tiba-tiba meninggalkan Petrus.
ACT 12:11 Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, ‘Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.’
ACT 12:12 Setelah itu, Petrus pergi ke rumah Maryam, ibu kepada Yahya yang bergelar Markus. Di situ ramai orang berhimpun dan sedang berdoa.
ACT 12:13 Apabila Petrus mengetuk pintu, seorang perempuan bernama Rode datang ke pintu.
ACT 12:14 Dia mengenali suara Petrus. Akan tetapi dia begitu sukacita hinggakan terus masuk semula tanpa membukakan pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus ada di luar.
ACT 12:15 ‘Kamu gila!’ seru mereka, namun Rode beria-ia mengatakan orang yang di luar itu Petrus. Mereka berkata, ‘Tentu itu rohnya!’
ACT 12:16 Petrus mengetuk pintu lagi berulang-ulang. Akhirnya mereka membukakan pintu dan tercengang apabila melihat Petrus.
ACT 12:17 Petrus memberikan isyarat meminta mereka bertenang lalu mengisahkan betapa Tuhan telah mengeluarkannya dari penjara. Selepas itu Petrus berkata, ‘Khabarkanlah hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara lain.’ Kemudian dia pun pergi ke tempat lain.
ACT 12:18 Setelah hari siang, askar-askar yang berkawal itu gempar, tertanya-tanya apakah yang telah terjadi kepada Petrus.
ACT 12:19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus tetapi tidak berjaya. Lantas Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya askar-askar yang berkawal itu disoal siasat dan kemudiannya dihukum bunuh. Selepas itu Raja Herodes berpindah dari Yudea ke Kaisarea lalu tinggal di sana.
ACT 12:20 Raja Herodes amat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh yang demikian, mereka datang bersama-sama untuk menghadap Raja Herodes. Pertama sekali mereka mendapatkan sokongan Blastus, ketua istana Raja Herodes. Selepas itu mereka menghadap Raja Herodes dan meminta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.
ACT 12:21 Pada hari yang telah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran diraja, duduk di atas singgahsana lalu berkata kepada rakyat.
ACT 12:22 Mereka berseru, ‘Itu suara seorang dewa, bukan manusia.’
ACT 12:23 Pada saat itu malaikat Tuhan memukul Raja Herodes kerana tidak menghormati Allah. Raja Herodes pun mati dimakan ulat.
ACT 12:24 Firman Allah semakin luas tersebar dan kian ramai orang percaya kepada Isa.
ACT 12:25 Setelah Barnabas dan Saul menjalankan tugas mereka pulang dari Baitulmaqdis dan membawa Yahya yang bergelar Markus itu bersama mereka.
ACT 13:1 Di antara jemaah di Antiokhia ada beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang bergelar Niger, Lukius dari Kirene, Menahem, yang dibesarkan bersama raja Herodes, dan Saul.
ACT 13:2 Sedang mereka beribadat dan berpuasa, Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Khaskan Barnabas dan Saul untuk-Ku, bagi melaksanakan tugas yang telah Kutetapkan untuk mereka.’
ACT 13:3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas Barnabas dan Saul lalu melepaskan mereka pergi.
ACT 13:4 Barnabas dan Saul diutus ke Seleukia oleh Roh Suci. Dari situ mereka belayar ke pulau Siprus.
ACT 13:5 Apabila sampai di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di saumaah-saumaah, dibantu oleh Yahya.
ACT 13:6 Mereka pergi ke serata pulau itu hingga sampai di Pafos. Di situ mereka bertemu dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yusha, seorang nabi palsu Yahudi.
ACT 13:7 Dia berkawan baik dengan Sergius Paulus, pemerintah pulau itu, seorang yang bijaksana. Sergius Paulus memanggil Barnabas dan Saul kerana ingin mendengar firman Allah.
ACT 13:8 Akan tetapi Elimas ahli sihir itu (ini namanya dalam bahasa Yunani) cuba menghalang pemerintah itu daripada percaya kepada Isa.
ACT 13:9 Saul, yang juga disebut Paulus, dipenuhi oleh Roh Suci lalu merenung ahli sihir itu dan
ACT 13:10 berkata, ‘Hai kamu anak Iblis, seteru segala yang benar, kamu yang penuh dengan tipu daya! Tiadakah kamu mahu berhenti memesongkan jalan Tuhan yang betul?
ACT 13:11 Tuhan akan menghukum kamu pada saat ini juga. Kamu akan buta, tidak dapat melihat cahaya matahari buat beberapa waktu.’ Dalam sekelip mata Elimas merasa kabus gelap menyelaputi matanya. Dia pun berjalan teraba-raba mencari orang yang dapat memimpinnya.
ACT 13:12 Apabila pemerintah itu melihat apa yang terjadi, dia pun mempercayai Isa dan amat kagum akan pengajaran Tuhan.
ACT 13:13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di tanah Pamfilia. Dari situ Yahya meninggalkan mereka lalu pulang ke Baitulmaqdis.
ACT 13:14 Yang lain meneruskan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ.
ACT 13:15 Selepas pembacaan Taurat Musa dan Surah Nabi-nabi, ketua-ketua saumaah itu menghantar orang berkata kepada kedua-dua rasul itu, ‘Saudara-saudara, sekiranya ada sesuatu nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah sampaikan.’
ACT 13:16 Paulus bangkit, memberikan isyarat lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Israel dan sekalian yang taat kepada Allah, dengarlah!
ACT 13:17 Allah, Tuhan umat Israel, telah memilih nenek moyang kita untuk dijadikan bangsa besar, ketika mereka tinggal menumpang di Mesir. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya.
ACT 13:18 Selama empat puluh tahun di gurun, Dia bersabar dengan kelakuan mereka.
ACT 13:19 Dia membinasakan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan kawasan itu kepunyaan umat-Nya.
ACT 13:20 Segala ini berlaku selama 450 tahun. ‘Selepas itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sampai ke zaman Nabi Samuel.
ACT 13:21 Kemudian mereka memohonkan seorang Raja lalu Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin sebagai raja mereka selama empat puluh tahun.
ACT 13:22 Setelah Allah memecatnya daripada takhtanya, Allah memberi mereka Daud pula sebagai raja. Allah berfirman tentang Daud, “Aku mendapati Daud, anak Isai, seorang yang menyenangkan hati-Ku; dia akan melakukan segala yang Kuingini.”
ACT 13:23 ‘Dari keturunan Daud inilah Allah membangkitkan Isa, seorang Penyelamat bagi umat Israel sebagaimana telah dijanjikan-Nya.
ACT 13:24 Sebelum Isa memulakan tugas-Nya, Yahya menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa dan diimadkan.
ACT 13:25 Ketika tugas Yahya hampir selesai, dia berkata kepada orang ramai, “Siapakah aku ini pada sangkaanmu? Aku bukanlah Dia yang kamu nanti-nantikan itu. Dia akan datang kemudian, dan aku ini tidak layak membuka kasut-Nya pun.”
ACT 13:26 ‘Hai saudara-saudara keturunan Ibrahim, dan semua yang takut akan Allah! Kepada kitalah Allah telah menyampaikan berita penyelamatan itu.
ACT 13:27 Penduduk Baitulmaqdis dan ketua-ketua mereka tidak sedar bahawa Penyelamat itu ialah Isa. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, maka mereka menghukum Isa. Dengan tindakan mereka itu, segala yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi menjadi kenyataan.
ACT 13:28 Walaupun mereka tidak ada apa-apa asas untuk menjatuhkan hukuman bunuh kepada Isa, mereka mendesak Pilatus menjatuhkan hukuman itu ke atas-Nya.
ACT 13:29 Setelah mereka melakukan segala yang tersurat di dalam Kitab Suci tentang-Nya, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam makam.
ACT 13:30 Akan tetapi Allah membangkitkan-Nya daripada kematian.
ACT 13:31 Selepas itu selama beberapa hari Dia menampakkan diri-Nya kepada mereka yang dahulu mengiringi-Nya dalam perjalanan dari Galilea ke Baitulmaqdis. Kini mereka itu menjadi saksi bagi-Nya kepada umat Israel.
ACT 13:32 ‘Dengan demikian kami datang ke sini untuk menyampaikan berita baik ini kepada kamu.
ACT 13:33 Allah telah melaksanakan untuk kita apa yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kita, dengan membangkitkan Isa daripada kematian, sebagaimana yang tersurat di dalam Zabur bab dua: ‘ “Engkaulah Putera-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.”
ACT 13:34 Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi. Tentang ini Allah berfirman: ‘ “Aku akan memberkati-Mu dengan berkat yang suci, sebagaimana telah Kujanjikan kepada Daud.”
ACT 13:35 Dalam suatu ayat lagi firman-Nya: ‘ “Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.”
ACT 13:36 ‘Daud melakukan suruhan Allah ketika dia hidup. Apabila dia wafat dia dimakamkan di sisi nenek moyangnya dan jasadnya reput.
ACT 13:37 Namun, ini tidak terjadi kepada Dia yang dibangkitkan Allah daripada kematian.
ACT 13:38 ‘Oleh itu, ketahuilah saudara-saudara, melalui Isa berita pengampunan dosa disampaikan kepada saudara sekalian.
ACT 13:39 Setiap orang yang percaya kepada-Nya diampunkan segala dosanya yang tidak dapat diampunkan melalui Taurat Musa.
ACT 13:40 Berhati-hatilah, supaya apa yang telah disebutkan oleh nabi-nabi tidak menimpa saudara sekalian:
ACT 13:41 ‘ “Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan terkejut dan punah! Apa yang Kulakukan kini tidak akan kamu percayai, walaupun diterangkan kepadamu!” ’
ACT 13:42 Apabila Paulus dan Barnabas hendak meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang lagi pada hari Sabat berikutnya untuk meneruskan penerangan mereka tentang hal-hal tersebut.
ACT 13:43 Setelah bersurai perhimpunan di rumah ibadat itu, ramai orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang telah memeluk agama Yahudi mengikut Paulus dan Barnabas. Kedua-dua rasul itu menasihati mereka supaya sentiasa hidup berpegang teguh kepada kasih kurnia Allah.
ACT 13:44 Pada hari Sabat berikutnya, hampir seluruh penduduk kota itu berhimpun mendengar firman Allah.
ACT 13:45 Setelah dilihat oleh orang Yahudi betapa ramainya orang datang itu, timbullah hasad dengki dalam hati mereka lalu mereka membangkang kata-kata Paulus serta mencelanya.
ACT 13:46 Namun demikian, Paulus dan Barnabas bercakap dengan berani. Mereka berkata, ‘Memang seharusnya firman Allah disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Akan tetapi disebabkan kamu menolak firman-Nya dan menganggap dirimu tidak layak menerima hidup kekal, kami berpaling daripadamu dan pergi kepada bangsa asing.
ACT 13:47 Inilah perintah Tuhan kepada kami: ‘ “Aku telah menetapkan bahawa kamu menjadi cahaya kepada semua bangsa asing, dan melalui-Mu Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.” ’
ACT 13:48 Orang bangsa asing bersukacita dan memuji firman Allah setelah mendengar kata-kata itu. Mereka yang dipilih Allah untuk menerima hidup kekal pun percayalah kepada Isa.
ACT 13:49 Firman Tuhan tersebar di serata daerah itu.
ACT 13:50 Orang Yahudi menghasut orang yang berkuasa di kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas lalu mengusir kedua-duanya dari daerah tersebut.
ACT 13:51 Rasul-rasul itu pun mengebaskan debu dari kaki mereka sebagai bantahan terhadap orang di situ lalu pergi ke Ikonium.
ACT 13:52 Bagaimanapun, para pengikut Isa amat bergembira dan dipenuhi Roh Suci.
ACT 14:1 Di Ikonium, Paulus dan Barnabas juga masuk ke saumaah dan kata-kata mereka begitu berkesan sehingga ramai orang Yahudi dan orang Yunani percaya kepada Isa.
ACT 14:2 Akan tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Isa menghasut orang bangsa lain sehingga mereka marah dan menentang pengikut Isa.
ACT 14:3 Rasul-rasul itu tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun menunjukkan kebenaran kata-kata mereka tentang kasih kurnia-Nya dengan memberi mereka kuasa melakukan pelbagai alamat dan mukjizat.
ACT 14:4 Penduduk bandar itu terbahagi dua: sebahagian memihak kepada orang Yahudi dan yang sebahagian lagi kepada rasul-rasul itu.
ACT 14:5 Kemudian orang Yahudi dan bangsa lain serta ketua-ketua mereka berpakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu.
ACT 14:6 Apabila rasul-rasul itu mendapat tahu tentang hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, kota-kota di Likaonia, serta daerah sekitarnya.
ACT 14:7 Di situ mereka menyampaikan berita baik.
ACT 14:8 Di Listra ada seorang lelaki yang lumpuh kakinya sejak lahir dan tidak pernah berjalan.
ACT 14:9 Dia duduk mendengar kata-kata Paulus. Pada pandangan Paulus orang itu dapat disembuhkan kerana dia mempunyai iman.
ACT 14:10 Oleh yang demikian Paulus merenungnya sambil bersuara lantang, ‘Bangunlah berdiri tegak!’ Lalu orang itu melompat berdiri dan mula berjalan.
ACT 14:11 Orang ramai melihat apa yang dilakukan oleh Paulus itu lalu berseru dalam bahasa Likaonia, ‘Lihatlah, dewa-dewa telah menjelma sebagai manusia dan turun ke dunia.’
ACT 14:12 Dengan demikian Barnabas dipanggil mereka ‘Zeus’ dan Paulus disebut ‘Hermes’ kerana dia yang terutama bercakap.
ACT 14:13 Imam Dewa Zeus, yang rumah berhalanya di luar kota, datang membawa lembu jantan dan kalungan bunga ke pintu gerbang untuk dijadikan korban persembahannya dan orang ramai kepada rasul-rasul itu.
ACT 14:14 Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang hendak dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyakkan pakaian dan berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru,
ACT 14:15 ‘Mengapa kamu berbuat begini? Kami manusia biasa seperti kamu sekalian! Kami datang membawa berita baik supaya kamu berhenti daripada pemujaan yang sia-sia ini dan datang kepada Allah yang hidup, yang menjadikan langit, bumi dan laut serta segala yang di dalamnya.
ACT 14:16 Pada zaman silam, Allah membiarkan manusia mengikut jalan masing-masing.
ACT 14:17 Namun, Allah sentiasa memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan kebaikan yang dilakukan-Nya. Dia mengurniaimu hujan dari langit dan hasil dari bumi menurut musimnya. Dia mengurniaimu makanan dan kegembiraan.’
ACT 14:18 Sungguhpun rasul-rasul itu berkata begitu, sukar juga mereka menghalang orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.
ACT 14:19 Setelah itu beberapa orang Yahudi dari Antiokhia dan Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, kemudian menyeretnya ke luar kota, dengan sangkaan dia sudah mati.
ACT 14:20 Akan tetapi apabila pengikut Isa mengelilinginya, dia bangun lalu masuk semula ke dalam kota. Esoknya dia keluar pergi ke Derbe bersama Barnabas.
ACT 14:21 Setelah menyebarkan berita baik kepada semua penduduk dan membawa beberapa orang menjadi pengikut Isa, kedua-duanya kembali ke Listra, ke Ikonium dan Antiokhia.
ACT 14:22 Di sana mereka menguatkan hati para pengikut Isa dan mengingatkan mereka supaya berpegang teguh kepada kepercayaan mereka, katanya, ‘Memang tidak dapat dielakkan bahawa kita masuk ke dalam kerajaan Allah dengan menanggung banyak kesusahan.’
ACT 14:23 Setelah menetapkan para tua-tua bagi setiap jemaah dan berdoa serta berpuasa, mereka menyerahkan mereka kepada Tuhan yang sudahpun dipercayai oleh mereka.
ACT 14:24 Setelah melalui tanah Pisidia, rasul-rasul itu sampai ke tanah Pamfilia.
ACT 14:25 Mereka menyampaikan firman Allah di Perga, kemudian pergi ke Atalia.
ACT 14:26 Dari sana mereka belayar ke Antiokhia, tempat mereka dahulunya menyerahkan tugas yang baru mereka selesaikan kepada kasih kurnia Allah.
ACT 14:27 Setelah sampai di sana, mereka menghimpunkan jemaah lalu menceritakan segala yang telah dilakukan Allah melalui mereka dan bagaimana Allah telah membukakan pintu kepercayaan bagi orang bangsa asing.
ACT 14:28 Mereka tinggal di situ beberapa lama bersama pengikut Isa yang lain.
ACT 15:1 Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar pengikut Isa di Antiokhia, ‘Jika kamu tidak disunat menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.’
ACT 15:2 Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan orang dari Yudea itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Baitulmaqdis berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut.
ACT 15:3 Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Isa. Pengikut-pengikut Isa di situ amat sukacita mendengarnya.
ACT 15:4 Setelah sampai ke Baitulmaqdis, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka.
ACT 15:5 Akan tetapi beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Isa bangkit lalu berkata, ‘Orang bangsa asing itu haruslah disunat dan wajib menurut Taurat Musa.’
ACT 15:6 Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu.
ACT 15:7 Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, ‘Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulu kala dari kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang berita baik kepada bangsa asing, lalu mereka percaya.
ACT 15:8 Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dan memberi mereka Roh Suci sebagaimana diberi-Nya kepada kita.
ACT 15:9 Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka.
ACT 15:10 Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan ke atas mereka suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga?
ACT 15:11 Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Junjungan Isa dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.’
ACT 15:12 Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala alamat dan mukjizat yang dilakukan Allah di kalangan bangsa asing melalui mereka berdua.
ACT 15:13 Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, ‘Saudara-saudara, dengarlah.
ACT 15:14 Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih dari kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat-Nya.
ACT 15:15 Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat:
ACT 15:16 ‘ “Setelah itu Aku akan kembali dan membina semula khemah Daud yang roboh; dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan, lalu Kutegakkan semula,
ACT 15:17 supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan, bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.”
ACT 15:18 Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini dan yang telah menyatakannya sejak dahulu kala.
ACT 15:19 ‘Oleh itu pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah;
ACT 15:20 tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina.
ACT 15:21 Sejak dahulu kala dalam setiap negara ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah-saumaah pada hari Sabat.’
ACT 15:22 Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu.
ACT 15:23 Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: ‘Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bukan Yahudi yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia.
ACT 15:24 Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami.
ACT 15:25 Oleh itu kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi,
ACT 15:26 iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Junjungan kita Isa al-Masih.
ACT 15:27 Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara
ACT 15:28 pesan daripada Roh Suci dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu.
ACT 15:29 Cuma, jauhkanlah diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.’
ACT 15:30 Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat.
ACT 15:31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka.
ACT 15:32 Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ.
ACT 15:33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka.
ACT 15:34 Akan tetapi Silas memutuskan untuk tetap tinggal di Antiokhia.
ACT 15:35 Paulus dan Barnabas tinggal di situ beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
ACT 15:36 Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, ‘Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Isa di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.’
ACT 15:37 Barnabas hendak membawa Yahya yang juga bergelar Markus
ACT 15:38 tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas.
ACT 15:39 Oleh itu timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus
ACT 15:40 manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat.
ACT 15:41 Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.
ACT 16:1 Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan dari situ ke Listra. Di situ ada seorang pengikut Isa bernama Timotius, ibunya orang Yahudi yang percaya kepada Isa tetapi bapanya orang Yunani.
ACT 16:2 Timotius dipandang tinggi oleh para pengikut Isa di Listra dan di Ikonium.
ACT 16:3 Paulus hendak membawa Timotius bersamanya. Dia pun menyunatkan Timotius kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bapanya orang Yunani.
ACT 16:4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang telah ditetapkan oleh para rasul dan ketua-ketua di Baitulmaqdis kepada jemaah di situ untuk dipatuhi.
ACT 16:5 Dengan demikian setiap jemaah semakin teguh imannya dan setiap hari bilangan mereka meningkat.
ACT 16:6 Mereka menjelajahi pula Frigia dan Galatia, kerana Roh Suci melarang mereka menyampaikan firman Allah di Asia.
ACT 16:7 Setelah sampai di sempadan Misia, mereka mencuba masuk ke Bitinia, tetapi dilarang oleh Roh Isa.
ACT 16:8 Oleh itu mereka terus ke Troas melalui Misia.
ACT 16:9 Pada malam itu Paulus mendapat suatu penglihatan: seorang Makedonia berdiri di hadapannya sambil memohon, ‘Marilah ke Makedonia menolong kami.’
ACT 16:10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami pun hendak segera bertolak ke Makedonia, kerana pada hemat kami Allah memerintahkan kami menyampaikan berita baik kepada orang di situ.
ACT 16:11 Oleh yang demikian, kami belayar dari Troas terus ke Samotrake dan esoknya ke Neapolis;
ACT 16:12 dan dari situ ke Filipi, sebuah kota di Makedonia, yang termasuk jajahan Empayar Rom; kami tinggal beberapa hari di situ.
ACT 16:13 Pada hari Sabat kami pergi ke luar pintu gerbang kota ke tepi sungai, kerana di situ kami jangka ada tempat orang berdoa. Kami duduk bercakap dengan perempuan yang berhimpun di situ.
ACT 16:14 Salah seorang yang mendengar kami bercakap ialah seorang perempuan bernama Lidia, yang berjual kain ungu dan berasal dari Tiatira. Dia penyembah Allah. Tuhan membukakan hatinya lalu dia menerima segala yang dikatakan oleh Paulus.
ACT 16:15 Setelah dia dan seisi rumahnya diimadkan, dia berkata, ‘Jika pada hemat kamu, aku ini benar-benar percaya akan Junjungan, marilah tinggal di rumahku.’ Demikian dia bersungguh-sungguh mengajak kami ke rumahnya.
ACT 16:16 Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu.
ACT 16:17 Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, ‘Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!’
ACT 16:18 Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, ‘Dengan nama Isa al-Masih aku perintahkan kamu keluar daripadanya!’ Roh itu pun keluar serta-merta.
ACT 16:19 Apabila tuan-tuan budak perempuan itu sedar bahawa sumber keuntungan mereka telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota.
ACT 16:20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Rom dan berkata, ‘Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi
ACT 16:21 dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Rom.’
ACT 16:22 Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat.
ACT 16:23 Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat.
ACT 16:24 Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka.
ACT 16:25 Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka.
ACT 16:26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.
ACT 16:27 Apabila ketua penjara terjaga daripada tidur dan melihat semua pintu penjara itu terbuka, dia menghunus pedang hendak membunuh diri, kerana sangkanya semua orang yang terpenjara telah lepas lari.
ACT 16:28 Akan tetapi Paulus berseru dengan lantang, ‘Jangan apa-apakan dirimu, kami semua ada di sini.’
ACT 16:29 Ketua penjara meminta pelita lalu berlari masuk serta sujud dengan gementar di hadapan Paulus dan Silas.
ACT 16:30 Kemudian dia membawa mereka keluar lalu berkata, ‘Tuan-tuan, apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?’
ACT 16:31 Mereka menjawab, ‘Percayalah kepada Junjungan Isa, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.’
ACT 16:32 Mereka pun menyampaikan firman Tuhan kepadanya dan seisi rumahnya.
ACT 16:33 Pada malam itu juga ketua penjara membasuhkan luka-luka Paulus dan Silas. Dia dan seisi rumahnya diimadkan.
ACT 16:34 Selepas itu dia membawa Paulus dan Silas naik ke rumahnya serta menghidangkan makanan untuk mereka dengan amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah.
ACT 16:35 Setelah hari siang, pegawai-pegawai kerajaan Rom menghantar anggota polis untuk menyampaikan perintah membebaskan Paulus dan Silas.
ACT 16:36 Ketua penjara memberitahu mereka tentang perintah itu, ‘Pegawai-pegawai menyuruh tuan-tuan dibebaskan. Oleh itu keluarlah dan pergilah dengan sejahtera.’
ACT 16:37 Akan tetapi Paulus berkata, ‘Mereka telah menyebat kami di hadapan orang ramai tanpa menyiasat, sungguhpun kami orang Rom. Mereka telah memasukkan kami ke dalam penjara. Sekarang mereka hendak membebaskan kami senyap-senyap? Tidak boleh begitu! Hendaklah mereka sendiri datang membawa kami keluar.’
ACT 16:38 Kata-kata Paulus itu disampaikan oleh anggota polis kepada pegawai-pegawai itu. Apabila mendengar bahawa Paulus dan Silas orang Rom, pegawai-pegawai itu pun takut
ACT 16:39 lalu datang memujuk mereka, membawa mereka keluar dan meminta mereka meninggalkan kota itu.
ACT 16:40 Paulus dan Silas keluar dari penjara lalu pergi ke rumah Lidia. Setelah bertemu dengan pengikut-pengikut Isa di situ dan menetapkan hati mereka, Paulus dan Silas pun meneruskan perjalanan.
ACT 17:1 Paulus dan Silas melalui Amfipolis dan Apolonia lalu sampai di Tesalonika. Di situ ada saumaah.
ACT 17:2 Seperti biasa, Paulus masuk dan berbincang dengan orang di situ tiga hari Sabat berturut-turut tentang ayat-ayat Kitab Suci.
ACT 17:3 Dia menyatakan dan menunjukkan bahawa al-Masih mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, ‘Isa yang kusebutkan kepadamu inilah al-Masih.’
ACT 17:4 Beberapa orang di situ percaya lalu bersahabat dengan Paulus dan Silas; antara mereka terdapat sebilangan besar orang Yunani yang taat akan Allah serta cukup ramai wanita yang terkemuka.
ACT 17:5 Tetapi orang Yahudi berasa dengki lalu mengumpulkan orang jahat dan memulakan huru-hara di kota itu; mereka menyerang rumah Yason untuk membawa keluar rasul-rasul itu menghadap orang ramai.
ACT 17:6 Apabila mereka tidak menemui Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang lagi pengikut Isa ke hadapan pegawai-pegawai yang berkuasa sambil berseru, ‘Orang ini telah menimbulkan kekacauan di merata-rata dan sekarang mereka datang pula ke sini
ACT 17:7 lalu dialu-alukan oleh Yason ke rumahnya. Mereka ini melanggar undang-undang Kaisar Rom dengan mengatakan ada orang lain yang menjadi raja, bernama Isa.’
ACT 17:8 Apabila orang ramai dan pegawai kerajaan mendengar kata-kata itu, mereka pun gempar.
ACT 17:9 Mereka menerima ikat jamin untuk Yason dan yang lain lalu membenarkan mereka pergi.
ACT 17:10 Para pengikut Isa itu segera menyuruh Paulus dan Silas bertolak ke Beria pada waktu malam. Setelah sampai di sana, mereka masuk ke saumaah.
ACT 17:11 Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus.
ACT 17:12 Oleh yang demikian ramailah di antara mereka yang percaya, baik wanita-wanita Yunani yang berkedudukan tinggi mahupun kaum lelaki.
ACT 17:13 Akan tetapi apabila orang Yahudi di Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus menyebarkan firman Allah di Beria juga, mereka pergi menghasut dan mengapi-apikan orang di situ supaya merusuh.
ACT 17:14 Para pengikut Isa di Beria segera menyuruh hantar Paulus ke pantai manakala Silas dan Timotius masih di Beria.
ACT 17:15 Orang yang menghantar Paulus itu membawanya hingga ke Atena; setelah menerima pesan Paulus menyuruh Silas dan Timotius segera menyertainya, orang itu pun pulang ke Beria.
ACT 17:16 Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala.
ACT 17:17 Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang taat akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.
ACT 17:18 Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, ‘Apa yang dibebelkannya itu?’ Yang lain berkata, ‘Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang dewa-dewa orang bangsa asing.’ Demikianlah kata mereka kerana Paulus menyebarkan berita baik tentang Isa dan kebangkitan daripada kematian.
ACT 17:19 Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, ‘Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini?
ACT 17:20 Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini.’
ACT 17:21 (Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).
ACT 17:22 Paulus berdiri di tengah Areopagus itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan.
ACT 17:23 Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: “Kepada Tuhan yang tidak diketahui.” Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
ACT 17:24 ‘Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya serta memerintah langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,
ACT 17:25 dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
ACT 17:26 Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka hidup.
ACT 17:27 Masing-masing diharap mencari Tuhan, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.
ACT 17:28 “Kerana-Nya kita bergerak serta ada di dunia ini.” Sebagaimana kata penyair bangsamu, “Kita adalah anak-Nya.”
ACT 17:29 ‘Oleh sebab kita anak-Nya, tidak patut kita sangka Dia serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.
ACT 17:30 Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;
ACT 17:31 kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.’
ACT 17:32 Apabila mendengar ‘membangkitkan-Nya daripada kematian’, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, ‘Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.’
ACT 17:33 Selepas itu Paulus keluar daripada perhimpunan itu.
ACT 17:34 Namun, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.
ACT 18:1 Seterusnya, Paulus berangkat dari Atena ke Korintus.
ACT 18:2 Apabila tiba di situ, dia bertemu dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang lahir di kota Pontus. Dia baru datang dari Itali dengan isterinya Priskila, kerana Klaudius telah menitahkan semua orang Yahudi keluar dari Rom. Paulus pergi menemui mereka
ACT 18:3 lalu tinggal dan bekerja bersama mereka kerana mata pencarian mereka sama iaitu sebagai tukang khemah.
ACT 18:4 Pada setiap hari Sabat, Paulus berhujah di saumaah untuk meyakinkan orang Yahudi dan juga orang Yunani menjadi pengikut Isa.
ACT 18:5 Setelah Silas dan Timotius sampai di situ dari Makedonia, Paulus menumpukan masa kepada usaha menyampaikan firman Allah serta memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Isa itulah al-Masih.
ACT 18:6 Akan tetapi mereka menentang dan mencelanya; maka Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya lalu berkata, ‘Jika kamu musnah, kamu sendirilah yang bertanggungjawab, aku tidak salah, aku bersih. Dari sekarang aku hendak pergi kepada orang bangsa asing.’
ACT 18:7 Paulus pun berpindah ke rumah Titus Yustus, seorang yang menyembah Allah; rumahnya bersebelahan dengan saumaah.
ACT 18:8 Krispus, ketua saumaah itu, serta seisi rumahnya, percaya kepada Junjungan Isa; ramai lagi orang Korintus turut mendengar dan percaya lalu diimadkan.
ACT 18:9 Pada suatu malam Tuhan berfirman kepada Paulus dalam satu penglihatan, ‘Jangan takut, berkata-katalah terus dan jangan berhenti,
ACT 18:10 kerana Aku menyertaimu. Tiada seorang pun akan dapat mencederakanmu, kerana ramai orang di kota ini umat-Ku.’
ACT 18:11 Paulus tinggal di situ setahun setengah sambil menyebarkan firman Allah kepada orang di situ.
ACT 18:12 Semasa Galio menjadi pemerintah negeri Akhaya, orang Yahudi bangkit dengan sehati melawan Paulus lalu membawanya ke muka keadilan.
ACT 18:13 Mereka berkata, ‘Orang ini cuba mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bercanggah dengan hukum Taurat.’
ACT 18:14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata, ‘Hai orang Yahudi, jikalau perkara ini tentang kesalahan atau jenayah, patutlah aku bersabar mendengarnya;
ACT 18:15 tetapi jikalau pertikaianmu tentang perkataan, nama dan hukummu hendaklah kamu menyelesaikannya sendiri; aku tidak mahu mengadili perkara yang demikian.’
ACT 18:16 Lalu Galio mengusir mereka keluar dari tempat pengadilan itu.
ACT 18:17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua saumaah, lalu memukulnya di hadapan tempat pengadilan itu, tetapi Galio tidak menghiraukannya.
ACT 18:18 Paulus tinggal dengan para pengikut Isa di Korintus beberapa hari lagi. Selepas itu dia meninggalkan mereka lalu belayar bersama Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea sebagai menunaikan nazarnya.
ACT 18:19 Apabila mereka sampai di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila di situ. Dia masuk seorang ke saumaah lalu berbincang dengan orang Yahudi.
ACT 18:20 Ketika mereka memintanya tinggal lebih lama lagi di sana, dia menolak permintaan itu
ACT 18:21 lalu bermohon diri sambil berkata, ‘Insya-Allah, aku akan kembali bertemu denganmu.’ Selepas itu dia belayar meninggalkan Efesus.
ACT 18:22 Setelah sampai di Kaisarea, dia naik memberi salam kepada jemaah, lalu turun ke Antiokhia.
ACT 18:23 Di sana dia tinggal beberapa lama, kemudian berangkat melawat seluruh daerah Galatia dan Frigia serta mengukuhkan iman para pengikut Isa di situ.
ACT 18:24 Pada masa itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Iskandaria, pandai berpidato dan amat memahami Kitab Suci, datang ke Efesus.
ACT 18:25 Dia telah diajar tentang jalan Tuhan, dan dengan bersungguh-sungguh dia berkata-kata dan mengajarkan ajaran Isa dengan betul, walaupun dia hanya mengetahui pengimadan Yahya.
ACT 18:26 Dia mula bercakap dengan berani di saumaah. Priskila dan Akwila mendengar dia bercakap lalu membawanya ke tempat tinggal mereka dan menerangkan jalan Allah kepadanya dengan lebih betul lagi.
ACT 18:27 Apabila dia hendak menyeberang ke Akhaya, para pengikut Isa di Efesus membantunya dengan menulis surat kepada saudara-saudara seiman di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Setibanya di Akhaya, dia banyak menolong orang yang dengan kasih kurnia Allah telah beriman.
ACT 18:28 Dengan wibawa yang penuh Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perbahasan di hadapan orang ramai. Dengan memetik ayat-ayat Kitab Suci, dia membuktikan bahawa Isa itu al-Masih.
ACT 19:1 Sementara Apolos berada di Korintus, Paulus menjelajahi kawasan pedalaman lalu sampai di Efesus. Di situ dia bertemu dengan beberapa orang pengikut Isa
ACT 19:2 lalu berkata, ‘Adakah kamu menerima Roh Suci pada waktu kamu percaya kepada Isa?’ Mereka menjawab, ‘Kami belum pernah mendengar pun tentang adanya Roh Suci.’
ACT 19:3 Paulus bertanya, ‘Kalau begitu, dalam pengimadan apakah kamu diimadkan?’ Kata mereka, ‘Dalam pengimadan Yahya.’
ACT 19:4 Paulus berkata, ‘Yahya telah mengimadkan orang dengan pengimadan taubat dan berkata kepada mereka bahawa mereka hendaklah mempercayai Dia yang akan datang selepasnya, iaitu Isa.’
ACT 19:5 Setelah mereka mendengar penerangan itu, mereka diimadkan dengan nama Junjungan Isa.
ACT 19:6 Paulus meletakkan tangan di atas mereka lalu datanglah Roh Suci menguasai mereka dan mereka semuanya bercakap dalam berbagai-bagai bahasa serta bernubuat.
ACT 19:7 Semuanya ada kira-kira dua belas orang.
ACT 19:8 Paulus masuk ke saumaah dan bercakap di situ dengan beraninya selama tiga bulan. Dia berbincang dengan orang di situ dan berusaha meyakinkan mereka tentang kerajaan Allah.
ACT 19:9 Akan tetapi beberapa orang berkeras hati dan tidak mahu percaya malah memburuk-burukkan Jalan Tuhan di hadapan orang ramai. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka lalu membawa pengikut-pengikut Isa bersamanya ke dewan syarahan Tiranus dan di situlah dia mengadakan perbincangan.
ACT 19:10 Hal itu berlaku selama dua tahun, hingga semua penduduk Asia, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, telah mendengar firman Tuhan.
ACT 19:11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus.
ACT 19:12 Sesetengah mereka membawa pulang sapu tangan atau kain yang pernah dipakai Paulus kepada orang yang sakit lalu mereka sembuh dan roh-roh iblis yang merasuk mereka keluar dari tubuh mereka.
ACT 19:13 Beberapa orang Yahudi yang mengamalkan ilmu sihir turut serta menyebut nama Junjungan Isa untuk mengubat orang yang dirasuk roh-roh iblis, dengan berkata, ‘Aku menyumpahi kamu demi Isa yang dikhabarkan oleh Paulus.’
ACT 19:14 Ada tujuh orang anak Skewa, imam besar orang Yahudi, yang berbuat demikian.
ACT 19:15 Akan tetapi roh durjana itu menjawab, ‘Aku kenal akan Isa, dan tahu akan Paulus, tetapi kamu ini siapa?’
ACT 19:16 Lalu orang yang dirasuk roh durjana itu menerkam dan mengerjakan mereka. Mereka pun lari dari dalam rumah itu dalam keadaan telanjang dan luka.
ACT 19:17 Berita itu tersebar di kalangan orang Yahudi mahupun Yunani di Efesus; mereka ketakutan lalu nama Junjungan Isa semakin dimuliakan.
ACT 19:18 Ramai orang yang mempercayai Isa datang sambil mengakui segala perbuatan jahat mereka yang lalu.
ACT 19:19 Beberapa orang yang mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan semua buku sihirnya dan membakarnya di hadapan orang ramai. Semua buku sihir itu dianggar nilainya kira-kira lima puluh ribu keping wang perak.
ACT 19:20 Demikianlah, firman Tuhan tersebar luas dan semakin berkuasa.
ACT 19:21 Setelah selesai peristiwa itu, Paulus berniat dalam hatinya hendak menjelajahi Makedonia dan Akhaya dan kemudian ke Baitulmaqdis. Dia berkata, ‘Selepas itu, aku mesti pergi ke Rom pula.’
ACT 19:22 Dia pun menyuruh Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantu-pembantunya, pergi dahulu ke Makedonia, manakala dia tinggal lebih lama di Asia.
ACT 19:23 Pada masa itu berlaku huru-hara di Efesus kerana ajaran tentang Jalan Tuhan.
ACT 19:24 Seorang tukang perak bernama Demetrius membuat balai-balai berhala Dewi Artemis daripada perak. Pekerjaan ini membawa hasil lumayan kepada pekerja-pekerjanya.
ACT 19:25 Dia menghimpunkan para pekerja serta tukang-tukang yang sama mata pencariannya lalu berkata, ‘Saudara-saudara sekalian tahu bahawa daripada pekerjaan inilah kita mendapat keuntungan.
ACT 19:26 Saudara-saudara juga melihat dan mendengar bahawa di Efesus ini malah hampir di seluruh Asia, Paulus itu telah mempengaruhi ramai orang dengan berkata bahawa barang yang diperbuat oleh manusia bukannya dewa.
ACT 19:27 Dengan demikian, apa yang dikhuatiri bukan saja mata pencarian kita ini dihina, bahkan rumah Artemis, dewi yang besar itu pun tidak akan diindahkan lagi, lalu hilanglah kebesaran dewi yang disembah orang di seluruh Asia malah di serata dunia.’
ACT 19:28 Setelah mendengar kata-kata itu, semua yang hadir naik berang dan berseru, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’
ACT 19:29 Dengan demikian orang ramai merusuh di kota itu. Mereka menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu.
ACT 19:30 Paulus hendak pergi bercakap kepada orang ramai tetapi para pengikut Isa tidak membenarkannya.
ACT 19:31 Beberapa orang pegawai kerajaan yang bersahabat dengan Paulus berpesan kepadanya supaya jangan masuk ke stadium itu.
ACT 19:32 Orang yang berkumpul di situ berseru-seru, sesetengah berkata begini dan sesetengah begitu; kerana semuanya dalam keadaan kelam-kabut dan sebilangan besar daripada mereka tidak tahu mengapa mereka berhimpun.
ACT 19:33 Orang Yahudi menolak Iskandar ke hadapan untuk menghadapi orang ramai. Iskandar memberikan isyarat dengan tangannya kerana dia hendak menjelaskan segalanya kepada mereka.
ACT 19:34 Akan tetapi apabila mereka mengenalinya sebagai orang Yahudi, semuanya berseru serentak selama kira-kira dua jam, ‘Maha besar Artemis, dewi orang Efesus!’
ACT 19:35 Ketika itu setiausaha kota menyuruh mereka diam lalu berkata, ‘Hai orang Efesus, siapa yang tidak tahu bahawa orang kota Efesuslah yang memelihara kuil dewi besar Artemis dan patung sucinya yang turun dari langit?
ACT 19:36 Ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu kamu patut bertenang dan jangan bertindak gopoh-gapah.
ACT 19:37 Kedua-dua orang ini tidak merampas harta tempat berhala dan tidak pula menghina dewi kita, tetapi kamu membawa mereka ke mari.
ACT 19:38 Jika Demetrius dan tukang-tukang yang menyertainya itu ada sesuatu yang hendak diadukan tentang sesiapa, kita mempunyai mahkamah perbicaraan dan hakim; hendaklah mereka mendakwa orang berkenaan di mahkamah.
ACT 19:39 Jika kamu menuntut perkara lain, hendaklah diselesaikan dalam majlis yang berpatutan.
ACT 19:40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan didakwa menimbulkan huru-hara tanpa sebab; dan kita tidak dapat memberikan alasan yang wajar untuk membenarkan perhimpunan ini.’
ACT 19:41 Selepas itu, setiausaha kota menyuruh perhimpunan itu bersurai.
ACT 20:1 Setelah kota itu aman semula, Paulus memanggil para pengikut Isa dan menasihatkan mereka, kemudian memohon diri lalu bertolak ke Makedonia.
ACT 20:2 Dia menjelajahi seluruh Makedonia sambil memberi nasihat kepada orang di situ. Kemudian dia tiba di Yunani dan
ACT 20:3 tinggal di sana selama tiga bulan. Apabila dia hendak belayar ke Siria, dia mendengar bahawa orang Yahudi berpakat hendak membunuhnya. Oleh itu dia membuat keputusan hendak berangkat melalui Makedonia.
ACT 20:4 Dia diiringi hingga ke Asia oleh Sopater anak Purrus orang Beria, oleh Aristarkhus dan Sekundus orang Tesalonika, oleh Gayus orang Derbe, Timotius, dan dua orang dari Asia, Tikhikus dan Trofimus.
ACT 20:5 Mereka berjalan dahulu, menantikan kami di Troas.
ACT 20:6 Kami belayar dari Filipi selepas Perayaan Roti Tidak Beragi, lalu menemui mereka di Troas lima hari kemudian. Kami tinggal di situ selama tujuh hari.
ACT 20:7 Pada hari pertama minggu itu, kami berkumpul untuk memecah-mecahkan roti. Paulus yang akan belayar esoknya bercakap dengan orang di situ sampai tengah malam.
ACT 20:8 Di dalam bilik atas, tempat kami berhimpun itu, ada beberapa pelita.
ACT 20:9 Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Dia tertidur sementara Paulus masih bercakap. Oleh sebab lena tidurnya, pemuda itu jatuh dari tingkat ketiga itu sampai ke bawah. Orang mengangkatnya dan mendapatinya sudah mati.
ACT 20:10 Paulus turun lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu serta memeluknya sambil berkata, ‘Jangan bimbang, kerana ada lagi nyawanya.’
ACT 20:11 Selepas itu dia naik, membahagikan roti, makan lalu bertutur sampai dinihari. Kemudian dia pun berangkat.
ACT 20:12 Pemuda itu didapati hidup dan dibawa pulang ke rumahnya. Mereka semua amat terhibur.
ACT 20:13 Kami berjalan dulu naik ke kapal lalu belayar ke Asos untuk menyambut Paulus di sana; demikianlah yang telah dirancangnya, kerana dia sendiri hendak berjalan kaki.
ACT 20:14 Setelah menyambutnya di Asos, kami mengiringinya ke Metilene.
ACT 20:15 Kami belayar dari sana: Esoknya kami bertentangan dengan pulau Khios; lusanya kami singgah di Samos; dan tulatnya kami sampai di Miletus.
ACT 20:16 Paulus telah membuat keputusan untuk belayar melalui Efesus, supaya jangan berlarutan di Asia; dia hendak cepat, dengan harapan sampai di Baitulmaqdis pada Perayaan Pentakosta.
ACT 20:17 Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ.
ACT 20:18 Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, ‘Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia.
ACT 20:19 Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi.
ACT 20:20 Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing,
ACT 20:21 sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Junjungan Isa.
ACT 20:22 ‘Sekarang aku pergi ke Baitulmaqdis mentaati perintah Roh Suci sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku.
ACT 20:23 Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Suci telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku.
ACT 20:24 Tetapi sekali-kali aku tidak mengindahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Junjungan Isa iaitu memberikan kesaksian akan berita baik tentang kasih kurnia Allah.
ACT 20:25 ‘Sekarang ingatlah. Aku tahu bahawa kamu tidak akan memandang mukaku lagi, setelah sekian lama aku bersamamu dan mengajarmu tentang kerajaan Allah.
ACT 20:26 Oleh itu pada hari ini aku bersaksi bahawa aku tidak bersalah terhadap penumpahan darah manusia.
ACT 20:27 Aku telah menyatakan kepadamu seluruh kehendak Allah dengan sepenuh kerelaan.
ACT 20:28 Jagalah dirimu dan semua orang yang telah diamanahkan oleh Roh Suci kepada kamu untuk memeliharanya seperti gembala memelihara domba, iaitu jemaah Tuhan yang telah ditebus-Nya dengan darah-Nya sendiri.
ACT 20:29 Aku tahu bahawa sepeninggalanku nanti, beberapa serigala garang akan masuk menyerang jemaah ini;
ACT 20:30 malah dari antara kamu sendiri akan bangkit beberapa orang yang memesongkan ajaran yang benar dan berusaha menarik ahli-ahli jemaah mengikut mereka.
ACT 20:31 Oleh itu berjaga-jagalah, serta ingatlah bagaimana selama tiga tahun aku tidak berhenti-henti siang malam menasihatkan setiap orang dengan air mataku.
ACT 20:32 ‘Sekarang aku menyerahkan kamu kepada Allah dan kepada perkhabaran tentang kasih kurnia Allah, yang berkuasa meneguhkan imanmu dan memberimu warisan yang diperuntukkan bagi seluruh umat Allah.
ACT 20:33 Aku tidak pernah ingin memiliki emas perak atau pakaian orang.
ACT 20:34 Kamu tahu bahawa kedua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku.
ACT 20:35 Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Junjungan Isa, “Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.” ’
ACT 20:36 Setelah berkata demikian, Paulus berlutut dan berdoa-doa bersama semua yang hadir.
ACT 20:37 Semuanya menangis seraya memeluk dan mencium Paulus.
ACT 20:38 Mereka berdukacita terutamanya kerana dia berkata bahawa mereka tidak akan memandang mukanya lagi. Kemudian mereka menghantarkannya ke kapal.
ACT 21:1 Setelah berpisah dengan mereka, kami belayar ke Kos, dan esoknya ke Rodos, dan dari sana ke Patara.
ACT 21:2 Kami mendapati ada sebuah kapal yang hendak menyeberang ke Fenesia. Kami menaikinya lalu belayar.
ACT 21:3 Setelah kelihatan Kiprus di sebelah kiri, kami terus belayar ke Siria lalu turun di kota Tirus kerana kapal itu hendak memunggah muatannya di situ.
ACT 21:4 Kami menemui para pengikut Isa lalu tinggal di kota itu selama tujuh hari. Melalui pimpinan Roh Suci mereka menggesa Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis.
ACT 21:5 Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua pengikut Isa bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman.
ACT 21:6 Selepas itu kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
ACT 21:7 Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudara-saudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari.
ACT 21:8 Esoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi salah seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya.
ACT 21:9 Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat.
ACT 21:10 Setelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
ACT 21:11 Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, ‘Demikianlah kata Roh Suci, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Baitulmaqdis oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.’
ACT 21:12 Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis.
ACT 21:13 Paulus menjawab, ‘Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Baitulmaqdis demi Junjungan Isa.’
ACT 21:14 Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, ‘Berlakulah kehendak Tuhan.’
ACT 21:15 Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis.
ACT 21:16 Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
ACT 21:17 Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
ACT 21:18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
ACT 21:19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
ACT 21:20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat.
ACT 21:21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
ACT 21:22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
ACT 21:23 Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
ACT 21:24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
ACT 21:25 Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
ACT 21:26 Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
ACT 21:27 Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
ACT 21:28 sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’
ACT 21:29 Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat.
ACT 21:30 Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup.
ACT 21:31 Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh.
ACT 21:32 Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
ACT 21:33 Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah itu dan apakah yang telah dilakukannya.
ACT 21:34 Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu.
ACT 21:35 Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas.
ACT 21:36 Mereka mengikut sambil berseru-seru, ‘Hapuskan dia!’
ACT 21:37 Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, ‘Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?’ Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Kamu tahu bahasa Yunani?
ACT 21:38 Bukankah kamu ini orang Mesir yang dulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?’
ACT 21:39 Paulus berkata, ‘Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.’
ACT 21:40 Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani,
ACT 22:1 ‘Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.’
ACT 22:2 Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap. Paulus berkata,
ACT 22:3 ‘Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini.
ACT 22:4 Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan.
ACT 22:5 Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para pengikut Isa di sana dan membawa mereka ke Baitulmaqdis ini untuk diseksa.
ACT 22:6 ‘Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar bersinar dari langit mengelilingiku.
ACT 22:7 Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, “Saul, Saul, mengapa engkau aniayakan Aku?”
ACT 22:8 ‘Aku berkata, “Siapakah Engkau, Tuan?” ‘Jawab-Nya, “Akulah Isa orang Nasaret yang kauaniayakan.”
ACT 22:9 Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu.
ACT 22:10 ‘Aku berkata, “Tuan, apakah yang harus kulakukan?” ‘Dia menjawab, “Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untukmu melakukannya.”
ACT 22:11 Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.
ACT 22:12 ‘Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik.
ACT 22:13 Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, “Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!” Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya.
ACT 22:14 ‘Dia berkata, “Allah, Tuhan nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Isa serta mendengar suara-Nya.
ACT 22:15 Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu.
ACT 22:16 Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk diimadkan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.”
ACT 22:17 ‘Setelah aku pulang ke Baitulmaqdis, sedang aku berdoa di rumah ibadat, aku terlalai
ACT 22:18 lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, “Segeralah keluar dari Baitulmaqdis, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.”
ACT 22:19 ‘Aku berkata, “Ya Junjungan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah;
ACT 22:20 dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.”
ACT 22:21 ‘Kata-Nya kepadaku, “Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.”’
ACT 22:22 Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, ‘Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!’
ACT 22:23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan.
ACT 22:24 Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya.
ACT 22:25 Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, ‘Jikalau seorang warganegara Rom belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?’
ACT 22:26 Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, ‘Apa kamu hendak buat? Orang ini warganegara Rom.’
ACT 22:27 Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, ‘Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warganegara Rom?’ Paulus menjawab, ‘Ya.’
ACT 22:28 Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Aku dapat menjadi warganegara dengan bayaran yang tinggi.’ Paulus menjawab, ‘Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Rom.’
ACT 22:29 Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warganegara Rom.
ACT 22:30 Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.
ACT 23:1 Paulus merenung perhimpunan itu lalu berkata, ‘Saudara-saudara, dengan setulus hati aku telah melakukan segalanya di sisi Allah sampai hari ini.’
ACT 23:2 Ananias, imam besar, menyuruh orang yang berdiri di sisi Paulus menampar mulutnya.
ACT 23:3 Paulus berkata kepadanya, ‘Allah akan menampar mulutmu nanti. Kamu seperti tembok yang dicat putih! Kamu sekarang duduk untuk mengadiliku menurut hukum tetapi kamu sendiri melanggar hukum itu dengan menyuruh orang menamparku!’
ACT 23:4 Orang yang berdiri di sisi Paulus berkata, ‘Beranikah kamu mencela imam besar Tuhan?’
ACT 23:5 Paulus menjawab, ‘Saudara-saudara, aku tidak tahu dia itu imam besar. Memang tersurat di dalam Kitab Suci, “Jangan hinakan pemimpin bangsamu.”’
ACT 23:6 Paulus mengetahui bahawa dalam perhimpunan itu separuhnya orang Saduki dan separuhnya orang Farisi. Dia pun berkata, ‘Saudara-saudara, aku ini orang Farisi dan anak orang Farisi. Aku didakwa kerana percaya akan kebangkitan daripada kematian.’
ACT 23:7 Dengan demikian orang Farisi dan orang Saduki mula berbahas. Seluruh perhimpunan berpecah kepada dua pihak.
ACT 23:8 Orang Saduki mengatakan bahawa tiada kebangkitan daripada kematian, tiada malaikat dan tiada roh; tetapi orang Farisi percaya akan semuanya.
ACT 23:9 Pertengkaran besar tercetus. Beberapa orang guru Taurat dari pihak orang Farisi bangkit dan menegaskan dengan penuh kesungguhan, ‘Kami dapati orang ini tidak bersalah langsung. Mungkin sekali roh atau malaikat telah bercakap dengannya.’
ACT 23:10 Perkelahian menjadi begitu sengit sehingga ketua pasukan tentera itu takut kalau-kalau Paulus diserang. Dia menyuruh askar-askar segera mengambil Paulus dengan paksaan dari tengah-tengah orang itu dan membawanya ke dalam kubu.
ACT 23:11 Pada malam berikut itu Tuhan berdiri di sisinya dan berkata, ‘Tetapkanlah hatimu; kerana sebagaimana kamu telah bersaksi tentang-Ku dengan sungguh-sungguh di Baitulmaqdis ini, begitulah kamu akan bersaksi di Rom pula.’
ACT 23:12 Setelah hari siang, orang Yahudi membuat pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus.
ACT 23:13 Lebih empat puluh orang sepakat mengangkat sumpah itu.
ACT 23:14 Mereka semua menghadap ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat mereka lalu berkata, ‘Kami telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga kami membunuh Paulus itu.
ACT 23:15 Kamu dan ahli-ahli Majlis Agama tolonglah minta ketua pasukan tentera itu hadapkan Paulus kepada kamu esok, seolah-olah kerana kamu hendak meneliti perkara itu dengan lebih halus lagi. Kami akan bersedia untuk membunuhnya sebelum dia sampai ke sini.’
ACT 23:16 Anak saudara Paulus mendengar tentang pakatan itu lalu masuk ke kubu memberitahunya.
ACT 23:17 Paulus memanggil dan berkata kepada seorang ketua tentera, ‘Bawalah pemuda ini kepada ketua pasukan tentera kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakan kepadanya.’
ACT 23:18 Pegawai itu membawa pemuda itu berjumpa ketuanya lalu berkata, ‘Paulus, orang yang terpenjara itu, memanggilku dan meminta pemuda ini dibawa berjumpa tuan kerana ada suatu perkara yang hendak dikatakannya kepada tuan.’
ACT 23:19 Ketua pasukan tentera memegang tangan pemuda itu dan membawanya ke tempat yang sunyi lalu bertanya, ‘Apa hal yang hendak kaukatakan kepadaku itu?’
ACT 23:20 Pemuda itu berkata, ‘Orang Yahudi telah berpakat hendak meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah hendak meneliti halnya lebih halus lagi.
ACT 23:21 Janganlah tuan terpedaya oleh kata-kata mereka, kerana lebih empat puluh orang daripada mereka telah bersumpah tidak akan makan dan minum hingga mereka membunuh Paulus. Mereka akan membunuhnya sebelum dia sampai ke hadapan Majlis Agama itu. Sekarang pun mereka semua sudah sedia menantikan tuan berjanji demikian.’
ACT 23:22 Ketua pasukan tentera itu menyuruh pemuda itu pulang setelah berpesan, ‘Jangan beritahu sesiapapun bahawa kamu telah menyatakan hal ini kepadaku.’
ACT 23:23 Kemudian dia memanggil dua orang ketua tentera lalu berkata, ‘Lengkapkan dua ratus orang askar untuk pergi ke Kaisarea; askar bertombak dua ratus orang dan askar berkuda tujuh puluh. Mereka mesti bertolak pada pukul sembilan malam ini.’
ACT 23:24 Ketua tentera itu juga menyuruh melengkapkan kenderaan dan menaikkan Paulus ke atasnya untuk dibawa kepada Feliks, pemerintah negeri, dengan selamat.
ACT 23:25 Ketua tentera itu menulis surat seperti berikut:
ACT 23:26 ‘Salam daripadaku, Klaudius Lisias, kepada Feliks, pemerintah yang amat mulia.
ACT 23:27 ‘Orang ini telah ditangkap oleh orang Yahudi. Mereka hendak membunuhnya, lalu aku datang dengan askar-askar dan menyelamatkannya. Aku mendapat tahu dia warganegara Rom.
ACT 23:28 Aku ingin mengetahui apa sebabnya dia dituduh oleh bangsanya. Oleh itu aku membawanya untuk menghadap Majlis Agama mereka.
ACT 23:29 Aku mendapati dia tertuduh atas beberapa pertikaian tentang hukum agama; tetapi tiada suatu tuduhan pun yang patut dihukum bunuh atau penjara.
ACT 23:30 Apabila aku diberitahu tentang suatu pakatan hendak membunuh orang ini, aku segera menghantarkannya kepada tuan. Aku berpesan kepada mereka yang menuduhnya supaya mendakwanya di hadapan tuan.’
ACT 23:31 Askar-askar mengambil Paulus sebagaimana diarahkan lalu membawanya pada waktu malam ke Antipatris.
ACT 23:32 Esoknya askar berkuda sahaja meneruskan perjalanan bersama Paulus manakala askar yang lain pulang ke Baitulmaqdis.
ACT 23:33 Setelah sampai ke Kaisarea, surat itu dipersembahkan kepada pemerintah dan Paulus pun dihadapkan kepadanya.
ACT 23:34 Selepas membaca surat itu, pemerintah itu bertanya kepada Paulus di mana negeri asalnya. Apabila dia mendengar bahawa Paulus orang Kilikia,
ACT 23:35 dia berkata, ‘Aku akan mengadili perkara ini setelah pendakwa-pendakwa kamu sampai.’ Kemudian dia mengarahkan supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dulu dibina oleh Herodes.
ACT 24:1 Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan pemerintah itu.
ACT 24:2 Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: ‘Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini.
ACT 24:3 Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan.
ACT 24:4 Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kamu mendengar dakwaanku yang ringkas ini.
ACT 24:5 ‘Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara di kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nasaret itu.
ACT 24:6 Malah dia cuba menajiskan rumah ibadat tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami.
ACT 24:7 Akan tetapi ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami.
ACT 24:8 Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar.’
ACT 24:9 Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar.
ACT 24:10 Setelah menerima isyarat daripada pemerintah itu menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: ‘Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu.
ACT 24:11 Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Baitulmaqdis untuk beribadat.
ACT 24:12 Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di rumah ibadat, saumaah, atau di mana-mana di kota itu.
ACT 24:13 Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku.
ACT 24:14 Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah, Tuhan nenek moyangku, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat di dalam kitab nabi-nabi.
ACT 24:15 Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat.
ACT 24:16 Oleh itu aku sentiasa berusaha supaya hatiku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.
ACT 24:17 ‘Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Baitulmaqdis membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban.
ACT 24:18 Mereka mendapati aku di dalam rumah ibadat setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara.
ACT 24:19 Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku.
ACT 24:20 Ataupun biarlah orang ini menyatakan apa kesalahan yang didapatinya pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu.
ACT 24:21 Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, “Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.” ’
ACT 24:22 Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, ‘Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.’
ACT 24:23 Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.
ACT 24:24 Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Isa al-Masih.
ACT 24:25 Apabila Paulus bercakap tentang kebenaran, tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, ‘Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.’
ACT 24:26 Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu dia kerapkali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.
ACT 24:27 Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.
ACT 25:1 Tiga hari selepas Festus menjadi pemerintah negeri itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Baitulmaqdis.
ACT 25:2 Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus.
ACT 25:3 Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Baitulmaqdis kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan.
ACT 25:4 Akan tetapi Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana.
ACT 25:5 Dia berkata, ‘Oleh itu hendaklah orang yang berkuasa di antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya.’
ACT 25:6 Setelah tinggal di Baitulmaqdis kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya.
ACT 25:7 Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Baitulmaqdis itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka.
ACT 25:8 Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata ‘Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap rumah ibadat, atau terhadap Kaisar.’
ACT 25:9 Akan tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, ‘Mahukah kamu pergi ke Baitulmaqdis supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?’
ACT 25:10 Paulus menjawab, ‘Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum.
ACT 25:11 Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar.’
ACT 25:12 Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, ‘Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!’
ACT 25:13 Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus.
ACT 25:14 Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, ‘Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara.
ACT 25:15 Ketika aku di Baitulmaqdis, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum.
ACT 25:16 ‘Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Rom, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri.
ACT 25:17 Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah.
ACT 25:18 Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan.
ACT 25:19 Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Isa yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus.
ACT 25:20 Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Baitulmaqdis supaya dibicarakan di sana.
ACT 25:21 Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.’
ACT 25:22 Agripa berkata, ‘Aku pun ingin mendengar orang itu.’ Festus menjawab, ‘Esok dapatlah kamu mendengarnya.’
ACT 25:23 Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk.
ACT 25:24 Festus berkata, ‘Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Baitulmaqdis mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi.
ACT 25:25 Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhkan hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar.
ACT 25:26 Namun, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan.
ACT 25:27 Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.’
ACT 26:1 Setelah itu Agripa berkata kepada Paulus, ‘Sekarang kamu diberi izin untuk membela dirimu.’ Paulus pun memberikan isyarat dengan tangannya lalu membela dirinya demikian,
ACT 26:2 ‘Tuanku Raja Agripa, aku berasa bahagia kerana dapat menjawab tuduhan orang Yahudi ke atasku di hadapan kamu pada hari ini;
ACT 26:3 lebih-lebih lagi kerana kamu memahami adat dan perselisihan yang berlaku di kalangan orang Yahudi. Oleh itu aku memohon kamu mendengarku dengan sabar.
ACT 26:4 ‘Semua orang Yahudi telah maklum tentang diriku dari muda lagi, ketika di negeriku dan kemudiannya di Baitulmaqdis.
ACT 26:5 Dari mulanya mereka telah mengenaliku, kalaulah mereka mahu bersaksi. Mereka tahu bahawa aku menurut ajaran yang paling keras dalam agama kami kerana aku orang Farisi.
ACT 26:6 Sekarang pun aku berdiri di sini dan didakwa kerana aku berharap akan janji Allah kepada nenek moyang kami.
ACT 26:7 Dua belas suku bangsa kami tekun menyembah Allah siang malam dan berharap akan janji itu juga. Oleh sebab harapan inilah, aku dituduh oleh orang Yahudi.
ACT 26:8 Jika benar Allah membangkitkan orang daripada kematian, mengapakah pada hematmu hal itu tidak dapat dipercayai orang?
ACT 26:9 ‘Satu masa dulu, pada perasaan hatiku, wajar sekali aku mengambil pelbagai tindakan terhadap pengikut Isa orang Nasaret itu;
ACT 26:10 dan aku sudahpun berbuat demikian di Baitulmaqdis. Setelah mendapatkan kuasa daripada ketua-ketua imam, aku telah memenjarakan ramai orang yang salih; dan apabila mereka dibunuh, aku menyetujui pembunuhan itu.
ACT 26:11 Kerapkali di saumaah-saumaah aku menyeksa mereka dalam usaha memaksa mereka berpaling daripada Isa; dan oleh sebab terlalu berang terhadap mereka, aku memburu mereka hingga ke negeri asing.
ACT 26:12 ‘Pada suatu hari sedang aku dalam perjalanan ke Damsyik, dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam,
ACT 26:13 pada waktu tengah hari, aku melihat di tengah jalan suatu cahaya datang dari langit, lebih terang daripada sinar matahari, bersinar mengelilingiku dan semua orang yang berjalan bersamaku.
ACT 26:14 Aku rebah ke bumi, lalu aku mendengar suatu suara berkata dalam bahasa Ibrani kepadaku, “Saul, Saul, mengapakah engkau menganiaya Aku? Sukarlah bagimu, seperti menendang sesuatu yang tajam.”
ACT 26:15 ‘Aku bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” ‘Dia menjawab, “Akulah Isa yang kauaniayakan.
ACT 26:16 Tetapi bangunlah, berdirilah. Aku menampakkan diri kepadamu untuk memberitahumu bahawa engkau akan membuat kerja-Ku, dan bersaksi tentang engkau melihat-Ku ini, dan tentang apa yang akan Kutunjukkan lagi kepadamu.
ACT 26:17 Aku akan menyelamatkanmu daripada orang Yahudi dan bangsa lain juga. Aku akan mengutusmu kepada mereka,
ACT 26:18 untuk mencelikkan mata mereka dan membawa mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kuasa Iblis kepada kuasa Allah. Dengan demikian dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah kerana mereka percaya akan Aku.”
ACT 26:19 ‘Oleh itu, Tuanku Raja Agripa, aku dengan sepenuh rela menurut perintah dari penglihatan yang datang dari syurga itu.
ACT 26:20 Aku telah menyampaikan kepada semua orang Damsyik, Baitulmaqdis dan seluruh tanah Yudea, juga kepada orang bangsa asing, bahawa mereka hendaklah bertaubat dan berpaling kepada Allah serta berkelakuan selaras dengan pertaubatan itu.
ACT 26:21 Itulah sebabnya orang Yahudi menangkapku di dalam rumah ibadat, serta mencari jalan hendak membunuhku.
ACT 26:22 Tetapi hingga saat ini Allah telah menolongku dan aku berdiri di sini sambil bersaksi kepada orang besar dan orang biasa, dengan mengatakan perkara yang telah dinubuatkan oleh nabi-nabi dan oleh Musa:
ACT 26:23 iaitu al-Masih pasti mengalami kematian dan menjadi orang yang pertama bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bangsa lain, penyelamatan yang seperti cahaya bagi semua.’
ACT 26:24 Sedang Paulus menegakkan pembelaannya demikian, Festus berkata dengan suara nyaring, ‘Kamu gila, Paulus; ilmu yang terlalu banyak menjadikan kamu gila.’
ACT 26:25 Paulus menjawab, ‘Aku bukannya gila, Festus yang mulia. Aku mengatakan perkara yang benar dan bijaksana.
ACT 26:26 Tuanku Raja Agripa, aku berani berkata-kata di hadapanmu dengan bebas kerana aku tahu di dalam hati bahawa kamu faham akan perkara-perkara ini, memandangkan segalanya tidaklah berlaku di tempat yang tersembunyi.
ACT 26:27 Tuanku Raja Agripa, percayakah kamu akan kata nabi-nabi itu? Aku tahu bahawa kamu percaya.’
ACT 26:28 Agripa berkata kepada Paulus, ‘Dengan sepatah dua katamu, kausangka dapat menjadikanku orang Masihi?’
ACT 26:29 Paulus menjawab, ‘Sepatah dua atau banyak, aku berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kamu dan sekalian yang mendengar kata-kataku hari ini akan menjadi sama sepertiku, cuma tidak diikat dengan rantai.’
ACT 26:30 Raja Agripa, Festus pemerintah Kaisarea, Bernike dan semua yang bersama mereka,
ACT 26:31 berangkat keluar dari mahkamah sambil berbincang. Seorang daripada mereka berkata, ‘Orang itu tidak melakukan apa-apa yang menyebabkan dia patut dibunuh atau dipenjara.’
ACT 26:32 Agripa berkata kepada Festus, ‘Orang ini boleh dibebaskan, kalau tidak kerana dia hendak mengadukan halnya kepada Kaisar.’
ACT 27:1 Setelah diputuskan bahawa kami akan belayar ke Itali, Paulus dan beberapa orang tahanan diserahkan kepada seorang ketua tentera dari Rejimen Kaisar, bernama Yulius.
ACT 27:2 Kami menaiki sebuah kapal yang datang dari Adramitium dan hendak menyusur teluk rantau tanah Asia. Aristarkhus, orang Makedonia dari Tesalonika, menyertai kami.
ACT 27:3 Esoknya kami singgah di Sidon. Yulius berasa kasihan dan melayani Paulus dengan baik serta membenarkannya bertemu dengan sahabat-sahabatnya untuk mendapatkan apa-apa yang diperlukannya.
ACT 27:4 Kemudian kami belayar menyusur Siprus di sebelah bawah angin, kerana ketika itu angin bertiup ke arah yang bertentangan dengan hala tujuan kami.
ACT 27:5 Setelah menyeberang laut Kilikia dan Pamfilia, kami sampai ke Mira di tanah Likia.
ACT 27:6 Di sana ketua tentera Kaisar itu mendapati sebuah kapal dari Iskandaria yang hendak belayar ke Itali, lalu dia menumpangkan kami dalam kapal itu.
ACT 27:7 Kami belayar dengan lambat dan susah payah kerana melawan arah tiupan angin. Selepas beberapa hari, kami tiba di kota Knidus. Oleh sebab masalah angin itu, kami belayar ke selatan pulau Kreta, melalui Salmone.
ACT 27:8 Dengan susah payah juga kami menyusur pulau itu, lalu sampai ke tempat yang bernama Lindungan Indah, berdekatan Lasea.
ACT 27:9 Beberapa hari kemudian, keadaan kian berbahaya untuk meneruskan pelayaran. Hari Raya Puasa orang Yahudi pun sudah berlalu. Paulus mengingatkan ketua tentera itu,
ACT 27:10 ‘Saudara-saudara, pada pandanganku, jika kita belayar, banyak bencana dan kerugian akan menimpa, bukan sahaja kapal ini dan muatannya malah nyawa kita juga.’
ACT 27:11 Tetapi ketua tentera itu lebih mempercayai kata kapten dan tuan punya kapal itu daripada kata Paulus.
ACT 27:12 Pelabuhan itu memang tidak selesa untuk tinggal sepanjang musim dingin. Oleh itu kebanyakan mereka hendak meneruskan pelayaran dengan harapan akan sampai ke Feniks lalu tinggal di situ, di pelabuhan di pulau Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut.
ACT 27:13 Apabila bertiup angin selatan sepoi-sepoi bahasa, sangka mereka telah tercapailah hasrat mereka. Mereka pun membongkar sauh lalu menyusur pulau Kreta.
ACT 27:14 Tidak berapa lama kemudian, angin ribut yang bergelar Timur Laut membadai dari arah pulau itu.
ACT 27:15 Kapal kami dipukul ribut dan tidak terdaya belayar melawan arah angin. Kami pun membiarkannya berhanyut,
ACT 27:16 sampai ke selatan sebuah pulau kecil bernama Kauda. Dengan susah payah kami menyelamatkan sekoci kapal itu.
ACT 27:17 Setelah dinaikkan sekoci itu ke kapal, diusahakan memperkukuh kapal itu dengan ikatan tali. Oleh sebab takut terdampar ke tebing Sirtis, layar diturunkan dan kapal itu dibiarkan mengikut angin.
ACT 27:18 Kami begitu teruk dipukul ribut sehingga esoknya muatan kapal mula dibuang ke laut;
ACT 27:19 dan lusanya sebahagian alat kapal itu pula dibuangkan.
ACT 27:20 Beberapa hari kami tidak melihat matahari dan bintang serta dipukul ribut yang dahsyat; akhirnya putuslah harapan kami diselamatkan.
ACT 27:21 Sekian lama orang di dalam kapal itu tidak makan, lalu Paulus berdiri dan berkata, ‘Saudara-saudara, sepatutnya dulu saudara-saudara menurut kataku, jangan belayar meninggalkan Kreta, nanti ditimpa bencana dan kerugian demikian.
ACT 27:22 Sekarang aku berkata kepada saudara-saudara, tetapkan hati masing-masing, kerana seorang pun tidak akan kehilangan hidup, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan.
ACT 27:23 Malam tadi, di sisi aku terdiri malaikat daripada Allah, Tuhan yang memiliki seluruh diriku dan yang aku sembah.
ACT 27:24 Malaikat itu berkata, “Paulus, jangan takut. Kau pasti akan berdiri di hadapan Kaisar. Semua yang belayar bersamamu akan diselamatkan juga sebagai kurnia Allah kepadamu.”
ACT 27:25 Oleh itu, saudara-saudara, tetapkanlah hati masing-masing. Aku percaya akan Allah dan janji-Nya yang disampaikan kepadaku itu.
ACT 27:26 Tetapi tidak dapat dielakkan, kita akan terdampar di sebuah pulau.’
ACT 27:27 Sampai ke malam yang keempat belas kami masih berhanyut dalam Laut Adria. Kira-kira tengah malam, anak kapal merasakan kami sudah hampir ke darat.
ACT 27:28 Mereka membuang batu duga untuk mengukur dalamnya laut, didapatinya dua puluh depa; kemudian, apabila diduga lagi, didapatinya lima belas depa dalamnya.
ACT 27:29 Mereka takut kalau-kalau terdampar pada batu karang, lalu mereka menurunkan empat sauh dari buritan kapal serta menanti hari siang.
ACT 27:30 Ketika itu anak kapal hendak menyelamatkan diri sendiri. Mereka menurunkan sekoci ke laut dengan berpura-pura hendak menurunkan sauh di haluan kapal.
ACT 27:31 Paulus pun berkata kepada ketua tentera dan askar-askar, ‘Jika mereka itu meninggalkan kapal, saudara-saudara tidak akan selamat.’
ACT 27:32 Oleh itu askar mengerat tali sekoci dan membiarkannya hanyut.
ACT 27:33 Sementara menunggu hari siang, Paulus meminta semua orang makan. Dia berkata, ‘Sekarang sudah empat belas hari saudara-saudara berlapar.
ACT 27:34 Aku meminta kepada sekalian, makanlah sesuatu, kerana itulah yang akan membuat saudara-saudara selamat. Tiada seorang pun di antara kita yang akan binasa sehelai rambutnya pun.’
ACT 27:35 Setelah berkata demikian, Paulus mengambil roti lalu mengucapkan syukur kepada Allah di hadapan semua. Kemudian dia membahagi roti itu lalu makan.
ACT 27:36 Masing-masing pun berasa bersemangat lagi lalu makan bersama-sama.
ACT 27:37 Bilangan kami yang di dalam kapal itu dua ratus tujuh puluh enam orang.
ACT 27:38 Setelah kenyang sekaliannya, kapal itu diringankan lagi dengan membuang gandum ke laut.
ACT 27:39 Apabila hari siang, mereka melihat daratan yang tidak dikenali; di situ ada teluk yang berpantai rata lalu mereka bercadang hendak mengandaskan kapal itu ke situ.
ACT 27:40 Mereka memotong tali sauh dan membiarkannya tenggelam di laut. Selepas itu mereka melucutkan tali kemudi lalu menaikkan layar di haluan supaya angin meniup kapal itu menuju ke pantai.
ACT 27:41 Kapal itu terlanggar busung pasir lalu terkandas haluannya, dan tidak dapat bergerak manakala buritannya pecah dipukul gelombang.
ACT 27:42 Askar-askar mula berura-ura hendak membunuh semua orang tahanan supaya tidak seorang pun berenang melarikan diri.
ACT 27:43 Tetapi ketua tentera itu hendak menyelamatkan Paulus lalu melarang askar-askarnya berbuat demikian. Dia menyuruh mereka yang tahu berenang terjun dahulu dan berenang ke darat.
ACT 27:44 Yang lain berpegang pada papan atau pecahan-pecahan kapal. Dengan demikian semuanya selamat naik ke darat.
ACT 28:1 Setelah selesai segalanya, barulah kami mendapat tahu bahawa pulau itu bernama Malta.
ACT 28:2 Penduduk pulau itu bersikap ramah mesra kepada kami. Mereka menyalakan api dan menyambut kami sekalian masuk berlindung daripada hujan dan kesejukan.
ACT 28:3 Paulus memungut ranting dan apabila dia meletakkannya di atas api, seekor ular keluar melarikan diri dari kepanasan lalu memagut tangan Paulus.
ACT 28:4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular tersebut pada tangan Paulus, mereka berkata sama sendiri, ‘Tentu dia ini seorang pembunuh; sungguhpun dia selamat daripada bahaya laut, tetapi Dewi Keadilan tidak membiarkan dia hidup.’
ACT 28:5 Paulus mengebaskan ular itu ke dalam api tanpa mengalami sebarang kecederaan.
ACT 28:6 Semuanya menantikan kalau-kalau dia naik bengkak atau rebah mati; tetapi lama mereka menanti-nanti, tidak juga mereka melihat apa-apa bencana menimpanya. Sangkaan mereka pun berubah, mengatakan Paulus itu seorang dewa.
ACT 28:7 Di daerah itu ada tanah yang dipunyai oleh Publius, pemerintah pulau itu. Dia menyambut kami dan melayani kami selama tiga hari dengan budi bahasa yang baik.
ACT 28:8 Ketika itu bapa Publius terlantar mengidap demam dan mengalami cirit-birit. Paulus masuk menghampirinya lalu berdoa sambil meletakkan tangan ke atasnya dan menyembuhkannya.
ACT 28:9 Selepas itu, beberapa orang yang mengidap penyakit di pulau itu datang berjumpa Paulus, lalu dia menyembuhkan mereka.
ACT 28:10 Mereka menunjukkan penghargaan yang tinggi kepada kami; dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa pelbagai barang yang berguna ke dalam kapal sebagai bekalan untuk kami.
ACT 28:11 Tiga bulan kemudian, kami belayar dalam sebuah kapal bernama Dioskuri yang telah datang dari Iskandaria dan tinggal di pulau itu sepanjang musim dingin.
ACT 28:12 Kami singgah di Sirakusa lalu tinggal di sana tiga hari,
ACT 28:13 kemudian belayar ke kota Regium. Esoknya angin mula bertiup dari selatan dan lusanya kami sampai ke Putioli.
ACT 28:14 Di sana kami bertemu saudara-saudara seiman lalu menerima ajakan tinggal bersama mereka selama tujuh hari. Kemudian sampailah kami ke Rom.
ACT 28:15 Para pengikut Isa di Rom mendengar khabar tentang kami lalu datang dari sana sampai ke Pasar Apius dan Kedai Tiga untuk bertemu dengan kami. Apabila Paulus melihat mereka, dia mengucapkan syukur kepada Allah dan menjadi tabah.
ACT 28:16 Di Rom Paulus dibenarkan tinggal seorang diri, hanya dijaga oleh seorang askar.
ACT 28:17 Tiga hari kemudian, Paulus meminta para pemimpin masyarakat Yahudi datang berjumpa dengannya. Dia berkata kepada mereka, ‘Saudara-saudara, sungguhpun aku tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap bangsa kita atau melanggar adat nenek moyang kita, namun aku ditahan di Baitulmaqdis lalu diserahkan ke tangan orang Rom.
ACT 28:18 Mereka memeriksa perkaraku dan hendak membebaskanku kerana mereka mendapati aku tidak melakukan satu kesalahan pun yang patut dihukum mati.
ACT 28:19 Apabila orang Yahudi menentang keputusan itu, terpaksalah aku meminta hendak mengadu kepada Kaisar; tetapi bukanlah kerana hendak mengajukan apa-apa dakwaan terhadap bangsa kita.
ACT 28:20 Itulah sebabnya aku meminta saudara-saudara bertemu dan bercakap dengan aku. Aku dibelenggu begini kerana Dia yang diharapkan oleh orang Israel.’
ACT 28:21 Mereka berkata kepada Paulus, ‘Kami belum mendapat surat dari Yudea tentang saudara. Tiada seorang pun yang datang ke sini menyebutkan apa-apa kesalahan saudara.
ACT 28:22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu orang di serata tempat mencela ajaran yang saudara anuti.’
ACT 28:23 Mereka menetapkan hari untuk bertemu lagi dengan Paulus. Pada hari itu lebih ramai lagi yang datang ke tempat dia menumpang itu. Dia menerangkan segala-galanya, bersaksi tentang kerajaan Allah dan berusaha meyakinkan mereka tentang Isa dengan menunjukkan bukti dalam Taurat Musa dan tulisan para nabi, dari pagi hingga ke malam.
ACT 28:24 Ada yang percaya akan katanya itu dan ada yang tidak.
ACT 28:25 Mereka pergi dari situ dengan pendapat yang bercanggah sesama sendiri, setelah Paulus berkata, ‘Benarlah apa yang dikatakan oleh Roh Suci melalui Nabi Yasyaya kepada nenek moyang kita,
ACT 28:26 ‘ “Pergilah kepada bangsa ini dan katakan: ‘Kamu akan mendengar tetapi tidak mengerti; Kamu terus melihat tetapi tidak mengetahui.’
ACT 28:27 Kerana hati umat ini telah buntu, mereka pekakkan telinga, dan pejamkan mata. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka. ” ’
ACT 28:28 Paulus berkata, ‘Saudara-saudara, ketahuilah: perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan Allah sekarang telah disampaikan kepada orang bangsa asing. Merekalah yang akan menerimanya.’
ACT 28:29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar hebat sesama mereka.
ACT 28:30 Paulus tinggal selama dua tahun di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut semua yang mengunjunginya
ACT 28:31 dan menyampaikan ajaran tentang kerajaan Allah serta Junjungan Isa al-Masih dengan berani dan bebas, tiada siapa yang menghalangnya.
ROM 1:1 Daripada Paulus, hamba Isa al-Masih yang dipanggil untuk menjadi rasul, dan dipilih khas untuk menyebarkan Injil daripada Allah.
ROM 1:2 Injil ini telah dijanjikan-Nya dahulu melalui nabi-nabi-Nya, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci,
ROM 1:3 iaitu tentang Putera-Nya. Sebagai manusia Dia telah dilahirkan dari keturunan Daud,
ROM 1:4 namun dengan Roh Suci, Dia telah diisytiharkan melalui kuasa yang besar sebagai Putera Allah, iaitu dengan kebangkitan-Nya daripada kematian. Dialah Isa al-Masih, Junjungan kita.
ROM 1:5 Melalui Isa al-Masih dan demi nama-Nya, kami diberi kasih kurnia dan jawatan rasul untuk menyeru manusia dari segala suku bangsa supaya taat dalam iman kepada-Nya.
ROM 1:6 Kamu juga termasuk dalam golongan itu, kerana Allah telah memanggilmu menjadi umat Isa al-Masih.
ROM 1:7 Aku menulis kepada kamu sekalian di Rom, yang dikasihi oleh Allah dan dipanggil menjadi orang salih. Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih memberimu kasih kurnia dan kesejahteraan.
ROM 1:8 Pertama sekali, aku bersyukur kepada Allah Tuhanku melalui Isa al-Masih kerana kamu sekalian, disebabkan seluruh dunia memperkatakan imanmu.
ROM 1:9 Allah, yang kusembah sepenuh hati dalam menyebarkan Injil Putera-Nya, menjadi saksiku bahawa aku sentiasa mengingatimu
ROM 1:10 dalam doaku, dan memohon semoga dengan izin Allah aku dapat mengunjungimu.
ROM 1:11 Aku sungguh ingin berjumpa dengan kamu untuk menyampaikan sesuatu pemberian rohani bagi menguatkanmu;
ROM 1:12 maksudku, supaya kita saling meneguhkan semangat: aku mendapat keteguhan daripada imanmu, dan kamu daripada imanku.
ROM 1:13 Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, aku telah merancang berkali-kali untuk mengunjungimu, namun hingga kini ada saja aral melintang. Aku ingin agar pelayananku di kalanganmu membuahkan hasil, seperti di kalangan bangsa-bangsa asing yang lain.
ROM 1:14 Aku memikul kewajipan terhadap orang Yunani dan yang bukan orang Yunani, yang bertamadun dan yang tidak bertamadun, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan.
ROM 1:15 Inilah sebabnya aku amat ingin dan bersedia menyebarkan Injil di kalanganmu yang di Rom juga.
ROM 1:16 Aku tidak teragak-agak menyebarkan Injil, kerana ia adalah kuasa daripada Allah untuk menyelamatkan setiap orang yang beriman, mula-mula kepada orang Yahudi kemudian kepada bangsa asing.
ROM 1:17 Kerana di dalamnya kebenaran Allah dinyatakan dari iman ke iman, sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Orang benar akan hidup dengan iman.’
ROM 1:18 Kemurkaan Allah ternyata dari syurga terhadap segala kefasiqan dan kedurjanaan yang dilakukan oleh manusia, yang menyembunyikan kebenaran dengan kedurjanaan,
ROM 1:19 kerana segala yang mungkin diketahui oleh manusia tentang Allah telah nyata bagi mereka; Allah sendiri telah menyatakannya kepada mereka.
ROM 1:20 Sejak wujudnya alam semesta, sifat-sifat Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata, iaitu kuasa-Nya yang kekal dan ketuhanan-Nya, semuanya jelas ternyata serta difahami melalui segala ciptaan-Nya. Oleh itu tiada alasan bagi memaafkan mereka.
ROM 1:21 Walaupun mereka telah mengenal Allah, tetapi mereka tidak memuliakan-Nya dan tidak memuji-Nya dengan syukur, sebaliknya mereka memikirkan yang sia-sia dan jiwa mereka yang tolol diliputi kegelapan.
ROM 1:22 Mereka mengaku bijaksana, tetapi sebenarnya mereka tolol.
ROM 1:23 Mereka berpaling daripada kemuliaan Allah yang kekal lalu menyembah patung-patung yang diperbuat seperti bentuk manusia yang fana, burung, haiwan berkaki empat dan binatang yang menjalar.
ROM 1:24 Oleh itu Allah membiarkan mereka menurut nafsu melakukan pelbagai noda, maka mereka mencemari tubuh sesama sendiri.
ROM 1:25 Mereka merangkul yang palsu dan berpaling daripada yang benar daripada Allah. Mereka menyembah makhluk ciptaan dan berpaling daripada Allah Pencipta Yang Maha Suci dan Maha Tinggi selama-lamanya. Amin.
ROM 1:26 Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka didorong hawa nafsu yang keji. Kaum wanita mereka pun berpaling daripada yang tabii kepada yang di luar tabii.
ROM 1:27 Demikian juga kaum lelaki. Mereka berpaling daripada hubungan tabii dengan wanita dan dibakar syahwat terhadap sama sejenis. Lelaki dengan lelaki melakukan perkara yang aib, lalu menerima di dalam diri mereka hukuman yang setimpal.
ROM 1:28 Oleh sebab mereka enggan mengenal Allah, maka Allah membiarkan mereka dikuasai fikiran yang hina, sehingga mereka melakukan perkara-perkara yang tidak wajar.
ROM 1:29 Mereka dipenuhi segala kemungkaran, kedurjanaan, ketamakan dan kecabulan. Mereka diselubungi hasad dengki, pembunuhan, persengketaan, penipuan dan niat durjana. Mereka pengumpat, penyebar fitnah,
ROM 1:30 pembenci Allah, biadab, angkuh, bercakap besar, pereka perkara durjana, ingkar kepada ibu bapa,
ROM 1:31 tidak tahu membezakan buruk dan baik, tidak boleh dipercayai, tidak mengasihi, tidak berhati perut, tidak mempunyai belas kasihan.
ROM 1:32 Mereka mengetahui hukuman Allah yang adil, iaitu sesiapa yang melakukan perkara demikian wajar dihukum mati. Namun, mereka bukan sahaja melakukannya malah juga menyokong orang lain yang mengamalkannya.
ROM 2:1 Oleh itu kamu tidak boleh berdalih hai manusia, walau siapapun kamu, apabila kamu menghakimi orang. Pada waktu kamu hakimi orang lain, kamu juga menjatuhkan hukuman kepada dirimu sendiri; kerana kamu yang menghakimi juga melakukan perkara yang sama.
ROM 2:2 Tetapi kita tahu bahawa hukuman Allah berdasarkan kebenaran dan dijatuhkan ke atas mereka yang mengamalkan perkara demikian.
ROM 2:3 Wahai manusia, apabila kamu menghakimi orang yang mengamalkan perkara demikian sedangkan kamu sendiri melakukannya juga, adakah kamu sangka kamu akan terlepas daripada hukuman Allah?
ROM 2:4 Atau adakah kamu memperkecil kebaikan, kemurahan serta kesabaran Allah yang amat besar, dan tidak tahu bahawa kebaikan Allah membawamu ke pintu taubat?
ROM 2:5 Dengan hati batumu yang tidak bertaubat, kamu mengumpul musibah kemurkaan Allah yang akan menimpamu pada hari kemurkaan dan ternyatanya hukuman Allah yang adil.
ROM 2:6 Allah akan ‘membalas kepada setiap orang setimpal dengan perbuatannya’.
ROM 2:7 Bagi mereka yang terus berbuat baik dengan sabar demi mendapatkan kemuliaan, kehormatan dan keabadian, Dia akan memberikan hidup yang kekal;
ROM 2:8 manakala bagi mereka yang mementingkan diri dan tidak taat akan kebenaran tetapi menjunjung kedurjanaan, maka kemarahan dan kemurkaan Allah akan menimpa mereka.
ROM 2:9 Kesusahan dan kesengsaraan akan menimpa diri setiap orang yang melakukan kedurjanaan: mula-mula kepada orang Yahudi, kemudian kepada orang bukan bani Israel juga;
ROM 2:10 tetapi kemuliaan, kehormatan dan kesejahteraan akan dicurahkan kepada setiap orang yang berbuat baik: mula-mula orang Yahudi, kemudian bangsa asing juga.
ROM 2:11 Allah tidak menghakimi berat sebelah.
ROM 2:12 Sekalian yang telah melakukan dosa tanpa mengenal hukum Taurat akan binasa tanpa hukum Taurat. Sekalian yang melakukan dosa sedangkan mereka mengenal hukum Taurat akan dihakimi menurut hukum Taurat.
ROM 2:13 Ini kerana orang yang benar di sisi Allah bukanlah mereka yang mendengar hukum Taurat, tetapi mereka yang mengamalkan ajarannya.
ROM 2:14 Apabila orang bukan bani Israel, yang tidak mempunyai hukum Taurat, secara tabii melakukan perkara-perkara yang terkandung di dalam hukum Taurat, maka mereka ini adalah hukum bagi diri mereka sendiri.
ROM 2:15 Hukum itu tersurat di hati mereka dan hati nurani mereka juga naik saksi. Fikiran mereka menuduh atau membela mereka,
ROM 2:16 pada hari Allah menghakimi segala rahsia manusia melalui Isa al-Masih, menurut Injil yang kuberitakan.
ROM 2:17 Kamu memanggil dirimu orang Yahudi, dan bergantung kepada hukum Taurat serta berbangga kerana hubunganmu dengan Allah.
ROM 2:18 Kamu mengetahui kehendak-Nya, dan menyokong segala yang baik, kerana kamu telah diajarkan hukum Taurat.
ROM 2:19 Kamu yakin bahawa kamulah yang memimpin orang buta, yang menerangi orang dalam kegelapan,
ROM 2:20 yang mengajar orang bodoh, yang mengasuh anak kecil, kerana kamu mempunyai garis-garis ilmu dan kebenaran dalam hukum Taurat.
ROM 2:21 Dengan demikian, kamu yang mengajar orang lain, tidakkah kamu mengajar diri sendiri? Kamu yang berkhutbah melarang orang mencuri, adakah kamu sendiri mencuri?
ROM 2:22 Kamu yang berkata, ‘Jangan berzina,’ adakah kamu melakukan zina? Kamu yang membenci berhala, adakah kamu merompak tempat ibadat?
ROM 2:23 Kamu yang berbangga dengan hukum Taurat, adakah kamu menghina Allah dengan melanggar hukum itu?
ROM 2:24 ‘Nama Allah dikufuri di kalangan orang bukan bani Israel akibat perbuatanmu’ – demikianlah yang telah tersurat.
ROM 2:25 Persunatan memang bermanfaat jika kamu taat akan hukum Taurat; tetapi sekiranya kamu melanggar hukum Taurat, batallah persunatan itu.
ROM 2:26 Oleh yang demikian, jika seorang yang tidak bersunat mengamalkan perkara-perkara yang baik dalam hukum Taurat, tidakkah dia dikira sebagai telah bersunat?
ROM 2:27 Jika orang tidak bersunat mematuhi hukum Taurat, tidakkah dia menghakimi kamu kerana walaupun kamu mempunyai hukum bertulis dan persunatan namun kamu melanggar hukum itu?
ROM 2:28 Seseorang dikira Yahudi bukanlah berasaskan keadaan lahiriah; dan persunatan bukanlah bergantung pada keadaan jasmani.
ROM 2:29 Seseorang dikira orang Yahudi berasaskan keadaan batiniah; dan persunatan adalah di hati dan bersifat rohani bukan mengikut hukum yang tersurat dalam Taurat. Orang sedemikian mendapat pujian bukan daripada manusia tetapi daripada Allah.
ROM 3:1 Oleh itu apakah kelebihan seorang Yahudi, dan apakah manfaat persunatan?
ROM 3:2 Sungguh banyak dalam segala hal! Terutamanya kerana Firman Allah dipercayakan kepada mereka.
ROM 3:3 Jika sesetengah mereka tidak beriman, adakah ini menjadikan kesetiaan Allah tidak berkesan?
ROM 3:4 Sama sekali tidak! Allah tetap benar biarpun setiap manusia itu pembohong. Sebagaimana tersurat: ‘Supaya Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan akan menang apabila Engkau dihakimi.’
ROM 3:5 Tetapi jika kemungkaran kita menunjukkan kebenaran Allah, apa yang harus kita katakan? Adakah Allah tidak adil menimpakan kemurkaan-Nya? (Aku bercakap sebagai seorang manusia.)
ROM 3:6 Sama sekali tidak! Kerana jika demikian, bagaimana Allah dapat menghakimi dunia!
ROM 3:7 Jika kebenaran Allah bertambah kerana aku mendustai kemuliaan-Nya, mengapa aku tetap dihakimi sebagai orang berdosa?
ROM 3:8 Dan mengapa tidak dikatakan, ‘Mari kita berbuat jahat supaya hasilnya baik.’ Demikian orang memfitnahkan kita berkata dan sesetengahnya menegaskan bahawa kita berkata begitu. Hukuman atas mereka itu memang wajar.
ROM 3:9 Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun bukan Yahudi semuanya berada di bawah kuasa dosa.
ROM 3:10 Sebagaimana tersurat: ‘Tiada yang benar, seorang pun tidak.
ROM 3:11 Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah.
ROM 3:12 Semua telah menyeleweng semuanya tidak berguna; Tiada yang berbuat baik, seorang pun tidak.
ROM 3:13 Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka.
ROM 3:14 Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan.
ROM 3:15 Kaki mereka cepat menumpahkan darah.
ROM 3:16 Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata,
ROM 3:17 sedangkan jalan damai tidak mereka kenal.
ROM 3:18 Rasa takut terhadap Allah tiada di jiwa mereka.’
ROM 3:19 Kita tahu bahawa segala yang tersurat di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu tiada siapapun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah.
ROM 3:20 Oleh itu tiada siapapun akan diperakui benar di sisi Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa.
ROM 3:21 Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, kebenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu.
ROM 3:22 Kebenaran Allah hanya melalui iman kepada Isa al-Masih. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapapun.
ROM 3:23 Kerana semua manusia berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah.
ROM 3:24 Namun, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Isa al-Masih.
ROM 3:25 Allah menjadikan Isa al-Masih korban pendamaian supaya dengan kematian Isa, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka.
ROM 3:26 Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan kebenaran-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Isa.
ROM 3:27 Dengan demikian, apakah yang dapat dibanggakan? Tidak ada sama sekali! Adakah melalui ketaatan akan hukum Taurat? Tidak, tetapi melalui iman.
ROM 3:28 Kerana kami yakin bahawa manusia diperbenar atas iman kepada Isa al-Masih, bukan kerana dia mengamalkan apa yang diwajibkan oleh hukum Taurat.
ROM 3:29 Atau adakah Allah itu Tuhan orang Yahudi sahaja? Pasti tidak. Dia Tuhan bangsa-bangsa lain juga.
ROM 3:30 Allah itu Esa. Dia memperbenar orang yang bersunat melalui iman mereka. Demikian juga Dia memperbenar orang yang tidak bersunat melalui iman mereka.
ROM 3:31 Maka adakah kita memansuhkan hukum Taurat dengan iman? Sama sekali tidak! Malah kita menegakkan Taurat.
ROM 4:1 Oleh demikian, apakah yang akan kita katakan tentang Ibrahim, nenek moyang jasmaniah kita?
ROM 4:2 Jika Ibrahim telah diperbenar kerana kerja amalnya dapatlah dia berbangga tetapi bukan di sisi Allah.
ROM 4:3 Apakah yang tersurat di dalam Kitab Suci? ‘Ibrahim beriman kepada Allah, dan oleh itu dia diiktiraf sebagai seorang yang benar.’
ROM 4:4 Bagi seseorang yang membuat kerja, gajinya tidak dikira sebagai anugerah tetapi sebagai haknya.
ROM 4:5 Sebaliknya, bagi seseorang yang tidak membuat kerja amal tetapi percaya kepada Allah yang telah memperbenar orang yang mungkar, imannya diterima sebagai kebenaran.
ROM 4:6 Demikianlah Daud berkata tentang berkat ke atas orang yang diperbenar Allah tanpa mengira kerja amalnya. Kata Daud:
ROM 4:7 ‘Diberkatilah orang yang kemungkarannya diampunkan dan dosanya dihapuskan.
ROM 4:8 Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan.’
ROM 4:9 Maka adakah berkat ini untuk orang yang bersunat, atau untuk orang yang tidak bersunat juga? Kerana kita berkata, ‘Iman Ibrahim telah diterima sebagai kebenaran.’
ROM 4:10 Jadi, bagaimana iman itu diterima? Semasa dia sudah bersunat, atau sebelum bersunat? Bukan semasa dia sudah bersunat, tetapi ketika dia belum bersunat;
ROM 4:11 lalu dia menerima tanda persunatan, materai kebenaran yang didapatinya melalui iman semasa dia masih belum bersunat. Dengan demikian, dia menjadi bapa kepada semua orang yang beriman tanpa bersunat, supaya mereka diterima sebagai orang yang benar
ROM 4:12 dan dia juga menjadi bapa kepada orang bersunat yang bukan sahaja bersunat tetapi juga mengikut jejak langkah moyang bangsa kita, Ibrahim yang beriman sebelum dia bersunat.
ROM 4:13 Kerana janji kepada Ibrahim dan keturunannya bahawa mereka akan menjadi waris dunia ini bukanlah melalui hukum Taurat tetapi melalui kebenaran yang diperoleh dengan iman.
ROM 4:14 Kerana jika orang yang mengamalkan hukum Taurat menjadi waris, maka iman tidak bernilai dan janji itu mansuh.
ROM 4:15 Kerana hukum Taurat membawa kemurkaan Allah dan tanpa hukum Taurat, tiadalah kemungkaran.
ROM 4:16 Oleh demikian janji itu melalui iman, supaya datangnya melalui kasih kurnia dan dapat dipastikan bagi semua keturunan Ibrahim; bukan hanya yang mengamalkan hukum Taurat tetapi juga yang mempunyai iman Ibrahim, bapa kepada kita semua.
ROM 4:17 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Aku telah menjadikanmu bapa kepada beberapa banyak bangsa.’ Ibrahim bapa kita di sisi Allah. Dia beriman kepada Allah yang memberikan nyawa kepada yang mati dan menyeru yang tidak wujud menjadi wujud.
ROM 4:18 Meski bagaikan tiada harapan, Ibrahim berharap dan beriman, maka dia menjadi bapa kepada beberapa banyak bangsa, sebagaimana telah dikatakan kepadanya, ‘Demikian jugalah keturunanmu kelak.’
ROM 4:19 Tanpa terjejas imannya, dia menghadapi kenyataan bahawa tubuhnya samalah seperti sudah mati – kerana dia sudah berusia kira-kira seratus tahun – dan rahim Sarah juga sudah mati.
ROM 4:20 Namun, Ibrahim tidak digugat kesangsian terhadap janji Allah, tetapi telah diteguhkan lagi dalam imannya lalu memuliakan Allah.
ROM 4:21 Dia yakin sepenuhnya bahawa Allah berkuasa melakukan apa yang telah dijanjikan-Nya.
ROM 4:22 Maka ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar.’
ROM 4:23 Kata-kata ‘dengan imannya itu dia telah diterima sebagai orang yang benar’ telah tersurat bukan untuknya sahaja,
ROM 4:24 tetapi juga untuk kita: Allah akan menerima kita sebagai orang yang benar, kita yang beriman terhadap Dia yang telah membangkitkan Junjungan Isa daripada kematian.
ROM 4:25 Dia telah diserahkan kepada kematian kerana dosa kita dan dibangkitkan semula kepada kehidupan untuk pembenaran kita.
ROM 5:1 Oleh demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
ROM 5:2 Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah.
ROM 5:3 Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan.
ROM 5:4 Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan.
ROM 5:5 Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Suci, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.
ROM 5:6 Lihatlah, tepat pada masanya, ketika kita masih tidak berdaya, al-Masih telah mati untuk orang yang fasiq.
ROM 5:7 Jarang sekali seseorang mahu mati untuk orang yang benar, meski untuk orang yang baik mungkin ada yang sanggup mati.
ROM 5:8 Tetapi Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, al-Masih telah mati untuk kita.
ROM 5:9 Oleh sebab sekarang kita telah diperbenar dengan darah-Nya, lebih-lebih lagilah kita akan diselamatkan daripada kemurkaan Allah melalui-Nya.
ROM 5:10 Kerana jika semasa kita seteru Tuhan kita telah didamaikan dengan-Nya melalui kematian Putera-Nya, lebih-lebih lagilah, setelah didamaikan, kita akan diselamatkan melalui kehidupan-Nya!
ROM 5:11 Bukan ini sahaja, tetapi kita juga bersukacita dalam Allah melalui Junjungan kita Isa al-Masih yang melalui-Nya kita telah menerima pendamaian.
ROM 5:12 Oleh itu, sebagaimana dosa memasuki dunia ini melalui seorang manusia, dan dengan demikian kematian menimpa semua manusia, kerana semuanya berdosa.
ROM 5:13 Kerana sebelum hukum diberikan, dosa sudah ada di dunia. Tetapi dosa tidak diperhitungkan apabila hukum tidak ada.
ROM 5:14 Namun demikian, kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh Adam, yang merupakan gambaran Dia yang akan datang.
ROM 5:15 Tetapi pemberian tidaklah seperti pelanggaran. Kerana jika ramai manusia mati akibat pelanggaran seorang manusia, lebih-lebih lagilah kasih kurnia Allah dan pemberian melalui kasih kurnia seorang manusia, Isa al-Masih, melimpahi manusia yang banyak!
ROM 5:16 Demikian juga, pemberian Allah tidaklah seperti dosa seseorang manusia: Penghakiman datang selepas satu dosa dan membawa hukuman, tetapi pemberian itu datang selepas beberapa banyak pelanggaran yang membawa pembenaran.
ROM 5:17 Kerana jika dengan dosa seorang manusia, kematian telah bertakhta melalui seorang manusia itu, maka lebih-lebih lagilah orang yang menerima peruntukan kasih kurnia dan pemberian kebenaran Allah yang melimpah-limpah akan bertakhta dalam kehidupan melalui seorang manusia, Isa al-Masih.
ROM 5:18 Oleh demikian, sebagaimana satu pelanggaran itu membawa hukuman bagi semua manusia, maka satu perbuatan yang benar membawa pembenaran yang memberikan kehidupan bagi semua manusia.
ROM 5:19 Kerana sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia, ramai telah menjadi berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia, ramai akan diperbenar.
ROM 5:20 Hukum Taurat telah diadakan supaya pelanggaran bertambah. Tetapi dengan bertambahnya dosa, semakin bertambahlah kasih kurnia.
ROM 5:21 Oleh itu, sebagaimana dosa telah bertakhta dalam kematian, maka kasih kurnia akan bertakhta melalui kebenaran untuk membawakan kehidupan kekal melalui Isa al-Masih, Junjungan kita.
ROM 6:1 Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah
ROM 6:2 Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya?
ROM 6:3 Atau tidakkah kamu tahu bahawa semua kita yang diimadkan dalam al-Masih telah diimadkan ke dalam kematian-Nya?
ROM 6:4 Melalui pengimadan itu, kita dikuburkan dengan al-Masih dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana al-Masih dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.
ROM 6:5 Jika kita telah disatukan dengan al-Masih kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya.
ROM 6:6 Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa.
ROM 6:7 Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa.
ROM 6:8 Jika kita telah mati bersama al-Masih, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga.
ROM 6:9 Kerana kita tahu bahawa oleh sebab al-Masih telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi.
ROM 6:10 Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah.
ROM 6:11 Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam al-Masih Isa.
ROM 6:12 Oleh itu jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana.
ROM 6:13 Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat kebenaran.
ROM 6:14 Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.
ROM 6:15 Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak!
ROM 6:16 Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati – sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada kebenaran.
ROM 6:17 Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu.
ROM 6:18 Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada kebenaran.
ROM 6:19 Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagian tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada kebenaran yang membawa kepada kesucian.
ROM 6:20 Sewaktu kamu diperhambakan dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan kebenaran.
ROM 6:21 Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian.
ROM 6:22 Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal.
ROM 6:23 Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam al-Masih Isa, Junjungan kita.
ROM 7:1 Tidakkah kamu tahu, saudara-saudaraku – kerana aku sedang berkata-kata kepada orang yang mengetahui hukum Taurat – bahawa hukum itu berkuasa ke atas seseorang hanya selagi dia masih hidup?
ROM 7:2 Misalnya, menurut hukum, seorang perempuan yang berkahwin terikat kepada suaminya hanya selagi suaminya itu masih hidup, tetapi jika suaminya mati, perempuan itu dibebaskan daripada hukum perkahwinan.
ROM 7:3 Oleh itu, jika dia berkahwin dengan lelaki lain ketika suaminya masih hidup, perempuan itu dipanggil penzina. Tetapi jika suaminya mati, perempuan itu bebas daripada hukum tersebut dan bukanlah penzina sekiranya dia berkahwin dengan lelaki lain.
ROM 7:4 Oleh itu saudara-saudaraku, kamu juga telah mati kepada hukum Taurat melalui tubuh al-Masih, supaya kamu menjadi milik kepada yang lain, iaitu kepada Dia yang telah dibangkitkan daripada kematian, dan dengan demikian kita dapat menghasilkan buah kepada Allah.
ROM 7:5 Kerana dahulu ketika kita dikawal oleh sifat tabii yang berdosa, hawa nafsu berdosa yang ditimbulkan oleh hukum telah bekerja dalam tubuh kita, sehingga kita menghasilkan buah untuk kematian.
ROM 7:6 Tetapi sekarang, kita telah mati kepada apa yang membelenggu kita dahulu, maka kita telah dibebaskan daripada hukum untuk berkhidmat dalam cara baru Roh, tidak lagi dalam cara lama yang berasaskan peraturan bersurat.
ROM 7:7 Jadi, apakah yang akan kita katakan? Adakah hukum itu dosa? Sama sekali tidak! Memang aku tidak mungkin tahu apa itu dosa kecuali melalui hukum. Kerana aku tidak mungkin tahu apa sebenarnya keinginan jahat jika hukum tidak mengatakan, ‘Jangan ingini milik orang’.
ROM 7:8 Tetapi dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu menimbulkan dalam diriku segala jenis keinginan jahat. Kerana tanpa hukum, dosa tidak wujud.
ROM 7:9 Satu masa dahulu, aku hidup tanpa hukum; tetapi apabila datang perintah itu, hiduplah dosa dan matilah aku.
ROM 7:10 Aku mendapati bahawa perintah yang dimaksudkan membawa kehidupan itu telah membawa kematian.
ROM 7:11 Kerana dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu memperdayaku, dan melalui perintah itu telah menjerumuskanku ke dalam kematian.
ROM 7:12 Jadi, hukum itu suci, dan perintah itu suci, benar serta baik.
ROM 7:13 Maka adakah sesuatu yang baik itu menjadi kematian kepadaku? Sama sekali tidak! Tetapi, supaya dosa dikenal sebagai dosa, dosa telah menimbulkan kematian dalam diriku melalui sesuatu yang baik; dengan demikian, melalui perintah itu, dosa dapat menjadi dosa sepenuhnya.
ROM 7:14 Kita tahu bahawa hukum bersifat rohani; tetapi aku tidak bersifat rohani, aku telah dijual sebagai hamba kepada dosa.
ROM 7:15 Aku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci.
ROM 7:16 Dan jika aku melakukan apa yang tidak mahu kulakukan, aku setuju bahawa hukum itu baik.
ROM 7:17 Nyatalah bahawa bukan aku yang melakukannya, tetapi dosa yang hidup dalam diriku.
ROM 7:18 Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik hidup dalam diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya.
ROM 7:19 Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan – itulah yang kulakukan terus-menerus.
ROM 7:20 Jika aku melakukan sesuatu yang tidak ingin kulakukan, bukanlah lagi aku yang melakukannya tetapi dosa yang hidup dalam dirikulah yang melakukan.
ROM 7:21 Oleh itu aku mendapati hukum ini berlangsung; apabila aku hendak melakukan kebaikan, kejahatan bertapak di sisiku.
ROM 7:22 Kerana dalam jiwaku aku suka akan hukum Allah
ROM 7:23 tetapi aku melihat hukum lain bertindak dalam anggota-anggota tubuhku, memerangi hukum jiwaku dan membuat aku terpenjara dalam hukum dosa yang bertindak dalam anggota-anggota tubuhku.
ROM 7:24 Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini?
ROM 7:25 Syukur kepada Allah melalui Isa al-Masih, Junjungan kita! Oleh itu, dalam jiwaku aku mengabdi kepada hukum Allah, tetapi dalam sifat tabii yang berdosa aku mengabdi kepada hukum dosa.
ROM 8:1 Dengan demikian, sekarang tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam al-Masih Isa.
ROM 8:2 Kerana melalui al-Masih Isa hukum Roh kehidupan telah membebaskanku daripada hukum dosa dan kematian.
ROM 8:3 Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Putera-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa. Dengan demikian Dia menghukum dosa dalam diri manusia berdosa.
ROM 8:4 Allah berbuat demikian supaya kita dapat menunaikan kehendak-kehendak hukum dalam diri kita dengan sepenuhnya, mengikut kehendak Roh dan bukan mengikut kehendak sifat tabii.
ROM 8:5 Bagi orang yang hidup menurut sifat tabii yang berdosa, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh sifat tabii itu; tetapi bagi orang yang hidup menurut Roh, jiwanya tertumpu kepada apa yang diingini oleh Roh.
ROM 8:6 Fikiran yang dikuasai oleh sifat tabii yang berdosa, adalah kematian. Tetapi fikiran yang dikuasai oleh Roh, adalah kehidupan dan kesejahteraan.
ROM 8:7 Fikiran sifat tabii yang berdosa memusuhi Allah kerana fikiran demikian tidak tunduk kepada hukum Allah dan tidak dapat berbuat demikian
ROM 8:8 Orang yang dikawal oleh sifat tabii yang berdosa tidak berupaya mendapat keredaan Allah.
ROM 8:9 Tetapi kamu dikawal bukan oleh sifat tabii yang berdosa tetapi oleh Roh, jika Roh Allah hidup dalam dirimu. Dan jika seseorang tidak ada Roh al-Masih, dia bukanlah milik al-Masih.
ROM 8:10 Sebaliknya jika al-Masih ada dalam dirimu, tubuhmu mati kerana dosa, namun rohmu hidup kerana kebenaran.
ROM 8:11 Dan jika Roh Dia yang telah membangkitkan Isa daripada kematian hidup dalam dirimu, maka Dia yang telah membangkitkan Isa al-Masih daripada kematian akan juga memberikan kehidupan kepada tubuhmu yang fana melalui Roh-Nya, yang hidup dalam dirimu.
ROM 8:12 Dengan demikian, saudara-saudaraku, kita ada kewajipan tetapi bukan terhadap sifat tabii yang berdosa dan hidup menurut sifat tabii itu.
ROM 8:13 Kerana jika kamu hidup menurut sifat tabii yang berdosa, kamu akan mati; tetapi jika dengan Roh itu kamu mematikan perbuatan-perbuatan salah tubuhmu, kamu akan hidup,
ROM 8:14 kerana orang yang dipimpin oleh Roh Allah adalah anak-anak Allah.
ROM 8:15 Kerana kamu bukanlah menerima Roh yang menyebabkan kamu diperhamba lagi oleh ketakutan, tetapi telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, ‘Abba, Bapa.’
ROM 8:16 Roh itu sendiri memberikan kesaksian dengan roh kita bahawa kita anak Allah.
ROM 8:17 Jika kita anak, maka kita waris-waris Allah, waris bersama dengan al-Masih, jika kita benar-benar berkongsi penderitaan-Nya supaya dapat berkongsi kemuliaan-Nya kelak.
ROM 8:18 Aku menganggap bahawa penderitaan kita sekarang terlalu kecil untuk dibandingkan dengan kemuliaan yang akan dinyatakan kepada kita.
ROM 8:19 Seluruh ciptaan menanti-nantikan saatnya Allah menyerlahkan anak-anak-Nya.
ROM 8:20 Kerana seluruh ciptaan telah ditundukkan dalam kebuntuan, bukan dengan pilihannya sendiri, tetapi dengan kehendak Dia yang telah menundukkannya, dengan harapan
ROM 8:21 bahawa ciptaan itu sendiri akan dibebaskan daripada belenggu kemusnahan dan dibawa ke dalam kebebasan penuh kemuliaan anak-anak Allah.
ROM 8:22 Kita tahu bahawa sampai ke saat ini seluruh ciptaan mengerang bagaikan sakit melahirkan anak.
ROM 8:23 Lebih daripada itu, kita sendiri yang mendapat buah pertama Roh Allah, turut mengerang dalam batin sambil menanti-nantikan pengangkatan sebagai anak Allah, iaitu penebusan tubuh kita.
ROM 8:24 Melalui harapan ini, kita telah diselamatkan. Tetapi harapan yang dilihat bukanlah harapan. Siapa yang mengharapkan apa yang sudah ada padanya?
ROM 8:25 Sebaliknya, jika kita mengharapkan apa yang belum ada pada kita, maka kita menantikannya dengan sabar.
ROM 8:26 Demikian jugalah, Roh menolong kita dalam kelemahan kita. Kita tidak tahu apa yang patut kita doakan, tetapi Roh itu sendiri berdoa syafaat untuk kita dengan rintihan yang tidak dapat disampaikan melalui kata-kata.
ROM 8:27 Dan Dia yang menyoroti hati kita tahu akan fikiran Roh, kerana Roh berdoa syafaat bagi pihak orang yang salih menurut kehendak Allah.
ROM 8:28 Dan kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut kehendak-Nya.
ROM 8:29 Kerana dari mulanya dahulu Allah telah menentukan mereka yang dipilih-Nya supaya menjadi selaras dengan rupa Putera-Nya, Isa al-Masih, maka Putera itu merupakan yang sulung di antara saudara-saudara yang ramai.
ROM 8:30 Dan orang yang ditentukan Allah dari mulanya dahulu dipanggil-Nya; orang yang dipanggil-Nya itu diperbenar-Nya; orang yang diperbenar-Nya itu dipermuliakan-Nya pula.
ROM 8:31 Jadi, apakah yang akan kita katakan sebagai sambutan kepada hal ini? Jika Allah memihak kepada kita, siapa dapat melawan kita?
ROM 8:32 Dia yang tidak mengecualikan Putera-Nya sendiri, tetapi menyerahkan-Nya untuk kita semua – tentulah Dia, bersama Putera-Nya itu, akan memberikan segala-galanya kepada kita dengan rela!
ROM 8:33 Siapa yang akan mendakwa orang pilihan Allah? Allah yang memperbenar.
ROM 8:34 Siapakah yang dapat mempersalahkan kita? Al-Masih Isa, yang telah mati, bahkan lebih daripada itu, yang telah dibangkitkan, berada di sebelah kanan Allah dan juga berdoa syafaat bagi pihak kita.
ROM 8:35 Siapa yang akan memisahkan kita daripada kasih al-Masih? Kekacauan atau kesusahan atau penganiayaan atau kebuluran atau ketelanjangan atau bahaya atau pedang?
ROM 8:36 Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari; Kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.’
ROM 8:37 Tidak! dalam semua hal ini kita lebih daripada para penakluk melalui Dia yang mengasihi kita.
ROM 8:38 Kerana aku yakin bahawa kematian mahupun kehidupan, para malaikat mahupun para penguasa, masa kini mahupun masa depan, baik kuasa apapun,
ROM 8:39 ketinggian mahupun kedalaman, baik apapun yang lain dalam seluruh ciptaan, tidak akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam al-Masih Isa, Junjungan kita.
ROM 9:1 Aku berkata benar dalam al-Masih. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Suci.
ROM 9:2 Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku.
ROM 9:3 Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada al-Masih untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku.
ROM 9:4 Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di rumah ibadat, dan janji-janji.
ROM 9:5 Mereka adalah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah al-Masih lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu. Terpujilah Allah selama-lamanya. Amin.
ROM 9:6 Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel.
ROM 9:7 Juga bukan semua keturunan Ibrahim diterima sebagai anak-anak Ibrahim. Sebaliknya, ‘Melalui Ishak anak-anakmu akan diperhitungkan.’
ROM 9:8 Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Ibrahim tetapi anak-anak janji Allah.
ROM 9:9 Kerana demikianlah kata-kata janji itu: ‘Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki.’
ROM 9:10 Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita.
ROM 9:11 Namun, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat – untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan:
ROM 9:12 bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil – Ribkah telah diberitahu: ‘Yang tua akan melayan yang muda.’
ROM 9:13 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci: ‘Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci.’
ROM 9:14 Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak!
ROM 9:15 Kerana Dia telah berkata kepada Musa, ‘Aku akan kasihani sesiapa yang Kukasihani. Dan Aku akan berbelas kasihan kepada sesiapa yang Kubelaskasihi.’
ROM 9:16 Oleh itu hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah.
ROM 9:17 Kerana kitab suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi.
ROM 9:18 Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati.
ROM 9:19 Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, ‘Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?’
ROM 9:20 Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? ‘Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, “Mengapa kaubuat aku begini?” ’
ROM 9:21 Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa?
ROM 9:22 Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan?
ROM 9:23 Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang dikasihi-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan,
ROM 9:24 justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya dari kalangan orang Yahudi tetapi juga dari kalangan bangsa asing?
ROM 9:25 Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea: ‘Aku akan memanggil mereka “umat-Ku” sedangkan mereka bukan umat-Ku; dan Aku akan memanggil dia “orang yang Kukasihi” sedangkan dia bukan orang yang Kukasihi.’
ROM 9:26 dan, ‘akan terjadi bahawa di mana telah dikatakan kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situlah mereka akan dipanggil ‘anak-anak Allah yang hidup.” ’
ROM 9:27 Yasyaya juga telah berseru tentang umat Israel: ‘Walaupun bilangan anak Israel seperti pasir di tepi laut, hanya segelintir baki akan diselamatkan.
ROM 9:28 Kerana Tuhan akan menjalankan hukumannya di atas bumi dengan segera dan muktamad.’
ROM 9:29 Samalah seperti kata Yasyaya sebelum itu: ‘Sekiranya Tuhan Maha Kuasa tidak membiarkan keturunan kita hidup, kita tentu telah menjadi seperti Sodom, tentu kita seperti Gomora.’
ROM 9:30 Jadi, apa yang akan kita katakan? Bahawa bangsa-bangsa asing, yang tidak mengejar kebenaran, telah mendapatinya, iaitu kebenaran berasaskan iman.
ROM 9:31 Sebaliknya orang Israel, yang mengejar kebenaran berasaskan hukum kebenaran, tidak dapat mencapainya.
ROM 9:32 Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan.
ROM 9:33 Sebagaimana telah tersurat: ‘Aku telah meletakkan di Sion seketul batu yang menyebabkan orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh, dan orang yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’
ROM 10:1 Saudara-saudaraku, hasrat hatiku dan doaku kepada Allah tentang orang Israel ialah semoga mereka akan diselamatkan.
ROM 10:2 Aku dapat memberi kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar.
ROM 10:3 Oleh sebab mereka tidak mengetahui kebenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan kebenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada kebenaran Allah. Kebenaran kerana iman
ROM 10:4 al-Masih adalah titik tamat hukum supaya kebenaran didapati oleh setiap orang yang beriman.
ROM 10:5 Musa telah menulis tentang kebenaran berasaskan hukum Taurat, ‘Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.’
ROM 10:6 Tetapi kebenaran berasaskan iman berkata demikian, ‘Jangan bertanya dalam hatimu, “Siapa yang akan naik ke syurga?” (untuk membawa al-Masih turun)
ROM 10:7 atau, “Siapa yang akan turun ke alam kubur?” (untuk membawa al-Masih naik daripada kematian).
ROM 10:8 Apakah yang dikatakan? ‘Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan di hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan):
ROM 10:9 Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Isa adalah Junjungan Yang Esa dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan;
ROM 10:10 kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.
ROM 10:11 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’
ROM 10:12 Kerana tidak ada perbezaan antara orang Israel dengan bangsa lain, kerana Tuhan yang sama berkuasa ke atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya.
ROM 10:13 Kerana ‘Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.’
ROM 10:14 Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapapun yang mengajar mereka tentang-Nya?
ROM 10:15 Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci, ‘Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!’
ROM 10:16 Sebagaimana kata Yasyaya, ‘Tuhan, siapa yang percaya akan perkhabaran yang kami sampaikan?’
ROM 10:17 Oleh itu iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda al-Masih.
ROM 10:18 Tetapi aku bertanya, ‘Tidakkah mereka mendengar?’ Tentu sekali: ‘Suara mereka telah tersebar ke serata bumi, dan kata-kata mereka telah sampai ke seluruh pelosok dunia.’
ROM 10:19 Sekali lagi aku bertanya, ‘Tidakkah orang Israel mengerti?’ Pertama, Musa berkata: ‘Aku akan membuatmu iri hati dengan orang yang bukan satu bangsa; Aku akan membuatmu marah dengan satu bangsa yang tidak mengerti.’
ROM 10:20 Kemudian Yasyaya lantang berkata, ‘Aku telah ditemui oleh mereka yang tidak mencari-Ku; Aku menyatakan diri-Ku kepada orang yang tidak memohon kehadiran-Ku.
ROM 10:21 Tetapi kepada orang Israel dia berkata, ‘Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan keras kepala.’
ROM 11:1 Oleh itu aku bertanya, ‘Adakah Allah telah menyingkirkan umat-Nya?’ Sama sekali tidak! Aku sendiri seorang berbangsa Israel, keturunan Ibrahim, daripada suku Benyamin.
ROM 11:2 Allah tidak menyingkirkan umat-Nya yang telah dipilih-Nya dari dahulu. Tidakkah kamu tahu apa yang telah tersurat di dalam kitab suci, di dalam petikan tentang Ilyas, betapa dia mengadu kepada Allah tentang Israel:
ROM 11:3 ‘Ya Tuhan, mereka telah membunuh nabi-nabi-Mu dan meruntuhkan tempat penyembahan-Mu; dan hanya aku yang tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku’?
ROM 11:4 Dan apakah jawapan Allah kepadanya? ‘Aku telah menyimpan untuk diri-Ku tujuh ribu orang yang tidak tunduk kepada Baal.’
ROM 11:5 Begitu jugalah, pada zaman ini, ada baki yang dipilih berasaskan kasih kurnia.
ROM 11:6 Jika dengan kasih kurnia, maka tidaklah lagi dengan kerja amal; sekiranya masih dengan kerja amal, kasih kurnia bukanlah kasih kurnia lagi.
ROM 11:7 Jadi, bagaimana? Apa yang dicari Israel dengan begitu bersungguh-sungguh tidak didapati oleh mereka, tetapi orang pilihan mendapatinya. Yang lain telah dikeraskan hatinya,
ROM 11:8 sebagaimana telah tersurat: ‘Allah telah membuat mereka tidak sedar, mata tidak melihat, telinga tidak mendengar, sampailah hari ini.’
ROM 11:9 Dan Daud berkata: ‘Semoga meja perjamuan mereka menjadi jerat dan perangkap, batu sandungan dan balasan kepada mereka;
ROM 11:10 Kelamkan mata mereka agar tidak dapat melihat, dan bongkokkan belakang mereka selama-lamanya!
ROM 11:11 Oleh itu aku bertanya, ‘Adakah mereka tersandung dan tidak dapat bangun semula?’ Sama sekali tidak! Sebaliknya, kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka, penyelamatan telah datang kepada bangsa-bangsa lain untuk membuat Israel iri hati.
ROM 11:12 Tetapi jika pelanggaran Israel bermakna kekayaan bagi dunia, dan kerugian mereka bermakna kekayaan bagi orang bukan bani Israel, betapa bergandanya lagi kekayaan yang akan dibawa oleh ketaatan mereka!
ROM 11:13 Sekarang aku berkata kepadamu, wahai bangsa asing: Oleh sebab aku ini rasul kepada orang bukan bani Israel, aku membesarkan pelayananku
ROM 11:14 dengan harapan dapat menimbulkan iri hati bangsaku sendiri dan menyelamatkan sesetengah mereka.
ROM 11:15 Jika penyingkiran mereka mendatangkan perdamaian bagi seisi dunia, lebih-lebih lagilah kalau mereka diterima semula oleh Allah! Bukankah hal ini seperti hidup kembali selepas mati?
ROM 11:16 Sekiranya gumpalan pertama suci, maka sucilah seluruh adunan. Jika suci akar pohon, maka demikian jugalah cabang-cabangnya.
ROM 11:17 Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pohon zaitun yang subur itu,
ROM 11:18 janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu.
ROM 11:19 Ketika itu kamu akan berkata: ‘Cabang-cabang itu dipatahkan supaya aku dapat dicantumkan.’
ROM 11:20 Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah.
ROM 11:21 Kerana jika Allah tidak mengampuni cabang-cabang tabii itu, Dia tidak akan mengampunimu juga.
ROM 11:22 Oleh itu, fikirkanlah belas ihsan dan juga kekerasan-Nya; kekerasan kepada mereka yang terjerumus; belas ihsan kepada kamu, asalkan kamu berterusan dalam belas ihsan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dibuangkan.
ROM 11:23 Mereka juga, jika mengubah sikap tidak percaya, akan dicantumkan semula, kerana Allah berupaya berbuat demikian.
ROM 11:24 Kalau kamu yang telah dipotong dari pokok zaitun liar dapat dicantumkan ke pohon zaitun yang baik dan berbeza tabiinya, lebih-lebih lagilah cabang-cabang tabii itu dapat dicantumkan ke pokok zaitunnya sendiri!
ROM 11:25 Saudara-saudaraku, aku tidak mahu kamu jahil tentang rahsia ini, supaya kamu tidak berasa megah: Sebahagian daripada orang Israel telah menjadi keras hati sehingga genap jumlah orang bukan bani Israel telah masuk.
ROM 11:26 Kemudian seluruh orang Israel akan diselamatkan, sebagaimana yang telah tersurat: ‘Penyelamat akan datang dari Sion, dan Dia akan menjauhkan kemungkaran daripada Yakub;
ROM 11:27 Kerana inilah perjanjian-Ku dengan mereka ketika Aku menghapuskan dosa-dosa mereka.’
ROM 11:28 Dari segi Injil, orang Israel dimusuhi keranamu, tetapi dari segi pilihan, mereka dikasihi kerana nenek moyang mereka;
ROM 11:29 kerana kurnia dan panggilan Allah tidak akan ditarik kembali selama-lamanya.
ROM 11:30 Sebagaimana kamu dahulu ingkar kepada Allah namun kini telah mendapat belas kasihan kerana keingkaran mereka,
ROM 11:31 demikian jugalah mereka yang kini telah ingkar, melalui belas kasihan yang kamu peroleh, mereka juga mungkin mendapat belas kasihan.
ROM 11:32 Allah telah mengeraskan hati mereka dalam keingkaran, supaya Dia dapat mengasihani semuanya.
ROM 11:33 Oh, betapa kaya kebijaksanaan dan pengetahuan Allah! Penghakiman-Nya tidak terduga, dan jalan-jalan-Nya tidak mungkin diselami!
ROM 11:34 ‘Kerana siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapa yang menjadi penasihat-Nya?
ROM 11:35 Atau siapakah yang pernah memberi-Nya sesuatu, maka Dia harus membalasnya?’
ROM 11:36 Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia. Bagi Allah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
ROM 12:1 Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, dalam keadaan suci dan dapat diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar.
ROM 12:2 Janganlah ikut cara hidup duniawi, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.
ROM 12:3 Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang.
ROM 12:4 Sebagaimana tubuh manusia terdiri daripada beberapa anggota yang berbagai-bagai tugasnya dan bukan semua anggota itu mempunyai tugas yang sama,
ROM 12:5 begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam al-Masih, dan saling memiliki.
ROM 12:6 Kita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita;
ROM 12:7 kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran.
ROM 12:8 Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita.
ROM 12:9 Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan.
ROM 12:10 Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan;
ROM 12:11 jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangatmu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan.
ROM 12:12 Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa.
ROM 12:13 Berilah bantuan untuk memenuhi keperluan orang salih, dan berikan tempat menumpang.
ROM 12:14 Pohonlah berkat bagi orang yang menganiayai kamu, dan jangan kutuk mereka.
ROM 12:15 Bergembiralah dengan orang yang bergembira, dan menangislah dengan orang yang menangis.
ROM 12:16 Bersatu hatilah sesama kamu. Jangan tinggi hati, sebaliknya bergaullah dengan golongan yang sederhana. Jangan anggap dirimu bijaksana.
ROM 12:17 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Perhatikan apa yang baik di mata semua orang.
ROM 12:18 Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia.
ROM 12:19 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah, kerana telah tersurat: ‘Pembalasan adalah hak-Ku. Akulah yang akan membalas,’ demikian firman Tuhan.
ROM 12:20 Oleh itu: ‘Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, beri dia minum; Kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya.’
ROM 12:21 Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan.
ROM 13:1 Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah.
ROM 13:2 Oleh itu sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang peraturan Allah, dan sesiapa yang menentang membawa hukuman ke atas dirinya.
ROM 13:3 Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya.
ROM 13:4 Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat.
ROM 13:5 Oleh itu tunduklah, bukan hanya kerana takut dimurkai Allah tetapi juga kerana menurut hati nuranimu sendiri.
ROM 13:6 Dengan sebab itu jugalah kamu harus membayar cukai. Pemerintah adalah pegawai-pegawai yang ditugaskan oleh Allah untuk mengendalikan hal itu.
ROM 13:7 Oleh itu bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak: Sekiranya cukai, bayarlah cukai; sekiranya hasil, bayarlah hasil. Dan takutilah orang yang patut ditakuti, dan hormatilah orang yang patut dihormati.
ROM 13:8 Jangan merasa terhutang apa-apa kepada sesiapapun kecuali kasih-mengasihi, kerana seseorang yang mengasihi sesama manusia telah memenuhi hukum;
ROM 13:9 kerana perintah-perintah, ‘Jangan berzina’, ‘Jangan membunuh’, ‘Jangan mencuri’, ‘Jangan bersaksi bohong’, ‘Jangan ingini milik orang lain’ dan perintah-perintah yang lain adalah terangkum dalam perintah ini, ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri’.
ROM 13:10 Kasih tidak berbuat jahat kepada sesama manusia. Oleh itu kasih memenuhi hukum.
ROM 13:11 Kamu tahu bahawa sudah sampai waktunya kamu bangun dari tidur, kerana kini penyelamatan lebih dekat lagi kepada kita daripada dahulu, ketika kita baru beriman.
ROM 13:12 Malam sudah hampir berlalu, dan siang hampir tiba. Oleh itu lucutkanlah segala kerja kegelapan dan kenakan kelengkapan senjata cahaya.
ROM 13:13 Ikutlah tingkah laku yang wajar, sebagaimana orang berjalan pada siang hari. Jangan berpesta liar dan mabuk, jauhi noda dan kelucahan, singkirkan pergaduhan dan iri hati.
ROM 13:14 Kenakan Junjungan Isa al-Masih sebagai kelengkapan senjata dan jangan hidup secara duniawi untuk memuaskan hawa nafsu.
ROM 14:1 Terimalah orang yang lemah imannya, tanpa menghakimi hal-hal yang boleh dipertikaikan.
ROM 14:2 Ada orang yang yakin dia boleh makan semua jenis makanan, tetapi ada juga orang yang lemah imannya dan hanya makan sayur-sayuran.
ROM 14:3 Namun demikian, orang yang makan semua jenis makanan janganlah menghina orang yang tidak makan sesuatu; dan orang yang tidak makan sesuatu janganlah menghakimi orang yang makan semua jenis makanan, kerana Allah telah menerima dia.
ROM 14:4 Siapakah kamu maka berani menghakimi hamba orang lain? Sama ada dia tetap berdiri atau jatuh, terpulanglah kepada tuannya. Malah dia akan tetap berdiri kerana Tuhan berkuasa membuatnya tetap berdiri.
ROM 14:5 Ada orang yang mengutamakan hari tertentu daripada yang lain, dan ada pula yang menganggap semua hari sama baiknya. Setiap orang harus membuat keputusan bagi dirinya sendiri, selaras dengan keyakinannya.
ROM 14:6 Mereka yang mengutamakan hari-hari tertentu berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Mereka yang makan semua jenis makanan melakukannya untuk menghormati Tuhan, kerana mereka mengucap syukur kepada Allah; manakala mereka yang tidak makan beberapa jenis makanan juga melakukannya untuk menghormati Tuhan, dan mengucap syukur kepada Allah.
ROM 14:7 Tiada seorang pun di kalangan kita yang hidup bagi diri sendiri, dan tiada seorang pun di kalangan kita yang mati bagi diri sendiri.
ROM 14:8 Jika kita hidup, kita hidup bagi Tuhan; dan jika kita mati, kita mati bagi Tuhan. Oleh itu, baik kita hidup mahupun mati, kita adalah milik Tuhan.
ROM 14:9 Al-Masih mati dan bangkit lalu hidup semula untuk menjadi Tuhan kepada yang mati dan yang hidup.
ROM 14:10 Mengapakah kamu menghakimi saudaramu? Dan mengapa kamu menghina saudaramu? Kita semua akan berdiri di hadapan takhta penghakiman al-Masih.
ROM 14:11 Kerana telah tersurat: ‘ “Demi hidup-Ku,” Tuhan berfirman, “Setiap orang akan bertekuk lutut di hadapan-Ku; dan setiap lidah akan mengaku kepada Allah.” ’
ROM 14:12 Nyatalah bahawa setiap seorang daripada kita akan dipertanggungjawabkan memberi pernyataan tentang dirinya kepada Allah.
ROM 14:13 Oleh itu janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh.
ROM 14:14 Dalam Junjungan Isa, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis.
ROM 14:15 Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana al-Masih telah berkorban nyawa untuk dia juga.
ROM 14:16 Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan.
ROM 14:17 Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi menjalankan segala yang benar dan membawa kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Suci.
ROM 14:18 Orang yang mengabdikan diri kepada al-Masih dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia.
ROM 14:19 Oleh itu marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri.
ROM 14:20 Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung.
ROM 14:21 Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu.
ROM 14:22 Apa yang kamu percayai, percayailah sendirian di hadapan Allah. Berbahagialah orang yang tidak perlu menyalahkan dirinya tentang sesuatu yang dipercayainya benar.
ROM 14:23 Sebaliknya, seseorang yang makan sesuatu dengan perasaan waswas adalah bersalah kerana perbuatannya itu tidak berasaskan iman. Segala yang tidak berasaskan iman itu adalah dosa.
ROM 15:1 Yang kuat di kalangan kita hendaklah menampung kelemahan orang yang tidak kuat, dan jangan hanya menyukakan hati sendiri.
ROM 15:2 Setiap orang haruslah menyukakan hati saudaranya sesama manusia untuk kebaikannya supaya dia menjadi teguh.
ROM 15:3 Al-Masih tidak menyukakan hati-Nya sendiri; sebaliknya telah tersurat: ‘Segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpa-Ku.’
ROM 15:4 Segala yang tersurat pada masa dahulu adalah untuk menjadi pengajaran kepada kita, supaya melalui kesabaran dan penglipuran daripada tulisan-tulisan suci itu kita mendapat harapan.
ROM 15:5 Semoga Allah yang memberikan kesabaran dan galakan, mengurniaimu perpaduan yang sama terhadap satu sama lain, menurut Isa al-Masih.
ROM 15:6 Dengan demikian dapatlah kamu dengan sebulat hati dan suara memuliakan Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih.
ROM 15:7 Terimalah satu sama lain, sebagaimana al-Masih telah menerima kita, demi kemuliaan Allah.
ROM 15:8 Sekarang aku berkata kepadamu bahawa Isa al-Masih telah menjadi hamba kepada umat yang bersunat demi kebenaran Allah, untuk meneguhkan janji yang telah dibuat kepada nenek moyang kita,
ROM 15:9 dan supaya bangsa-bangsa lain juga memuliakan Allah kerana belas kasihan-Nya, sebagaimana telah tersurat: ‘Kerana itulah Aku akan memuliakan-Mu dalam kalangan bangsa-bangsa lain, menyanyikan pujian bagi nama-Mu.’
ROM 15:10 Seterusnya dikatakan lagi: ‘Bergembiralah, semua bangsa, bersama umat-Nya!’
ROM 15:11 Kemudian, ‘Pujilah Tuhan, hai semua bangsa! Pujilah Dia, hai kamu semua manusia!’
ROM 15:12 Yasyaya menyampaikan juga: ‘Akan ada tunas dari Isai, Dialah yang bangkit memerintah semua bangsa, kepada-Nyalah semua bangsa akan menaruh harapan.’
ROM 15:13 Semoga Allah, sumber harapan, memenuhi hatimu dengan kegembiraan dan kesejahteraan dalam iman, supaya kamu dilimpahi harapan dengan kuasa Roh Suci.
ROM 15:14 Sekarang aku yakin tentangmu, saudara-saudaraku, bahawa kamu juga penuh dengan kebaikan dan pengetahuan serta dapat saling menasihati.
ROM 15:15 Namun begitu, saudara-saudaraku, aku telah menulis kepadamu dengan lebih tegas tentang hal-hal tertentu kerana kasih kurnia yang telah dikurniakan Allah kepadaku,
ROM 15:16 menjadikan aku hamba Isa al-Masih bagi bangsa-bangsa lain, menyampaikan berita baik daripada Allah, supaya persembahan bangsa-bangsa lain itu diterima Allah, disucikan oleh Roh Suci.
ROM 15:17 Dengan demikian aku dapat berbangga dalam Isa al-Masih tentang hal-hal berkaitan Allah.
ROM 15:18 Aku tidak akan berani bercakap tentang sesuatu selain yang telah dilakukan oleh al-Masih melaluiku, dengan kata-kata dan perbuatan, untuk menjadikan bangsa-bangsa lain itu taat,
ROM 15:19 dalam bentuk alamat dan keajaiban besar, dengan kuasa Roh Allah. Dari Baitulmaqdis dan sekitarnya sampai ke Ilirikum aku telah menyampaikan berita baik al-Masih.
ROM 15:20 Aku ingin menyampaikan berita baik ini ke tempat-tempat nama al-Masih belum disebut orang. Dengan demikian aku tidak membina di atas tapak yang telah diletakkan oleh orang lain.
ROM 15:21 Sebagaimana yang telah tersurat: ‘Mereka yang belum pernah mendapat khabar tentang-Nya akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.’
ROM 15:22 Itulah sebabnya selalu sahaja tergendala hasratku hendak mengunjungimu.
ROM 15:23 Namun sekarang, kerana tiada lagi tempat bagiku di sini, dan sudah bertahun-tahun aku ingin melawatmu,
ROM 15:24 aku berharap dapat singgah di tempatmu ketika aku ke Sepanyol dan dapat bertemu denganmu. Aku juga berharap kamu akan membantuku meneruskan perjalanan ke sana setelah sejenak aku bergembira bersamamu.
ROM 15:25 Tetapi kini aku sedang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis untuk membawakan bantuan kepada orang salih.
ROM 15:26 Orang Makedonia dan Akhaya telah membuat keputusan turut membantu orang salih yang miskin di Baitulmaqdis.
ROM 15:27 Ini dilakukan mereka dengan rela hati, malah mereka menganggapnya suatu kewajipan; kerana jika bangsa-bangsa lain telah mendapat bahagian bersama orang Israel dalam hal-hal rohani, maka seharusnyalah mereka membantu orang Israel dalam hal-hal lahiriah.
ROM 15:28 Setelah menjalankan tugas ini dan menyerahkan apa yang telah dikumpulkan, aku akan belayar ke Sepanyol dan singgah di tempatmu.
ROM 15:29 Aku yakin bahawa apabila ke tempatmu, aku akan datang dengan berkat al-Masih yang melimpah.
ROM 15:30 Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, demi Junjungan Isa al-Masih dan demi kasih daripada Roh Suci, berdoalah bersungguh-sungguh bersamaku kepada Allah bagi diriku,
ROM 15:31 supaya aku terhindar daripada orang yang tidak beriman di Yudea dan supaya bantuan yang kubawakan ke Baitulmaqdis ini disambut baik oleh orang salih di situ;
ROM 15:32 supaya dengan izin Allah aku sampai di tempatmu dengan gembira dan dapat berehat bersamamu.
ROM 15:33 Semoga Allah, sumber kesejahteraan, menyertai kamu semua. Amin.
ROM 16:1 Aku amanahkan kepadamu Febe, saudari kita, seorang yang mengabdikan diri kepada jemaah di Kengkrea,
ROM 16:2 supaya kamu menyambutnya dalam Tuhan sebagaimana yang wajar di antara orang salih, serta membantunya apabila dia memerlukan pertolonganmu, kerana dia telah menolong ramai orang, termasuklah aku.
ROM 16:3 Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakan seperjuanganku dalam Isa al-Masih.
ROM 16:4 Mereka telah bergadai nyawa untukku. Bukan aku saja yang terhutang budi kepada mereka, malah seluruh jemaah dari bangsa-bangsa lain.
ROM 16:5 Salam kepada jemaah yang berhimpun di rumah mereka. Salam kepada Epenetus, saudara yang kukasihi, orang yang pertama beriman kepada al-Masih di Asia.
ROM 16:6 Salam kepada Maryam, yang telah bertungkus-lumus untukmu.
ROM 16:7 Salam kepada Andronikus dan Yunias, saudara-saudara sebangsaku dan teman-temanku dalam penjara. Mereka adalah orang terkemuka di antara para rasul, dan yang telah menerima al-Masih sebelumku.
ROM 16:8 Salam kepada Ampliatus yang kukasihi dalam Tuhan.
ROM 16:9 Salam kepada Urbanus, rakan seperjuangan kamu dalam al-Masih, dan juga kepada Stakhis yang kukasihi.
ROM 16:10 Salam kepada Apeles, yang terbukti setia dalam al-Masih. Salam kepada Aristobulus dan seisi rumahnya.
ROM 16:11 Salam kepada Herodion, saudara sebangsaku. Salam kepada Narkisus sekeluarga, yang hidup dalam Tuhan.
ROM 16:12 Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa, yang telah berpenat-lelah dalam Tuhan. Salam kepada Persis yang kukasihi, yang juga telah bertungkus-lumus dalam Tuhan.
ROM 16:13 Salam kepada Rufus, hamba yang terpilih dalam Tuhan, dan kepada ibunya, yang telah menjadi ibu juga kepadaku.
ROM 16:14 Salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas dan saudara-saudara yang bersama mereka.
ROM 16:15 Salam kepada Filologus dan Yulia, Nereus dan saudara perempuannya Olimpas, serta semua orang salih yang bersama mereka.
ROM 16:16 Bersalam-salamanlah dengan ciuman suci. Jemaah-jemaah al-Masih berkirim salam kepadamu.
ROM 16:17 Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka.
ROM 16:18 Orang demikian bukanlah hamba Junjungan al-Masih tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya orang yang lurus dengan kata-kata yang manis.
ROM 16:19 Semua orang telah mengetahui ketaatanmu. Oleh itu aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan.
ROM 16:20 Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.
ROM 16:21 Timotius, rakan seperjuanganku, berkirim salam kepadamu; begitu juga Lukius, Yason dan Sosipater, kawan-kawan sebangsaku.
ROM 16:22 Aku, Tertius, yang menulis surat ini, juga berkirim salam kepadamu dalam Tuhan.
ROM 16:23 Gayus, yang memberiku tempat menumpang serta semua jemaah yang berhimpun di rumahnya, berkirim salam kepadamu. Salam juga daripada Erastus, bendahara kota, dan Kuartus, saudara kita.
ROM 16:24 Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.
ROM 16:25 Sekarang, kepada Dia yang berkuasa meneguhkan kamu menurut berita baik yang kusampaikan dan ajaran Isa al-Masih, menurut pernyataan rahsia yang tersembunyi sejak permulaan dunia
ROM 16:26 tetapi kini telah dinyatakan, dan melalui nubuat-nubuat dalam kitab suci telah disampaikan kepada semua bangsa, menurut perintah Allah yang kekal, supaya mereka dibawa mentaati iman;
ROM 16:27 kepada Allah, yang satu-satunya bijaksana, segala kemuliaan melalui Isa al-Masih selama-lamanya. Amin.
1CO 1:1 Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai Rasul Isa al-Masih, dan daripada Sostenes, saudara kita;
1CO 1:2 Kepada jemaah di Korintus, yang telah disucikan dalam Isa al-Masih, dan yang telah dipanggil untuk menjadi orang salih bersama semua orang di mana jua, yang berseru kepada Junjungan kita Isa al-Masih, Junjungan mereka dan Junjungan kita juga.
1CO 1:3 Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
1CO 1:4 Aku sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, sebab Dia telah menganugerahimu kasih kurnia dalam Isa al-Masih.
1CO 1:5 Oleh sebab di dalam Isa al-Masih, kamu telah diperkayakan dalam segala hal: dalam segala perkataan dan dalam segala pengetahuan;
1CO 1:6 bahkan kesaksian tentang al-Masih telah diperkukuh dalam dirimu,
1CO 1:7 sehingga kamu tidak kekurangan satu kurnia pun sementara menunggu Junjungan kita Isa al-Masih dinyatakan.
1CO 1:8 Dia akan menguatkanmu hingga akhir supaya kamu tidak bercela pada hari Junjungan kita Isa al-Masih.
1CO 1:9 Allah setia. Allah telah memanggilmu hidup dalam keakraban dengan Putera-Nya, Isa al-Masih, Junjungan kita.
1CO 1:10 Saudara-saudaraku! Demi nama Junjungan kita Isa al-Masih aku berseru kepada kamu semua supaya seia sekata dan tidak wujud perpecahan. Dengan demikian, kamu bersatu hati dan fikiran sepenuhnya.
1CO 1:11 Saudara-saudaraku, beberapa orang anggota keluarga Kloe telah menyatakan kepadaku bahawa berlaku sengketa antara kamu.
1CO 1:12 Inilah yang kumaksudkan: Ada orang yang berkata, ‘Aku mengikut Paulus’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Apolos’; ada yang berkata, ‘Aku mengikut Petrus’; dan ada pula yang berkata, ‘Aku mengikut al-Masih.’
1CO 1:13 Adakah al-Masih berbelah-bahagi? Bukannya Paulus yang mati di kayu salib untukmu! Bukanlah sebagai pengikut Paulus kamu telah diimadkan!
1CO 1:14 Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak mengimadkan kamu, kecuali Krispus dan Gayus.
1CO 1:15 Oleh itu tiada siapapun dapat mengatakan kamu diimadkan dalam namaku.
1CO 1:16 (Sebenarnya, aku juga mengimadkan Stefanus sekeluarga. Selain itu, aku tidak ingat siapakah lagi yang kuimadkan.)
1CO 1:17 Al-Masih mengutusku bukan untuk mengimadkan orang, tetapi untuk menyebarkan Injil. Aku menyampaikannya bukan dengan kata-kata kebijaksanaan manusia. Dengan demikian salib al-Masih tidak menjadi sia-sia.
1CO 1:18 Bagi mereka yang akan binasa, berita tentang salib dianggap suatu kebodohan. Namun, bagi kita yang diselamatkan Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan-Nya.
1CO 1:19 Telah tersurat: ‘Allah berfirman, “Aku akan memusnahkan kebijaksanaan orang yang bijak. Dan kepandaian orang yang pandai Aku akan ketepikan.” ’
1CO 1:20 Jadi, di manakah orang yang bijak? Di manakah ahli Taurat? Di manakah orang berilmu zaman ini? Bukankah Allah telah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia sebenarnya kebodohan semata-mata?
1CO 1:21 Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa manusia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan mereka yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami sampaikan, yang dianggap sebagai kebodohan.
1CO 1:22 Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan.
1CO 1:23 Sebaliknya kami memberitakan al-Masih yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain.
1CO 1:24 Namun, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik Yahudi mahupun Yunani, al-Masih kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah.
1CO 1:25 Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia.
1CO 1:26 Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan.
1CO 1:27 Sememangnya Allah memilih orang yang bodoh di dunia untuk memalukan orang yang bijak. Allah memilih orang yang lemah di dunia, untuk memalukan orang yang kuat.
1CO 1:28 Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada.
1CO 1:29 Oleh itu, tiada siapapun dapat bermegah di hadapan Allah.
1CO 1:30 Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Isa al-Masih. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita.
1CO 1:31 Dengan demikian, sebagaimana telah tersurat, ‘Jika sesiapa bermegah, maka hendaklah dia bermegah di dalam Tuhan.’
1CO 2:1 Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan.
1CO 2:2 Ini kerana sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Isa al-Masih semata-mata, khususnya tentang kewafatan-Nya di kayu salib.
1CO 2:3 Oleh itu, ketika aku mendekatimu, aku daif dan gementar ketakutan.
1CO 2:4 Dan perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmat yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh.
1CO 2:5 Dengan demikian, imanmu bukanlah berasaskan kebijaksanaan manusia, tetapi berasaskan kuasa Allah.
1CO 2:6 Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohaninya. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para penguasa dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah.
1CO 2:7 Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini.
1CO 2:8 Para penguasa dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Junjungan Yang Mulia.
1CO 2:9 Sebagaimana telah tersurat: ‘Apa yang belum pernah dilihat oleh mata atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.’
1CO 2:10 Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam.
1CO 2:11 Siapakah di antara kita yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri seseorang selain roh orang itu sendiri yang berada dalam dirinya? Begitulah juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri Allah selain Roh Allah.
1CO 2:12 Kita tidak menerima roh dunia ini. Kita menerima Roh daripada Allah agar mengetahui segala kurnia Allah kepada kita.
1CO 2:13 Jadi, segala perkara ini kami sampaikan bukan dengan kata-kata daripada kebijaksanaan manusia tetapi daripada ajaran Roh yang menggabungkan fikiran rohani dengan kata-kata rohani.
1CO 2:14 Orang yang tidak mempunyai Roh Suci tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana mereka tidak mungkin mengertinya malah menganggapnya kebodohan semata-mata, dan mereka tidak dapat memahaminya, disebabkan perkara-perkara itu hanya dapat dinilai secara rohani.
1CO 2:15 Orang yang mempunyai Roh Suci dapat menilai segala-galanya tetapi tiada siapa dapat menilai orang itu.
1CO 2:16 Ini kerana: ‘Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang berupaya menasihati-Nya?’ Namun demikian, kita mempunyai fikiran al-Masih!
1CO 3:1 Saudara-saudaraku! Aku tidak dapat bercakap denganmu seperti dengan orang yang mempunyai Roh Suci. Aku terpaksa bercakap denganmu seperti dengan orang yang masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam iman terhadap al-Masih.
1CO 3:2 Dulu aku memberimu susu kerana kamu belum sedia menerima makanan keras. Tetapi sekarang pun kamu masih belum bersedia menerimanya.
1CO 3:3 Kerana kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa?
1CO 3:4 Apabila seorang daripadamu berkata, ‘Aku mengikut Paulus’ dan seorang lagi berkata, ‘Aku mengikut Apolos’, bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini?
1CO 3:5 Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap al-Masih. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan.
1CO 3:6 Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
1CO 3:7 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
1CO 3:8 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing.
1CO 3:9 Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.
1CO 3:10 Dengan kasih kurnia Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhati-hati.
1CO 3:11 Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Isa al-Masih.
1CO 3:12 Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami.
1CO 3:13 Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api.
1CO 3:14 Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran.
1CO 3:15 Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran.
1CO 3:16 Kamu tentu tahu bahawa kamu tempat kediaman Allah, kerana Roh Suci tinggal di dalam dirimu.
1CO 3:17 Oleh itu, sekiranya seseorang memusnahkan tempat kediaman Allah, Allah akan memusnahkan orang itu, kerana tempat kediaman Allah itu suci dan kamulah tempat kediaman Allah itu.
1CO 3:18 Janganlah menipu diri. Jika sesiapa di kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak;
1CO 3:19 kerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di sisi Allah. Telah tersurat: ‘Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri.’
1CO 3:20 Juga tersurat: ‘Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia.’
1CO 3:21 Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu.
1CO 3:22 Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu,
1CO 3:23 dan kamu milik al-Masih, dan al-Masih milik Allah.
1CO 4:1 Kamu hendaklah memandang kami sebagai hamba al-Masih yang diamanahkan dengan rahsia-rahsia Allah.
1CO 4:2 Setelah dipertanggungjawabkan dengan amanah, hamba demikian itu wajib membuktikan bahawa dia dapat dipercayai.
1CO 4:3 Aku tidak peduli apa pandanganmu dan orang lain terhadapku; malah pandanganku terhadap diriku sendiri pun tidak penting.
1CO 4:4 Aku tidak berasa bersalah, tetapi ini tidak bererti aku tidak bersalah. Hanya Tuhan yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak.
1CO 4:5 Oleh itu janganlah putuskan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak sebelum sampai waktunya. Tunggulah hingga Junjungan datang kembali dan mendedahkan segala rahsia yang diselubungi kegelapan, segala niat yang terpendam di hati manusia. Ketika itulah setiap orang akan mendapat penilaian yang sewajarnya daripada Allah.
1CO 4:6 Saudara-saudaraku! Untuk kebaikanmu, segala ini telah kukerjakan dalam diriku dan Apolos supaya dengan mengikut teladan kami, kamu dapat mengerti kata-kata hikmat ini: ‘Janganlah melampaui apa yang telah tersurat’. Dengan demikian, kamu tidak memegahkan seseorang daripada yang lain.
1CO 4:7 Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada yang lain? Apakah yang ada padamu yang tidak kamu terima? Jadi, jika kamu memang menerimanya, mengapakah kamu bermegah, seolah-olah apa yang ada padamu itu bukan kurnia-Nya?
1CO 4:8 Ya, kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Kamu memang sudah kaya-raya! Tanpa kami pun kamu sudah menjadi raja! Namun, kamu tidak begitu. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja. Dapatlah kami memerintah bersamamu.
1CO 4:9 Pada pandanganku, Allah memberikan kedudukan paling rendah kepada kami para rasul; tak ubah seperti orang yang dijatuhi hukum mati di hadapan orang ramai, dijadikan tontonan para malaikat dan manusia.
1CO 4:10 Kerana al-Masih, kami menjadi orang yang bodoh; tetapi kerana al-Masih, kamu menjadi orang bijak. Kami lemah, namun kamu kuat! Kami dihina, sedangkan kamu dimuliakan!
1CO 4:11 Hingga saat ini kami lapar dan dahaga, berpakaian lusuh, didera, tiada tempat tinggal yang tetap.
1CO 4:12 Kami bertungkus-lumus menyara hidup. Kami membalas sumpah seranah dengan berkat restu, dan bersabar ketika dianiaya.
1CO 4:13 Kami membalas caci maki dengan kata-kata yang baik. Kami dianggap sampah masyarakat, sampah dunia hingga sekarang.
1CO 4:14 Aku menulis demikian kepadamu bukanlah untuk memalukanmu, tetapi untuk menasihatimu sebagai anak-anakku yang kusayangi.
1CO 4:15 Walaupun kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh dalam Isa al-Masih, bapamu tidaklah ramai. Ini kerana dalam al-Masih, aku seperti bapamu yang telah membawa Injil kepadamu.
1CO 4:16 Oleh itu aku menyeru kamu, ikutlah teladanku.
1CO 4:17 Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius, anakku yang dikasihi dan setia dalam Tuhan. Dia akan mengingatkan kamu tentang jalan hidup yang kuikut sejak beriman kepada al-Masih, iaitu jalan hidup yang telah kuajarkan kepada jemaah di serata tempat.
1CO 4:18 Ada di antara kamu yang bersikap angkuh kerana menyangka aku tidak akan mengunjungimu.
1CO 4:19 Kiranya diizinkan Tuhan, aku akan mengunjungimu tidak lama lagi dan melihat bukan hanya apa yang dikatakan oleh orang yang angkuh itu tetapi apa kuasa mereka.
1CO 4:20 Kerana kerajaan Allah bukan sekadar kata-kata sahaja tetapi terdiri daripada kuasa.
1CO 4:21 Mana yang kamu pilih? Agar aku datang kepadamu dengan rotan, atau dengan kasih sayang dan lemah lembut?
1CO 5:1 Aku dimaklumkan bahawa di kalanganmu ada perbuatan cabul yang tidak pernah dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Tuhan pun: Seorang lelaki berzina dengan isteri ayahnya.
1CO 5:2 Namun begitu, kamu masih bermegah. Sewajarnya kamu bersedih dan bertindak menyingkirkan orang yang melakukan perbuatan itu.
1CO 5:3 Walaupun pada lahirnya aku jauh daripadamu, namun pada batinnya aku bersamamu. Aku pun sudah menjatuhkan hukuman atas orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah aku berada di tengah-tengah kamu.
1CO 5:4 Apabila kamu berhimpun demi nama Junjungan kita Isa, sifatkanlah aku ada di kalanganmu pada batinnya dan dengan kuasa Junjungan kita Isa
1CO 5:5 serahkanlah orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dimusnahkan tetapi rohnya dapatlah diselamatkan pada hari Junjungan datang kembali.
1CO 5:6 Kamu tidak harus bermegah. Tentu kamu mengenal pepatah ini: ‘Sedikit ragi mencemari seluruh adunan.’
1CO 5:7 Buanglah ragi lama supaya kamu menjadi adunan baru tanpa ragi. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya begitu. Kerana al-Masih, domba Paska kita telah dikorbankan.
1CO 5:8 Marilah kita sambut perayaan Paska bukan dengan ragi yang lama, ragi lambang kejahatan dan kezaliman, melainkan dengan roti yang tidak beragi, iaitu ketulusan hati dan keikhlasan.
1CO 5:9 Dalam suratku yang lalu, aku telah menyerumu supaya menjauhkan diri daripada orang yang cabul.
1CO 5:10 Orang cabul yang kumaksudkan bukanlah yang tidak mengenal Allah maka berkelakuan cabul, tamak, menipu dan menyembah berhala. Untuk menjauhkan diri daripada mereka ini, terpaksalah kamu keluar dari dunia ini.
1CO 5:11 Maksudku ialah kamu tidak harus bergaul dengan orang yang mengaku dirinya sebagai saudara tetapi pada hakikatnya orang yang cabul, tamak, penyembah berhala, pengumpat, pemabuk atau penipu. Janganlah makan bersama mereka.
1CO 5:12 Apakah urusanku sehingga aku harus mengadili orang di luar jemaah? Bukankah kamu hanya mengadili orang di dalam jemaah saja?
1CO 5:13 Tetapi bagi yang di luar jemaah, Allah sendiri akan mengadili mereka. Oleh itu, kamu harus singkirkan orang yang durjana dari kalanganmu.
1CO 6:1 Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih?
1CO 6:2 Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil?
1CO 6:3 Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari?
1CO 6:4 Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan di kalangan jemaah?
1CO 6:5 Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman.
1CO 6:6 Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!
1CO 6:7 Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalahkan? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.
1CO 6:8 Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!
1CO 6:9 Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak taat akan perintah Allah tidak akan menikmati kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, melakukan liwat,
1CO 6:10 mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan menikmati kerajaan Allah.
1CO 6:11 Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenarkan dalam nama Junjungan Isa al-Masih dan dengan Roh Allah Tuhan kita.
1CO 6:12 Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu memperhamba diriku.
1CO 6:13 Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita.
1CO 6:14 Allah telah membangkitkan Junjungan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.
1CO 6:15 Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh al-Masih; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!
1CO 6:16 Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu tubuh dengan pelacur itu? Di dalam kitab suci jelas tersurat, ‘Mereka berdua menjadi satu.’
1CO 6:17 Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.
1CO 6:18 Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri.
1CO 6:19 Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Suci yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah.
1CO 6:20 Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.
1CO 7:1 Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu kemukakan di dalam suratmu. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, itu memang baik.
1CO 7:2 Namun demikian, supaya tidak tergoda melakukan perbuatan yang cabul, lebih baiklah setiap lelaki itu beristeri dan setiap perempuan bersuami.
1CO 7:3 Seorang suami harus menunaikan kewajipan kepada isterinya, begitu juga seorang isteri kepada suaminya.
1CO 7:4 Seorang isteri tidak berkuasa ke atas tubuhnya sendiri; suaminya berkuasa ke atas tubuhnya. Demikianlah juga, seorang suami tidak berkuasa ke atas tubuhnya sendiri; isterinya yang berkuasa ke atas tubuhnya.
1CO 7:5 Jangan renggangkan hubungan sebagai suami isteri, kecuali sementara waktu dengan persetujuan bersama untuk bertumpu kepada ibadat. Tetapi setelah itu teruskan hubungan sebagai suami isteri, supaya Iblis tidak berjaya menggodamu kerana kamu tidak dapat menahan nafsu.
1CO 7:6 Aku menyampaikan ini bukanlah sebagai perintah tetapi sebagai nasihat.
1CO 7:7 Memanglah aku lebih suka sekiranya kamu semua sepertiku. Tetapi Allah memberikan kurnia yang khusus; yang seorang kurnia ini, yang lain kurnia itu.
1CO 7:8 Kepada yang belum berkahwin dan kepada wanita yang telah menjadi balu. Inilah nasihatku: Memang baik kamu terus hidup sendirian seperti aku.
1CO 7:9 Tetapi sekiranya kamu tidak dapat menahan nafsu, berkahwinlah. Ini lebih baik daripada membiarkan hawa nafsu bergelora.
1CO 7:10 Kepada yang sudah berkahwin, inilah perintahku, yang sebenarnya bukan perintah aku tetapi perintah Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya.
1CO 7:11 Tetapi jika seorang isteri telah meninggalkan suaminya, dia mesti terus hidup bersendirian, atau dia boleh balik kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya.
1CO 7:12 Kepada yang lain aku memberikan nasihat ini, iaitu nasihatku sendiri, bukan perintah Allah: Jika seorang lelaki beriman mempunyai isteri yang tidak beriman dan isteri itu bersetuju terus hidup bersamanya, maka lelaki itu tidak boleh menceraikan isterinya.
1CO 7:13 Jika seorang wanita beriman mempunyai suami yang tidak beriman dan suami itu bersetuju untuk terus hidup bersamanya, maka wanita itu tidak boleh menceraikan suaminya.
1CO 7:14 Seorang suami yang tidak beriman menjadi suci kerana isterinya. Demikian juga, seorang isteri yang tidak beriman menjadi suci kerana suami. Jika tidak, anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang tercela. Tetapi dengan demikian mereka adalah anak-anak yang suci.
1CO 7:15 Namun demikian, jika seseorang yang tidak beriman hendak meninggalkan isteri atau suaminya yang beriman, biarkanlah dia berbuat demikian. Jika ini terjadi, suami atau isteri yang beriman itu bebas membuat pilihan. Allah mahu kamu semua hidup aman damai.
1CO 7:16 Wahai isteri yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan suamimu? Demikian juga, wahai suami yang beriman, bagaimana kamu boleh pasti bahawa kamu tidak akan dapat menyelamatkan isterimu?
1CO 7:17 Setiap orang harus hidup dalam keadaan yang ditetapkan Tuhan untuknya ketika memanggilnya. Demikianlah ajaran yang telah kusampaikan kepada semua jemaah.
1CO 7:18 Contohnya, jika seseorang itu sudahpun bersunat sewaktu Allah memanggilnya, janganlah pula dia cuba menghilangkan tanda sunat itu. Demikian juga, sekiranya seseorang itu tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, janganlah dia meminta disunat.
1CO 7:19 Bersunat atau tidak bersunat bukan perkara yang terpenting. Yang terpenting ialah taat akan perintah Allah.
1CO 7:20 Setiap orang harus terus hidup dalam keadaannya ketika dia telah dipanggil Allah.
1CO 7:21 Jika kamu hamba ketika dipanggil Allah, janganlah bersusah hati kerana itu; tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang merdeka, ambillah peluang itu.
1CO 7:22 Hamba yang beriman kepada Tuhan menjadi orang merdeka di sisi Tuhan. Begitu juga orang merdeka yang beriman kepada al-Masih menjadi hamba kepada al-Masih.
1CO 7:23 Kamu telah dibeli dengan harga yang dibayar sepenuhnya; maka janganlah kamu menjadi hamba manusia.
1CO 7:24 Saudara-saudaraku, masing-masing hiduplah bersama Allah dalam keadaan yang sama seperti ketika dipanggil Allah.
1CO 7:25 Tuhan tidak memberiku perintah tentang orang yang belum kahwin; tetapi aku menasihatimu, kerana dengan belas kasihan Tuhan aku boleh dipercayai.
1CO 7:26 Oleh sebab kini kita diancam pelbagai pancaroba, aku yakin bahawa setiap lelaki baiklah meneruskan hidup dalam keadaannya sekarang.
1CO 7:27 Sekiranya kamu sudah beristeri, janganlah cuba menceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, usahlah berkahwin.
1CO 7:28 Namun, kalau kamu berkahwin, kamu tidaklah berdosa. Demikian juga, jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin banyak menghadapi masalah; aku mahu kamu bebas daripada masalah itu.
1CO 7:29 Saudara-saudaraku, maksudku demikian: Masa kita sudah semakin suntuk. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri, hiduplah seolah-olah tidak beristeri;
1CO 7:30 orang yang menangis, hiduplah seolah-olah tidak bersedih; orang yang tertawa, hiduplah seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang, sifatkanlah seolah-olah barang yang dibeli itu tidak dimiliknya;
1CO 7:31 Orang yang menggunakan barang-barang yang ada di dunia seolah-olah tidak menggunakannya kerana dunia dalam keadaan sekarang sedang lenyap.
1CO 7:32 Aku mahu kamu bebas daripada kerunsingan. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan minat kepada hal-hal ketuhanan untuk mendapat keredaan-Nya.
1CO 7:33 Sebaliknya, seorang yang mempunyai isteri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menggembirakan isterinya.
1CO 7:34 Dengan demikian perasaannya berbelah-bagi. Seorang wanita atau gadis yang tidak bersuami menumpukan minatnya kepada hal-hal ketuhanan kerana ingin mengabdikan seluruh dirinya kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang telah bersuami akan memusatkan perhatian kepada hal-hal duniawi untuk menyukakan hati suaminya.
1CO 7:35 Aku menasihati kamu demikian untuk menolongmu. Aku tidak mahu melarangmu membuat itu dan ini. Aku ingin kamu melakukan apa yang wajar dan mengabdikan diri sepenuh hati kepada Tuhan.
1CO 7:36 Sekiranya seorang lelaki merasa dia tidak adil terhadap tunangnya, dan jika gadis itu semakin meningkat usianya, dan dia merasa dia patut berkahwin dengan gadis itu, maka dia harus bertindak menurut hasratnya. Dia tidaklah berdosa jika berkahwin.
1CO 7:37 Tetapi jika seorang lelaki dengan kerelaannya sendiri mengambil keputusan tidak akan berkahwin dengan gadis tunangnya itu, dan dia dapat mengawal nafsunya, serta tahu apa yang akan dilakukannya, maka lebih baiklah dia tidak berkahwin.
1CO 7:38 Tegasnya, berkahwin itu baik, tetapi tidak berkahwin lebih baik lagi.
1CO 7:39 Seorang wanita yang telah berkahwin terikat kepada suaminya hanya sepanjang hayat suaminya itu. Setelah suaminya meninggal dunia, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan sesiapa sahaja lelaki pilihannya asalkan dia seorang beriman.
1CO 7:40 Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika tidak berkahwin lagi. Ini fikiranku sendiri, tetapi aku yakin aku mendapat panduan daripada Roh Allah.
1CO 8:1 Sekarang tentang soal makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa kita semua mempunyai ilmu pengetahuan. Tetapi ilmu pengetahuan boleh membuat orang angkuh manakala kasih membina hidup.
1CO 8:2 Seseorang yang menyangka dirinya serba tahu, sebenarnya tidak mengetahui apa yang patut diketahui.
1CO 8:3 Tetapi seseorang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah.
1CO 8:4 Tentang makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak ada. Kita tahu bahawa Allah itu Esa, tiada tuhan selain Allah.
1CO 8:5 Walaupun ramai yang dipanggil dewa dan junjungan, di syurga dan di bumi,
1CO 8:6 namun bagi kita Allah adalah Esa, Bapa yang mencipta segala-galanya, dan untuk Dialah kita hidup. Junjungan kita juga Esa, iaitu Isa al-Masih. Segala-galanya dicipta melalui-Nya, dan kerana Dialah kita hidup.
1CO 8:7 Tetapi tidak semua orang yang mengetahui hakikat ini. Ada orang yang hingga sekarang ini sudah biasa menyembah berhala, dan apabila mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, mereka merasakan bahawa makanan itu makanan berhala. Oleh itu, hati nurani mereka yang lemah menjadi ternoda.
1CO 8:8 Sebenarnya makanan tidak dapat mengeratkan hubungan kita dengan Allah. Kita tidak akan rugi jika kita tidak makan makanan itu, dan tidak pula untung jika memakannya.
1CO 8:9 Namun demikian, berhati-hatilah, jangan sampai kebebasanmu melakukan apa sahaja menjadi batu sandungan kepada orang yang lemah.
1CO 8:10 Sekiranya seseorang yang hati nuraninya lemah melihat kamu yang dianggap lebih berpengetahuan makan di kuil berhala, tidakkah ini akan menggalakkannya makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala?
1CO 8:11 Dengan demikian pengetahuan kamu itu membawa kebinasaan kepada saudaramu yang lemah itu, sedangkan al-Masih telah mati untuknya juga.
1CO 8:12 Jika kamu secara demikian berdosa terhadap saudara-saudaramu dan melukai hati nurani mereka yang lemah, kamu sebenarnya berdosa terhadap al-Masih.
1CO 8:13 Jadi, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi, supaya jangan sampai aku membuat saudaraku tersandung.
1CO 9:1 Bukankah aku seorang yang ‘merdeka’? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Isa, Junjungan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan?
1CO 9:2 Mungkin orang lain enggan mengakuiku sebagai rasul, tetapi kamu pasti mengakuiku! Hidupmu bersatu dengan Tuhan membuktikan kerasulanku.
1CO 9:3 Apabila orang mengecamku, kujawab demikian.
1CO 9:4 Tidak berhakkah kami menerima makanan dan minuman untuk kerja kami?
1CO 9:5 Tidakkah kami berhak membawa isteri yang beriman, sebagaimana yang dilakukan oleh saudara-saudara Junjungan dan oleh rasul-rasul lain termasuk Kefas?
1CO 9:6 Wajarkah aku dan Barnabas sahaja mencari nafkah sendiri?
1CO 9:7 Tiada askar yang menyara diri sendiri dalam angkatan perang. Tiada peladang yang tidak makan buah anggur dari ladang sendiri. Tiada gembala yang tidak minum susu dari domba sendiri.
1CO 9:8 Adakah aku mengatakan semua ini hanya dari segi pandangan manusia? Tidakkah hukum Taurat juga menyuarakan perkara ini?
1CO 9:9 Telah tersurat dalam Taurat Musa, ‘Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijirin.’ Tentulah Allah tidak menumpukan perhatian kepada lembu sahaja.
1CO 9:10 Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman itu? Tentu sekali. Orang yang membajak dan menuai memang wajar bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian.
1CO 9:11 Kami telah menyemai benih rohani dalam hidupmu. Memang patutlah kami menuai sedikit hasil daripadamu.
1CO 9:12 Jika orang lain berhak mengharapkannya daripadamu, bukankah kami lebih berhak lagi? Namun, kami tidak menggunakan hak itu. Kami lebih suka menanggung segala-galanya supaya tidak tergendala penyebaran Injil tentang al-Masih.
1CO 9:13 Kamu tentu tahu bahawa orang yang bekerja dalam rumah ibadat menerima makanan dari rumah ibadat. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah menerima sebahagian daripada korban itu.
1CO 9:14 Begitu jugalah Tuhan telah menetapkan, bahawa orang yang menyampaikan Injil harus menerima nafkah daripada kerja itu.
1CO 9:15 Tetapi aku belum menggunakan satu pun hak itu. Aku menulis demikian bukanlah untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku. Biarlah aku mati daripada kehilangan apa yang kumegahkan.
1CO 9:16 Namun, aku tidak berhak untuk bermegah dengan mengkhabarkan Injil kerana kerja ini telah menjadi kewajipanku. Malanglah aku jika tidak menjalankannya.
1CO 9:17 Andainya aku melakukannya mengikut kehendakku sendiri, patutlah aku mengharapkan upah. Tetapi aku melakukannya sebagai kewajipan, kerana Allah telah memberiku tugas itu.
1CO 9:18 Jadi, apakah upahku? Upahku ialah mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Injil tanpa meminta bayaran atau menuntut hakku sebagai penyebarnya.
1CO 9:19 Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang.
1CO 9:20 Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka.
1CO 9:21 Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum al-Masih.
1CO 9:22 Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin.
1CO 9:23 Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga mendapat berkatnya.
1CO 9:24 Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah.
1CO 9:25 Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal.
1CO 9:26 Oleh itu aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku.
1CO 9:27 Aku bersungguh-sungguh melatih diri, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.
1CO 10:1 Saudara-saudaraku, aku ingin mengingatkan kamu bahawa nenek moyang kita berada di bawah awan, dan semuanya menyeberangi Laut Merah.
1CO 10:2 Mereka semua diimadkan di dalam awan dan laut itu untuk menjadi pengikut Musa.
1CO 10:3 Mereka makan makanan rohani yang sama
1CO 10:4 dan minum minuman rohani yang sama dari batu rohani yang menyertai mereka, dan batu rohani itu adalah al-Masih sendiri.
1CO 10:5 Namun demikian, Allah tidak meredai kebanyakan daripada mereka, maka mayat mereka bergelimpangan di gurun.
1CO 10:6 Semua ini menjadi contoh kepada kita supaya kita tidak ingin akan kejahatan seperti mereka dahulu;
1CO 10:7 dan supaya kita tidak menyembah berhala seperti sebilangan daripada mereka. Telah tersurat, ‘Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.’
1CO 10:8 Janganlah kita berkelakuan cabul seperti sesetengah mereka. Akibat perbuatan itu, dua puluh tiga ribu orang mati dalam sehari.
1CO 10:9 Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebilangan daripada mereka. Akibatnya mereka mati dipagut ular berbisa.
1CO 10:10 Janganlah kita bersungut seperti sesetengah mereka, sehingga nyawa mereka dicabut Malaikat Maut.
1CO 10:11 Semua yang terjadi kepada mereka merupakan suatu iktibar, dan telah ditulis untuk menjadi amaran kepada kita yang hidup pada akhir zaman.
1CO 10:12 Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri tegap, berhati-hatilah supaya tidak jatuh.
1CO 10:13 Setiap cubaan yang kamu alami memang biasa dihadapi orang. Tetapi Allah setia menepati janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai melebihi kekuatanmu. Sewaktu kamu dicubai, Allah akan memberimu jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.
1CO 10:14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala.
1CO 10:15 Aku berkata-kata kepadamu seperti kepada orang bijaksana. Fikirkanlah masak-masak.
1CO 10:16 Bukankah cawan kesyukuran yang kita berkati itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam darah al-Masih? Bukankah roti yang kita pecah-pecahkan itu menunjukkan kita sama-sama mengambil bahagian dalam tubuh al-Masih?
1CO 10:17 Walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh, kerana kita makan roti yang satu itu bersama-sama.
1CO 10:18 Perhatikan orang Yahudi: Bukankah mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah itu bersama-sama mengambil bahagian dalam penyembahan?
1CO 10:19 Adakah maksudku bahawa berhala, atau makanan yang dipersembahkan kepada berhala, tidak bererti apa-apa?
1CO 10:20 Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala bukanlah persembahan kepada Allah tetapi kepada roh-roh iblis. Aku tidak mahu kamu terlibat dengan roh-roh iblis.
1CO 10:21 Kamu yang tidak dapat minum daripada cawan Tuhan, minum pula daripada cawan roh iblis. Kamu yang tidak dapat makan di meja Tuhan, makan pula di meja roh iblis.
1CO 10:22 Bukankah kita yang membuat Tuhan cemburu sekiranya kita berbuat demikian? Adakah kita lebih kuat daripada Tuhan?
1CO 10:23 Kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup.
1CO 10:24 Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri saja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga.
1CO 10:25 Kamu boleh makan apa saja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu;
1CO 10:26 kerana ‘Bumi ini dan segala yang di dalamnya milik Tuhan.’
1CO 10:27 Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apa-apa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu.
1CO 10:28 Tetapi jika seseorang memberitahumu, ‘Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala’, janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani.
1CO 10:29 Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, ‘Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain?
1CO 10:30 Jika aku telah mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?’
1CO 10:31 Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah.
1CO 10:32 Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi, bukan Yahudi, mahupun jemaah Allah.
1CO 10:33 Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.
1CO 11:1 Teladani aku, sebagaimana aku meneladani al-Masih.
1CO 11:2 Sekarang aku memujimu, saudara-saudaraku, kerana kamu mengingatiku dalam semua hal dan memelihara segala ajaran yang telah kusampaikan kepadamu.
1CO 11:3 Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah al-Masih, ketua wanita ialah lelaki dan ketua al-Masih ialah Allah.
1CO 11:4 Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya.
1CO 11:5 Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya.
1CO 11:6 Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala.
1CO 11:7 Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki.
1CO 11:8 Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki.
1CO 11:9 Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki.
1CO 11:10 Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.
1CO 11:11 Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan.
1CO 11:12 Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.
1CO 11:13 Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala?
1CO 11:14 Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya?
1CO 11:15 Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.
1CO 11:16 Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.
1CO 11:17 Dalam memberimu petunjuk-petunjuk berikut, aku tidak memujimu kerana apabila kamu berhimpun, bukan kebaikan tetapi keburukan yang timbul.
1CO 11:18 Pertama sekali, apabila kamu berhimpun sebagai satu jemaah, aku dengar kamu berkelompok-kelompok, dan aku percaya sebahagian yang kudengar.
1CO 11:19 Sememangnya di kalanganmu pasti terbentuk beberapa kelompok, sehingga mereka yang diperkenan Allah menjadi nyata.
1CO 11:20 Apabila kamu berhimpun di suatu tempat, bukanlah Perjamuan Tuhan yang kamu makan
1CO 11:21 kerana semua berebut hendak makan dahulu; sehingga ada yang lapar dan ada pula yang mabuk.
1CO 11:22 Apa! Tidakkah kamu mempunyai rumah untuk makan minum di dalamnya? Atau adakah kamu memandang hina jemaah Allah dan hendak memperkecil orang yang tidak mempunyai apa-apa? Apakah akan kukatakan kepadamu? Akan kupujikah kamu dalam hal ini? Tentunya tidak!
1CO 11:23 Aku telah menerima daripada Junjungan apa yang telah kusampaikan kepadamu: Bahawa pada malam Dia dikhianati, Junjungan Isa telah mengambil roti;
1CO 11:24 dan selepas mengucap syukur, Dia telah memecah-mecahkan roti itu lalu berkata, ‘Ambil, dan makanlah; ini tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.’
1CO 11:25 Demikian juga, Dia mengambil cawan makan malam itu sambil berkata, ‘Cawan Perjanjian Baru dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukan ini sebagai peringatan kepada-Ku,’
1CO 11:26 Kerana setiap kali kamu makan roti dan minum dari cawan dengan cara demikian, kamu memberitakan kematian Junjungan hingga kedatangan-Nya.
1CO 11:27 Jika sesiapa makan roti atau minum dari cawan Tuhan ini secara yang tidak wajar, dia akan menanggung dosa terhadap tubuh dan darah Junjungan.
1CO 11:28 Hendaklah setiap orang memeriksa dirinya, dan kemudian makan roti itu dan minum dari cawan itu;
1CO 11:29 kerana jika seseorang memakannya dan meminumnya secara yang tidak wajar, dia makan dan minum akan penghukuman kepada dirinya, kerana tidak mengenal dan menghargai tubuh Tuhan.
1CO 11:30 Oleh sebab itu ada sebilangan besar yang lemah dan yang sakit di kalanganmu, malah ada yang meninggal dunia.
1CO 11:31 Jika kita menghakimi diri sendiri, tidaklah kita dihakimi.
1CO 11:32 Tetapi apabila kita dihakimi, kita dihukum oleh Tuhan supaya kita insaf, agar kita tidak dibinasakan bersama-sama dunia.
1CO 11:33 Oleh itu, saudara-saudaraku, apabila kamu berhimpun untuk makan, tunggulah satu sama lain sebelum bermula.
1CO 11:34 Tetapi jika ada sesiapa yang lapar, makanlah dahulu di rumah, supaya perhimpunanmu tidak mendatangkan hukuman. Hal-hal lain akan kuatur ketika aku datang kelak.
1CO 12:1 Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani:
1CO 12:2 Kamu tahu bahawa dulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terpedaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu.
1CO 12:3 Oleh itu aku menyatakan kepadamu, tiada siapapun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: ‘Isa terkutuk’; dan tiada siapapun dapat mengakui, ‘Isa adalah Junjungan Yang Esa,’ kecuali di bawah bimbingan Roh Suci.
1CO 12:4 Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh.
1CO 12:5 Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.
1CO 12:6 Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah Yang Esa mengerjakan semuanya.
1CO 12:7 Tetapi Roh Suci memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua.
1CO 12:8 Ada yang diberi kurnia oleh Roh Suci untuk berbicara dengan penuh hikmat, dan ada pula yang dikurniakan Roh Suci untuk berbicara tentang pengetahuan.
1CO 12:9 Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama.
1CO 12:10 Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan di antara roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu.
1CO 12:11 Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Sucilah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
1CO 12:12 Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga al-Masih.
1CO 12:13 Oleh satu Roh kita semua telah diimadkan ke dalam satu tubuh – baik Yahudi atau Yunani, baik hamba atau orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
1CO 12:14 Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.
1CO 12:15 Kalaulah kaki berkata, ‘Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh?
1CO 12:16 Dan kalaulah telinga berkata, ‘Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,’ maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh?
1CO 12:17 Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan?
1CO 12:18 Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.
1CO 12:19 Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh?
1CO 12:20 Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
1CO 12:21 Mata tidak boleh berkata kepada tangan, ‘Aku tidak memerlukanmu,’; kepala tidak boleh berkata kepada kaki, ‘Aku tidak memerlukanmu.’
1CO 12:22 Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan.
1CO 12:23 Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan.
1CO 12:24 Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya,
1CO 12:25 supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain.
1CO 12:26 Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.
1CO 12:27 Kamu adalah tubuh al-Masih, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu.
1CO 12:28 Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberikan pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah.
1CO 12:29 Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat?
1CO 12:30 Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?
1CO 12:31 Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.
1CO 13:1 Kalaupun aku dapat bertutur dalam semua lidah manusia, malah bahasa malaikat juga, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku tak ubah seperti gong tembaga atau genta yang berbunyi.
1CO 13:2 Kalaupun aku diberi kurnia untuk bernubuat, dan mengetahui semua rahsia serta ilmu, malah memiliki kekuatan iman yang dapat mengalih gunung-ganang, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak bererti.
1CO 13:3 Begitu juga, kalaupun aku memberikan segala milikku untuk memberi makan kepada orang miskin, atau menyerahkan tubuhku untuk dibakar, tetapi tidak mempunyai kasih, maka aku langsung tidak berguna.
1CO 13:4 Kasih bersifat penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh.
1CO 13:5 Kasih tidak berkelakuan biadab, tidak memburu kepentingan sendiri, tidak cepat meradang, tidak memperhitungkan kesalahan orang lain.
1CO 13:6 Kasih tidak gembira dengan kejahatan, tetapi gembira meraikan kebenaran.
1CO 13:7 Kasih tahan menderita segala-galanya, percaya akan segala-galanya, berharap akan segala-galanya, terus-menerus menanggung segala-galanya.
1CO 13:8 Kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap
1CO 13:9 kerana pengetahuan dan nubuat kita tidak sempurna.
1CO 13:10 Setelah yang sempurna datang, maka yang tidak sempurna akan disingkirkan.
1CO 13:11 Pada zaman kanak-kanak, aku bercakap secara kanak-kanak, mengerti secara kanak-kanak. Tetapi setelah aku dewasa, segala sifat kanak-kanak itu kutinggalkan.
1CO 13:12 Sekarang kita hanya melihat samar-samar melalui cermin, tetapi akan tiba saatnya kita melihat dengan jelas berpandang muka. Demikianlah, sekarang aku hanya mengetahui sebahagian, tetapi akan tiba masanya aku mengetahui sepenuhnya, sebagaimana aku diketahui.
1CO 13:13 Hanya tiga yang tinggal: iman, harapan dan kasih. Antara ketiga-tiga ini, yang paling utama ialah kasih.
1CO 14:1 Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.
1CO 14:2 Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan rohnya.
1CO 14:3 Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur.
1CO 14:4 Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah.
1CO 14:5 Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.
1CO 14:6 Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran?
1CO 14:7 Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti suling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan?
1CO 14:8 Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang?
1CO 14:9 Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin.
1CO 14:10 Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti.
1CO 14:11 Namun, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka bagi orang yang menggunakannya aku orang asing, dan bagiku orang yang menggunakannya itu orang asing.
1CO 14:12 Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurnia-kurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah.
1CO 14:13 Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga.
1CO 14:14 Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa.
1CO 14:15 Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga.
1CO 14:16 Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu? Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan!
1CO 14:17 Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina.
1CO 14:18 Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua.
1CO 14:19 Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain.
1CO 14:20 Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.
1CO 14:21 Dalam Kitab Taurat telah tersurat: ‘Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini; Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku,’ Tuhan berfirman.
1CO 14:22 Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya.
1CO 14:23 Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila?
1CO 14:24 Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan merasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya.
1CO 14:25 Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.
1CO 14:26 Jadi bagaimana, saudara-saudaraku? Apabila kamu berhimpun, hendaklah masing-masing menyampaikan mazmur, atau pengajaran, atau wahyu, atau sesuatu dalam lidah, ataupun pentafsirannya. Tetapi hendaklah semuanya bertujuan untuk membina jemaah.
1CO 14:27 Jika ada orang yang bertutur dalam lidah, biarlah dua atau tiga orang saja, seorang lepas seorang, dan hendaklah ada orang yang mentafsirkannya.
1CO 14:28 Sekiranya tiada yang dapat mentafsirkannya, janganlah dituturkan di perhimpunan itu. Tuturkanlah bagi diri sendiri dan kepada Allah.
1CO 14:29 Bagi orang yang diberi kurnia sebagai nabi, biarlah dua atau tiga orang sahaja yang bernubuat, dan yang lain menilainya.
1CO 14:30 Tetapi sekiranya ternyata Allah mewahyukan sesuatu melalui seorang lain yang turut hadir, hendaklah orang pertama itu berhenti bernubuat.
1CO 14:31 Kamu semua boleh bernubuat, seorang demi seorang, agar semua mendapat pengajaran dan kekuatan.
1CO 14:32 Kurnia untuk bernubuat tertakluk kepada nabi yang memilikinya,
1CO 14:33 kerana Allah tidak menghendaki kekeliruan, tetapi kesejahteraan. Sebagaimana dalam semua jemaah orang salih,
1CO 14:34 wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat.
1CO 14:35 Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.
1CO 14:36 Adakah firman Allah datang daripadamu? Atau adakah datangnya kepada kamu sahaja?
1CO 14:37 Sekiranya seseorang menyangka dirinya mendapat kurnia untuk bernubuat atau kurnia rohani yang lain, dia hendaklah mengakui bahawa yang kutuliskan kepadamu ini adalah perintah Tuhan.
1CO 14:38 Tetapi jika sesiapa tidak tahu, biarlah dia demikian.
1CO 14:39 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk dapat bernubuat, dan jangan larang orang bertutur dalam lidah.
1CO 14:40 Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.
1CO 15:1 Aku menyatakan kepadamu, saudara-saudaraku, tentang Injil yang telah kusampaikan kepadamu, telah kamu terima dan pegang hingga sekarang.
1CO 15:2 Melalui Injil itu kamu diselamatkan, jika kamu tetap berpegang kepada Firman yang telah kusampaikan, dan imanmu bukan kosong semata-mata.
1CO 15:3 Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa al-Masih telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
1CO 15:4 bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci;
1CO 15:5 dan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Kefas, kemudian kepada kedua-dua belas pengikut-Nya.
1CO 15:6 Selepas itu Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia.
1CO 15:7 Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya.
1CO 15:8 Akhir sekali Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepadaku, yang seperti bayi yang dilahirkan sebelum masa;
1CO 15:9 kerana akulah yang paling rendah antara rasul-rasul, malah aku tidak layak disebut rasul, kerana aku telah menganiaya jemaah Allah.
1CO 15:10 Tetapi dengan kasih kurnia Allah, aku telah menjadi seperti diriku sekarang. Kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepadaku tidaklah sia-sia, kerana aku telah bekerja lebih keras daripada mereka semua; sesungguhnya bukan aku yang melakukannya, tetapi kasih kurnia Allah yang bersamaku.
1CO 15:11 Dengan demikian, baik aku mahupun mereka, begitulah yang kami khabarkan, dan begitulah yang kamu percaya.
1CO 15:12 Setelah kami khabarkan kepadamu tentang al-Masih yang dibangkitkan daripada kematian, mengapakah ada di kalanganmu yang berkata bahawa tiada kebangkitan selepas mati?
1CO 15:13 Jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih juga tidak dibangkitkan.
1CO 15:14 Jika al-Masih tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu.
1CO 15:15 Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan al-Masih, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati;
1CO 15:16 kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka al-Masih tidaklah dibangkitkan.
1CO 15:17 Dan jika al-Masih tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa!
1CO 15:18 Orang yang mati dalam iman kepada al-Masih juga tetap binasa.
1CO 15:19 Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam al-Masih, kitalah yang paling malang antara manusia!
1CO 15:20 Tetapi al-Masih memang telah dibangkitkan daripada kematian. Dialah yang pertama dari kalangan orang yang telah mati.
1CO 15:21 Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku;
1CO 15:22 kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam al-Masih semua manusia akan dihidupkan semula;
1CO 15:23 masing-masing mengikut aturannya: Pertama al-Masih, kemudian mereka yang telah menjadi milik-Nya, pada saat kedatangan-Nya kelak.
1CO 15:24 Selepas itu datanglah pengakhiran, ketika Dia menyerahkan kerajaan kepada Allah Bapa, ketika dia melenyapkan semua pemerintahan, semua kewibawaan dan semua kekuasaan;
1CO 15:25 kerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya.
1CO 15:26 Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut.
1CO 15:27 Semua perkara telah ditaklukkan oleh Allah di bawah kaki al-Masih. Jelaslah bahawa Allah tidak turut ditaklukkan.
1CO 15:28 Oleh itu setelah semua perkara ditaklukkan kepada al-Masih, Dia sebagai Putera akan menaklukkan diri-Nya juga kepada Allah, maka Allah menjadi segala-galanya dalam semua perkara.
1CO 15:29 Apakah akan dilakukan oleh mereka yang telah diimadkan bagi pihak orang mati? Sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, mengapa orang diimadkan untuk orang mati?
1CO 15:30 Begitu juga kami, mengapa sepanjang masa kami rela menghadapi bahaya?
1CO 15:31 Setiap hari aku menghadapi kematian. Aku mengakui ini, saudara-saudaraku, demi kebanggaanku denganmu yang kumiliki dalam Isa al-Masih, Junjungan kita.
1CO 15:32 Jika menurut pertimbangan manusia, apa faedahnya bagiku berjuang seperti dengan binatang buas di Efesus? Juga, sekiranya orang mati tidak dibangkitkan, ‘marilah kita makan dan minum, kerana esok kita mati.’
1CO 15:33 Jangan kamu biarkan dirimu disesatkan orang. ‘Kebiasaan yang baik musnah kerana pergaulan yang buruk.’
1CO 15:34 Insaflah sepenuhnya dan jangan berbuat dosa lagi, kerana di kalanganmu ada sebilangan yang tidak mengenal Allah. Aku berkata demikian supaya kamu berasa malu.
1CO 15:35 Mungkin ada yang menyoal, ‘Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?’
1CO 15:36 Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu.
1CO 15:37 Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain.
1CO 15:38 Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri.
1CO 15:39 Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan.
1CO 15:40 Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi.
1CO 15:41 Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain.
1CO 15:42 Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan;
1CO 15:43 disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan;
1CO 15:44 disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani.
1CO 15:45 Sebagaimana telah tersurat, ‘Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,’ manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan.
1CO 15:46 Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani;
1CO 15:47 kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga.
1CO 15:48 Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia dari syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi.
1CO 15:49 Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga.
1CO 15:50 Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan.
1CO 15:51 Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak semua kita akan mati, tetapi semua akan diubah
1CO 15:52 serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah,
1CO 15:53 kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati.
1CO 15:54 Setelah ini berlaku, terbuktilah firman: ‘Maut telah ditelan dalam kemenangan.’
1CO 15:55 ‘Hai Maut, di manakah kemenanganmu? Hai Maut, di manakah sengatmu?’
1CO 15:56 Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat.
1CO 15:57 Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
1CO 15:58 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.
1CO 16:1 Sekarang aku menyentuh tentang pengumpulan bantuan bagi orang salih. Lakukanlah sebagaimana yang telah kutentukan bagi semua jemaah di Galatia.
1CO 16:2 Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasingkan wang menurut kemampuan masing-masing dan menyimpannya. Janganlah setelah aku datang baru kamu mula mengumpulnya.
1CO 16:3 Setelah aku tiba, aku akan menghantar sesiapa yang kamu anggap sesuai untuk membawa pemberianmu itu bersama surat ke Baitulmaqdis.
1CO 16:4 Sekiranya aku perlu pergi juga, mereka akan pergi bersamaku.
1CO 16:5 Aku akan datang ke tempatmu selepas Makedonia kerana aku akan datang melalui Makedonia.
1CO 16:6 Mungkin aku akan tinggal beberapa waktu denganmu, malah mungkin sepanjang musim dingin; kemudian kamu boleh menolongku meneruskan perjalanan.
1CO 16:7 Kali ini aku tidak mahu singgah sahaja; aku berharap akan dapat tinggal agak lama denganmu jika diizinkan Tuhan.
1CO 16:8 Namun, aku akan tetap berada di Efesus sampai hari Pentakosta,
1CO 16:9 kerana pintu untuk melakukan pekerjaan besar telah terbuka luas bagiku walaupun ramai orang yang menentang.
1CO 16:10 Jika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal di kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku.
1CO 16:11 Oleh itu jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya.
1CO 16:12 Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga.
1CO 16:13 Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih.
1CO 16:14 Lakukan segala-galanya dalam kasih.
1CO 16:15 Saudara-saudaraku, ada satu permintaanku kepadamu. Kamu sedia maklum bahawa Stefanus sekeluarga merupakan hasil pertama pelayananku di Akhaya, dan mereka telah bertekad untuk mengabdikan diri kepada orang salih.
1CO 16:16 Aku meminta supaya kamu tunduk kepada orang yang demikian, dan kepada semua yang turut berusaha dengan kami.
1CO 16:17 Aku gembira bahawa Stefanas, Fortunatus dan Akhaikus telah datang, kerana apa-apa kekuranganku telah dilengkapkan oleh mereka.
1CO 16:18 Mereka telah menyenangkan hatiku dan hatimu. Oleh itu, hargailah orang yang demikian.
1CO 16:19 Jemaah-jemaah di Asia berkirim salam kepadamu. Akwila dan Priskila, serta jemaah di rumah mereka, berkirim salam mesra kepadamu dalam Tuhan.
1CO 16:20 Semua saudara seiman juga berkirim salam kepadamu. Bersalamanlah dengan mesra.
1CO 16:21 Aku juga menyampaikan salam yang kutulis dengan tanganku sendiri – Paulus.
1CO 16:22 Jika ada yang tidak mengasihi Junjungan, terkutuklah dia. Ya Tuhan, datanglah segera!
1CO 16:23 Kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertaimu.
1CO 16:24 Kasihku menyertai kamu semua dalam Isa al-Masih. Amin.
2CO 1:1 Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai Rasul Isa al-Masih, dan daripada saudara kita, Timotius, Kepada jemaah di Korintus dan kepada semua orang salih yang tinggal di Akhaya:
2CO 1:2 Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera
2CO 1:3 Segala puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan.
2CO 1:4 Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kita terima sendiri daripada Allah.
2CO 1:5 Sebagaimana banyaknya penderitaan al-Masih yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya.
2CO 1:6 Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga.
2CO 1:7 Kami tetap menaruh harapan tentang kamu, kerana kami tahu, jika kamu mengalami penderitaan seperti yang kami alami, maka kamu juga akan menerima penghiburan seperti yang kami terima.
2CO 1:8 Kami juga hendak memberitahumu, saudara-saudara, tentang kesusahan yang telah menimpa kami di Asia Kecil. Beban kami sungguh berat, lebih daripada yang terdaya kami tanggung, sehingga kami putus asa untuk terus hidup.
2CO 1:9 Kami merasa bagaikan telah dijatuhi hukum mati. Namun, itu telah berlaku supaya kami tidak lagi berharap kepada diri sendiri tetapi kepada Allah yang menghidupkan semula orang mati.
2CO 1:10 Dialah yang telah melepaskan kami daripada bahaya yang amat dahsyat, dan Dialah yang akan melepaskan kami. Kami menaruh harapan kepada-Nya, bahawa Dia akan melepaskan kami.
2CO 1:11 Kamu juga harus menolong kami dengan doa, sehingga ramai orang bersyukur kepada Allah atas kurnia yang diberikan kepada kami kerana doa ramai orang.
2CO 1:12 Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya di kalanganmu, kami hidup dalam kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah.
2CO 1:13 Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami.
2CO 1:14 Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Junjungan kita Isa.
2CO 1:15 Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali.
2CO 1:16 Niatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea.
2CO 1:17 Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata ‘ya’ dan ‘tidak’ pada saat yang sama?
2CO 1:18 Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah ‘ya’ atau ‘tidak.’
2CO 1:19 Ini kerana Isa al-Masih, Putera Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah ‘ya’ dan ‘tidak,’ tetapi pada-Nya ada ‘ya’ semata-mata.
2CO 1:20 Isa adalah ‘ya’ bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut ‘Amin’ demi kemuliaan Allah.
2CO 1:21 Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam al-Masih. Dia telah melantik kita,
2CO 1:22 menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan.
2CO 1:23 Aku berseru kepada Allah untuk menjadi Saksi bagiku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu.
2CO 1:24 Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.
2CO 2:1 Aku telah membuat keputusan sendiri, bahawa aku tidak akan datang lagi ke tempatmu dalam kesedihan;
2CO 2:2 kerana jika aku mendatangkan kesedihan kepadamu, siapa lagi yang dapat memberikan kegembiraan kepadaku selain kamu yang telah kusedihkan?
2CO 2:3 Oleh itulah aku menuliskannya dalam suratku, supaya jangan nanti aku bersedih kerana mereka yang sepatutnya memberikan kegembiraan kepadaku. Aku percaya bahawa jika aku gembira, kamu akan turut gembira.
2CO 2:4 Aku menulis kepadamu dengan air mata bercucuran kerana hatiku sungguh sedih dan cemas. Aku bukanlah berniat hendak menyedihkan kamu, tetapi aku mahu kamu tahu bahawa aku amat mengasihimu.
2CO 2:5 Jika seseorang telah mendatangkan kesedihan maka bukan aku yang ditimpa kesedihan itu, tetapi kamu semua, atau sekurang-kurangnya – supaya aku tidak terlalu keras – sebilangan daripadamu.
2CO 2:6 Bagi orang itu, hukuman yang dijatuhkan oleh sebilangan besar sudah cukup.
2CO 2:7 Oleh itu, baiklah kamu mengampuni dan menghiburnya, supaya dia tidak ditenggelami kesedihan.
2CO 2:8 Dengan demikian, aku meminta kamu menunjukkan bahawa kamu benar-benar mengasihinya.
2CO 2:9 Aku menuliskan hal ini untuk mendapat bukti sama ada kamu mahu menurut petunjukku dalam semua perkara.
2CO 2:10 Siapa saja yang telah kamu ampuni, aku pun telah mengampuninya. Kesalahan apapun yang kuampuni – jika memang ada yang harus kuampuni – kuampuni di hadapan al-Masih untukmu
2CO 2:11 supaya Iblis tidak mendapat keuntungan, kerana kita mengetahui tujuan-tujuannya.
2CO 2:12 Apabila aku pergi ke Troas untuk menyebarkan Injil al-Masih, ternyata Tuhan telah membukakan pintu untukku.
2CO 2:13 Namun demikian, hatiku tidak tenang juga kerana aku tidak menjumpai saudaraku Titus. Oleh itulah aku meminta diri kepada mereka lalu pergi ke Makedonia.
2CO 2:14 Tetapi syukur kepada Allah yang sentiasa memimpin kami ke arah kemenangan dalam al-Masih, dan melalui kami menyebarkan keharuman pengenalan-Nya merata-rata;
2CO 2:15 kerana kepada Allah kami adalah keharuman al-Masih di kalangan mereka yang berada di jalan keselamatan dan mereka yang berada di jalan kebinasaan.
2CO 2:16 Bagi yang berada di jalan kebinasaan, kami seperti bau daripada maut yang membawa maut, manakala bagi yang berada di jalan keselamatan, kami seperti bau daripada hidup yang membawa hidup. Siapakah yang sanggup melaksanakan tugas sedemikian?
2CO 2:17 Kami tidak seperti sebilangan besar orang yang mencari keuntungan daripada firman Allah; sebaliknya, kami berhati ikhlas. Sebagai utusan Allah, kami berkata-kata atas nama al-Masih dengan penuh tanggungjawab di hadapan Allah.
2CO 3:1 Adakah kami memuji diri? Atau perlukah kami menunjukkan surat pujian kepadamu atau yang datang daripadamu, seperti dilakukan oleh sebilangan orang?
2CO 3:2 Kamulah surat pujian kami, yang tersurat di hati kami, dan yang dapat diketahui serta dibaca oleh semua orang.
2CO 3:3 Kamu adalah surat kiriman al-Masih yang kami hantarkan. Surat itu ditulis bukan dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup; bukan di loh batu tetapi di loh daging iaitu hati manusia.
2CO 3:4 Demikianlah keyakinan kami kepada Allah melalui al-Masih.
2CO 3:5 Kami tidak menganggap kesanggupan kami bekerja datang daripada diri kami sendiri. Kesanggupan itu datang daripada Allah.
2CO 3:6 Dialah yang telah menjadikan kami sanggup mengabdi diri kepada umat perjanjian baru yang tidak lagi berasaskan perintah-perintah tersurat tetapi berasaskan Roh; kerana perintah-perintah tersurat itu membawa kematian sedangkan Roh membawa kehidupan.
2CO 3:7 Jika perjanjian yang membawa kepada kematian, iaitu yang terukir di loh-loh batu, diturunkan dari kemuliaan wajah Musa sehingga bangsa Israel tidak dapat memandang wajahnya, walaupun ketika itu sinarnya sudah mulai malap;
2CO 3:8 maka tentulah perjanjian yang datang daripada Roh lebih besar lagi kemuliaannya.
2CO 3:9 Jika perjanjian yang membawa manusia kepada penghakiman begitu mulianya, maka perjanjian yang membawa manusia kepada kebenaran tentulah jauh lebih mulia lagi!
2CO 3:10 Sesuatu yang dahulu dipandang mulia tidak mulia lagi berbanding sesuatu yang jauh lebih mulia.
2CO 3:11 Jika sesuatu yang sementara telah diturunkan dengan kemuliaan, maka sesuatu yang kekal haruslah diturunkan dengan kemuliaan yang lebih besar.
2CO 3:12 Oleh sebab kami menaruh harapan demikian, maka kami lebih berani,
2CO 3:13 berbeza dengan Musa yang menutup wajahnya dengan selubung supaya bangsa Israel tidak dapat memandang kemuliaan yang beransur malap.
2CO 3:14 Fikiran mereka menjadi tumpul, kerana hingga hari ini, apabila mereka membaca Kitab-kitab Suci yang mengandungi perjanjian lama, selubung itu masih tetap menghalang pandangan mereka. Selubung tidak akan terbuka kecuali dalam al-Masih.
2CO 3:15 Malah hingga sekarang, ketika mereka membaca Kitab Suci yang disampaikan melalui Musa, selubung itu masih menutupi hati mereka.
2CO 3:16 Apabila hati mereka kembali kepada Tuhan, selubung itu akan disingkapkan.
2CO 3:17 Tuhan adalah Roh; dan di mana ada Roh Tuhan, di situlah ada kebebasan.
2CO 3:18 Kita semua melihat kemuliaan Tuhan tercermin dengan wajah yang tidak berselubung, dan kita diubah menjadi serupa dengan-Nya dalam kemuliaan yang kian besar, oleh Roh Tuhan.
2CO 4:1 Dengan belas kasihan-Nya, Allah telah mengamanahkan pengabdian ini kepada kami. Oleh itu kami tidak tawar hati.
2CO 4:2 Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah, tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami mengizinkan semua orang menilai kami dalam hati nurani mereka di hadapan Allah.
2CO 4:3 Namun, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang berada di jalan kebinasaan.
2CO 4:4 Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat terang cahaya Injil tentang kemuliaan al-Masih yang merupakan gambaran Allah.
2CO 4:5 Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Isa al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa. Diri kami mengabdi kepadamu kerana Isa.
2CO 4:6 Allah telah berfirman, ‘Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap’. Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita dapat mengenal kemuliaan Allah di wajah Isa al-Masih.
2CO 4:7 Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri.
2CO 4:8 Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa.
2CO 4:9 Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan.
2CO 4:10 Ke mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Isa dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami.
2CO 4:11 Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Isa, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana.
2CO 4:12 Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu.
2CO 4:13 Namun, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, ‘Aku percaya, maka aku bersuara’, kami pun berkata, ‘Kami percaya, maka kami bersuara.’
2CO 4:14 Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Isa, Junjungan kita, akan membangkitkan kami juga bersama Isa, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya.
2CO 4:15 Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya kasih kurnia kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah.
2CO 4:16 Dengan demikian, kami tidak tawar hati. Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharui setiap hari.
2CO 4:17 Kesusahan yang ringan dan hanya sedetik ini membawa bagi kami kemuliaan yang kekal tanpa bandingan.
2CO 4:18 Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal.
2CO 5:1 Kami tahu bahawa apabila khemah tempat kami tinggal di bumi ini roboh, Allah telah menyediakan tempat kediaman bagi kami di syurga, yang tidak diperbuat oleh tangan manusia, dan yang bersifat kekal.
2CO 5:2 Dalam khemah yang kita diami kini, kita merintih dan merindui tempat tinggal kita di syurga, yang akan kita terima.
2CO 5:3 Setelah kita menerimanya, kita tidaklah akan tinggal terdedah.
2CO 5:4 Selagi kita masih mendiami khemah yang sekarang, kita merintih kerana terbeban, kerana kita tidak mahu terdedah; kita ingin dilindungi oleh yang kekal, ingin agar yang fana digantikan dengan yang hidup.
2CO 5:5 Inilah yang telah disediakan Allah untuk kita; dan Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita sebagai jaminan.
2CO 5:6 Oleh itu kami sentiasa yakin. Kami tahu bahawa selagi kami mendiami tubuh ini, kami masih jauh daripada Tuhan;
2CO 5:7 Kerana kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan.
2CO 5:8 Kami sentiasa yakin. Sebenarnya kami lebih suka jika dipisahkan dari tubuh ini dan tinggal bersama Tuhan.
2CO 5:9 Dengan demikian, baik ketika masih mendiami tubuh ini mahupun ketika dipisahkan darinya, kami berusaha supaya tetap diredai-Nya.
2CO 5:10 Kita semua akan dihadapkan ke pengadilan al-Masih, dan setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatannya, baik ataupun jahat.
2CO 5:11 Kami tahu apa yang dimaksudkan dengan takut kepada Tuhan. Oleh itu kami berusaha meyakinkan orang. Allah mengenal kami dengan jelas, dan aku berharap dalam hati nuranimu kamu juga mengenal kami dengan jelas.
2CO 5:12 Kami bukanlah cuba memuji diri lagi di hadapanmu, tetapi kami memberimu alasan untuk berbangga dengan kami, supaya kamu dapat memberikan jawapan kepada mereka yang membanggakan hal-hal lahiriah dan bukan hal-hal batiniah.
2CO 5:13 Sekiranya kami kelihatan seperti orang yang kehilangan akal, itu adalah demi kepentingan Allah. Jika kami kelihatan seperti orang yang berakal, itu adalah demi kepentinganmu.
2CO 5:14 Kasih al-Masih menguasai hidup kami, dan kami yakin bahawa apabila seseorang telah mati bagi semua orang, maka semua orang itu pun telah mati.
2CO 5:15 Dia telah mati bagi semua orang, supaya mereka yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri tetapi untuk Dia yang telah mati dan telah dibangkitkan bagi mereka.
2CO 5:16 Oleh itu dari saat itu kami tidak memandang orang berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Memang kami pernah memandang al-Masih secara lahiriah tetapi kini tidak lagi.
2CO 5:17 Sesiapa yang ada dalam al-Masih adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru.
2CO 5:18 Semuanya datang daripada Allah, yang telah mendamaikan kita dengan diri-Nya melalui al-Masih, dan mengamanahkan kepada kami tugas mulia untuk mengusahakan pendamaian itu.
2CO 5:19 Dalam al-Masih, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkannya kepada kami.
2CO 5:20 Kami adalah para duta al-Masih. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu demi al-Masih, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah!
2CO 5:21 Allah menjadikan al-Masih yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam al-Masih kita menjadi benar di hadapan Allah.
2CO 6:1 Sebagai rakan-rakan sekerja, kami meminta kepadamu, janganlah sia-siakan kasih kurnia Allah yang telah kamu terima,
2CO 6:2 kerana demikianlah firman-Nya, ‘Aku telah mendengar kata-katamu ketika Aku berkenan dan pada hari penyelamatan, Aku telah menolongmu.’ Sekaranglah waktunya Allah berkenan dan sekaranglah hari penyelamatan itu.
2CO 6:3 Dalam hal apa jua, kami tidak menyebabkan orang tersandung, supaya pengabdian kami tidak dicela.
2CO 6:4 Sebaliknya, dalam semua hal, kami telah membuktikan bahawa kami bersikap secara yang wajar bagi hamba-hamba Allah. Kami cukup tabah menghadapi kesusahan, kesulitan dan kesempitan,
2CO 6:5 sebatan, pemenjaraan, huru-hara, penat lelah, bercekang mata, dan keadaan lapar.
2CO 6:6 Kami hidup dalam kesucian, pengetahuan, kesabaran, baik budi, dalam Roh Suci, dan dalam kasih sejati.
2CO 6:7 Kami menyampaikan kebenaran, dan hidup dalam kuasa Allah. Kami bersenjatakan kebenaran, di tangan kanan dan kiri.
2CO 6:8 Kami dimuliakan dan dihina, dikeji dan dipuji. Kami dipanggil penipu sedangkan kami benar.
2CO 6:9 Kami dianggap tidak dikenali, padahal terkenal. Kami disangka sudah hampir mati, tetapi ternyata masih hidup. Kami dibelasah, namun tidak dibunuh.
2CO 6:10 Kami disedihkan, tetapi sentiasa gembira. Kami miskin, namun ramai yang kami perkaya. Kami tidak memiliki apa-apa, tetapi kami mempunyai segala-galanya.
2CO 6:11 Wahai orang Korintus! Kami telah bercakap terus-terang kepadamu, hati kami terbuka luas.
2CO 6:12 Kamu terbatas bukanlah oleh kami tetapi oleh perasaanmu sendiri.
2CO 6:13 Oleh itu aku berkata seperti kepada anak-anak, bukalah hatimu supaya antara kita saling berterus-terang.
2CO 6:14 Janganlah berpasangan dengan orang yang tidak beriman. Pasangan begitu tidak sepadan; kerana adakah persamaan antara yang baik dengan yang jahat? Dapatkah terang bersatu dengan gelap?
2CO 6:15 Adakah muafakat antara al-Masih dengan Belial? Adakah kesamaan antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman?
2CO 6:16 Adakah hubungan antara rumah Allah dengan berhala-berhala? Kita adalah rumah Allah Yang Hidup, seperti dalam firman-Nya, ‘Aku akan tinggal dalam mereka dan berjalan di antara mereka. Aku akan menjadi Allah Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.’
2CO 6:17 Oleh itu, ‘Keluarlah dari kalangan mereka, dan asingkanlah dirimu daripada mereka,’ demikianlah firman Tuhan. ‘Jangan sentuh yang najis, maka Aku akan menerimamu’
2CO 6:18 ‘Aku akan menjadi Bapamu, dan kamu, anak-anak-Ku lelaki perempuan, ‘demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.
2CO 7:1 Oleh sebab kita telah mendapat janji-janji itu, saudara-saudara yang kukasihi, sucikanlah diri daripada segala yang menajiskan tubuh atau roh, dan sempurnakan kesucian kita dengan rasa takut kepada Allah.
2CO 7:2 Berikanlah tempat bagi kami di hatimu. Kami tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa. Kami tidak pernah merosakkan iman atau memperalatkan sesiapa.
2CO 7:3 Aku berkata demikian bukan untuk menyalahkan kamu, kerana tadi aku menyatakan bahawa kamu telah mendapat tempat di hati kami, maka kita sehidup semati.
2CO 7:4 Aku sangat mempercayaimu dan berbangga denganmu. Aku sangat terhibur, dan dalam segala kesusahan kami, hatiku dipenuhi kegembiraan.
2CO 7:5 Setelah sampai di Makedonia, ternyata kami langsung tidak mengalami ketenangan. Kami menanggung pelbagai kesusahan: persengketaan dari luar, dan ketakutan dalam diri sendiri.
2CO 7:6 Tetapi Allah, yang menghibur orang yang putus asa, menghibur kami dengan kedatangan Titus.
2CO 7:7 Bukan kedatangannya sahaja yang menghibur, malah juga penghiburan yang didapatinya keranamu. Dia bercerita kepada kami tentang kerinduanmu, penyesalanmu, dan kehebatan semangatmu menyokongku, yang lebih menggembirakan lagi hatiku.
2CO 7:8 Walaupun aku telah menyedihkanmu dengan surat yang kukirim, aku tidak menyesal. Pada suatu ketika memang aku menyesal, kerana jelas sekali surat itu telah menyedihkanmu, biarpun untuk beberapa detik.
2CO 7:9 Tetapi kini aku gembira, bukan kerana kamu bersedih, tetapi kerana kesedihanmu itu membawa taubat. Ertinya, memanglah kamu bersedih, tetapi hal itu selaras dengan kehendak Allah, maka kami tidaklah merugikanmu.
2CO 7:10 Kesedihan yang selaras dengan kehendak Allah membawa taubat dan penyelamatan, maka tidak harus disesali. Sebaliknya, kesedihan dari dunia ini membawa maut.
2CO 7:11 Perhatikan bahawa kesedihanmu itu selaras dengan kehendak Allah. Betapa hebatnya yang dicetuskan dalam dirimu: kesungguhan, keinginan membersihkan diri daripada tuduhan, kemarahan, ketakutan, kerinduan, semangat, dan usaha menegakkan keadilan. Dari segala segi kamu telah membuktikan dirimu suci dalam hal ini.
2CO 7:12 Kutulis surat itu kepadamu bukan untuk orang yang melakukan kesalahan itu, dan bukan pula untuk orang yang menjadi mangsa kesalahan itu, tetapi supaya perhatian kami terhadapmu di hadapan Allah ternyata kepadamu.
2CO 7:13 Oleh sebab itulah kami merasa terhibur. Tetapi selain itu, kami merasa lebih gembira lagi melihat kegembiraan Titus, kerana kamu telah menenteramkan hatinya.
2CO 7:14 Aku telah berbangga denganmu di hadapan Titus dan aku tidak malu berbuat demikian. Sebagaimana dalam hal-hal lain kami bercakap benar kepadamu, kata-kata bangga kami terhadapmu di hadapan Titus juga ternyata benar.
2CO 7:15 Kasihnya kepadamu kian mendalam apabila dia mengingati ketaatanmu, dan betapa kamu telah menyambutnya dengan takut dan gementar.
2CO 7:16 Aku gembira kerana aku dapat mempercayaimu dalam segala hal.
2CO 8:1 Kami ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, tentang kasih kurnia Allah kepada jemaah-jemaah di Makedonia.
2CO 8:2 Sungguhpun mereka banyak diuji dengan kesusahan, namun kegembiraan mereka melimpah. Walaupun mereka sangat miskin, mereka kaya dalam kemurahan hati.
2CO 8:3 Aku dapat memberi kesaksian bahawa dengan rela hati mereka telah memberi setakat termampu, malah lebih daripada itu.
2CO 8:4 Mereka telah meminta bersungguh-sungguh kepada kami agar mereka diberi hak istimewa untuk menyumbang kepada keperluan orang salih.
2CO 8:5 Hal in benar-benar di luar jangkaan kami. Mereka mempersembahkan diri pertama kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga dengan kehendak Allah.
2CO 8:6 Oleh itu kami meminta bersungguh-sungguh kepada Titus, yang telah memulakan usaha itu, supaya melanjutkan pekerjaan yang mulia itu di kalanganmu.
2CO 8:7 Jadi, sebagaimana kamu kaya dalam segala hal dalam iman, kata-kata, pengetahuan, pelbagai usaha, dan dalam kasihmu kepada kami hendaklah kamu kaya juga dalam pekerjaan yang mulia itu.
2CO 8:8 Ini bukanlah satu perintah, tetapi aku menguji keikhlasan kasihmu berbanding kesungguhan orang lain.
2CO 8:9 Kamu tahu tentang kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih. Dia kaya, tetapi kerana kamu Dia telah menjadikan diri-Nya miskin supaya melalui kemiskinannya kamu menjadi kaya.
2CO 8:10 Dalam hal ini, aku menasihatimu: Sudah sewajarnya kamu meneruskan apa yang kamu mulakan setahun lalu. Pada masa itu, kamulah yang mula-mula berhasrat memberi, dan kamulah yang mula-mula bertindak.
2CO 8:11 Sekarang, hendaklah kamu menyempurnakannya. Dahulu kamu telah membuat keputusan memberi, maka sekarang buktikanlah bahawa kamu bersedia melaksanakannya menurut kemampuanmu.
2CO 8:12 Jika seseorang sanggup memberi, Allah reda menerima pemberiannya menurut apa yang dia ada, bukan apa yang dia tidak ada.
2CO 8:13 Maksudku bukanlah supaya orang lain dimudahkan manakala kamu disusahkan, tetapi agar terdapat persamaan.
2CO 8:14 Kini, kelebihanmu dapat menampung kekurangan mereka. Satu hari nanti, kelebihan mereka dapat menampung kekuranganmu pula, maka terdapatlah persamaan,
2CO 8:15 seperti telah tersurat, ‘Orang yang memperoleh banyak tidak berlebihan, orang yang memperoleh sedikit tidak kekurangan.’
2CO 8:16 Segala puji dan syukur kepada Allah kerana telah meletakkan ke dalam hati Titus keprihatinan yang sama terhadapmu.
2CO 8:17 Titus menerima permintaan kami, malah dengan kehendaknya sendiri pergi mengunjungimu.
2CO 8:18 Kami mengutus seorang lagi saudara kita bagi menyertai Titus: Seorang yang terpuji di kalangan semua jemaah kerana pelayanannya dalam hal-hal Injil.
2CO 8:19 Malah dia juga telah dipilih oleh semua jemaah untuk menemani kami dalam perjalanan kami, yang bertujuan menyampaikan pemberian itu, agar Tuhan dimuliakan dan kesediaanmu menolong menjadi nyata.
2CO 8:20 Kami juga ingin mengelakkan daripada dicela berkaitan tindakan kami membawa pemberian yang begitu besar.
2CO 8:21 Kami berusaha melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Allah tetapi juga di mata manusia.
2CO 8:22 Oleh yang demikian, bersama Titus dan saudara kita itu, kami mengutus seorang lagi saudara kita. Kami telah mengujinya beberapa kali dan mendapatinya amat bersungguh-sungguh. Malah sekarang dia lebih bersungguh-sungguh lagi disebabkan kepercayaan yang sangat besar kepadamu.
2CO 8:23 Titus adalah temanku dan rakan sekerjaku untuk kepentinganmu. Saudara-saudara kita yang lain itu adalah utusan jemaah-jemaah, dan kemuliaan al-Masih.
2CO 8:24 Oleh itu, tunjukkanlah kepada mereka dan di hadapan semua jemaah bukti kasihmu serta kebanggaan kami terhadapmu.
2CO 9:1 Tentang pemberian bantuan kepada orang salih, aku tidak perlu menulis kepadamu,
2CO 9:2 kerana aku tahu kesediaanmu. Malah aku berbangga tentangmu di hadapan orang Makedonia dengan berkata bahawa Akhaya sudah siap memberi sejak tahun lalu; semangatmu telah banyak memberikan perangsang.
2CO 9:3 Aku mengutus saudara-saudara kita itu supaya kebanggaan kami terhadapmu dalam hal ini tidak sia-sia. Oleh itu, kamu hendaklah benar-benar siap sedia, seperti yang telah kukatakan kepada mereka.
2CO 9:4 Kalau ada orang Makedonia yang datang bersama aku dan mereka mendapati kamu belum siap, maka kami (tentulah juga kamu!) akan berasa malu, kerana kami begitu yakin.
2CO 9:5 Dengan demikian aku telah meminta saudara-saudara kita pergi terlebih dahulu menemui kamu dan mengatur pemberian yang telah kamu janjikan itu; biar pemberian itu terkumpul dari kemurahan hatimu, bukan kerana terpaksa.
2CO 9:6 Ingatlah firman ini: Orang yang menyemai sedikit akan menuai sedikit, dan orang yang menyemai banyak akan menuai banyak.
2CO 9:7 Masing-masing hendaklah memberi setulus hati, jangan dengan rasa enggan atau terpaksa, kerana Allah meredai orang yang memberi dengan gembira.
2CO 9:8 Allah berkuasa melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadamu, supaya kamu dapat memenuhi segala keperluanmu dan berlebihan pula untuk amal kebajikan.
2CO 9:9 Sebagaimana tersurat, ‘Dia telah menaburkan kurnia-Nya merata-rata di kalangan orang miskin, Kebenaran-Nya kekal selama-lamanya.’
2CO 9:10 Allah telah menyediakan benih untuk disemai dan roti untuk dimakan. Semoga Allah melipatgandakan benih yang telah kamu semai dan memperbanyak buah hasil kebenaran,
2CO 9:11 serta memperkaya kamu dalam segala hal, sehingga kamu dapat terus-menerus bermurah hati. Pemberianmu yang disampaikan melalui kami akan menimbulkan rasa syukur kepada Allah.
2CO 9:12 Kerana pekerjaan mulia yang sedang kita usahakan ini bukan sahaja akan menampung kekurangan orang salih, tetapi juga menyebabkan banyak orang mengucap syukur kepada Allah.
2CO 9:13 Melalui pekerjaan mulia ini, kamu membuktikan imanmu dan mereka memuliakan Allah kerana melihat kesetiaan pengakuanmu terhadap Injil al-Masih serta kemurahan hati yang kamu tunjukkan dengan pemberian kepada mereka dan semua orang.
2CO 9:14 Mereka berdoa untukmu dan ingin berdamping denganmu kerana kasih kurnia Allah yang melebihi segala-galanya memenuhi dirimu.
2CO 9:15 Segala puji dan syukur kepada Allah kerana kurnia-Nya yang tidak terperikan.
2CO 10:1 Sekarang aku, Paulus, yang gementar ketika berhadapan denganmu tetapi berani ketika berjauhan, memohon sesuatu kepadamu atas sifat al-Masih yang lemah lembut dan rendah hati.
2CO 10:2 Aku memohon kepadamu, apabila aku datang nanti, janganlah sampai aku terpaksa menunjukkan keberanian di hadapanmu. Aku memang berniat untuk bertindak begitu terhadap beberapa orang yang menyangka bahawa kami hidup seperti orang duniawi.
2CO 10:3 Walaupun kami hidup di dunia, kami tidaklah berjuang secara duniawi.
2CO 10:4 Senjata-senjata kami bukanlah benda-benda duniawi tetapi kekuatan Ilahi untuk meruntuhkan benteng-benteng,
2CO 10:5 mematahkan hujah-hujah dan segala yang meninggikan diri menentang pengenalan Allah, menundukkan semua fikiran supaya mematuhi al-Masih,
2CO 10:6 serta bersedia menghukum segala keingkaran terhadap Allah apabila ketaatanmu disempurnakan.
2CO 10:7 Kamu hanya melihat sesuatu berdasarkan lahiriahnya. Jika seseorang yakin dalam hatinya bahawa dia milik al-Masih, hendaklah dia memikirkan pula, bahawa sebagaimana dia milik al-Masih, begitu jugalah kita ini milik al-Masih.
2CO 10:8 Kalaupun aku berbangga lebih sedikit tentang kewibawaan kami, yang diberikan oleh Tuhan kepada kami untuk membangunkan dan bukan membinasakan kamu, aku tidak akan berasa malu.
2CO 10:9 Ini kerana aku tidak mahu kamu menyangka bahawa aku hendak menakut-nakutkanmu dengan surat-suratku.
2CO 10:10 Ada yang berkata, ‘Surat-suratnya bernas dan tegas, tetapi apabila berhadapan muka, dia kelihatan daif dan pertuturannya pun tidak memberikan kesan.’
2CO 10:11 Orang yang berkata demikian haruslah menimbangkan hal ini: Bahawa sebagaimana kata-kata kami dalam surat ketika berjauhan, begitulah juga tindakan kami apabila berhadapan kelak.
2CO 10:12 Kami tidak berani menggolongkan atau membandingkan diri kami dengan mereka yang memuji diri sendiri. Apabila mereka menilai diri sendiri dan membandingkan diri sama sendiri, mereka tidaklah bertindak dengan bijaksana.
2CO 10:13 Sebaliknya, kami tidak akan berbangga berlebih-lebihan, tetapi dalam batas-batas lingkungan yang ditetapkan Allah untuk kami – lingkungan yang khususnya merangkum kamu.
2CO 10:14 Kami tidaklah melampaui batas-batas yang ditetapkan Allah, seolah-olah kami belum sampai ke tempatmu. Kamilah yang pertama datang membawa Injil al-Masih kepadamu.
2CO 10:15 Kami tidak berbangga di luar batas, iaitu tentang usaha orang lain; tetapi kami berharap bahawa dengan bertambahnya imanmu, kamu akan memperluas lingkungan kami.
2CO 10:16 Dengan demikian kami akan mengajarkan Injil di kawasan-kawasan yang lebih jauh lagi daripada tempatmu, dan tidak berbangga dalam lingkungan kerja orang lain.
2CO 10:17 ‘Tetapi seseorang yang bermegah, hendaklah bermegah di dalam Tuhan.’
2CO 10:18 Kerana yang dianggap mulia bukanlah orang yang memuji diri sendiri tetapi orang yang dipuji oleh Tuhan.
2CO 11:1 Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku.
2CO 11:2 Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan al-Masih dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci.
2CO 11:3 Tetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada al-Masih.
2CO 11:4 Jika seseorang datang mengajar tentang Isa yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya.
2CO 11:5 Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu.
2CO 11:6 Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal.
2CO 11:7 Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku mengajarkan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran?
2CO 11:8 Aku telah ‘merompak’ jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu.
2CO 11:9 Apabila aku berada di kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapapun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan.
2CO 11:10 Sebagaimana kebenaran al-Masih tetap ada dalam diriku, tiada siapapun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya.
2CO 11:11 Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu!
2CO 11:12 Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang mereka banggakan.
2CO 11:13 Mereka adalah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul al-Masih.
2CO 11:14 Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya.
2CO 11:15 Oleh itu bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan.
2CO 11:16 Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit.
2CO 11:17 Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut al-Masih tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga.
2CO 11:18 Memandangkan ramai orang yang berbangga secara lahiriah, maka aku akan berbangga juga;
2CO 11:19 kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak.
2CO 11:20 Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu.
2CO 11:21 Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah. Tetapi jika orang lain berani berbangga tentang sesuatu sebagai orang bodoh aku berkata, aku juga berani.
2CO 11:22 Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Ibrahim? Aku juga begitu.
2CO 11:23 Kerana mereka para pelayan al-Masih? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut.
2CO 11:24 Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi.
2CO 11:25 Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut.
2CO 11:26 Dalam perjalanan, seringkali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman.
2CO 11:27 Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerapkali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian.
2CO 11:28 Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah.
2CO 11:29 Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya!
2CO 11:30 Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku.
2CO 11:31 Allah, Bapa Junjungan Isa yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta.
2CO 11:32 Gabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku.
2CO 11:33 Tetapi aku diturunkan dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas dari tangannya.
2CO 12:1 Tentu sekali tiada faedahnya aku berbangga. Aku akan menceritakan penglihatan dan wahyu yang kudapati daripada Tuhan.
2CO 12:2 Aku mengenal seorang dalam al-Masih. Empat belas tahun lalu, orang itu dibawa ke langit yang ketiga (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya).
2CO 12:3 Aku tahu orang itu (sama ada di dalam tubuh atau di luar tubuh aku tidak tahu, Allah yang mengetahuinya)
2CO 12:4 dibawa ke Firdaus lalu mendengar kata-kata yang tidak terperikan, yang tidak boleh dituturkan oleh manusia.
2CO 12:5 Aku berbangga dengan orang itu, tetapi aku tidak akan berbangga dengan diriku, kecuali kelemahan-kelemahanku.
2CO 12:6 Walaupun jikanya aku ingin berbangga, aku bukanlah bodoh, kerana aku menyatakan yang benar. Tetapi aku tidak akan melakukannya, supaya jangan ada orang yang menilaiku lebih tinggi daripada yang dilihatnya tentangku dan yang didengarnya daripadaku.
2CO 12:7 Supaya aku tidak terasa terlalu tinggi kerana begitu dilimpahi wahyu, aku telah diberi duri dalam daging, utusan Iblis, untuk menyakitiku.
2CO 12:8 Sudah tiga kali aku memohon kepada Tuhan supaya seksa ini disisihkan daripadaku.
2CO 12:9 Tetapi firman-Nya, ‘Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.’ Oleh itu aku paling rela berbangga tentang kelemahan-kelemahanku, supaya kuasa al-Masih menaungiku.
2CO 12:10 Oleh itu, aku rela menanggung pelbagai kelemahan, celaan, kesempitan, penganiayaan dan kesusahan untuk al-Masih; kerana apabila aku lemah, ketika itulah aku kuat.
2CO 12:11 Aku telah berbangga selaku orang bodoh. Kamu telah memaksaku berbuat demikian. Sepatutnya kamu memberiku penghargaan; kerana aku tidak kurang daripada rasul-rasul terunggul itu, walaupun aku orang yang tidak penting.
2CO 12:12 Tanda-tanda kerasulanku telah ditunjukkan kepadamu dengan sepenuhnya, iaitu pelbagai tanda ajaib dan mukjizat.
2CO 12:13 Dari segi apakah kamu kurang daripada jemaah-jemaah lain, kecuali aku tidak membebanimu? Maafkan kesalahanku itu!
2CO 12:14 Kini, bagi kali ketiga, aku bersedia mengunjungi kamu. Aku tidak akan membebani kamu, kerana aku menghendaki kamu, bukan hartamu. Tidaklah wajar anak-anak mengumpulkan harta untuk ibu bapa. Ibu bapalah yang patut mengumpulkan harta untuk anak-anak.
2CO 12:15 Aku rela berbelanja malah berhabis untukmu. Oleh itu jika kasihku semakin kulimpahkan kepadamu, wajarkah aku semakin kurang dikasihi?
2CO 12:16 Walau bagaimanapun, aku tidak membebanimu. Namun demikian, aku dikatakan pandai memperdaya dan menawanmu dengan tipu helah!
2CO 12:17 Pernahkah aku memperdayamu melalui orang yang telah kuutus kepadamu?
2CO 12:18 Aku telah meminta Titus pergi mengunjungimu, bersama seorang lagi saudara kita. Adakah Titus memperdayamu? Tidakkah kami hidup menurut roh yang sama? Tidakkah kami bertindak dengan langkah-langkah yang sama?
2CO 12:19 Adakah kamu menyangka kami membela diri di hadapanmu? Kami bersuara di hadapan Allah dalam al-Masih. Kami melakukan segala-galanya untuk menguatkanmu, saudara-saudara yang kukasihi.
2CO 12:20 Aku takut kalau-kalau ketika aku datang nanti, aku mendapatimu tidak seperti yang kuharapkan dan kamu mendapatiku tidak seperti yang kamu harapkan. Janganlah hendaknya ketika itu aku menemui pertengkaran, hasad dengki, kemarahan, sikap mementingkan diri, umpat-mengumpat, desas-desus, keangkuhan, dan huru-hara.
2CO 12:21 Aku harap, ketika aku datang kelak, janganlah aku dipermalukan oleh Allah Tuhanku di hadapanmu dan bersedih kerana ramai yang dahulu berbuat dosa tetap tidak bertaubat daripada kekejian, pencabulan dan keliaran hawa nafsu dalam kehidupan mereka.
2CO 13:1 Kunjunganku kepadamu nanti adalah bagi kali yang ketiga. ‘Melalui dua atau tiga orang saksi, setiap perkataan akan diteguhkan.’
2CO 13:2 Dahulu, sewaktu aku tinggal bersamamu dalam kunjunganku yang kedua, aku telah memperingatkan mereka yang berbuat dosa itu serta orang lain. Sekarang, dari jauh aku menulis memperingatkan mereka, bahawa apabila aku datang nanti aku tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada mereka.
2CO 13:3 Kamu menuntut bukti bahawa al-Masih bersuara melaluiku. Al-Masih tidaklah lemah menghadapimu; Dia bertindak dengan penuh kuasa dalam dirimu.
2CO 13:4 Al-Masih disalib kerana kelemahan, tetapi Dia hidup kerana kuasa Allah. Kami juga lemah dalam Dia, namun dengan kuasa Allah akan hidup bersama Dia untuk melayanimu.
2CO 13:5 Ujilah keteguhan imanmu; periksalah dirimu sendiri. Tidakkah kamu tahu al-Masih ada di dalam dirimu? Kecuali kamu gagal.
2CO 13:6 Kami yakin kamu tahu bahawa kami bukanlah orang yang tidak tahan diuji.
2CO 13:7 Sekarang aku berdoa kepada Allah semoga kamu tidak melakukan kejahatan bukan kerana kami ingin kelihatan diperkenan sebagai rasul, tetapi supaya kamu melakukan perbuatan yang mulia, meskipun kiranya kami kelihatan seolah-olah tidak layak menjadi rasul.
2CO 13:8 Kami tidak mungkin melakukan sesuatu menentang apa yang benar. Setiap yang kami lakukan adalah untuk menegakkan yang benar.
2CO 13:9 Kami senang hati apabila kami lemah sedangkan kamu kuat. Kami juga mendoakan semoga kamu disempurnakan.
2CO 13:10 Oleh sebab itulah aku menulis segala ini sebelum aku berada di hadapanmu. Dengan demikian, apabila aku berhadapan denganmu kelak, tidaklah perlu aku berkeras terhadapmu melalui kekuasaan yang telah diberi Tuhan kepadaku untuk mengajarmu, bukan merosakkanmu.
2CO 13:11 Akhir kata, saudara-saudara seimanku, kuucapkan salam perpisahan dulu. Berusahalah menjadi sempurna. Senangkan hati, bulatkan muafakat, hidup rukun damai; maka Allah Pengurnia kasih dan kesejahteraan akan bersamamu.
2CO 13:12 Bersalamlah dengan mesra sebagai saudara-saudara seiman.
2CO 13:13 Semua orang salih di sini berkirim salam kepadamu.
2CO 13:14 Semoga kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih, kasih Allah dan keakraban Roh Suci menyertai kamu semua. Amin.
GAL 1:1 Daripada Paulus, seorang rasul – bukan daripada manusia atau melalui manusia, tetapi melalui Isa al-Masih dan Allah Bapa, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian –
GAL 1:2 dan daripada semua saudara yang bersamaku, Kepada semua jemaah di Galatia:
GAL 1:3 Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Allah Bapa dan daripada Junjungan Isa al-Masih
GAL 1:4 yang telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa kita agar Dia melepaskan kita daripada zaman durjana ini, menurut kehendak Bapa kita Allah.
GAL 1:5 Bagi-Nyalah kemuliaan selama-lamanya. Amin.
GAL 1:6 Aku hairan bahawa kamu telah berpaling begitu cepat daripada Dia yang telah memanggilmu dalam kasih kurnia al-Masih, kepada suatu injil lain –
GAL 1:7 yang bukannya injil. Tetapi ada orang yang mengacau kamu dan hendak memesongkan Injil al-Masih.
GAL 1:8 Tetapi jikalau kami atau malaikat dari syurga sekalipun kelak mengkhabarkan kepadamu suatu injil yang lain daripada Injil yang telah kami khabarkan kepadamu, maka terlaknatlah orang yang mengkhabarkan itu!
GAL 1:9 Sebagaimana aku sudah berkata dulu, sekarang kukatakan lagi: Jika sesiapa mengkhabarkan injil kepadamu lain daripada yang telah kamu terima, terlaknatlah orang itu!
GAL 1:10 Adakah aku hendak membuktikan diri kepada manusia atau kepada Allah? Adakah aku berusaha mendapatkan keredaan manusia atau keredaan Allah? Jika aku masih cuba mendapatkan keredaan manusia, aku bukanlah hamba al-Masih.
GAL 1:11 Aku memberitahu kepadamu, saudara-saudara, Injil yang kuajarkan bukanlah menurut manusia.
GAL 1:12 Aku tidak menerimanya daripada manusia, dan aku tidak pula mempelajarinya; tetapi Injil itu datang melalui wahyu daripada Isa al-Masih.
GAL 1:13 Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya.
GAL 1:14 Aku jauh lebih maju dalam agama Yahudi daripada orang sebayaku di kalangan bangsaku, kerana aku teramat kuat berpegang kepada segala adat nenek moyangku.
GAL 1:15 Tetapi apabila Allah, yang telah mengasingkanku daripada rahim ibuku dan memanggilku, melalui kasih kurnia-Nya
GAL 1:16 untuk menyatakan Putera-Nya dalamku, berkenan agar aku mengajar tentang-Nya di kalangan bangsa lain, aku tidaklah bermesyuarat dengan sesama manusia.
GAL 1:17 Aku tidak juga pergi ke Baitulmaqdis untuk menemui mereka yang telah menjadi rasul terdahulu daripadaku, tetapi aku ke tanah Arab, lalu pulang semula ke Damsyik.
GAL 1:18 Tiga tahun kemudian, aku ke Baitulmaqdis bertemu dengan Petrus lalu tinggal dengannya lima belas hari.
GAL 1:19 Tetapi aku tidak melihat para rasul yang lain – kecuali Yakobus, saudara Junjungan.
GAL 1:20 Sesungguhnya, di hadapan Allah, perkara-perkara yang kutuliskan kepadamu ini benar, aku tidak berbohong.
GAL 1:21 Selepas itu aku pergi ke rantau Siria dan Kilikia.
GAL 1:22 Mukaku masih belum dikenali oleh jemaah di tanah Yudea yang mempercayai al-Masih.
GAL 1:23 Mereka hanya mendengar: ‘Orang yang dulu menganiaya kita sekarang mengajarkan iman yang hendak dibinasakannya dulu.’
GAL 1:24 Lalu mereka memuji Allah keranaku.
GAL 2:1 Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Baitulmaqdis dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama.
GAL 2:2 Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan di kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu.
GAL 2:3 Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat.
GAL 2:4 Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Isa al-Masih agar mereka dapat memperhambakan kami.
GAL 2:5 Namun, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu.
GAL 2:6 Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa – walau apapun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa – mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku.
GAL 2:7 Sebaliknya, mereka sedar bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus.
GAL 2:8 Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat.
GAL 2:9 Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yahya, yang dipandang sebagai asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat.
GAL 2:10 Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.
GAL 2:11 Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah.
GAL 2:12 Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan.
GAL 2:13 Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.
GAL 2:14 Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, ‘Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?
GAL 2:15 ‘Kita yang memang asal orang Yahudi, bukan “orang berdosa daripada bangsa asing”
GAL 2:16 mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan al-Masih. Oleh itu kita pun mempercayai al-Masih, supaya kita diperbenar kerana beriman akan al-Masih, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.
GAL 2:17 ‘Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui al-Masih, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna al-Masih mengajar kita berdosa? Tidak sekali-kali!
GAL 2:18 Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum.
GAL 2:19 Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah.
GAL 2:20 Aku telah disalib bersama al-Masih, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi al-Masih yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Putera Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku.
GAL 2:21 Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika kebenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian al-Masih!’
GAL 3:1 Wahai orang Galatia yang tidak berakal! Siapakah yang telah menyihirkan kamu sedangkan di hadapan matamu Isa al-Masih telah jelas ditunjukkan tersalib?
GAL 3:2 Hanya ini yang ingin kuketahui daripadamu: Adakah kamu menerima Roh Suci kerana mengerjakan hukum Taurat, atau kerana percaya kepada Injil yang dikhabarkan?
GAL 3:3 Di manakah akalmu? Setelah bermula dengan Roh, sekarang kamu hendak menyempurnakan diri dengan kekuatan jasmani?
GAL 3:4 Adakah segala yang kamu deritai itu sia-sia sahaja – kalaulah sebenarnya sia-sia?
GAL 3:5 Tuhan yang mengurniakan Roh-Nya kepadamu dan mengerjakan mukjizat di kalanganmu, adakah Dia melakukannya kerana kamu mengerjakan hukum Taurat, atau kerana kamu percaya Injil yang dikhabarkan?
GAL 3:6 Samalah sebagaimana Ibrahim: ‘Dia mempercayai Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai kebenaran.’
GAL 3:7 Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Ibrahim.
GAL 3:8 Oleh sebab telah diketahui bahawa Allah akan memperbenar bangsa asing melalui iman, Kitab Suci telah menyampaikan Injil itu kepada Ibrahim terlebih dahulu: ‘Melalui engkau, semua bangsa akan diberkati.’
GAL 3:9 Dengan demikian, semua orang yang beriman diberkati bersama Ibrahim yang beriman.
GAL 3:10 Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: ‘Terlaknatlah mereka yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.’
GAL 3:11 Jelaslah bahawa tiada siapapun diperbenar di sisi Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, ‘Orang yang benar akan hidup dengan iman.’
GAL 3:12 Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, ‘Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup dengannya.’
GAL 3:13 Al-Masih telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: ‘Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.’
GAL 3:14 Dia menebus kita supaya berkat Ibrahim datang kepada bangsa asing melalui Isa al-Masih, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.
GAL 3:15 Saudara-saudara, aku hendak menggunakan contoh daripada hidup sehari-hari. Walaupun suatu perjanjian hanya antara manusia, namun setelah ditetapkan, tiada siapa harus memansuhkannya atau menolak-tambah padanya, begitulah juga hal ini.
GAL 3:16 Janji Allah telah dibuat kepada Ibrahim dan benihnya. Kitab Suci tidak menyebut ‘dan kepada benih-benih,’ dengan erti ramai orang, tetapi ‘dan kepada Benihmu,’ yang bererti seorang sahaja, iaitu al-Masih.
GAL 3:17 Aku berkata bahawa hukum Taurat, yang datang 430 tahun kemudian, tidak dapat memansuhkan perjanjian yang telah ditetapkan dahulu oleh Allah atau menjadikan janji itu tidak sah lagi.
GAL 3:18 Jika warisan itu daripada hukum Taurat, itu bukanlah lagi berdasarkan janji; tetapi Allah dalam kasih kurnia-Nya telah memberikannya kepada Ibrahim melalui janji.
GAL 3:19 Kalau begitu, apakah tujuan hukum Taurat? Hukum itu ditambahkan kerana pelanggaran manusia. Hukum itu berterusan sehingga datangnya Benih yang dijanjikan itu, dan hukum itu diberikan melalui malaikat oleh seorang pengantara.
GAL 3:20 Pengantara tidaklah menjadi pengantara bagi satu pihak sahaja; tetapi Allah itu Esa.
GAL 3:21 Jadi, adakah hukum Taurat itu berselisih dengan janji-janji Allah? Tidak sekali-kali! Kerana kalaulah ada hukum yang dapat memberikan kehidupan, tentulah kebenaran didapati melalui hukum itu.
GAL 3:22 Namun, Kitab Suci telah menentukan bahawa semuanya terbelenggu oleh dosa, supaya apa yang dijanjikan melalui iman dalam Isa al-Masih dapat diberikan kepada mereka yang percaya.
GAL 3:23 Sebelum datangnya iman, kita dikawal oleh hukum Taurat, dikurung sementara menantikan iman yang akan dinyatakan kelak.
GAL 3:24 Oleh itu, hukum Taurat adalah guru kita, yang membawa kita kepada al-Masih untuk dibenarkan oleh iman.
GAL 3:25 Tetapi selepas datangnya iman, kita tidak lagi di bawah pengawasan hukum Taurat.
GAL 3:26 Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman terhadap Isa al-Masih.
GAL 3:27 Dan semua di antara kamu yang telah diimadkan dalam al-Masih telah meliputi dirimu dengan al-Masih.
GAL 3:28 Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Isa al-Masih.
GAL 3:29 Dan jika kamu milik al-Masih, kamu adalah benih Ibrahim, dan menjadi waris menurut janji itu.
GAL 4:1 Sekarang aku berkata bahawa waris, selagi dia masih kanak-kanak, tidak berbeza daripada hamba, walaupun dia tuan kepada segala miliknya.
GAL 4:2 Dia di bawah kawalan para penjaga dan pengurus sehingga masa yang ditetapkan oleh bapanya.
GAL 4:3 Demikianlah kita, ketika masih kanak-kanak, diperhamba menurut pelajaran peringkat awal dunia.
GAL 4:4 Tetapi apabila sampai waktunya, Allah telah menghantar Putera-Nya, yang dilahirkan melalui seorang perempuan, di bawah hukum Taurat,
GAL 4:5 untuk menebus mereka yang di bawah hukum itu, supaya kita mendapat hak sepenuh sebagai anak.
GAL 4:6 Dan kerana kamu anak-anak-Nya, Allah telah menghantar Roh Putera-Nya ke dalam hatimu, Roh yang berseru, ‘Abba, Bapa.’
GAL 4:7 Dengan demikian kamu bukan lagi hamba tetapi anak; dan sebagai anak, Allah telah menjadikan kamu waris-Nya.
GAL 4:8 Dulu, ketika kamu belum mengenal Allah, kamu telah memperhambakan diri kepada dewa-dewa yang sebenarnya bukan tuhan.
GAL 4:9 Tetapi sekarang, setelah kamu mengenal Allah – atau lebih tepat, dikenali Allah – mengapakah kamu berpaling semula kepada ajaran peringkat awal yang lemah dan serba kurang itu, dan ingin terbelenggu semula sebagai hamba kepadanya?
GAL 4:10 Kamu mematuhi hukum tentang hari, bulan, musim dan tahun!
GAL 4:11 Aku bimbang tentangmu, takut kalau-kalau aku berusaha untukmu dengan sia-sia.
GAL 4:12 Saudara-saudara, aku meminta supaya kamu menjadi sepertiku, kerana dulu aku pun seperti kamu. Kamu tidak pernah menganiayaku.
GAL 4:13 Kamu tahu bahawa kerana kedaifan jasmani, aku mula-mula mengajarkan Injil kepadamu.
GAL 4:14 Dan kamu tidak menghina atau menyingkirkan aku kerana cubaan jasmani yang kutanggung. Sebaliknya kamu telah menyambutku seperti malaikat Allah, malah seperti Isa al-Masih.
GAL 4:15 Betapakah berkat yang kamu nikmati ketika itu? Kerana aku bersaksi bahawa, kalau boleh, kamu rela mencungkil matamu sendiri dan memberikannya kepadaku.
GAL 4:16 Adakah aku telah menjadi seterumu kerana aku menyatakan yang benar kepadamu?
GAL 4:17 Mereka bersungguh-sungguh menawan hatimu, tetapi bukan dengan niat yang baik. Mereka hendak mengasingkan kamu, supaya kamu bersungguh-sungguh hendak menawan hati mereka.
GAL 4:18 Memang elok bersungguh-sungguh dalam perkara yang baik, dan bukan hanya ketika aku ada bersamamu.
GAL 4:19 Hai anak-anak kecilku, aku mengalami sengsara seperti hendak melahirkan kamu sekali lagi sehingga al-Masih terbentuk dalam dirimu.
GAL 4:20 Aku rindu hendak bersama kamu sekarang dan mengubah nada suaraku, kerana aku amat bimbang tentangmu!
GAL 4:21 Katakan kepadaku, kamu yang ingin hidup di bawah hukum Taurat, tidakkah kamu dengar kata-kata hukum itu?
GAL 4:22 Tersurat bahawa Ibrahim mempunyai dua orang anak lelaki, seorang dengan hamba perempuan dan seorang lagi dengan perempuan merdeka.
GAL 4:23 Anak dengan hamba perempuan itu dilahirkan sebagaimana kebiasaan manusia; tetapi anak dengan perempuan merdeka itu dilahirkan kerana janji.
GAL 4:24 Ini adalah ibarat kerana dua perempuan itu mewakili dua perjanjian – satu daripada Gunung Sinai yang melahirkan anak-anak perhambaan, iaitu Hagar,
GAL 4:25 kerana Hagar adalah Gunung Sinai di tanah Arab, melambangkan Baitulmaqdis yang ada sekarang, dan berada dalam perhambaan bersama anak-anaknya.
GAL 4:26 Tetapi Baitulmaqdis yang di atas adalah merdeka, dan ia ibu kepada kita semua.
GAL 4:27 Kerana telah tersurat: ‘Bergembiralah, hai perempuan mandul, kamu yang tidak melahirkan anak; bersorak-sorailah, kamu yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak; kerana perempuan yang sepi lara mempunyai lebih ramai anak daripada yang bersuami.’
GAL 4:28 Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian.
GAL 4:29 Tetapi, sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang.
GAL 4:30 Walau bagaimanapun, apakah yang dikatakan dalam Kitab Suci? ‘Singkirkan hamba perempuan itu dengan anaknya, kerana anak kepada hamba perempuan itu tidak akan menjadi waris bersama anak kepada perempuan merdeka.’
GAL 4:31 Dengan demikian, saudara-saudara, kita bukanlah anak kepada hamba perempuan, tetapi kepada perempuan yang merdeka.
GAL 5:1 Demi kemerdekaan al-Masih telah memerdekakan kita. Oleh itu berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh al-Masih kepada kita, dan jangan biarkan diri diperhambakan semula.
GAL 5:2 Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah al-Masih kepadamu.
GAL 5:3 Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat.
GAL 5:4 Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada al-Masih. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah.
GAL 5:5 Kita, melalui Roh, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat kebenaran dengan iman.
GAL 5:6 Kerana dalam Isa al-Masih, baik bersunat mahupun tidak bersunat tidak menghasilkan apa-apa, melainkan iman bekerja melalui kasih.
GAL 5:7 Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar?
GAL 5:8 Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu.
GAL 5:9 ‘Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.’
GAL 5:10 Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapapun dia.
GAL 5:11 Saudara-saudara, jika aku masih mengajar supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang.
GAL 5:12 Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!
GAL 5:13 Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih.
GAL 5:14 Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’
GAL 5:15 Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, hati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.
GAL 5:16 Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan hawa nafsu dunia.
GAL 5:17 Kerana hawa nafsu dunia menentang Roh, dan Roh menentang hawa nafsu dunia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
GAL 5:18 Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.
GAL 5:19 Kelakuan hawa nafsu dunia adalah nyata: zina, kecemaran dan kelucahan;
GAL 5:20 menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak
GAL 5:21 dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
GAL 5:22 Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan,
GAL 5:23 lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini.
GAL 5:24 Mereka yang menjadi milik al-Masih telah menyalib hawa nafsu dunia berserta keghairahan dan keinginan.
GAL 5:25 Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.
GAL 5:26 Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.
GAL 6:1 Saudara-saudara, jika seseorang didapati melakukan sesuatu kesalahan, kamu yang bersifat rohani pimpinlah dia ke jalan baik dengan lemah lembut, sambil menjaga dirimu, jangan sampai kamu turut tergoda.
GAL 6:2 Tanggung-menanggunglah beban satu sama lain, dan dengan demikian laksanakan hukum al-Masih.
GAL 6:3 Jika seseorang menyangka dirinya mempunyai kelebihan sedangkan dia sebenarnya tidak mempunyainya, maka dia menipu dirinya sendiri.
GAL 6:4 Setiap orang harus meneliti kerjanya sendiri, supaya dia dapat bermegah atas apa yang ada pada dirinya sahaja, bukan berbanding dengan apa yang ada pada orang lain.
GAL 6:5 Ini kerana setiap orang akan menanggung bebannya sendiri.
GAL 6:6 Orang yang diajari firman hendaklah berkongsi segala yang baik dengan pengajarnya.
GAL 6:7 Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.
GAL 6:8 Orang yang menyemai bagi hawa nafsu dunia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal.
GAL 6:9 Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
GAL 6:10 Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.
GAL 6:11 Lihatlah betapa besarnya huruf-huruf yang kutulis kepadamu dengan tanganku sendiri!
GAL 6:12 Mereka yang ingin menunjukkan diri baik dalam hal dunia, merekalah yang ingin memaksa kamu bersunat, semata-mata untuk mengelakkan diri mereka dianiaya kerana salib al-Masih.
GAL 6:13 Orang yang bersunat itu pun tidak memegang hukum Taurat, tetapi mereka mahu kamu disunatkan supaya mereka dapat bermegah dengan keadaan jasmanimu.
GAL 6:14 Tetapi aku sekali-kali tidak mahu bermegah dengan apapun kecuali salib Junjungan kita Isa al-Masih yang melalui-Nya dunia telah disalib kepadaku dan aku juga kepada dunia.
GAL 6:15 Ini kerana sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya; menjadi satu ciptaan baru, itulah yang penting.
GAL 6:16 Bagi mereka yang hidup menurut hukum ini, sejahtera dan belas kasihan di atas mereka, dan di atas Israel Allah.
GAL 6:17 Akhir kata, janganlah sesiapa menyusahkan aku, kerana pada tubuhku ada parut-parut Isa.
GAL 6:18 Saudara-saudara, semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertaimu. Amin.
EPH 1:1 Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah, Kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Isa al-Masih:
EPH 1:2 Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.
EPH 1:3 Segala puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam al-Masih.
EPH 1:4 Ini kerana Dia telah memilih kita dalam al-Masih sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih,
EPH 1:5 Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Isa al-Masih kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya –
EPH 1:6 supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya.
EPH 1:7 Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya
EPH 1:8 yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian.
EPH 1:9 Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam al-Masih,
EPH 1:10 bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah al-Masih sebagai kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.
EPH 1:11 Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya,
EPH 1:12 bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada al-Masih akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya.
EPH 1:13 Kamu juga dalam al-Masih setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Suci yang dijanjikan-Nya,
EPH 1:14 yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.
EPH 1:15 Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Junjungan Isa dan mengasihi semua orang yang salih,
EPH 1:16 tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku.
EPH 1:17 Aku berdoa semoga Allah Tuhan Junjungan kita Isa al-Masih, Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya.
EPH 1:18 Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih,
EPH 1:19 dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu
EPH 1:20 dalam al-Masih apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga.
EPH 1:21 Allah meletakkan al-Masih jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang.
EPH 1:22 Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya kepala semua hal ehwal jemaah,
EPH 1:23 yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.
EPH 2:1 Kamu telah mati akibat kesalahan dan dosa
EPH 2:2 yang dahulu kamu lakukan menurut jalan dunia, menurut raja segala kuasa di udara, roh yang sekarang bertindak dalam diri anak-anak derhaka.
EPH 2:3 Kami semua juga pernah hidup sedemikian, memuaskan hawa nafsu, menunaikan kehendak tubuh dan fikiran, dan secara tabii merupakan anak-anak yang dimurkai, seperti yang lain juga.
EPH 2:4 Namun Allah, yang kaya dengan belas kasihan, kerana kasih-Nya yang amat besar kepada kita,
EPH 2:5 walaupun ketika kita telah mati disebabkan kesalahan kita, telah menghidupkan kita bersama al-Masih – kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya.
EPH 2:6 Allah telah membangkitkan kita bersama al-Masih, serta mendudukkan kita bersama-Nya di syurga,
EPH 2:7 supaya pada zaman-zaman akan datang Allah dapat menunjukkan limpah kekayaan kasih kurnia-Nya dalam keihsanan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih.
EPH 2:8 Kamu telah diselamatkan dengan kasih kurnia-Nya melalui iman – ini bukan daripada kamu sendiri tetapi adalah kurnia Allah –
EPH 2:9 bukan kerana usaha amalmu supaya tiada seorangpun yang dapat bermegah.
EPH 2:10 Kerana kita ini buatan-Nya, dicipta dalam Isa al-Masih untuk melakukan perbuatan baik, yang telah disediakan terdahulu oleh Allah untuk kita lakukan.
EPH 2:11 Oleh itu ingatlah bahawa dari segi tubuhmu kamu ini dahulu orang bangsa asing, disebut ‘orang tidak bersunat’ oleh mereka yang disebut ‘orang bersunat’ (iaitu sunat yang dibuat dengan tangan orang pada tubuh).
EPH 2:12 Pada masa itu kamu tanpa al-Masih, terasing daripada perhimpunan orang Israel dan daripada perjanjian Allah, tanpa harapan dan tanpa Tuhan di dunia ini.
EPH 2:13 Tetapi sekarang dalam Isa al-Masih, kamu yang dahulu jauh sudah dibawa dekat oleh darah al-Masih.
EPH 2:14 Kerana Dia sendiri adalah perdamaian kita, Dia menyatukan kedua-dua pihak dan meruntuhkan dinding pemisah, iaitu perseteruan.
EPH 2:15 Dia menghapuskan dengan tubuh-Nya perseteruan itu, iaitu Taurat dengan hukum-hukum yang diperintahkan di dalamnya, untuk mencipta dalam diri-Nya seorang yang baru daripada dua, dan mengadakan perdamaian demikian,
EPH 2:16 serta untuk mendamaikan kedua-duanya dengan Allah dalam satu tubuh melalui salib, dengan itu mematikan perseteruan itu.
EPH 2:17 Dan Dia datang membawa ajaran perdamaian kepada kamu yang jauh dan kepada mereka yang dekat.
EPH 2:18 Kerana melalui-Nya kita, kedua-dua pihak, dapat menghampiri Allah Bapa dengan satu Roh.
EPH 2:19 Oleh itu, sekarang, kamu bukan lagi orang asing dan pendatang, tetapi sesama warganegara dengan orang yang salih dan ahli-ahli keluarga Allah,
EPH 2:20 yang telah dibina atas asas para rasul dan para nabi, dengan Isa al-Masih sendiri sebagai batu penjuru utama.
EPH 2:21 Dalam al-Masih seluruh bangunan itu disatukan lalu menjadi tempat ibadat suci dalam Tuhan,
EPH 2:22 maka dalam-Nya kamu pun dibina bersama menjadi tempat kediaman Allah dalam Roh.
EPH 3:1 Dengan demikian aku, Paulus, yang terpenjara kerana Isa al-Masih untuk kamu, orang bukan bani Israel.
EPH 3:2 Tentu kamu telah mendengar, bahawa aku diberi tugas melaksanakan kasih kurnia Allah untukmu.
EPH 3:3 Melalui wahyu, Allah telah memberitahuku rahsia itu sebagaimana sudah kutuliskan secara ringkas.
EPH 3:4 Apabila kamu membacanya kamu akan mengerti pengetahuanku dalam rahsia al-Masih.
EPH 3:5 Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada anak Adam, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci –
EPH 3:6 bahawa orang bukan bani Israel sama-sama menjadi waris, satu tubuh, dan sama-sama mendapat bahagian daripada perjanjian Allah dalam al-Masih melalui Injil.
EPH 3:7 Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan kasih kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya.
EPH 3:8 Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi mengajar orang bukan bani Israel tentang kekayaan al-Masih yang tidak mungkin dapat dicari itu,
EPH 3:9 dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya.
EPH 3:10 Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga.
EPH 3:11 Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Isa al-Masih, Junjungan kita;
EPH 3:12 yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman.
EPH 3:13 Oleh itu aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.
EPH 3:14 Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa,
EPH 3:15 yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan.
EPH 3:16 Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu.
EPH 3:17 Semoga al-Masih mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih,
EPH 3:18 akan mengerti bersama semua orang salih berapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih al-Masih,
EPH 3:19 dan mengetahui kasih ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia – supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah.
EPH 3:20 Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita,
EPH 3:21 kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah melalui Isa al-Masih zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.
EPH 4:1 Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu.
EPH 4:2 Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak-ansur satu sama lain dalam kasih,
EPH 4:3 dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera.
EPH 4:4 Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh – sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu –
EPH 4:5 satu Junjungan, satu iman, satu pengimadan;
EPH 4:6 satu Allah iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian.
EPH 4:7 Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian al-Masih.
EPH 4:8 Oleh itu firman-Nya: ‘Apabila Dia naik ke atas, Dia menawan tawanan, dan memberi pemberian kepada manusia.’
EPH 4:9 (Apakah maksud ‘Dia naik ke atas’? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi.
EPH 4:10 Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.)
EPH 4:11 Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar,
EPH 4:12 untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh al-Masih.
EPH 4:13 Dengan itu kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Putera Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan al-Masih.
EPH 4:14 Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat.
EPH 4:15 Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu al-Masih.
EPH 4:16 Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.
EPH 4:17 Oleh itu aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia.
EPH 4:18 Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka.
EPH 4:19 Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus.
EPH 4:20 Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang al-Masih,
EPH 4:21 jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Isa.
EPH 4:22 Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya;
EPH 4:23 dan kamu dibaharui dalam roh pemikiranmu;
EPH 4:24 serta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam kebenaran dan kesucian sejati.
EPH 4:25 Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota.
EPH 4:26 ‘Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa.’ Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam,
EPH 4:27 dan jangan beri tempat kepada iblis.
EPH 4:28 Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan.
EPH 4:29 Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar.
EPH 4:30 Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Suci Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan.
EPH 4:31 Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat.
EPH 4:32 Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam al-Masih.
EPH 5:1 Oleh itu ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi.
EPH 5:2 Hiduplah dalam kasih, sebagaimana al-Masih mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.
EPH 5:3 Tetapi perzinaan dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun di kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih.
EPH 5:4 Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran.
EPH 5:5 Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan al-Masih dan Allah.
EPH 5:6 Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anak-anak derhaka.
EPH 5:7 Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka.
EPH 5:8 Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan kita. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya
EPH 5:9 (kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar),
EPH 5:10 maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan.
EPH 5:11 Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu.
EPH 5:12 Ini kerana perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan.
EPH 5:13 Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya.
EPH 5:14 Oleh itu firman Tuhan: ‘Bangunlah, hai kamu yang tidur, bangkit daripada kematian, dan al-Masih akan memberimu cahaya.’
EPH 5:15 Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana,
EPH 5:16 dan pergunakan setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana.
EPH 5:17 Dengan demikian janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan.
EPH 5:18 Dan janganlah mabuk anggur, yang berupa maksiat. Sebaliknya, penuhi diri dengan Roh.
EPH 5:19 Berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu.
EPH 5:20 Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Junjungan kita Isa al-Masih.
EPH 5:21 Tunduklah kepada satu sama lain dengan takut akan Tuhan.
EPH 5:22 Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan.
EPH 5:23 Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana al-Masih kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu.
EPH 5:24 Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada al-Masih, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.
EPH 5:25 Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana al-Masih mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah.
EPH 5:26 Dengan demikian Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman,
EPH 5:27 dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan sempurna.
EPH 5:28 Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri.
EPH 5:29 Tiada siapapun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti dilakukan oleh al-Masih kepada jemaah –
EPH 5:30 kerana kita adalah anggota tubuh-Nya.
EPH 5:31 ‘Oleh sebab itu seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.’
EPH 5:32 Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang al-Masih dan jemaah.
EPH 5:33 Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.
EPH 6:1 Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam Tuhan, kerana ini adalah wajar.
EPH 6:2 ‘Hormatilah ibu bapamu’ – iaitu perintah pertama yang disertai dengan janji –
EPH 6:3 ‘supaya kamu mendapat kebaikan dan umurmu panjang di bumi ini.’
EPH 6:4 Kamu, bapa, janganlah sakitkan hati anak-anak; tetapi peliharalah mereka dalam didikan dan nasihat Tuhan.
EPH 6:5 Hamba sahaya, taatlah kepada tuanmu di dunia ini, dengan takut dan hormat, dengan hati yang ikhlas, seperti kepada al-Masih.
EPH 6:6 Janganlah lakukan secara bermuka-muka, sekadar menyukakan hati orang, tetapi sebagai hamba al-Masih, melakukan kehendak Allah setulus hati.
EPH 6:7 Bekerjalah dengan niat bersih, seperti untuk Tuhan, bukan untuk manusia.
EPH 6:8 Ketahuilah bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang akan dibalas sewajarnya oleh Tuhan, baik hamba mahupun orang merdeka.
EPH 6:9 Kamu, tuan kepada hamba, hendaklah juga berbuat baik kepada mereka, dan jangan lagi mengugut mereka, kerana kamu tahu bahawa Tuan mereka dan Tuanmu sendiri ada di syurga, dan Dia memandang semuanya sama rata.
EPH 6:10 Akhir kata, saudara-saudaraku, hendaklah kamu kuat dalam Tuhan dan dalam kekuatan kuasa-Nya.
EPH 6:11 Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis.
EPH 6:12 Ini kerana kita berlawan bukan dengan manusia tetapi dengan para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di langit.
EPH 6:13 Oleh itu pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan pada masa yang penuh kejahatan, dan berdiri tegap setelah kamu melakukan segalanya.
EPH 6:14 Dengan demikian, berdirilah dengan tegap setelah mengikat pinggangmu dengan kebenaran, memakai keadilan sebagai perisai dada,
EPH 6:15 menyarungkan ke kakimu persediaan menyebarkan Injil perdamaian.
EPH 6:16 Paling utama, memakai perisai iman, untuk memadamkan segala anak panah berapi si durjana,
EPH 6:17 dan ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah.
EPH 6:18 Sambil itu, pohonlah sentiasa dengan segala doa dan rayuan dalam Roh, serta berjaga-jaga dengan segala ketekunan dan permohonan untuk semua orang yang salih.
EPH 6:19 Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil,
EPH 6:20 sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara, supaya dengannya aku dapat bertutur dengan berani, sebagaimana sepatutnya aku bertutur.
EPH 6:21 Tetapi supaya kamu tahu hal ehwalku dan bagaimana keadaanku, maka Tikhikus, seorang saudara yang dikasihi dan hamba yang beriman kepada Tuhan, akan memberitahu segalanya kepadamu.
EPH 6:22 Aku menghantarnya kepadamu untuk tujuan ini, supaya kamu mengetahui hal ehwal kami dan dia dapat menetapkan hatimu.
EPH 6:23 Salam sejahtera kepada saudara-saudara kita, dan kasih dengan iman daripada Allah Bapa dan Junjungan Isa al-Masih.
EPH 6:24 Kasih kurnia Allah bagi semua yang mengasihi Junjungan kita Isa al-Masih dengan kasih yang kekal.
PHI 1:1 Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Isa al-Masih, Kepada semua orang salih dalam Isa al-Masih di Filipi, serta para pengurus dan penolong jemaah:
PHI 1:2 Kasih kurnia dan sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Junjungan Isa al-Masih.
PHI 1:3 Aku bersyukur kepada Tuhan setiap kali aku teringat akan kamu
PHI 1:4 dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku,
PHI 1:5 kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang.
PHI 1:6 Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Isa al-Masih.
PHI 1:7 Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu telah mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil.
PHI 1:8 Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Isa al-Masih.
PHI 1:9 Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian,
PHI 1:10 supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari al-Masih,
PHI 1:11 serta dipenuhi dengan segala yang dibuahi oleh kebenaran yang datang melalui Isa al-Masih, untuk memuji dan memuliakan Allah.
PHI 1:12 Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil.
PHI 1:13 Dengan demikian, nyatalah di kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana al-Masih.
PHI 1:14 Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.
PHI 1:15 Ada orang yang mengajarkan firman Allah kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik.
PHI 1:16 Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil.
PHI 1:17 Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang al-Masih untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara.
PHI 1:18 Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, al-Masih sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita.
PHI 1:19 Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Isa al-Masih.
PHI 1:20 Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalukan, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga al-Masih akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati.
PHI 1:21 Kerana bagiku, hidup adalah al-Masih, dan mati adalah keuntungan.
PHI 1:22 Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu!
PHI 1:23 Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan al-Masih, itu jauh lebih baik,
PHI 1:24 tetapi kerana kamu, aku merasa perlu terus hidup dari segi jasmani.
PHI 1:25 Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman,
PHI 1:26 supaya rasa sukacitamu dalam Isa al-Masih akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.
PHI 1:27 Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil al-Masih. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil,
PHI 1:28 dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah.
PHI 1:29 Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak al-Masih, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya.
PHI 1:30 Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.
PHI 2:1 Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dengan al-Masih, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, jika ada lemah lembut dan belas kasih,
PHI 2:2 sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati.
PHI 2:3 Janganlah lakukan apapun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya.
PHI 2:4 Tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain.
PHI 2:5 Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam diri Isa al-Masih:
PHI 2:6 Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan,
PHI 2:7 tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba, dan datang dengan rupa manusia.
PHI 2:8 Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian – bahkan kematian di salib!
PHI 2:9 Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama,
PHI 2:10 supaya kepada nama Isa segala-galanya bertelut, segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi,
PHI 2:11 dan semua lidah mengaku bahawa Isa al-Masih adalah Junjungan Yang Esa, untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa.
PHI 2:12 Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu.
PHI 2:13 Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya.
PHI 2:14 Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah,
PHI 2:15 supaya dirimu suci dan tidak bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia,
PHI 2:16 berpegang teguh kepada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari al-Masih kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia.
PHI 2:17 Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua.
PHI 2:18 Demikian jugalah kamu harus bahagia dan bersukacita bersamaku.
PHI 2:19 Dalam Junjungan Isa aku berharap akan dapat mengutus Timotius kepadamu dengan segera, supaya hatiku dihiburkan apabila mengetahui segala hal ehwalmu.
PHI 2:20 Kerana tiada seorang bersamaku yang sama sepertinya dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwalmu.
PHI 2:21 Ini kerana semua orang mementingkan hal sendiri, tetapi bukan mereka yang kepunyaan al-Masih.
PHI 2:22 Tetapi kamu mengetahui kelakuannya yang sudah teruji, seperti anak dengan bapa dia berkhidmat bersamaku dalam penyebaran Injil.
PHI 2:23 Oleh itu aku berharap akan mengutusnya dengan segera, sebaik-baik aku mengetahui bagaimana keadaanku.
PHI 2:24 Tetapi aku yakin dalam Tuhan bahawa aku pun akan datang tidak lama lagi.
PHI 2:25 Namun, aku merasakan perlu menghantar kepadamu Epafroditus, saudaraku, rakan sekerja dan seperjuanganku, pesuruhmu yang telah melayaniku dalam keadaanku yang serba kekurangan.
PHI 2:26 Ini kerana dia merindui kamu semua, dan berasa susah hati disebabkan kamu telah mendengar bahawa dia sakit.
PHI 2:27 Memang benar dia sakit, hampir mati, tetapi Allah berbelas kasihan kepadanya, bukan hanya dia tetapi aku juga, supaya kesedihanku tidak bertimpa-timpa.
PHI 2:28 Oleh itu aku menghantarnya dengan rela dan segera, supaya kamu bersukacita dapat bertemu lagi dengannya, dan supaya aku juga kurang khuatir.
PHI 2:29 Sambutlah dia dalam Tuhan dengan sepenuh sukacita, dan hormatilah orang yang sedemikian.
PHI 2:30 Kerana untuk pekerjaan al-Masih dia hampir mati, mempertaruhkan nyawanya untuk menyempurnakan apa-apa yang kurang dalam layananmu kepadaku.
PHI 3:1 Akhir kata, saudara-saudaraku, bersukacitalah dalam Tuhan! Bagiku menuliskan perkara yang sama kepadamu tidaklah menjemukan, dan ini memastikan keselamatanmu.
PHI 3:2 Awas orang yang bersikap seperti anjing, awas orang yang berbuat jahat, awas tukang sunat yang palsu.
PHI 3:3 Kerana kita ini orang bersunat, yang menyembah Allah dalam Roh, bermegah dalam Isa al-Masih, dan tidak mengharapkan hal lahiriah –
PHI 3:4 walaupun aku sendiri ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah. Jika sesiapa menyangka dia ada alasan untuk mengharapkan hal lahiriah, aku lebih lagi.
PHI 3:5 Aku disunatkan ketika berumur lapan hari, berbangsa Israel, daripada suku Benyamin, seorang Ibrani keturunan orang Ibrani; dalam hal Taurat aku orang Farisi;
PHI 3:6 dari segi kesungguhan, aku telah menganiaya jemaah; tentang kebenaran dalam mentaati Taurat, aku tiada cacat cela.
PHI 3:7 Tetapi segala yang dahulu merupakan untung bagiku, sekarang kukira rugi kerana al-Masih.
PHI 3:8 Bahkan segala perkara kukira rugi berbanding keagungan mengenal Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Esa. Oleh sebab Dialah aku telah kerugian segalanya, yang kukira sampah sarap belaka, supaya aku mendapat untung iaitu al-Masih,
PHI 3:9 dan didapati di dalam-Nya, bukan dengan kebenaran sendiri yang datang dari Taurat, melainkan yang datang melalui iman kepada al-Masih, kebenaran daripada Allah melalui iman.
PHI 3:10 Aku hendak mengenal-Nya dan kuasa kebangkitan-Nya, dan turut merasai penderitaan-Nya, serta menjadi seperti Dia dalam kematian-Nya,
PHI 3:11 supaya pada akhirnya aku dapat mencapai kebangkitan daripada kematian.
PHI 3:12 Bukanlah aku telah mencapainya, atau telah disempurnakan, tetapi aku terus berusaha, semoga aku dapat mengambil sesuatu yang kerananya aku telah diambil oleh Isa al-Masih.
PHI 3:13 Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan,
PHI 3:14 aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Isa al-Masih.
PHI 3:15 Oleh itu semua yang matang antara kita hendaklah berfikiran sedemikian, dan jika berbeza fikiranmu dalam apapun, Allah akan menyatakan hal itu juga kepadamu.
PHI 3:16 Tetapi setakat yang telah kita capai, marilah kita menempuhnya demikian juga.
PHI 3:17 Saudara-saudara, bersatulah menurut teladanku, dan perhatikan mereka yang hidup selaras dengan teladan yang kami berikan.
PHI 3:18 Kerana, seperti yang sudah sering kukatakan kepadamu, dan sekarang kukatakan lagi dengan tangisku, ramai orang hidup sebagai seteru kepada salib al-Masih.
PHI 3:19 Kesudahan mereka adalah kebinasaan, tuhan mereka adalah perut mereka, kemuliaan mereka adalah dalam keaiban mereka. Mereka menumpukan perhatian kepada perkara dunia.
PHI 3:20 Tetapi kewargaan kita adalah di syurga, dari situ kita menanti-nantikan Penyelamat, Junjungan Isa al-Masih.
PHI 3:21 Dia akan mengubah tubuh kita yang hina ini supaya serupa dengan tubuh-Nya yang mulia, melalui kuasa-Nya yang dapat menaklukkan segalanya kepada diri-Nya.
PHI 4:1 Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi!
PHI 4:2 Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan.
PHI 4:3 Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup.
PHI 4:4 Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah!
PHI 4:5 Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran.
PHI 4:6 Jangan bimbangkan apapun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah.
PHI 4:7 Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Isa al-Masih.
PHI 4:8 Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya.
PHI 4:9 Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku – lakukanlah. Maka Allah yang memberikan segala sejahtera akan bersertamu.
PHI 4:10 Tetapi aku amat bersukacita dalam Tuhan kerana akhirnya sekarang prihatinmu terhadapku telah semarak semula. Sebenarnya dahulu pun kamu sudah mengambil berat terhadapku, tetapi tidak ada kesempatan bagimu.
PHI 4:11 Aku tidak bercakap disebabkan kekurangan, kerana dalam keadaan apapun aku telah belajar merasa cukup.
PHI 4:12 Aku tahu bagaimana hidup miskin hina dan bagaimana hidup mewah mulia. Di mana-mana dan dalam apa sahaja, aku telah belajar merasa cukup, baik kenyang atau lapar, senang atau susah.
PHI 4:13 Aku dapat melakukan segalanya melalui al-Masih yang memberiku kekuatan.
PHI 4:14 Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku.
PHI 4:15 Kamu orang Filipi juga tahu bahawa apabila Injil mula dikhabarkan, ketika aku baru keluar dari Makedonia, tiada jemaah yang memberikan layanan kepadaku dalam memberi dan menerima kecuali kamu.
PHI 4:16 Ketika aku di Tesalonika pun kamu telah mengirimkan bantuan untuk menampung kekuranganku.
PHI 4:17 Bukanlah aku hendakkan pemberian itu, tetapi aku hendakkan kebaikan itu menambahkan jumlah perbuatan baik dalam kira-kiramu.
PHI 4:18 Sebenarnya aku ada segalanya, bahkan berlebihan; sudah cukuplah bagiku, setelah menerima kirimanmu dari tangan Epafroditus, bau yang harum dan persembahan yang diterima serta diredai Allah.
PHI 4:19 Allah Tuhanku akan membekalkan segala keperluanmu daripada kekayaan-Nya dalam kemuliaan melalui Isa al-Masih.
PHI 4:20 Segala kemuliaan bagi Bapa kita Allah selama-lamanya. Amin.
PHI 4:21 Sampaikan salamku kepada setiap orang yang salih dalam Isa al-Masih. Saudara-saudara yang bersamaku mengirim salam kepadamu.
PHI 4:22 Semua orang salih di sini mengirim salam kepadamu, terutamanya isi istana Kaisar.
PHI 4:23 Semoga kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertai rohmu. Amin.
COL 1:1 Daripada Paulus, rasul Isa al-Masih dengan kehendak Allah dan daripada saudara kita Timotius,
COL 1:2 Kepada semua orang salih dan saudara-saudara yang beriman kepada al-Masih di Kolose: Kasih kurnia dan sejahtera daripada Bapa kita Allah.
COL 1:3 Kami mengucapkan syukur kepada Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih, dan kami sentiasa mendoakan kamu,
COL 1:4 sejak kami mendengar bahawa kamu beriman kepada Isa al-Masih dan mengasihi semua orang salih –
COL 1:5 kerana harapan yang ada bagimu di syurga, yang telah kamu dengar dalam kata kebenaran, iaitu Injil,
COL 1:6 yang telah datang kepadamu. Di seluruh dunia, Injil ini sedang membuahkan manfaat dan tersebar luas, seperti di kalanganmu sejak kamu mendengar dan mengetahui kasih kurnia Allah dalam segala kebenarannya.
COL 1:7 Kamu telah mendengar juga daripada teman sekerja kami yang dikasihi, Epafras, yang menjadi hamba al-Masih yang beriman bagi kami,
COL 1:8 yang juga telah menceritakan kepada kami kasihmu dalam Roh.
COL 1:9 Oleh itu, sejak kami mendengarnya, kami juga tidak putus-putus mendoakan kamu, dan memohon supaya kamu dipenuhi pengetahuan tentang kehendak-Nya dalam segala kebijaksanaan dan pengertian rohani.
COL 1:10 Kami mendoakan demikian supaya hidupmu layak di hadapan Tuhan, dan kamu mendapat sepenuh keredaan-Nya dalam segala hal: membuahkan manfaat dalam setiap pekerjaan yang baik, bertambah-tambah mengenal Allah,
COL 1:11 diteguhkan dengan segala kekuatan berdasarkan kuasa-Nya yang mulia, yang mendatangkan kesabaran dan kebahagiaan.
COL 1:12 Kita mengucapkan syukur kepada Bapa kita yang telah melayakkan kita menerima sebahagian warisan orang yang salih dalam cahaya.
COL 1:13 Dia telah melepaskan kita daripada kuasa kegelapan dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Putera yang dikasihi-Nya,
COL 1:14 melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa.
COL 1:15 Dia adalah gambar Allah yang tidak kelihatan, Dialah anak sulung antara segala yang diciptakan.
COL 1:16 Kerana melalui Dia segala sesuatu diciptakan: yang wujud di bumi dan di syurga, yang kelihatan dan tidak kelihatan, baik semua roh yang berkuasa mahupun yang memerintah; segala-galanya telah dicipta melalui-Nya dan untuk-Nya.
COL 1:17 Dia terdahulu daripada segalanya, dan setiap yang wujud ada dalam-Nya.
COL 1:18 Dan Dia adalah kepala kepada tubuh iaitu jemaah; Dia adalah permulaan, anak sulung yang bangkit daripada kematian, supaya dalam segalanya Dialah yang terutama.
COL 1:19 Kerana Allah berkenan bahawa seluruh diri-Nya berada dalam Dia.
COL 1:20 Juga melalui Dia, Allah mendamaikan segalanya dengan diri-Nya, baik yang di bumi mahupun di syurga, dengan mengadakan perdamaian melalui pencurahan darah-Nya di atas salib.
COL 1:21 Kamu dahulu tersisih daripada Allah dan merupakan seteru dalam pemikiranmu kerana perbuatanmu yang jahat.
COL 1:22 Akan tetapi, sekarang Allah telah mendamaikan kamu dengan diri-Nya melalui kematian tubuh-Nya, supaya Dia dapat memperhadapkan kamu sebagai orang suci, yang tidak bercela dan tidak bersalah di hadapan-Nya –
COL 1:23 jika kamu tetap beriman, mantap dan berdiri teguh, tidak berganjak daripada harapan Injil yang kamu dengar. Inilah Injil yang diajarkan kepada seluruh ciptaan di bawah langit, dan yang aku, Paulus, menjadi hambanya.
COL 1:24 Aku sekarang bersukacita atas penderitaanku untukmu, dan aku menyempurnakan dengan tubuhku apa yang kurang dalam kesengsaraan al-Masih, untuk tubuh-Nya yang suci, iaitu jemaah.
COL 1:25 Aku sudah dijadikan hamba jemaah, menurut amanat Allah yang telah diberikan kepadaku untuk kamu, bagi menyampaikan firman Allah dengan sepenuhnya –
COL 1:26 iaitu rahsia yang telah tersembunyi daripada segala zaman dan keturunan tetapi sekarang telah dinyatakan kepada orang salih-Nya.
COL 1:27 Kepada mereka Allah berkehendak supaya diberitahu betapa kayanya kemuliaan rahsia itu di kalangan orang bukan bani Israel, iaitu al-Masih dalam kamu, harapan untuk mendapat kemuliaan.
COL 1:28 Al-Masihlah yang kami ajarkan. Kami menasihati dan mengajar setiap orang dengan sepenuh bijaksana, supaya dapat kami hadapkan setiap orang dalam keadaan sempurna dalam Isa al-Masih.
COL 1:29 Untuk tujuan inilah juga aku berusaha, berjuang dengan segala kekuatan kuasa-Nya yang bertindak hebat dalam diriku.
COL 2:1 Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku.
COL 2:2 Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan al-Masih,
COL 2:3 yang dalam-Nya tersembunyi seluruh kebijaksanaan dan pengetahuan.
COL 2:4 Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah.
COL 2:5 Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam al-Masih.
COL 2:6 Oleh sebab kamu telah menerima Isa al-Masih sebagai Junjungan, melangkahlah sewajarnya dalam Dia,
COL 2:7 berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran.
COL 2:8 Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut prinsip-prinsip asas dunia, bukan menurut al-Masih.
COL 2:9 Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani,
COL 2:10 dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa.
COL 2:11 Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan al-Masih.
COL 2:12 Kamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan pengimadan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian.
COL 2:13 Kamu dahulu mati kerana melakukan kesalahan dan menurut kebiasaan dunia yang tidak bersunat. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu.
COL 2:14 Dia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib.
COL 2:15 Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib.
COL 2:16 Oleh itu, janganlah siapapun menyalahkan kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat.
COL 2:17 Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata adalah al-Masih.
COL 2:18 Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang pura-pura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatan-penglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi,
COL 2:19 dan tidak berpegang teguh kepada al-Masih sebagai Kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah.
COL 2:20 Oleh itu, jika kamu telah mati bersama al-Masih daripada prinsip-prinsip asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu:
COL 2:21 ‘Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!’?
COL 2:22 Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia?
COL 2:23 Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.
COL 3:1 Dengan demikian, jika kamu telah dibangkitkan bersama al-Masih, carilah perkara-perkara yang berkaitan dengan syurga, tempat al-Masih duduk di sebelah kanan Allah.
COL 3:2 Tumpukan pemikiranmu kepada hal-hal di syurga, bukan hal-hal di bumi.
COL 3:3 Kerana kamu telah mati, dan kehidupanmu tersembunyi bersama al-Masih dalam Allah.
COL 3:4 Apabila al-Masih yang merupakan kehidupan kamu itu muncul, kamu akan muncul bersama-Nya dalam kemuliaan.
COL 3:5 Oleh itu matikanlah dalam dirimu segala yang bersifat dunia: perzinaan, kecemaran, hawa nafsu, keinginan jahat dan tamak haloba, yang sama dengan menyembah berhala.
COL 3:6 Disebabkan semua inilah kemurkaan Allah akan menimpa anak-anak derhaka.
COL 3:7 Dulu kamu pun berkelakuan demikian, pada masa kamu masih dalam kehidupan itu.
COL 3:8 Tetapi sekarang kamu haruslah menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu.
COL 3:9 Jangan bercakap bohong satu sama lain, kerana kamu sudah melucutkan dirimu yang lama itu dengan segala kelakuannya
COL 3:10 dan mengenakan diri yang baru, yang terus-menerus dibaharui dengan pengetahuan menurut rupa Allah yang menjadikannya.
COL 3:11 Dengan demikian tiada lagi orang Yunani atau orang Yahudi, orang bersunat atau orang tidak bersunat, orang gasar, orang Skit, hamba atau merdeka. Al-Masih segala-galanya dan dalam segala-galanya.
COL 3:12 Sebagai orang pilihan Allah yang suci dan amat dikasihi-Nya kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar.
COL 3:13 Bersabarlah terhadap satu sama lain, maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain. Sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu, demikianlah kamu harus mengampuni sesama sendiri.
COL 3:14 Paling utama amalkanlah kasih, ikatan yang sempurna.
COL 3:15 Biarlah damai al-Masih menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh. Kamu haruslah bersyukur.
COL 3:16 Biarlah sabda al-Masih menetap dalam dirimu dengan segala kekayaan dan kebijaksanaannya. Ajar dan nasihati satu sama lain dengan mazmur, lagu puji-pujian dan nyanyian rohani, serta nyanyikanlah lagu rohani dengan rasa syukur kepada Allah dalam hatimu.
COL 3:17 Segala yang kamu katakan dan lakukan haruslah dengan nama Junjungan Isa sambil mengucap syukur kepada Bapa kita Allah melalui-Nya.
COL 3:18 Isteri, tunduklah kepada suamimu, sebagaimana yang patut dalam Tuhan.
COL 3:19 Suami, kasihilah isterimu dan jangan berlaku keras terhadapnya.
COL 3:20 Anak-anak, turutlah perintah ibu bapamu dalam segala perkara, kerana demikianlah yang diredai Tuhan.
COL 3:21 Bapa, jangan sakitkan hati anak-anakmu, supaya mereka tidak tawar hati.
COL 3:22 Hamba sahaya, dalam segala hal turutlah perintah orang yang menjadi tuanmu dalam perkara dunia; bukan secara bermuka-muka, untuk menyukakan hati manusia, tetapi dengan tulus ikhlas dan takut akan Allah.
COL 3:23 Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia,
COL 3:24 kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Junjungan al-Masih adalah Tuanmu dan kamu hamba-Nya.
COL 3:25 Orang yang melakukan kesalahan akan mendapat balasan yang setimpal, tidak kira siapa dia.
COL 4:1 Kamu sekalian yang menjadi tuan, berilah apa yang adil dan wajar kepada hamba-hambamu, kerana kamu tahu bahawa kamu pun mempunyai Tuan di syurga.
COL 4:2 Bertekunlah dalam doa dan berjaga-jaga serta mengucap syukur.
COL 4:3 Doakan kami juga, semoga Allah membukakan kami suatu pintu bagi firman-Nya, supaya kami bercakap tentang rahsia al-Masih. Oleh sebab rahsia itulah aku terpenjara ini,
COL 4:4 semoga aku dapat menyatakannya dengan jelas, sebagaimana yang sewajarnya.
COL 4:5 Dekatilah orang luar dengan bijaksana, dan pergunakanlah peluang dengan baik.
COL 4:6 Perkataanmu hendaklah sentiasa penuh dengan kasih kurnia, digarami kebijaksanaan, supaya kamu tahu menjawab setiap orang dengan sewajarnya.
COL 4:7 Saudara kita Tikhikus yang dikasihi akan memberitahumu segala hal ehwalku. Dia seorang hamba yang beriman, dan teman sekerjaku dalam pekerjaan Tuhan.
COL 4:8 Aku mengutusnya kepadamu supaya dia mengetahui hal ehwal kamu dan menggalakkan hatimu.
COL 4:9 Bersamanya ialah saudara kita Onesimus yang beriman dan dikasihi, dia orang kamu. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala yang berlaku di sini.
COL 4:10 Aristarkhus, temanku dalam penjara, berkirim salam kepadamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu kepada Barnabas. (Kamu telah mendapat arahan tentangnya; kamu harus menyambut jika dia datang mengunjungimu.)
COL 4:11 Yesua, yang dipanggil Yustus, juga berkirim salam kepadamu. Mereka inilah sahaja orang bersunat yang bekerja bersamaku untuk kerajaan Allah, dan mereka menjadi penghibur hatiku.
COL 4:12 Epafras, saleh seorang daripada kamu, juga berkirim salam kepadamu. Dia hamba Isa al-Masih dan sentiasa mendoakanmu bersungguh-sungguh, supaya kamu berdiri teguh dalam segala yang dikehendaki Allah.
COL 4:13 Aku bersaksi bahawa dia amat berusaha untuk kamu dan orang di Laodikia serta di Hierapolis.
COL 4:14 Lukas, tabib yang dikasihi itu, pun berkirim salam kepadamu, begitu juga Demas.
COL 4:15 Sampaikan salamku kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa serta jemaah di rumahnya itu.
COL 4:16 Apabila surat ini dibacakan di kalanganmu, pastikan bahawa surat ini dibacakan pula dalam jemaah orang Laodikia. Kamu pula bacalah surat dari sana.
COL 4:17 Katakan kepada Arkhipus, ‘Berilah perhatian kepada kerja yang telah kamu terima dalam Tuhan, supaya kamu dapat melaksanakannya.’
COL 4:18 Salam daripadaku, Paulus, dengan tulisan tanganku sendiri. Ingatlah bahawa aku terpenjara. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.
1TH 1:1 Surat ini daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah Bapa dan Junjungan Isa al-Masih: Kasih kurnia dan sejahtera menyertai kamu.
1TH 1:2 Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua dan menyebut nama-namamu dalam doa kami.
1TH 1:3 Kami sentiasa ingat betapa kamu telah bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih dan bersabar dengan sepenuh harapan kepada Junjungan Isa al-Masih kita di hadapan Allah Bapa kita.
1TH 1:4 Saudara-saudara yang dikasihi, kami tahu bahawa Allah telah memilihmu.
1TH 1:5 Kerana Injil yang kami beritakan itu telah sampai kepadamu bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Suci dan dengan keyakinan kukuh. Kamu tahu akan sifat dan kehidupan kami sewaktu bersamamu demi kebaikanmu.
1TH 1:6 Kamu mengikut teladan kami dan teladan Junjungan. Walaupun kamu banyak menanggung kesengsaraan, namun kamu menyambut khabar itu dengan sukacita yang datang daripada Roh Suci.
1TH 1:7 Oleh yang demikian kamu menjadi teladan kepada semua orang beriman di Makedonia dan Akhaya.
1TH 1:8 Firman Tuhan tersebar bukan sahaja di Makedonia dan Akhaya malah di serata tempat. Mereka telah mendengar tentang imanmu kepada Allah, maka kami tidak perlu berkata apa-apa lagi.
1TH 1:9 Mereka sendiri menceritakan bahawa kamu telah menyambut kami dengan baik apabila kami mengunjungimu dulu, bahawa kamu berpaling daripada menyembah berhala untuk menyembah Allah Yang Hidup dan Benar,
1TH 1:10 dan untuk menantikan kedatangan Putera-Nya dari syurga, yang telah dibangkitkan Allah daripada kematian – Isa yang akan menyelamatkan kita daripada kemurkaan yang akan datang.
1TH 2:1 Saudara-saudaraku, kamu tahu bahawa kunjungan kami kepadamu tidak sia-sia.
1TH 2:2 Kamu tahu bahawa kami telah dianiaya dan telah dihina di Filipi. Walaupun kami telah ditentang tetapi dengan pertolongan Allah Tuhan kita, kami beroleh keberanian untuk menyampaikan Injil-Nya kepadamu.
1TH 2:3 Seruan kami kepadamu tidak berasaskan kesilapan atau niat yang jahat mahupun percubaan memperdayamu.
1TH 2:4 Sebaliknya, kami sentiasa berkata-kata sebagai orang yang dipandang layak oleh-Nya untuk memegang amanah menyampaikan Injil itu. Kami tidaklah berusaha hanya sekadar menyukakan hati manusia tetapi semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah yang menguji hati kami.
1TH 2:5 Kamu tahu bahawa kami tidak mendekatimu dengan kata-kata sanjungan atau dengan niat tersembunyi untuk mendapatkan keuntungan daripadamu. Allah menjadi saksi kami.
1TH 2:6 Kami juga tidak berusaha mendapatkan pujian manusia baik daripada kamu mahupun orang lain. Walaupun sebagai rasul al-Masih kami memang boleh menuntut sesuatu daripadamu,
1TH 2:7 namun ketika kami bersamamu, kami bersikap lemah lembut seperti ibu menjaga anak-anaknya.
1TH 2:8 Kami amat mengasihimu sehingga kami bukan sahaja berasa sukacita menyampaikan Injil daripada Allah kepadamu malah sanggup memberikan kehidupan dan nyawa kami untukmu kerana kamu amat dekat dengan kami.
1TH 2:9 Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat betapa kami bertungkus-lumus siang malam agar tidak membebankan kamu ketika kami menyebarkan Injil daripada Allah.
1TH 2:10 Kamu menjadi saksi kami, di samping Allah, bahawa setiap perbuatan kami suci, benar dan tiada cacat celanya di kalangan kamu yang beriman.
1TH 2:11 Kamu tahu betapa kami menasihati, menggalakkan dan menyeru kamu seperti bapa terhadap anak-anaknya,
1TH 2:12 supaya kamu hidup dengan cara yang diredai Allah yang memanggilmu ke dalam kerajaan-Nya serta kemuliaan-Nya.
1TH 2:13 Di samping itu, kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana apabila kami menyampaikan perkhabaran Allah kepadamu, kamu telah mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perutusan daripada manusia tetapi sebagai firman Allah. Memang benar perkhabaran itu daripada Allah yang bekerja dalam dirimu yang beriman.
1TH 2:14 Saudara-saudaraku, kamu telah mengikut teladan jemaah Allah di Yudea yang beriman kepada Isa al-Masih. Kamu dianiaya oleh bangsamu sendiri, sebagaimana jemaah di Yudea dianiaya oleh orang Yahudi.
1TH 2:15 Orang Yahudi telah membunuh Junjungan Isa dan nabi-nabi mereka sendiri serta mengusir kami keluar. Mereka menyakitkan hati Allah, memusuhi semua manusia,
1TH 2:16 serta menghalang kami daripada menyebarkan perkhabaran kepada orang bukan bani Israel supaya mereka beroleh penyelamatan. Demikianlah orang Yahudi berterusan melakukan dosa sehingga sampai hadnya. Kini seluruh kemurkaan Allah menimpa mereka.
1TH 2:17 Saudara-saudara, meskipun kami terpisah jauh daripadamu bagi sementara waktu, namun hati kami tetap dekat denganmu dan amat merinduimu. Kami berusaha sedaya upaya untuk bertemu lagi denganmu.
1TH 2:18 Kami berhasrat mengunjungimu lagi. Aku sendiri telah berusaha berkali-kali untuk melawatmu, tetapi kami telah dihalang oleh Iblis.
1TH 2:19 Siapakah harapan, kesukaan, atau mahkota yang akan kami megahkan kelak di hadapan Junjungan kita Isa ketika Dia datang nanti? Bukankah kamu?
1TH 2:20 Memang kamulah kemuliaan dan kegembiraan kami.
1TH 3:1 Apabila kami tidak tertahan lagi, kami membuat keputusan untuk tinggal seorang diri di Atena.
1TH 3:2 Sementara itu kami mengutus Timotius, saudara kami dan rakan sekerja Allah dalam Injil al-Masih, untuk menetapkan hatimu dan meneguhkan imanmu,
1TH 3:3 supaya tiada seorang pun daripadamu goyah pendirian akibat penganiayaan itu. Kamu tahu bahawa ini sudah ditentukan untuk kita.
1TH 3:4 Sewaktu kami bersamamu dulu, kami telah pun menyatakan bahawa kita akan dianiaya. Kini kamu telah melihat bahawa penganiayaan itu benar-benar berlaku.
1TH 3:5 Aku telah mengutus Timotius kepadamu kerana terlalu ingin mengetahui bagaimana keadaan imanmu. Aku bimbang kalau-kalau si penggoda telah menggodamu sehingga usaha kami sia-sia belaka.
1TH 3:6 Sekarang Timotius telah pulang membawa khabar baik tentang iman dan kasihmu. Dia memberitahu bahawa kamu sentiasa mengenang mesra terhadap kami serta ingin menemui kami sebagaimana kami ingin menemuimu.
1TH 3:7 Oleh itu, saudara-saudara, di tengah-tengah kesusahan dan kesengsaraan, hati kami terhibur oleh berita tentang imanmu.
1TH 3:8 Kerana kini kami benar-benar hidup, memandangkan kamu tetap berdiri teguh di dalam Junjungan.
1TH 3:9 Bagaimanakah kami harus bersyukur kepada Allah atas segala kegembiraan yang kami rasakan kerana kamu di hadapan Allah Tuhan kita?
1TH 3:10 Siang malam kami berdoa sepenuh hati semoga kami dapat menemuimu dan melengkapkan apa yang masih kurang dalam imanmu.
1TH 3:11 Semoga Allah Bapa kita dan Isa, Junjungan kita melorongkan pertemuan kita.
1TH 3:12 Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu.
1TH 3:13 Dengan demikian Tuhan akan memperteguhkan hatimu sehingga kamu menjadi suci, tiada cacat cela di hadapan Allah Bapa kita semasa Junjungan kita Isa datang dengan semua pengikutnya yang salih.
1TH 4:1 Akhirnya, saudara-saudaraku, dengan nama Junjungan Isa, kami meminta dan menyeru kamu sebagaimana yang kamu pelajari daripada kami supaya kamu menegakkan cara hidup yang diredai Allah. Sebagaimana yang telah kamu lakukan sedemikian, lakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh.
1TH 4:2 Kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepadamu melalui Junjungan Isa.
1TH 4:3 Allah menghendakimu hidup suci dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul.
1TH 4:4 Hendaklah kamu masing-masing tahu bagaimana mengawal tubuh badan sendiri dan hidup dalam kesucian dan kehormatan,
1TH 4:5 serta tidak menurut hawa nafsu seperti yang dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah.
1TH 4:6 Janganlah sesiapa berbuat salah kepada saudaranya atau memperdayanya dalam hal ini. Kami telah menyatakan ini kepadamu dulu dan memberikan amaran keras bahawa Tuhan akan menimpakan pembalasan kepada orang yang melakukan kesalahan demikian.
1TH 4:7 Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul tetapi agar hidup dalam kesucian.
1TH 4:8 Oleh yang demikian, sesiapa yang menolak ajaran ini bukanlah sekadar menolak manusia tetapi menolak Allah yang mengurniai kita Roh Suci-Nya.
1TH 4:9 Kami tidak perlu menuliskan betapa kamu harus kasih-mengasihi sebagai saudara. Allah telah mengajarmu supaya kasih-mengasihi.
1TH 4:10 Kamu telah pun mengamalkannya terhadap saudara-saudara seiman di serata Makedonia. Namun, saudara-saudaraku, kami menyerumu supaya lebih kasih-mengasihi lagi.
1TH 4:11 Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dulu.
1TH 4:12 Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut al-Masih dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa.
1TH 4:13 Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kebenaran tentang orang yang telah mati, agar kamu tidak bersedih seperti orang yang tidak mempunyai harapan.
1TH 4:14 Kita percaya bahawa Isa telah mati dan hidup semula. Kita juga percaya bahawa mereka yang beriman kepada Isa dan kemudiannya mati akan dihidupkan semula oleh Allah untuk hidup bersama-Nya.
1TH 4:15 Inilah ajaran Tuhan yang kami sampaikan kepadamu – pada hari kedatangan Junjungan yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah mati.
1TH 4:16 Pada waktu itu, Junjungan akan turun dari syurga dengan satu seruan yang kuat, dengan suara malaikat agung, dan dengan sangkakala Allah. Mereka yang beriman kepada al-Masih dan telah mati akan dibangkitkan terlebih dahulu.
1TH 4:17 Kemudian kita yang masih hidup ketika itu akan diangkat bersama mereka ke awan untuk bertemu dengan Junjungan di angkasa. Lantas kita akan bersama Junjungan selama-lamanya.
1TH 4:18 Oleh itu, hendaklah kamu menyenangkan hati sesama sendiri dengan kata-kata ini.
1TH 5:1 Saudara-saudara, soal tentang masa dan detiknya tidaklah perlu kami tulis kepadamu.
1TH 5:2 Kamu cukup mengetahui hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari.
1TH 5:3 Ketika orang berkata, ‘Segalanya aman tenteram,’ maka ketika itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dalam sekelip mata dan tiada siapapun dapat melepaskan diri. Berlakunya kelak dengan mengejut, seperti rasa sakit perempuan yang akan melahirkan anak.
1TH 5:4 Tetapi, saudara-saudara, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti datangnya pencuri.
1TH 5:5 Kamu semua anak cahaya, anak siang. Kita bukanlah makhluk malam atau kegelapan.
1TH 5:6 Oleh yang demikian, janganlah kita tidur seperti orang lain. Marilah kita berjaga dan berkeadaan siuman.
1TH 5:7 Orang yang tidur, tidur pada waktu malam. Orang yang mabuk, mabuk pada waktu malam.
1TH 5:8 Tetapi kita anak-anak siang, hendaklah sentiasa waras dan waspada. Jadikan iman dan kasih perisai dada kita, serta harapan diselamatkan sebagai topi besi pelindung kepala.
1TH 5:9 Allah memilih kita bukannya untuk menanggung kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Junjungan kita Isa al-Masih.
1TH 5:10 Isa telah mati untuk kita supaya kita dapat hidup bersama-Nya sewaktu Dia datang nanti, sama ada kita terjaga atau tertidur mati pada masa itu.
1TH 5:11 Oleh yang demikian, hendaklah kamu saling menggalakkan dan meneguhkan, sebagaimana yang kamu lakukan sekarang.
1TH 5:12 Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu supaya menghormati orang yang berjerih payah di kalanganmu, membimbing dan menasihatimu dalam kehidupanmu dalam Tuhan.
1TH 5:13 Layanilah mereka dengan sepenuh hormat dan kasihilah mereka kerana segala yang diusahakan oleh mereka. Hiduplah bersama-sama dalam aman damai.
1TH 5:14 Saudara-saudaraku, kami menyeru kamu, berilah amaran kepada orang yang melanggar peraturan, tetapkan hati orang yang takut, tolong orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua.
1TH 5:15 Pastikan jangan sesiapa membalas kejahatan dengan kejahatan. Berusahalah ke arah kebaikan bagi dirimu dan semua orang.
1TH 5:16 Bersukacitalah sentiasa.
1TH 5:17 Berdoalah sepanjang masa.
1TH 5:18 Bersyukurlah dalam segala keadaan kerana inilah yang dikehendaki Allah daripadamu dalam Isa al-Masih.
1TH 5:19 Janganlah padamkan kemarakan api Roh Suci.
1TH 5:20 Janganlah hinakan nubuat.
1TH 5:21 Uji setiap perkara. Berpegang teguh kepada yang baik.
1TH 5:22 Jauhilah segala bentuk kejahatan.
1TH 5:23 Semoga Allah damai sejahtera menyucikanmu dengan sempurna dan memelihara roh, jiwa dan jasadmu, agar tidak ada cacat cela ketika Junjungan kita Isa al-Masih datang kembali.
1TH 5:24 Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia akan melakukannya.
1TH 5:25 Saudara-saudara, doakanlah kami.
1TH 5:26 Bersalamanlah dengan mesra apabila bertemu saudara-saudara seiman.
1TH 5:27 Dengan nama Junjungan aku menyeru kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman.
1TH 5:28 Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu.
2TH 1:1 Daripada Paulus, Silwanus dan Timotius, Kepada jemaah di Tesalonika dalam Allah, Bapa kita dan dalam Isa al-Masih:
2TH 1:2 Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menyertaimu.
2TH 1:3 Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi.
2TH 1:4 Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah-jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.
2TH 1:5 Segala ini bukti nyata penghakiman yang adil daripada Allah, supaya kamu dikira layak memasuki kerajaan Allah, yang untuknya kamu telah menderita.
2TH 1:6 Allah akan melakukan keadilan, membalas dengan kesengsaraan terhadap mereka yang menyebabkan kamu sengsara, dan
2TH 1:7 Dia akan memberikan kelegaan kepadamu yang menderita dan juga kepada kami apabila Junjungan Isa muncul dari syurga diiringi malaikat-malaikat perkasa-Nya dengan api yang menyala.
2TH 1:8 Dia mengenakan hukuman kepada mereka yang tidak mengenal Allah, dan mereka yang tidak taat akan Injil Junjungan kita Isa al-Masih.
2TH 1:9 Mereka akan dihukum dengan kebinasaan selama-lamanya, tersingkir daripada hadirat Tuhan kita dan kemuliaan kuasa-Nya.
2TH 1:10 Semua itu akan berlaku apabila Dia datang, pada hari itu, untuk dimuliakan oleh para pengikut-Nya yang salih dan untuk diberi penghormatan oleh semua orang beriman. Ini termasuk kamu kerana kamu percaya kepada kesaksian kami di antara kamu.
2TH 1:11 Oleh itu kami sentiasa berdoa untukmu supaya Allah Tuhan kita menganggapmu layak dipanggil, dan supaya Dia memenuhi segala hasratmu berbuat kebajikan untuk-Nya serta menyempurnakan segala usaha imanmu dengan kuasa-Nya.
2TH 1:12 Dengan demikian, nama Isa, Junjungan kita, akan kamu muliakan dan kamu akan dimuliakan oleh-Nya, dengan kasih kurnia Allah Tuhan kita dan Junjungan Isa al-Masih.
2TH 2:1 Sekarang, saudara-saudaraku, tentang kedatangan Junjungan kita Isa al-Masih dan betapa kita akan dikumpulkan bersama-Nya kelak, kami menyerumu,
2TH 2:2 janganlah kamu mudah keliru atau goyah jika orang berkata hari Tuhan sudah tiba kerana kononnya kami yang mengatakan begitu melalui nubuat, ajaran atau surat.
2TH 2:3 Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia keleluasaan, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri.
2TH 2:4 Dia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam rumah ibadat Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.
2TH 2:5 Ingatkah kamu ketika aku masih bersamamu dahulu, aku telah memberitahumu segala ini?
2TH 2:6 Kini kamu tahu apa yang menahannya sekarang, iaitu manusia itu akan tampil pada waktu yang telah ditentukan baginya.
2TH 2:7 Kuasa rahsia keleluasaan sudahpun mula bertindak. Hanya yang menahannya sekarang akan terus berbuat demikian sehingga disingkirkan.
2TH 2:8 Kemudian manusia leluasa itu akan ternyata dan Junjungan Isa akan membunuhnya dengan hembusan nafas dari mulut-Nya dan membinasakannya dengan sinar gemilang kedatangan-Nya.
2TH 2:9 Datangnya manusia leluasa itu adalah hasil usaha Iblis, dengan membawa kuasa, alamat dan keajaiban palsu,
2TH 2:10 serta tipu helah durjana untuk menyesatkan orang yang binasa kerana mereka enggan menerima dan mengasihi kebenaran yang dapat menyelamatkan mereka.
2TH 2:11 Oleh yang demikian Allah menghantar pengaruh yang akan menyesatkan mereka sehingga mereka mempercayai apa yang tidak benar.
2TH 2:12 Dengan itu semua yang tidak mempercayai apa yang benar dan gembira melakukan perkara yang salah akan dihukum.
2TH 2:13 Tetapi kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu, saudara-saudara yang dikasihi oleh Tuhan, kerana dari mulanya Allah telah memilih kamu untuk diselamatkan melalui penyucian dengan Roh Suci dan kepercayaan terhadap apa yang benar.
2TH 2:14 Allah memanggil kamu melalui Injil yang kami sampaikan kepadamu, supaya mendapat kemuliaan Junjungan kita Isa al-Masih.
2TH 2:15 Oleh itu, saudara-saudaraku, berdirilah dengan kukuh dan berpegang teguh kepada segala ajaran yang telah kami sampaikan secara lisan atau melalui surat.
2TH 2:16 Semoga Junjungan kita Isa al-Masih sendiri dan Allah Bapa kita, yang mengasihi kita dan menetapkan hati serta meneguhkan harapan kita selama-lamanya dengan kasih kurnia-Nya,
2TH 2:17 memberimu perangsang dan kekuatan untuk berbuat dan mengatakan yang baik.
2TH 3:1 Akhirnya, saudara-saudaraku, doakanlah kami, semoga Firman Tuhan segera tersebar dan dimuliakan, seperti di kalanganmu dahulu.
2TH 3:2 Doakan semoga Allah menyelamatkan kami daripada orang yang mungkar dan durjana, kerana bukan semua orang mempunyai iman.
2TH 3:3 Tetapi Tuhan setia dan akan menguatkan kamu serta melindungimu daripada si durjana.
2TH 3:4 Kami mempunyai keyakinan dalam Tuhan tentang kamu, bahawa kamu sedang dan akan terus mengamalkan apa yang telah kami ajarkan kepadamu.
2TH 3:5 Semoga Tuhan membimbing hatimu ke arah kasih Allah dan ketabahan al-Masih.
2TH 3:6 Tetapi, saudara-saudaraku, kami memerintahkan kamu dengan nama Junjungan Isa al-Masih supaya menjauhkan diri daripada setiap saudara yang hidup malas dan tidak menurut ajaran yang telah kami berikan.
2TH 3:7 Kamu tahu bahawa kamu harus mengikut teladan kami. Kami tidak hidup malas ketika bersamamu dahulu.
2TH 3:8 Kami juga tidak mendapatkan makanan daripada orang lain dengan percuma. Sebaliknya, kami bertungkus-lumus siang malam supaya tidak membebankan sesiapapun antara kamu.
2TH 3:9 Bukan kerana kami tidak berhak menuntut bantuanmu, tetapi untuk menjadi teladan kepadamu.
2TH 3:10 Sewaktu kami bersamamu, kami telah memberikan perintah ini: ‘Sesiapa yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.’
2TH 3:11 Kami mendengar ada di antaramu orang yang hidup malas, langsung tidak bekerja tetapi mencampuri urusan orang.
2TH 3:12 Dengan nama Junjungan Isa al-Masih kami memerintahkan dan menyeru orang begitu supaya bekerja sewajarnya, menjaga hal masing-masing dan mencari nafkah sendiri.
2TH 3:13 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, janganlah jemu berbuat baik.
2TH 3:14 Jika sesiapa tidak mengikut apa yang kami tuliskan di dalam surat ini, perhatikan dia dan jangan bergaul dengannya, supaya dia berasa malu.
2TH 3:15 Namun, jangan pula anggap dia sebagai musuh. Sebaliknya nasihatilah dia sebagai saudaramu.
2TH 3:16 Semoga Tuhan, sumber segala kesejahteraan, sentiasa mengurniaimu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan bersama kamu semua.
2TH 3:17 Salam daripada Paulus, kutulis dengan tanganku sendiri dalam setiap surat, demikianlah kutulis.
2TH 3:18 Semoga kasih kurnia Junjungan kita Isa al-Masih menyertai kamu semua.
1TI 1:1 Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan perintah Allah Penyelamat kita dan Isa al-Masih, harapan kita,
1TI 1:2 Kepada Timotius, anak sejatiku dalam iman: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Junjungan kita menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.
1TI 1:3 Sebagaimana telah kutegaskan kepadamu ketika aku bertolak ke Makedonia, supaya kamu tinggal di Efesus untuk memerintahkan beberapa orang berhenti daripada menyebarkan ajaran sesat,
1TI 1:4 mendengar cerita dongeng dan salasilah yang panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak membawa ke jalan Allah yang berasaskan iman.
1TI 1:5 Tujuan perintah ini ialah kasih yang datang daripada hati yang suci, hati nurani yang bersih dan iman yang ikhlas.
1TI 1:6 Sesetengah mereka telah menyimpang daripadanya dan berpaling kepada perbincangan yang sia-sia.
1TI 1:7 Mereka hendak menjadi guru Hukum, tetapi mereka tidak memahami apa yang mereka katakan dan hal-hal yang mereka tegaskan dengan begitu yakin.
1TI 1:8 Tetapi kita tahu bahawa hukum adalah baik jika digunakan dengan betul.
1TI 1:9 Kita tahu bahawa hukum diadakan bukan untuk orang yang benar, tetapi untuk orang yang hidup berleluasa dan ingkar, untuk orang yang tidak taat akan Allah dan yang berbuat dosa, untuk orang yang tidak salih dan yang mengutamakan dunia, untuk pembunuh ibu bapa sendiri, serta untuk semua pembunuh.
1TI 1:10 Selain itu juga untuk penzina, untuk peliwat, untuk penculik, untuk pendusta, untuk saksi palsu, dan untuk orang yang melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran benar yang
1TI 1:11 berasaskan Injil mulia Allah Yang Terpuji. Injil inilah yang diamanahkan kepadaku untuk disampaikan.
1TI 1:12 Aku bersyukur kepada Isa al-Masih, Junjungan kita, yang telah menguatkanku, kerana Dia menganggapku setia, lalu memberiku tugas itu,
1TI 1:13 walaupun dahulu aku seorang yang kufur, menganiaya dan ganas. Namun, aku dikasihani-Nya kerana aku telah melakukan semuanya itu ketika aku jahil dan tidak beriman.
1TI 1:14 Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih.
1TI 1:15 Pernyataan ini benar dan harus diterima sepenuhnya: Isa al-Masih datang ke dunia untuk menyelamatkan orang yang berdosa – akulah orang yang paling berdosa.
1TI 1:16 Namun demikian, justeru itulah aku dikasihani, supaya Isa al-Masih dapat menunjukkan kesabaran-Nya yang tidak terhingga, sebagai contoh kepada orang yang akan beriman kepada-Nya untuk hidup kekal.
1TI 1:17 Penghormatan dan kemuliaan selama-lamanya kepada Raja yang kekal, yang baqa, yang tidak dapat dilihat, Allah Yang Maha Esa. Amin.
1TI 1:18 Perintah ini kuamanahkan kepadamu, anakku Timotius, menurut apa yang telah dinubuatkan tentangmu, supaya dengan mematuhinya, kamu akan perjuangkan perjuangan mulia ini,
1TI 1:19 sambil berpegang kepada iman dan hati nurani yang bersih. Ada yang membelakanginya lalu memusnahkan iman mereka.
1TI 1:20 Antaranya ialah Himeneus dan Iskandar, yang kuserahkan kepada Iblis supaya mereka insaf daripada mengkufuri Allah.
1TI 2:1 Pertama-tama aku menyeru supaya permohonan, doa, syafaat dan kesyukuran dirafakkan untuk semua manusia –
1TI 2:2 untuk raja-raja dan semua yang memegang kuasa, supaya kita hidup aman tenteram, salih dan penuh hormat.
1TI 2:3 Inilah yang baik dan diredai oleh Allah Penyelamat kita
1TI 2:4 yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan mengetahui apa yang benar.
1TI 2:5 Hanya ada satu Allah dan hanya ada satu pengantara di antara Allah dan manusia iaitu Isa al-Masih.
1TI 2:6 Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menebus dosa seluruh umat manusia yang akan dipersaksikan pada masanya.
1TI 2:7 Itulah sebabnya aku dijadikan pemberita Injil dan rasul – aku berkata benar, aku tidak berdusta – dan sebagai pengajar kepada bangsa asing dalam iman dan kebenaran.
1TI 2:8 Oleh itu aku menyeru kaum lelaki di mana-mana sahaja supaya berdoa serta menadahkan tangan yang suci, tanpa kemarahan atau perselisihan.
1TI 2:9 Aku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal.
1TI 2:10 Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku taat akan Allah.
1TI 2:11 Perempuan hendaklah belajar dengan senyap dan rendah hati.
1TI 2:12 Aku tidak membenarkan perempuan mengajar atau memerintah lelaki; dia harus berdiam diri
1TI 2:13 kerana Adam telah dicipta dahulu, kemudian barulah Hawa.
1TI 2:14 Dan bukan Adam yang terpedaya, tetapi perempuan itu yang terpedaya, lalu melakukan dosa.
1TI 2:15 Walaupun demikian, perempuan akan diselamatkan dengan melahirkan anak jika mereka tetap dalam iman, kasih, dan kesucian dengan penguasaan diri.
1TI 3:1 Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik.
1TI 3:2 Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar.
1TI 3:3 Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang.
1TI 3:4 Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat.
1TI 3:5 (Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?)
1TI 3:6 Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu.
1TI 3:7 Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.
1TI 3:8 Penolong jemaah juga haruslah orang yang dihormati, bukan orang yang lidah bercabang, pemabuk atau mengejar keuntungan secara haram.
1TI 3:9 Mereka hendaklah berpegang teguh kepada rahsia iman dengan hati nurani yang suci.
1TI 3:10 Tetapi mereka harus diuji terlebih dahulu dan jika didapati mereka tidak bercela, barulah dijadikan penolong jemaah.
1TI 3:11 Begitu juga isteri mereka, mestilah orang yang dihormati, tidak memfitnah orang, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dan jujur dalam semua hal.
1TI 3:12 Setiap penolong jemaah haruslah orang yang hanya beristeri satu dan mendidik anak-anak serta mengurus rumah tangga dengan baik.
1TI 3:13 Penolong jemaah yang telah menjalankan tugas dengan baik akan dihormati dan menjadi amat yakin dalam iman dalam Isa al-Masih.
1TI 3:14 Aku menuliskan hal-hal ini kepadamu, sungguhpun aku berharap akan dapat mengunjungimu tidak lama lagi.
1TI 3:15 Namun, kalau-kalau aku tidak dapat datang dengan cepat, aku menuliskannya supaya engkau tahu bagaimana seharusnya berkelakuan dalam rumah Allah, iaitu jemaah Allah Yang Hidup, tiang dan asas kebenaran.
1TI 3:16 Tidak dapat dinafikan betapa mulianya rahsia iman kepada Allah: Ia telah menampakkan diri sebagai manusia, dinyatakan benar oleh Roh Suci, dilihat oleh para malaikat, diajarkan kepada bangsa-bangsa, dipercayai di seluruh dunia, dinaikkan dengan kemuliaan.
1TI 4:1 Roh Suci menyatakan dengan jelas bahawa pada akhir zaman sesetengah orang akan berpaling daripada iman, mengikut roh-roh yang memperdayakan dan ajaran roh-roh iblis.
1TI 4:2 Ajaran ini disampaikan oleh pendusta yang munafik yang hati nuraninya bagaikan diselar besi panas.
1TI 4:3 Mereka melarang orang berkahwin dan menegah orang memakan makanan yang telah dijadikan Allah untuk diterima dengan syukur oleh orang yang beriman dan mengetahui ajaran yang benar.
1TI 4:4 Setiap ciptaan Allah itu baik, dan tiada suatu apapun yang harus ditolak, asalkan diterima dengan syukur,
1TI 4:5 kerana segalanya telah disucikan dengan firman Allah dan doa.
1TI 4:6 Jika engkau mengajarkan hal-hal ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Isa al-Masih yang baik, yang dipupuk dengan kata-kata iman dan ajaran baik yang telah kauikut dengan teliti.
1TI 4:7 Jauhilah cerita-cerita yang bercorak duniawi dan karut, serta latihlah diri menjadi orang yang salih.
1TI 4:8 Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi kesalihan berfaedah dalam segala hal, bagi kehidupan sekarang mahupun kehidupan akan datang.
1TI 4:9 Kata-kata ini benar dan harus diterima sepenuhnya.
1TI 4:10 Kita bekerja keras dan berjuang, kerana kita yakin kepada Allah Yang Hidup, Penyelamat semua manusia, terutamanya mereka yang beriman.
1TI 4:11 Perintahkan dan ajarkanlah semua ini.
1TI 4:12 Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.
1TI 4:13 Hingga aku datang nanti, tumpukan perhatian kepada membaca Kitab Suci di khalayak ramai, menyampaikan firman dan mengajar orang.
1TI 4:14 Jangan lalai dalam menggunakan kurnia yang diberikan kepadamu melalui nubuat ketika sekumpulan tua-tua jemaah meletakkan tangan ke atasmu.
1TI 4:15 Lakukanlah hal-hal ini dengan rajin. Curahkan seluruh keupayaan dirimu kepadanya, supaya kemajuanmu jelas di mata semua orang.
1TI 4:16 Berhematlah tentang dirimu dan ajaranmu. Lakukan terus-menerus, kerana dengan demikian engkau akan menyelamatkan dirimu dan mereka yang mendengar kata-katamu.
1TI 5:1 Jangan marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi nasihati dia seolah-olah dia bapamu. Nasihati lelaki yang lebih muda daripadamu seperti saudara lelakimu,
1TI 5:2 perempuan yang lebih tua seperti ibumu, perempuan yang lebih muda seperti adik perempuanmu, dengan hati yang suci.
1TI 5:3 Hormati balu yang benar-benar hidup sebagai balu.
1TI 5:4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka terlebih dahulu mengamalkan kesalihan di rumah dan membalas budi orang tua mereka, kerana ini baik dan diredai Allah.
1TI 5:5 Seorang balu yang benar-benar hidup sendirian tanpa tempat bergantung hanya berharap kepada Allah dan berdoa siang malam.
1TI 5:6 Sebaliknya, seorang balu yang hidup berpelesiran sudahpun mati walaupun masih hidup.
1TI 5:7 Suruhlah mereka taati segala ini supaya mereka tidak bercela.
1TI 5:8 Sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.
1TI 5:9 Jangan masukkan ke dalam golongan balu mereka yang berusia di bawah enam puluh tahun. Seseorang boleh digolongkan sebagai balu hanya jika dia bersuami cuma sekali,
1TI 5:10 dan terkenal berbuat baik, seperti mengasuh anak-anak, menumpangkan orang luar di rumahnya, melayani orang salih dengan hormat, membantu orang dalam kesusahan, serta sentiasa membuat kebajikan.
1TI 5:11 Jangan masukkan balu muda ke dalam golongan ini kerana apabila nafsu mengatasi tumpuan mereka kepada al-Masih, mereka hendak berkahwin lagi
1TI 5:12 dan dengan demikian dicela kerana mereka telah melanggar ikrar mereka yang pertama.
1TI 5:13 Tambahan pula mereka belajar membuang masa merayau dari rumah ke rumah. Bukan itu sahaja, mereka mengumpat dan menjaga tepi kain orang, mengatakan apa yang tidak patut disebutkan.
1TI 5:14 Oleh yang demikian aku mahu balu muda berkahwin lagi, mendapat anak dan mengurus rumah tangga, supaya musuh tidak dapat memburukkan nama kita;
1TI 5:15 kerana ada yang telah berpaling menurut Iblis.
1TI 5:16 Sekiranya seseorang perempuan yang beriman mempunyai ahli keluarga yang kematian suami, dia harus menjaga mereka dan tidak membebani jemaah dengan tanggungjawab itu. Dengan demikian jemaah dapat membantu balu yang tidak ada tempat untuk bergantung.
1TI 5:17 Tua-tua yang melaksanakan kewajipannya dengan sempurna layak menerima penghormatan tinggi, terutamanya yang giat menyampaikan firman dan ajaran.
1TI 5:18 Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,’ dan ‘Orang yang bekerja layak menerima upah.’
1TI 5:19 Jangan percaya tuduhan terhadap seorang tua-tua jemaah melainkan diperkukuh oleh dua tiga orang saksi.
1TI 5:20 Apabila orang berbuat dosa, tegurlah mereka di hadapan jemaah supaya yang lain gentar melakukan perbuatan demikian.
1TI 5:21 Di hadapan Allah, Isa al-Masih dan malaikat-malaikat yang terpilih, aku mengarahkanmu mematuhi perintah-perintah ini tanpa prasangka atau pilih kasih.
1TI 5:22 Jangan terburu-buru meletakkan tangan ke atas seseorang dan jangan turut serta membuat dosa dengan orang. Jaga kesucianmu.
1TI 5:23 Jangan minum air sahaja, minumlah sedikit air anggur demi perutmu dan badanmu yang kerap sakit.
1TI 5:24 Dosa sesetengah orang ketara lalu dihakimi, manakala dosa sesetengahnya akan ternyata kemudian.
1TI 5:25 Demikian juga, sesetengah perbuatan baik terserlah di mata orang, namun yang tidak kelihatan pun tidaklah tersembunyi.
1TI 6:1 Semua orang yang menjadi hamba harus menganggap tuan mereka wajar mendapat segala penghormatan supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah dan ajaran kita.
1TI 6:2 Apabila tuan mereka seorang beriman, mereka tidak harus memandang ringan kepadanya malah harus melayannya dengan lebih baik lagi, kerana yang mendapat manfaat layanan mereka itu saudara seiman yang dikasihi. Hal-hal ini harus kamu ajarkan dan sampaikan sebagai nasihat.
1TI 6:3 Jika sesiapa mengajarkan sesuatu yang berlainan dan tidak menerima kata-kata yang benar iaitu kata-kata Isa al-Masih, Junjungan kita, dan ajaran yang selaras dengan kesalihan;
1TI 6:4 dia bersifat angkuh dan jahil, asyik bertikai dan berbahas tentang kata-kata, sehingga menimbulkan iri hati, perkelahian, pencacian, syak wasangka yang buruk,
1TI 6:5 pertengkaran sia-sia orang yang berfikiran keji dan tidak mengenal kebenaran. Sangkanya kesalihan itu satu cara mendapat keuntungan.
1TI 6:6 Kesalihan yang disertai dengan rasa puas dengan apa yang dimiliki, itulah keuntungan besar.
1TI 6:7 Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya.
1TI 6:8 Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas.
1TI 6:9 Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan.
1TI 6:10 Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa.
1TI 6:11 Tetapi kamu, wahai hamba Allah, jauhilah segala ini. Amalkanlah kebenaran, kesalihan, iman, kasih, kesabaran dan sikap lemah lembut.
1TI 6:12 Berjuanglah dalam perjuangan iman yang benar. Berpegang teguhlah kepada hidup kekal; kepada hidup itulah kamu telah dipanggil ketika kamu membuat pengakuan yang benar di hadapan saksi yang ramai.
1TI 6:13 Di hadapan Allah yang memberi nyawa kepada segala sesuatu, dan di hadapan Isa al-Masih yang memberi kesaksian akan pengakuan yang benar kepada Pontius Pilatus, aku berpesan kepadamu,
1TI 6:14 taatilah perintah ini dengan sempurna tanpa cela hingga hari Isa al-Masih, Junjungan kita, datang kembali,
1TI 6:15 yang akan ditunjukkan Tuhan pada masa yang ditentukan oleh-Nya sendiri. Dia Pemerintah yang suci dan satu-satunya Raja sekalian raja dan Junjungan sekalian junjungan.
1TI 6:16 Hanya Dia yang hidup selama-lamanya, wujud dalam cahaya yang tidak dapat didekati, tidak pernah dan tidak dapat dilihat manusia. Bagi-Nya penghormatan dan kuasa selama-lamanya. Amin.
1TI 6:17 Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk kita nikmati.
1TI 6:18 Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi.
1TI 6:19 Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.
1TI 6:20 Wahai Timotius, jagalah apa yang telah diamanahkan kepadamu. Jauhi bebelan dan pertengkaran yang bercorak duniawi serta sia-sia, kononnya atas nama ilmu pengetahuan;
1TI 6:21 dengan menyuarakannya sesetengah orang telah sesat dalam hal iman. Semoga Allah memberkatimu.
2TI 1:1 Surat ini daripada Paulus, rasul Isa al-Masih, dengan kehendak Allah, menurut apa yang telah dijanjikan, iaitu hidup di dalam Isa al-Masih,
2TI 1:2 Kepada Timotius, anakku yang dikasihi: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih, Junjungan kita, menganugerahimu kasih kurnia, belas kasihan dan kesejahteraan.
2TI 1:3 Aku bersyukur kepada Allah yang kusembah dengan hati nurani yang suci sebagaimana telah dilakukan oleh nenek moyangku. Aku sentiasa mengingatimu dalam doaku siang malam.
2TI 1:4 Apabila aku mengenang air matamu, aku sungguh ingin bertemu kembali denganmu supaya hatiku dipenuhi rasa bahagia.
2TI 1:5 Aku juga mengingati imanmu yang tulus ikhlas, yang mula tersemai di jiwa nenekmu Lois dan ibumu Eunike, dan aku yakin bertapak dalam dirimu juga.
2TI 1:6 Oleh itu aku mengingatkanmu supaya menggerakkan kurnia Allah yang berada dalam dirimu sejak aku meletakkan tangan ke atasmu.
2TI 1:7 Allah tidak memberi kita semangat ketakutan, tetapi kuasa, kasih dan tatatertib.
2TI 1:8 Oleh yang demikian, janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Junjungan kita atau malu bahawa aku terpenjara kerana-Nya, tetapi bersamalah denganku menanggung penderitaan kerana Injil menurut kuasa Allah.
2TI 1:9 Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci, bukanlah kerana amalan yang telah kita lakukan, tetapi kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepada kita dalam Isa al-Masih sebelum permulaan zaman.
2TI 1:10 Sekarang segala ini telah dinyatakan dengan kedatangan Penyelamat kita Isa al-Masih, yang melenyapkan kematian dan memberikan penerangan tentang hidup kekal selama-lamanya melalui Injil.
2TI 1:11 Aku telah ditugaskan menjadi seorang daripada pemberita Injil, rasul, dan guru.
2TI 1:12 Oleh itu aku menanggung segala penderitaan ini. Namun, aku tidak berasa malu, kerana aku tahu akan Tuhan yang kupercayai dan aku yakin Dia dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya hingga pada Hari itu.
2TI 1:13 Berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Isa al-Masih.
2TI 1:14 Peliharalah perkara baik yang diamanahkan kepadamu dengan Roh Suci yang berada dalam diri kita.
2TI 1:15 Kamu tahu bahawa semua yang di Asia telah berpaling daripadaku, termasuk Figelus dan Hermogenes.
2TI 1:16 Semoga Tuhan menunjukkan kasihan kepada Onesiforus sekeluarga, kerana dia sering menyegarkan tubuh dan jiwaku, serta tidak malu bahawa aku dipenjarakan,
2TI 1:17 malah apabila dia tiba di Rom, dia telah mencariku sedaya upaya sehingga bertemu.
2TI 1:18 Semoga Tuhan mengurniainya supaya mendapat belas kasihan daripada-Nya pada Hari itu! Engkau cukup mengetahui pelbagai cara dia telah menolongku di Efesus.
2TI 2:1 Anakku, kuatkan dirimu dengan kasih kurnia yang ada dalam Isa al-Masih.
2TI 2:2 Segala yang telah kaudengar daripadaku di hadapan saksi yang ramai, sampaikan kepada orang setia yang dapat mengajarkannya kepada orang lain pula.
2TI 2:3 Kamu mestilah ikut serta menanggung kesusahan sebagai seorang askar yang baik di bawah Isa al-Masih.
2TI 2:4 Seseorang yang memegang tugas dalam peperangan tidak akan melibatkan dirinya dengan hal ehwal kehidupan ini, supaya dia mendapat keredaan orang yang mengambilnya sebagai askar.
2TI 2:5 Demikian juga jika seseorang menyertai pertandingan olahraga, dia tidak akan mendapat mahkota kemenangan melainkan dia bertanding mengikut semua peraturan.
2TI 2:6 Petani yang telah bertungkus-lumus, pasti dialah yang pertama menikmati hasil tanaman.
2TI 2:7 Fikirkan kata-kataku kerana Tuhan akan mengurniaimu pengertian dalam semua perkara.
2TI 2:8 Ingatlah bahawa Isa al-Masih, keturunan Daud, telah dibangkitkan daripada kematian menurut Injil yang kusampaikan,
2TI 2:9 yang kerananya aku menderita seolah-olah aku seorang penjahat, sehingga dipenjarakan. Tetapi firman Allah tidak mungkin dipenjarakan.
2TI 2:10 Oleh itu aku menanggung segalanya untuk mereka yang terpilih, supaya mereka juga mendapat penyelamatan dalam Isa al-Masih dengan kemuliaan yang kekal.
2TI 2:11 Kata-kata ini benar: Jika kita mati bersama-Nya, kita juga akan hidup bersama-Nya;
2TI 2:12 jika kita tabah, kita juga akan memerintah bersama-Nya. Jika kita menyangkal-Nya, Dia juga akan menyangkal kita;
2TI 2:13 jika kita tidak setia, Dia tetap setia, Dia tidak boleh menyangkal diri-Nya.
2TI 2:14 Ingatkan mereka tentang segala ini. Pesan kepada mereka di hadapan Allah supaya jangan bertengkar sia-sia tentang kata-kata, sehingga membinasakan orang yang mendengar.
2TI 2:15 Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya.
2TI 2:16 Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran.
2TI 2:17 Kata-kata mereka akan merebak seperti penyakit barah, Himeneus dan Filetus termasuk orang begini.
2TI 2:18 Mereka telah sesat dalam hal kebenaran. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian telah berlalu, dan mereka merosakkan iman sesetengah orang.
2TI 2:19 Namun demikian, asas kukuh Allah tetap bertapak, diteguhkan oleh: ‘Tuhan mengenal siapa milik-Nya,’ dan ‘Setiap orang yang menyebut nama Tuhan hendaklah meninggalkan kejahatan.’
2TI 2:20 Tetapi di dalam rumah yang besar bukan hanya ada bekas daripada emas dan perak tetapi juga daripada kayu dan tanah liat, sesetengahnya untuk kegunaan mulia dan sesetengahnya untuk kegunaan cemar.
2TI 2:21 Dengan demikian, jika seseorang membersihkan dirinya daripada kecemaran, dia akan menjadi bekas untuk kegunaan mulia, berguna kepada Tuannya, dan bersedia untuk melakukan kerja yang baik.
2TI 2:22 Singkirkan hawa nafsu muda. Berusaha mengamalkan kebenaran, iman, kasih dan kesejahteraan bersama mereka yang menyeru Tuhan dengan hati yang suci.
2TI 2:23 Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, sebab kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian.
2TI 2:24 Hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan
2TI 2:25 dengan rendah hati menegur orang yang menentang, semoga Allah membukakan hati mereka untuk bertaubat supaya mereka mengenal kebenaran,
2TI 2:26 lalu mereka menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis yang telah memerangkap mereka untuk melakukan kehendaknya.
2TI 3:1 Ketahuilah, bahawa pada akhir zaman, akan datang suatu masa yang sukar.
2TI 3:2 Manusia akan menjadi pencinta diri, pencinta wang, bercakap besar, berlagak bongkak, mencaci-maki, ingkar terhadap ibu bapa, tidak bersyukur, tidak suci,
2TI 3:3 tidak mengasihi, tidak mengampuni, suka memfitnah, tidak menguasai diri, buas dan pembenci kebaikan,
2TI 3:4 khianat, gopoh, angkuh, serta lebih mencintai keseronokan daripada mengasihi Allah.
2TI 3:5 Mereka menjalankan kewajipan agama tetapi menyangkal kuasanya. Jauhilah orang demikian.
2TI 3:6 Di kalangan mereka ada yang masuk secara rahsia ke rumah orang dan memerangkap perempuan lemah, yang dibebani dosa serta dipengaruhi pelbagai keinginan.
2TI 3:7 Perempuan-perempuan ini sentiasa belajar tetapi tidak menerima kebenaran.
2TI 3:8 Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Nabi Musa dahulu, demikianlah orang ini menentang ajaran yang benar – mereka tidak berfikiran waras dan telah menyeleweng daripada iman sebenar.
2TI 3:9 Namun mereka tidak akan berjaya lebih jauh lagi, kerana semua orang akan menyedari kebodohan mereka, seperti halnya dengan Yanes dan Yambres dahulu.
2TI 3:10 Tetapi kamu telah mengikut dengan penuh hemat segala ajaranku, cara hidupku, tujuan hidupku, imanku, kesabaranku, kasihku dan ketabahanku.
2TI 3:11 Kau telah melihat penganiayaan dan kesengsaraan serta segala yang menimpaku di Antiokhia, Ikonium dan Listra – betapa penganiayaan yang kutanggung. Akan tetapi Tuhan telah menyelamatkanku daripada semuanya itu.
2TI 3:12 Memang, semua orang yang ingin hidup warak dalam Isa al-Masih akan dianiaya.
2TI 3:13 Orang durjana dan penipu akan bertambah durjana, memperdaya serta diperdaya.
2TI 3:14 Tetapi kamu mestilah terus berpegang kepada segala yang telah kamu pelajari dan yakini, kerana kamu tahu daripada siapa segalanya telah kamu pelajari,
2TI 3:15 dan sejak kecil kamu telah mengenal Kitab Suci yang dapat memberimu kebijaksanaan untuk diselamatkan melalui iman dalam Isa al-Masih.
2TI 3:16 Seluruh Kitab Suci diwahyukan oleh Allah, dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan dan mendidik ke arah kebenaran.
2TI 3:17 Dengan demikian, tiap-tiap orang yang mengabdikan diri kepada Allah akan dilengkapi sepenuhnya untuk melakukan segala kerja yang baik.
2TI 4:1 Di hadapan Allah dan Isa al-Masih yang akan menghakimi mereka yang hidup dan yang mati, dan demi kedatangan-Nya serta kerajaan-Nya, aku menyerumu:
2TI 4:2 Beritakanlah firman Allah, bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak. Tunjukkan apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran,
2TI 4:3 kerana akan sampai masanya mereka tidak menerima ajaran yang benar, tetapi mengumpulkan ramai guru mengikut kehendak mereka sendiri untuk mengajar apa yang ingin didengar oleh mereka.
2TI 4:4 Mereka enggan mendengar ajaran yang benar tetapi menumpukan perhatian kepada cerita-cerita dongeng.
2TI 4:5 Tetapi kamu, waspadalah dalam segala hal, tabah menanggung kesusahan, jalankan kerja menyebarkan Injil dan laksanakan tugas yang diamanahkan kepadamu dengan sempurna.
2TI 4:6 Tentang diriku, kini aku laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya aku pergi menghadap-Nya.
2TI 4:7 Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman.
2TI 4:8 Sekarang mahkota kebenaran telah disediakan untukku. Junjungan, hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepadaku pada Hari itu, bukan kepadaku sahaja, tetapi kepada semua orang yang telah menunggu kedatangan-Nya dengan penuh rindu.
2TI 4:9 Berusahalah untuk mengunjungiku dengan segera.
2TI 4:10 Demas telah meninggalkanku kerana dia mencintai dunia ini, dia telah bertolak ke Tesalonika. Kreskes pula telah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia.
2TI 4:11 Hanya Lukas ada bersamaku. Dapatkan Markus dan bawa dia denganmu, kerana dia dapat membantuku dalam tugasku.
2TI 4:12 Aku telah mengutus Tikhikus ke Efesus.
2TI 4:13 Apabila kamu datang kelak, bawa baju kot yang kutinggalkan dengan Karpus di Troas dan juga kitab-kitabku, terutamanya gulungan kulit.
2TI 4:14 Iskandar, tukang tembaga itu, telah banyak melakukan kejahatan terhadapku. Semoga Tuhan membalasnya setimpal dengan perbuatannya.
2TI 4:15 Kamu juga harus waspada dengannya, kerana dia menentang keras perkhabaran kita.
2TI 4:16 Ketika aku membela diriku pada kali pertama, tiada seorang pun berdiri di sisiku, semuanya meninggalkanku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka kerananya.
2TI 4:17 Tetapi Tuhan menyertaiku dan memberiku kekuatan, supaya berita baik dapat disebarkan sepenuhnya melaluiku, dan semua orang bukan bani Israel dapat mendengarnya. Juga aku telah diselamatkan daripada mulut singa.
2TI 4:18 Tuhan akan menyelamatkanku daripada segala perbuatan durjana dan memeliharaku untuk kerajaan-Nya di syurga. Segala kemuliaan bagi-Nya untuk selama-lamanya. Amin.
2TI 4:19 Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, serta keluarga Onesiforus.
2TI 4:20 Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus kutinggalkan di Miletus kerana dia sakit.
2TI 4:21 Cubalah sedaya upayamu untuk datang sebelum musim dingin. Ebulus berkirim salam kepadamu, demikian juga Pudens, Linus, Klaudia dan semua saudara seiman yang lain.
2TI 4:22 Semoga Tuhan bersama rohmu. Semoga kasih kurnia Allah menyertaimu.
TIT 1:1 Surat ini daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Isa al-Masih demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan.
TIT 1:2 Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman.
TIT 1:3 Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita,
TIT 1:4 Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama: Semoga Allah Bapa dan Isa al-Masih Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
TIT 1:5 Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti telah kuarahkan kepadamu.
TIT 1:6 Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar.
TIT 1:7 Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus.
TIT 1:8 Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan berdisiplin.
TIT 1:9 Dia mesti berpegang teguh kepada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.
TIT 1:10 Ini kerana adanya ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan.
TIT 1:11 Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram.
TIT 1:12 Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, ‘Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.’
TIT 1:13 Kata-kata itu memang benar. Oleh itu tegurlah dengan tegas sesiapa yang menyebarkan ajaran palsu, supaya mereka tetap berpegang teguh kepada ajaran yang benar,
TIT 1:14 dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar.
TIT 1:15 Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar.
TIT 1:16 Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.
TIT 2:1 Kamu harus sampaikan ajaran yang selaras dengan asas kepercayaan yang benar.
TIT 2:2 Nasihatilah lelaki yang lebih tua supaya hidup sederhana, dihormati orang, mempunyai penguasaan diri, kuat beriman, penuh dengan kasih dan kegigihan.
TIT 2:3 Seterusnya, nasihatilah perempuan yang lebih tua supaya berkelakuan santun: jangan menjadi pengumpat, peminum, sebaliknya ajarkanlah kebaikan.
TIT 2:4 Dengan demikian dapatlah perempuan yang lebih tua membimbing perempuan muda supaya mengasihi suami dan anak-anak,
TIT 2:5 pandai mengawal diri, suci, menjadi suri rumah yang rajin, baik hati, dan taat kepada suami. Maka tidaklah dapat orang mencela perkhabaran Allah.
TIT 2:6 Orang lelaki muda pula, nasihatilah mereka supaya mengawal diri.
TIT 2:7 Jadilah teladan kepada mereka dengan melakukan perbuatan yang baik. Ajarlah mereka dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh
TIT 2:8 dan gunakan kata-kata bijak yang tidak dapat dicela, supaya musuhmu malu kerana gagal mencari kesalahan kita.
TIT 2:9 Ajarkan hamba supaya mematuhi perintah dan menyenangkan hati tuannya dalam semua perkara. Hamba tidak harus membantah
TIT 2:10 atau mencuri, sebaliknya hendaklah sentiasa amanah sehingga dalam segala hal mereka menjadikan ajaran tentang Allah Penyelamat kita itu menarik.
TIT 2:11 Hal ini demikian kerana kasih kurnia Allah yang menyelamatkan seluruh umat manusia telah nyata.
TIT 2:12 Kita diajar supaya hidup warak, tidak memburu hal-hal duniawi, mengawal diri, ikhlas, dan menghormati Allah pada zaman ini.
TIT 2:13 Kita sedang menunggu Hari yang kita harap-harapkan, ketika kemuliaan Allah Maha Besar dan Isa al-Masih Penyelamat kita akan terserlah.
TIT 2:14 Al-Masih telah mengorbankan nyawa-Nya untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, menjadikan kita milik-Nya serta mendorong kita berbuat baik.
TIT 2:15 Ajarkanlah segala ini, dan galakkan serta tegur semua yang mendengar kata-katamu dengan penuh wibawa. Jangan biarkan sesiapa memandang rendah kepadamu.
TIT 3:1 Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan.
TIT 3:2 Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang.
TIT 3:3 Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci.
TIT 3:4 Tetapi Allah Penyelamat kita menunjukkan kasih dan ihsan-Nya kepada kita.
TIT 3:5 Allah menyelamatkan kita, bukan kerana kebenaran yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Suci.
TIT 3:6 Allah melimpahkan Roh Suci itu kepada kita melalui Isa al-Masih, Penyelamat kita.
TIT 3:7 Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah dibenarkan untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan.
TIT 3:8 Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang.
TIT 3:9 Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur-galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah.
TIT 3:10 Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan di kalangan jemaah. Nasihati dia sekurang-kurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia.
TIT 3:11 Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.
TIT 3:12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, cubalah seberapa daya mengunjungiku di Nikopolis, kerana aku telah membuat keputusan akan berada di situ pada musim dingin.
TIT 3:13 Berikanlah sepenuh bantuan kepada peguam yang bernama Zenas dan kepada Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan tanpa kekurangan apa-apa.
TIT 3:14 Jemaah kita haruslah mengamalkan kebajikan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian bergunalah hidup mereka.
TIT 3:15 Semua saudara yang bersamaku berkirim salam kepada sahabat-sahabat seiman. Semoga kasih kurnia Allah menyertai kamu semua.
PHM 1:1 Surat ini daripada Paulus yang dipenjarakan kerana Isa al-Masih, juga daripada saudara kita Timotius, Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat kami dan teman sekerja,
PHM 1:2 kepada saudari kita Apfia, dan kepada rakan seperjuangan kita Arkhipus, serta kepada jemaah yang berhimpun di rumahmu:
PHM 1:3 Semoga Allah Bapa kita dan Junjungan Isa al-Masih menganugerahimu kasih kurnia dan sejahtera.
PHM 1:4 Saudaraku Filemon, aku sentiasa bersyukur kepada Allah Tuhanku dan menyebut namamu di dalam doaku,
PHM 1:5 kerana aku mendengar tentang imanmu kepada Junjungan Isa, dan kasihmu terhadap semua orang salih.
PHM 1:6 Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang beriman kepada al-Masih akan membawa pengertian yang lebih mendalam tentang segala yang baik yang kita miliki di dalam al-Masih.
PHM 1:7 Saudaraku Filemon, kasihmu sungguh menggembirakan dan menggalakkan hatiku kerana kamu telah menyegarkan hati sekalian orang salih.
PHM 1:8 Oleh itu, aku boleh memerintahkan kamu dengan nama al-Masih membuat sesuatu yang harus dilakukan.
PHM 1:9 Namun demikian, kerana aku mengasihimu, aku hanya meminta kamu membuatnya. Aku Paulus, seorang yang sudah tua dan kini dipenjarakan kerana Isa al-Masih.
PHM 1:10 Aku membuat permintaan ini bagi pihak Onesimus, yang telah kujadikan sebagai anakku sendiri sewaktu aku di dalam penjara.
PHM 1:11 Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu malah juga bagiku.
PHM 1:12 Aku menghantar kembali kepadamu Onesimus yang amat kukasihi.
PHM 1:13 Sebenarnya aku mahu dia tetap bersamaku di sini untuk membantuku bagi pihakmu sepanjang tempoh aku dipenjarakan kerana menyebarkan Injil.
PHM 1:14 Namun demikian, aku tidak mahu memaksa kamu membantuku. Biarlah bantuan itu kamu hulurkan dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu berbuat apa-apa tanpa persetujuanmu.
PHM 1:15 Mungkin Onesimus meninggalkanmu untuk sementara waktu supaya kamu mendapatnya kembali untuk selama-lamanya.
PHM 1:16 Kini dia bukan hanya seorang hamba, dia saudara yang dikasihi. Dia amat bererti bagiku, dan tentulah lebih bererti bagimu, baik sebagai hamba mahupun sebagai saudara dalam Tuhan.
PHM 1:17 Oleh itu, sekirannya kamu menganggapku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambutku.
PHM 1:18 Jika ada kesalahannya atau hutangnya kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya.
PHM 1:19 Lihatlah, kata-kata berikut kuterakan dengan tulisanku sendiri: Aku, Paulus, akan menyelesaikan segala-galanya – Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku dirimu sendiri.
PHM 1:20 Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakan hatiku sebagai saudara seiman dalam al-Masih.
PHM 1:21 Ketika menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan menunaikan permintaanku. Malah sebenarnya aku tahu bahawa lebih daripada yang kuminta itu pun akan kamu lakukan.
PHM 1:22 Sementara itu, sediakanlah bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua semoga aku kembali kepadamu.
PHM 1:23 Epafras, yang dipenjarakan bersamaku kerana Isa al-Masih, berkirim salam kepadamu.
PHM 1:24 Juga sambutlah salam rakan-rakan seperjuanganku: Markus, Aristarkhus, Demas dan Lukas.
PHM 1:25 Semoga kasih kurnia Junjungan Isa al-Masih menyertai roh kamu semua.
HEB 1:1 Allah telah berfirman pada pelbagai zaman dan dengan aneka cara kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi.
HEB 1:2 Tetapi pada akhir zaman ini Allah telah berfirman kepada kita melalui Putera-Nya, yang telah dijadikan-Nya pewaris kepada segala-galanya; melalui Putera-Nya itu Allah telah mencipta alam semesta.
HEB 1:3 Putera itu adalah sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya. Setelah menghapuskan dosa kita melalui diri-Nya sendiri, Dia duduk di sebelah kanan Yang Maha Mulia yang bertakhta di syurga.
HEB 1:4 Diri-Nya jauh lebih baik daripada para malaikat; kerana melalui warisan, Dia telah mendapat nama yang lebih cemerlang daripada mereka.
HEB 1:5 Kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu’? Dan juga: ‘Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Putera-Ku’?
HEB 1:6 Selanjutnya, apabila Allah menghantar semula putera sulung-Nya ke dalam dunia maka firman-Nya: ‘Hendaklah semua malaikat Allah menyembah-Nya.’
HEB 1:7 Dan tentang para malaikat, Dia berfirman: ‘Dia menjadikan para malaikat-Nya angin, dan para pelayan-Nya nyala api.’
HEB 1:8 Tetapi tentang Putera itu Dia berfirman: ‘Takhta-Mu, Ya Allah, kekal selama-lamanya; Tongkat kebenaran adalah tongkat kerajaan-Mu.
HEB 1:9 Engkau telah mencintai kebenaran dan membenci kejahatan; Oleh itu Allah, Tuhan-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.’
HEB 1:10 Dan: ‘Pada mulanya, Engkau, Tuhanku, yang meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu;
HEB 1:11 Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; dan segalanya akan menjadi usang seperti pakaian;
HEB 1:12 Seperti jubah, Engkau akan menggulungnya; seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. Tetapi Engkau tetap sama, dan zaman-Mu tidak berkesudahan.’
HEB 1:13 Tetapi kepada malaikat manakah Allah pernah berfirman: ‘Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menjadikan musuh-Mu alas kaki-Mu’?
HEB 1:14 Bukankah semua malaikat itu roh-roh pelayan yang dihantar untuk melayani manusia yang akan mewarisi penyelamatan?
HEB 2:1 Oleh itu kita harus memberikan perhatian yang lebih kepada segala yang telah kita dengar; takut kita hanyut kelak.
HEB 2:2 Jika firman yang disampaikan melalui para malaikat terbukti benar, dan setiap pelanggaran serta keingkaran mendapat balasan yang setimpal,
HEB 2:3 bagaimana kita mungkin terlepas daripadanya jika kita mengabaikan penyelamatan yang sedemikian besar? Pada mulanya Junjungan telah menyebutkannya, dan kemudian orang yang telah mendengar kata-kata-Nya itu turut mengesahkannya.
HEB 2:4 Allah juga telah memberikan kesaksian dengan pelbagai tanda, keajaiban, mukjizat dan pengurniaan Roh Suci, menurut kehendak-Nya sendiri.
HEB 2:5 Dia tidak meletakkan dunia akan datang, yang kita perkatakan ini, di bawah takluk para malaikat.
HEB 2:6 Tetapi terdapat seorang yang telah memberikan kesaksian di suatu tempat: ‘Apakah manusia maka Engkau memberinya perhatian, Apakah putera insan maka Engkau memeliharanya?
HEB 2:7 Engkau telah menjadikannya rendah sedikit daripada malaikat; Engkau memahkotakannya dengan kemuliaan dan kehormatan,
HEB 2:8 dan Engkau meletakkan segala-galanya tertakluk di bawah kakinya.’ Dengan meletakkan segalanya tertakluk di bawahnya, Allah tidak meninggalkan suatu apapun di luar kekuasaannya. Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala-galanya diletakkan di bawahnya.
HEB 2:9 Tetapi kita melihat Isa, yang dijadikan rendah sedikit daripada malaikat, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan kerana telah menderita kematian; supaya Dia, dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia.
HEB 2:10 Allah, yang segala-galanya adalah untuk-Nya dan segala-galanya dicipta oleh-Nya, membawa beberapa ramai anak-Nya kepada kemuliaan. Memang wajarlah Dia menjadikan Perintis penyelamatan mereka itu sempurna melalui penderitaan.
HEB 2:11 Dia yang menyucikan dan mereka yang disucikan adalah satu asalnya. Oleh itu Dia tidak malu memanggil mereka saudara-saudara.
HEB 2:12 Dia berkata: ‘Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; Di tengah-tengah perhimpunan Aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu.’
HEB 2:13 Dan juga: ‘Aku akan meletakkan kepercayaan-Ku kepada-Nya.’ Seterusnya: ‘Lihatlah, ini Aku dan anak-anak yang telah diberikan Allah kepada-Ku.’
HEB 2:14 Oleh sebab anak-anak itu telah mendapat tubuh manusia, Dia sendiri pun mendapatkannya, supaya melalui kematian Dia dapat memusnahkan Iblis yang berkuasa ke atas kematian,
HEB 2:15 dan membebaskan mereka yang tertakluk kepada belenggunya seumur hidup kerana takut mati.
HEB 2:16 Dia tidak memberi pertolongan kepada para malaikat, tetapi Dia memberi pertolongan kepada keturunan Ibrahim.
HEB 2:17 Dengan demikian, dalam segala hal Dia harus disamakan dengan saudara-saudaranya, supaya Dia menjadi Imam Besar yang pengasihan dan setia dalam segala yang berkenaan dengan Allah, untuk menebus dosa umat manusia.
HEB 2:18 Oleh sebab Dia Sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.
HEB 3:1 Dengan demikian, saudara-saudara yang salih, yang juga mendapat panggilan dari syurga, fikirkanlah Rasul dan Imam Besar yang kita akui, Isa al-Masih.
HEB 3:2 Dia setia kepada Allah yang melantik-Nya, sebagaimana Musa juga setia dalam seisi rumah Allah.
HEB 3:3 Dia dikira layak menerima lebih banyak kemuliaan daripada Musa, sebagaimana pembina rumah lebih dimuliakan daripada rumah.
HEB 3:4 Setiap rumah ada pembinanya, tetapi Dia yang membina segalanya ialah Allah.
HEB 3:5 Musa memang setia dalam seisi rumah Allah sebagai seorang khadam, untuk kesaksian terhadap segala perkara yang akan dikatakan kemudian.
HEB 3:6 Tetapi al-Masih setia sebagai Putera ke atas seisi rumah-Nya. Kita adalah isi rumah-Nya jika kita berpegang teguh kepada kebahagiaan harapan ini hingga ke akhir.
HEB 3:7 Oleh itu, sebagaimana dikatakan oleh Roh Suci: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya,
HEB 3:8 Jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu pada masa cubaan di gurun,
HEB 3:9 Ketika nenek moyangmu menguji-Ku, menduga-Ku, meskipun mereka telah melihat perbuatan-Ku selama empat puluh tahun.
HEB 3:10 Oleh itu Aku murka dengan keturunan itu, dan Aku berkata, “Hati mereka sentiasa sesat, dan mereka tidak mengenal jalan-Ku.”
HEB 3:11 Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, “Mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku.” ’
HEB 3:12 Awaslah, saudara-saudara, jangan ada dalam diri seorang pun daripadamu hati durjana yang tidak beriman lalu berpaling daripada Allah yang hidup.
HEB 3:13 Nasihatilah sesama sendiri setiap hari, selagi masih disebut ‘Hari ini’, jangan sampai sesiapa di antaramu menjadi keras hatinya akibat dosa yang memperdaya.
HEB 3:14 Kita telah menyertai al-Masih jika kita berpegang kepada keyakinan kita yang kita miliki dari mula-mulanya hingga ke akhir,
HEB 3:15 seperti mana dikatakan: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, Jangan keraskan hatimu seperti dalam pemberontakan dahulu.’
HEB 3:16 Siapa yang memberontak setelah mendengar? Bukankah semua mereka yang telah dibawa oleh Musa keluar dari Mesir?
HEB 3:17 Dengan siapakah Allah murka empat puluh tahun? Bukankah dengan mereka yang melakukan dosa, yang bergelimpangan mayatnya di gurun?
HEB 3:18 Dan kepada siapakah Allah bersumpah bahawa mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Nya? Tak lain tak bukan kepada mereka yang tidak taat.
HEB 3:19 Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa mereka tidak dapat masuk kerana tidak beriman.
HEB 4:1 Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam rehat-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak.
HEB 4:2 Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang mereka dengar tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman.
HEB 4:3 Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam rehat itu, sebagaimana firman-Nya: ‘Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, “mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku,” ’ walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan.
HEB 4:4 Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: ‘Dan Allah berehat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya.’;
HEB 4:5 Kemudian di sini pula: ‘Mereka tidak akan masuk ke dalam rehat-Ku.’
HEB 4:6 Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam rehat itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar,
HEB 4:7 maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, ‘Hari ini,’ setelah sekian lama, iaitu: ‘Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu.’
HEB 4:8 Andainya Yusak telah memberikan rehat kepada mereka, Dia tidak akan berfirman kemudian tentang satu hari lain.
HEB 4:9 Oleh itu masih ada rehat-Sabat untuk umat Allah.
HEB 4:10 Orang yang telah masuk ke dalam rehat-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya.
HEB 4:11 Jadi, marilah kita berusaha untuk masuk ke dalam rehat itu, supaya jangan ada yang gagal kerana mengikut contoh mereka yang ingkar.
HEB 4:12 Firman Allah hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat di hati.
HEB 4:13 Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.
HEB 4:14 Memandangkan kita mempunyai Imam Besar yang agung yang telah melalui syurga, iaitu Isa Putera Allah, marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan kita.
HEB 4:15 Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa.
HEB 4:16 Oleh itu marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.
HEB 5:1 Setiap Imam Besar dari kalangan manusia dilantik untuk mewakili manusia dalam hal-hal yang berkaitan dengan Allah, supaya dia dapat memberikan persembahan dan korban untuk menghapuskan dosa.
HEB 5:2 Dia dapat merasakan belas kasih kepada mereka yang jahil dan sesat, kerana dia sendiri menghadapi kelemahan diri.
HEB 5:3 Oleh itu dia dikehendaki membuat persembahan bukan sahaja untuk menghapuskan dosa orang lain tetapi juga dosanya sendiri.
HEB 5:4 Tiada sesiapapun mengambil kehormatan ini untuk dirinya, kecuali yang dipanggil oleh Allah, seperti Harun.
HEB 5:5 Demikian jugalah al-Masih, Dia tidak memuliakan diri-Nya untuk menjadi Imam Besar, tetapi Allah telah berfirman kepada-Nya: ‘Engkau Putera-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.’
HEB 5:6 Allah berfirman juga di suatu tempat lagi: ‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’
HEB 5:7 Ketika Isa hidup sebagai manusia, Dia telah berdoa dan merayu dengan ratap tangis kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan-Nya daripada kematian, dan Allah telah mendengar-Nya kerana kewarakan-Nya.
HEB 5:8 Sungguhpun Dia Putera, namun Dia belajar taat melalui segala penderitaan-Nya.
HEB 5:9 Setelah Dia dijadikan sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua yang mematuhi-Nya.
HEB 5:10 Dia dipanggil Allah menjadi Imam Besar menurut peraturan Melkisedek.
HEB 5:11 Tentang ini kami ada banyak untuk dikatakan, namun sukar hendak diterangkan, kerana pendengaranmu sudah tumpul.
HEB 5:12 Sepatutnya sekarang ini kamu sudah boleh mengajar, tetapi kamu masih perlu diajar lagi tentang prinsip-prinsip asas firman Allah; seolah-olah kamu masih perlu minum susu sahaja, belum boleh menerima makanan pepejal.
HEB 5:13 Orang yang hanya boleh minum susu itu tidak mahir dalam ajaran tentang kebenaran, kerana dia masih bayi.
HEB 5:14 Makanan pepejal adalah untuk orang yang sudah dewasa, iaitu mereka yang telah membiasakan akalnya membezakan baik dengan buruk.
HEB 6:1 Dengan demikian, marilah kita tinggalkan perbincangan asas ajaran tentang al-Masih dan terus beralih kepada kesempurnaan. Usahlah kita letakkan asas lagi, iaitu taubat daripada perbuatan yang sia-sia, dan beriman kepada Allah,
HEB 6:2 ajaran tentang pengimadan, meletakkan tangan, kebangkitan daripada kematian, dan hukuman yang kekal.
HEB 6:3 Kita akan melakukannya jika Allah mengizinkan.
HEB 6:4 Bagi orang yang pernah mengenal kebenaran, telah mengecap pemberian dari syurga, telah menerima Roh Suci,
HEB 6:5 telah merasakan kebaikan firman Allah dan kuasa zaman akan datang,
HEB 6:6 jika mereka berpaling, mustahil untuk membawa mereka bertaubat semula, kerana mereka telah menyalib Putera Allah sekali lagi bagi diri mereka serta memalukan-Nya di mata orang ramai.
HEB 6:7 Tanah yang menghirup air hujan yang sering menimpanya, lalu mengeluarkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang, adalah diberkati Allah.
HEB 6:8 Sebaliknya, jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka ia disingkirkan serta hampir dilaknat, dan akhirnya dibakar.
HEB 6:9 Namun, saudara-saudara yang dikasihi, sungguhpun kami berkata demikian, kami yakin bahawa perkara yang lebih baik akan berlaku kepadamu, ya, perkara yang mengiringi penyelamatan.
HEB 6:10 Allah sentiasa adil dan tidak akan melupakan kerja serta usaha kasih yang telah kamu tunjukkan untuk nama-Nya, iaitu kamu telah dan sedang melayan orang yang salih.
HEB 6:11 Kami mahu setiap seorang daripada kamu menunjukkan kesungguhan usaha yang sama untuk memberi sepenuh keyakinan terhadap harapan kita hingga ke akhir.
HEB 6:12 Janganlah kamu menjadi lembap; teladani mereka yang mewarisi janji itu melalui iman dan kesabaran.
HEB 6:13 Apabila Allah berjanji kepada Ibrahim, Dia tidak mungkin bersumpah dengan nama lain kerana tiada siapa lebih besar daripada-Nya, lalu Dia bersumpah dengan nama-Nya sendiri.
HEB 6:14 Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku akan memberkatimu dan memperbanyak keturunanmu.’
HEB 6:15 Dengan demikian, setelah Ibrahim menanggung kesusahan dengan sabar, dia mendapat janji itu.
HEB 6:16 Orang memang bersumpah dengan nama yang lebih besar daripada dirinya, dan suatu sumpah sebagai pengesahan mengakhiri segala pertikaian.
HEB 6:17 Dengan demikian Allah, untuk menunjukkan kepada waris-waris janji itu bahawa kehendak-Nya tidak mungkin berubah, telah mengesahkannya dengan sumpah.
HEB 6:18 Dengan adanya dua perkara yang tidak mungkin berubah, sedangkan Allah tidak mungkin berdusta, maka hati kita tetap. Kita telah lari mencari tempat berlindung untuk berpegang kepada harapan yang dihulurkan kepada kita.
HEB 6:19 Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh kepada jiwa kita, tetap dan teguh, dan masuk sampai ke balik tirai.
HEB 6:20 Di situ perintis jalan telah masuk untuk kita, iaitu Isa, yang telah menjadi Imam Besar untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.
HEB 7:1 Melkisedek ini raja Salem, Imam Allah Yang Maha Tinggi. Dia telah bertemu dengan Ibrahim yang dalam perjalanan pulang setelah menewaskan raja-raja, lalu dia memberkati Ibrahim.
HEB 7:2 Kepadanya juga Ibrahim menyerahkan sepersepuluh daripada segala yang dibawanya. Melkisedek mula-mula diterjemahkan sebagai ‘raja kebenaran’; kemudian dia dipanggil juga sebagai ‘raja Salem’, bermakna ‘raja kesejahteraan’.
HEB 7:3 Dia tidak mempunyai ibu bapa, tidak bersalasilah, tiada tarikh permulaan atau penghabisan hayatnya, tetapi seperti Putera Allah, dia terus-menerus menjadi Imam.
HEB 7:4 Sekarang fikirkanlah betapa besarnya orang itu, hinggakan moyang kita Ibrahim menyerahkan kepadanya sepersepuluh daripada rampasan perangnya.
HEB 7:5 Keturunan Lewi yang menerima jawatan imam dikehendaki memungut sepersepuluh hasil daripada kaum itu menurut hukum Taurat, iaitu daripada saudara-saudara mereka, walaupun dari benih Ibrahim.
HEB 7:6 Tetapi seorang yang bukan daripada keturunan mereka telah menerima bayaran sepersepuluh hasil daripada Ibrahim dan telah memberkati Ibrahim, penerima janji-janji Allah.
HEB 7:7 Tidak boleh dinafikan bahawa orang yang lebih rendah kedudukannya diberkati oleh orang yang lebih tinggi.
HEB 7:8 Di sini manusia biasa yang akan mati menerima bayaran sepersepuluh hasil, tetapi di sana dia menerimanya, yang telah disaksikan hidup berterusan.
HEB 7:9 Lewi yang menerima bayaran sepersepuluh hasil pun boleh dikatakan membayarnya melalui Ibrahim,
HEB 7:10 kerana dia masih dalam sulbi moyangnya apabila Melkisedek berjumpa dengannya.
HEB 7:11 Oleh itu, kalaulah kesempurnaan didapati daripada keimaman Lewi (kerana di bawahnya orang menerima hukum Taurat), mengapakah perlu bangkitnya seorang imam lagi menurut peraturan Melkisedek, yang tidak dipanggil menurut peraturan Harun?
HEB 7:12 Dengan berubahnya keimaman, semestinya berubahlah hukum Taurat.
HEB 7:13 Dia yang disebut berkaitan segala ini datang dari suku lain, yang belum pernah menghasilkan imam untuk bertugas di tempat persembahan.
HEB 7:14 Jelas bahawa Junjungan kita keturunan Yahuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam.
HEB 7:15 Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi,
HEB 7:16 yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan.
HEB 7:17 Tentang Dia, telah disaksikan: ‘Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.’
HEB 7:18 Perintah dahulu telah terbatal disebabkan lemah dan tidak berguna,
HEB 7:19 kerana hukum Taurat tidak menyempurnakan apa-apapun. Di samping itu, telah dibawa masuk harapan yang lebih baik, yang membawa kita lebih dekat kepada Allah.
HEB 7:20 Dan semua ini tidaklah dilakukan tanpa sumpah.
HEB 7:21 Imam-imam lain telah diangkat tanpa sumpah, tetapi Isa al-Masih telah menjadi imam dengan sumpah daripada Allah yang berfirman kepada-Nya: ‘Tuhan telah bersumpah dan tidak akan mengubah ketetapan: “Engkau menjadi imam selama-lamanya.” ’
HEB 7:22 Dengan demikian Isa menjadi jaminan yang lebih kukuh bagi perjanjian yang lebih baik.
HEB 7:23 Ramai yang telah menjadi imam itu, kerana kematian menghalang mereka daripada berterusan dalam jawatan.
HEB 7:24 Tetapi Isa, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah.
HEB 7:25 Oleh itu Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka.
HEB 7:26 Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga;
HEB 7:27 Imam Besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya.
HEB 7:28 Hukum melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi Imam Besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Putera yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya.
HEB 8:1 Pokok segala yang kami katakan: Kita mempunyai Imam Besar yang duduk di sebelah kanan takhta Allah Yang Maha Mulia di syurga.
HEB 8:2 Dia adalah Penjawat di tempat suci dan di khemah sejati, yang dibina oleh Tuhan, bukan oleh manusia.
HEB 8:3 Setiap Imam Besar dilantik untuk membuat persembahan dan korban. Oleh itu Imam Besar ini juga mesti ada sesuatu untuk dipersembahkan.
HEB 8:4 Sekiranya Dia di bumi, Dia tidaklah menjadi imam, kerana ada imam yang membuat persembahan menurut hukum Taurat.
HEB 8:5 Imam di dunia mempersembahkan salinan dan bayang-bayang perkara di syurga. Demikianlah arahan kepada Musa tatkala dia bersedia untuk membuat khemah itu. Allah berfirman, ‘Pastikan bahawa engkau membuat segalanya menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.’
HEB 8:6 Tetapi sekarang Dia telah mendapat jawatan yang lebih tinggi, kerana Dia juga menjadi Pengantara bagi perjanjian yang lebih baik, yang diasaskan pada janji-janji yang lebih baik.
HEB 8:7 Andainya perjanjian pertama itu tidak bercela, tidaklah perlu diadakan perjanjian lagi.
HEB 8:8 Tetapi Allah telah mendapati mereka bercela lalu berfirman: ‘Lihatlah, akan tiba harinya, firman Tuhan, apabila Aku membuat perjanjian baru dengan kaum Israel dan dengan kaum Yahuda –
HEB 8:9 tidak seperti perjanjian yang telah Kubuat dengan nenek moyang mereka ketika Aku membimbing tangan mereka untuk membawa mereka keluar dari tanah Mesir, kerana mereka tidak terus-menerus memegang janji-Ku, lalu Aku berpaling daripada mereka; demikian firman Tuhan.
HEB 8:10 Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan kaum Israel selepas zaman itu, Tuhan berfirman. Aku akan meletakkan hukum-Ku di dalam fikiran mereka dan menuliskannya di hati mereka; Aku akan menjadi Allah Tuhan mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku.
HEB 8:11 Tiada seorang pun daripada mereka akan mengajar jirannya atau saudaranya dengan berkata, “Kenalilah Tuhan,” kerana semuanya akan mengenal-Ku, daripada yang terkecil kepada yang terbesar antara mereka.
HEB 8:12 Aku akan berbelas kasihan terhadap kesalahan mereka; dan dosa serta perbuatan mereka yang ingkar tidak akan Kuingati lagi.’
HEB 8:13 Dengan menyebut ‘perjanjian baru,’ Tuhan telah menjadikan perjanjian pertama dahulu tidak terpakai lagi. Sesuatu yang kian tidak terpakai dan usang sudah sampai masanya untuk lenyap.
HEB 9:1 Perjanjian pertama itu mempunyai rukun-rukun ibadat dan tempat suci di bumi.
HEB 9:2 Suatu khemah telah disediakan: di bahagian pertama terdapat kaki pelita, meja dan persembahan roti; ini disebut Tempat Suci.
HEB 9:3 Di balik tirai kedua ialah bahagian khemah yang disebut Tempat Paling Suci.
HEB 9:4 Di situ terdapat perasapan emas, peti perjanjian yang bersalut emas, bokor emas yang berisi manna, tongkat Harun yang bertunas, dan loh-loh perjanjian.
HEB 9:5 Di atasnya kerub kemuliaan yang menaungi tempat belas kasihan. Perkara ini tidak dapat diperkatakan satu persatu sekarang.
HEB 9:6 Setelah segala ini disediakan, imam-imam sentiasa masuk ke bahagian pertama khemah itu dan menyempurnakan ibadatnya.
HEB 9:7 Tetapi ke bahagian kedua, Imam Besar masuk seorang diri setahun sekali sahaja, tidak boleh tidak membawa darah, yang dipersembahkannya untuk dosa dirinya dan untuk dosa orang lain yang dilakukan akibat kejahilan.
HEB 9:8 Roh Suci membayangkan bahawa jalan masuk ke Tempat Paling Suci tidak dinyatakan selagi bahagian pertama khemah masih tetap berdiri.
HEB 9:9 Ini melambangkan zaman ini, ketika persembahan dan korban dipersembahkan tetapi tidak menjadikan orang yang menjalankan ibadat itu sempurna dari segi hati nurani.
HEB 9:10 Semua ini hanya soal makanan dan minuman, pelbagai upacara pembasuhan iaitu peraturan-peraturan lahiriah yang dikenakan hingga sampai masa pembaharuan.
HEB 9:11 Tetapi al-Masih datang sebagai Imam Besar bagi perkara-perkara baik yang akan datang, dengan khemah yang lebih besar dan lebih sempurna, yang bukan buatan manusia, bukan sebahagian daripada kejadian alam.
HEB 9:12 Bukan dengan darah kambing atau anak lembu, tetapi dengan darah-Nya sendiri, Dia masuk ke dalam Tempat Paling Suci, sekali untuk selama-lamanya, kerana Dia mendapatkan penebusan yang kekal.
HEB 9:13 Jika darah lembu jantan dan kambing serta abu lembu betina muda yang direnjiskan ke atas orang bernajis dapat menyucikan badannya,
HEB 9:14 lebih-lebih lagilah darah al-Masih, yang melalui Roh kekal mempersembahkan diri-Nya tanpa cela kepada Allah, menyucikan hati nuranimu daripada perbuatan yang mati supaya kamu dapat beribadat kepada Allah yang hidup.
HEB 9:15 Itulah sebabnya Dia menjadi Pengantara bagi perjanjian baru, melalui kematian, untuk menebus kesalahan di bawah perjanjian pertama, supaya mereka yang dipanggil dapat menerima janji warisan yang kekal.
HEB 9:16 Apabila ada wasiat, semestinya ada kematian pewasiat.
HEB 9:17 Wasiat berkuatkuasa selepas kematian seseorang, kerana langsung tiada kuasanya selagi pewasiat masih hidup.
HEB 9:18 Perjanjian pertama itupun tidaklah ditentukan tanpa darah.
HEB 9:19 Setelah Musa menyampaikan segala ajaran kepada semua orang menurut hukum Taurat, dia mengambil darah anak lembu dan kambing, dengan air, bulu domba berwarna merah dan zufa, lalu merenjiskan ke atas kitab serta semua orang,
HEB 9:20 sambil berkata: ‘Ini darah bagi perjanjian yang telah diperintahkan Allah kepadamu.’
HEB 9:21 Selepas itu dia merenjiskan juga darah ke atas khemah dan segala alat ibadat.
HEB 9:22 Menurut hukum Taurat hampir segala-galanya disucikan dengan darah, dan tanpa darah tidak ada pengampunan.
HEB 9:23 Salinan segala yang terdapat di syurga perlu disucikan dengan ini, tetapi segala yang di syurga itu sendiri memerlukan korban yang lebih mulia.
HEB 9:24 Al-Masih tidaklah masuk ke tempat suci yang dibuat dengan tangan manusia, iaitu salinan tempat suci sejati. Dia telah masuk ke syurga itu sendiri, ke hadirat Allah untuk kita.
HEB 9:25 Dia tidak perlu mempersembahkan diri-Nya berkali-kali, sebagaimana Imam Besar masuk ke Tempat Paling Suci setiap tahun dengan membawa darah makhluk lain.
HEB 9:26 Andainya demikian, terpaksalah Dia menderita berkali-kali sejak permulaan dunia. Dia tampil sekali sahaja, sewaktu akhir zaman ini, untuk menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya.
HEB 9:27 Sebagaimana manusia ditentukan mati sekali, dan selepas itu dihakimkan,
HEB 9:28 begitulah al-Masih telah dikorbankan sekali untuk dosa semua manusia. Kepada mereka yang menunggu-Nya dengan penuh pengharapan, Dia akan datang bagi kali kedua, bukan untuk menanggung dosa tetapi untuk menyelamatkan mereka.
HEB 10:1 Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun.
HEB 10:2 Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah merasa diri mereka berdosa lagi.
HEB 10:3 Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun.
HEB 10:4 Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa.
HEB 10:5 Oleh itu, apabila al-Masih datang ke dunia, Dia berkata: ‘Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku.
HEB 10:6 Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.
HEB 10:7 Kemudian Aku berkata, “Lihatlah, Aku telah datang – dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku – untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.” ’
HEB 10:8 Mula-mula Dia berkata, ‘Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai,’ (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum).
HEB 10:9 Kemudian Dia berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua.
HEB 10:10 Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Isa al-Masih, sekali untuk selama-lamanya.
HEB 10:11 Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bila-bila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa.
HEB 10:12 Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah.
HEB 10:13 Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya.
HEB 10:14 Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan.
HEB 10:15 Roh Suci juga memberi kesaksian kepada kita; kerana setelah Dia berfirman,
HEB 10:16 ‘Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan mereka selepas zaman itu, Tuhan berfirman: Aku akan meletakkan hukum-Ku di hati mereka dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.’
HEB 10:17 Dia menambah, ‘Dosa dan perbuatan mereka yang ingkar tidak akan Kuingati lagi.’
HEB 10:18 Setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa.
HEB 10:19 Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Paling Suci melalui darah Isa,
HEB 10:20 melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya.
HEB 10:21 Kita mempunyai Imam Besar di atas isi rumah Allah.
HEB 10:22 Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih.
HEB 10:23 Marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia.
HEB 10:24 Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik.
HEB 10:25 Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir.
HEB 10:26 Jika kita sengaja melakukan dosa setelah kita mengenal kebenaran, tiada lagi korban untuk menebus dosa.
HEB 10:27 Yang ada hanyalah ketakutan menanti hukuman, dan api kemurkaan yang akan memusnahkan semua yang ingkar.
HEB 10:28 Sesiapa yang menolak hukum Musa mati tanpa belas kasihan atas kesaksian dua atau tiga orang saksi.
HEB 10:29 Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Putera Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia?
HEB 10:30 Kita mengenal Dia yang berfirman, ‘Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan membalas, demikian firman Tuhan.’ Dan juga, ‘Tuhan akan menghakimi umat-Nya.’
HEB 10:31 Sungguh dahsyatnya jatuh ke tangan Allah yang hidup.
HEB 10:32 Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat;
HEB 10:33 sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian.
HEB 10:34 Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga.
HEB 10:35 Oleh itu janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberi ganjaran besar.
HEB 10:36 Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu:
HEB 10:37 ‘Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah.
HEB 10:38 Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.’
HEB 10:39 Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.
HEB 11:1 Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat.
HEB 11:2 Melaluinya nenek moyang kita telah dipuji.
HEB 11:3 Melalui iman kita mengerti bahawa seluruh alam dibentuk dengan firman Allah. Nyatalah bahawa segala yang dilihat sekarang tidak dicipta daripada benda yang dapat dilihat.
HEB 11:4 Melalui iman Habil telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh Kabil. Dengan demikian dia mendapat kesaksian bahawa dia seorang yang warak; Allah memberikan kesaksian tentang persembahannya. Oleh itu setelah Habil mati pun, dia masih berkata-kata.
HEB 11:5 Melalui iman Henokh (juga disebut Idris) dipindahkan supaya dia tidak mengalami kematian, ‘dan tidak dapat dijumpai kerana Allah telah memindahkannya’; kerana sebelum dia dipindahkan, dia telah menerima kesaksian, bahawa dia mendapat keredaan Allah.
HEB 11:6 Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya. Sesiapa yang datang kepada Allah mestilah beriman bahawa Allah wujud dan Dia memberikan ganjaran kepada mereka yang berusaha untuk mencari-Nya.
HEB 11:7 Melalui iman, Nuh yang diberi amaran tentang perkara-perkara yang belum dilihat telah bertindak dengan rasa takut akan Allah. Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya. Dengan demikian dia telah mempersalahkan dunia dan mewarisi kebenaran menurut iman.
HEB 11:8 Melalui iman Ibrahim taat apabila disuruh pergi ke tempat yang kemudian diterimanya sebagai warisannya. Dia pergi tanpa mengetahui ke mana dia pergi.
HEB 11:9 Melalui iman dia tinggal di tanah yang dijanjikan itu seperti di negara asing. Dia tinggal di khemah-khemah dengan Ishak dan Yakub, yang bersamanya menjadi waris janji itu;
HEB 11:10 kerana dia menanti kota yang berasas, yang dibina dan dicipta oleh Allah.
HEB 11:11 Melalui iman Sarah juga mendapat kekuatan untuk mengandungkan benih lalu melahirkan anak padahal usianya sudah lanjut; kerana dia yakin bahawa Dia yang berjanji itu setia.
HEB 11:12 Oleh itu daripada seorang lelaki yang dianggap hampir dengan maut, telah lahir keturunan sebanyak bintang-bintang di langit, tidak terkira bilangannya seperti butir-butir pasir di pantai.
HEB 11:13 Semua mereka ini telah mati dalam iman. Mereka belum menerima janji itu. Akan tetapi setelah melihatnya pada masa yang akan datang mereka yakin terhadapnya, dan mengakui mereka orang asing dan musafir di muka bumi ini.
HEB 11:14 Mereka yang berkata demikian menyatakan terang-terang bahawa mereka sedang mencari tempat untuk dijadikan tanah air mereka.
HEB 11:15 Sesungguhnya, kalaulah mereka teringat akan negara yang telah mereka tinggalkan dahulu, mereka akan mendapat peluang untuk kembali.
HEB 11:16 Tetapi kini mereka inginkan tempat yang lebih baik, iaitu di syurga. Oleh itu Allah tidak malu disebut sebagai Allah Tuhan mereka; Dia telah menyediakan sebuah kota untuk mereka.
HEB 11:17 Melalui iman Ibrahim, apabila diuji, menyerahkan Ishak sebagai korban; dia yang menerima janji-janji itu mempersembahkan anak lelakinya yang tunggal.
HEB 11:18 Tentang anak itu telah disebutkan, ‘Dalam Ishak, benih keturunanmu akan dipanggil.’
HEB 11:19 Allah berkuasa membangkitkannya daripada kematian; dan secara perlambangan dia telah menerimanya semula daripada kematian.
HEB 11:20 Melalui iman, Ishak telah memberkati Yakub dan Esau berkenaan perkara-perkara yang akan datang.
HEB 11:21 Melalui iman, Yakub ketika akan mati telah memberkati setiap orang anak lelaki Yusuf lalu menyembah sambil bersandar kepada kepala tongkatnya.
HEB 11:22 Melalui iman Yusuf, apabila hampir sampai ajalnya, telah menyebut pemergian kaum Israel dan berpesan tentang tulang-tulangnya.
HEB 11:23 Melalui iman Musa telah disembunyikan oleh ibu bapanya selama tiga bulan sejak lahirnya, kerana mereka melihat bahawa dia seorang bayi yang berparas istimewa dan mereka tidak takut akan perintah raja.
HEB 11:24 Melalui iman Musa, setelah besar, tidak mahu disebut anak kepada puteri Firaun.
HEB 11:25 Dia memilih untuk menanggung kesusahan bersama umat Allah daripada menikmati nikmat sementara melakukan dosa.
HEB 11:26 Baginya celaan yang ditanggung al-Masih lebih berharga daripada seluruh kekayaan Mesir; kerana dia berharap mendapat ganjaran.
HEB 11:27 Melalui iman dia meninggalkan Mesir, tanpa takut akan kemurkaan raja; kerana hatinya teguh seolah-olah dia melihat Allah yang tidak mungkin dilihat.
HEB 11:28 Melalui iman dia mengadakan perayaan Paska dan perenjisan darah, supaya pembunuh anak-anak sulung tidak menyentuh anak-anak sulung Israel.
HEB 11:29 Melalui iman mereka menyeberangi Laut Merah seolah-olah berjalan di darat, sedangkan orang Mesir yang cuba berbuat demikian mati lemas.
HEB 11:30 Melalui iman tembok Yerikho telah roboh setelah dikepung tujuh hari.
HEB 11:31 Melalui iman wanita pelacur yang bernama Rahab tidak musnah bersama orang yang tidak beriman, setelah dia menyambut para perisik dalam sejahtera.
HEB 11:32 Apa lagi yang harus kukatakan? Aku kesuntukan waktu untuk bercerita tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel dan nabi-nabi,
HEB 11:33 yang melalui iman telah menaklukkan kerajaan, menegakkan keadilan, mendapatkan janji, menutup mulut singa,
HEB 11:34 memadamkan api yang ganas, terselamat daripada mata pedang, menjadi berani dalam peperangan, mengusir tentera-tentera asing.
HEB 11:35 Ada wanita yang mendapat kembali ahli keluarganya yang telah mati dan dihidupkan semula. Ada orang yang diseksa tetapi tidak mahu diselamatkan kerana mereka ingin mendapat kebangkitan yang lebih baik.
HEB 11:36 Setengah-setengahnya pula menghadapi dugaan dengan diejek, dipukul, dirantai dan dipenjarakan.
HEB 11:37 Mereka direjam dengan batu, digergaji putus dua; mereka digoda, dan dibunuh dengan pedang. Mereka merayau-rayau berpakaian kulit kambing dalam keadaan papa, menderita, terseksa –
HEB 11:38 dunia tidak layak menampung mereka. Mereka merayau-rayau di gurun dan gunung-ganang, di gua-gua serta lubang-lubang di tanah.
HEB 11:39 Semua mereka ini, sungguhpun mendapat kesaksian yang baik melalui iman, tidak menerima janji itu.
HEB 11:40 Allah telah menyediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita, supaya mereka tidak disempurnakan tanpa kita.
HEB 12:1 Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita, dan berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita.
HEB 12:2 Kita harus meneladani Isa, yang mewujudkan dan menyempurnakan iman kita. Untuk kebahagiaan yang ditentukan bagi-Nya, Dia telah menanggung seksa salib, tanpa menghiraukan pengaiban itu, dan sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah.
HEB 12:3 Fikirkanlah Dia yang tabah menderita apabila orang berdosa memusuhi-Nya, supaya kamu tidak berasa bosan dan tawar hati.
HEB 12:4 Dalam perjuangan melawan dosa, kamu belum lagi bertahan sehingga tumpah darahmu.
HEB 12:5 Kamu telah melupakan nasihat yang disampaikan kepadamu seperti kepada anak-anak sendiri: ‘Anakku, jangan pandang ringan pengajaran Tuhan, dan jangan tawar hati apabila Dia menegurmu,
HEB 12:6 Kerana Tuhan mengajari orang yang dikasihi-Nya, Dan menghukum sesiapa yang diterima-Nya sebagai anak.’
HEB 12:7 Jika kamu tahan diajari, Allah memperlakukan kamu sebagai anak; kerana anak manakah yang tidak diajari oleh bapanya?
HEB 12:8 Tetapi jika kamu tidak diajari, sedangkan orang lain menerima pengajaran, maka kamu adalah anak haram dan bukanlah anak yang sah.
HEB 12:9 Tambahan pula, kita mempunyai bapa di dunia yang mengajari kita dan kita menghormati mereka. Tidakkah sepatutnya kita lebih rela lagi tunduk kepada Bapa segala roh untuk hidup?
HEB 12:10 Bapa kita di dunia mengajari kita beberapa waktu menurut apa yang terasa baik bagi mereka. Tetapi Tuhan mengajari kita untuk menguntungkan kita, supaya kita mendapat sebahagian kesucian-Nya.
HEB 12:11 Tiada pengajaran yang menggembirakan ketika dilaksanakan; semuanya terasa teruk. Tetapi kemudiannya pengajaran itu menghasilkan kebenaran yang mendatangkan rasa aman kepada mereka yang telah dididik dengannya.
HEB 12:12 Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lesu dan lutut yang lemah,
HEB 12:13 serta buatkan lorong yang lurus bagi kakimu, supaya yang tempang tidak terpelecok tetapi sembuh.
HEB 12:14 Berusahalah mendapatkan perdamaian dengan semua orang, serta kesucian; tanpanya tiada sesiapapun dapat melihat Tuhan.
HEB 12:15 Awaslah, jangan sampai ada sesiapapun yang tidak mendapat kasih kurnia Allah. Jangan biarkan kepahitan menimbulkan kekacauan, sehingga ramai yang tercemar.
HEB 12:16 Janganlah ada di antaramu penzina atau pencinta dunia seperti Esau, yang menjualkan hak warisannya untuk sesuap makanan.
HEB 12:17 Kamu ketahui bahawa kemudiannya, apabila dia hendak mewarisi berkat itu, dia ditolak, kerana dia tidak mendapat ruang untuk bertaubat, walaupun dia memohon berkat itu dengan air mata.
HEB 12:18 Kamu tidak pernah datang ke gunung yang dapat disentuh dan menyala dengan api, ke dalam gelap-gelita serta ribut taufan,
HEB 12:19 dan bunyi sangkakala bersama suara yang menuturkan kata-kata, sehingga sekalian yang mendengarnya merayu supaya kata-kata itu tidak dilafazkan lagi kepada mereka.
HEB 12:20 Mereka tidak tahan mendengar apa yang diperintahkan: ‘Jika seekor binatang pun menyentuh gunung ini, ia mesti direjam dengan batu atau ditembusi dengan anak panah.’
HEB 12:21 Penglihatan itu begitu menggerunkan sehingga Musa berkata, ‘Aku amat ketakutan dan menggeletar.’
HEB 12:22 Tetapi kamu telah datang ke Gunung Sion dan ke kota Allah yang hidup, Baitulmaqdis yang di syurga, kepada para malaikat yang tidak terkira banyaknya,
HEB 12:23 ke perhimpunan besar dan ke jemaah anak sulung yang didaftarkan di syurga, kepada Allah Hakim ke atas sekaliannya, kepada roh-roh orang benar yang telah disempurnakan,
HEB 12:24 kepada Isa, Pengantara perjanjian baru, dan kepada darah renjisan yang menuturkan perkara-perkara yang lebih baik daripada darah Habil.
HEB 12:25 Jangan sekali-kali kamu ingkar kepada Dia yang bersuara. Mereka yang ingkar kepada Dia yang bersuara di bumi tidak dapat lari daripada kebinasaan. Lebih-lebih lagi dengan kita, jika kita berpaling daripada Dia yang bersuara dari syurga.
HEB 12:26 Dulu suara-Nya menggoncang bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji: ‘Sekali lagi Aku menggoncang bukan sahaja bumi tetapi juga syurga.’
HEB 12:27 ‘Sekali lagi’ ini bermaksud bahawa segala yang digoncang, iaitu semua benda buatan akan dihapuskan manakala segala yang tidak dapat digoncang akan tetap wujud.
HEB 12:28 Oleh sebab kita menerima sebuah kerajaan yang tidak dapat digoncang, biarlah kita mendapat kasih kurnia, kerana dengannya kita dapat menjalankan kehendak Allah secara yang diredai-Nya, dengan penuh hormat dan takut akan Dia.
HEB 12:29 Allah Tuhan kita adalah api yang menghanguskan.
HEB 13:1 Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan.
HEB 13:2 Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya.
HEB 13:3 Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu.
HEB 13:4 Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya.
HEB 13:5 Jaga kelakuanmu supaya jangan mengejar kebendaan; kamu harus merasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia Sendiri telah berjanji: ‘Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.’
HEB 13:6 Oleh itu kita boleh berkata dengan bersemangat: ‘Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut. Apa yang dapat dilakukan manusia kepadaku?’
HEB 13:7 Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka.
HEB 13:8 Isa al-Masih tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya.
HEB 13:9 Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya.
HEB 13:10 Kita mempunyai tempat persembahan di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya.
HEB 13:11 Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan.
HEB 13:12 Oleh itu Isa juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang.
HEB 13:13 Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya.
HEB 13:14 Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang.
HEB 13:15 Oleh itu melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya.
HEB 13:16 Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah.
HEB 13:17 Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu.
HEB 13:18 Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal.
HEB 13:19 Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan ke kalanganmu lebih awal.
HEB 13:20 Semoga Allah Tuhan kesejahteraan yang telah membangkitkan Junjungan kita Isa daripada kematian, Gembala yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal,
HEB 13:21 melengkapkan kamu dalam setiap kerja kebajikan untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Isa al-Masih, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin.
HEB 13:22 Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu.
HEB 13:23 Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera.
HEB 13:24 Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan saudara seiman kita. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu.
HEB 13:25 Semoga kasih kurnia Allah menyertai kamu sekalian. Amin.
JAM 1:1 Surat ini daripada Yakobus, hamba Allah dan hamba Junjungan Isa al-Masih. Kepada dua belas suku yang tersebar di serata dunia: Sambutlah salam daripadaku.
JAM 1:2 Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan,
JAM 1:3 kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan.
JAM 1:4 Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun.
JAM 1:5 Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka.
JAM 1:6 Akan tetapi, apabila dia memohon, dia mesti beriman sepenuhnya. Dia tidak harus ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu itu umpama ombak laut yang terumbang-ambing ditiup angin.
JAM 1:7 Orang seperti itu tidak boleh berharap untuk menerima apa-apa daripada Tuhan;
JAM 1:8 pendiriannya tidak tetap dan dia sentiasa teragak-agak melakukan sesuatu;
JAM 1:9 Saudara yang hidup dalam keadaan sederhana patut bermegah dengan kedudukannya yang tinggi.
JAM 1:10 Orang yang kaya pula patut bermegah dengan kedudukannya yang rendah, kerana dia boleh lenyap laksana bunga rumput.
JAM 1:11 Sewaktu matahari meninggi, sinarnya yang panas menyebabkan bunga itu layu dan gugur lalu musnah keindahannya. Begitulah halnya dengan orang kaya yang akan lenyap ketika mengurus perniagaannya.
JAM 1:12 Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya.
JAM 1:13 Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, ‘Godaan ini datang daripada Allah.’ Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa.
JAM 1:14 Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri.
JAM 1:15 Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian.
JAM 1:16 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terpedaya.
JAM 1:17 Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya.
JAM 1:18 Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.
JAM 1:19 Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah.
JAM 1:20 Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah.
JAM 1:21 Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.
JAM 1:22 Namun, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu.
JAM 1:23 Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin,
JAM 1:24 meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya.
JAM 1:25 Namun, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.
JAM 1:26 Jika seseorang menganggap dirinya taat beribadat tetapi tidak mengekang lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu diri sendiri.
JAM 1:27 Allah Bapa berfirman bahawa ibadat yang murni dan tulen ialah: menolong anak yatim piatu dan balu yang menanggung kesusahan, serta menjaga diri daripada dicemari kejahatan dunia.
JAM 2:1 Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Junjungan kita Isa al-Masih yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih.
JAM 2:2 Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian indah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk.
JAM 2:3 Kamu menyambut orang kaya itu dengan hormat sambil berkata, ‘Silakan duduk di tempat terbaik ini.’ Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, ‘Berdiri di sana’ atau ‘Duduk di atas lantai dekat kakiku.’
JAM 2:4 Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.
JAM 2:5 Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya.
JAM 2:6 Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah,
JAM 2:7 dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.
JAM 2:8 Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’
JAM 2:9 Sebaliknya, jika kamu memperlakukan orang berasaskan keadaan lahir, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum.
JAM 2:10 Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum,
JAM 2:11 kerana Allah yang berfirman, ‘Jangan berzina,’ juga berfirman, ‘Jangan membunuh.’ Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum.
JAM 2:12 Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia.
JAM 2:13 Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.
JAM 2:14 Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, ‘Aku beriman,’ jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya.
JAM 2:15 Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan.
JAM 2:16 Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, ‘Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,’ jika kamu tidak menghulurkan keperluan sehari-hari itu kepadanya?
JAM 2:17 Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.
JAM 2:18 Mungkin ada orang yang berkata, ‘Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.’ Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman.
JAM 2:19 Kamu beriman kepada Allah Yang Esa. Bagus! Roh-roh iblis juga beriman demikian dan gementar ketakutan.
JAM 2:20 Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja?
JAM 2:21 Apakah sebabnya Allah meredai moyang kita Ibrahim? Allah meredainya kerana perbuatannya, iaitu mempersembahkan anaknya Ishak sebagai korban kepada Allah.
JAM 2:22 Tidak jelaskah kepadamu bahawa Ibrahim menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Ibrahim.
JAM 2:23 Hal itu selaras dengan ayat di dalam Kitab Suci: ‘Ibrahim percaya kepada Allah, maka hal itu diperhitungkan kepadanya sebagai kebenaran.’ Oleh itu Ibrahim dipanggil sahabat Allah.
JAM 2:24 Nyatalah bahawa Allah meredai seseorang itu kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.
JAM 2:25 Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah meredai Rahab kerana perbuatannya: Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain.
JAM 2:26 Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.
JAM 3:1 Saudara-saudaraku, seharusnya hanya segelintir daripadamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain.
JAM 3:2 Kita semua selalu melakukan kesalahan. Sekiranya seseorang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan melalui tutur katanya, maka dia itu seorang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya.
JAM 3:3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan kuda.
JAM 3:4 Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh jurumudi.
JAM 3:5 Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil.
JAM 3:6 Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka.
JAM 3:7 Manusia dapat dan sudahpun menjinakkan makhluk lain – binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut.
JAM 3:8 Akan tetapi tiada sesiapapun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh.
JAM 3:9 Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah.
JAM 3:10 Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku.
JAM 3:11 Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama?
JAM 3:12 Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar.
JAM 3:13 Adakah wujud di kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana.
JAM 3:14 Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar.
JAM 3:15 Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis.
JAM 3:16 Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan.
JAM 3:17 Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka.
JAM 3:18 Kebenaran adalah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.
JAM 4:1 Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran di kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu.
JAM 4:2 Kamu berhasrat akan sesuatu tetapi tidak mendapatnya, maka kamu ingin membunuh. Kamu ingin memiliki sesuatu tetapi tidak berjaya, lalu kamu bertengkar dan bergaduh. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini kerana kamu tidak memohonnya daripada Allah.
JAM 4:3 Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri.
JAM 4:4 Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah.
JAM 4:5 Atau kamu menganggap Kitab Suci mengatakan tanpa sebab bahawa Roh yang ditempatkan di dalam diri kita oleh Allah amat mengingini kita.
JAM 4:6 Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Allah menentang orang yang angkuh tetapi menganugerahi orang yang rendah hati.’
JAM 4:7 Oleh yang demikian, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu.
JAM 4:8 Dampingi Allah, Allah akan mendampingimu. Basuh bersih tanganmu, wahai kamu yang berdosa. Sucikan hatimu, wahai kamu yang munafik.
JAM 4:9 Menyesallah, menangis dan merataplah kamu. Biar ketawamu menjadi tangisan, kerianganmu menjadi kesedihan.
JAM 4:10 Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu.
JAM 4:11 Saudara-saudaraku, janganlah fitnah-memfitnah. Sesiapa yang memfitnah atau menghakimi saudara seimannya, maka dia memfitnah atau menghakimi hukum. Jika dia menghakimi hukum, maka dia tidak lagi mematuhi hukum.
JAM 4:12 Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia?
JAM 4:13 Sekarang, dengarlah nasihatku, wahai kamu yang berkata, ‘Hari ini atau esok kami akan bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.’
JAM 4:14 Tetapi kamu tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok. Kamu umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap.
JAM 4:15 Sepatutnya kamu berkata demikian, ‘Kalau diizinkan Tuhan, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian.’
JAM 4:16 Sebaliknya kamu angkuh dan bercakap besar. Bercakap besar demikian itu adalah salah.
JAM 4:17 Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.
JAM 5:1 Dengarlah nasihatku, wahai orang kaya. Menangis dan merataplah, kerana kesusahan akan menimpamu.
JAM 5:2 Kekayaanmu akan reput dan pakaianmu dimakan gegat.
JAM 5:3 Emas perakmu akan berkarat, karatnya akan menjadi saksi menuduhmu dan akan menghanguskan tubuhmu seperti api. Kamu telah mengumpulkan harta pada akhir zaman ini.
JAM 5:4 Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladangmu. Dengarlah rintihan mereka! Orang yang menuai hasil ladangmu berseru minta dibela nasibnya dan suara mereka telah sampai ke telinga Tuhan Maha Kuasa.
JAM 5:5 Hidupmu di dunia ini senang-lenang dalam kemewahan melimpah-limpah. Kamu bagaikan menggemukkan diri untuk hari penyembelihan.
JAM 5:6 Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawanmu.
JAM 5:7 Saudara-saudaraku, bersabarlah menanti kedatangan Tuhan. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang bernilai. Dengan sabar dia menanti hujan musim luruh dan hujan musim bunga.
JAM 5:8 Demikian jugalah kamu harus bersabar. Tabahkan hatimu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah hampir tiba.
JAM 5:9 Saudara-saudaraku, janganlah bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihukum. Hakim kian dekat dan akan segera sampai.
JAM 5:10 Saudara-saudaraku, ingatlah nabi-nabi yang bersabda dengan nama Tuhan. Teladanilah kesabaran dan ketabahan mereka menanggung kesengsaraan.
JAM 5:11 Kami mengatakan mereka orang yang diberkati kerana mereka tabah menanggung kesengsaraan. Kamu telah mendengar kisah kesabaran Ayub, dan kamu tahu pada akhirnya Tuhan memberkatinya. Tuhan amat berbelas kasih dan penuh belas kasihan.
JAM 5:12 Saudara-saudaraku, ini sangat penting-janganlah bersumpah ketika mengikat janji. Jangan bersumpah demi langit, bumi atau apa-apapun. Katakan ‘ya’ apabila maksudmu ya, dan ‘tidak’ apabila maksudmu tidak. Dengan demikian tidaklah kamu dihukum Allah.
JAM 5:13 Adakah sesiapa di kalanganmu yang sedang mengalami kesusahan? Berdoalah. Adakah sesiapa yang sedang bergembira? Nyanyikanlah lagu pujian kepada Allah.
JAM 5:14 Adakah sesiapa yang sakit? Panggillah para tua-tua jemaah untuk mendoakannya dan menyapukan minyak padanya dengan nama Tuhan.
JAM 5:15 Doa yang dilafazkan dengan iman akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya, dan dosanya akan diampunkan.
JAM 5:16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat.
JAM 5:17 Ilyas seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun.
JAM 5:18 Selepas itu dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil.
JAM 5:19 Saudara-saudaraku, jika seorang di kalanganmu sesat, lalu yang lain memimpinnya kembali kepada Allah,
JAM 5:20 ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang yang berdosa kembali daripada jalan yang salah, maka dia menyelamatkan roh orang yang berdosa itu daripada kematian dan menutupi banyak dosa.
1PE 1:1 Daripada Petrus, rasul Isa al-Masih, Kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia.
1PE 1:2 Kamu terpilih menurut rancangan Allah Bapa, dijadikan umat-Nya dengan Roh Suci, supaya taat akan Isa al-Masih dan disucikan dengan darah-Nya: Semoga kamu dilimpahi kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Allah.
1PE 1:3 Puji bagi Allah, Bapa Junjungan kita Isa al-Masih! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Isa al-Masih daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan
1PE 1:4 kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap – disimpan untukmu di syurga.
1PE 1:5 Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman.
1PE 1:6 Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan.
1PE 1:7 Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Isa al-Masih datang kembali.
1PE 1:8 Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasa kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan
1PE 1:9 kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.
1PE 1:10 Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang kasih kurnia Allah kepadamu.
1PE 1:11 Roh al-Masih yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan al-Masih dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi.
1PE 1:12 Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Suci dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.
1PE 1:13 Oleh yang demikian, bersedialah, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Isa al-Masih datang kembali.
1PE 1:14 Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya.
1PE 1:15 Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci.
1PE 1:16 Ada tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.’
1PE 1:17 Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia.
1PE 1:18 Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas
1PE 1:19 tetapi darah al-Masih yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya.
1PE 1:20 Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu.
1PE 1:21 Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah.
1PE 1:22 Oleh sebab kamu telah menyucikan rohmu dalam mematuhi kebenaran supaya mempunyai kasih yang ikhlas kepada saudara-saudara seimanmu, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati;
1PE 1:23 kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya.
1PE 1:24 Kerana, ‘Semua jasad umpama rumput, dan semua kemuliaan manusia bak bunga di padang; rumput akan layu, dan bunganya akan gugur,
1PE 1:25 tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.’ Inilah firman yang disampaikan kepadamu.
1PE 2:1 Oleh itu, singkirkan segala niat jahat, penipuan, kepura-puraan, iri hati dan semua fitnah.
1PE 2:2 Seperti bayi yang baru lahir, hendaklah kamu selalu haus akan air susu suci firman Allah, supaya kamu bertumbuh subur sehingga beroleh penyelamatan.
1PE 2:3 Kamu sendiri telah mengalami kebaikan Tuhan.
1PE 2:4 Datanglah kepada Dia yang seperti batu hidup, yang dibuang oleh manusia tetapi dipilih oleh Allah dan berharga di hadirat-Nya.
1PE 2:5 Kamu juga umpama batu hidup, yang digunakan untuk membina rumah rohani bagi para imam yang suci, untuk mempersembahkan korban rohani yang diredai Allah melalui Isa al-Masih.
1PE 2:6 Ada tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Lihatlah, Kuletakkan di Sion, batu penjuru yang terpilih, berharga, dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.’
1PE 2:7 Bagi kamu yang percaya, batu itu berharga, tetapi bagi mereka yang tidak percaya, ‘Batu yang dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru,’
1PE 2:8 dan, ‘Batu tempat orang tersandung dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh.’ Mereka tersandung kerana mereka ingkar akan firman Allah, yang telah ditetapkan bagi mereka.
1PE 2:9 Tetapi kamu umat terpilih, para imam Raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggilmu daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang.
1PE 2:10 Dahulu kamu bukan suatu umat tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mendapat belas kasihan Allah tetapi sekarang kamu telah mendapat belas kasihan-Nya.
1PE 2:11 Saudara-saudara yang kukasihi, aku merayu padamu sebagai orang asing dan pendatang di dunia, jauhilah hawa nafsu yang sentiasa menyerang jiwa.
1PE 2:12 Amalkan kelakuan yang mulia, maka apabila orang di kelilingmu yang tidak mengenal Allah mengata kamu berbuat jahat, mereka tetap melihat perbuatanmu yang baik lalu memuliakan Allah pada waktu Tuhan datang kembali.
1PE 2:13 Demi Tuhan berserahlah kepada pemerintah dalam kerajaan manusia, baik raja sebagai pemerintah tertinggi
1PE 2:14 mahupun para gabenor yang dilantiknya untuk menghukum orang yang berbuat jahat dan menghargai orang yang berbuat baik.
1PE 2:15 Inilah kehendak Allah, bahawa dengan berbuat baik kamu menutup mulut orang jahil dan bodoh yang hendak mengatamu.
1PE 2:16 Hiduplah dengan bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan untuk menutup maksiat. Hiduplah sebagai hamba Allah.
1PE 2:17 Hormati semua orang: Kasihi saudara-saudara seimanmu, takuti Allah, dan hormati raja.
1PE 2:18 Hamba, berserahlah kepada tuanmu dengan penuh hormat, bukan tuan yang baik dan lemah lembut sahaja, tetapi yang kejam juga.
1PE 2:19 Kamu layak dipuji jika kerana Allah kamu tabah menanggung derita akibat perlakuan yang tidak adil.
1PE 2:20 Apakah istimewanya jika kamu menerima dengan sabar apabila dipukul kerana kesalahanmu? Tetapi apabila kamu berbuat baik lalu menderita, jika kamu menerimanya dengan sabar, maka kamu terpuji di sisi Allah.
1PE 2:21 Justeru inilah kamu telah dipanggil, kerana al-Masih juga menderita untuk kita, memberi kita teladan, supaya kita menurut jejak langkah-Nya.
1PE 2:22 ‘Dia tidak melakukan dosa, dan lidah-Nya tidak pernah berdusta.’
1PE 2:23 Apabila Dia dicela, Dia tidak mencela kembali. Apabila Dia menderita, Dia tidak mengugut, tetapi menyerahkan diri-Nya kepada Allah yang menghakimi dengan adil.
1PE 2:24 Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk kebenaran. Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu.
1PE 2:25 Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah kembali kepada Gembala dan Pemelihara jiwamu.
1PE 3:1 Demikian juga kamu, isteri, berserahlah kepada suamimu. Dengan demikian, suami yang tidak percaya kepada firman Allah dapat ditarik untuk percaya tanpa sepatah kata, hanya dengan kelakuan isterinya
1PE 3:2 ketika mereka melihat betapa murni dan salihnya hidupmu.
1PE 3:3 Janganlah hiasi dirimu di luar sahaja – mendandan rambut, memakai emas atau pakaian indah.
1PE 3:4 Hiasilah batinmu, dengan keindahan yang tidak dapat dimusnahkan, iaitu bersikap lembut dan tenang, yang sangat berharga di sisi Allah.
1PE 3:5 Demikianlah hiasan perempuan zaman dahulu yang salih dan berharap pada Allah. Mereka berserah kepada suami,
1PE 3:6 seperti Sarah yang taat kepada Ibrahim dan memanggilnya tuan. Kamu adalah anak-anak perempuan Sarah jika kamu berbuat baik dan tidak takut apa-apa.
1PE 3:7 Suami, kamu juga hendaklah hidup bersama isterimu dengan sikap mengerti. Berilah penghormatan kepada isteri sebagai kaum yang lebih lemah dan sebagai rakan pewarismu yang sama-sama menerima kasih kurnia hidup. Dengan demikian doamu kepada Allah tidak akan terhalang.
1PE 3:8 Sebagai kesimpulan, bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik.
1PE 3:9 Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan. Sebaliknya balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka. Kamu mengetahui bahawa Allah telah memanggilmu supaya kamu mendapat berkat kelak.
1PE 3:10 Kerana, ‘Sesiapa yang ingin menikmati hidup dan mengalami masa yang baik hendaklah menjaga lidahnya daripada kejahatan dan bibirnya daripada kata-kata yang palsu.
1PE 3:11 Hendaklah dia tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; hendaklah dia cari dan buru kedamaian.
1PE 3:12 Kerana mata Tuhan tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar doa mereka, tetapi wajah Tuhan menentang mereka yang berbuat jahat.’
1PE 3:13 Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat?
1PE 3:14 Namun, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. ‘Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.’
1PE 3:15 Hormatilah al-Masih sebagai Junjungan Yang Esa dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberi jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan di hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat,
1PE 3:16 serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu sebagai pengikut al-Masih akan berasa malu.
1PE 3:17 Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan.
1PE 3:18 Al-Masih juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang tidak bersalah telah menderita untuk kita yang bersalah supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh.
1PE 3:19 Dalam keadaan demikian, Dia pergi menyampaikan perkhabaran kepada roh-roh yang dipenjarakan.
1PE 3:20 Roh-roh itu tidak taat akan Allah yang menantikan mereka dengan sabar sepanjang masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang menaiki bahtera itu dan diselamatkan melalui air.
1PE 3:21 Air bah itu melambangkan pengimadan yang sekarang menyelamatkan kita, pengimadan – bukan pembersihan kotoran badan tetapi sambutan hati nurani yang suci terhadap Allah – melalui pembangkitan Isa al-Masih daripada kematian.
1PE 3:22 Dia telah pergi ke syurga dan sekarang berada di kanan Allah. Para malaikat, penguasa dan pemerintah telah diletakkan di bawah-Nya.
1PE 4:1 Oleh sebab al-Masih telah menderita secara jasmani untuk kita, teguhkanlah dirimu untuk menghadapi penderitaan demikian. Dia yang telah menderita secara jasmani itu telah mengatasi dosa.
1PE 4:2 Dia tidak meneruskan hidupnya secara jasmani untuk memuaskan nafsu insani tetapi untuk melakukan kehendak Allah.
1PE 4:3 Sudah cukuplah waktu hidup silam yang kita habiskan dengan melakukan kehendak orang yang tidak mengenal Allah – hidup cabul, memuaskan nafsu, mabuk-mabuk bersuka ria, minum arak di majlis, dan melakukan kerja terkutuk menyembah berhala.
1PE 4:4 Dalam hal ini, mereka hairan kerana kamu tidak lagi menyertai mereka dalam kancah maksiat itu, lalu mereka mencela kamu.
1PE 4:5 Mereka kelak harus mempertanggungjawabkan perbuatan mereka kepada Allah yang sedia menghakimi orang hidup dan orang mati.
1PE 4:6 Itulah sebabnya Injil juga disampaikan kepada orang yang telah mati, supaya mereka yang dihakimi sebagai manusia secara jasmani, dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.
1PE 4:7 Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjaga-jaga.
1PE 4:8 Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa.
1PE 4:9 Raikan satu sama lain tanpa bersungut.
1PE 4:10 Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua.
1PE 4:11 Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah berita daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Isa al-Masih yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
1PE 4:12 Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa.
1PE 4:13 Sebaliknya, bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan al-Masih. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita yang tidak terhingga.
1PE 4:14 Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama al-Masih, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu.
1PE 4:15 Namun, janganlah seorang pun di antara kamu menderita kerana kesalahan membunuh, mencuri, berbuat jahat atau mencampuri hal orang.
1PE 4:16 Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Masihi, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya.
1PE 4:17 Sudah tiba masanya penghakiman dimulai, dan pertama-tama dihakimi adalah umat Allah sendiri. Jika penghakiman itu dimulai dengan kita, bagaimanakah kesudahannya orang yang tidak mentaati Injil daripada Allah?
1PE 4:18 Dan, ‘Jika orang benar pun sukar diselamatkan, apa jadinya orang yang ingkar dan yang berdosa?’
1PE 4:19 Oleh itu, mereka yang menderita menurut kehendak Allah hendaklah berbuat baik sambil berserah kepada Allah, Pencipta yang setia.
1PE 5:1 Kepada tua-tua jemaah di kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan al-Masih dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu:
1PE 5:2 Jagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka – bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati;
1PE 5:3 bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka.
1PE 5:4 Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal.
1PE 5:5 Demikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana, ‘Allah menentang orang yang angkuh tetapi menganugerahi orang yang rendah hati.’
1PE 5:6 Oleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan.
1PE 5:7 Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu.
1PE 5:8 Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa.
1PE 5:9 Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia.
1PE 5:10 Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu.
1PE 5:11 Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
1PE 5:12 Aku menulis surat ringkas ini kepadamu dengan pertolongan Silwanus, yang kuanggap saudara kita yang setia. Tujuanku ialah menasihatimu dan memberi ringkasan kesaksianku bahawa inilah kasih kurnia sejati daripada Allah untukmu. Berdiri teguhlah di dalamnya.
1PE 5:13 Jemaah di Babel, yang sepertimu juga dipilih Allah, berkirim salam kepadamu, begitu juga anakku Markus.
1PE 5:14 Bersalamanlah dengan kasih sayang. Selamat sejahtera kepada kamu semua milik al-Masih.
2PE 1:1 Daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Isa al-Masih, Kepada mereka yang seiman dengan kami melalui kebenaran Allah Tuhan dan Penyelamat kita Isa al-Masih:
2PE 1:2 Semoga kamu dilimpahi berkat dan damai sejahtera daripada Allah, kerana kamu mengenal Allah dan Junjungan Isa.
2PE 1:3 Dengan kuasa-Nya Allah telah mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya.
2PE 1:4 Allah telah menganugerahi kita janji yang besar dan berharga. Melaluinya kamu akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah setelah menjauhi kebinasaan akibat hawa nafsu di dunia.
2PE 1:5 Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan;
2PE 1:6 dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan;
2PE 1:7 dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih.
2PE 1:8 Jika kamu semakin kaya dengan segala ini, tidaklah kamu sia-sia dan hampa dalam mengenal Junjungan kita Isa al-Masih.
2PE 1:9 Seseorang yang tidak memiliki sifat-sifat ini adalah rabun, malah buta, dan lupa bahawa dia telah disucikan daripada dosa-dosanya dahulu.
2PE 1:10 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi untuk memastikan kekalnya panggilan dan pilihan Allah akan dirimu. Jika kamu melakukan segala ini, kamu tidak akan tersandung.
2PE 1:11 Kamu akan diberi sepenuh hak untuk menikmati kerajaan kekal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih.
2PE 1:12 Oleh itu, aku tidak akan lalai daripada mengingatkan kamu tentang segala ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan berpegang teguh pada ajaran benar yang kamu terima.
2PE 1:13 Selagi ada hayatku, wajarlah aku mengingatkan kamu tentang hal-hal itu.
2PE 1:14 Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, sebagaimana telah dinyatakan jelas kepadaku oleh Junjungan kita Isa al-Masih.
2PE 1:15 Aku akan mengusahakan supaya kamu tetap diingatkan tentang hal-hal itu setelah aku tiada lagi.
2PE 1:16 Kami tidaklah bercerita dongeng kepadamu apabila kami memberitahumu tentang kekuasaan Junjungan kita Isa al-Masih dan kedatangan-Nya. Kami telah menyaksikan kemuliaan-Nya dengan mata kami sendiri.
2PE 1:17 Dia telah menerima penghormatan dan kemuliaan daripada Allah Bapa. Suatu suara daripada Yang Maha Tinggi berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’
2PE 1:18 Kami telah mendengar suara yang datang dari syurga ketika kami bersama-Nya di puncak gunung suci.
2PE 1:19 Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah kata-kata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit di dalam hatimu.
2PE 1:20 Hal terutama yang harus kamu ketahui ialah bahwa tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal dari pentafsiran sendiri,
2PE 1:21 kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi diungkapkan oleh orang ketika didorong oleh Roh Suci untuk menyampaikan firman daripada Allah.
2PE 2:1 Namun demikian, ada nabi-nabi palsu di kalangan umat Allah pada zaman dahulu. Di antaramu juga akan muncul guru-guru palsu yang secara rahsia membawa masuk ajaran sesat yang memusnahkan. Mereka tergamak menyangkal Tuhan yang telah menyelamatkan mereka, lalu mereka ditimpa kemusnahan dalam sekelip mata.
2PE 2:2 Ramai orang akan mengikut cara mereka yang memalukan itu. Oleh itu, jalan yang benar akan dikufuri.
2PE 2:3 Dengan tamak haloba, mereka akan memperalatkan kamu melalui kata-kata dusta. Hukuman untuk mereka sudah ditetapkan dan akan menimpa mereka.
2PE 2:4 Allah tidak melepaskan malaikat yang berdosa daripada hukuman, tetapi menghumbankan mereka ke neraka dan membelenggu mereka dalam kegelapan untuk dihakimi kelak.
2PE 2:5 Dan Allah juga tidak melepaskan dunia purba daripada hukuman. Allah hanya menyelamatkan Nuh, penyampai kebenaran dengan tujuh orang yang lain, ketika Dia mendatangkan air bah kepada semua manusia yang ingkar.
2PE 2:6 Allah telah memusnahkan kota Sodom dan Gomora sehingga menjadi abu, membinasakan penduduknya sebagai contoh hukuman terhadap orang yang ingkar.
2PE 2:7 Tetapi Allah menyelamatkan Lut, seorang yang benar, yang berdukacita kerana kelakuan cabul orang durjana
2PE 2:8 (jiwa Lut yang benar terseksa dari hari ke hari melihat dan mendengar perlakuan liar orang di kelilingnya).
2PE 2:9 Nyatalah bahawa Tuhan mengetahui cara membebaskan orang yang warak daripada godaan dan mengasingkan orang durjana untuk dihukum pada hari penghakiman,
2PE 2:10 terutamanya mereka yang menurut hawa nafsu cabul dan menghina kekuasaan Allah. Mereka menganggap diri mereka besar dan mengikut kehendak sendiri semata-mata. Mereka tidak takut mencela makhluk yang adikudrati.
2PE 2:11 Sedangkan para malaikat yang lebih kuat dan berkuasa tidak pernah mencela dan menuduh makhluk yang adikudrati itu di hadapan Tuhan.
2PE 2:12 Tetapi mereka ini, seperti binatang buas yang dijadikan untuk ditangkap dan dibunuh, mencela hal-hal yang tidak difahaminya, maka mereka akan dibinasakan.
2PE 2:13 Mereka akan menerima balasan perbuatan maksiat mereka seperti bersuka ria pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Mereka dipenuhi cacat cela dan bergembira memperdayamu sambil berjamu bersamamu.
2PE 2:14 Mata mereka dipenuhi nafsu cabul dan sentiasa berdosa, menggoda orang yang goyah imannya, hati mereka dikuasai tamak haloba dan mereka anak-anak yang terlaknat.
2PE 2:15 Mereka telah meninggalkan jalan yang benar lalu sesat mengikut jalan Bileam anak Bior, yang suka mendapat upah daripada kejahatan.
2PE 2:16 Tetapi dia telah ditegur kerana perbuatan jahatnya oleh seekor keldai yang bercakap dengan suara manusia lalu menjadikan Bileam waras semula.
2PE 2:17 Mereka ini ibarat mata air yang kering dan kabus yang ditiup ribut. Kegelapan yang hitam pekat tersedia untuk mereka.
2PE 2:18 Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat.
2PE 2:19 Mereka menjanjikan kebebasan, sedangkan mereka sendiri hamba kebinasaan – kerana seseorang yang dikalahkan itu menjadi hamba kepada yang mengalahkannya.
2PE 2:20 Sekiranya, seseorang telah terlepas daripada noda dunia dengan mengenal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih, kemudian terjebak semula lalu tewas, maka keadaannya lebih buruk daripada sebelum dia mengenal al-Masih.
2PE 2:21 Lebih baiklah jika dia tidak mengenal jalan yang benar, daripada mengenalnya, dan kemudian membelakangi perintah suci yang telah disampaikan kepadanya.
2PE 2:22 Yang terjadi kepadanya itu seperti kata pepatah yang terbukti tepat: ‘Anjing akan menjilat muntahnya kembali,’ dan ‘Babi yang dimandikan akan berkubang semula di lumpur.’
2PE 3:1 Saudara-saudara yang kukasihi, aku menulis surat yang kedua ini kepadamu. Aku menulis kedua-dua suratku untuk merangsang pemikiran murnimu untuk mengingatkanmu
2PE 3:2 supaya kamu ingat akan nubuat para nabi yang suci dan perintah Junjungan dan Penyelamat kita sebagaimana yang disampaikan oleh para rasulmu.
2PE 3:3 Pertama, kamu harus tahu bahawa para pencemuh akan muncul pada akhir zaman. Sambil berbuat sesuka hati memuaskan nafsu,
2PE 3:4 mereka akan berkata, ‘Manakah “kedatangan-Nya” yang dijanjikan itu? Nenek moyang kita sudah tiada, tetapi segala-galanya berterusan seperti sejak alam mula dicipta.’
2PE 3:5 Mereka sengaja melupakan bahawa dahulu Allah telah mencipta langit dan bumi dengan firman-Nya dan bumi dibentuk daripada air dan dengan air,
2PE 3:6 dan dengan air itu juga dunia yang wujud dahulu dimusnahkan dengan air bah.
2PE 3:7 Tetapi langit dan bumi yang sekarang dipelihara dengan firman itu juga akan dimusnahkan dengan api, menjelang harinya orang ingkar dihukum dan dibinasakan.
2PE 3:8 Tetapi, saudara-saudara yang kukasihi, jangan lupa satu perkara: Di sisi Tuhan satu hari serupa seribu tahun, dan seribu tahun serupa satu hari.
2PE 3:9 Tuhan bukannya lengah menepati janji, seperti sangkaan sesetengah orang, tetapi amat bersabar dengan kita, kerana Dia tidak mahu seorang pun binasa dan Dia ingin semuanya bertaubat.
2PE 3:10 Namun, hari Tuhan akan tiba seperti datangnya pencuri pada malam hari. Langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh dan segala anasir akan lebur oleh kepanasan yang dahsyat, bumi serta segala yang wujud di dalamnya akan hangus terbakar.
2PE 3:11 Oleh sebab segala-galanya akan musnah, bagaimanakah sewajarnya kamu hidup? Kamu harus hidup suci dan taat akan Allah,
2PE 3:12 sementara menanti dan mempercepat menjelangnya hari penghakiman Allah. Pada hari itu langit akan musnah terbakar dan segala anasir lebur oleh kepanasan yang dahsyat.
2PE 3:13 Tetapi kita berpegang kepada apa yang telah dijanjikan-Nya, iaitu langit baru dan bumi baru yang dipenuhi dengan segala yang baik.
2PE 3:14 Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, sementara menantikan semua itu, berusahalah untuk hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah.
2PE 3:15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai penyelamatan, sebagaimana saudara kita yang dikasihi, Paulus, telah mengatakan dalam suratnya untukmu, dengan kebijaksanaan yang telah dikurniakan kepadanya.
2PE 3:16 Paulus menulis tentang hal-hal demikian dalam semua suratnya. Sesetengahnya sukar difahami, lalu orang yang jahil dan tipis iman memesongkan ertinya ke arah kebinasaan diri mereka sendiri. Demikian juga dilakukan oleh mereka terhadap tulisan-tulisan lain dalam Kitab Suci.
2PE 3:17 Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana.
2PE 3:18 Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin.
1JO 1:1 Apa yang telah wujud sejak dari mulanya, yang telah kami dengar, yang telah kami lihat, dan yang telah kami sentuh dengan tangan – itulah yang kami beritakan tentang Firman yang memberi hidup.
1JO 1:2 Hidup itu telah ditunjukkan; kami telah melihat, dan memberikan kesaksian, serta memberitahumu tentang hidup kekal bersama Bapa yang telah ditunjukkan kepada kami.
1JO 1:3 Kami memberitahumu apa yang telah kami lihat dan dengar, supaya kamu juga dapat bersaudara dengan kami. Sesungguhnya kami hidup dalam keakraban dengan Bapa dan Putera-Nya Isa al-Masih.
1JO 1:4 Kami menulis tentang segala ini kepadamu supaya kebahagiaanmu sempurna.
1JO 1:5 Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu: Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya.
1JO 1:6 Sekiranya kita mengatakan bahawa kita hidup dalam keakraban dengan-Nya sedangkan kita melangkah dalam kegelapan, maka kita berdusta dan tidak mengamalkan kebenaran.
1JO 1:7 Tetapi jika kita melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya, maka benar-benarlah kita hidup dalam persaudaraan satu sama lain, dan darah Isa, Putera-Nya, menyucikan kita daripada segala dosa.
1JO 1:8 Sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak berdosa, ertinya kita menipu diri kita sendiri dan kebenaran tidak ada di dalam diri kita.
1JO 1:9 Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan.
1JO 1:10 Namun sekiranya kita mengatakan bahawa kita tidak pernah berdosa, kita menuduh Allah itu pendusta, dan firman-Nya tiada di dalam diri kita.
1JO 2:1 Anak-anakku, aku menuliskan hal-hal ini kepadamu supaya kamu tidak berbuat dosa. Dan jika sesiapa berbuat dosa, kita mempunyai seorang Pembela ke hadirat Allah Bapa, iaitu Isa al-Masih Yang Benar itu.
1JO 2:2 Dialah korban pendamaian bagi dosa kita, malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia.
1JO 2:3 Jika kita taat akan perintah Allah, benarlah kita mengenal-Nya.
1JO 2:4 Sekiranya seseorang berkata, ‘Aku mengenal Allah,’ tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada di dalam dirinya.
1JO 2:5 Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia:
1JO 2:6 Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah al-Masih.
1JO 2:7 Sahabat-sahabat yang kukasihi, perintah yang kutulis ini bukanlah perintah baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima dari mulanya. Perintah lama ini firman Allah yang telah kamu dengar.
1JO 2:8 Namun demikian, perintah yang kutulis ini tetap baru: Kebenarannya ternyata pada diri al-Masih dan dirimu. Ini disebabkan kegelapan hampir berlalu dan cahaya yang benar telah pun bersinar.
1JO 2:9 Sesiapa yang berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi dia benci akan saudaranya, maka dia tetap berada dalam kegelapan hingga sekarang.
1JO 2:10 Sesiapa yang kasih akan saudaranya hidup di dalam cahaya dan dalam dirinya tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatnya kecundang.
1JO 2:11 Tetapi sesiapa yang benci akan saudaranya hidup dalam kegelapan. Dia melangkah dalam kegelapan dan tidak tahu ke mana hala tujunya, kerana kegelapan telah membutakannya.
1JO 2:12 Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana dosamu telah diampunkan atas nama al-Masih.
1JO 2:13 Bapa-bapa, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Orang muda, aku menulis kepadamu, kerana kamu telah menewaskan si durjana. Anak-anakku, aku menulis kepadamu, kerana kamu mengenal Allah Bapa.
1JO 2:14 Aku menulis kepadamu, bapa-bapa, kerana kamu mengenal Dia yang telah wujud dari mulanya. Aku menulis kepadamu, orang muda, kerana imanmu kukuh, kamu menaruh firman Allah di dalam dirimu, dan kamu telah menewaskan si durjana.
1JO 2:15 Jangan kasihi dunia ini atau sesuatu di dalamnya. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa.
1JO 2:16 Segala yang ada di dunia ini – keinginan nafsu dan mata, serta segala keangkuhan hidup – bukanlah daripada Allah Bapa tetapi daripada dunia.
1JO 2:17 Dunia dan segala hawa nafsu yang ada di dalamnya sedang lenyap, tetapi orang yang melakukan kehendak Allah akan kekal selama-lamanya.
1JO 2:18 Anak-anakku, akhir zaman sudah hampir menjelang. Kamu telah diberitahu bahawa dajal, penentang al-Masih itu, akan muncul. Sekarang pun telah muncul ramai orang yang menentang al-Masih. Dengan demikian kita tahu bahawa akhir zaman sudah hampir menjelang.
1JO 2:19 Mereka telah memisahkan diri daripada kita. Tetapi mereka sebenarnya bukanlah sebahagian daripada kita. Jika mereka benar-benar sebahagian daripada kita, tentulah mereka tetap bersama kita. Oleh itu, tindakan mereka memisahkan diri daripada kita menunjukkan kesemua mereka itu bukanlah benar-benar sebahagian daripada kita.
1JO 2:20 Kamu telah menerima pengurapan Roh Suci, maka kamu mengenal kebenaran.
1JO 2:21 Aku menulis kepadamu bukan kerana kamu tidak mengenal kebenaran tetapi kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa yang dusta tidak berasal daripada yang benar.
1JO 2:22 Sesiapa yang mengatakan bahawa Isa bukan al-Masih, dialah pendusta. Orang itu tidak mengakui Bapa dan Putera-Nya, dan dialah dajal, penentang al-Masih.
1JO 2:23 Sesiapa yang tidak mengakui Putera, maka dia juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menerima Putera, maka dia juga menerima Bapa.
1JO 2:24 Oleh yang demikian, pastikan perkhabaran yang kamu dengar dari mulanya tetap ada dalam dirimu. Jika perkhabaran itu tetap ada dalam dirimu, kamu akan sentiasa tetap di dalam Putera dan juga di dalam Bapa.
1JO 2:25 Inilah yang dijanjikan kepada kita, iaitu hidup yang kekal.
1JO 2:26 Aku menulis kepadamu tentang mereka yang hendak menyesatkanmu.
1JO 2:27 Tetapi bagi kamu, kurnia Roh yang kamu terima daripada-Nya itu tetap ada dalam dirimu. Kamu tidak memerlukan ajaran daripada sesiapapun, kerana Roh-Nya telah mengajar segalanya kepadamu, dan segalanya benar, tidak ada yang dusta. Oleh itu, tetaplah kamu di dalam Dia.
1JO 2:28 Sekarang pun, hai anak-anakku, kamu harus tetap di dalam-Nya, supaya apabila Dia datang kelak, kita dapat menghadapi-Nya dengan berani, tanpa rasa malu.
1JO 2:29 Jika kamu tahu bahawa Dia itu benar, maka kamu harus tahu bahawa orang yang melakukan kebenaran telah menerima hidup baru daripada Allah.
1JO 3:1 Ketahuilah betapa kasihnya Allah Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah! Dan sememanglah begitu! Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, dunia ini tidak mengenal Allah.
1JO 3:2 Sahabat-sahabat yang kukasihi, sekarang ini kita anak-anak Allah, tetapi belum nyata bagaimana keadaan kita kelak. Tetapi kita tahu bahawa apabila al-Masih datang, kita akan menjadi seperti-Nya, kerana kita akan melihat-Nya dalam keadaan-Nya yang sebenar.
1JO 3:3 Sesiapa yang menaruh harapan ini kepada al-Masih akan memelihara dirinya supaya suci, sebagaimana al-Masih itu suci.
1JO 3:4 Sesiapa yang berbuat dosa, dia melakukan keleluasaan kerana dosa itu perbuatan keleluasaan.
1JO 3:5 Kamu tahu bahawa al-Masih dihantar untuk menghapuskan dosa umat manusia, di dalam diri-Nya tiada dosa.
1JO 3:6 Oleh itu, sesiapa yang tetap di dalam al-Masih tidak akan berbuat dosa berterusan. Sesiapa yang terus berbuat dosa belum melihat dan mengenal Dia.
1JO 3:7 Anak-anakku, jangan biarkan sesiapapun menyesatkanmu. Sesiapa yang melakukan apa yang benar adalah orang yang benar, seperti al-Masih.
1JO 3:8 Orang yang terus berbuat dosa itu berasal daripada Iblis, kerana dari mulanya lagi Iblis telah berbuat dosa. Itulah sebabnya Putera Allah datang untuk membinasakan pekerjaan Iblis.
1JO 3:9 Sesiapa yang menjadi anak Allah tidak akan berbuat dosa berterusan kerana benih Allah ada di dalam dirinya. Oleh sebab Allah itu Bapanya, dia tidak mungkin berbuat dosa berterusan.
1JO 3:10 Dengan demikian nyatalah perbezaan antara anak-anak Allah dengan anak-anak Iblis. Orang yang tidak melakukan apa yang benar bukanlah anak Allah, demikian juga orang yang tidak mengasihi saudaranya.
1JO 3:11 Kamu telah mendengar perkhabaran ini dari mulanya: Kita harus kasih-mengasihi.
1JO 3:12 Janganlah kita bertindak seperti Kabil yang asalnya daripada Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah dia membunuh adiknya? Semata-mata kerana perbuatannya salah sedangkan perbuatan adiknya benar.
1JO 3:13 Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika kamu dibenci oleh orang di dunia ini.
1JO 3:14 Kita tahu bahawa kita terus hidup dan tidak akan binasa kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya akan tetap dikuasai oleh maut.
1JO 3:15 Sesiapa yang benci akan saudaranya adalah pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup yang kekal di dalam dirinya.
1JO 3:16 Dengan demikian kita tahu bagaimana cara mengasihi seseorang: Isa al-Masih telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita.
1JO 3:17 Jika seorang yang berharta melihat saudaranya yang miskin memerlukan bantuan tetapi tidak mahu menolongnya, bagaimanakah kasih Allah dapat hidup dalam dirinya?
1JO 3:18 Anak-anakku, janganlah kasih kita di mulut sahaja. Kita hendaklah kasih-mengasihi melalui perbuatan dan kebenaran yang sejati.
1JO 3:19 Dengan demikian kita tahu bahawa kita anak-anak Allah yang benar dan hati kita tetap damai di hadirat Allah
1JO 3:20 sekiranya hati nurani kita menyalahkan kita. Ini kerana kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati kita dan Allah Maha Mengetahui.
1JO 3:21 Oleh yang demikian, saudara-saudara yang kukasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan tetap hati.
1JO 3:22 Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya kerana kita taat akan perintah-Nya dan melakukan apa yang diredai-Nya.
1JO 3:23 Perintah-Nya adalah: kita harus percaya akan nama Putera-Nya, Isa al-Masih, dan kasih-mengasihi seperti suruhan al-Masih.
1JO 3:24 Sesiapa yang taat akan perintah-Nya tetap ada di dalam Allah dan Allah ada di dalamnya. Kita tahu bahawa Allah tetap ada di dalam kita kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita.
1JO 4:1 Saudara-saudara yang kukasihi, jangan percayai setiap roh. Sebaliknya ujilah setiap roh itu sama ada datang daripada Allah kerana terdapat ramai nabi palsu di merata-rata.
1JO 4:2 Untuk memastikan sama ada roh itu Roh Allah, inilah caranya: Jika roh itu mengakui bahawa Isa al-Masih telah datang ke dunia sebagai manusia, maka roh itu datang daripada Allah.
1JO 4:3 Tetapi jika roh itu menolak hakikat tentang al-Masih ini, nyatalah roh itu bukan daripada Allah tetapi daripada dajal, penentang al-Masih. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan muncul. Sekarang roh itu sudahpun ada di dunia ini.
1JO 4:4 Namun demikian, anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu telah menewaskan nabi-nabi palsu itu, kerana roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia.
1JO 4:5 Nabi-nabi palsu itu berkata tentang hal ehwal daripada pandangan dunia dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka kerana mereka milik dunia ini.
1JO 4:6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah mendengar kata-kata kita dan sesiapa yang bukan milik Allah tidaklah mahu mendengar kata-kata kita. Demikianlah caranya kita mengenal pasti Roh yang membawa kebenaran dan roh yang menyesatkan.
1JO 4:7 Saudara-saudara yang kukasihi, marilah kita kasih-mengasihi kerana kasih itu datang daripada Allah. Sesiapa yang kasih-mengasihi mengenal Allah dan mereka anak Allah.
1JO 4:8 Sesiapa yang tidak mengasihi sesama manusia tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih.
1JO 4:9 Begitu kasihnya Allah kepada kita sehingga Dia menghantar Putera-Nya yang tunggal ke dunia supaya melalui-Nya kita mendapat hidup yang kekal.
1JO 4:10 Demikianlah kasih: bukannya kita mengasihi Allah tetapi Allah mengasihi kita lalu menghantar Putera-Nya sebagai korban pendamaian bagi dosa kita.
1JO 4:11 Saudara-saudara yang kukasihi, Allah amat mengasihi kita, maka haruslah kita kasih-mengasihi.
1JO 4:12 Tiada siapa pernah melihat Allah tetapi jika kita kasih-mengasihi, Allah tetap ada di dalam kita dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.
1JO 4:13 Oleh sebab Allah telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita, tahulah kita bahawa kita tetap ada di dalam Allah dan Allah di dalam kita.
1JO 4:14 Kami telah melihat Putera dan menyebarkan berita bahawa Bapa telah menghantar Putera-Nya sebagai al-Masih, Penyelamat dunia ini.
1JO 4:15 Sesiapa yang mengakui Isa itu Putera Allah, nescaya Allah tetap di dalam orang itu dan dia pun di dalam Allah.
1JO 4:16 Kita tahu dan yakin sepenuh hati bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi sesama manusia tetap ada di dalam Allah, dan Allah tetap di dalam dia.
1JO 4:17 Dengan cara ini, kasih disempurnakan dalam diri kita supaya kita berani pada Hari Penghakiman nanti kerana hidup kita di dunia ini sama seperti hidup al-Masih di dunia.
1JO 4:18 Dalam kasih tidak ada ketakutan. Kasih yang sempurna menghilangkan segala rasa takut kerana ketakutan ada kaitan dengan hukuman. Dengan demikian, orang yang takut belum mengenal kasih yang sempurna.
1JO 4:19 Kita mengasihi sesama manusia kerana Tuhan terlebih dahulu mengasihi kita.
1JO 4:20 Jika sesiapa berkata, ‘Aku mengasihi Allah,’ tetapi dia benci akan saudaranya, dia seorang pendusta. Jika dia tidak mengasihi saudaranya yang dapat dilihatnya, betapa dia mengasihi Allah yang tidak dapat dilihatnya?
1JO 4:21 Al-Masih telah memberi kita perintah ini: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga.
1JO 5:1 Sesiapa percaya bahawa Isa iaitu al-Masih, maka orang itu anak Allah. Sesiapa mengasihi bapa mengasihi anaknya juga.
1JO 5:2 Dengan demikianlah kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah apabila kita mengasihi Allah dan mentaati perintah-Nya.
1JO 5:3 Jika kita mengasihi Allah, maka kita taat akan perintah Allah. Tidak sukar bagi kita untuk taat akan perintah-Nya,
1JO 5:4 kerana setiap anak Allah dapat menewaskan dunia. Inilah kemenangan yang mengalahkan dunia, iaitu iman kita.
1JO 5:5 Siapakah yang dapat menewaskan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Isa Putera Allah.
1JO 5:6 Isa al-Masih telah datang ke dunia dengan air dan darah. Dia datang bukan dengan air sahaja tetapi dengan air dan darah. Roh adalah saksi dan Roh adalah benar.
1JO 5:7 Ada tiga yang memberi kesaksian:
1JO 5:8 Roh Suci, air dan darah, ketiga-tiganya memberi kesaksian yang sama.
1JO 5:9 Jika kita percaya akan kesaksian manusia, maka kesaksian Allah lebih kuat lagi kerana inilah kesaksian yang diberikan Allah tentang Putera-Nya.
1JO 5:10 Oleh yang demikian, sesiapa yang percaya kepada Putera Allah menyimpan kesaksian itu di dalam dirinya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, maka dia menuduh Allah itu pendusta kerana dia tidak percaya akan kesaksian-Nya tentang Putera-Nya.
1JO 5:11 Kesaksian itu ialah: Allah memberi kita hidup yang kekal dan hidup ini ada di dalam Putera-Nya.
1JO 5:12 Sesiapa yang memperoleh Putera itu, memperoleh hidup itu. Dan sesiapa yang tidak memperoleh Putera Allah, tidak memperoleh hidup itu.
1JO 5:13 Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada nama Putera Allah agar kamu mengetahui bahawa kamu memperoleh hidup yang kekal.
1JO 5:14 Kita dapat menghadap Allah dengan keyakinan bahawa Dia mengabulkan segala doa kita yang selaras dengan kehendak-Nya.
1JO 5:15 Kita tahu bahawa dia sentiasa mendengar permohonan kita ke hadirat-Nya. Kita tahu juga bahawa Dia mengurniakan apa yang kita minta daripada-Nya.
1JO 5:16 Sekiranya kamu melihat saudara seimanmu melakukan dosa, dan dosa itu tidaklah mengakibatkan kematian, berdoalah semoga Allah memberinya hidup. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan kematian. Aku tidak mengatakan bahawa dia harus berdoa tentang hal itu.
1JO 5:17 Setiap perbuatan salah itu dosa, tetapi sesetengah dosa tidaklah mengakibatkan kematian.
1JO 5:18 Kita tahu bahawa anak-anak Allah tidak melakukan dosa berterusan; Dia yang datang daripada Allah melindungi dirinya lantas Iblis tidak berupaya menyesatkannya.
1JO 5:19 Kita tahu bahawa kita milik Allah walaupun dunia diperintah oleh Iblis.
1JO 5:20 Kita tahu bahawa Putera Allah telah datang dan memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Dia yang benar. Kita ada di dalam Dia yang benar bahkan di dalam Putera-Nya, Isa al-Masih. Inilah Allah, Tuhan yang benar dan hidup yang kekal.
1JO 5:21 Anak-anakku, jauhkanlah dirimu daripada berhala.
2JO 1:1 Daripadaku, seorang tua-tua, Kepada puan yang terpilih dan kepada anak-anaknya, yang kukasihi di dalam kebenaran. Bukan aku sahaja yang mengasihimu malah sekalian yang mengenal kebenaran –
2JO 1:2 kerana kebenaran ada dalam diri kita dan akan kekal dalam diri kita selama-lamanya:
2JO 1:3 Semoga kasih kurnia, belas kasihan dan damai sejahtera daripada Allah Bapa dan Isa al-Masih, Putera daripada Bapa, menyertai kita dalam kebenaran dan kasih.
2JO 1:4 Aku sungguh sukacita mengetahui bahawa sebilangan anak puan hidup mengikut kebenaran, sebagaimana yang diperintahkan kepada kita oleh Bapa.
2JO 1:5 Sekarang, puan yang dikasihi, aku memohon agar kita kasih-mengasihi. Aku bukannya mengemukakan perintah baru. Perintah ini telah disampaikan dari mula-mulanya lagi.
2JO 1:6 Inilah kasih iaitu mengasihi bermakna hidup mengikut perintah Allah. Inilah perintah yang kamu dengar dari mulanya: Kamu haruslah kasih-mengasihi.
2JO 1:7 Ramai penipu telah menjelajah ke seluruh dunia. Mereka itu tidak mengakui bahawa Isa al-Masih telah datang ke dunia sebagai manusia. Orang sedemikian adalah penipu dan dajal, penentang al-Masih.
2JO 1:8 Oleh yang demikian, berhati-hatilah supaya apa yang telah kami usahakan tidak lenyap begitu sahaja, melainkan kamu mendapat ganjaranmu sepenuhnya.
2JO 1:9 Sesiapa yang tidak mengikut ajaran al-Masih dan melanggarnya, maka Allah tidak ada dalam dirinya. Sesiapa yang mengikut ajaran itu maka Bapa dan Putera ada dalam dirinya.
2JO 1:10 Oleh itu, jika sesiapa datang menyebarkan ajaran selain ajaran al-Masih, janganlah alu-alukan dia ke dalam rumahmu. Janganlah berikan salam kepadanya.
2JO 1:11 Sesungguhnya, jika sesiapa memberi salam kepada orang sedemikian, berertilah dia bersubahat dengannya melakukan perbuatan yang durjana.
2JO 1:12 Ada banyak lagi yang ingin kusebutkan, namun lebih eloklah tidak melalui surat. Aku berharap akan bertemu dan berbincang denganmu agar kita benar-benar gembira.
2JO 1:13 Anak-anak kepada saudara perempuan puan yang telah dipilih oleh Allah juga berkirim salam kepada puan.
3JO 1:1 Daripadaku, seorang tua-tua, Kepada Gayus, sahabat yang dikasihi, yang kukasihi di dalam kebenaran.
3JO 1:2 Aku berdoa semoga kamu berada dalam keadaan sejahtera serta sihat jasmanimu sebagaimana rohanimu berbahagia.
3JO 1:3 Aku sungguh bersukacita apabila beberapa orang saudara seiman datang berkunjung dan memberi kesaksian tentang kesetiaanmu kepada kebenaran, kerana memang kamu hidup dalam kebenaran.
3JO 1:4 Tiada yang lebih membahagiakanku daripada berita bahawa anak-anakku hidup mengikut kebenaran.
3JO 1:5 Sahabat yang kukasihi, kamu sungguh setia dalam usahamu untuk saudara-saudara seiman, termasuklah yang belum kamu kenali.
3JO 1:6 Mereka telah memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu terhadap mereka. Baik juga perbuatanmu jika engkau dapat membantu mereka dalam perjalanan mereka dengan cara yang berkenan kepada Allah.
3JO 1:7 Mereka berangkat demi nama Tuhan tanpa menerima sebarang bantuan daripada orang yang belum mengenal Allah.
3JO 1:8 Oleh itu, kita mestilah membantu orang seperti ini. Dengan demikian kita menjadi rakan sekerja dalam usaha menyebarkan kebenaran.
3JO 1:9 Aku telah menulis surat ringkas kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang berhasrat memimpin jemaah enggan menurut kataku.
3JO 1:10 Ketika aku ke sana nanti, aku akan mendedahkan segala yang telah dilakukannya, iaitu memfitnahkan kami dengan pelbagai perkara jahat yang dusta sama sekali. Bukan itu sahaja, dia tidak mahu menerima saudara-saudara seiman apabila mereka datang. Malah dia menghalang orang yang hendak menyambut saudara-saudara itu, dan dia cuba mengusir mereka keluar daripada jemaah.
3JO 1:11 Sahabat yang kukasihi, janganlah contohi kelakuan yang buruk. Teladanilah kelakuan yang baik. Sesiapa berbuat baik, maka dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, maka dia belum mengenal Allah.
3JO 1:12 Demetrius menerima kesaksian baik daripada setiap orang, malah daripada kebenaran itu sendiri. Kami juga memberinya kesaksian baik, dan kamu tahu bahawa kami menyatakan apa yang benar.
3JO 1:13 Ada banyak lagi yang hendak kusebutkan kepadamu, tetapi lebih eloklah tidak melalui surat.
3JO 1:14 Aku berharap akan dapat segera bertemu dan berbincang denganmu.
3JO 1:15 Damai sejahtera Tuhan menyertaimu. Semua sahabatmu di sini berkirim salam. Sampaikan salamku kepada setiap sahabat di sana dengan menyebut nama mereka masing-masing.
JUD 1:1 Surat ini daripada Yuda, hamba Isa al-Masih dan saudara Yakobus, Untuk tatapan mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa serta dilindungi oleh Isa al-Masih:
JUD 1:2 Semoga belas kasihan, damai sejahtera dan kasih melimpahimu.
JUD 1:3 Saudara-saudara yang kukasihi, ketika aku cuba menulis kepadamu tentang penyelamatan yang telah kita terima bersama, hatiku tergerak hendak memberikan perangsang kepadamu supaya terus berjuang untuk iman yang telah dikurniakan Allah kepada orang salih-Nya cuma sekali untuk selama-lamanya.
JUD 1:4 Beberapa orang telah menyusup masuk ke dalam golongan kamu tanpa disedari. Merekalah yang dari dahulu lagi telah disebutkan hukumannya di dalam Kitab Suci. Merekalah orang mungkar yang menyalahgunakan kasih kurnia Allah Tuhan kita untuk melakukan maksiat. Mereka tidak mengakui Isa al-Masih sebagai satu-satunya Raja dan Junjungan kita Yang Esa.
JUD 1:5 Sungguhpun kamu sudah maklum segalanya, aku ingin mengingatkanmu bahawa Tuhan telah menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir dan kemudiannya memusnahkan mereka yang tidak percaya.
JUD 1:6 Dan para malaikat yang telah melampaui batas kekuasaan yang dikurniakan Allah hinggakan tergamak meninggalkan tempat yang ditetapkan bagi mereka – Allah telah membelenggu mereka dengan rantai yang kekal dan mengurung mereka dalam kegelapan hingga Hari Penghakiman yang besar itu.
JUD 1:7 Begitu juga halnya dengan para penghuni kota Sodom, Gomora dan bandar-bandar di sekitarnya yang telah melakukan percabulan dan perbuatan sumbang. Mereka menjadi contoh orang yang mengalami seksaan hukuman api yang kekal.
JUD 1:8 Demikian jugalah sekalian orang itu yang berangan-angan hinggakan mereka melakukan dosa terhadap tubuh badan sendiri. Mereka menghina kekuasaan Allah dan menista para makhluk yang adikudrati.
JUD 1:9 Namun ketua malaikat, Mikail, tidak berani melafazkan sepatah pun kata nista ketika berbalah dengan Iblis tentang jenazah Musa. Mikail hanya berkata, ‘Tuhan murkai kamu!’
JUD 1:10 Sebaliknya, orang itu mencaci hal-hal yang langsung tidak difahami oleh mereka. Ada beberapa perkara yang mereka ketahui, tetapi seperti haiwan yang tidak berakal, mereka hanya mengetahui secara naluri, maka kerana itulah mereka binasa.
JUD 1:11 Malangnya mereka ini! Mereka telah menurut jejak langkah Kabil. Seperti Bileam, mereka telah melibatkan diri dengan perbuatan yang sesat, semata-mata untuk mengejar wang. Mereka telah memberontak seperti Korah, maka mereka dimusnahkan.
JUD 1:12 Mereka ini mencemarkan majlis perjamuan kasihmu, kerana mereka seperti gembala yang mencari makanan bagi diri mereka sendiri tanpa segan silu. Mereka seperti awan yang ditiup angin, maka tidak membawa hujan. Mereka ibarat pokok yang tidak berbuah meskipun pada musim buah. Mereka umpama pohon yang telah dicabut dengan akar umbinya dan mengalami dua kali kematian.
JUD 1:13 Mereka laksana ombak ganas di lautan yang membuihkan perbuatan aib. Mereka seperti bintang beredar yang telah ditentukan tempatnya dalam kegelapan yang hitam pekat untuk selama-lamanya.
JUD 1:14 Henokh (juga disebut Idris), keturunan ketujuh daripada Adam, pernah bernubuat tentang mereka: ‘Lihatlah, Tuhan akan datang dengan ribuan malaikat-Nya yang suci.
JUD 1:15 Dia akan menghakimi seluruh umat manusia. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan durjana mereka dan caci nista mereka terhadap-Nya.’
JUD 1:16 Orang sedemikian sentiasa bersungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menurut hawa nafsu durjana. Mereka memuji diri sendiri dan mengampu orang tertentu untuk mendapat keuntungan.
JUD 1:17 Namun, saudara-saudaraku yang dikasihi, ingatlah kata-kata para rasul Junjungan kita Isa al-Masih.
JUD 1:18 Mereka telah berkata kepadamu, ‘Pada akhir zaman nanti, orang akan tampil dan mengejek-ejekmu. Mereka itu orang yang menurut hawa nafsu yang mungkar.’
JUD 1:19 Merekalah yang menjadikan jemaah porak-peranda. Mereka tidak dipimpin oleh Roh Suci tetapi dikuasai oleh hawa nafsu sendiri.
JUD 1:20 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, teruskanlah usaha membina hidup yang berasaskan iman yang paling murni. Berdoalah dengan bimbingan Roh Suci.
JUD 1:21 Hiduplah di bawah naungan kasih Allah sementara menunggu belas kasihan Junjungan kita Isa al-Masih yang akan menganugerahimu hidup kekal.
JUD 1:22 Amalkan sikap belas kasihan kepada orang yang kurang yakin.
JUD 1:23 Berusahalah menyelamatkan orang daripada api. Namun, sambil berbelas kasihan sesama manusia, berhati-hatilah. Bahkan bencilah pakaian mereka yang dinodai oleh hawa nafsu duniawi.
JUD 1:24 Allah yang berkuasa memeliharamu supaya kamu tidak tersandung, dan membawamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan suci murni.
JUD 1:25 Dialah Allah Yang Esa, Penyelamat kita melalui Isa al-Masih, Junjungan kita Yang Esa. Bagi Dialah kemuliaan, keagungan, kekuasaan dan kuasa sejak dahulu hingga sekarang dan untuk selama-lamanya. Amin.
REV 1:1 Inilah wahyu Isa al-Masih yang dinyatakan Allah kepada-Nya supaya Dia menyampaikan kepada hamba-hamba-Nya segala yang pasti segera terjadi. Al-Masih menghantarkan malaikat-Nya untuk memberitahu perkara-perkara itu kepada hamba-Nya Yahya.
REV 1:2 Maka Yahya pun bersaksi tentang semua yang telah dilihatnya iaitu Firman Allah dan kesaksian Isa al-Masih.
REV 1:3 Diberkatilah orang yang membaca kata-kata nubuat ini dan mendengarnya serta mematuhi apa yang tersurat di dalamnya, kerana masanya sudah dekat.
REV 1:4 Daripada Yahya kepada tujuh jemaah di Asia Kecil: Kasih kurnia dan kesejahteraan kepadamu daripada Allah, iaitu Dia yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang, juga daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya,
REV 1:5 dan daripada Isa al-Masih, Saksi Setia. Dialah yang pertama dibangkitkan dari kalangan orang mati dan Dialah Raja kepada sekalian raja dunia. Isa mengasihi kita, maka Dia membebaskan kita daripada segala dosa kita dengan darah-Nya
REV 1:6 serta menjadikan kita suatu kerajaan, dan imam-imam bagi Allah Tuhan-Nya dan Bapa-Nya. Bagi-Nyalah kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
REV 1:7 Lihatlah, Dia datang dalam awan! Seluruh umat manusia akan melihat-Nya, termasuk mereka yang telah menikam Dia. Semua bangsa di bumi akan berkabung kerana Dia. Ya, tentu sekali. Amin.
REV 1:8 ‘Akulah Alif dan Ya, yang pertama dan yang terakhir,’ demikian firman Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang.
REV 1:9 Aku, Yahya, saudara dan teman senasibmu dalam kesengsaraan, kerajaan dan ketabahan dalam Isa, berada di pulau Patmos kerana firman Allah dan kesaksian Isa.
REV 1:10 Pada hari Tuhan, Roh menguasaiku, lalu aku mendengar suara yang lantang, seperti bunyi sangkakala, berkata-kata di belakangku.
REV 1:11 Suara itu berkata, ‘Tuliskanlah apa yang kaulihat dan hantarkan kitab itu kepada tujuh jemaah: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia dan Laodikia.
REV 1:12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata itu. Kulihat tujuh kaki pelita daripada emas.
REV 1:13 Di tengah-tengah kaki pelita itu kelihatan suatu lembaga seakan-akan putera insan, berjubah labuh sampai ke kaki dan memakai seutas pending emas yang meliliti dada-Nya.
REV 1:14 Rambut-Nya putih seperti kapas dan mata-Nya menyala-nyala laksana api.
REV 1:15 Kaki-Nya bersinar umpama gangsa digilap dan suara-Nya ibarat deru air terjun yang hebat.
REV 1:16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh bintang dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang mata dua yang tajam. Wajah-Nya bersinar-sinar laksana matahari pada waktu tengah hari.
REV 1:17 Apabila aku melihat-Nya, rebahlah aku di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi. Dia meletakkan tangan kanan-Nya ke atasku lalu berfirman, ‘Janganlah takut! Akulah yang pertama dan yang terakhir.
REV 1:18 Akulah Dia yang hidup. Aku pernah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku memegang anak kunci kematian dan alam maut.
REV 1:19 ‘Oleh itu, tuliskanlah segala yang kaulihat, baik yang ada sekarang mahupun yang akan terjadi.
REV 1:20 Inilah maksud perlambangan tujuh bintang yang kaulihat di tangan kanan-Ku dan tujuh kaki pelita daripada emas itu. Tujuh bintang itu melambangkan para malaikat jemaah di tujuh tempat itu manakala tujuh kaki pelita itu melambangkan jemaah di situ.’
REV 2:1 ‘Kepada malaikat jemaah di Efesus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memegang tujuh bintang di tangan kanan-Nya dan yang melangkah di antara tujuh kaki pelita daripada emas:
REV 2:2 Aku tahu perbuatanmu, jerih payahmu dan ketabahanmu. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan kejahatan orang durjana. Kamu telah menguji orang yang membuat pengakuan palsu bahawa mereka rasul padahal mereka bukan, dan kamu telah mendapati mereka itu pendusta.
REV 2:3 Kamu tetap tabah dan tetap menderita kerana nama-Ku tanpa berputus asa.
REV 2:4 Namun demikian, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu telah meninggalkan kasihmu yang pertama.
REV 2:5 Sedarilah betapa dalamnya kamu telah terjerumus. Bertaubatlah dan lakukanlah apa yang kamu lakukan mula-mula lagi. Jika tidak, Aku akan datang dan mengalihkan kaki pelitamu dari tempatnya.
REV 2:6 Namun, ada sesuatu yang baik padamu: Kamu benci akan perbuatan pengikut Nikolaus yang juga Kubenci.
REV 2:7 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Kepada yang menang akan Kuizinkan makan buah dari pohon hidup di taman Firdaus Allah.
REV 2:8 ‘Kepada malaikat jemaah di Smirna, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang pertama dan yang terakhir, yang telah mati dan hidup semula.
REV 2:9 Aku tahu akan kesengsaraanmu. Aku tahu kamu miskin, tetapi sebenarnya kamu kaya. Aku tahu akan fitnah yang dilemparkan kepadamu oleh orang yang mengaku dirinya orang Yahudi tetapi sebenarnya mereka bukan. Mereka jemaah Iblis.
REV 2:10 Janganlah takut terhadap apa yang akan kamu deritai kelak. Ketahuilah, Iblis akan menghumbankan sebilangan daripadamu ke dalam penjara untuk mengujimu. Kamu akan menanggung kesengsaraan selama sepuluh hari. Setialah sampai mati, maka aku akan menganugerahimu mahkota hidup sebagai ganjaran untuk kemenangan.
REV 2:11 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Mereka yang menang tidak akan mengalami sengsara kematian yang kedua.
REV 2:12 ‘Kepada malaikat jemaah di Pergamus, tulislah: Inilah firman daripada Dia yang memiliki sebilah pedang mata dua yang tajam.
REV 2:13 Aku tahu akan tempat kediamanmu. Di situlah Iblis bertakhta. Namun, kamu setia berpegang kepada nama-Ku. Malah kamu tidak menyangkal imanmu kepada-Ku ketika Antipas, saksi-Ku yang setia, dibunuh di tempat kediaman Iblis.
REV 2:14 Tetapi aku mencelamu kerana beberapa perkara: Ada di antaramu yang menganut ajaran Bileam. Bileam telah mengajak Balak untuk memujuk umat Israel supaya berdosa dengan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala serta melakukan pencabulan.
REV 2:15 Secara itu juga ada sebilangan daripadamu yang mengikut ajaran Nikolaus.
REV 2:16 Bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang segera kepadamu dan menyerang mereka dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.
REV 2:17 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah. Aku akan memberikan sebahagian manna yang tersembunyi kepada mereka yang menang. Juga aku akan memberinya batu putih yang bertulis nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa selain penerimanya.
REV 2:18 ‘Kepada malaikat jemaah di Tiatira, tulislah: Inilah kata-kata daripada Putera Allah, yang mata-Nya menyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya laksana gangsa digilap.
REV 2:19 Aku tahu perbuatanmu, kasihmu, imanmu, pelayananmu dan ketabahanmu. Aku juga tahu bahawa kamu sekarang lebih banyak berusaha daripada dahulu.
REV 2:20 Namun, Aku mencelamu kerana satu perkara: Kamu membenarkan perempuan bernama Izebel yang mengaku dirinya nabiah Allah itu mengajar umat-Ku. Dia mengajar dan menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan pencabulan dan makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala.
REV 2:21 Aku telah memberinya peluang untuk bertaubat tetapi dia enggan menghentikan perbuatannya yang cabul.
REV 2:22 Ketahuilah, Aku akan menghukumnya dengan sakit terlantar dan mereka yang berzina dengannya akan menanggung kesengsaraan yang dahsyat melainkan mereka bertaubat daripada perbuatan mereka dengannya.
REV 2:23 Aku juga akan meragut nyawa anak-anaknya, supaya seluruh jemaah tahu bahawa Akulah yang menyelami hati dan fikiran manusia. Aku akan memberikan balasan yang setimpal dengan perbuatan setiap orang.
REV 2:24 Tetapi sesetengah daripada kamu di Tiatira tidak mengikut ajaran durjana itu. Kamu tidak menuntut ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepadamu bahawa aku tidak akan menambahkan bebanmu dengan kewajipan baru.
REV 2:25 Namun, kamu haruslah memelihara apa yang sudah ada padamu, hingga saat Aku datang nanti.
REV 2:26 Kepada yang menang dan melakukan kehendak-Ku sampai akhir akan Kuanugerahi kekuasaan ke atas bangsa-bangsa.
REV 2:27 “Dia akan memerintah mereka dengan tongkat besi kerajaan dan meremukkan mereka seperti tembikar” – seiring dengan kekuasaan yang telah Kuterima daripada Bapa-Ku.
REV 2:28 Aku akan menganugerahi mereka bintang fajar.
REV 2:29 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.
REV 3:1 ‘Kepada malaikat jemaah di Sardis, tulislah: Inilah kata-kata daripada Dia yang memiliki tujuh Roh Allah dan tujuh bintang. Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati.
REV 3:2 Bangunlah dan teguhkanlah apa yang masih ada padamu dan yang hampir mati kerana Kudapati apa yang kamu lakukan belum lagi sempurna di sisi Allah Tuhanku.
REV 3:3 Ingatlah semula segala yang telah diajarkan kepadamu dan segala yang telah kamu dengar. Patuhilah segalanya dan bertaubatlah. Jika tidak, Aku akan datang kepadamu laksana pencuri. Kamu tidak mungkin tahu saatnya Aku datang.
REV 3:4 Namun, ada sebilangan daripadamu di Sardis yang tidak mencemarkan pakaian mereka. Mereka akan berjalan bersama-Ku dengan berpakaian putih kerana mereka layak mendapat kemuliaan sedemikian.
REV 3:5 Kepada yang menang akan dapat berpakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan memadamkan nama mereka dari Kitab Hidup. Aku akan mengakui mereka sebagai milik-Ku di hadirat Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya.
REV 3:6 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.
REV 3:7 ‘Kepada malaikat jemaah di Filadelfia, tulislah: Inilah kata-kata daripada Dia yang suci dan setia dan yang memegang kunci milik Daud. Apabila Dia membuka pintu, tiada siapa yang dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tiada siapa yang dapat membukanya.
REV 3:8 Aku tahu perbuatanmu. Lihatlah Aku telah membukakan sebuah pintu untukmu, dan tiada siapa yang dapat menutupnya. Aku tahu bahawa kamu tidaklah begitu kuat, tetapi kamu taat kepada firman-Ku dan tidak sekali-kali menyangkal nama-Ku.
REV 3:9 Orang yang menyokong Iblis, para pendusta yang bukan Yahudi tetapi mengaku dirinya Yahudi, akan Kubawa kepadamu. Mereka akan Kupaksa datang dan sujud kepadamu dan mereka akan tahu bahawa Aku mengasihimu.
REV 3:10 Oleh sebab kamu taat akan perintah-Ku supaya tabah menanggung kesengsaraan, Aku akan menyelamatkanmu daripada masa pancaroba yang akan menimpa seluruh dunia sebagai dugaan kepada umat manusia.
REV 3:11 Aku akan datang segera. Peliharalah apa yang ada padamu dengan sempurna, supaya ganjaran kemenanganmu tidak diragut orang.
REV 3:12 Aku akan menjadikan mereka yang menang seperti tiang di rumah Allah Tuhanku dan dia akan tetap tinggal di situ. Aku akan menulis pada dirinya nama Allah dan Kota Allah, iaitu Baitulmaqdis baru yang akan diturunkan Allah dari syurga, juga nama-Ku yang baru.
REV 3:13 Jika kamu bertelinga, dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.
REV 3:14 ‘Kepada malaikat jemaah di Laodikia, tulislah: Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, Saksi yang setia dan benar, Permulaan segala ciptaan Allah.
REV 3:15 Aku tahu apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu ini sejuk tidak, panas pun tidak. Betapa baiknya jika kamu mengambil salah satu daripada dua sikap itu.
REV 3:16 Tetapi oleh sebab kamu suam-suam sahaja, Aku akan meludahkan kamu.
REV 3:17 Kamu berkata, “Aku kaya dan cukup segala-galanya, tiada kekurangan apa-apa.” Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sebenarnya dalam keadaan yang serba kekurangan dan amat menyedihkan. Kamu miskin, telanjang dan buta.
REV 3:18 Dengan demikian Kunasihati kamu: Belilah emas daripada-Ku, emas tulen, supaya kamu kaya. Belilah pakaian putih untuk menutup tubuhmu yang telanjang lagi mengaibkan. Belilah ubat untuk matamu supaya dapat melihat.
REV 3:19 Aku menegur dan menghukum orang yang Kukasihi. Oleh itu, amalkanlah sikap bersungguh-sungguh dan bertaubatlah.
REV 3:20 Dengarlah! Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya. Aku akan makan bersamanya dan dia bersama-Ku.
REV 3:21 Aku akan membenarkan mereka yang menang duduk di atas takhta-Ku, seperti Aku yang telah menang kini duduk di sisi Bapa-Ku di atas takhta-Nya.
REV 3:22 Jika kamu bertelinga; dengarlah apa yang dikatakan oleh Roh kepada jemaah.’
REV 4:1 Selepas itu, aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi sangkakala yang pernah kudengar dahulu berkata kepadaku, ‘Marilah naik ke sini. Aku akan memperlihatkan apa yang pasti terjadi kemudian kelak.’
REV 4:2 Serta-merta Roh menguasaiku. Kulihat sebuah takhta di syurga dan seorang bersemayam di atasnya.
REV 4:3 Dia yang bersemayam itu berwajah gilang-gemilang seperti batu yaspis dan akik. Takhta itu dikelilingi pelangi yang bersinar laksana zamrud.
REV 4:4 Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas.
REV 4:5 Dari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah.
REV 4:6 Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata.
REV 4:7 Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang.
REV 4:8 Setiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi: ‘Suci, suci, sucilah Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, yang ada dahulu, yang ada sekarang dan yang akan datang.’
REV 4:9 Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selama-lamanya.
REV 4:10 Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata,
REV 4:11 ‘Ya Allah, Ya Tuhan kami! Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa, kerana Engkaulah yang mencipta segala-galanya, dan dengan kehendak-Mu segala-galanya wujud dan dicipta.’
REV 5:1 Kemudian aku melihat segulungan naskhah di tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta itu. Gulungan itu bertulis kedua-dua belah dan dimaterai dengan tujuh materai.
REV 5:2 Setelah itu kulihat dan kudengar malaikat yang gagah perkasa bertanya dengan suara lantang, ‘Siapakah yang layak memecahkan materai dan membuka gulungan naskhah ini?’
REV 5:3 Namun, tiada seorang pun, baik di syurga, di bumi, mahupun di bawah bumi, yang terdaya membuka gulungan naskhah itu dan melihat kandungannya.
REV 5:4 Oleh itu aku pun menangis teresak-esak kerana tiada seorang pun yang layak membuka dan membaca naskhah atau melihat kandungannya.
REV 5:5 Kemudian salah seorang tua-tua itu berkata kepadaku, ‘Jangan menangis. Lihatlah! Singa daripada suku Yahuda, zuriat keturunan yang mulia daripada Daud, telah menang. Dia dapat membuka gulungan naskhah itu dan memecahkan tujuh materai dan membuka gulungan naskhah itu.’
REV 5:6 Selepas itu kulihat Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh keempat-empat makhluk dan para tua-tua. Anak Domba itu, yang kelihatan sudah disembelih, mempunyai tujuh tanduk dan tujuh mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah dihantar ke seluruh dunia.
REV 5:7 Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah dari tangan kanan Dia yang bersemayam di atas takhta.
REV 5:8 Empat makhluk dan dua puluh empat orang tua-tua sujud kepada Anak Domba itu. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah batil emas berisi setanggi, iaitu segala doa orang salih.
REV 5:9 Mereka menyanyikan lagu baru: ‘Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan membuka materainya kerana Engkau telah dibunuh, dan dengan darah kematian-Mu Engkau telah menebus untuk Allah manusia daripada segala suku, bahasa, kaum, negara dan bangsa.
REV 5:10 Engkau telah menjadikan mereka suatu kerajaan dan imam-imam Allah untuk menyembah Allah Tuhan kita dan memerintah di bumi.’
REV 5:11 Aku melihat lagi. Aku mendengar suara ribuan dan jutaan malaikat. Mereka berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua.
REV 5:12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang: ‘Anak Domba yang telah disembelih layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, kehormatan, kemuliaan dan puji-pujian.’
REV 5:13 Aku mendengar semua makhluk – di syurga, di bumi, di bawah bumi, di dalam laut, dan semua yang ada di dalamnya, menyanyi: ‘Segala puji, kemuliaan dan kuasa kepada Dia yang duduk di atas takhta dan kepada Anak Domba untuk selama-lamanya.’
REV 5:14 Keempat-empat makhluk itu menyahut, ‘Amin!’ Para tua-tua itu pun sujud menyembah Allah dan Anak Domba itu.
REV 6:1 Seterusnya aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai pertama daripada ketujuh-tujuh materai itu. Lantas kudengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara seperti guruh, ‘Marilah, lihat!’
REV 6:2 Aku melihat seekor kuda putih ditunggang oleh seorang yang memegang busur panah. Dia diberi sebuah mahkota dan tampil sebagai seorang penakluk yang sedia untuk menakluk.
REV 6:3 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kedua dan kudengar makhluk kedua berkata, ‘Marilah, lihat!’
REV 6:4 Seekor kuda merah pula muncul. Penunggangnya diberi kuasa untuk mencetuskan peperangan di bumi dan menyebabkan manusia berbunuh-bunuhan. Dia diberi sebilah pedang yang besar.
REV 6:5 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai ketiga lalu kudengar makhluk ketiga berkata, ‘Marilah, lihat!’ Aku melihat seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang dacing.
REV 6:6 Aku mendengar sesuatu seperti suara dari tengah-tengah makhluk berempat itu, berkata, ‘Secupak gandum sedinar harganya, dan tiga cupak barli juga sedinar harganya, tetapi minyak dan air anggur itu jangan kaurosakkan.’
REV 6:7 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai keempat. Kudengar makhluk keempat berkata, ‘Mari!’
REV 6:8 Aku melihat seekor kuda berwarna pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengekorinya. Mereka diberi kuasa membunuh seperempat penghuni bumi melalui peperangan, kebuluran, wabak penyakit dan serangan binatang buas.
REV 6:9 Kemudian Anak Domba itu memecahkan materai kelima. Di bawah mazbah aku melihat roh-roh orang yang telah dibunuh kerana firman Allah dan kerana kesaksian yang mereka pegang dengan setia.
REV 6:10 Mereka berseru dengan suara lantang, ‘Ya Tuhan yang suci dan benar! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penghuni bumi dan membalas perbuatan mereka yang telah menumpahkan darah dan meragut nyawa kami?’
REV 6:11 Setiap roh itu diberi sehelai jubah putih dan disuruh berehat sebentar lagi hingga cukup bilangan hamba-hamba sepengabdian dan orang yang menjadi saudara seiman, yang akan dibunuh seperti mereka.
REV 6:12 Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan materai keenam. Seketika itu terjadilah gempa bunyi yang dahsyat. Matahari menjadi seperti kain hitam dan bulan merah seperti darah.
REV 6:13 Bintang-bintang gugur ke bumi seperti buah ara luruh ditiup angin kencang.
REV 6:14 Langit lenyap tergulung seperti gulungan naskhah manakala gunung dan pulau teralih dari tempatnya.
REV 6:15 Seluruh umat manusia, baik raja, pegawai, panglima, orang berharta dan berkuasa, orang bebas mahupun hamba abdi, lari bersembunyi di dalam gua dan di celah-celah batu di gunung.
REV 6:16 Mereka berseru kepada gunung dan batu itu, ‘Hempaplah kami! Sembunyikan kami daripada pandangan Dia yang bersemayam di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba!
REV 6:17 Hari besar yang dahsyat, hari kemurkaan mereka telah tiba. Allah dan Anak Domba akan menghukum kami. Siapa yang dapat bertahan?’
REV 7:1 Selepas itu, kulihat empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak ada angin yang bertiup di darat, di laut, atau di pohon-pohon.
REV 7:2 Kemudian kulihat malaikat lain datang dari timur membawa materai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu berseru kepada empat malaikat yang telah diberi kuasa untuk merosakkan darat dan laut.
REV 7:3 Malaikat itu berkata, ‘Janganlah rosakkan darat, laut atau pohon-pohon hingga kami telah mematerai dahi hamba-hamba Allah Tuhan kita.’
REV 7:4 Lalu aku mendengar bahawa seratus empat puluh empat ribu dari semua suku Israel dimateraikan.
REV 7:5 Dari suku Yahuda dua belas ribu, dari suku Ruben dua belas ribu, dari suku Gad dua belas ribu,
REV 7:6 dari suku Asyer dua belas ribu dari suku Naftali dua belas ribu, dari suku Manasye dua belas ribu,
REV 7:7 dari suku Simeon dua belas ribu, dari suku Lewi dua belas ribu, dari suku Isakhar dua belas ribu,
REV 7:8 dari suku Zabulon dua belas ribu, dari suku Yusuf dua belas ribu, dari suku Benyamin dua belas ribu.
REV 7:9 Selepas itu aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, dari segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba.
REV 7:10 Mereka berseru dengan lantang, ‘Penyelamatan ada pada Allah Tuhan kami yang bersemayam di atas takhta dan pada Anak Domba!’
REV 7:11 Semua malaikat berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua, lalu semuanya sujud di hadapan takhta menyembah Allah.
REV 7:12 Mereka berkata, ‘Amin! Segala pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan, kuasa dan kebesaran bagi Allah Tuhan kami selama-lamanya! Amin.’
REV 7:13 Salah seorang tua-tua itu bertanya kepadaku, ‘Siapakah yang berjubah putih itu dan dari manakah mereka itu?’
REV 7:14 ‘Aku tidak tahu, tetapi tuan tahu,’ sahutku. Dia berkata, ‘Merekalah orang yang berjaya menempuh kesengsaraan yang dahsyat. Mereka telah membasuh jubah mereka menjadi putih bersih dengan darah Anak Domba.
REV 7:15 Maka sekarang, ‘mereka berdiri di hadapan takhta Allah dan menyembah-Nya siang malam di dalam rumah ibadat-Nya. Dia yang bersemayam di atas takhta akan membentangkan khemah-Nya di atas mereka.
REV 7:16 Mereka tidak akan lapar atau dahaga lagi. Terik matahari atau sesuatu yang amat panas pun tidak akan dapat membakar mereka lagi
REV 7:17 kerana Anak Domba di tengah-tengah takhta itu akan menjadi gembala mereka. Dia akan membimbing mereka ke mata air yang membawa hidup, dan Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka.’
REV 8:1 Apabila Anak Domba memecahkan materai ketujuh, syurga menjadi senyap sunyi kira-kira setengah jam.
REV 8:2 Kemudian aku melihat tujuh malaikat menghadap Allah. Mereka diberi tujuh sangkakala.
REV 8:3 Satu lagi malaikat datang berdiri di hadapan mazbah sambil membawa tempat bara diperbuat daripada emas. Dia diberi banyak setanggi untuk ditambahkan kepada doa semua orang salih dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas di hadapan takhta.
REV 8:4 Doa orang salih bersama asap setanggi yang dibakar itu naik berkepul-kepul dari tangan malaikat yang menghadap Allah.
REV 8:5 Kemudian malaikat itu mengisi tempat bara dengan bara api dari mazbah lalu melontarkannya ke bumi. Dalam sekelip mata kedengaran guruh petir dan kelihatan kilat sabung-menyabung lalu seluruh bumi gempa.
REV 8:6 Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh sangkakala itu bersedia untuk meniupnya.
REV 8:7 Malaikat pertama meniup sangkakalanya. Hujan batu dan api bercampur darah terus dilemparkan ke bumi. Lalu sepertiga bumi, dan sepertiga pohon-pohon serta segala tumbuh-tumbuhan yang hijau hangus dibakar.
REV 8:8 Kemudian malaikat kedua meniup sangkakalanya. Sesuatu yang kelihatan seperti gunung besar yang menyala dicampakkan ke dalam laut. Sepertiga air laut menjadi darah.
REV 8:9 Sepertiga makhluk di laut mati dan sepertiga kapal musnah.
REV 8:10 Kemudian malaikat ketiga meniup sangkakalanya. Sebuah bintang besar yang menyala-nyala seperti suluh gugur menimpa sepertiga sungai dan mata air di bumi.
REV 8:11 (Bintang itu bernama ‘Apsintus’ iaitu ‘Pahit’.) Sepertiga air menjadi pahit dan ramai orang mati kerana meminumnya.
REV 8:12 Kemudian malaikat keempat meniup sangkakalanya. Sepertiga matahari, bulan dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga waktu. Matahari tidak memancar sepertiga siang, manakala bulan dan bintang tidak bercahaya sepertiga malam.
REV 8:13 Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi berseru nyaring, ‘Sengsara! Sengsara! Sengsaralah sekalian penghuni bumi kerana tiga malaikat lagi yang akan meniup sangkakalanya.’
REV 9:1 Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya.
REV 9:2 Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu.
REV 9:3 Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi.
REV 9:4 Belalang itu ditegah merosakkan rumput, pokok atau tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya.
REV 9:5 Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking.
REV 9:6 Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.
REV 9:7 Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia.
REV 9:8 Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa.
REV 9:9 Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi kereta-kereta kuda mara ke medan perang.
REV 9:10 Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan.
REV 9:11 Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna ‘Pemusnah’) dalam bahasa Yunani.
REV 9:12 Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.
REV 9:13 Kemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah.
REV 9:14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, ‘Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!’
REV 9:15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu.
REV 9:16 Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar.
REV 9:17 Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggang-penunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang.
REV 9:18 Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia.
REV 9:19 Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.
REV 9:20 Manusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan.
REV 9:21 Mereka juga tidak berhenti daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.
REV 10:1 Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat yang gagah perkasa turun dari syurga, tubuhnya diliputi awan dan kepalanya dilingkari pelangi. Wajahnya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api.
REV 10:2 Tangannya memegang segulungan naskhah kecil yang terbuka. Kaki kanannya di laut, kaki kirinya di darat.
REV 10:3 Dia berseru dengan suara seperti bunyi sekawan singa mengaum, disahut oleh tujuh guruh dengan gemuruh.
REV 10:4 Sebaik-baik tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak mencatat kata-katanya. Tetapi kudengar suara dari syurga berkata kepadaku, ‘Materaikan segala yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, jangan dituliskan.’
REV 10:5 Malaikat yang kulihat berdiri antara laut dengan darat itu mengangkat tangannya ke langit.
REV 10:6 Dia bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang telah mencipta syurga dan segala isinya, bumi dan segala isinya serta laut dan segala isinya, bahawa segalanya tidak harus dilengah-lengahkan lagi.
REV 10:7 Tetapi pada masa malaikat ketujuh hendak meniup sangkakalanya, rahsia Allah akan selesai, sebagaimana firman-Nya kepada hamba-Nya, para nabi.
REV 10:8 Kemudian suara yang kudengar dari syurga itu berkata lagi kepadaku, ‘Pergilah ambil naskhah kecil yang terbuka dari tangan malaikat yang berdiri di antara laut dengan darat itu.’
REV 10:9 Aku pun mendapatkan malaikat itu dan berkata, ‘Berilah aku naskhah kecil itu.’ Katanya kepadaku, ‘Ambil dan makanlah naskhah ini. Perutmu akan terasa pahit tetapi di mulutmu akan terasa semanis madu.’
REV 10:10 Lantas kuambil naskhah kecil itu dari tangannya lalu kumakan, maka di mulutku terasa semanis madu. Tetapi setelah habis kumakan, perutku terasa pahit.
REV 10:11 Dia berkata kepadaku, ‘Kamu harus bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan raja.’
REV 11:1 Kemudian aku diberi sebatang tongkat yang kelihatan seperti kayu pengukur. Lalu, seorang berkata, ‘Bangkitlah, ukur rumah ibadat Allah dan mazbah, serta hitunglah orang yang beribadat di situ.
REV 11:2 Tetapi jangan ukur halaman di luar, kerana bahagian itu telah diberikan kepada orang bangsa asing. Mereka akan melanyak kota suci selama empat puluh dua bulan.
REV 11:3 Aku akan memberikan kuasa kepada dua orang saksi-Ku dan mereka akan bernubuat selama seribu dua ratus enam puluh hari dengan memakai kain kabung.’
REV 11:4 Inilah dua pokok zaitun dan dua kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan bumi ini.
REV 11:5 Jika sesiapa hendak mencederakan mereka, api akan keluar dari mulut mereka dan menghanguskan musuh mereka itu. Orang yang hendak mencederakan mereka itu mesti dibunuh sedemikian.
REV 11:6 Mereka mempunyai kuasa menutup langit, supaya hujan tidak turun sepanjang masa mereka bernubuat. Mereka berkuasa ke atas air dan dapat menukarkannya menjadi darah. Mereka juga berupaya menimpakan pelbagai wabak penyakit ke atas bumi sekerap yang mereka kehendaki.
REV 11:7 Setelah mereka selesai membuat kesaksian, binatang buas dari dalam jurang itu akan memerangi, menewaskan dan membunuh mereka.
REV 11:8 Mayat mereka akan bergelimpangan di jalan raya kota agung yang dari segi rohani disebut Sodom dan Mesir, iaitu kota tempat Junjungan mereka disalib.
REV 11:9 Orang dari pelbagai kaum, suku, bahasa dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah dan tidak membenarkan mereka dikuburkan.
REV 11:10 Penghuni bumi ini akan bergembira, berpesta dan berkirim-kiriman hadiah, kerana kedua-dua nabi itu telah menyeksa mereka yang tinggal di bumi.
REV 11:11 Selepas tiga hari setengah, roh hayat daripada Allah memasuki mereka lalu mereka bangkit berdiri. Sekalian yang melihatnya amat ketakutan.
REV 11:12 Kedua-dua nabi itu mendengar suara lantang dari langit berkata, ‘Naiklah ke sini.’ Lalu mereka naik ke langit di dalam awan, di hadapan mata musuh mereka.
REV 11:13 Pada ketika itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat, memusnahkan sepersepuluh kota itu. Tujuh ribu orang terbunuh dalam gempa itu. Mereka yang masih hidup sungguh takut lalu memuliakan Allah yang berada di syurga.
REV 11:14 Bencana kedua telah berlalu. Ketahuilah, bencana ketiga akan segera menyusul.
REV 11:15 Kemudian malaikat ketujuh meniup sangkakalanya. Suara-suara lantang di syurga berkata, ‘Segala kerajaan di dunia ini telah menjadi kerajaan Tuhan kita dan kerajaan al-Masih-Nya, dan Dia akan memerintah selama-lamanya!’
REV 11:16 Dua puluh empat tua-tua yang mengadap Allah yang bersemayam di atas takhta itu sujud menyembah Allah
REV 11:17 sambil berkata: ‘Kami bersyukur kepada-Mu, Ya Allah Tuhan Maha Kuasa; yang ada sekarang, yang ada dahulu dan yang akan datang. Kerana Engkau telah melaksanakan kuasa-Mu yang besar lalu memerintah.
REV 11:18 Bangsa-bangsa asing marah, maka datanglah kemurkaan-Mu, dan masanya untuk orang mati dihakimi, dan Engkau memberi ganjaran kepada hamba-hamba-Mu, para nabi dan orang salih, serta manusia kecil dan besar yang takut akan Nama-Mu. Dan Engkau membinasakan mereka yang membinasakan bumi.’
REV 11:19 Kemudian rumah ibadat Allah dibuka di syurga, dan kelihatanlah tabut perjanjian-Nya, diiringi kilat, pelbagai suara, guruh, gempa dan hujan batu yang dahsyat.
REV 12:1 Suatu alamat besar kelihatan di langit: Seorang perempuan yang berpakaian matahari, bulan di bawah kakinya dan dua belas bintang terkalung menghiasi kepalanya.
REV 12:2 Dia sedang hamil dan sudah sampai waktunya untuk melahirkan anak, maka dia berteriak kesakitan.
REV 12:3 Lantas suatu alamat muncul di langit: seekor naga merah yang amat besar, berkepala tujuh bertanduk sepuluh, setiap kepalanya bermahkota.
REV 12:4 Naga itu mengheret sepertiga bintang di langit dengan ekornya dan menghumbankannya ke bumi. Ia menunggu di hadapan perempuan yang hendak bersalin untuk menelan anaknya sebaik-baik dia lahir.
REV 12:5 Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah segala bangsa dengan perkasa. Dan anak itu dibawa ke hadirat Allah dan takhta-Nya.
REV 12:6 Perempuan itu lari ke gurun, ke tempat yang memang ditentukan Allah untuknya. Dia dijaga di situ selama seribu dua ratus enam puluh hari.
REV 12:7 Kemudian perang tercetus di syurga. Mikail dengan malaikat-malaikatnya berperang dengan naga dan malaikat-malaikatnya.
REV 12:8 Naga itu tewas dalam peperangan. Ia dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi.
REV 12:9 Dengan demikian tersingkirlah naga besar itu, ular purba yang bernama Iblis atau Syaitan, yang memperdaya umat manusia. Ia dan semua malaikatnya dibuang ke bumi.
REV 12:10 Kemudian aku mendengar suara lantang berkata di syurga, ‘Sekarang penyelamatan, kekuatan, kerajaan Allah Tuhan kita, dan kuasa al-Masih-Nya telah tiba; kerana penuduh saudara-saudara kita, yang telah menuduh mereka siang malam di hadapan Allah Tuhan kita telah disingkirkan.
REV 12:11 Mereka telah menumpaskannya dengan darah Anak Domba dan dengan kata-kata kesaksian mereka, dan mereka tidak menyayangi nyawa sendiri hingga mati.
REV 12:12 Oleh itu bergembiralah wahai syurga dan kamu semua yang tinggal di dalamnya! Tetapi malanglah penduduk bumi dan laut! Iblis telah turun kepadamu, dalam keadaan sangat berang, kerana ia tahu masanya sudah singkat.’
REV 12:13 Apabila naga itu sedar ia telah dibuang ke bumi, ia pun menganiayai perempuan yang melahirkan anak lelaki itu.
REV 12:14 Tetapi perempuan itu diberi sepasang sayap helang besar untuk terbang ke tempatnya di gurun. Di situ dia dijaga selama tiga tahun setengah jauh dari mata naga itu.
REV 12:15 Naga itu menyemburkan air dari mulutnya seperti air bah untuk menghanyutkan perempuan itu.
REV 12:16 Tetapi bumi membantu perempuan itu dengan membuka mulutnya dan menelan air bah yang disemburkan oleh naga itu.
REV 12:17 Naga itu amat marah terhadap perempuan itu lalu pergi memerangi anak-anaknya yang lain, yang taat kepada perintah Allah dan mempunyai kesaksian Isa al-Masih.
REV 13:1 Kemudian aku berdiri di atas pasir di tepi laut. Aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur.
REV 13:2 Binatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar.
REV 13:3 Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu.
REV 13:4 Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, ‘Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?’
REV 13:5 Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan.
REV 13:6 Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat Allah bersemayam dan semua penghuni syurga.
REV 13:7 Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa.
REV 13:8 Binatang itu akan disembah oleh semua di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih.
REV 13:9 Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.
REV 13:10 Orang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak. Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga. Oleh itu orang salih harus tabah dan beriman.
REV 13:11 Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga.
REV 13:12 Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu.
REV 13:13 Binatang kedua itu mengadakan beberapa alamat yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia.
REV 13:14 Dengan alamat-alamat yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang tetapi lukanya itu pulih.
REV 13:15 Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh.
REV 13:16 Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanannya atau dahinya,
REV 13:17 dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya.
REV 13:18 Di sini terletak kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.
REV 14:1 Kemudian tiba-tiba aku melihat Anak Domba berdiri di puncak Gunung Sion, dan bersamanya seratus empat puluh empat ribu orang dengan nama-Nya dan nama Bapa-Nya tertulis di atas dahi mereka.
REV 14:2 Aku mendengar suara dari syurga, seperti bunyi air menderu, dan seperti bunyi guruh yang kuat, dan suara yang kudengar itu seperti bunyi daripada pemain-pemain memetik kecapi.
REV 14:3 Mereka menyanyikan suatu nyanyian yang terasa baru di hadapan takhta, empat makhluk dan para tua-tua. Tiada siapapun dapat mempelajari nyanyian itu kecuali seratus empat puluh empat ribu orang yang ditebus dari bumi.
REV 14:4 Mereka ini tidak pernah menajiskan diri dengan perempuan kerana mereka menjaga kesucian mereka. Mereka mengikut Anak Domba ke mana-mana Dia pergi. Mereka telah ditebus dari kalangan manusia, sebagai persembahan hasil pertama bagi Allah dan Anak Domba.
REV 14:5 Mulut mereka tiada kata-kata bohong, dan mereka tiada cacat cela.
REV 14:6 Kemudian aku melihat satu lagi malaikat terbang di tengah langit, membawa Injil yang kekal untuk diajarkan kepada penghuni bumi dan kepada setiap bangsa, suku, bahasa dan kaum.
REV 14:7 Katanya dengan suara lantang, ‘Takutilah Allah dan muliakan Dia, kerana sudahlah sampai saat penghakiman-Nya; dan sembahlah Dia yang menjadikan langit dan bumi, laut dan mata air.’
REV 14:8 Satu lagi malaikat mengikutnya, sambil berkata, ‘Babel telah runtuh, telah runtuh, kota yang besar itu telah memberi semua bangsa minum air anggur kemurkaan Allah terhadap pencabulan mereka.’
REV 14:9 Mereka diikut oleh satu lagi malaikat yang berkata dengan suara lantang, ‘Jika sesiapa menyembah binatang itu dan patungnya, dan menerima tandanya di atas dahi atau tangan,
REV 14:10 dia juga akan minum air anggur kemurkaan Allah, yang dituangkan tanpa ditambah air ke dalam cawan murka-Nya itu. Dia akan dikenakan azab api dan belerang di hadapan para malaikat yang suci dan di hadapan Anak Domba.
REV 14:11 Asap api yang menyeksanya itu akan naik berkepul-kepul selama-lamanya. Mereka tidak akan berehat siang malam, kerana mereka menyembah binatang itu dan patungnya serta menerima tanda namanya.’
REV 14:12 Di sinilah terletak kesabaran dan keyakinan orang salih yang mengikut perintah Allah serta beriman kepada Isa.
REV 14:13 Aku mendengar suara dari syurga berkata, ‘Tuliskanlah: Dari saat ini diberkatilah semua orang yang mati dalam Tuhan.’ ‘Ya,’ kata Roh, ‘supaya mereka dapat berehat daripada penat lelah, dan hasil usaha mereka menyertai mereka.’
REV 14:14 Tiba-tiba aku melihat awan putih dan di atasnya duduk seorang yang rupanya seperti putera insan, bermahkota emas dan memegang sabit yang tajam.
REV 14:15 Muncul satu lagi malaikat dari rumah ibadat sambil berseru lantang kepada Dia yang duduk di atas awan, ‘Gunakanlah sabitmu, tuailah, kerana sudah sampai waktunya Engkau menuai; tuaian dunia sudah masak.’
REV 14:16 Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke atas bumi, dan bumi pun dituai.
REV 14:17 Kemudian satu lagi malaikat keluar dari rumah ibadat yang di syurga, juga membawa sabit tajam.
REV 14:18 Menyusul pula malaikat lain yang keluar dari mazbah dan menguasai api, sambil berseru nyaring kepada yang memegang sabit tajam, ‘Gunakanlah sabit-Mu yang tajam itu, kumpulkan segala gugusan anggur di bumi, kerana anggurnya sudah cukup masak.’
REV 14:19 Maka malaikat itu menggunakan sabitnya untuk mengumpulkan gugusan anggur di bumi, dimasukkannya ke dalam irikan besar kemurkaan Allah.
REV 14:20 Irikan itu diinjak di luar kota, lalu darah mengalir keluar, setinggi kekang kuda dan sejauh dua ratus batu.
REV 15:1 Aku melihat pula di langit suatu alamat lagi, yang besar dan ajaib, iaitu tujuh malaikat membawa tujuh wabak terakhir, maka dengannya selesailah kemurkaan Allah.
REV 15:2 Kulihat seakan-akan laut kaca bercampur api. Mereka yang menang menghadapi dugaan binatang itu, patungnya, tandanya dan angka namanya, berdiri di atas laut kaca itu memegang kecapi Allah.
REV 15:3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba: ‘Agung dan ajaib pekerjaan-Mu, Allah Tuhan Maha Kuasa! Benar dan adil setiap jalan-Mu, Ya Raja segala bangsa!
REV 15:4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, Ya Tuhan, dan memuliakan nama-Mu? Kerana hanya Engkaulah Yang Maha Suci. Semua bangsa akan datang dan sujud menyembah-Mu, kerana penghakiman-Mu telah ternyata.’
REV 15:5 Setelah itu aku melihat pula dan ternampak tempat suci dalam khemah kesaksian di syurga terbuka.
REV 15:6 Dari tempat suci itu keluarlah tujuh malaikat yang membawa tujuh wabak itu, berpakaian suci murni berseri-seri, dada mereka dililiti pending emas.
REV 15:7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh mangkuk emas dipenuhi kemurkaan Allah yang hidup selama-lamanya.
REV 15:8 Rumah ibadat Allah dipenuhi asap daripada kemuliaan dan kuasa-Nya dan tiada siapa dapat memasukinya hingga tujuh wabak yang dibawa oleh tujuh malaikat itu selesai.
REV 16:1 Kemudian aku mendengar suara lantang dari dalam rumah ibadat Allah, berkata kepada tujuh malaikat itu, ‘Pergi tuangkan kemurkaan Allah di dalam mangkuk itu ke bumi.’
REV 16:2 Oleh itu malaikat pertama pergi, mencurahkan isi mangkuknya ke tanah, lalu tumbuh pekung yang busuk dan menjijikkan pada orang yang mempunyai tanda binatang itu dan orang yang menyembah patungnya.
REV 16:3 Kemudian malaikat kedua mencurahkan isi mangkuknya ke laut lalu menjadi darah seperti darah orang mati, maka setiap makhluk di laut itu mati.
REV 16:4 Kemudian malaikat ketiga mencurahkan isi mangkuknya ke sungai dan mata air, lalu bertukar airnya menjadi darah.
REV 16:5 Aku mendengar malaikat perairan itu berkata: ‘Engkau adil, Ya Tuhan, kerana Engkau telah menghakimi hal-hal ini, Engkau yang suci, yang ada sekarang, dan ada dahulu, dan yang akan datang,
REV 16:6 Mereka telah menumpahkan darah orang salih dan nabi-nabi, maka Engkau memberi mereka minum darah, suatu hukuman yang setimpal.’
REV 16:7 Aku mendengar suatu suara lagi dari mazbah berkata, ‘Sememangnya, Allah Tuhan Maha Kuasa, penghakiman-Mu benar dan adil.’
REV 16:8 Kemudian malaikat keempat mencurahkan isi mangkuknya ke atas matahari, dan dia diberi kuasa menghanguskan manusia dengan api.
REV 16:9 Manusia dihanguskan dengan darjah kepanasan yang amat tinggi, lalu mereka mengkufuri nama Allah yang menguasai wabak-wabak itu. Mereka tidak bertaubat dan tidak memuliakan-Nya.
REV 16:10 Kemudian malaikat kelima mencurahkan isi mangkuknya ke atas takhta binatang itu, lalu kerajaannya diselaputi kegelapan, dan mereka menggigit lidah kerana kesakitan.
REV 16:11 Mereka mengkufuri Allah yang memerintah syurga kerana kesakitan dan pekung di tubuh mereka. Mereka tidak bertaubat daripada perbuatan mereka.
REV 16:12 Kemudian malaikat keenam mencurahkan isi mangkuknya ke dalam sebatang sungai besar, iaitu Efrat, lantas airnya kering kontang, untuk menyediakan jalan bagi raja-raja dari Timur.
REV 16:13 Aku melihat tiga roh durjana seperti rupa katak keluar dari mulut naga itu, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu.
REV 16:14 Mereka itu roh-roh iblis, dan mereka melakukan pelbagai alamat, yang sampai kepada raja-raja di seluruh dunia untuk menghimpunkan mereka bagi peperangan pada hari Allah Yang Maha Kuasa.
REV 16:15 Lihatlah, aku datang seperti pencuri tidak disedari. Diberkatilah orang yang berwaspada, dan menjaga pakaiannya, supaya dia tidak berjalan dan dilihat orang dalam keadaan telanjang lalu mendapat malu.
REV 16:16 Dia menghimpunkan raja-raja itu ke tempat yang disebut Harmagedon dalam bahasa Ibrani.
REV 16:17 Kemudian malaikat yang ketujuh mencurahkan isi mangkuknya ke udara, lalu kedengaran suara lantang dari rumah ibadat Allah di syurga, dari takhta, berkata, ‘Telah selesai!’
REV 16:18 Kedengaran pelbagai bunyi serta guruh dan kilat sabung-menyabung. Juga berlaku gempa bumi yang paling dahsyat dalam sejarah manusia zaman-berzaman.
REV 16:19 Ketika itu kota besar itu terbelah tiga, dan kota bangsa asing habis runtuh. Babel yang agung juga tidak ketinggalan menerima mangkuk air anggur kemurkaan Allah.
REV 16:20 Kemudian setiap pulau lenyap dan gunung tidak ditemui lagi.
REV 16:21 Hujan batu besar yang seratus paun beratnya turun dari langit menimpa manusia. Mereka mengkufuri Allah kerana bencana hujan batu yang dahsyat itu.
REV 17:1 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk emas itu datang kepadaku dan berkata, ‘Mari, kutunjukkan hukuman ke atas pelacur besar yang duduk di atas air yang banyak,
REV 17:2 dan yang berzina dengan raja-raja dunia; penghuni bumi mabuk dengan air anggur pencabulannya.’
REV 17:3 Malaikat itu membawaku dalam Roh ke gurun. Aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang buas yang berwarna merah dan penuh dengan nama-nama kufur. Binatang itu berkepala tujuh dan bertanduk sepuluh.
REV 17:4 Perempuan itu berpakaian ungu dan merah, dihiasi emas permata serta mutiara, tangannya memegang cawan emas yang penuh dengan kelucahan dan kecemaran perzinaannya.
REV 17:5 Di atas dahinya tertulis: ‘RAHSIA, BABEL YANG AGUNG, IBU SEGALA PELACUR DAN KELUCAHAN DI BUMI.’
REV 17:6 Aku melihat perempuan itu, mabuk dengan darah orang salih dan darah saksi Isa. Apabila aku melihat perempuan itu, aku hairan tercengang.
REV 17:7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, ‘Mengapa kamu hairan tercengang? Aku akan menceritakan rahsia di sebalik perempuan itu dan binatang yang ditunggangnya, yang berkepala tujuh dan bertanduk lapan.
REV 17:8 Binatang yang kamu lihat itu pernah wujud tetapi tidak wujud lagi dan akan keluar dari jurang yang tidak terduga dalamnya lalu menuju kebinasaan. Penghuni bumi yang tidak tersenarai namanya di Kitab Hidup dari permulaan dunia akan tercengang melihat binatang yang pernah wujud dan sekarang tidak wujud lagi tetapi kemudian akan muncul lagi.
REV 17:9 ‘Inilah fikiran yang mempunyai kebijaksanaan. Tujuh kepala itu adalah tujuh gunung tempat perempuan itu tinggal.
REV 17:10 Juga ada tujuh orang raja. Lima orang telah runtuh kerajaannya, satu masih bertakhta dan seorang lagi belum muncul. Datangnya nanti hanya untuk seketika.
REV 17:11 Binatang yang pernah wujud dan yang tidak wujud lagi itu adalah raja yang kelapan, dan asalnya daripada yang ketujuh. Ia juga akan menuju kebinasaan.
REV 17:12 ‘Sepuluh tanduk yang kamu lihat itu bererti sepuluh orang raja yang belum mendapat kerajaan lagi, tetapi mereka menerima kekuasaan sebagai raja bersama dengan binatang itu selama sejam.
REV 17:13 Mereka sepakat dan akan menyerahkan kuasa dan kekuasaan mereka kepada binatang itu.
REV 17:14 Mereka akan memerangi Anak Domba, dan Anak Domba akan menumpaskan mereka, kerana Dialah Junjungan segala junjungan dan Raja segala raja. Orang yang dipanggil, dipilih serta setia ada bersama Dia.’
REV 17:15 Malaikat itu berkata kepadaku, ‘Air yang kamu lihat di tempat pelacur itu duduk adalah kaum, orang ramai, bangsa dan bahasa.
REV 17:16 Binatang dan sepuluh tanduknya yang kamu lihat itu akan membenci pelacur itu, dan membuatnya terlantar serta telanjang, lalu memakan dagingnya dan membakarnya dengan api.
REV 17:17 Allah telah menggerakkan hati mereka, untuk menunaikan kehendak-Nya, supaya sepakat dan menyerahkan kerajaan mereka kepada binatang itu hingga berlaku segala firman Allah.
REV 17:18 Perempuan yang kamu lihat itu adalah kota agung yang menguasai semua raja di bumi ini.’
REV 18:1 Selepas segala ini, aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga, dengan kekuasaan besar, dan bumi diterangi oleh kemuliaannya.
REV 18:2 Dia berseru dengan suara yang lantang dan hebat, ‘Babel yang agung telah runtuh, telah runtuh, dan telah menjadi tempat kediaman roh-roh durjana, penjara bagi setiap roh durjana, sangkar bagi setiap burung yang jijik dan dibenci!
REV 18:3 Semua bangsa telah minum air anggur hawa nafsunya yang cabul. Raja-raja dunia telah berzina dengannya, dan saudagar-saudagar dunia telah menjadi kaya-raya dari kemewahannya yang melimpah-limpah.’
REV 18:4 Aku mendengar satu suara lagi dari syurga berkata, ‘Keluarlah daripadanya, hai kaumku, supaya kamu tidak bersubahat dengan dosanya dan tidak ditimpa wabaknya.
REV 18:5 Segala dosanya telah sampai ke syurga dan Allah ingat akan kejahatannya.
REV 18:6 Perlakukan dia sebagaimana dia telah memperlakukanmu, dan balas perbuatannya dua kali ganda. Dalam cawan yang telah dibancuhnya, bancuh dua kali ganda.
REV 18:7 Sebagaimana dia telah memuliakan dirinya dan hidup mewah, sebanyak itulah diberikan dia kesengsaraan dan kesedihan; kerana dalam hatinya dia berkata, “Aku bersemayam sebagai ratu, aku bukan balu, dan tidak akan mengalami kesedihan.”
REV 18:8 Oleh itu pelbagai bencana akan menimpanya dalam satu hari sahaja, kematian dan ratapan serta kebuluran. Dia akan hangus dibakar dengan api, kerana Allah Tuhan yang menghakiminya amat perkasa.
REV 18:9 ‘Raja-raja dunia yang berzina dan hidup mewah dengannya akan menangis dan meratapinya apabila mereka melihat asap api yang membakarnya.
REV 18:10 Sambil berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, mereka berkata, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota Babel yang agung! Dalam sejam sahaja hukuman telah menimpamu.”
REV 18:11 ‘Saudagar-saudagar dunia akan menangis dan meratapinya, kerana tiada siapa membeli dagangan mereka lagi –
REV 18:12 dagangan emas, perak, permata dan mutiara, kain khasah, kain ungu, kain sutera dan kain kesumba, setiap jenis kayu yang harum baunya, segala bekas daripada gading, kayu indah, tembaga, besi dan batu marmar,
REV 18:13 juga kayu manis, rempah-ratus, setanggi, minyak wangi, dupa, air anggur, minyak zaitun, tepung halus, gandum, dan lembu, domba, kuda, kenderaan abdi, serta manusia.
REV 18:14 ‘Mereka akan berkata, “Buah-buahan yang diidami oleh hati jiwamu telah lenyap dari matamu, dan segala benda yang mewah serta hebat telah terlepas dari tanganmu, dan kamu tidak akan mendapatkannya lagi.”
REV 18:15 Saudagar-saudagar yang menjual segala dagangan itu, yang telah menjadi kaya-raya kerananya, akan berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, sambil menangis dan meratap.
REV 18:16 Mereka akan berkata, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang memakai kain khasah, kain ungu dan kain kesumba, serta dihiasi emas permata dan mutiara!
REV 18:17 Dalam sejam sahaja segala kemewahan itu lenyap sama sekali.” ‘Setiap nakhoda, pelayar, kelasi dan saudagar di laut, berdiri jauh.
REV 18:18 Mereka menangis melihat asap api yang membakarnya, sambil berkata, “Kota manakah yang setanding dengan kota agung ini?”
REV 18:19 Mereka meletakkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru dengan ratap tangisnya, ‘ “Aduhai, sengsaranya, kota yang agung itu, yang kekayaannya telah memperkaya setiap penduduknya yang memiliki kapal di laut! Dalam sejam sahaja ia telah kehilangan segala-galanya.
REV 18:20 Bergembiralah melihat keadaannya, wahai syurga dan sekalian orang salih, para rasul serta nabi yang suci, kerana Allah telah menghukumnya kerana perbuatannya terhadapmu!” ’
REV 18:21 Kemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata, ‘Demikianlah, dengan dahsyatnya, kota Babel yang agung akan dilenyapkan, dan tidak akan ditemui lagi.
REV 18:22 Bunyi orang bermain kecapi, suling, serunai dan pelbagai alat muzik tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan terdapat lagi di dalammu. Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi di dalammu.
REV 18:23 Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu. Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi di dalammu. Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia, kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terpedaya.
REV 18:24 Di dalamnya telah didapati darah para nabi dan orang salih, serta semua yang telah dibunuh di bumi ini.’
REV 19:1 Setelah itu aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, ‘Segala puji bagi Allah! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah Tuhan kita!
REV 19:2 Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!’
REV 19:3 Mereka berkata lagi, ‘Segala puji bagi Allah! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!’
REV 19:4 Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, ‘Amin! Segala puji bagi Allah!’
REV 19:5 Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, ‘Pujilah Allah Tuhan kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!’
REV 19:6 Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, ‘Segala puji bagi Allah! Kerana Allah Tuhan Yang Maha Kuasa sedang bertakhta!
REV 19:7 Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya.
REV 19:8 Isterinya diberi kain khasah yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.’ (Kain khasah yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.)
REV 19:9 Kemudian dia berkata kepadaku, ‘Tulislah: Berbahagialah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!’ Katanya lagi kepadaku, ‘Inilah firman Allah yang benar.’
REV 19:10 Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, ‘Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Isa. Sembahlah Allah! Kesaksian Isa itu roh nubuat.’
REV 19:11 Kemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi.
REV 19:12 Mata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis padanya, yang tidak diketahui oleh sesiapapun selain Dia.
REV 19:13 Dia memakai jubah berpercikan darah dan nama-Nya Firman Allah.
REV 19:14 Segala tentera syurga, berpakaian kain khasah halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya.
REV 19:15 Sekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tongkat besi. Dia sendiri menginjak irikan kemurkaan Allah Maha Kuasa.
REV 19:16 Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama: ‘RAJA SEGALA RAJA, JUNJUNGAN SEGALA JUNJUNGAN’.
REV 19:17 Kemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, ‘Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar!
REV 19:18 Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.’
REV 19:19 Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya.
REV 19:20 Kemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai alamat di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya.
REV 19:21 Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.
REV 20:1 Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar.
REV 20:2 Dia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun.
REV 20:3 Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu ia akan dilepaskan seketika.
REV 20:4 Aku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Isa al-Masih dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama al-Masih selama seribu tahun.
REV 20:5 Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama.
REV 20:6 Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan al-Masih, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun.
REV 20:7 Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan.
REV 20:8 Dia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut.
REV 20:9 Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung khemah orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka.
REV 20:10 Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya.
REV 20:11 Kemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya.
REV 20:12 Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan Allah, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat di dalam kitab-kitab itu.
REV 20:13 Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing.
REV 20:14 Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api.
REV 20:15 Semua manusia yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.
REV 21:1 Aku melihat langit baru dan bumi baru, kerana langit dan bumi yang lama telah lenyap, dan laut pun tiada lagi.
REV 21:2 Kemudian aku, Yahya, melihat kota suci, Baitulmaqdis Baru, diturunkan Allah dari syurga, seperti pengantin yang terhias untuk suaminya.
REV 21:3 Aku mendengar suara lantang dari syurga berkata, ‘Lihatlah, tempat kediaman Allah sekarang berserta manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka, dan mereka akan menjadi umat-Nya, dan Allah Sendiri akan bersama mereka sebagai Allah Tuhan mereka.
REV 21:4 Allah akan menghapuskan setiap titik air mata mereka. Tiadalah lagi kematian, kesedihan dan tangisan. Tiada lagi kesakitan, kerana segala yang lama telah lenyap.
REV 21:5 Kemudian Dia yang bersemayam di atas takhta berkata, ‘Lihatlah, Aku telah mencipta segalanya baru.’ Dia berfirman kepadaku, ‘Tuliskanlah, kerana kata-kata ini benar dan tepat.’
REV 21:6 Firman-Nya lagi, ‘Segalanya telah selesai! Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir. Aku akan memberikan mata air hidup kepada sesiapa yang dahaga.
REV 21:7 Sesiapa yang menang akan mewarisi segala-galanya. Aku Allah Tuhannya dan dia anak-Ku.
REV 21:8 Tetapi mereka yang pengecut, tidak beriman, durjana, pembunuh, melakukan pencabulan, ahli sihir, penyembah berhala dan semua pendusta akan dimasukkan ke dalam lautan yang menyala dengan api dan belerang. Inilah kematian kedua.
REV 21:9 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang membawa tujuh mangkuk berisi tujuh wabak datang kepadaku dan berkata, ‘Marilah, aku akan menunjukkan kepadamu pengantin, isteri Anak Domba.’
REV 21:10 Dia membawaku dalam Roh ke sebuah gunung yang besar dan tinggi, lalu menunjukkan kepadaku kota yang agung, Baitulmaqdis Yang Suci, diturunkan Allah dari syurga,
REV 21:11 dipenuhi kemuliaan Allah. Cahayanya seperti batu yang amat berharga, batu yaspis, jernih seperti hablur.
REV 21:12 Kota itu besar dan tinggi, dan berpintu dua belas, maka pada kedua-dua belas pintu itu ada dua belas malaikat. Di pintu itu tersurat nama kedua-dua belas suku Israel.
REV 21:13 Di timur ada tiga pintu, di utara tiga pintu, di selatan tiga pintu, dan di barat tiga pintu.
REV 21:14 Tembok kota itu beralas dua belas, dan di atasnya ada dua belas nama, iaitu nama dua belas rasul Anak Domba.
REV 21:15 Malaikat yang bertutur denganku itu memegang batang pengukur emas, untuk mengukur kota itu termasuk pintu dan temboknya.
REV 21:16 Kota itu empat persegi, panjangnya sama dengan lebarnya. Dia mengukur kota itu dengan batang pengukur, seribu empat ratus batu; panjang, lebar dan tingginya sama.
REV 21:17 Temboknya seratus empat puluh empat hasta, menurut ukuran manusia, juga ukuran malaikat.
REV 21:18 Tembok itu diperbuat daripada batu yaspis. Kota itu daripada emas tulen, seperti kaca yang jernih.
REV 21:19 Segala alas tembok kota itu dihiasi dengan pelbagai permata. Alas yang pertama yaspis, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik putih, yang keempat zamrud,
REV 21:20 yang kelima batu unam, yang keenam akik merah, yang ketujuh ratna cempaka, yang kelapan firuz, yang kesembilan yakut kuning, yang kesepuluh akik hijau, yang kesebelas nilam, dan yang kedua belas batu kecubung.
REV 21:21 Dua belas pintu itu diperbuat daripada dua belas mutiara, iaitu setiap pintu itu sebutir mutiara yang sangat besar. Jalan di kota itu diperbuat daripada emas tulen, seperti kaca yang bening.
REV 21:22 Aku tidak melihat rumah ibadat di dalamnya, kerana Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa dan Anak Domba ialah rumah ibadatnya.
REV 21:23 Kota itu tidak memerlukan sinaran matahari dan bulan, kerana kemuliaan Allah meneranginya dan Anak Domba itu pelitanya.
REV 21:24 Semua bangsa berjalan dalam cahayanya, dan raja-raja di bumi membawa kemuliaan mereka ke dalamnya.
REV 21:25 Pintu gerbangnya tidak pernah ditutup pada siang hari kerana malam tiada lagi.
REV 21:26 Kemuliaan dan kehormatan segala bangsa akan dibawa ke dalamnya.
REV 21:27 Tiada sekali-kali masuk ke dalamnya sesuatu yang najis atau sesiapa yang melakukan perbuatan keji atau berdusta. Manusia yang masuk ke dalamnya hanyalah yang tersurat namanya di dalam Kitab Hidup Anak Domba.
REV 22:1 Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba
REV 22:2 di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pohon hidup, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia.
REV 22:3 Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya berbuat ibadat kepada-Nya.
REV 22:4 Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka.
REV 22:5 Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Allah Tuhan akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya.
REV 22:6 Katanya kepadaku, ‘Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Allah, Tuhan segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan dengan segera kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi.’
REV 22:7 ‘Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini.’
REV 22:8 Aku, Yahya, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku.
REV 22:9 Tetapi dia berkata kepadaku, ‘Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah.’
REV 22:10 Katanya lagi kepadaku, ‘Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba.
REV 22:11 ‘Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci.’
REV 22:12 ‘Ingatlah, aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya.
REV 22:13 Akulah Alif dan Ya, Yang Pertama dan Yang Terakhir.
REV 22:14 ‘Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka akan dapat menghampiri pohon hidup dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya.
REV 22:15 Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.
REV 22:16 ‘Aku, Isa, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah zuriat dan keturunan Daud, dan bintang fajar yang bersinar.’
REV 22:17 Roh dan pengantin perempuan itu berkata, ‘Marilah’. Orang yang mendengar haruslah berkata, ‘Marilah.’ Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.
REV 22:18 Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat di dalam kitab ini.
REV 22:19 Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pohon hidup dan kota suci seperti yang tersurat di dalam kitab ini.
REV 22:20 Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, ‘Ya, Aku akan datang segera.’ Sesungguhnya, marilah Engkau, Ya Junjungan Isa.
REV 22:21 Semoga kasih kurnia Junjungan Isa menyertai sekalian orang salih. Amin.
